Showing posts with label perang. Show all posts
Showing posts with label perang. Show all posts

Friday, August 26, 2011

Pemimpin gagal pertahan akidah harus 'diperangi'



JOHOR BAHRU 25 Ogos - Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menyifatkan pemimpin Melayu Islam yang gagal bersatu mempertahankan akidah sebagai dayus dan harus 'diperangi' habis-habisan.
Presiden PPPMM, A. Rahman Mahadi berkata, akidah adalah perkara paling asas dalam kehidupan umat Islam yang tidak boleh dikompromi.
"Nilai akidah umat Islam tidak boleh dihitung dengan jumlah kertas undi apatah lagi dengan secebis kuasa politik. Sebaliknya, ia harus dipertahankan dengan apa cara sekali pun dan tidak ada istilah toleransi atau rundingan.
"Jika inginkan kuasa janganlah seperti orang kebulur sangat. Mencari kuasa atau ingin berkuasa mestilah ada hadnya. Jangan sampai kita sanggup menggadaikan akidah semata-mata mahu mencari keuntungan politik dan peribadi jangka pendek," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dilihat masih gagal menyelesaikan isu pemeriksaan gereja oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu.
Kelmarin, Abdul Khalid menimbulkan polemik apabila mengumumkan penubuhan majlis penasihat syura yang kononnya dicadangkan oleh Sultan Selangor sedangkan ia tidak mendapat perkenan baginda.
Sebaik sahaja ditegur oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah, Abdul Khalid mengubahnya kepada Jawatankuasa Pendengaran sebelum mengubah lagi semalam kepada gerak kerja pendengaran.
A. Rahman berkata, apa yang berlaku di gereja itu seharusnya membuka mata umat Islam terhadap ancaman yang sedang dihadapi dan perlunya mereka bersatu dalam menangani isu berkenaan.

Friday, April 29, 2011

Konflik sempadan Thai, Kemboja tamat


PHNOM PENH: Thailand dan Kemboja akhirnya bersetuju melaksanakan gencatan senjata semalam, selepas seminggu tentera kedua-dua negara bertempur menyebabkan sekurang-kurangnya 15 maut serta lebih 60,000 menjadi pelarian.
Perjanjian itu menamatkan pertempuran di sana-sini, termasuk membabitkan senjata berat dan roket kedua-dua pihak.

Kementerian Pertahanan Kemboja berkata, kedua-dua negara bersetuju mengekalkan tentera masing-masing di kawasan itu dan pegawai kanan akan mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa.

Pertikaian sempadan yang berpanjangan itu pula diserahkan kepada Suruhanjaya Persempadanan Bersama Thailand - Kemboja untuk diputuskan selepas badan itu dibentuk sedekad lalu.

Bangkok dan Phnom Penh juga bersetuju membuka pusat pemeriksaan sempadan berhampiran dua kuil Hindu abad ke-12 yang menjadi pertikaian.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bila penduduk kampung dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing di kawasan terpencil itu. - Reuters, mymetro

Thursday, March 24, 2011

Libya akan menang perang: Gaddafi





2011/03/24

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menyatakan kesediaan Libya untuk berperang ketika pemimpin Barat menimbang langkah seterusnya pada hari kelima serangan tentera bersekutu terhadap negara yang kaya dengan minyak itu. 

“Kita akan menang peperangan ini,” kata Gaddafi kepada penyokong di perkarangan bangunan Bab Al-Aziziyah di Tripoli yang menjadi sasaran peluru berpandu tentera bersekutu.
Awal semalam, Cable News Network (CNN) melaporkan, serangan udara tentera bersekutu dilancarkan sepanjang malam di bandar Misrata, timur Tripoli.
Pemberontak berkata mereka menghadapi serangan bertalu-talu di bandar Misrata yang dikepung tentera Gaddafi sejak beberapa minggu lalu. Antara yang terbunuh empat kanak-kanak, kelmarin. 

Sementara itu, Presiden Barack Obama tiba di Washington selepas memendekkan lawatan ke Amerika Latin berkata beliau menjangka penjelasan terhadap struktur arahan operasi tentera bersekutu dalam tempoh beberapa hari akan datang. 

Obama berkata ada sedikit pengurangan operasi pesawat tentera udara Amerika berikutan sekutu Barat mahu mewujudkan zon larangan terbang yang diluluskan Pertubuhan Bangsa Bangsa-Bersatu (PBB) bertujuan melindungi rakyat Libya. 

Kelmarin, pertempuran berlaku antara askar setia Gaddafi dengan pemberontak, ada laporan menyebut pemimpin Libya itu mencari jalan untuk keluar dari konflik. – AFP
bharian

Monday, March 21, 2011

Pengajaran untuk pemimpin Libya: Ki-Moon


PARIS: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, berkata Muammar Gaddafi kini dapat merasakan kesungguhan masyarakat antarabangsa selepas kempen ketenteraan dilancarkan ke atas Libya.
“Gaddafi membunuh rakyatnya sendiri. Dia mengisytiharkan untuk mencari pemberontak dari satu rumah ke satu rumah dan membunuh mereka.

“Perbuatan itu tidak boleh diterima,” katanya kepada media, semalam, sejurus sebelum memulakan lawatan rasmi ke Mesir dan Tunisia.

Kata Ban, dia berharap pihak berkuasa Libya mematuhi sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan PBB dengan melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan mengambil segala langkah perlu melindungi rakyatnya.

Ban turut menyatakan hilang keyakinan terhadap kemampuan Gaddafi ‘bercakap benar.’ Awal pagi semalam, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis melancarkan serangan udara ke atas Libya selepas Majlis Keselamatan PBB memberi kebenaran untuk ‘menggunakan segala cara yang perlu’ melindungi penduduk awam Libya.

PBB juga memberi mandat kepada negara kuasa besar itu memaksa Libya mematuhi gencatan senjata dan zon larangan terbang ke atas tentera rejim Gaddafi. - AFP
metro

4 petugas stesen Al-Jazeera ditawan


TRIPOLI: Empat wartawan Al-Jazeera ditawan oleh tentera Libya di bandar raya ini.
Jurukamera, Kamel Atalua ditangkap bersama-sama seorang lagi jurukamera, Ammar al-Hamdan dan koresponden, Lotfi al-Messaoudi serta Ahmed Vall Ould Addin.

Sumber stesen televisyen itu berkata, kumpulan berkenaan membuat liputan dari Tripoli sejak beberapa hari lalu.

Menurut sumber berkenaan, pihak berkuasa Libya akan dipertanggungjawabkan berhubung keselamatan wartawan terbabit dan usaha untuk mendapatkan pembebasan mereka sudahpun dilakukan.

Lotfi ialah warga Tunisia, Ahmed pula rakyat Mauritania sementara Ammar rakyat Norway.

Rabu lalu, wartawan Guardian, Ghaith Abdul-Ahad dibebaskan selepas hilang selama dua minggu.

Sunday, March 20, 2011

Rakyat Libya sedia tempuhi perang yang panjang


TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berkata seluruh rakyat Libya sudah dilengkapi senjata dan sedia untuk menempuh "peperangan yang panjang" bagi mengalahkan kuasa Barat yang menyerang negara mereka, katanya dalam mesej audio ditayangkan di televisyen negara itu, hari ini.
“Semua rakyat Libya bersatu padu. Lelaki dan wanita Libya telah diberikan senjata dan bom... anda tidak akan mara, anda tidak akan bertapak di tanah ini,” kata Gaddafi.

“Kami menjanjikan peperangan yang panjang tanpa had dan batasan. Kami bersedia untuk perang yang panjang. Anda tidak bersedia untuk perang yang panjang di Libya. Kami telah bersedia. Ini adalah saat manis dalam hidup kami,” kata pemimpin Libya yang berucap di televisyen rasmi kerajaan tanpa muncul di depan kamera.

Pemimpin Britain, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) "akan tumbang seperti Hitler ... Mussolini,” amaran beliau.

“Semua pemimpin kejam akan rebah dengan desakan khalayak populis.

“Amerika, Perancis atau Britain, Kristian yang bersekutu menentang kita hari ini, mereka tidak akan dapat menjamah tanah air kita... Kamu penyerang, kamu adalah binatang,” kata Gaddafi.

“Kami tidak akan berundur dari medan perang kerana kami mempertahankan tanah air kami dan maruah kami,” kata orang kuat Libya yang sebelum ini sedang menempuh penentangan bersenjata di bahagian Timur negara itu.

AS, Britain dan Perancis menghujani Libya dengan peluru berpandu dari udara dan laut sepanjang malam tadi (Sabtu) dalam tindakan pelbagai negara ke atas tentera Gaddafi yang melanggar keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan negara itu sebagai zon larangan terbang.
Menurut media Libya, pesawat perang Barat mengebom sasaran awam di Tripoli, mengakibatkan kematian.

Jurucakap tentera berkata, serangan juga terkena tangki minyak puak pemberontak yang menguasai bandar Misrata di Timur Tripoli. - AFP

Wednesday, March 2, 2011

Kapal perang AS menuju ke Libya

Utusan Malaysia Online - Terkini: "

02/03/2011 2:56am

WASHINGTON 2 Mac – Kapal perang Amerika Syarikat (AS), USS Kearsarge membawa beratus-ratus anggota Marin menuju ke Libya semalam ketika AS dan sekutunya Eropah meningkatkan tekanan ke atas pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi.

Kapal perang amfibia yang turut diiringi oleh dua lagi kapal tentera laut itu dijangka melalui Terusan Suez tidak lama lagi dari Laut Merah, menurut dua pegawai yang enggan dikenali.

USS Kearsarge yang membawa 800 anggota Marin dan mempunyai armada helikopter serta kemudahan perubatan boleh membatu usaha kemanusiaan selain operasi tentera. – AFP"

Thursday, December 30, 2010

Wanita berambut perang lebih berjaya dalam hidup



LONDON 29 Dis. - Wanita berambut perang sering dianggap bodoh, tetapi golongan itu juga didapati lebih berjaya dalam hidup apabila memperoleh pendapatan tahunan lebih 600 pound (RM2,861) berbanding wanita berambut gelap dan merah.
Satu kajian oleh syarikat kecantikan Britain, Superdrug mendapati wanita berambut perang memperoleh purata pendapatan 23,150 pound (RM110,313) setahun, berbanding 22,586 pound (RM107,627) yang dibawa pulang wanita berambut perang dan 22,327 pound (RM106,383) oleh wanita berambut merah.
Kajian melibatkan 3,000 wanita profesional itu juga menunjukkan majoriti pekerja wanita berambut perang merasakan mereka tidak dipandang serius di tempat kerja, walaupun menerima gaji lebih tinggi.
Wanita berambut perang pula lebih mendapat perhatian di tempat kerja apabila lapan daripada 10 responden mendakwa mereka merasakan diri lebih bernilai semasa bekerja.
"Kajian ini membuktikan kita tidak boleh menilai seseorang berdasarkan paras rupa mereka dan kita juga tidak boleh membuat sebarang kesimpulan mengikut penampilan seseorang.
"Wanita berambut perang mungkin dikenali sebagai kurang matang dan liar, tetapi kajian ini menunjukkan mereka memperoleh pendapatan yang lebih tinggi," kata Pengarah Kelengkapan Dandanan Diri Superdrug, Simon Comins.
Menurut kajian, wanita berambut merah lebih gemar bertukar-tukar kerja bagi mendapatkan pendapatan serta kedudukan yang lebih baik, berbanding wanita berambut gelap yang memilih untuk kekal lebih lama di sesebuah syarikat bagi mendapat kenaikan pangkat.
Wanita berambut perang pula didapati lebih menitikberatkan hubungan baik dengan pelanggan dan mahu sentiasa didampingi teman di tempat kerja.
Kajian itu mendapati wanita berambut perang gemar dipuji oleh rakan sekerja atas usaha mereka berbanding wanita berambut gelap dan merah yang tidak memerlukan penghargaan daripada orang sekeliling. - Agensi
-utusan

Monday, November 29, 2010

AS-Korea Selatan mula latihan




GAMBAR menunjukkan kapal USS George Washington pada 21 Julai lalu di Busan, Korea Selatan.


PULAU YEONPYEONG, Korea Selatan - Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan memulakan latihan peperangan bersama semalam.
Latihan itu diadakan semasa pemerintah China mendesak supaya satu rundingan tergempar diadakan berhubung krisis bedilan meriam sebanyak 170 kali oleh tentera Korea Utara ke pulau ini pada minggu lalu.
Semalam, penduduk yang tinggal di Pulau Yeonpyeong, digegarkan dengan bunyi bedilan meriam dan roket tentera Korea Utara.
Penduduk mendapatkan perlindungan di kubu bawah tanah selepas mendengar bunyi letupan yang datangnya dari tanah besar Korea Utara apabila tenteranya melakukan latihan peperangan.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan turut mendesak supaya ratusan wartawan meninggalkan pulau ini.
Menurut kementerian itu, Korea Utara mungkin menggunakan alasan latihan peperangan antara AS dengan Korea Selatan untuk melancarkan satu serangan.
Latihan peperangan Korea Selatan itu disertai oleh kapal pengangkut pesawat milik AS, USS George Washington berkuasa nuklear.
Penghantaran kapal itu dilakukan sebagai satu mesej kuat untuk menghalang serangan tentera Korea Utara.
Namun, kehadiran kapal pengangkut AS itu mendapat kritikan daripada China.
Kapal USS George Washington itu boleh membawa 85 pesawat dan 6,250 anak kapal.
Latihan ketenteraan Korea Selatan dengan AS yang melibatkan 11 buah kapal itu diumumkan pada Mac lalu selepas satu siasatan mendapati terdapat bukti bahawa sebuah torpedo tentera Korea Utara menenggelamkan sebuah kapal perang milik Korea Selatan.
Dalam insiden kapal perang Korea Selatan karam itu, seramai 46 anggota tentera maut.
Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak dalam satu mesyuarat dengan wakil China, Dai Bingguo di Seoul mendesak China mengambil langkah yang adil dan bertanggungjawab dalam isu hubungan negara itu dengan Korea Selatan serta Korea Utara.
Myung-Bak menyatakan, Korea Selatan sudah mengambil sikap bertolak ansur ekoran tindakan provokasi Korea Utara sejak Perang Korea berlaku pada 1950 hingga 1953.
Menurutnya, Korea Selatan akan bertindak dengan tegas jika Korea Utara melakukan provokasi. – Agensi

Sunday, November 28, 2010

AS lancar 'permainan perang'

SEOUL: Angkatan tentera laut Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan merancang untuk melancarkan ‘permainan perang’ empat hari mulai hari ini berikutan ketegangan yang tercetus di Semenanjung Korea, beberapa hari selepas Korea Utara menyerang wilayah diKorea Selatan itu.
AS menghantar kapal pengangkut pesawat pejuang yang dilengkapi senjata nuklear iaitu USS George Washington disertai kapal perang dan pemusnah milik Korea Selatan. USS George Washington berlepas dari pelabuhan Jepun Rabu lalu, sehari selepas Korea Utara menggemparkan dunia apabila menyerang pulau di Korea Selatan hingga mengorbankan dua anggota marin dan dua orang awam. China yang menjadi sekutu Korea Utara tidak memberi sebarang ulasan mengenai tindakan Pyongyang itu, bagaimanapun, menentang tindakan AS membabitkan diri dengan isu ketegangan yang berlaku di dua negara Korea terbabit. Pentagon berkata, penghantaran kapal USS George Washington di perairan antarabangsa bertujuan sebagai pertahanan dan sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu sebelum serangan Korea Utara itu. Kapal berkenaan turut melakukan operasi sama pada Oktober 2009 di perairan barat Semenanjung Korea. Berita agensi Yonhap memetik kenyataan pegawai tentera Korea Selatan sebagai berkata: “Latihan ketenteraan ini akan menjadi lebih hebat daripada dirancang. Tentera dari kedua-dua negara akan melakukan latihan pengeboman dan tembakan.” Pyongyang mendakwa serangan yang dibuat Selasa lalu sebagai tindak balas terhadap tembakan yang dimulakan Korea Selatan dan memberi amaran permainan perang di semenanjung itu bermakna ‘ia semakin hampir dengan peperangan sebenar’. - AFP