Saturday, January 22, 2011

Surat terbuka keluarga Teoh kepada PM : Siasat punca kematian Beng Hock






Encik Perdana Menteri,

Tahukah anda, keputusan inkues amat memilukan buat keluarga kami? Perbicaraan yang mengambil masa lebih daripada 500 hari, berakhir dengan keputusan yang tidak menemui jawapan, dan membawa kes kematian Beng Hock ke titik asal. Apakah begitu sukar untuk kami mendapatkan kebenaran?
Anda memekakkan telinga meskipun berkali-kali kami mengadu ketidakadilan perbicaraan inkues. Berkali-kali kami mendesak untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja, tetapi dibalas dengan respon yang pasif daripada anda. Dalam pertemuan kita yang lalu, anda berjanji bahawa kerajaan akan menyiasat punca kematian Beng Hock sepenuhnya. "Tidak akan melepaskan mana-mana kemungkinan", inilah yang dijanjikan kepada keluarga kami - kebenaran yang sepenuhnya.
Ya, kami menuntut kebenaran yang sepenuhnya. Keputusan inkues menunjukkan bahawa kecederaan Beng Hock pada bahagian leher terjadi sebelum kejatuhan dari tingkat atas. Keluarga kami ingin tahu, siapa yang menyebabkan kecederaan tersebut, dan bagaimana kecederaan tersebut terjadi? Siapa pula yang harus bertanggungjawab terhadap kecederaan tersebut? Ini kerana Beng Hock seorang yang sihat dan tidak mempunyai apa-apa kecederaan sebelum disiasat Suruhanjaya Diraja Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sudah dua minggu keputusan inkues diumumkan. Mengapa kerajaan tidak teruskan siasatan terhadap kecederaan Beng Hock pada bahagian leher, memandangkan majistret menganggap wujud kesangsian bahawa Beng Hock mungkin dibunuh. Mengapa kerajaan tidak teruskan siasatan terhadap kenyataan yang saling kontradisi antara pegawai SPRM?
Inkues kematian Beng Hock telah menjadi kes misteri, dan ia menjejaskan imej kerajaan dan sistem kehakiman.
Anda mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja pada 7 Januari 2011, tetapi terma siasatan tidak termasuk punca kematian Beng Hock. Keputusan ini langsung bukan kemahuan keluarga kami. Suruhanjaya Diraja yang hanya meneliti cara soal-siasat SPRM, tetapi bukan punca kematian Beng Hock - tidak menghukum pihak yang harus dipertanggungjawabkan. Ia sangat mengecewakan kami.
Encik Perdana Menteri, kami kesal dengan pengumuman anda. Anda tidak pernah mengambil kira pandangan kami, lantas mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja ini secara bersendirian, dan menyerahkan senarai panel untuk diperkenankan DYMM Yang Dipertuan Agung. Apa yang kami harapkan adalah satu Suruhanjaya Diraja yang berkecuali, telus dan berkredibiliti. Ketidaktelusan sepanjang proses membuat keputusan ini amat membimbangkan kami. Dengan terma dan kuasa yang terbatas ini, Suruhanjaya Diraja akan berakhir sebagai satu inkues lagi.
Encik Perdana Menteri, kami telah menjelajah ke seluruh Malaysia dalam tempoh dua bulan yang lalu, dan berjaya mengumpul kira-kira 80 ribu tandatangan rakyat.
Tuntutan agar Suruhanjaya Diraja menyiasat punca kematian Beng Hock telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada khalayak umum. Selepas anda mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja, 126 NGO telah menggesa agar terma Suruhanjaya Diraja ini diperluaskan untuk merangkumi siasatan punca kematian Beng Hock, termasuk MCA, Gerakan, Majlis Peguam, Aliran dan sebagainya.
Jelas, tuntutan agar siasatan terhadap punca kematian Beng Hock disokong suara rakyat. Ia menjadi sesuatu yang mengingkari semangat demokrasi seandainya suara rakyat ini diabaikan.
Anda pernah memetik ahli falsafah Dinasti Sung, "Xian tian xia zhi you er you, hou tian xia zhi le er le", untuk menyatakan pandangan anda. Anda juga sering melaungkan slogan "Rakyat Didahulukan". Matlamat yang digariskan untuk diri ini amat kami sanjungi. Namun, seandainya anda tidak mendengar suara rakyat, memperlekehkan gesaan 80 ribu rakyat dan 126 NGO untuk memperluaskan terma Suruhanjaya Diraja, apakah ini selari dengan "Rakyat Didahulukan", dan "xian tian xia zhi you er you" (bimbang terhadap masalah rakyat sebelum rakyat gelisah)?
Keluarga kami bersetuju dengan seruan 126 NGO, untuk memperluaskan terma Suruhanjaya Diraja agar merangkumi siasatan terhadap punca kematian Beng Hock, dan melantik tujuh orang tokoh berkredibiliti dan memiliki rekod baik dalam usaha mempertahankan hak asasi manusia. Kami berharap agar PM memperlahankan langkah untuk menyerah senarai agar diperkenankan DYMM Yang Dipertuan Agong. Dengarlah suara hati keluarga kami, agar kami dan rakyat menaruh yakin terhadap Suruhanjaya Diraja yang anda tubuhkan.
Encik Perdana Menteri, tiada bezanya antara Teoh Beng Hock dengan ribuan dan jutaan rakyat Malaysia yang lain. Negara harus menghargai nyawa dan sumbangan mereka yang bernilai. Perlembagaan Persekutuan harus menjamin hak asasi mereka untuk terus hidup. Tiada seorang pun yang harus nyawanya diragut dengan zalim dan kejam di atas tanahair ini. Tiada seorang pun yang harus didera dan menanggung keganasan sistem ini. Hormati nyawa dan maruah, menjamin hak asasi manusia adalah lambang sesebuah negara yang gemilang. Kami berharap agar kerajaan ikhlas untuk menangani kes Teoh Beng Hock - memberi keadilan kepada Beng Hock dan memberi kebenaran kepada keluarga kami.
Keluarga kami tidak akan berputus asa untuk menghambat keadilan, malah kami melihat rakyat telah menunjukkan kemuliaan dan keberanian mereka - yang selama ini menjadi sokongan terbesar kepada keluarga kami. Kami akan terus menjelajah ke selurah negara untuk menuntut keadilan - dan tidak pasrah selagi matlamat kami tidak tercapai.
Terima kasih.
Daripada,
Teoh Lee Lan
(Wakil keluarga Teoh)
*Surat ini diterjemah dari teks asalnya dalam bahasa Cina.
Sumber
http://alhusseyn51.blogspot.com

Keluarga tuntut mayat Krishnan, bakar esok



Aidila Razak & Arvind Raj
Jan 22, 11
5:47pm
Mayat M Krishnan, mangsa yang mati ketika dalam tahanan polis pada 7 Januari, hari ini dituntut oleh keluarganya dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) selepas bedah siasat kedua dijalankan, semalam.
NONEMayatnya dituntut pada jam 10.50 pagi selepas lelaki berusia 37 tahun itu dijumpai mati di balai polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Keluarga dan rakannya mendakwa juruelektrik itu dibelasah ketika dalam tahanan.
Balunya, P Revathi, 33, agak tertekan dan pengsan beberapa kali apabila melihat mayat suaminya itu.
Beberapa ahli keluarga yang tidak mahu dikenali berkata keputusan bedah siasat kedua yang berakhir jam 3 petang semalam akan hanya dimaklumkan kepada mereka pada Isnin ini.
Bedah siasat itu dijalankan oleh ketua Unit Patologi, hospital berkenaan Dr K Mathiharen setelah polis dan pejabat peguam negara pada Rabu lalu membenarkan permohonan keluarga mangsa.
Laporan bedah siasat pertama yang dijalankan di HUKM menyatakan mangsa mati akibat ulser di perut.
Namun, keluarga Krishnan mendakwa terdapat kesan lebam di seluruh badan mangsa dan terdapat luka di bahagian kanan abdomen dan bahagian kanan matanya
Setakat ini seorang saksi telah tampil mendakwa beliau menyaksikan kejadian di mana polis membelasah Krishnan dan rayuannya untuk rawatan perubatan juga tidak diendaahkan.
Mayat mangsa akan dibawa ke rumah keluarganya di Kepong dan upacara sembahyang akan dijalankan pada jam 10 pagi esok.
“Selepas sembahyang, kita akan bakar mayatnya di rumah bakar mayat di Cheras,” kata seorang makciknya.- malaysiakini

Remaja pendiam mati tergantung



SEDAKA - Seorang remaja lelaki yang berusia 19 tahun ditemui mati tergantung di stor belakang rumahnya di Kampung Sedaka, petang semalam.

Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, anak bongsunya itu dari lima orang adik beradik.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari. Ketika itu saya berada di dalam rumah, kemudian saya keluar untuk cari daun pisang untuk diberikan kepada arnab.

“Selepas saya keluar, saya nampak arwah anak saya tergantung di stor. Saya panik dan tidak tahu nak buat apa. Saya ambil keputusan untuk menghubungi suami yang tiada di rumah pada masa itu,” katanya.

Menurutnya, suaminya sampai ke rumah pada jam 2 petang.

“Suami saya pun dalam keadaan bingung dan sedih. Suami memanggil rakan-rakan untuk berbincang kerana keadaan suami bercelaru dan tidak mampu membuat keputusan. Kemudian, suami menghubungi polis kira-kira jam 3.15 petang,” katanya.

Ibu mangsa yang masih dalam keadaan bersedih itu mengatakan bahawa tiada perubahan yang berlaku sebelum anaknya ditemui mati.

“Dia (mangsa) memang macam biasa. Tetapi anak saya ini memang jenis pendiam dan tidak banyak bergaul dengan rakan-rakan.

“Dia banyak menghabiskan masa di rumah dan di bilik. Perkara yang arwah minat adalah mencantikkan motosikalnya,” katanya.

Selain itu, ibu mangsa menafikan wujudnya perselisihan faham antara keluarga dan anaknya itu.

Dia berkata, anaknya itu seorang yang pembersih.

“Arwah memang seorang pembersih dan biliknya sentiasa kemas. Semua barang-barangnya berada dalam keadaan yang tersusun.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati bilik arwah memang kemas sehingga peralatan di dalam laci komputer tersusun rapi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu mengesahkan kejadian tersebut.

Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Guna wang sumbangan untuk anak OKU beli dadah



DUNGUN - Demi melepaskan giannya terhadap ketagihan dadah, seorang ibu tunggal sanggup menggunakan wang sumbangan yang diberikan kepada anaknya, seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) untuk membeli bahan terlarang itu.

Wang itu katanya, diperoleh hasil meminta sedekah dengan menjadikan anak istimewanya sebagai ‘modal’ meraih simpati.

Wanita berstatus janda berumur 23 tahun ini juga mengakui, dia mengambil dadah untuk meredakan tekanan selepas ditinggalkan suami dan terpaksa menggalas tanggungjawab membesarkan anak sendirian, selain perlu menjaga bapanya yang terlantar akibat angin ahmar.

Lebih ironi, anak bongsu daripada 11 beradik ini memberitahu, lima abangnya juga telah meninggal dunia akibat HIV disebabkan penyalahgunaan dadah.

“Saya mengalami tekanan emosi sejak ditinggalkan suami, apatah lagi terpaksa menggalas tanggungjawab membesarkan seorang anak kurang upaya (OKU), dan pada masa sama kena jaga ayah yang mengalami strok.

“Bermula dari situlah saya mula mengambil dadah untuk menghilangkan stres,” demikian akui wanita berstatus janda anak satu yang dicekup polis narkotik dalam operasi khas di Dungun, petang kelmarin.

Wanita bertubuh genit itu menceritakan, episod duka hidupnya bermula enam tahun lalu apabila suaminya lepas tangan setelah tidak lagi tinggal sebumbung bersamanya.

Dia yang pernah bermalam di lokap polis beberapa kali sebelum ini kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah berkata, hidupnya kian terhimpit apabila terpaksa menjaga seorang anak lelakinya yang kurang upaya, tambah lagi terpaksa mencari wang bagi membiayai kos membeli ubat bapanya yang terlantar sakit akibat serangan angin ahmar.

“Ketika itu saya benar-benar merasakan hidup ini amat menyeksa. Saat itulah saya cuba keluar dari kemelut kehidupan yang amat memeritkan itu, namun nasib saya kurang baik apabila bertemu rakan sebaya dalam kalangan penagih dadah.

“Mereka mula merasuah saya dengan dadah dengan alasan ubat ini boleh membuat fikiran kita tenang, namun hakikatnya, saya sudah menjerat diri sendiri sehingga terperangkap dalam lurah yang menggelapkan masa depan saya,” kata wanita berusia 23 tahun itu.

Janda muda yang memasuki alam rumah tangga ketika berusia 17 tahun itu selepas meninggalkan persekolahan itu berkata, dia pernah memasang niat untuk meninggalkan tabiat buruk itu, namun persekitaran menyebabkan keimanannya belum cukup kuat untuk melawan kehendak nafsu dadah yang sentiasa membara.

Menurutnya, lima abangnya telah menemui ajal kerana menghidap HIV akibat penyalahgunaan dadah, manakala seorang kakaknya juga dipercayai turut terlibat dengan aktiviti haram itu.

Anak bongsu daripada 11 beradik itu berkata, pernah suatu ketika, sewaktu kehabisan wang dia meminta sedekah daripada orang ramai dengan alasan untuk membeli makanan buat anak OKUnya.

Namun akibat terlalu gian, dia terpaksa menggunakan wang sumbangan itu untuk membeli dadah.

Bagaimanapun, apa yang dilakukannya semata-mata untuk membolehkan dia mendapat tenaga bagi menjalankan kerja-kerja untuk mendapatkan wang bagi menyara diri serta anaknya yang tidak sempurna itu.

“Dengan pendapatan sebagai pembantu warung makan, berapa sangat yang saya dapat. Hasilnya pula sebahagiannya saya buat beli dadah.

“Saya pernah berniat untuk kembali ke pangkal jalan, namun siapa yang ingin menerima dan membimbing saya kerana masyarakat sekeliling sudah memandang jijik, apatah lagi latar belakang keluarga saya juga penuh dengan rekod buruk yang dianggap amat hina itu,” katanya.

Wanita yang berasal dari Paka ini ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah diketuai Inspektor Wahid Sujani ketika mengunjungi sebuah rumah di Kampung Gong Gemia yang dijadikan lokasi untuk menagih dadah.

Hasil operasi, lebih 10 penagih berjaya ditahan, kebanyakannya positif dadah jenis Methampethamine dan heroin.

Janda terbabit yang turut mempunyai beberapa rekod penyalahgunaan dadah bagaimanapun dibebaskan selepas ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan ke atas wanita terbabit.

Penduduk takut lalu bangunan terbengkalai


SUNYI...bangunan terbengkalai yang dipenuhi semak-samun.
SUNYI...bangunan terbengkalai yang dipenuhi semak-samun.

RAWANG: “Apa yang penting keselamatan penduduk sekitar dan orang awam yang lalu lalang di sini. Ia bukan saja sunyi, malah saya juga jarang melihat pihak berkuasa melakukan rondaan di kawasan ini.
“Selagi boleh, saya memang mengelak melalui jalan ini pada waktu malam walaupun saya lelaki. Kawan perempuan pun saya selalu sarankan supaya guna jalan lain demi keselamatan mereka,” kata Muadzam Muhamad, 25, berhubung blok bangunan tiga tingkat terbengkalai dan dilitupi semak-samun sejak sekian lama di tepi jalan berhampiran Kampung Baru Kundang, di sini.

Muadzam yang menggunakan jalan di kawasan berkenaan untuk ke tempat kerjanya di pekan Rawang sejak empat bulan lalu turut melalui kawasan itu pada waktu malam dan malangnya tiada lampu jalan di situ menyebabkan kawasan itu bertambah sepi.

Katanya, walaupun menggunakan jalan itu pada setiap hari, dia masih kurang yakin untuk melaluinya pada waktu malam ekoran pernah beberapa kali melihat lelaki mabuk berkeliaran di sekitar bangunan terbabit.

“Bangunan terbengkalai begini tak sepatutnya dibiarkan. Ia bukan saja mencemarkan mata memandang, malah boleh mengundang perkara negatif seperti menjadi sarang aktiviti penagihan dadah dan maksiat.

“Saya harap pihak berkuasa memantau kawasan ini dari semasa ke semasa supaya kami yang menggunakan jalan ini setiap hari rasa lebih selamat,” katanya.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rokiah, 60, berkata, dia pernah melihat kelibat beberapa lelaki masuk ke bangunan tidak siap terbabit pada lewat petang.

Menurutnya, walaupun keadaan mereka agak mencurigakan, dia tidak mengambil peduli mengenainya kerana pernah dinasihati rakan supaya tidak masuk campur.

“Bagi saya, bangunan terbengkalai sedemikian rupa sama ada patut dihapuskan atau disiapkan menjadi bangunan yang sempurna. Takkan nak tunggu berlaku jenayah baru mahu bertindak,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di kawasan itu mendapati kawasan sekitar bangunan lengang dengan hanya sekali sekala kenderaan melalui kawasan terbabit.

Bagaimanapun, jalan di situ dipenuhi kenderaan pada awal pagi dan lewat petang.

Tinjauan turut menjumpai botol minuman keras dan gelas di bangunan terbabit dipercayai baru ditinggalkan berdasarkan keadaan botol dan gelas yang masih baru digunakan.

Ayu Raudhah sah milik Zaquan




ZAQUAN menyerahkan mas kahwin berjumlah RM1,888 kepada Ayu Raudhah selepas selamat diijabkabulkan di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Selepas tiga bulan mengikat tali pertunangan, pelakon jelita, Ayu Raudhah Che Wan, 27, selamat diijab kabul dengan penyerang bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abd. Radzak, 24, di Masjid Sultanah Bahiyah di sini petang semalam.
Pasangan yang bertunang pada 17 Oktober tahun lalu itu dinikahkan oleh imam masjid tersebut, Mustafa Kamil Abdul Jamil berwalikan abang Ayu Raudhah, Roshidi, 32, dengan mas kahwin RM1,888 pada pukul 3.45 petang.
Dengan sekali lafaz, pelakon drama Nur Kasih itu sah bergelar isteri kepada, Zaquan Adha.
Pasangan itu kelihatan berseri dengan pakaian rona krim rekaan Man Kajang.

Wajib pasang beg udara




CHO HA memasang pelekat keselamatan jalan raya pada cermin sebuah teksi di Rantau Panjang, Kelantan semalam.


RANTAU PANJANG - Mulai tahun depan, semua kenderaan baru kecuali kenderaan pacuan empat roda diwajibkan memasang beg udara untuk tujuan keselamatan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, langkah itu bertujuan mengelak risiko lebih tinggi termasuk kematian terhadap pemandu atau penumpang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius kadar kemalangan jalan raya sekarang terutama yang membabitkan kemalangan maut akibat tiada peralatan keselamatan yang cukup pada kenderaan awam.
"Mulai tahun depan, kerajaan akan mewajibkan semua kenderaan dipasang beg udara bagi keselamatan pemandu dan penumpang kenderaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina 2011 di sini semalam.
Pemasangan beg udara itu hanya terhad kepada kereta baru sahaja manakala kereta lama sedia ada tidak diwajibkan.

Kritikan Dr. M benar





KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung nasib orang Melayu di Singapura yang dikatakan terpinggir dan ketinggalan adalah benar.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, komen oleh beberapa orang Melayu yang merupakan rakyat Singapura berhubung kritikan Dr. Mahathir itu sebenarnya adalah propaganda yang dirancang bagi menutup cerita tentang Melayu Singapura yang tertindas.
"Kita tidak hairan langsung dengan berita yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian Singapura baru-baru ini mengenai kritikan terhadap Dr. Mahathir.
"Kita percaya ia adalah propaganda dan psikologi terbalik. Siapa dan orang Melayu mana yang benar-benar bersuara di Singapura? Kita semua tahu kebebasan di sana. Silap sikit pasti kena," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan akhbar Berita Harian Singapura yang menyiarkan beberapa surat daripada pembacanya sepanjang minggu lepas yang mengecam Dr. Mahathir kerana sering memberi ulasan mengenai nasib Melayu republik itu yang terpinggir dan ketinggalan.
Melalui ruangan forum akhbar itu, seorang pembaca, Sallim Ahmad menulis bahawa beliau rasa tercabar mengikuti ulasan Dr. Mahathir yang dikatakan membuat kenyataan yang tidak berasas itu.
Ibrahim bagaimanapun berkata, semua orang tahu bahawa hakikat sebenarnya adalah orang Melayu di Singapura ditindas.
"Kita semua tahu tidak perlu banyak cerita. Mana ada pegawai tinggi Melayu dalam perkhidmatan awam di negara itu atau dalam tentera," katanya.
Beliau berkata, kritikan Dr. Mahathir terpaksa ditutup dengan melancarkan propaganda menggunakan dua tiga kerat orang Melayu yang tidak sedar diri di negara itu.

Nizar tiada hak buat fatwa undi BN haram



LABIS 21 Jan. - Timbalan Perdana Menteri hari ini menempelak bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kerana membuat 'fatwa' adalah haram mengundi calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, 30 Januari ini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyifatkan isu itu 'cerita' lama yang sengaja dimainkan pemimpin Pas setiap kali calon Pas menentang BN pada pilihan raya.
"Soal pokok, ini adalah hak rakyat. Dalam perlembagaan negara dan sistem berparlimen, apabila ada pilihan raya, rakyat berhak untuk buat pilihan.
"Ini bukan hak Nizar untuk kata ia (undi) haram. Siapa dia pula nak jatuhkan hukum? Saya fikir orang Tenang ini bijak (memilih calon), sejak dari dulu tak ada masalah," katanya diminta mengulas kenyataan Mohammad Nizar yang mendakwa mengundi calon BN adalah haram pada PRK DUN Tenang hujung bulan ini.
Muhyiddin ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah tapak bangunan tambahan Sekolah Agama Labis, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Pas sendiri sebenarnya telah 'melanggar' fatwa mereka kerana sebelum ini tidak membenarkan calon wanita bertanding pada pilihan raya.
"Dulu dia (Pas) kata wanita haram bertanding, tapi sekarang dia kata boleh bertanding. Sekarang dia sudah tak tahu nak pakai fatwa mana, tak tahu nak pakai asas agama apa," katanya.
Mengenai kemungkinan pilihan raya negeri Sarawak diadakan serentak atau sebaliknya dengan Pilihan Raya Umum Ke-13, Muhyiddin enggan mengulas lanjut kerana menyifatkan terlalu awal untuk berbuat demikian.
-utusan