Wednesday, March 26, 2014

Kassim ditahan atas dakwaan hina Islam, langgar fatwa

KULIM: Bekas aktivis politik dan sosial Kassim Ahmad yang mencetuskan kontroversi berhubung kenyataan berunsur anti-hadis baru-baru ini, ditahan penguat kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di rumahnya di Taman Kulim Perdana, Kelab Golf Kulim di sini tengah hari tadi.
  
Kassim ditahan sepasukan 10 pegawai penguat kuasa Jakim yang diketuai pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Anuar Salehuddin Mat Saad, dengan bantuan polis dan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Kulim pukul 12.30 tengah hari.
  
Di Kuala Lumpur, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Paimuzi Yahya ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan Kassim.
  
Katanya Kassim akan didakwa di Mahkamah Syariah Putrajaya esok atas dua kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.
  
Beliau berkata dua kesalahan itu ialah menghina agama Islam dan melanggar fatwa.
  
"Kesalahan pertama, Dr Kassim akan didakwa mengikut Seksyen 7 Akta Jenayah Syariah kerana menghina Agama Islam.
  
"Kesalahan kedua mengikut Seksyen 9 akta yang sama kerana melanggar fatwa ataupun arahan pihak berkuasa agama," katanya.
  
Kassim mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Islam sebenar di negara ini telah diseleweng dan menyamakan sistem ulama dengan kasta paderi dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian pada 15 dan 16 Februari di Putrajaya baru-baru ini.
  
Pada seminar itu, Kassim dilaporkan turut menyinggung perasaan umat Islam apabila mendakwa masyarakat kini melakukan beberapa kesalahan seperti mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW dengan ungkapan syahadah serta menyatakan bahawa rambut bukanlah aurat bagi wanita. - Bernama

Tolak kunjungan, PAS anggap duta Mesir angkuh

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan pihak Kedutaan Mesir sebagai angkuh apabila enggan menerima kunjungan secara baik beberapa ahli parlimen mereka ke bangunan kedutaan itu hari ini.

Kunjungan jam 11.30 pagi tadi itu disertai Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus), Nasrudin Hassan (Temerloh) dan Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz (Pasir Mas).

Ianya bagi menyatakan rasa kecewa PAS terhadap keputusan mahkamah Minya yang menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 ahli Ikhwan Muslimin termasuk Mursyidul Amnya Dr Mohamad Badie.

Kedatangan mereka bagaimanapun tidak dilayan malah pihak kedutaan hanya menghantar pengawal keselamatan untuk menerima memorandum yang diserah di pagar.

"Apa yang berlaku hari ini menunjukkan bentuk sikap regim di Mesir.

"Ini indikator yang kita dapat lihat," kata Idris pada sidang media di Parlimen hari ini.

Mengulas hukuman mati yang disifatkan bermotif politik itu, beliau berkata, perkara itu seharusnya tidak berlaku di zaman moden ini lebih-lebih lagi dengan jumlah besar sedemikian.

Sementara itu, Nasrudin pula menjelaskan, hukuman yang dikenakan kepada pepimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin tersebut sebagai episod malang dalam sejarah Mesir.

"Ini lebih kejam dari regim Hosni Mubarak.

"Kalau kita bersedih dengan MH370 melibatkan 239 hilang, (529) ini jumlah yang lebih besar.

"Ini perlu dilihat isu bersama, isu kemanusiaan dan keadilan," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua masyarakat prihatin untuk menyertai himpunan aman di hadapan Kedutaan Mesir, Jumaat ini.

MH370: Keluarga berhimpun di kedutaan Malaysia

MH370: Keluarga berhimpun di kedutaan Malaysia
 Foto EPA 
25 Mac 2014BEIJING - CHINA. Kira-Kira 200 anggota keluarga 154 penumpang warga China dalam pesawat MH370 hari ini berarak dengan membawa sepanduk di depan Kedutaan Besar Malaysia di sini bagi melahirkan kekecewaan mereka berkaitan berita tentang nasib pesawat itu yang diterima semalam.
 
Mereka memakai kemeja T putih yang tertera ayat 'Pray for MH370',melaungkan "pulangkan semula keluarga saya" ketika berarak ke arah kedutaan itu.
 
Pada mulanya, tunjuk perasaan itu berlangsung secara aman namun bertukar menjadi tidak terkawal apabila mereka dihalang memasuki premis berkenaan oleh anggota keselamatan yang berkawal di depan kedutaan berkenaan.
 
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa data yang dikeluarkan satelit milik British iaitu Inmarsat merumuskan bahawa penerbangan pesawat Boeing 777-200ER milik MAS itu berakhir di selatan Lautan Hindi.
 
"Justeru itu dengan perasaan sedih dan kesal yang amat sangat, saya perlu memaklumkan anda bahawa menurut data baharu ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata syarikat itu akan menguruskan untuk membawa anggota keluarga penumpang ke kawasan penemuan pesawat berkenaan, jika mereka ingin berbuat demikian, selepas menerima kebenaran daripada pihak berkuasa yang melakukan siasatan.
 
Beliau berkata MAS akan terus membantu keluarga terbabit dengan program khidmat sokongan komprehensif menerusi sekumpulan 700 petugas yang dedikasi dengan dua orang bagi setiap keluarga penumpang dan anak kapal MH370.
 
"Ketika ini kami menyediakan khidmat sokongan kepada lebih 900 orang di bawah program ini dan sejak 72 jam lepas, kami telahpun melatih 40 petugas tambahan bagi memastikan keluarga terbabit mempunyai akses kepada khidmat sokongan 24 jam sehari," katanya.
 
MAS telahpun menyediakan bantuan kewangan permulaan sebanyak US$5,000 bagi setiap penumpang kepada waris terdekat dan sedia menawarkan bantuan tambahan jika pencarian diteruskan. - Bernama

Google pula disekat

Google pula disekat
 Penduduk membantah sekatan akses Twitter di negara itu. 
26 Mac 2014ANKARA - TURKI. Turki kini menyekat perkhidmatan enjin carian Google selepas akses Twitter  yang didakwa menjadi medium untuk menyebarkan pautan berhubung rakaman skandal rasuah melibatkan pegawai kerajaan disekat, minggu lalu.

Difahamkan, kerajaan menyekat Sistem Nama Domain Google (DNS) selepas komuniti Twitter tempatan mula menggunakan perkhidmatan tersebut untuk memasuki laman blog mikro terbabit.

Pada 20 Mac lalu. akses Twitter  disekat selepas Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan memberi amaran akan menghapuskan rangkaian sosial itu yang turut mendedahkan rakaman intipan perbualan telefon palsu seperti yang tersebar di internet.

Media tempatan melaporkan, jumlah tweet telah meningkat sehingga 138 peratus sejak perkhidmatan terbabit diharamkan.

Data INMARSAT petunjuk utama


KUALA LUMPUR: Susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengesahkan penerbangan MH370 berakhir di tengah Selatan Lautan Hindi, tumpuan kini beralih kepada data satelit INMARSAT yang digunakan untuk mengesan laluan penerbangan pesawat berkenaan.
Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kaedah yang digunakan adalah rumit dan yang pertama kali untuk siasatan insiden seumpama ini.
Selain itu operasi mencari dan menyelamat di Koridor Selatan yang ditangguhkan hari ini berikutan faktor cuaca akan disambung semula secepat mungkin.

Berikut sesi soal jawab media dan Hishammuddin pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Turut sama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Foto

Soalan: Kenapa baru 12 Mac, kerajaan Malaysia mengumumkan pesawat itu hilang di Lautan Hindi dan di mana anda mendapat bukti?
Azharuddin: Kami dapat maklumat daripada satelit dan INMARSAT. Kemudian kami perlu lakukan banyak analisis sebelum membuat pendedahan.

Soalan: Bolehkah berikan data terperinci mengenai paten pesawat, ketinggian dan lain-lain perkara?
Hishammuddin: Segala data terperinci akan kami agihkan kepada media kemudian. Jika selepas ini kamu ada soalan berkenaan data tersebut, sila e-mel kepada kami dan kami akan menjawab pada keesokan hari.

Soalan: Adakah bukti baru berkenaan pesawat terbabit terhempas di Laut Hindi?
Hishammuddin: Kami telah berbincang dengan pakar-pakar tetapi semua persoalan itu cuma boleh dijawab bila kita jumpa kotak hitam. Kita tidak akan mendedahkan penemuan baru kerana akan mengganggu siasatan yang sedang berjalan.

Soalan: Ramai ahli keluarga penumpang mahu bukti kukuh?
Hishammuddin: Saya tahu perkara terbabit. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberitahu mereka tanpa kita telah pastikan bahawa serpihan pesawat terbabit adalah serpihan pesawat MH370. Bagaimanapun, saya optimis dan kita akan buat sedaya upaya.

Soalan: Kenapa sehingga hari ini masih belum ada bukti kukuh penumpang telah meninggal dunia dan apakah bentuk insurans disediakan oleh MAS?
Hishamuddin: Kedudukan pesawat terakhir, saya panggil lokasi am di tengah laut Hindi. Pesawat terbabit membawa minyak yang minimum dan tiada bukti pendaratan di darat. Jadi, kita boleh merumuskan bahawa pesawat terbabit jatuh di dalam air dalam tempoh 17 ke 18 hari dan adalah sukar untuk penumpang selamat dalam tempoh itu. Selain itu, kami juga sedang bekerja keras bagi menyediakan bantuan kewangan sewajarnya bagi mengurangkan beban keluarga penumpang.

Soalan: Bagaimana siasatan terkini simulator?
Khalid: Siasatan terhadap simulator masih lagi dijalankan dan tunggu laporan daripada rakan kita dari luar negara

Soalan: Adakah Malaysia masih akan mengetuai pasukan penyiasat utama?
Hishammuddin: Kita akan memastikan koordinasi kesemua 26 negara lain di dalam misi pencarian dan menyelamat. Malaysia akan merangka pelan untuk menjadi negara yang mengetuai.

Soalan: Sekiranya negara lain menarik diri, adakah Malaysia akan tetap meneruskan misi?
Hishammuddin: Tetap dan kita akan teruskan setelah mengambil inspirasi daripada kegigihan pasukan penyelamat Perancis sewaktu tragedi Air France selama dua tahun. Mereka juga berkongsi maklumat dengan kita.

Soalan: Apakah yang akan dibuat untuk menenangkan keluarga penumpang di China berikutan dakwaan mereka kerajaan Malaysia tidak menyalurkan maklumat tepat?
Hishammuddin: Kita akan sentiasa telus. Kita konsisten dalam pendirian kita. Apa jua spekulasi di luar sana dan apa jua tuduhan dilontar kepada kita, kita tidak akan berganjak daripada fokus utama iaitu mencari pesawat berkenaan. 

Soalan: Adakah betul seperti yang anda beritahu di Parlimen yang kerajaan akan menubuhkan suruhanjaya siasatan khas?
Hishammuddin: Itu tidak betul kerana, itu hanya cadangan di Parlimen dan saya tidak boleh membuat keputusan sendiri. Tetapi apa yang saya boleh beritahu ialah Angkatan Tentera Malaysia sedang mengendalikan siasatan mereka sendiri. Bagaimanapun, saya akan mengusulkan suruhanjaya siasatan diraja ini pada mesyuarat Kabinet nanti.

Soalan: Adakah serpihan pesawat akan dibawa ke Australia jika ditemui?
Hishammuddin: Saya tidak boleh memberi jawapan sekarang sama ada serpihan akan dibawa ke Australia. Saya akan memberi jawapan kemudian.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Ulama sokong kasi penjenayah seks


Riyadh: Seorang ulama Arab Saudi semalam menyuarakan sokongannya terhadap hukuman mengembiri menggunakan bahan kimia untuk menghalang masalah gangguan atau jenayah berkaitan seks.

Bekas dekan Kolej Sharia di Universiti Imam, Saud Abdullah Al Fanisan mengakui hukuman itu diharamkan Nabi Mohammad (SAW).


“Namun jika ada bahan kimia yang mampu menghalang pesalah hilang minat terhadap seks, saya percaya ia patut dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, walaupun wujud pelbagai undang-undang membabitkan jenayah seks di seluruh dunia, ia bukan penyelesaian jangka panjang bagi isu berkenaan.


Dia bagaimanapun tidak menyatakan sama ada hukuman sedemikian perlu bersifat jangka panjang atau pendek.


Pengembirian kimia menggunakan suntikan atau pil boleh menghapuskan minat terhadap seks dan menjadikan seseorang tidak dapat melakukan hubungan seks.

Mengikut laporan, proses ini mengurangkan testosteron sehingga tahap terlalu rendah namun proses ini boleh dibalikkan apabila tidak lagi diberikan dadah berkenaan.

Hukuman itu diperkenalkan di California, Amerika Syarikat pada 1996 diikuti lapan lagi negeri bagi pesalah seks yang bakal dibebaskan daripada penjara dan masuk semula ke dalam masyarakat.

Korea Selatan pada Mei 2012 juga memperkenalkan kaedah itu sebagai hukuman bagi pesalah seks membabitkan mangsa kanak-kanak berusia kurang 15 tahun. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Ukraine pecat menteri pertahanan


Kehilangan Crimea kepada Russia, walaupun tidak diiktiraf oleh Barat, memberi tamparan hebat dari segi psikologi kepada ramai penduduk Ukraine yang sejak puluhan tahun lalu berdepan dengan kegiatan rasuah pemimpin mereka serta masalah ekonomi. 
Pemimpin tentera Ukraine di Crimea mengadu keliru dengan keputusan pegawai kanan tentera di Kiev sejak Presiden Russia Vladmir Putin mengumumkan hak untuk menggunakan kekerasan terhadap negara jirannya sebagai reaksi kepada kejatuhan rejim pro-Kremlin di Kiev bulan lalu.
Kira-kira 228 daripada 450 anggota Parlimen menyokong pemecatan Igor Tenyukh selepas pemangku menteri pertahanan itu mengemukakan peletakan jawatannya dalam ucapan penuh emosi yang disiarkan di seluruh negara menerusi televisyen. 
“Tindakan saya di Crimea telah menyebabkan beberapa pihak tidak berpuas hati. Saya tidak bercadang mempertahankan jawatan ini. Saya ada maruah,” kata Tenyukh dalam satu kenyataan. 
Anggota Parlimen kemudian mengundi melantik Leftenan Jeneral Mykhailo Koval selaku pemangku menteri pertahanan baru selepas namanya dicadangkan oleh presiden sementara Oleksandr Turchynov.
Foto
TENTERA Ukraine berkawal di sempadan dengan Crimea, semalam.
Koval menjadi tajuk berita awal bulan ini apabila diculik seketika oleh anggota militia pro-Kremlin berhampiran pangkalan tenteranya di Pelabuhan Yalta, Crimea. 
Sidang semalam turut memberi peluang kepada anggota Parlimen menyuarakan kekecewaan mereka mengenai cara anggota kerajaan sementara menjalankan tugas mereka sejak mula berkuasa.- AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/26

Berlumba cari kotak hitam



KRU HMAS Success menggunakan lampu limpah untuk mengesan serpihan dipercayai ada kaitan dengan pesawat MH370 di Lautan Hindi malam semalam.


CANBERRA, Australia - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kini kesuntukan masa untuk mencari kunci utama bagi menyelesaikan misteri tragedi pesawat MH370 terhempas di Lautan Hindi iaitu kotak hitam pesawat tersebut.
Dengan masa yang semakin suntuk, pasukan SAR kini bertungkus-lumus mencari kotak hitam pesawat sebelum kuasa baterinya menjadi semakin berkurangan selepas tempoh 30 hari.
Mengikut undang-undang yang ditetapkan, kotak hitam sesebuah pesawat perlu mempunyai keupayaan untuk menghantar isyarat selama 30 hari selepas ia diaktifkan.
Tetapi pakar berpendapat, mereka boleh terus menerima isyarat dari kotak hitam itu untuk tempoh 15 hari atau lebih, bergantung kepada kekuatan bateri pada masa kemalangan itu.
"Kami perlu mengharapkan tuah. Ia seperti satu perlumbaan untuk sampai ke lokasi dalam masa ditetapkan bagi mengesan isyarat daripada kotak hitam selagi ia masih berfungsi," kata John Goglia, seorang bekas anggota Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat (AS).
Untuk mengesan isyarat tersebut, SAR akan menggunakan alat pendengaran berteknologi tinggi yang dipinjamkan oleh Tentera Laut AS iaitu Towed Pinger Locator.
Ia merupakan sebuah silinder mikrofon sepanjang 30 inci yang ditarik perlahan-lahan dalam paten grid di belakang kapal komersial.

TOWED Pinger Locator merupakan salah sebuah alat yang digunakan untuk mengesan kotak hitam MH370.


Ia dipasang bersama kabel sepanjang kira-kira 6,500 meter dan dikawal melalui alat pembawa berbentuk tiga segi dan berwarna kuning.
Ia kelihatan seperti ikan pari dan dilengkapi peralatan pengesanan akustik yang juga akan berfungsi mengesan isyarat ping.
Situasi ini sama seperti operasi mengesan bangkai pesawat Air France 447 yang terhempas di Lautan Atlantik pada tahun 2009 yang membabitkan kos lebih daripada AS$40 juta (kira-kira RM120 juta).
Misi mencari pesawat tersebut memakan masa hampir dua tahun sebelum pesawat dan kotak hitam pesawat itu ditemui.
Sementara itu di Kuala Lumpur, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan Towed Pinger Locator yang dibawa dari Amerika Syarikat dijangka tiba hari ini di Perth, Australia.
Beliau berkata, alat itu akan dipasang pada kapal milik tentera laut Australia, Ocean Shield yang akan berlabuh di Perth pada 28 Mac ini.
"Kapal Ocean Shield itu pula akan menuju ke kawasan pencarian dan dijangka tiba pada 5 April depan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2x1E716VP 
Hakcipta terpelihara 

Kekasih penumpang MH370 enggan terima berita kematian



BAJC dan kekasihnya, Woods.


NEW YORK - Seorang teman wanita seorang penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), Phillip Woods menyatakan dia enggan menerima berita kematian kekasihnya, lapor akhbar New York Daily News kelmarin.
"Saya hanya akan menerima realiti Woods sudah tiada apabila bangkai pesawat hilang ini ditemui," kata wanita berkenaan, Sarah Bajc.
"Saya memerlukan sesuatu yang konkrit untuk menutup episod sedih ini (kehilangan MH370)," tambah Bajc yang bekerja sebagai seorang guru perniagaan di China.
Menurut wanita tersebut, Woods menaiki penerbangan menuju ke Beijing itu pada 8 Mac lalu untuk membantunya berpindah.
"Malangnya, misi kami tidak kesampaian," kata Bajc.
"Kini keluarga Woods dan saya memerlukan masa untuk berkabung," tambahnya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2x1DdaTzd 
Hakcipta terpelihara 

Inmarsat guna kaedah fizik kesan MH370


PEJABAT firma Inmarsat di London, England.


LONDON - Firma rangkaian satelit Britain, Inmarsat menggunakan fenomena gelombang yang ditemui pada kurun ke-19 untuk menganalisis tujuh bunyi denyut elektronik atau 'ping' yang diterima satelitnya dari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menentukan destinasi akhir pesawat berkenaan di lokasi terpencil di selatan Lautan Hindi.
Penemuan baharu itu mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merumuskan kelmarin bahawa pesawat Boeing 777-200ER tersebut yang hilang sejak 8 Mac lalu terhempas di selatan Lautan Hindi dengan semua 227 penumpang dan 12 krunya terbunuh.
Kapal terbang itu dilengkapi sistem satelit Aero Klasik yang mengumpulkan maklumat seperti lokasi, ketinggian, arah dan kelajuan sebelum menghantar maklumat tersebut melalui rangkaian satelit Inmarsat ke pangkalan data firma berkenaan.
Sistem satelit itu dikenali sebagai Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS).
Namun, ACARS pesawat MH370 itu dimatikan atau tergendala pada awal penerbangan yang menyebabkan tiada maklumat yang diterima untuk mengesan kapal terbang tersebut.
Pesawat itu didapati masih menghantar bunyi 'ping' pada setiap jam yang diterima satelit Inmarsat.
Sekurang-kurangnya 'ping' itu dihantar lima jam selepas ia meninggalkan ruang udara Malaysia.
Bunyi 'ping' yang dihantar selepas semua sistem telekomunikasi pesawat terhenti menunjukkan kapal terbang Boeing itu terus terbang selama beberapa jam selepas ia hilang selepas melencong dari laluan penerbangannya ketika ia perlu memberitahu menara kawalan Vietnam.

JURUTERA penerbangan, Pegawai Waran, Michael Makin (kanan) duduk di dek penerbangan pesawat AP-3C semasa mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi semalam.


Pesawat dari Kuala Lumpur sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada 8 Mac lalu.
Namun, bunyi 'ping' tersebut tidak mengandungi sebarang data tetapi hanya masa dan frekuensinya terkandung petunjuk-petunjuk matematik yang tersembunyi.
Pakar-pakar Amerika Syarikat dan Australia menggunakan maklumat frekuensi itu untuk memutuskan bahawa pesawat itu hilang di Koridor Selatan iaitu di Lautan Hindi dan bukan di Koridor Utara di Asia Tengah.
Maklumat tersebut turut menunjukkan bahawa pesawat itu bergerak pada ketinggian tetap melebihi 9,000 meter.
"Ia seperti menembak di dalam kegelapan (misi mencari lokasi akhir MH370).
"Saya memuji pasukan saintis yang dapat melakukan pengiraan tersebut," kata Timbalan Presiden Kanan Hal Ehwal Luar Inmarsat, Chris McLaughlin dalam wawancara bersama Perbadanan Penyiaran British (BBC).
"Hanya satu 'ping' digunakan untuk menyatakan bahawa pesawat itu masih terbang. Kami kemudian membandingkan MH370 dengan penerbangan Boeing 777-200 lain untuk merumuskan bahawa ia menuju ke selatan Lautan Hindi," katanya.

GAMBAR yang dirakamkan dari pesawat AP-3C milik Tentera Udara Diraja Australia menunjukkan lokasi pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi kelmarin.


Menurut McLaughlin, berdasarkan masa yang diambil untuk isyarat 'ping' itu sampai ke satelit Inmarsat dan sudut penerbangan MH370, pihak Inmarsat kemudian memberikan dua laluan iaitu berpotensi MH370 iaitu Koridor Utara dan Koridor Selatan.
"Kami menggunakan kesan Doppler yang merupakan perubahan frekuensi disebabkan pergerakan sebuah satelit di orbit (untuk mengesan lokasi MH370)," tambahnya.
"Kami juga tidak mengetahui sama ada pesawat itu terbang pada kelajuan yang konsisten. Kami juga tidak mengetahui sama ada arahnya kemudian berubah," jelasnya.
Justeru, katanya, kami menggunakan kelajuan sistem pengesan penerbangan pandu automatik iaitu pada kira-kira 350 knot.
"Kami menggunakan apa yang kami tahu mengenai minyak dan jarak pesawat itu untuk dipadankan dengan maklumat 'ping' yang kita peroleh," tambahnya.
Saintis-saintis Inmarsat kemudian memeriksa isyarat 'ping' itu menggunakan teknik berdasarkan hukum fizik yang dikenali sebagai Efek Doppler yang ditemui pada kurun ke-19.
Efek Doppler pernah merungkaikan punca bunyi siren kereta polis berubah apabila ia menghampiri dan melintasi seseorang individu.
"Ia mengenai perubahan gelombang frekuensi MH370 dan kaitannya dengan satelit Inmarsat," kata seorang jurucakap firma berkenaan.
"Kami kemudian menganalisis data itu dan mendapati ia melalui laluan selatan," kata ketua komunikasi korporat Inmarsat, Jonathan Sinnatt. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2x1DMD36a 
Hakcipta terpelihara 

Operasi mencari MH370 ditangguh



DUA pesawat Ilyushin Il-76 milik Tentera Udara China yang digunakan dalam misi mencari MH370 berada di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Perth semalam.


CANBERRA - Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, pencarian pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu ditangguhkan sementara waktu semalam disebabkan cuaca buruk di selatan Lautan Hindi.
Angin kencang dan hujan menyebabkan beberapa buah kapal terbang yang terlibat dalam misi mencari tidak boleh terbang dengan selamat.
Menurut AMSA, pihaknya telah melakukan satu penilaian mengenai risiko pencarian dalam keadaan cuaca buruk.
"Keadaan cuaca sekarang akan menyebabkan aktiviti pencarian udara dan laut berbahaya dan akan mendatangkan risiko kepada anak-anak kapal.
"Justeru, kami telah menangguhkan kesemua pencarian udara dan laut semalam kerana keadaan cuaca buruk," kata AMSA dalam satu kenyataan.
Pesawat berkenaan yang terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada 8 Mac lalu.
Ia membawa 239 orang manakala 153 orang merupakan warga China.
Misi mencari pesawat itu dilakukan di kawasan lebih 2,000 kilometer dari Perth, Australia.
Kelmarin, agensi berita Xinhua memetik seorang wartawan yang berada dalam pesawat jenis Ilyushin-76 melaporkan bahawa dua objek besar yang terapung bersama sejumlah objek lebih kecil dilihat bertaburan dalam lingkungan beberapa kilometer.
"Objek-objek tersebut berwarna putih dan berbentuk segi empat," lapor agensi berita Xinhua.
Namun, sebuah pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat gagal mengesan objek tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2x1Cwxsyi 
Hakcipta terpelihara 

Presiden China hantar utusan khas


BEIJING - Presiden China, Xi Jinping akan menghantar seorang utusan khas ke Kuala Lumpur untuk berunding dengan kerajaan Malaysia berhubung kehilangan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia, lapor agensi berita Xinhua semalam.
Jinping akan menghantar Timbalan Menteri Luar, Zhang Yesui bagi menguruskan isu berkaitan dengan pesawat tersebut.
Dalam satu kenyataan berasingan, Perdana Menteri China, Li Keqiang berkata, negaranya akan meminta Malaysia memberi maklumat lebih lanjut dan tepat berhubung kehilangan pesawat Boeing 777-200ER miliknya.
Menurut Keqiang, tugas paling penting pada masa ini adalah untuk mencari pesawat yang hilang itu.
Pada masa yang sama, beliau menyuarakan rasa simpati kepada waris para penumpang warga China yang berada di dalam pesawat tersebut.
Kerajaan China turut menuntut Malaysia menyerahkan data satelit yang digunakan untuk merumuskan bahawa penerbangan MH370 itu terhempas di selatan Lautan Hindi.
- Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2x1CiHRSF 
Hakcipta terpelihara