Ketiga-tiga individu yang ditahan reman ialah Ketua pemuda DAP, Teo Kok Seong, aktivis mahasiswa propembangkang, Adam Adli Abd. Halim dan Sekretariat Perhimpunan, Mandeep Singh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mereka ditahan reman kira-kira pukul 11 pagi ini mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan.
“Kok Seong akan direman satu hari sahaja manakala Mandeep dan Adam Adli akan direman bermula hari ini sehingga Selasa ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelana Jaya, Saifullah Zulkifli turut ditahan sejurus selepas perhimpunan itu dan dibebaskan tidak lama kemudian dengan jaminan polis.
Turut ditahan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Rafizi Ramli dan ahli majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fariz Musa berhubung isu perhimpunan itu.
Selain itu, Bendahari Pemuda Pas, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar turut ditahan Rabu lalu selepas didapati menyertai perhimpunan bagi menyokong pembebasan Anwar.