Showing posts with label Mohd Sayuti Omar. Show all posts
Showing posts with label Mohd Sayuti Omar. Show all posts

Wednesday, October 24, 2012

Perpaduan Melayu satu momokan?

Mohd Sayuti Omar,
23 Okt 2012

Tengah hari hari minggu kelmarin telah berlangsung satu perbincangan santai berhubung isu perpaduan Melayu. Perbincangan itu berlangsung sambil makan tengah hari di samping mengeratkan persaudaran sebangsa. Ia berlangsung di rumah tokoh politik veteran di ibu kota Kuala Lumpur. Saya percaya ia dianjurkan atas inisiatif tuan rumah itu.

Yang hadir adalah sekitar 35 orang yang terdiri dari cendekiawan dari berbagai disiplin ilmu. Ada pensyarah universiti, ahli politik, peniaga, akademik, perundangan, bekas editor akhbar dan sebagainya. Dua orang bekas Ketua Polis Negara juga turut sama hadir.

Satu kertas kerja mengenai perpaduan Melayu dibentangkan oleh seorang pensyarah kanan sebuah universiti. Tidak tahu pula apakah bahan dan isian kertas kerja berkenaan. Salinan pun tidak diedarkan. Ia dibentangkan secara santai sebagai bahan mengisi majlis perbincangan itu. Mungkin ia hanya sebagai intipati kepada perjumpaan itu atau sebagai bahan renungan bersama di kalangan yang hadir.

Menurut teman yang hadir, tidak ada apa-apa resolusi atau rumusan mengenai kertas kerja itu. Selepas pembentang mengemukakan pandangan mungkin hipotesis mengenai perpaduan Melayu, mereka yang hadir bertanya balas apa yang dibentangkan. Mungkin juga pertemuan itu mencari idea untuk mengadakan pertemuan lebih besar untuk membincang permasalahan perpaduan Melayu yang mereka merasakan makin terdesak.

Apapun terima kasih kita lafazkan atas usaha itu. Setidak-tidaknya masih ada lagi di kalangan bangsa Melayu yang cerdik - di luar batas politik memikirkan nasib dan masa depan bangsa.
Menurut teman saya, seorang ahli politik yang hadir tidak begitu ghairah dengan perjumpaan itu. Beliau menganggap perbincangan mengenai perpaduan Melayu satu yang idealistik dan tidak mudah dizahirkan. Satu perbincangan yang tidak menjejak ke akar umbi sebenar mengenai permasalahan itu. Beliau tidak yakin soal perpaduan Melayu dari konteks politik dapat diselesaikan.

Saya agak bersetuju dengan pandangan ahli politik berkenaan. Saya sudah lama merasakan perbincangan mengenai perpaduan Melayu tidak lebih satu latihan mental (mental exercise) saja yang tidak mungkin mencapai matlamatnya. Jauh dari itu ia sebagai momokan untuk menakut atau memeranjatkan orang Melayu (bawahan dan tidak faham politik) agar kembali kepada asal. Itu yang saya nampak.

Kalau benar begitu, masalah perpaduan Melayu ia dijadikan modal politik semata-mata dan usaha untuk mengatasinya ia tidak membawa apa-apa kesan. Malahan pihak yang sudah faham dan mengerti isu itu dijadikan modal politik dan juga yang menerima asas agama adalah tonggak perpaduan sejati akan mengalpakan begitu saja.

Saya juga mengira selagi ada dua buah parti politik bernama Umno dan Pas perpaduan Melayu bukan senang untuk diwujudkan. Kedua-duanya berangkaian dengan bukan Melayu di mana rangkaian ini menjadi penghalang untuk mereka mengemenkan diri di satu tiang. Di celah-celah ini juga menyebabkan saya merasakan kepayahan untuk bangsa Melayu bersatu ialah kerana ia sengaja dipisahkan oleh pihak-pihak tertentu.

Pihak tertentu dimaksudkan rakan-rakan bangsa bukan Melayu dalam kelompok mereka ada kemungkinan memain jarum menyucuk agar bangsa Melayu senantiasa tegang kerana dengan cara itu mereka dapat terus membina kedudukan mereka agar terus kukuh.

Justeru jalan penyelesaian atau usaha untuk mencapai perpaduan ini saya yakin kedua parti ini perlu ditiadakan? Atau pun tegasnya orang-orang politik partian jangan berada dalam mana-mana wadah yang berusaha ke arah untuk memadukan perpaduan Melayu itu. Kerana kalau mereka ada mereka tetap akan mengutamakan agenda parti politik masing-masing daripada keutamaan-keutamaan lain termasuk soal perpaduan bangsa itu. Bila ini dominan maka hasrat itu akan memberai di pertengahan jalan.

Kedua, perpaduan Melayu boleh sahaja wujud apabila sudah ada kesedaran mendalam di kalangan orang Melayu yang rata-rata beragama Islam. Mereka harus kena diberi faham bahawa perpaduan hakiki ialah atas dasar agama bukan bangsa. Selagi soal agama, kulit kepada kehidupan itu diambil kira, maka selama itulah perpaduan tidak akan wujud. Dalam erti kata lain, kita kena berusaha membuang warna hijau dan biru dan cari satu formula bagaimana memutihkan antara dua warna yang senantiasa kontras itu.

Menutup catatan ini buat saya isu atau mauduk perpaduan Melayu tidak lebih dari dijadikan modal politik semata-mata bukan ia benar-benar untuk membina kekuatan Melayu. Perpaduan Melayu akan kuat dengan sendirinya apabila bangsa Melayu sudah ditimpa kiamat dunia. Tidak ada guna kesedaran mengenai Melayu ini wujud di kalangan beberapa kerat sahaja sedangkan yang lain sedikitpun tidak merasa apa-apa bahanan akan bahaya.

Justeru bangsa Melayu harus ditimpa dengan musibah, kedahsyatan hidup ataupun diancam keaniayaan baru mereka (kita) akan teringat untuk bersatu dan saat itulah kita semua bangkit. Soalnya apakah kita masih mampu untuk bangun membela dan memperkuatkan diri sedangkan anggota kita sudah lemah? Pertanyaan ini akan terjawab selepas kita semua ditimpa musibah di atas kedegilan kita. -http://msomelayu.blogspot.com/

Wednesday, April 20, 2011

Menang yang tidak memberi ketenangan



PUAK UBN di bawah gembira bila BN berjaya mempertahankan kerajaan di Sarawak dalam pilihan raya 16 April lalu. Berbagai istilah atau pun gambaran dibuat atas kemenangan itu. Kononnya Pakatan Rakyat ditolak rakyat dan Anwar Ibrahim sudah tidak mendapat sokongan rakyat lagi.
UMNO pula membuat berbagai tafsiran dan konklusi yang hampir makna dan ertinya dengan pendapat mereka. Apakah benar pendapat mereka dan kesimpulan yang dibuat itu tepat? Bagi mereka yang tidak kenal ilmu hisab dan hanya tahu kemenangan dari segi angka sahaja, memang iya, dan akan menerima apa yang dilaungkan itu.
Tetapi mereka yang tahu membilang, menghitung dan membuat gambaran dan analisa di masa depan sukar untuk menerima apa yang didakwakan itu. Apa yang berlaku di Sarawak itu meresahkan mereka yang memahami alunan politik.
Najib Razak sendiri rasanya tidak menerima kemenangan itu sebagai sebuah kemenangan mutlak. Kemenangan mutlak ialah memberi keselesaan dan rasa tenang hati berpanjang. Kita bergembira dan berpuas hati dengan kemenangan. Dalam konteks politik kemenangan dicapai itu boleh mengekal dan menguatkan kedudukan kita di masa hadapan. Memberi kekuatan untuk berhadapan dengan musuh.
Tetapi tidak begitu dengan kemenangan BN di Sarawak itu. Dari segi bilangan kerusi iya BN masih menang. PBB yang bertanding di 35 kerusi tidak kalah setengah kerusi pun. Kehilangan kerusi BN tidak sampai sesuku pun. Tetapi mungkin ada yang tidak sedar bahawa undi popular BN merosot sebanyak 8 peratus. Dalam perkiraan hisab orang politik dan ahli statistik 8 peratus adalah besar dan membahayakan kedudukan di masa depan.
Perbezaan peratus undi popular di antara BN dengan Pakatan Rakyat sangat kecil. Perselisihannya tidak sampai 10 peratus. Kalau Najib atau mereka yang tahu menghitung dalam UBN tidak seronok dengan pencapaian itu adalah logiknya. Peratus itu tidak menjadi benteng untuk memastikan BN akan menang dalam pilihan raya umum kelak. Hakikat yang perlu diterima pengaruh dan sokongan BN merosot bukan menambah.
BN sendiri tahu kenapa mereka menang dalam pilihan raya itu. Apa yang dapat disumbat dan digunakan semasa pilihan raya umum itu tidak akan dapat dilakukan pada pilihan raya umum ke-13 kelak. Masa inilah BN akan mulai gelisah. Misalnya soal taburan wang dan segala macam kemudahan datuk nenek lain tidak akan dapat dilakukan, kerana tumpuan bukan saja kepada Sarawak saja lagi tetapi seluruh negara. Mustahil BN mampu melakukan apa dilakukan di Sarawak ke seluruh negara.
Boleh diibaratkan pilihan raya Sarawak itu sebagai pilihan raya kecil di mana BN boleh menyediakan apa saja kemudahan, memenuhi keinginan pengundi. Sebagai pilihan raya kecil oposisi akan tertekan dan ditekan dengan seluruh kekuatan yang ada. Tetapi pilihan umum ke-13 adalah pilihan besar yang mana BN tidak dapat memberi tumpuan khusus seperti Sarawak itu. Oposisi tidak boleh ditekan sebegitu rupa lagi. Keadaan ini menyebabkan Najib tidak banyak sangat mengulas kemenangan itu. Apabila Taib Mahmud sekali lagi angkat sumpah ia mematikan seluruh pancaindra Najib untuk membuat previu kononnya kemenangan itu adalah kemenangan BN seluruhnya.
Pola pengundi di Sarawak itu membimbangkan BN yang patut juga dibimbangi oleh orang Melayu. Yang pastinya kerusi didominasi orang Cina akan terlepas kepada orang Cina (DAP). Orang Cina telah melakukan perubahan besar bukan saja setakat evolusi dan transformasi semangat tetapi sudah melakukan revolusi perubahan. Orang Cina sudah sepakat untuk merampas semua kerusi yang mereka dominasi tanpa berkongsi dengan siapa lagi. Mereka mula berbuat begitu kerana mereka sudah ada kekuatan, sudah ada ruang yang dibuka oleh pacar-pacar politik Melayu.
Kalau ingin tahu berapa kerusi yang akan menjadi milik Cina dalam pilihan raya akan datang cuba hitung sendiri dan lihat kedudukan taburan kaum di dalam sesuatu kawasan parlimen. Dari situ nanti akan diketahui berapa kerusi yang bakal dirangkul oleh Cina. Parti yang akan menjuainya ialah DAP.
Dalam hal ini DAP akan menjadi juara. Kalau kerusi milik Cina sebanyak 50 kerusi, maka dalam pilihan raya akan datang kesemua kerusi itu akan menjadi milik DAP. Melihat keadaan sekarang, trend sokongan dan kesungguhan serta keinginan orang Cina, DAP bakal menjadi parti besar dinegera ini yang memiliki kerusi di Parlimen.
Gerakan, MCA, SUPP atau apa saja parti Cina lain sudah tidak menjadi parti pilihan masyarakat Cina lagi. Mereka semua akan bersatu atas satu parti. Apakah ada persepakatan secara semula jadi di kalangan kaum ini, ianya boleh dikaji dan diulas di lain masa dari berbagai sudut dan aspek sosial dan siasah.
Berbalik kepada Sarawak tadi, apa yang dapat disimpulkan yang berlaku dalam pilihan raya tempoh hari, Taib Mahmud menang. Taib Mahmud mengangkat sumpah semula menjadi Ketua Menteri. Tujuan Taib Mahmud bertanding bukan ada yang lain melainkan untuk menang dan kekal sebagai Ketua Menteri. Taib Mahmud tidak akan peduli apakah Malaysia akan terus diperintah BN atau tidak kerana baginya yang penting dia menang di Sarawak.
Beliau tidak bimbang sama sekali akan kehilangan kedudukan dalam tempoh setahun dua ini. Seandainya Najib dan UMNO tidak senang dengan sikapya, Taib boleh buat koner baring dengan menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Baginya apa yang penting dia terus jadi KM.
Ini berbeza dengan Najib. Beliau mahukan kemenangan itu menjana kemenangan berterusan dan menyeluruh. Taib sudah mendapat mandat baru untuk lima tahun lagi, tetapi Najib masih hidup dengan mandat pinjaman dan pesaka dari Abdullah Badawi. Di sinilah perbezaan Najib dengan Taib. Kedudukan Najib sebagai PM masih belum selamat seutuhnya. Apa yang menjadi buruan Najib ialah kemenangan dua pertiga bukannya kemenangan tipis.
Tambahan pula pilihan raya bakal datang adalah yang pertama untuk Najib. Dalam pilihan raya ini dia perlukan kecemerlangan. Kalau dalam pilihan raya pertama itu BN sudah gagal mendapat majoriti dua pertiga, ibarat kata tidak lamalah Najib menjadi perdana menteri. Inilah yang merisaukan Najib menyebabkan keputusan pilihan raya Sarawak itu ditatap dan dihitung sepanjang malam kerana sudah terbayang bahawa beliau akan berhadapan dengan masalah.
Benarlah kata seorang aktivis politik veteran malam tadi; pola pengundian di Sarawak menyebabkan Najib tidak nyenyak tidur. Itulah yang dikatakan kemenangan yang tidak membawa ketenangan!


Dipetik daripada blog Mohd Sayuti Omar