Sunday, March 20, 2011

Kris Dayanti, Raul bernikah hari ini


MAJLIS pernikahan artis Indonesia, Kris Dayanti dan Raul Lemos di Masjid Sahid Nurul Iman, Hotel Grand Sahid Jaya dekat Jakarta, hari ini. - Foto BERNAMA 



2011/03/20


JAKARTA: Diva Indonesia Kris Dayanti dan kekasihnya Raul 
Lemos menyempurnakan kisah percintaan mereka dengan ikatan pernikahan pada satu
majlis yang sederhana di Masjid Sahid Nurul Iman, Hotel Grand Sahid Jaya, Jalan Sudirman, Jakarta Pusat, hari ini. Mereka dinikahkan bapa Kris, Trenggono dengan disaksikan oleh bekas Naib
Presiden Indonesia, Tri Sutrisno yang mewakili Kris dan Arif Abdullah Saga, 
wakil Raul dan selepas akad nikah, pasangan pengantin baru itu terus mempamerkan 
kemesraan melalui kucupan bibir di hadapan para tetamu. 
Ini adalah pernikahan kedua bagi kedua-dua pasangan itu setelah rumah tangga 
mereka sebelum ini gagal. 
Kris adalah bekas isteri penyanyi dan komposer ternama Anang Hermansyah, 
manakala Raul, seorang usahawan dari Timor Leste pula gagal dalam rumah tangganya sebelum ini dengan Silvalay Noor Athalia atau mesra dengan panggilan 
Atha. 
Kisah percintaan Kris dan Raul diwarnai dengan pelbagai halangan kerana 
sebelum bercerai dengan Raul, Atha pernah melemparkan tuduhan bahawa Kris adalah 
perosak rumahtangganya, namun halangan itu berakhir setelah Raul sah bercerai 
dengan Atha pada 21 Dis tahun lalu. 
"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Harapan dan doa saya rumah tangga 
saya kali ini akan lebih rukun dan damai serta dirahmati Allah," kata Kris pada 
sidang akhbar bersama suaminya sejurus selepas majlis pernikahan. 
Pasangan mempelai itu juga menemui orang tua masing-masing untuk mendapatkan 
restu. Ibu Raul, Esmeralda yang kini menetap di Lisbon, Portugal turut hadir 
memberi restu kepada anak dan menantunya. 
Majlis pernikahan Kris dan Raul dihadiri kira-kira 100 orang yang terdiri 
daripada kaum keluarga serta rakan-rakan terdekat pasangan itu termasuk 
artis-artis popular Indonesia seperti Rossa, Iis Dahlia dan Desi Ratnasari. 
Majlis resepsi perkahwinan mereka dijadual di Hotel Mulia, Senayan, Jakarta, 
pada Jumaat ini, iaitu sehari selepas hari ulang tahun kelahiran Kris Dayanti.-- BERNAMA 

Rakyat Libya sedia tempuhi perang yang panjang


TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berkata seluruh rakyat Libya sudah dilengkapi senjata dan sedia untuk menempuh "peperangan yang panjang" bagi mengalahkan kuasa Barat yang menyerang negara mereka, katanya dalam mesej audio ditayangkan di televisyen negara itu, hari ini.
“Semua rakyat Libya bersatu padu. Lelaki dan wanita Libya telah diberikan senjata dan bom... anda tidak akan mara, anda tidak akan bertapak di tanah ini,” kata Gaddafi.

“Kami menjanjikan peperangan yang panjang tanpa had dan batasan. Kami bersedia untuk perang yang panjang. Anda tidak bersedia untuk perang yang panjang di Libya. Kami telah bersedia. Ini adalah saat manis dalam hidup kami,” kata pemimpin Libya yang berucap di televisyen rasmi kerajaan tanpa muncul di depan kamera.

Pemimpin Britain, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) "akan tumbang seperti Hitler ... Mussolini,” amaran beliau.

“Semua pemimpin kejam akan rebah dengan desakan khalayak populis.

“Amerika, Perancis atau Britain, Kristian yang bersekutu menentang kita hari ini, mereka tidak akan dapat menjamah tanah air kita... Kamu penyerang, kamu adalah binatang,” kata Gaddafi.

“Kami tidak akan berundur dari medan perang kerana kami mempertahankan tanah air kami dan maruah kami,” kata orang kuat Libya yang sebelum ini sedang menempuh penentangan bersenjata di bahagian Timur negara itu.

AS, Britain dan Perancis menghujani Libya dengan peluru berpandu dari udara dan laut sepanjang malam tadi (Sabtu) dalam tindakan pelbagai negara ke atas tentera Gaddafi yang melanggar keputusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan negara itu sebagai zon larangan terbang.
Menurut media Libya, pesawat perang Barat mengebom sasaran awam di Tripoli, mengakibatkan kematian.

Jurucakap tentera berkata, serangan juga terkena tangki minyak puak pemberontak yang menguasai bandar Misrata di Timur Tripoli. - AFP

Libya diserang


Britain, Perancis Amerika syarikat (AS) hari ini, menghujani bumi Libya dengan peluru berpandu dari udara dan laut dalam Operation Ellamy' sebagai hukuman kerana tentera Muammar Gaddafi melanggar ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan zon larangan terbang di negara itu.
Pelbagai lokasi dilaporkan menjadi sasaran serangan dari kapal selam British dan kapal perang AS yang melancarkan peluru berpandu Tomahawk selain pesawat AS menggugurkan 40 bom di lapangan terbang Libya.
Sasaran pengeboman itu adalah pusat arahan dan kawalan, radar dan tapak pelancaran peluru berpandu darat ke udara.

Jet pejuang tentera udara Britain, Tornado GR4 turut menggempur pelbagai sasaran di Libya dengan peluru berpandu Storm Shadow yang boleh dilancarkan dari jarak 320 kilometer. - Agensi

Kabel rosak punca Internet lembap: Rais



 



AMPANG - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkat, laporan akibat gempa bumi yang berlaku di Jepun yang diterimanya menyatakan beberapa kabel Internet mengalami kerosakan.

“Mengikut laporan, kelajuan Internet antarabangsa turun dari lima hingga lapan peratus, gangguan Internet mungkin diperlahankan dalam segmen menerima isyarat dari luar negara. Kami memohon pengguna tidak cemas atau mengkritik keadaan itu di luar kawalan,” katanya ketika sidang media selepas perasmian Program Merakyatkan Seni Budaya ‘Sukan Rakyat 1Malaysia’ di Kampung Melayu Ampang, semalam.

Hadir sama, Penyelaras Parlimen Ampang, Datuk Ismail Kijo; Ketua Wanita UMNO Bahagian Ampang, Profesor Madya Dr Rozaidah Talib; Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Safarizul Mustafa dan Pemangku Ketua Puteri UMNO Bahagian Ampang, Salwa Yunus.

Dalam perkembangan lain, Rais Yatim berkata, lebih RM40 juta nilai kabel setiap tahun milik syarikat telekomunikasi dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami menyarankan Masyarakat yang mengetahui mengenai kecurian kabel segera melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Rancang timbus pasir henti krisis





TOKYO - Kerajaan Jepun merancang untuk menimbus reaktor nuklear panas Jepun itu dengan pasir atau konkrit untuk menghentikan krisis yang melanda negara itu tetapi pakar mengatakan ia terlalu awal untuk berbuat demikian, semalam.

Kerajaan Jepun merancang untuk menutup loji nuklear Fukushima Daiichi itu dengan pasir atau konkrit sebagai satu langkah kecemasan.

Namun, pakar berpendapat rancangan itu terlalu awal untuk dilakukan dan akan menjadi satu kesilapan besar serta boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.

Pegawai Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear Jepun, Hidehiko Nishiyama berkata, rancangan itu dipercayai bukan satu pilihan yang realistik.

"Memang benar kami akan membina tembok konkrit di kompleks loji nuklear itu suatu hari nanti tetapi bukan sekarang," katanya.

Sementara itu, pakar nuklear di Universiti Franciscan, Ohio, Alex Sich pula berpendapat membina tembok konkrit itu adalah satu risiko yang boleh mendatangkan bahaya kepada seluruh dunia.

Menurutnya, struktur yang menyekat bahan radioaktif akan rosak jika muatan berat dicampak ke atas mereka, menyebabkan jalan baru dibuka untuk bahan merbahaya itu keluar.

"Struktur reaktor di Jepun jauh berbeza. Ia dikelilingi beberapa penghalang yang direka khas untuk menyekat bahan radioaktif daripada teras reaktor.

"Jika muatan berat dicampakkan pada ketinggian ratusan meter menggunakan helikopter, ia boleh menyebabkan beberapa saluran dalaman retak dan mendedahkan teras reaktor itu," katanya.

Jepun cuba pulih kabel loji nuklear



TOKYO - Sekumpulan jurutera Jepun sedang bertungkus-lumus memulihkan kabel elektrik dengan harapan dapat mengembalikan tenaga kepada dua reaktor untuk menyalurkan air bagi mengekalkan tahap kedinginan, sekali gus mengelakkan kebocoran radiasi, semalam.

Lebih 20 pekerja loji itu dilaporkan cedera manakala lebih 20 penduduk sekitar Jepun terdedah kepada kesan radioaktif.

Bagaimanapun, kerja-kerja itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada helikopter melepaskan air laut dari udara ke atas loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi, yang terletak kira-kira 240 kilometer utara Tokyo.

Meskipun mereka berjaya menyambung semula tenaga elektrik itu namun belum ada kepastian sama ada pam tersebut boleh digunakan untuk menyalurkan air bagi mengekalkan tahap kedinginan reaktor memandangkan ia kemungkinan sudah rosak dalam bencana yang melanda negara itu.

”Kerja pembaikan belum menampakkan sebarang kemajuan setakat ini seperti yang diharapkan," kata seorang pegawai SyarikatBekalan Tenaga Elektrik Tokyo (Tepco).

Kerajaan arah periksa produk makanan



TOKYO - Kerajaan Jepun mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk mengesan makanan yang telah tercemar dengan bahan radioaktif selepas loji nuklear Fukushima Daiichi didakwa mengalami kebocoran radiasi, kelmarin.

Pegawai Kementerian Kesihatan melaporkan, tindakan mengehadkan kandungan radiasi pada penghasilan produk makanan tempatan itu adalah pertama kali dilakukan di negara tersebut.

Ia diselaraskan dengan program antibencana dan disediakan sebelumnya oleh suruhanjaya keselamatan kuasa atom kerajaan.

Had radiasi itu bergantung kepada jenis bahan makanan yang telah ditetapkan dalam rundingan antarabangsa dan diterima dalam pengambilan kuantiti makanan sederhana di Jepun.

Kebocoran radiasi di Jepun menyebabkan beberapa negara dirantau Asia bertegas untuk melakukan pemeriksaan terhadap produk yang diimport dari negara itu.

Jumlah kematian, hilang cecah 16,600 orang



TOKYO - Data rasmi jumlah kematian dan hilang penduduk Jepun selepas dilanda gempa bumi dan tsunami telah mencecah 16,600 orang, dengan 6,405 disahkan terkorban, menurut polis, semalam.

Jumlah kematian dilaporkan terus meningkat dalam tempoh beberapa hari lalu dan laporan menunjukkan angka terkini akan menjadi lebih tinggi.

Terdahulu, datuk bandar pesisir bandar Ishinomaki, Wilayah Miyagi melaporkan jumlah mangsa yang hilang sehingga Rabu lalu, mungkin telah mencecah 10,000 orang.

Sementara itu, sekitar 10,000 mangsa turut dilaporkan hilang di bandar pelabuhan Minamisanriku, dalam wilayah yang sama.

Selain itu, seluruh pulau Hoshu dipercayai musnah apabila ombak tsunami memusnahkan atau merosakkan lebih 55,380 rumah dan bangunan lain.

Cetus rasa tidak selesa



TAMAN TROPIKA – Kehadiran pekerja warga asing yang terlalu ramai ke daerah ini bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa penduduk setempat malah turut memberi imej buruk kepada persekitaran setempat.

Deretan rumah kedai di Taman Tropika yang terletak berhampiran sebuah pasar raya borong di sini, adalah salah satu lokasi hostel pekerja yang didiami sekurang-kurangnya 500 warga asing yang bekerja di kawasan sekitar.

Salah seorang penduduk, yang hanya dikenali sebagai Julia berkata, kewujudan hostel pekerja asing di kawasan berkenaan memberi gambaran negatif dan mengganggu pemandangan masyarakat setempat.

“Bangunan berkenaan adalah antara kawasan tumpuan orang ramai di kawasan ini kerana kedudukannya yang terletak di jalan besar berhadapan Jalan Persekutuan.

“Kewujudan asrama yang tidak teratur dan kotor dengan keadaan pakaian mereka yang dijemur dan dibiarkan bergantungan pada tingkap, memberi imej negatif kepada tempat ini kerana kawasan ini bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk setempat tetapi juga menjadi laluan utama pengunjung luar untuk berulang alik dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur,” katanya.

Selain itu, katanya, kehadiran pekerja asing yang terlalu ramai di kawasan itu disifatkan penduduk seolah-olah menjadi perkampungan kepada warga asing yang tinggal di situ.

“Kadang kala kehadiran mereka turut menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila mereka berjalan kaki beramai-ramai dalam kelompok yang besar terutamanya pada waktu tengah hari untuk ke tempat kerja.

“Kehadiran mereka yang terlalu ramai dan gemar berkelompok turut menyebabkan ketakutan kepada penduduk wanita terutamanya apabila melalui kawasan itu pada waktu malam,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap masalah yang timbul mendapat perhatian daripada pihak berwajib dan memastikan penempatan yang lebih sesuai sebagai hostel pekerja warga asing agar tidak mengganggu keselesaan masyarakat setempat.

Isteri mengadu hidup susah





AYER KEROH - Seorang isteri kepada enam orang anak mengadu kepada Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Negeri mengenai nasib malang yang menimpa dirinya sekeluarga apabila terpaksa hidup tanpa suaminya yang menjalani proses tahanan sejak lebih setahun lalu atas kesalahan jenayah.

Isteri terbabit yang dikenali sebagai Maimunah (bukan nama sebenar) 38, berkata, dia mendirikan rumah tangga dengan suaminya itu sejak 15 tahun lalu dan tinggal di rumah yang didirikan di atas tanah milik keluarga sebelah suami.

Menurutnya, dia menghadapi masalah kekangan wang untuk menanggung segala perbelanjaan keluarga seorang diri.

“Bahkan kini, keluarga sebelah suami pula bagaikan mahu mengusir kami anak beranak dari rumah berkenaan.

“Kini bertambah beban yang terpaksa dipikul. Tapi apakan daya saya perlu membela nasib saya dan anak walaupun tanpa suami di sini,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan, Maimunah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM450 sebulan dan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) menyalurkan bantuan makanan RM150 sebulan.

Maimunah berkata, sebelum ini dia mengharapkan hasil pendapatan bekerja di kilang untuk menampung dia sekeluarga, namun terpaksa berhenti kerana terlalu banyak masalah, termasuk soal menguruskan anak-anak yang berumur antara enam dan 17 tahun.

Sementara itu, Ketua Penyelia Pembela BN negeri, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya simpati terhadap nasib yang menimpa ibu terbabit dan akan memikirkan bentuk bantuan tambahan bagi memenuhi keperluan yang tidak mencukupi itu.

Mohon bantuan JKM



BENTONG – Seorang warga emas merayu supaya bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disegerakan kerana ia amat penting untuk menampung kehidupan sehariannya.

Menantu warga emas itu, Sofiah Abdullah, 52, berkata, mentuanya, Munah Bulat, 80, sebelum ini tinggal bersama adik iparnya di Perlis.

Menurutnya, sejak dua tahun lalu, ibunya itu tinggal bersama dia dan suaminya, Salim Abidin, 53, di Kampung Keruntung dekat sini.

“Ketika berada di Perlis, ibu saya menerima bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan namun selepas berpindah ke sini, bantuan terputus begitu sahaja.

“Kami sudah membawa ibu berurusan di pejabat JKM awal tahun ini untuk menyambung kembali bantuan namun sehingga kini masih tiada sebarang jawapan diberi,” katanya.

Sofiah berkata, ibunya kini tidak sihat kerana hanya mampu berjalan menggunakan tongkat dan sering sakit.

Menurutnya, perbelanjaan seharian yang meningkat ditambah keperluan ibunya memakai lampin pakai buang setiap hari menyebabkan mereka berdua tidak berkemampuan.

“Suami hanya bekerja sebagai penjaga kebun manakala saya pula berniaga kecil-kecilan di Pasar Bentong.

“Pendapatan bulanan tidak sampai RM800 sebulan, tambahan pula rumah yang kami duduki sekarang ini juga disewa daripada penduduk sebanyak RM150 sebulan,” katanya.

Sofiah berkata, dia juga adakalanya tidak keluar berniaga kerana berdepan dengan kesan pembedahan barah payu dara yang dijalaninya enam tahun lalu.

Menurutnya, mereka berdua amat berharap supaya ibunya, diberi bantuan segera bagi meringankan penderitaan dialami.

“Sekurang-kurangnya wang bantuan yang diterima dapat digunakan untuk membeli ubat-ubatan dan barangan keperluan untuk ibu,” katanya.

Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas dari JKM berkaitan permohonan dibuat oleh Munah

Pas jangka kebangkitan



KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu menjangka akan berlaku kebangkitan rakyat di seluruh kawasan di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang termasuk tempat yang mempunyai penyokong kuat Barisan Nasional (BN) seperti Kemaman dan Besut.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib berkata, kebangkitan rakyat itu akan berlaku berdasarkan kepada sikap terbuka mereka yang bijak memberi undi kepada parti politik tertentu dan memilih pemimpin.

Menurutnya, kubu kuat BN akan ditembusi pembangkang dan tidak menolak berkemungkinan kejayaan tersebut sebagaimana Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 apabila pembangkang berjaya merebut keseluruhan kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 32 kerusi DUN di negeri ini.

“Kita jangka rakyat akan melakukan kebangkitan di Kemaman dan kita akan turut memberi tumpuan di Besut.

“Kita akan ambil kesemuanya dan beberapa kerusi yang kita yakin kekal milik pembangkang dalam pilihan raya umum nanti adalah DUN Wakaf Mempelam dan Parlimen Marang,” katanya.

Beliau turut menjangkakan Pas mempunyai potensi untuk menang di Seberang Takir berdasar kepada sokongan rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Menurutnya, walaupun DUN terbabit dilihat sukar disebabkan wujud pengundi pos yang sebahagian memihak kepada BN, namun sokongan kuat daripada pengundi biasa mampu meningkatkan jumlah undi kepada Pas.

“Kita melihat potensi di Kuala Nerus termasuk DUN Seberang Takir yang dilihat ada harapan untuk kita ambil alih,” katanya.

Beliau menjelaskan, masalah dalaman BN negeri yang didakwa belum selesai akan memberi pulangan yang baik kepada pembangkang sekiranya ia berterusan sehingga ke hari mengundi.

Harun tidak menolak akan berlaku undi protes dalam BN terutama di Besut berikutan perubahan kepimpinan yang berlaku sebelum ini tidak disenangi kumpulan tertentu dalam BN.

“Ada tempat kuat penyokong BN seperti Besut tetapi kita yakin ada undi protes dan ini kemungkinan besar akan berpihak kepada Pas,” katanya.

Serangan pada Anwar berterusan



KUALA TERENGGANU – Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Rafizi Ramli menganggap serangan peribadi terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berterusan dalam usaha pihak tertentu memecahbelahkan Pakatan Rakyat (PR).

Menurutnya, Anwar dilempar dengan pelbagai tohmahan kerana beliau adalah pemimpin tertinggi pembangkang yang merupakan individu bertanggungjawab memastikan kesepaduan PR.

“Anwar adalah tonggak kesepaduan dan serangan terhadap beliau adalah untuk mengikis kepercayaan rakyat selain menghilangkan sokongan beliau terhadap PR,” katanya, semalam.

Dalam masa sama, katanya, ‘Buku Jingga’ yang dikeluarkan oleh PR mendapat perhatian daripada segelintir pemimpin Barisan Nasional (BN) melalui kritikan mereka terhadap kandungan tersebut.

Bagaimanapun, beliau percaya, buku yang bertajuk ‘Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!’ telah memberi mesej jelas kepada pemimpin parti kerajaan dan rakyat sekiranya pembangkang mendapat mandat memerintah negara kelak.

Ibu tunggal rayu segerakan bantuan



MENGABANG TELIPOT - Seorang ibu tunggal merayu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar mempercepatkan bantuan kewangan kepadanya kerana dia perlu menanggung tiga anak yang dua daripadanya masih bersekolah.

Salimah Muda, 44, yang kematian suami, Daham Mat Zain, 48, sebulan lalu akibat penyakit batuk berdarah hilang punca pendapatan kerana dia tidak bekerja.

Salimah berkata, dia pernah menghubungi pihak JKM bertanyakan hal itu namun diminta menunggu sehingga proses pemindahan nama suami kepada namanya selesai.

“Pihak berkenaan meminta saya menunggu sehingga tiga hingga empat bulan bagi menyelesaikan urusan pemindahan nama.

“Tempoh itu agak lama kerana saya menghadapi masalah kewangan sejak suami meninggal. Apatah lagi, sebelum ini saya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai nelayan,” katanya.

Katanya, ketika suaminya masih ada, mereka mempunyai wang persekeluarga belanjaan harian walaupun tidak semewah orang lain.

“Dulu, dalam sehari dapatlah juga RM40 dengan duit itulah kami membeli barang keperluan seperti beras dan gula.

“Kini, kami memang tiada tempat bergantung apatah lagi saya perlu membiayai perbelanjaan dua anak yang masih belajar di Tahun Lima dan Tiga di Sekolah kebangsaan (SK) Kompleks Mengabang Telipot,” katanya.

Namun, Salimah berkata, dia bersyukur kerana dua anaknya itu mendapat bantuan persekolahan.

“Syukurlah mereka dapat bantuan cuma saya tidak mampu membeli keperluan lain kerana tidak bekerja,” katanya.

Salimah berkata, dia bernasib baik kerana jirannya banyak membantu memberi sumbangan beras, sayur-sayuran dan sedikit tunai. 

Tentera Gaddafi mara ke Benghazi


BENGHAZI: Tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi semalam memasuki bandar raya ini, memaksa pemberontak yang menguasainya sejak bulan lalu berundur.
Seorang jurucakap pemberontak berkata, tentera Gaddafi memasuki bandar Benghazi sementara satu sumber Reuters memberitahu, pemberontak mendirikan halangan konkrit untuk mempertahankan markas mereka.

Serangan tentera Libya dilakukan walaupun kerajaan Gaddafi berkata ia melaksanakan gencatan senjata sementara Perancis meramalkan tindakan ketenteraan oleh Barat sudah pasti dilancarkan.

Kerajaan turut menafikan tenteranya berada di dalam atau sekitar Benghazi.

Seorang jurucakapnya berkata, kerajaan melaksanakan gencatan senjata itu dan menuduh pemberontak melancarkan serangan.

Menurutnya, pemberontak menyerang kedudukan tentera kerajaan di barat Benghazi, memaksa anggota tentera bertindak balas bagi mempertahankan diri.

“Mereka menggunakan helikopter dan pesawat untuk mengebom kedudukan tentera kami,” kata jurucakap itu.

Dalam pada itu, sebuah jet pejuang ditembak jatuh di bandar berkenaan.
“Saya melihat pesawat itu berpusing-pusing, keluar dari awan, menuju ke satu sasaran dan kemudian terkena tembakan lalu menjunam dan terbakar.

“Ia kelihatan cuba menyerang berek tentera di Benghazi,” kata koresponden Reuters, Angus MacSwan.

Pemberontak berkata, beberapa jet tentera Libya sebelum ini mengebom jalan raya menuju ke Lapangan Terbang Benghazi dan kawasan sekitarnya.

“Semalam (kelmarin) mereka berada 60 kilometer. Hari ini (semalam) mereka sudah berada kira-kira 20 kilometer dan boleh tiba di Benghazi dalam masa setengah jam hingga 90 minit,” kata pemberontak, Khalid Ahmed. - Agensi

Hasrat kahwin setiap bulan


TEKAD BALAS... empat ‘madu’ melihat gambar lelaki yang memperdayakan mereka.
TEKAD BALAS... empat ‘madu’ melihat gambar lelaki yang memperdayakan mereka.

KUALA LUMPUR: Tembelang seorang lelaki yang bercita-cita hidup senang dengan mengikis wang wanita bukan saja terbongkar, malah dia kini tidak keruan apabila terpaksa berdepan pakatan empat ‘madu’ yang berganding bahu untuk memporak-perandakan hidupnya.
Pakatan berkenaan membabitkan tiga mangsa yang dijanjikan untuk dikahwini dalam tempoh selang sebulan, bermula bulan depan, manakala bekas isteri lelaki itu mahu melunaskan dendam selepas menyedari suaminya curang.
Sebagai wanita, dia berang kerana suaminya memperdaya mangsa hingga ada yang mengandung, ditipu lebih RM10,000 dan diperbodoh-bodohkan.

Antara perancangan empat mangsa lelaki yang selayaknya digelar kasanova kaki temberang itu adalah membuat laporan polis selepas mendakwa diugut lelaki berkenaan dan muncul di majlis perkahwinannya dengan seorang lagi mangsa.


“Kami menyimpan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang dihantar lelaki itu selepas tembelangnya pecah. Kami juga mendapat maklumat dia akan berkahwin dengan seorang lagi mangsanya beberapa bulan lagi.

“Tunggulah kehadiran kami,” kata seorang mangsa mewakili kumpulan wanita itu yang mahu dikenali sebagai Nani, 28.

Nani ditemui Metro Ahad bersama dua lagi mangsa dikenali sebagai Miza, 42; Dira, 51, dan bekas isteri lelaki terbabit yang mahu dikenali sebagai Alin, 29.

Menurut Nani, tembelang lelaki itu terbongkar selepas dia, Miza dan Dira yang masing-masing berstatus ibu tunggal berhubung antara satu sama lain di laman sosial yang menjadi punca kepada perkenalan mereka dengan lelaki terbabit.

Katanya, mereka mengenali lelaki itu sekitar Ogos tahun lalu menerusi laman sosial dan segala-galanya terbongkar dua bulan lalu.

“Dalam laman sosial itu, Miza dan Dira turut menjadi kenalan saya. Apabila berhubung antara satu sama lain, masing-masing bercerita mengenai ‘drama king’ itu dan terbongkarlah rahsia.

“Dalam menjalin hubungan cinta dengan saya, rupa-rupanya dia turut bercinta dengan dua rakan saya. Taktiknya sama, antaranya menggunakan panggilan diri ‘papa’ dan menagih simpati dengan mengatakan ibunya terlantar di hospital dua tahun akibat koma,” katanya.

Nani berkata, lelaki itu turut merayu supaya diberikan RM15,000 untuk menanggung kos rawatan ibunya.

“Dengan saya dia minta RM15,000, begitu juga Miza dan Dira. Kerana tertipu dengan janji manisnya, sepanjang perkenalan, saya menyerahkan lebih RM10,000.

“Paling menyedihkan, saya sanggup meminjam RM5,000 daripada along untuk diberikan kepadanya,” katanya yang turut mengakui menyerah tubuhnya kepada lelaki itu sehingga kini mengandung dua bulan.

Menurut Nani, satu lagi tembelang yang dibongkar, lelaki yang pada mulanya mengaku bujang itu rupa-rupanya berkahwin.

“Lelaki itu meminjam telefon bimbit saya dan menggantikan dengan ‘telefon buruk’ miliknya. Saya mengesan satu nombor tanpa nama dan menghubunginya.

“Alangkah terkejutnya saya, individu yang saya hubungi adalah isterinya. Isterinya tidak terkejut kerana tahu kerenah suaminya yang banyak skandal dengan wanita, malah pada masa sama mengakui tidak tinggal sebumbung dan akan bercerai,” katanya.

Selepas mengenali satu sama lain sebulan lalu, Nani bersama Miza, Dira dan Alin mengadakan pertemuan dan terbongkarlah lebih banyak rahsia lelaki itu.

“Dalam pertemuan itu Alin mengesahkan sudah bercerai. Walaupun masing-masing sakit hati tetapi apabila bercerita, lucu pula jadinya.

“Ketika menjalin hubungan dengan kami, dia sudah ada isteri. Dengan saya dia janji nak kahwin April tahun ini dan dengan dua lagi ‘kekasihnya’ (Miza dan Dira), dia janji nak kahwin pada Mei dan Jun. Justeru, kami ini empat madulah jadinya,” katanya.

Menurut Nani, dakwaan lelaki itu bahawa ibunya sakit juga dusta semata-mata.

“Kami sudah berjumpa ibunya. Memang dia raja drama sebab ibunya sihat saja di rumah. Kami juga bertemu seorang adik beradiknya dan ternyata dia memang penipu,” katanya.

Nani mengakui ‘tewas’ dengan ayat manis lelaki itu dan kini menyesal.

“Saya pun sukar menyatakan mengapa saya jatuh hati dengannya sebab boleh dikatakan dia masuk dalam kategori kasanova ‘cap ayam’. Nak kata tampan, tak adalah pula, perut buncit adalah.

“Cuma, dia guna ayat manis untuk memikat sehingga saya terpikat. Kini, saya menanggung akibatnya,” katanya.

Bagi Miza pula, dia kerugian kira-kira RM1,000 selepas ‘buta-buta’ menyerahkan wang kepada lelaki itu.

“Lelaki itu memang pandai memujuk rayu. Kerjanya asyik minta wang... tambah nilai kredit telefon bimbit pun minta dengan saya.

“Kira-kira RM1,000 sudah saya beri kepadanya. Selepas tembelangnya terbongkar, saya akan menuntut kembali wang saya,” katanya.

Dira pula berkata, dia kerugian kira-kira RM500 sepanjang berkenalan dengan lelaki itu.

“Eloklah tembelangnya pecah sebab belum apa-apa, sudah terserlah sikap buruknya. Kerjanya asyik cemburu, mengongkong dan memaki saja.

“Nasiblah siapa mangsanya selepas ini. Orang seperti itu tidak akan berhenti menipu dan menyusahkan orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Alin mengakui sehingga hari ini dia menerima panggilan daripada wanita tidak dikenali melepaskan kemarahan dan menuntut wang.

“Saya memang ada menggunakan nombor telefon bekas suami. Justeru, ada wanita yang dikenakan bekas suami menghubungi nombor telefon itu.

“Saya nak buat macam mana. Pekakkan telinga sajalah,” katanya.

Lambakan rumah urut, salah siapa?





KUALA LUMPUR 19 Mac - Hanya dalam masa tiga hari tinjauan di sekitar Lembah Klang, Mingguan Malaysia memperoleh angka yang mengejutkan - lebih 1,500 rumah urut kebanyakannya tidak berlesen dikesan.
Lebih memeranjatkan, ada antara lokasi di kawasan tertentu mempunyai 15 hingga 20 rumah urut! Begitu sekali rancaknya bisnes rumah urut di negara ini.
Bertopengkan pusat refleksologi dan spa, jumlah rumah urut di negara ini ternyata semakin meningkat tanpa keperluan yang munasabah.
Walaupun serbuan demi serbuan dilakukan pihak berkuasa dalam menangani kegiatannya, usaha tersebut seolah-olah tidak berkesan dan tiada penghujung.
Inilah realiti yang ditemui dalam tinjauan di beberapa kawasan termasuk Puchong, Kuchai Lama, Subang Jaya, Petaling Jaya, Shah Alam dan Damansara bagi membongkar kisah di sebalik rumah urut.
Paling mengejutkan ialah kebanyakan tukang urut bukan terdiri daripada penduduk tempatan tetapi warga asing terutama dari China, Indonesia, Filipina dan Thailand. Rata-ratanya pula apabila diajak berbual, tidak mampu bertutur dalam bahasa Malaysia.
Statistik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menunjukkan, hanya empat lesen rumah urut dikeluarkan setakat ini. Bagi pusat rawatan kaki atau pusat refleksologi pula, sebanyak 279 lesen dikeluarkan manakala 41 lesen lagi diberikan untuk pusat-pusat spa.
Menurut jurucakap DBKL, setiap lesen dikeluarkan adalah mengikut bidang tugas dan perkhidmatan yang telah ditetapkan.
"Pusat refleksologi tidak boleh memberikan perkhidmatan urutan badan kerana lesen untuk memberi khidmat urutan badan hanya kepada pemilik lesen rumah urut," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Namun, pengalaman yang dilalui mendapati, rata-rata pusat refleksologi memberikan perkhidmatan urutan badan yang jelas bercanggah dengan syarat pengeluaran lesen.
Menurut jurucakap DBKL itu lagi, pihaknya kerap melakukan pemantauan terhadap rumah urut dan refleksologi bagi membendung penyalahgunaan lesen.
Tambahnya, jika terdapat pihak yang melanggar arahan, lesen akan ditarik dan tidak dibenarkan disambung pada tahun berikutnya.
Bagaimanapun, DBKL tidak dapat memberikan jumlah lesen yang telah ditarik balik dengan alasan tidak mempunyai data yang tepat.
-utusan

Taib mahu berundur selepas Pilihan Raya Sarawak



SERIAN 19 Mac - Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengumumkan beliau akan berundur selepas mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
Beliau yang mengesahkan akan bertanding pada pilihan raya itu berkata, keputusan untuk mengetuai jentera BN hanyalah bagi memastikan segalanya berjalan lancar dan pemimpin baru dapat dikenal pasti.
Katanya, apabila pemimpin berkenaan dapat membentuk satu pasukan yang mantap dan menyeluruh merangkumi semua kaum di negeri ini, beliau akan melepaskan jawatannya.
"Kemungkinan saya akan bersara adalah sudah dekat, saya akan mengetuai pilihan raya nanti tetapi hanya untuk memastikan semua perkara berjalan lancar dan pemimpin baru dapat dilahirkan," katanya semasa berucap pada majlis perasmian Program Sejiwa Senada Bahagian Samarahan, di sini hari ini.
Abdul Taib merupakan Ketua Menteri yang keempat selepas Datuk Stephen Kalong Ningkan, Datuk Penghulu Tawi Sli dan Tun Abdul Rahman Ya'kub sejak jawatan itu diperkenalkan pada 1963. Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada 1981.
Abdul Taib dalam ucapannya itu berkata, beliau sudah lama berkhidmat untuk Sarawak dan sedar bahawa suatu hari nanti terpaksa berundur.
"Saya orang tua, bukan macam (Perdana Menteri) Datuk Najib, masih handsome masih muda, ataupun timbalannya (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang manis dengan misainya.
"Tetapi saya tidak mahu cita-cita saya (untuk memajukan Sarawak) mati dengan diri saya sendiri, saya mahu ia terus hidup selama mungkin," tegasnya.
Dalam pada itu, Abdul Taib memberikan gambaran umum berhubung pelan peralihan kuasa apabila berkata, pemimpin yang terlibat perlu diberi latihan terlebih dahulu.
Beliau berkata, proses memberi latihan itu sebenarnya telah lama dilaksanakan sehingga dalam kerajaan negeri sekarang hanya beliau dan Alfred Jabu yang merupakan pemimpin veteran.
Menjawab soalan apakah beliau akan berundur pada pertengahan penggal, Abdul Taib berkata, "Mungkin, saya harap pada masa itu semua orang sudah bersedia. Sebenarnya saya berniat untuk berundur pada 2006 tetapi ia tidak dapat dilakukan, jadi saya tangguhkan."

Bayi 2 bulan maut tersedak susu



Adelia Muhammad Nizzam


KUALA LUMPUR 19 Mac - Seorang bayi perempuan berusia dua bulan maut akibat tersedak susu ketika berada di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Seksyen 10, Shah Alam, Selangor pada Rabu lalu.
Adelia Muhammad Nizzam disahkan meninggal dunia oleh pakar perubatan, dipercayai kira-kira sejam sebelum dia dikejarkan ke klinik itu oleh pengasuh Taska.
Bapa bayi, Muhammad Nizzam Aminuddin, 34, melahirkan kesal dengan tindakan pengasuh di Taska tersebut yang lewat menghantar anaknya untuk mendapatkan rawatan, selain gagal memaklumkan segera kejadian itu kepadanya.
"Ketika kejadian, saya dan isteri sedang mencari pakaian untuk arwah di sebuah pusat membeli-belah di Subang Jaya. Apa yang saya kesalkan, pihak Taska lewat memaklumkan kejadian itu iaitu kira-kira pukul 11.30 pagi, selepas bayi kami disahkan meninggal dunia oleh pakar perubatan di klinik tersebut.
"Pihak klinik memaklumkan Adelia mungkin dapat diselamatkan sekiranya pihak Taska bertindak cepat dengan menghantarnya ke klinik sejurus melihat perubahan berlaku," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Adelia merupakan anak kedua Muhammad Nizzam dan isterinya, Fariza Tukir, 32. Keluarga itu yang menetap di Seksyen 13, Shah Alam baru dua hari menghantar bayi itu ke Taska tersebut.
Bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam pada hari kejadian, namun pihak Taska juga membuat laporan polis berhubung kejadian itu hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob semasa dihubungi mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Abhisit terselamat undi tidak percaya





2011/03/20

 Abhisit Vejjajiva
Abhisit Vejjajiva
Pembangkang sasar cemar imej PM Thailand 

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, terselamat dalam satu usul tidak percaya semalam dibawa Ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat memberi imej buruk kepada pemimpin itu sebelum pilihan raya akan datang.
Abhisit memenangi undian itu selepas perdebatan empat hari parti pembangkang, Puea Thai, menuduhnya terbabit rasuah, memperkenalkan dasar yang gagal dan melanggar hak asasi manusia.
Kejayaan itu usul kecaman ketiga dihadapi Abhisit sejak 2009 – bermaksud kerajaan gabungan boleh terus memerintah sehingga pilihan raya yang dijangka awal Julai depan. 

Perdana Menteri itu mendapat 249 undi menyokong dan 184 menentang manakala 11 berkecuali, adalah seorang daripada 10 menteri yang dinamakan dalam usul itu, semuanya terselamat dengan undian berasingan tipis dengan mendapatkan sokongan 238 undi. 

“Parlimen memberi usul percaya kepada Perdana Menteri dan sembilan menteri lain untuk kekal berkuasa,” kata Speaker Dewan, Chai Chidchob. 

Ahli parlimen pembangkang dilihat memiliki peluang tipis untuk menang undi tidak percaya kerana kekurangan majoriti di dewan rendah, dikuasai gabungan enam parti diketuai parti pimpinan Abhisit, Parti Demokratik. 
“Ia tiada kaitan dengan tadbir urus atau tanggungjawab, ia mengenai bagaimana satu undian mempunyai kesan ketara dalam pilihan raya akan datang,” kata penulis dan bekas diplomat Thai, Pavin Chachavalpongpun. 

Ketika perdebatan itu, pembangkang menuduh Abhisit menyalahgunakan kuasa ketika operasi maut tentera pada April dan Mei 2010 menyasar membersihkan penunjuk perasaan antikerajaan Baju Merah daripada terus melakukan tunjuk perasaan. 

Mereka juga menyalahkannya kerana membenarkan kebakaran di pusat beli belah CentralWorld, satu daripada berpuluh bangunan yang dibakar selepas tindakan keras tentera. Kerajaan menafikan tuduhan itu dan menyalahkan militan. – AFP 

Anak tak ikut jejak 'Terminator'





2011/03/20

Katherine Schwarzenegger
Katherine Schwarzenegger
Katherine suka kerja amal 

LOS ANGELES: Anak sulung pelakon dan bekas Gabenor California, Arnold Schwarzenegger, Katherine Schwarzenegger, 21, enggan mengikut jejak langkah ayahnya sebagai pelakon dan ahli politik, sebaliknya lebih berminat melakukan kerja amal.
Katherine yang juga seorang penulis dan masih menuntut, berusaha mengumpul dana untuk tujuan amal termasuk untuk kumpulan Best Buddies yang dinaungi bapa saudaranya, Anthony Shriver, sebuah badan amal membantu mereka yang mempunyai masalah kecacatan mental dan intelektual.
Tahun lalu, Katherine menerbitkan bukunya mengenai imej diri berjudul Rock What You've Got: Secrets to Loving Your Inner and Outer Beauty from Someone Who's Been There and Back, yang mendapat sambutan hangat. 

Baru-baru ini Katherine bekerjasama dengan syarikat pengeluar barangan mewah Montblanc bagi mempromosi perkongsian dengan syarikat itu akan menderma kepada Best Buddies, 11 peratus daripada pendapatan diperoleh dari 11 kedainya bagi tempoh 11 hari pada Mac. 

“Ramai berasa takut terhadap mereka yang mempunyai kecacatan mental dan intelektual. Adalah penting kita membantu mereka dan membuktikan kepada orang ramai, bahawa mereka yang kurang upaya mempunyai perasaan seperti orang lain. Mereka mahu berkawan, bersukan dan menikmati kehidupan,” katanya. 

Katherine juga mengakui kehidupannya berubah dan lebih terkongkong selepas bapanya dilantik sebagai Gabenor California. 
Mengenai bukunya, Katherine berkata, ketika di sekolah tinggi dia selalu berasa kecewa dengan penampilannya dan tiada keyakinan diri. – Agensi 

Cuaca buruk mudahkan penyakit berjangkit



Laporan R Magendran di Tokyo
bhnews@bharian.com.my
2011/03/20

Kekurangan makanan hantui mangsa gempa, tsunami Jepun 

SENDAI: Kehidupan di pusat penempatan sementara bagi mangsa gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu menjadi semakin sukar berikutan penularan beberapa penyakit berjangkit seperti influenza yang semakin serius, ditambah pula cuaca buruk dengan ribut salji semakin kerap, terutama bagi warga tua yang sememangnya dirundung masalah kesihatan.
Kesukaran penghantaran bekalan makanan, air, dan alat pemanas hawa ke wilayah Tohoku dan kawasan tertentu wilayah Kanto di timur laut Jepun yang musnah teruk dilanda bencana alam itu dikatakan menjadi punca masalah terbabit. Tidak kurang juga mangsa di pusat perlindungan masih trauma berikutan kejadian itu serta tidak dapat menghadapi tekanan kehidupan di pusat penempatan sementara.
Di luar Sekolah Rendah Kasshi di Kamaishi, sebuah pekan di Iwate, dengan kira-kira 300 orang sedang berlindung, notis ditampal di pintu memberi amaran bahawa mangsa di premis terbabit dijangkiti penyakit seperti selesema dan gastrik. Senarai mangsa di pusat terbabit turut ditampal bersama notis berkenaan tetapi orang luar dilarang memasukinya. 

Jururawat sekolah terbabit, Michiko Takahashi, 52, berkata bekalan makanan dan minuman memadai tetapi tidak cukup berkhasiat bagi membantu mangsa melawan jangkitan penyakit. 

“Saya khuatir penularan penyakit bertambah serius sekiranya cuaca tidak bertambah baik. Biar apa pun, kita perlu membendungnya segera kerana keadaan akan bertambah buruk sekiranya berlaku gelombang kedua wabak ini. 

“Selain itu, ramai warga tua yang berada di sini kehilangan bekalan ubat mereka ketika melarikan diri daripada tsunami, kebanyakannya sudah beberapa hari tidak mengambil ubat darah tinggi,” katanya yang bertanggungjawab terhadap kesihatan mangsa di pusat perlindungan terbabit. 
Di pusat komuniti Otsuchicho di Iwate, wabak cirit birit dan muntah sudah mula menular dan difahamkan ia berpunca daripada tindakan mangsa yang terselamat meminum air sungai Otsuchigawa sejak tiga hari lalu selepas bekalan air bersih terputus. 

Bagaimanapun, sepanjang perjalanan wartawan Media Prima pulang ke Tokyo dari Sendai semalam, puluhan lori dan kenderaan milik Persatuan Palang Merah Jepun (JRCA) dari segenap pelusuk Jepun sedang menuju ke wilayah timur laut dengan bekalan ubat-ubatan selain doktor bagi merawat mangsa gempa bumi serta tsunami. 

Seorang anggota pasukan JRCA dari Osaka, Hiroshi Gyobu, berkata ramai mangsa tsunami hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang dan ramai di kalangan mereka warga tua yang perlu mengambil ubat tertentu tetapi mereka tidak tahu nama atau jenis ubat berkenaan, sekali gus menyukarkan proses merawat mereka sekarang.

“Masalah utama adalah komplikasi akibat tekanan darah tetapi saya yakin kita akan dapat merujuk rekod perubatan mereka di hospital atau klinik kerajaan yang mereka kunjungi apabila rangkaian perhubungan internet serta telefon kembali pulih,” katanya.
-bharian

Hanya sehari terperangkap





2011/03/20

TOKYO: Seorang lelaki muda yang dilaporkan semalam diselamatkan selepas terperangkap selama lapan hari di bawah runtuhan rumahnya sebenarnya hanya sehari terperangkap di zon malapetaka itu. 

Lelaki berusia 20 an itu ditemui dalam runtuhan bangunan di bandar Kesennuma dalam keadaan terlalu lemah untuk bercakap dan dipindahkan serta merta ke hospital berdekatan, kata pegawai tentera.
Agensi berita Kyodo berkata lelaki itu memberitahu beliau terpisah dengan keluarganya semasa gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu dan berlindung di pusat perlindungan sebelum pulang ke rumahnya pada Jumaat, sebelum terperangkap selama sehari dalam timbunan runtuhan rumahnya.
Akhbar The Guardian melaporkan selepas lapan hari gempa bumi dan tsunami Agensi Polis Kebangsaan melaporkan 7,197 terbunuh. – AP/Agensi 

1:5 rakyat Malaysia berisiko jadi gila



Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my 
2011/03/20

 PESAKIT meluangkan masa lapang dengan bermain catur di Wad Kebun Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh.
PESAKIT meluangkan masa lapang dengan bermain catur di Wad Kebun Hospital Bahagia Ulu Kinta, Ipoh.
Masyarakat kurang kesedaran rawatan awal penyakit mental

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya seorang daripada lima rakyat negara ini berisiko gila jika mengalami masalah kesihatan mental dan tidak mendapatkan rawatan dengan segera serta teratur.
Ramalan itu berasas jika mengambil kira hasil Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ke-3 yang menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia menderita masalah kesihatan mental. Lebih membimbangkan, masalah gangguan fikiran dijangka tersenarai di tangga kedua penyakit utama dunia selepas penyakit jantung koronari menjelang 2020.

bharian