Monday, October 22, 2012

Kenapa tindakan ke atas Syria alasan simbolik?



Muhammad Faizal,22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli kecewa dengan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia bersama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ke atas Syria atas alasan simbolik.

Beliau yang merujuk kepada jawapan dari Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot yang mengatakan dalam menyelesaikan isu konflik di Syria, Malaysia menyatakan pendirian melalui landasan OIC menyokong keputusan yang dibuat dengan mengantung keahlian Syria dalam OIC.

Malah menurut Richard lagi keputusan yang diambil itu merupakan satu tindakan simbolik untuk menghantar meseg yang jelas kepada Syria untuk menghentikan konflik tersebut.

"Ini satu pengakuan yang agak mengecewakan apabila Kerajaan Malaysia mengambil tindakan bersama OIC atas sebutan simbolik.
"Kenapa perlu simbolik, OIC merupakan satu organisasi yang sah mempunyai ahli, peraturan dan peranan, mana boleh sebuah organisasi mengambil tindakan dan peranan simbolik sahaja ke atas Syria," tegas Dr Mohd Hatta sewaktu mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat.
Beliau di dalam soalan lisan meminta Menteri Luar menyatakan rasional Malaysia menyokong tindakan OIC mengantungkan keahlian Syria dalam OIC ekoran krisis yang melanda negara tersebut.

Menurut beliau lagi, Malaysia dan OIC mewakili umat Islam mempunyai tanggungjawab dalam membantu dengan menemukan pihak-pihak yang bertelaggah di Syria.

"Kenapa kita serahkan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), saya tidak bertanya tentang PBB mahupun Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC), tetapi saya tanyakan peranan OIC.

"Kita menyerahkan isu ini kepada pihak lain, sedangkan kita sebagai organisasi yang mewakili umat Islam boleh memasuki negara tersebut untuk mencari penyelesaian namun sebaliknya berlaku," ucap beliau lagi.

Dr Mohd Hatta, tindakan menggantung keahlian Syria di dalam OIC telah menyukarkan Malaysia mahupun negara-negara di dalam OIC untuk berbincang dengan Syria dalam memberikan pandangan terhadap konflik tersebut.

"Saya rasa ini kelemahan yang ketara dan mengganggap sokongan Malaysia tidak mengambil kira masalah negara Islam yang lain.

"Kita ada peluang untuk menyelesaikan masalah dalam sebuah negara lain tetapi perkara tersebut telah diserahkan kepada orang lain," jelasnya lagi.

Beliau yang menegaskan tindakan yang diambil Malaysia dan OIC ini amat memalukan seluruh umat Islam di dunia dan menyarankan agar OIC dibubarkan kerana gagal melaksanakan peranan mereka dalam menyelesaikan konflik di negara-negara Islam.

Sidang Kemuncak Luar Biasa ke-4 OIC yang diadakan pada 14 dan 15 Ogos di kota suci Mekah telah dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hudud: MCA hina Islam, bukan serang PAS



Muhammad Faizal,22 Okt 2012
SHAH ALAM: MCA sebenarnya telah menghina Islam bukannya PAS dalam soal pelaksanaan hukum hudud, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Malah menurutnya lagi, apa yang dilakukan oleh MCA itu membuktikan kegagalan Umno dalam mendidik MCA untuk menghormati kaum serta agama lain.

"Apa yang dilakukan oleh MCA itu membuktikan kegagalan Umno untuk mendidik MCA agar menghormati agama lain sehinggakan MCA berani bertindakan sedemikian.

"Selain itu juga tindakan MCA itu bukannya menyerang PAS tetapi telah menghina agama Islam dan seluruh orang Melayu di negara ini," jelasnya.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam ucapannya di perhimpunan agung MCA ke-59 telah memberitahu lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.

Malah, beliau yang turut menyatakan DAP berjaya meyakinkan orang bukan Islam bahawa hudud PAS akan mengurangkan jenayah dan rasuah di dalam negara ini adalah satu penipuan besar.

"Menghina hukum hudud bukannya menghina PAS tetapi Chua Soi Lek telah menghina Islam dan kita tidak setuju dengan apa yang telah dilakukan oleh beliau.

"Tetapi kenapa Umno berdiam diri dalam soal ini dan ia seolah-olah Umno sendiri merestui apa yang dilakukan oleh Presiden MCA itu," ujar Mohamad.

Beliau tidak mahu atas tindakan keceluparan pemimpin MCA yang terus menghina Islam akan menyebabkan timbulnya ketegangan agama di negara ini.

"Kita tidak kisah kalau Umno ingin bekerjasama dengan MCA tetapi tindakan Umno membiarkan MCA terus menghina Islam adalah perkara yang tidak boleh dibiarkan," tegasnya.

Umno restui Soi Lek guris hati umat Islam



Harakahdaily,22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di Persidangan Tahunan MCA pada 21 Oktober lalu menjawab persoalan kenapa mereka begitu agresif menentang dan memperlekehkan hukum Islam.

“Rupa-rupanya kerana beliau takut tewas dan menganggap bahawa PRU13 ialah perjuangan hidup mati MCA, segala tindak tanduk pemimpin MCA seperti binatang yang sedang meronta-ronta hendak menghembus nafas terakhir.

“Inilah satu cara untuk menarik sokongan orang Cina kepada BN. MCA sedar daripada 10 orang Cina yang ditemui, hendak mencari seorang yang menyokong BN sudah hampir tiada,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad kepada Harakahdaily.

Menurutnya, menjadi suatu yang pelik pula segala kenyataan yang mengguris perasaan umat Islam seolah-olah direstui oleh Umno sehingga Soi Lek mengatakan Datuk Ayub Rahmat Ahli Dewan Umno Johor hilang akal kerana mencadangkan hukum hudud di persidangan Dewan Undangan Negeri, Umno masih tersenyum lebar seolah-olah Umno sudah hilang kejantanan.

Justeru, ujarnya cuba bayangkan jika ucapan itu dikeluarkan oleh pemimpin DAP sudah tentu laporan polis oleh Umno dan NGO serta siri-siri demonstrasi akan dibuat di seluruh negara.

Beliau berkata, MCA dengan agresif hina Islam demi kelangsungan politik MCA yang semakin lemas, manakala Umno semakin semput.

Katanya lagi, di antara kenyataan pemimpin Mca untuk menakutkan orang bukan Islam ialah Soi Lek marah kepada Cikgu Normala Sudirman di Tenang yang tidak mahu bersalam dengan orang lelaki.

“Marah kepada Kelantan kerana cuti Hari Raya Haji dua hari. Mengatakan negara Islam negara rasuah dan membawa kemunduran.

“Datuk Donard Lim Pengerusi Perhubungan MCA Selangor mengatakan, MCA akan pastikan negeri yang dimenangi oleh BN tidak akan laksanakan Islam,” ujarnya lagi.

Idris menambah, Presiden MCA juga dengan lantang mengatakan dia berani melawan Umno untuk menentang hudud di dalam forum pada 18 Februari 2012.

Baginya, segala bentuk penghinaan dan serangan MCA direstui oleh Umno, sehingga mereka diam membisu.

Katanya, Umno sedar sebahagian besar orang Melayu tidak bersama Umno, manakala orang bukan Melayu menyokong Pakatan Rakyat.

Oleh itu, ujar beliau jalan keluar ialah MCA mesti menarik sokongan orang Cina supaya jangan mengundi DAP dan Pakatan Rakyat tetapi sebenarnya perhitungan Umno dan MCA itu silap.

“Orang bukan Islam lebih memahami Islam, dan lebih takut negara akan hancur akibat rasuah, pemborosan dan penyelewengan jika mandat diberikan kepada BN,” katanya.

Buruh paksa: RM207 bilion wang pampasan lesap?



Harakahdaily,22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan BN dituntut supaya menjelaskan di manakah wang bernilai RM207 bilion yang telah diberikan oleh kerajaan Jepun sebagai pampasan kepada 30,000 pekerja buruh paksa pembinaan landasan keretapi dari tahun 1942 hingga 1946.

Ini kerana, walaupun telah diterima kira-kira 10 tahun lalu namun sehingga kini ia tidak diserahkan kepada mangsa atau waris mereka.

Anggota Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin memberitahu Dewan Rakyat, beliau mempunyai dokumen yang mengesahkan kemasukan wang itu.

Yang mengejutkan, kata beliau, pada 13 Disember 2004, Bank Negara mengeluarkan banker's cek bernilai RM107 bilion dan RM100 bilion
lagi diperuntukkan dalam bentuk syer Maybank yang didaftarkan pada 13 Disember 2004.

Ini bermakna, wang RM207 bilion yang sepatutnya diberikan kepada 30,000 mangsa buruh paksa ini telah diterima kerajaan sebelum tarikh 13 Disember 2004 lagi, iaitu kira-kira 10 tahun lalu.

Namun sehingga kini, wang itu tidak diberikan kepada mangsa atau waris mereka.

Ekoran itu, kata Mohamad Nizar, bekas Menteri Besar Perak itu, Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Keretapi Siam ke Burma 1942 - 1946 telah menghantar surat kepada kerajaan Malaysia bagi menuntut wang itu.

Surat itu telah pun dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 27 Julai 2011 menuntut pembayaran wang itu.

“Sejumlah 30,000 rakyat Malaysia yang terlibat dalam pembinaan landasan itu. Sejumlah 60% daripada mereka itu adalah orang Melayu, 20% orang India, dan 15% orang Cina. Selebihnya 5% itu adalah kaum lain”.

Menurut Nizar, pejabat Perdana Menteri apabila menerima surat itu telah pun menyerahkan satu salinan untuk dipanjangkan kepada Kementerian Sumber Manusia ada 9 Ogos 2011.

Beliau juga difahamkan, semua pihak dalam kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara telah bersetuju agar duit itu diserahkan kepada 30,000 mangsa ini.

"Saya mahu menyatakan di sini kalau sekiranya perkara itu telah pun dibentangkan dan diluluskan oleh Kabinet, maka kenapa ianya harus disimpan oleh Treasury ataupun Bendahari Kewangan kita sebegitu lama?" soal Nizar dalam ucapannya itu.

Menurutnya, mereka yang terlibat ada yang telah meninggal dunia, ada yang warisnya masih ada.

"Saya boleh menyatakan bahawa ayah kepada Tan Sri Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Ketua Hakim Malaya hari ini adalah salah seorang daripada mereka yang dikerahkan oleh Kerajaan Jepun ketika itu untuk membina landasan kereta api dan dia masih hidup lagi.

"Dia masih ada di Ipoh dan boleh menceritakan bagaimana susahnya 30,000 rakyat Malaysia ketika itu," beritahu Nizar kepada Dewan Rakyat.

Nizar bertanya, "kalau sekiranya wang itu telah diberikan sebagaimana yang dinyatakan, maka kenapakah kerajaan masih tidak memberikan pampasan itu kepada rakyat Malaysia yang telah dipaksa untuk melaksanakan kerja-kerja itu?"

Bagi beliau, ini merupakan satu amanah yang sewajarnya rakyat Malaysia sedar kerana ini satu hak kepada rakyat yang dinafikan oleh kementerian-kementerian tertentu  iaitu Kementerian Kewangan barangkali, Bank Negara dan juga Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perdana Menteri yang telah pun mengarahkan supaya kertas Kabinet diluluskan.

"Jadi saya hendak bertanya sama ada rayuan daripada persatuan itu. Mereka merayu supaya pampasan diberikan kepada mereka, kenapa ianya dinafikan?" soal beliau tegas.

Menurut beliau juga, kerajaan Filipina, Indonesia dan juga Vietnam juga menerima wang yang sama dan telah diserahkan kepada rakyatnya yang terlibat.

Iktibar daripada pembebas Palestin



Akademi Tarbiyah DPPM,05 Okt 2012
Pada tahun 636 M seramai 41 ribu tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al- Walid, berjaya menewaskan 70 ribu tentera Rom. Kekalahan tentera Rom pada waktu itu yang dikenali dalam perang Yarmouk, telah membuka peluang kepada umat Islam menguasai Baitul Maqdis.

Kerajaan Rom ingin menamatkan penjajahan mereka di Timur Tengah dengan menyerahkan Kota al-Quds kepada umat Islam. Bagaimanapun, Patriarch Sophronius seorang uskup gereja di al-Quds berkeras dan enggan menyerahkan Baitul Maqdis kepada umat Islam kecuali Amirul Mukminin, Umar Al Khattab datang sendiri menemui rakyat Illiya’ dan mengambil kunci daripada tangannya sendiri. Di sinilah hikayat agung pembukaan Kota al-Quds yang diukir Sahabat Rasulullah SAW yang digelar al-Faruq, Umar al-Khattab.
Setelah bermesyuarat, Umar pun berangkat dari Madinah ke Palestin dengan hanya menaiki seekor unta dan ditemani oleh seorang khadamnya sahaja.

Menurut riwayat, Umar dan khadamnya bergilir-gilir menaiki unta. Jika Umar menaiki unta, maka khadamnya yang akan memandu pedati unta tersebut. Mana kala jika khadamnya naik unta, Umar pula yang akan berjalan menjadi pemandu permusafiran itu. Setiap kali giliran dilakukan, mereka akan membaca surah Yassin sehingga tamat. Itulah yang dilakukan oleh Umar dan khadamnya sehingga tiba di Kota al-Quds.

Apabila Kota al-Quds semakin dekat, khadamnya memesan agar Umar terus mengambil kedudukan di atas pelana unta, sementara dia yang akan memandu unta tersebut. Tetapi Umar melarang dan mengarahkannya agar terus mengikut tempoh gantian yang telah disyaratkan sejak berada di Madinah. Dan kebetulan saat mereka berdua hampir ke gerbang Kota al-Quds, adalah giliran Umar memandu unta tersebut. Saat itu rakyat Illiya’ yang majoritinya beragama Nasrani memenuhi Jerusalem. Mata mereka tertumpu kepada seorang pemimpin yang tidak pernah mereka lihat sepanjang sejarah.

Lazimnya penguasa-penguasa Rom akan membawa bala tentera dan sejumlah kebanggaan diraja, permaisuri dan gundik-gundik yang sudah menjadi kemestian mereka. Tetapi Umar sebagai khalifah Islam, yang berjaya mengurus tenteranya menundukkan Rom, datang dengan baju yang lusuh dan bertampal, manakala kedua-dua kakinya dipenuhi debu pasir.

Pembesar-pembesar Kristian terpegun melihat kerendahan Umar sekalipun kuasa pemerintahan terbuka luas di tangannya. Mereka semua mengandaikan Umar akan tiba dengan satu rombongan yang besar, sehebat reputasi kerajaan dan namanya, sebaliknya Umar hanya ditemani oleh seorang khadam dan unta yang dipandunya Umar sendiri.

Mereka merasakan perbezaan yang sangat ketara antara peribadi Khalifah Umar dengan semua Raja Kaisar yang pernah menakluk Jerusalem sebelum ini. Lalu seluruh rakyat Iliya’ di Kota al-Quds itu memberikan penghormatan kepada Umar sambil menundukkan kepala. Kemudian Umar berteriak keras, “Angkat kepala kalian sesungguhnya kamu tidak perlu menundukkan kepala (sujud) seperti ini kecuali kepada Tuhan.”

Terpegun Sophronius melihat kesederhanaan Khalifah, lalu dia berkata, ”Jika beginilah pemimpin Islam, sesungguhnya kerajaan kamu (Umar) tidak akan tewas.”
Khalifah Umar kemudiannya menerima penyerahan kunci kota suci itu secara rasmi daripada Sophronius. Kemudian Umar mengikat jaminan aman kepada penganut Kristian Iliya’ yang ingin tetap tinggal di Jerusalem.

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Inilah perdamaian yang diberikan oleh hamba Allah Umar, Pemimpin Negara Islam kepada rakyat Iliya'. Islam menjamin keamanan rakyat Iliya’, keselamatan harta benda , gereja-gereja, salib-salib, mereka yang sakit mahupun yang sihat dan seluruh keyakinan aliran agama mereka. Tidak boleh mencerobohi gereja mereka mahupun memusnahkan, mengurangi (melakukan rampasan) mahupun menghilangkan sama sekali…”

Genap 10 hari Saidina Umar bersama tentera-tentera Islam yang kemudiannya masuk ke Kota al-Quds dengan aman. Kejayaan tersebut diraikan dengan doa kesyukuran kepada Allah Taala. Sewaktu berdoa, Umar tiba-tiba menangis.

Lalu salah seorang bertanya kepada Umar, “Wahai Umar adakah kamu menangis kerana kemenangan ini?”

“Iya, aku menangisi kemenangan ini. Aku teringatkan Baginda Nabi SAW pernah bersabda; “Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan terhadap diri kalian. Tetapi yang aku khuatirkan adalah kesenangan dunia yang dibentangkan pada kalian sebagaimana diperoleh oleh orang-orang sebelum kalian. Lalu kalian semua saling pintas-memintas untuk mendapatkannya sebagaimana mereka, sehinggalah harta tersebut membinasakan kalian seperti mereka dibinasakan.” (Sahih Muslim)

Setelah itu, Umar kembali bersama khadamnya menuju semula ke Madinah. Datang dan perginya Khalifah Umar, hanya berperawakan seperti musafir biasa dan rakyat jelata. Inilah sifat peribadi tokoh yang mampu membebaskan Palestin, mereka adalah orang yang zuhud (memanfaatkan dunia seadanya, tidak melampau atau berlebih-lebihan) dalam semua perkara.

Kisah Sultan Salahuddin Al Ayyubi

“…This is what the Lord Almighty says, ‘I will punish the Amalekites for what they did to Israel when they waylaid them as they came up from Egypt. Now go, attack the Amalekites anda totally destroy everything that belongs to them. Do not spare them; put to death men and women, children an infants, cattle and sheep, camels and donkeys’.” – Samuel I 15:3, International Version

Petikan itu adalah paragraf Bible yang diimani para tentera Salibiyyah ketika melumatkan penduduk Islam di Palestin pada 7 Jun 1099 M (493 H). Amalekites ataupun disebut ‘Amlaaq’ di dalam bahasa Arab, disifatkan sebagai golongan anti-Semitism. Mereka yang menanggung gelaran itu berhak dirampas haknya, dirosakkan bangunan dan penginapannya serta segala harta milik kaum Muslimin terutamanya dihancurkan, tidak kira sama ada mereka itu lelaki, wanita, kanak-kanak mahupun warga emas. Semuanya dibelasah, dibantai dengan jiwa rakus penuh kekejaman.

Ketika perang Salibiyah berlaku pada tahun tersebut, diangggarkan 40 ribu kaum Muslimin yang terbunuh, dan dengan megah Godfrey of Bouillon menegakkan Ordo Sion di bumi Palestin. Peranan yang dimainkan Godfrey telah berhasil mengangkat adiknya, Baldwin I sebagai Raja Jerusalem pertama setelah rampasan kota suci tersebut dari tangan Muslim. Berita kemenangan Godfrey itu dikhabarkan sehingga mereka terpaksa merenangi lautan darah apabila deretan gelumang mayat umat Islam dibunuh setinggi kaki kuda.

Keserakahan Salibiyyah di bumi Palestin kemudiannya dihentikan oleh Salahuddin Al Ayyubi (1169-1193 M) pada 583 H di dalam peperangan Hittin. Tentera Salibiyyah yang dibidak Guy The Lusignan dan Reynald The Chatillon mengalami kekalahan teruk dan sangat memalukan.

Namun, yang yang dilakukan oleh Salahuddin al-Ayyubi sangat berbeza dengan tindakan yang pernah dilakukan oleh Godfrey, peristiwa pembantaiannya terhadap penduduk Palestin 90 tahun sebelum ini. Setelah Jerusalem berjaya ditawan tentera Islam, Salahuddin diancam oleh Balian, Baron of Ibelin yang telah kalah dalam pertempuran itu untuk membunuh keluarga mereka sendiri, haiwan ternakan, membunuh 5,000 orang Islam yang ditawan, meruntuhkan kubah batu (Doom of the rock) dan juga Masjidil Aqsa.

Setelah Salahuddin mendengar hujjah dungu kekalahan Balian, seraya beliau bertanya kepadanya, “Adakah kaum wanita, kanak-kanak yang tidak berdaya hendak juga kamu bunuh?”

Melihatkan ancaman Balian itu, Salahuddin Al Ayyubi menawarkan kepada orang-orang Kristian di Palestin, “Jika tentera Salib menyerah, mereka dan seluruh keluarga termasuklah harta-harta mereka boleh meninggalkan Jerusalem dalam tempoh masa 40 hari.”

Hal itu mengejutkan Balian, walaupun sebelum ini tentera Salibiyyah yang pernah dipimpin Godfrey membunuh puluhan ribu orang Islam setelah berjaya merampas Palestin, tetapi Salahuddin tetap memberikan peluang kepada tebusan-tebusannya tanpa menaruh rasa dendam untuk membalas perbuatan Godfrey.

Salahuddin memberi peluang membebaskan mereka dengan wang tebusan bagi seorang lelaki sebanyak 10 dinar, wanita 5 dinar dan kanak-kanak 1 dinar. Wang tebusan itu adalah harga kemerdekaan yang paling murah pernah dilakukan, malah Salahuddin menetapkan bahawa seluruh jumlah wang tersebut akan digunakan untuk membangunkan semula Jerusalem yang telah musnah. Lalu berbondonglah para bangsawan dan panglima tentera Salib keluar dari Jerusalem, mereka keluar dari kota itu tanpa mempedulikan nasib yang menimpa kepada para pengikut mereka sebelum ini yang tidak mampu membayar wang tersebut walau dengan jumlah 1 dinar.

Apabila Salahuddin Al Ayyubi mengetahui masih ada yang tidak mampu membayar dengan jumlah yang ditawarkan itu, maka Salahuddin kembali mengumumkan bahawa sesiapa yang miskin akan dibebaskan tanpa bayaran. Keluarlah mereka beramai-ramai dari pintu St. Lazarus dari pagi sehingga ke malam bersaksikan keadilan yang dimiliki oleh Sultan yang beragama Islam itu.

Keluhuran akhlak dan kecintaan Salahuddin al-Ayyubi kepada kedamaian begitu mendalam walaupun beliau sendiri merupakan panglima perang, tetapi jalan peperangan bukanlah jalan yang ditagih, sebaliknya perang dilakukan adalah kerana cintanya untuk mempertahankan Islam.

Di Mesir, Salahuddin membina sebuah benteng tebal yang kukuh dan panjangnya lebih daripada satu kilometer. Di Dimashq, beliau telah mendirikan rumah pemeliharaan bagi orang-orang miskin. Demikian juga di Sudan, Yaman dan lain-lain negara yang pernah ditadbirnya terdapat banyak bangunan kebajikan untuk rakyat. Tetapi ketika akhir hayat Salahuddin, sultan yang pernah mengepalai negara dari Syam sehingga ke Afrika itu hanya meninggalkan 1 dinar dan 36 dirham. Tiada sebutirpun emas, sebidang kebun atau tanah yang mampu diwariskannya. Sehinggakan peruntukan untuk membeli kain kafanpun merupakan hasil sumbangan menteri kerajaannya. Ternyata Panglima besar ini, Salahuddin tidak memikirkan sama sekali harta untuk dirinya. Semua tenaga dan harta miliknya  dicurahkan untuk perjuangan di jalan Allah semata-mata.

Kisah Sultan Saifuddin Qutuz

Sejarah kembalinya Palestin ke tangan orang Islam diteroka dan ditinjau, sebenarnya diteraju oleh pemimpin yang terdiri dari orang yang terlebih dahulu berjaya membebaskan dirinya dari penghambaan kepada nafsu mahupun mana-mana perkara yang tidak selayaknya disembah melainkan Allah Taala. Hal ini kerana, bagaimana kita mampu menewaskan musuh yang nyata sekiranya kita sendiri kalah dengan musuh yang menghuni diri kita sendiri. Demikian itu, kita saksikan hari ini di Palestin, Israel terus menggasak kerana percaya bahawa umumnya dunia Islam masih belum berhijrah memperbaiki diri dan mudah diperbudakkan ibarat lembu yang dicucuk hidungnya.

“Perbaiki cela yang ada pada diri, baharulah kamu mampu memperbaiki cela orang lain...”; Inilah rumus kemenangan umat Islam ke atas tentera-tentera anak cucu Genghiz Khan (tentera Tatar) di Ayn Jalut, Palestin. Ketika seluruh peta Islam jatuh ke pesta pembunuhan yang dilakukan tentera-tentera Tatar, Sultan Saifuddin Qutuz telah berjaya menewaskan mereka yang kelaparan darah para mujahidin.

Apakah kaedah yang digunakan oleh Qutuz?

Sebelum Qutuz membawa bala tenteranya ke medan perang, beliau terlebih dahulu menyisihkan pemimpin yang korup dan memerangi penguasa umat Islam yang kecundang dengan nafsu.

Qutuz pernah melaungkan kata-katanya kepada penguasa yang bertuankan hawa nafsu,“Wahai pemimpin umat Islam! Kamu diberi gaji daripada baitul maal sedangkan kamu benci untuk berperang, kamu tidak mempertahankan maruah Islam! Aku ingin berhadapan kepada Allah dan Rasul-Nya dalam keadaan mempertahankan agama, maka sesiapa di antara kamu memilih untuk berjihad, temani aku. Dan sesiapa memilih untuk enggan berjihad, pulanglah ke rumah. Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan dosa kehormatan Muslimin yang akan ditanggungnya oleh orang yang tidak turut  berjihad...”.
Dari hal itu, Qutuz telah mendahulukan harta kerajaan untuk diinfaqkan ke medan jihad, sebelum meminta kerahan hasil baitul maal dan harta rakyat jelata disumbangkan.

Qutuz turut melakukan pengislahan terhadap politik negara yang ketika itu tidak stabil dengan ketamakan dan perebutan kuasa yang berlaku antara penyokong Turansyah (cucu Almarhum Sultan Salahuddin al-Ayyubi), penyokong Syajaratud Durr, penyokong Sultan an-Nasir Yusuf di Syam dan penyokong Sultan ‘Aizzudin Aibaq. Qutuz menghentikan permusuhan yang berlaku antara Mamluk Bahriyyah dan Mamluk Mu’izziah, serta mengeratkan hubungan Mesir dan Syam yang sebelum ini tegang dengan persengketaan di antara ‘kem’ Ayyubiyah dengan ‘kem’ Mamluk. Orang-orang Ayyubiyah menganggap orang Mamluk tidak berhak memerintah Mesir kerana mereka daripada golongan hamba.

Qutuz turut menjernihkan perbalahan antara penyokong Khawarizmiyyah dengan penyokong Abbasiyyah yang pernah dihangatkan dengan api permusuhan doktrin dan aliran.

Qutuz juga meninggikan institusi ulama’ sebagai organisasi tertinggi di dalam kerajaannya, di mana Sultanul Ulama’ Sheikh ‘Izziddin Abd Salam dijadikan penasihatnya dalam semua keputusan kerajaannya. Demikian itu, baharulah Allah Taala memberikan kemenangan kepada Qutuz di Ayn Jalut, bertepatan dengan syarat kemenangan-Nya :

“...Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata: Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; Sesungguhnya Allah akan membatalkan (kemenangan), adapun Allah tidak akan memberikan kebaikan (kemenangan) kepada orang-orang yang melakukan kerosakan. Dan Allah akan mengukuhkan kebenaran dengan ketetapan-Nya, walaupun orang-orang yang membuat dosa tidak menyukai.” (Surah Yunus: 81).

Allah akan membatalkan kemenangan dan memberikan kepalsuan kepada orang yang melakukan kerosakan. Dan kemenangan daripada Allah hanya akan diberi apabila syarat-syarat telah terpenuhi apabila syariat-Nya dijaga.

http://www.tarbawi.my

Skandal Musa Aman cacatkan visi Najib



Kim Quek,22 Okt 2012
Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendedahkan pemberi sumbangan $16 juta wang seludup yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, selepas pengakuan awal menteri beliau bahawa wang itu adalah wang sumbangan kepada Umno Sabah, hanya menambahkan syak wasangka ke atas penipuan dan penutupan salah guna kuasa peringkat tinggi dalam koridor kuasa.

Menteri beliau, Nazri Aziz sebelum ini (11 Oktober) memberikan satu jawapan bertulis di Parlimen menafikan bahawa wang $16 juta tersebut adalah wang Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, dan mendakwa bahawa ia adalah wang sumbangan kepada Umno Sabah, walaupun pembawa wang tunai tersebut, Michael Chia Tien Foh, adalah ejen peribadi yang terkenal dan sekutu rapat Musa Aman, seperi yang akan dihuraikan selepas ini.

Dalam usaha lain untuk menolak tanggapan salah laku dalam peristiwa ini, Nazri Aziz dalam kenyataan beliau menambah bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat kesimpulan bahawa "tiada unsur rasuah dapat dibuktikan".

Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut sangat bercanggah pendirian terbaru SPRM mengenai isu itu, yang disiarkan hanya beberapa hari lebih awal.

Menjawab soalan pemberita di luar persidangan International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) yang ke-enam yang baru melabuhkan tirai di Kuala Lumpur, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Shukri Abdul berkata pada 5 Oktober: "Siasatan terhadap Musa adalah berkaitan rasuah dan kami telah selesai melakukan siasatan, tetapi panel telah mengarahkan kami untuk mendapatkan lebih banyak bukti."

Dengan “Panel", Shukri Abdul merujuk kepada panel kajian operasi SPRM, yang mengarahkan bahagian operasi untuk mengumpul bukti lanjut terhadap Musa selepas dibentangkan laporan kes itu semasa panel berkenaan bersidang Mei lalu.

Ketua penyiasatan SPRM mendakwa kes ini masih di dalam siasatan, bagaimana Nazri pada masa yang sama mendakwa bahawa SPRM telah membuat kesimpulan bahawa tiada bukti kes rasuah?

Kesemuanya Jawapan Tidak Jujur

Jelas sekali, salah satu daripada mereka berdua mesti berbohong, atau lebih berkemungkinan, kedua-duanya berbohong kerana tiada kredibiliti dalam dalam apa yang mereka perkatakan jika mengambil kira keseluruhan kes tersebut.

Nazri, tidak mungkin untuk bercakap benar, kerana dia tidak mungkin lebih tahu daripada ketua penyiasatan.

Shukri pula, bagaimana kita boleh mempercayai beliau bahawa SPRM tidak dapat membuat kesimpulan selepas siasatan selama empat tahun ke atas kes mudah seseorang yang jelas ditangkap menyeludup wang haram dengan jumlah yang besar? Lagipun, banyak bukti di Internet menunjukkan carta rumit aliran wang yang berasal dari rasuah balak di Sabah dengan Michael Chia sebagai salah satu titik penghubung yang kemudiannya berakhir dalam akaun peribadi Musa Aman di UBS AG di Zurich.

Malah, carta yang menunjukkan pergerakan wang beserta dengan butiran akaun telah dihasilkan oleh Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC), yang satu salinannya telah dihantar ke SPRM, menurut laman web Sarawak Report, yang juga telah menyiarkan carta di http://www.sarawakreport.org/2012/04/hold-on-trust-for-aman-more-devastating-evidence-from-the-icac-investigation/.

Ia tidak sukar untuk melihat dari carta rumit yang mengandungi akaun bank dan transaksi wang ini bahawa kejadian $16 juta hanyalah kemuncak operasi haram untuk menyalur keluar wang rasuah balak secara besar-besaran dari Sabah.

ICAC juga telah mengemukakan penemuannya kepada SPRM, dan meminta untuk mengadakan kerjasama antara negara untuk menyelesaikan kes tersebut,tetapi percubaan tersebut dilaporkan telah dihalang oleh Peguam Negara, Gani Patail.

Bolehkan SPRM menafikan bahawa mereka memiliki hasil siasatan susah payah ICAC dalam kes itu termasuk carta aliran wang yang secara tuntasnya membuktikan Musa Aman bersalah? Mungkin Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung rasuah perlu memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim untuk menjawab soalan ini.

Pendedahan Penipuan Musa

Tambahan kepada krisis kredibiliti kedua-dua Nazri dan Shukir adalah penafian oleh Musa Aman terhadap kesemua tuduhan ke atasnya.

Menjawab pelbagai tuduhan Sarawak Report antara lainnya seperti, dua anak lelaki Musa yang belajar di Australia kerap menerima sogokan balak dari akaun bank yang dikawal oleh Chia, Musa menafikan tuduhan ini dalam satu kenyataan bertulis pada 12 April, 2012 yang berbunyi:

"Saya menafikan semua tuduhan ini. Saya ingin jelaskan bahawa saya tidak mempunyai hubungan perniagaan atau apa apa hubungan sekalipun dengan individu bernama Michael Chia ".

Penafian Musa, bagaimanapun, bercanggah dengan penya-penyata bank yang dikeluarkan di Mahkamah Tinggi Singapura dalam saman sivil (Saman No.752 2010/N) pada bulan Jun yang telah dibawa oleh bekas rakan sekutu Chia dan kini seteru beliau yang melibatkan pertikaian wang.

Untuk mempertahankan kedudukannya dalam pertikaian itu, UBS AG mengeluarkan penyata bank yang jelas menunjukkan bahawa anak lelaki Musa, Mohammed Hayssam Musa dan Hazem Musa Hazem Mubarak Musa adalah penerima tetap wang yang dikirimkan dari akaun syarikat-syarikat yang Chia dakwa berada di bawah kawalannya. Syarikat-syarikat ini yang berdaftar di British Virginia mempunyai sejumlah wang tunai yang secara misteri mengalir di akaun- akaunnya adalah alat jelas pengubahan wang haram.

Oleh itu, UBS AG dan Chia, atas keperluan untuk mempertahankan kedudukan masing-masing, tanpa sengajanya telah memberikan bukti kepada mahkamah yang memberitahu kita bahawa Musa Aman telah membuat satu pembohongan terang-terangan yang ‘dia tidak mempunyai apa –apa kaitan pun dengan Michael Chia’. Lebih daripada itu, dokumen-dokumen bank ini juga mengesahkan dokumen milik Sarawak’s Reports (termasuk carta aliran yang dinyatakan di atas) yang kerap timbul dalam pendedahan usaha jahat Musa Aman sebagai raja balak Sabah.

Menariknya, menurut Sarawak Report, laporan-laporan rahsia ini adalah dokumen bocor yang bukan sahaja daripada ICAC, tetapi juga daripada SPRM, yang telah menjalankan siasatan selari mengenai rasuah balak Sabah, berikutan penahanan Michael Chia di Hong Kong pada 14 Ogos 2008 untuk penyeludupan wang dan pengubahan wang haram.

Berdasarkan sikap SPRM yang mendiamkan diri buat tempoh yang lama, dan tiadanya tindakan meskipun dengan pelbagai bukti rasuah balak Sabah di tangan mereka, adalah tidak sukar untuk kita membayangkan batasan-batasan untuk mereka beroperasi.

Umno membuktikan dirinya bersalah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pastinya tidak membantu dengan secara ringkas dan kasarnya enggan untuk mendedahkan sumber atau apa-apa maklumat yang mungkin mengurangkan graviti skandal ini. Dalam pertemuan dengan pihak akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional pada 12 Oktoober, dia cuba untuk membersihkan insiden kotor ini dengan mengatakan "Setiap parti politik mempunyai hak untuk menerima sumbangan politik selagi ia dilakukan dengan cara yang betul" . Beliau menambah bahawa jumlah derma adalah tidak relevan, dan mengulangi proviso "Selagi ia dilakukan dengan cara yang betul".

Ia benar-benar membingungkan bila difikirkan bahawa Perdana Menteri boleh menganggap cara yang pelik untuk menyampaikan sumbangan itu sebagai "cara yang betul".

Kita mungkin perlu mengingatkan Perdana Menteri bahawa penyeludupan wang dan pengubahan wang haram adalah kesalahan jenayah yang serius, di mana Michael Chia perlu didakwa, disabitkan kesalahan, dipenjarakan dan dirampas wang tunainya, kalau bukan kerana keengganan Kerajaan Malaysia untuk berkerjasama dengan pihak berkuasa Hong Kong.

Dan kerana Michael Chia hanyalah seorang penghantar, maka tuan yang Chia berkhidmat untuknya – UMNO – adalah jauh lebih bersalah.

Dalam mana-mana negara demokrasi, penguatkuasa undang-undang akan mengambil tindakan berikutan pengakuan terbuka Perdana Menteri yang melanggar undang-undang; tetapi sudah tentu, di negara yang semuanya boleh, tiada apa-apa yang berlaku – Tiada apa-apa untuk kita kecohkan?

Skandal terbaru ini hanyalah salah satu daripada banyak kes yang tidak henti-henti muncul menjelang pilihan raya. Ia hanya mengukuhkan fakta bahawa transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri kita yang sendiri mengaku sebagai “reformis" adalah ilusi dan bukan kebenaran.

Untuk visi beliau pula, "demokrasi terbaik" dan status "negara maju" dalam tempoh terdekat, bukankah ia hanyalah angan-angan yang tidak akan kesampaian?

--------------------------------------------
Terjemahan Mohamad Yahya

Najib membisu tanda setuju Chua Soi Lek hina hudud



Abdul Aziz Mustafa,22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Penghinaan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terhadap hudud membuktikan 'hati perut' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebenarnya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Ketika Presiden MCA itu berucap menghina undang-undang Islam itu, Najib berada di situ kerana selepas ucapan Chua, beliau pula yang berucap untuk merasmikan Perhimpunan Agung MCA itu.

"Tidak sepatah pun Najib cuba memberikan penjelasan dalam ucapan beliau bagi menolak perbuatan Chua menghina hukum hudud," katanya.

Mahfuz menyifatkan tindakan Najib yang memilih untuk membisu dan enggan memberikan penjelasan selepas penghinaan Chua itu membuktikan sikap beliau dan Umno yang bersetuju dengan penghinaan itu.

"Sudah menjadi kesepakatan umum bahawa membisu biasanya bersetuju," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menyifatkan sikap membisu itu membuktikan betapa buruknya kelakuan Najib "kerana ketagih dan kemaruk sangat undi masyarakat Cina".

"Najib membisu dan enggan memberikan penjelasan walaupun Presiden MCA itu menghina hudud kerana beliau ketagih dan kemaruk sangat undi masyarakat Cina.

"Buruk sungguh kelaku Najib semata-mata kerana hendak memikat undi Cina kepada Barisan Nasional (BN) yang diketuainya," katamya.

Mahfuz bagaimanapun yakin majoriti masyarakat Cina sudah pun membuat keputusan yang tidak boleh diubah lagi untuk menolak BN.

"Tidak kira walau sehebat mana pun Umno, BN, MCA dan Chua dirasuk oleh kemarahan mereka terhadap hudud dan Pakatan Rakyat (PR), majoriti besar masyarakat Cina semakin membuktikan dengan terus terang dan berani bahawa mereka bersama-sama PR," katanya.

Mahfuz juga yakin masyarakat Melayu juga semakin ramai yang menolak BN apabila mereka melihat Umno seolah-olah melantik Chua menjadi mufti mereka.

Hina Islam: Umno subahat demi jaga hati MCA



Harakahdaily,22 Okt 2012
KUALA LUMPUR: Ulama Umno sepatutnya mengajar Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa menghina hudud adalah menghina Islam kerana ia sebahagian daripada ajaran Islam.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh (gambar) menyatakan demikian sebagai respons kepada ucapan Soi Lek selaku Presiden MCA di Perhimpunan Agung MCA ke-59, kelmarin.

Katanya, Chua nampaknya terus meracau apabila berkata bahawa lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud dianggap sebagai antara negara paling korup, tidak stabil dan tidak selamat.

“Bahkan dakwaan ini sangat pelik apabila beliau tidak menamakan mana-mana negara dalam ucapannya tersebut untuk menghina hudud,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Begitu juga, jelasnya memperlekehkan hudud adalah sebenarnya memperlekehkan Allah dan Rasul-Nya s.a.w. kerana Allah adalah pencipta undang-undang hudud dan Rasulullah s.a.w. adalah pembawa risalah Islam termasuklah risalah hudud.

Justeru, kata beliau memperlekeh dan menghina hudud adalah bermakna memperlekeh dan menghina pencipta hudud dan pembawa risalahnya.

“Jika Umno begitu marah terhadap pembikinan filem Innocence of Muslims yang menghina Rasulullah s.a.w., Umno juga sepatutnya sangat marah terhadap keceluparan Datuk Seri Chua kerana menghina Rasulullah s.a.w. yang membawa ajaran Hudud.

“Tetapi Umno nampaknya tidak akan menegur Datuk Seri Chua kerana penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w. melalui Hudud menguntungkan politik Barisan Nasional khususnya untuk menarik undi orang Cina,” katanya yang juga Setiausaha Majlis Syura PAS.

Buktinya, kata beliau ucapan Chua tersebut dibuat di hadapan Presiden Umno sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedikit pun tidak menegurnya.

Bahkan, ujarnya ketika sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung tersebut, Datuk Seri Chua berkata "Umno tahu apa yang baik dan buruk dalam melaksanakan sesuatu perkara. Kalau Umno nak laksana hukum itu, sudah lama dilakukan tetapi Umno menghormati pendirian dan kepentingan bangsa lain”.

“Kenyataan seumpama ini menggambarkan bahawa Umno bersubahat menolak hudud demi menjaga hati MCA lebih daripada menjaga hati Rasulullah s.a.w,” katanya lagi.

Demo di Kuwait: Polis tembak gas pemedih mata



Terjemahan Mohamad Yahya,22 Okt 2012
KUWAIT: Polis Kuwait telah menembak gas pemedih mata dan peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang mengadakan perarakan mengutuk perubahan undang-undang pengundian, yang diumumkan oleh kerajaan menjelang pilihan raya parlimen 1 Disember, ujar saksi.

Protes di ibu negara, Kuwait City, telah diadakan Ahad lalu selepas kumpulan pembangkang berkata mereka akan memboikot pilihan raya yang akan datang, dan melabelkan pindaan kepada sistem pengundian sebagai "rampasan kuasa terhadap perlembagaan".

Perarakan diadakan merentasi bandar , mengingkari perintah pihak berkuasa untuk mengehadkan protes kepada kawasan di luar parlimen sahaja.

Pemilihan Disember ini adalah pemilihan kali kedua tahun ini dan kali kelima sejak pertengahan 2006, dengan Parlimen telah berulang kali dibubarkan kerana pertikaian politik.

Kerajaan, pada mesyuarat agung luar biasa di Kuwait City Sabtu lalu, mengarahkan pilihan raya diadakan pada 1 Disember, dan memutuskan untuk meminda undang-undang pilihan raya, yang membolehkan setiap pengundi untuk memilih seorang calon sahaja dan bukannya empat seperti sebelum ini.

Kuwait mengalami perebutan kuasa antara pihak kerajaan, yang dikawal oleh keluarga pemerintah al-Sabah, dan ahli parlimen yang dipilih. Perebutan kuasa ini telah menyekat rancangan pembangunan dan melumpuhkan sistem politik.

Pemimpin pembangkang, yang bermesyuarat di sebuah rumah tetamu milik oleh bekas speaker parlimen Ahmed al-Saadoun, menyalahkan kerajaan untuk krisis politik dan memberi amaran ia memandu negara ke arah "pemerintahan autokratik yang menindas".

"Kami menyeru kepada rakyat Kuwait yang bebas dan  bermaruah ... untuk memboikot pilihan raya akan datang, dengan menahan diri daripada bertanding mengundi, "satu kenyataan kumpulan pembangkang selepas mesyuarat  Sabtu lalu.

Mereka meminta rakyat Kuwait untuk menyertai perarakan protes pada hari Ahad, dan memberi amaran kepada Menteri Dalam Negeri dari melakukan "keganasan" terhadap protes tersebut.

Kementerian Dalam Negeri berkata mereka tidak akan membenarkan mana-mana "mogok duduk, perhimpunan, perarakan, ... di mana-mana tempat selain daripada dataran yang menghadap parlimen".

"Sebarang tindakan keganasan, rusuhan, hasutan keganasan yang menjejaskan keselamatan negara akan ditangani dengan tegas," kata kementerian itu. (Aljazeera)

Hati mana tak terharu, masih ada yang tinggal di rumah memacam ini...



http://greenboc.blogspot.com,22 Okt 2012

Kunjungan kami ke rumah Poksu atau nama sebenarnya Mustapha Mamat, 75, di Kg. Pengkalan Samak, Merlimau, amat menyayat hati dan menyentuh perasaan kami.

Dengan tempat kediamannya yang sukar untuk dipanggil "rumah" seperti gambar yang tertera di atas, disitulah Poksu tinggal menahan sejuknya malam dan hangatnya mentari siang.

Berasal dari Kg. Aur Telong, Bachok, telah menetap di Merlimau sejak 18 tahun yang lalu. Bekerja dengan mengambil upah menurunkan buah kelapa dengan dibantu oleh seekor beruk peliharaannya, itulah sumber pendapatannya untuk meneruskan hidupnya sehari-hari.

Beliau tidak memiliki sebarang kenderaan, justeru itu terpaksa berjalan kaki untuk ke mana-mana sekalipun jarak dari rumahnya untuk ke mana-mana agak jauh juga, sehingga kami ternampak kesan bengkak di kakinya lantaran berjalan untuk mencari makanan walau sesuap nasi di kedai berhampiran.

Dengan rasa penuh sebak dan keinsafan, Ketua Pemuda PAS Melaka, Sdra Yuhaizad Abdullah bersama-sama dengan Jawatankuasa PAS Cawangan Merlimau Timur, pada petang tadi telah menziarahi Poksu dan telah membawa Poksu untuk ke bandar Merlimau dan membelikannya sebuah basikal agar memudahkan pergerakannya mencari rezeki.

Pihak PAS Cawangan Merlimau Timur juga berhasrat untuk membinakan sebuah rumah kediaman untuk Poksu - dengan kos lebih kurang RM10,000 - dengan harapan agar Poksu dapat hidup dengan lebih selesa daripada keadaan pondoknya yang terlalu uzur untuk didiami kini.

Justeru itu, dirayu kepada yang bersimpati, untuk menghulurkan sumbangan dan derma supaya hasrat murni tersebut dapat direalisasikan. Berikut ialah maklumat akaun:

Maybank: 154053463369 di atas nama
PAS Cawangan Merlimau Timur

Maklumkan sumbangan/derma anda dengan menghantar SMS ke nombor 016-7705820 (Sdra Yuhaizad) atau maklumkan melalui email kami email

Hari ini hari Poksu, justeru itu, taburkanlah bakti sementara kita masih berupaya, kelak Allah akan membantu kita sewaktu kita memerlukan pula. Jazakallahu khairan kathiran kepada semua penyumbang dan penderma, semuga Allah lipatgandakan pahala untukmu semua.
Poksu menceritakan kisah pengalamannya...
Sdra Adel Jantan bersama Sdra Yuhaizad Abdullah menemani Poksu memilih basikal di kedai...
Penyerahan basikal kepada Poksu...
Di pondok inilah Poksu tinggal...
Pondok ini menunggu masa untuk rebah ke bumi... Marilah bersama kita menolongnya...

Telefon pintar diguna 1 bilion



LONDON 20 Okt. - Jumlah pengguna telefon pintar di seluruh dunia kini mencecah satu bilion.
Menurut pakar, itu bermakna, satu daripada tujuh orang memiliki telefon pintar di dunia, dan angkanya boleh berganda dalam tempoh paling singkat tiga tahun.
Telefon pintar mula diperkenalkan pada 1996, namun memerlukan rangkaian digital pantas bagi membolehkannya berhubung antara satu sama lain.
Lima tahun lalu, Apple melancarkan iPhone yang menjadi revolusi kepada pasaran telefon pintar yang bukan sekadar membantu meningkatkan jualan jenamanya, tetapi turut muncul sebagai pesaing kepada Samsung.
Jurucakap Kajian Pakar Strategi Analitis, Scott Bicheno berkata, peningkatan bilangan pengguna yang mahu melayari Internet menggunakan telefon bimbit merupakan satu faktor menyumbang kepada pertambahan jualan alat telekomunikasi tersebut.
"Apple telah merevolusi rekaan telefon pintar dan banyak membantu perkembangan industri.
"Sejak itu, pasaran telefon pintar menjadi seperti medan pertempuran yang hebat," katanya.
Apple telah menjual lebih lima juta unit iPhone edisi baharunya dalam tempoh tiga hari selepas dilancarkan bulan lalu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121021/lu_04/Telefon-pintar-diguna-1-bilion#ixzz2A2QbCp7H
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Arab Saudi beri jaminan proses haji selamat



Jemaah haji melakukan tawaf mengelilingi Kaabah di Mekah pada 17 Oktober lalu. - REUTERS
MEKAH 21 Okt. - Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, semalam memberi jaminan keganasan yang berterusan di Syria tidak akan mengganggu perjalanan ibadat haji di Mekah.
Putera Ahmad Abdul Aziz memberi jaminan bahawa semua jemaah haji akan berpeluang menjalankan ibadat itu dengan tenang dan lancar tanpa sebarang gangguan.
Beliau juga menolak kemungkinan tentera Syria menceroboh negara ini bertujuan menimbulkan kekacauan, ekoran Arab Saudi menyokong pemberontak di negara itu.
"Mereka yang datang melakukan ibadat haji adalah umat Islam dan agama ini tidak mengajar untuk menyakiti antara satu sama lain.
"Sesiapa yang menggunakan ibadat haji sebagai medium politik, mereka akan dihantar pulang, dan kerajaan Arab Saudi tidak memandang ringan sebarang tindakan untuk mencetuskan kekacauan," katanya.
Duta Arab Saudi ke Lebanon pada Rabu lalu berkata, negara ini bakal memberi visa kepada pelarian Syria di Lebanon, Turki dan Jordan yang ingin menunaikan ibadat haji musim ini.
Agensi berita SANA pada bulan lalu melaporkan, Arab Saudi melarang rakyat Syria memasuki negara ini untuk menunaikan haji musim ini, tetapi perkara itu dinafikan oleh kerajaan Arab Saudi.
"Kerajaan (Arab Saudi) tidak pernah melarang mana-mana rakyat Syria memasuki negara ini untuk menunaikan haji, termasuk jemaah dari Iran yang dikatakan bakal mencetuskan kekacauan.
"Kerajaan Iran memberi jaminan mereka akan memastikan perjalanan ibadat haji musim ini akan berjalan lancar," ujar Ahmad.
Lebih 1.6 juta jemaah dari seluruh dunia kini berada di tanah suci Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121022/lu_02/Arab-Saudi-beri-jaminan-proses-haji-selamat#ixzz2A2QU9Ta1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

China kaut untung program panda?



Sekumpulan anak panda yang ditangkap, dipelihara dan dipisahkan dengan ibu mereka untuk program pemulihan di wilayah Sichuan. - AGENSI
BEIJING 21 Okt. - Satu kajian saintis mendapati, anak-anak panda yang ditangkap, dipelihara dan dipisahkan daripada ibu mereka untuk program pemuliharaan, hanya digunakan sebagai alat untuk mengaut keuntungan sebelum haiwan itu mati selepas dilepaskan semula ke hutan.
Kajian tersebut menunjukkan kerajaan China mengaut berjuta-juta pound dengan meminjamkan kepada zoo luar negara panda-panda yang ditangkap, termasuk kepada zoo di Edinburgh, Scotland dengan bayaran enam juta pound (RM30 juta) untuk tempoh pinjaman selama 10 tahun.
Pengarah Pendidikan Pemuliharaan Pusat Kajian Pembiakan Panda Chengdu di China, Dr. Sarah Bexell berkata, panda-panda yang ditangkap dan dipelihara tidak ubah seperti watak karikatur dan tidak mampu menyesuaikan diri dalam hutan.
Menurut Bexell, sepanjang pengalamannya terbabit dalam program pemuliharaan panda di China, beliau mendapati haiwan tersebut berdepan masalah kepupusan yang kritikal dan aktiviti penangkapan anak panda untuk dipelihara boleh mendatangkan situasi trauma kepada haiwan itu, sekali gus meletakkan masa depan spesies berkenaan dalam bahaya.
Kajian Bexell itu didedahkan dalam buku Giant Pandas: Born Survivors yang menceritakan kegagalan program pemuliharaan habitat panda.
Malah tiada seekor panda pun yang hidup selepas menjalani program tersebut yang diusahakan sejak 1963, walaupun lebih 300 ekor panda dipelihara dan diajar untuk menyesuaikan diri dalam habitat semula jadi.
Buku tersebut dihasilkan dengan bantuan Pengarah Pusat Pusat Kajian Pembiakan Panda Chengdu, Dr. Zhang Zhihe yang menyediakan gambar-gambar program pemuliharaan panda.
Bexell berkata, habitat panda turut diancam akibat pembangunan dan kerancakan industri pelancongan China.
Malah pengkritik mendakwa, pusat pembiakan 'kilang panda' merupakan satu penipuan untuk mengaburi rakyat China dan seluruh dunia.
China kini menjalankan bancian baharu untuk menganggarkan jumlah sebenar gergasi itu yang masih hidup, program pertama dilakukan sejak sedekad lalu selepas mendapati kurang daripada 1,600 panda yang masih wujud di dunia ini.
Bexell menyuarakan kebimbangan terhadap program China itu yang mungkin akan menghasilkan keputusan yang teruk.
Katanya, tindakan kerajaan China mungkin akan membuatkan lebih banyak panda hidup melalui cara dipelihara berbanding habitat asalnya yang hidup sebagai haiwan liar.
Terbaru, seekor panda muda diberi nama Tao Tao dilepaskan ke dalam hutan simpanan di wilayah Sichuan dan merupakan satu-satunya panda peliharaan yang hidup di hutan semula jadi.
Tao Tao mengikut jejak langkah seekor lagi panda Xiang Xiang yang dilepaskan tiga tahun lalu, namun ditemui mati 10 bulan kemudian, dipercayai mati akibat bergaduh dengan panda liar. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121022/lu_04/China-kaut-untung-program-panda#ixzz2A2QMlUvj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bom kereta di Syria, 10 maut



Seorang anggota Tentera Pembebasan Syria mengangkat mayat seorang kanak-kanak ke atas lori pikap untuk dihantar ke hospital di Aleppo, kelmarin. Kanak-kanak itu terbunuh dalam serangan tentera kerajaan di bandar tersebut. - AFP
AMMAN 21 Okt. - Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan berpuluh orang awam cedera apabila sebuah bom di dalam sebuah kereta meletup berdekatan sebuah balai polis dekat daerah Bab Touma, Damsyik.
Stesen televisyen rasmi melaporkan kejadian itu berlaku ketika Presiden Syria, Bashar al-Assad mengadakan pertemuan dengan utusan khas Liga Arab-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Lakhdar Brahimi di sini.
Seorang pegawai keselamatan berkata, sebuah kereta diisi dengan bom meletup di Dataran Bab Tuma dekat balai polis di Bab Touma.
Saksi berkata, beberapa buah kereta terbakar ketika ambulans tiba dan pasukan keselamatan menutup jalan raya ke kawasan kejadian.
Sementara itu, Brahimi menggesa kedua-dua pihak bertelagah di Syria mengumumkan gencatan senjata 'sebelah pihak' sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, selepas pertemuan dengan Assad.
Saya merayu semua pihak mengambil keputusan meletakkan senjata secara sebelah pihak bermula hari ini atau esok,'' katanya kepada wartawan, hari ini.
Beliau berkata, rayuan gencatan senjata itu bukan sebahagian daripada pelan damai tetapi merupakan inisiatifnya sendiri. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121022/lu_01/Bom-kereta-di-Syria-10-maut#ixzz2A2QEfpXs
© Utusan Melayu (M) Bhd 

8 maut letupan kereta di Beirut



Anggota keselamatan Lebanon dan pekerja penyelamat memeriksa lokasi kejadian letupan di daerah Ashrafieh, Beirut, Lebanon, kelmarin. - AFP
BEIRUT 20 Okt. - Satu letupan bom kereta di sini semalam, mengorbankan lapan orang termasuk seorang pegawai risikan kanan yang bertanggungjawab dalam siasatan pembunuhan bekas Perdana Menteri Rafik Hariri.
Kematian Ketua Perisikan Keselamatan Dalam Negeri, Jeneral Wissam al-Hassan itu merupakan satu lagi pembunuhan berprofil tinggi selepas kematian Hariri pada 2005.
Menteri Penerangan, Walid Daouk berkata, kejadian bom pada waktu puncak di daerah Ashrafieh, yang didominasi penganut Kristian itu turut mengakibatkan 86 lagi cedera.
Hassan, seorang pengikut Sunah, sebelum ini mengepalai siasatan terhadap Syria dan Hezbollah berhubung kematian Hariri.
Beliau turut berjaya merungkai komplot bom yang menyebabkan penahanan dan pendakwaan bekas Menteri Penerangan Lebanon, Michel Samaha, yang pro-Presiden Syria, Bashar al-Assad, Ogos lalu.
Serangan tersebut dianggap paling dahsyat berlaku di ibu negara sejak pembunuhan Hariri dan mengundang tunjuk perasaan di beberapa jalan utama di seluruh negara oleh pengikut Sunah.
Anak kepada Hariri, Saad, yang juga pemimpin pembangkang Lebanon, menuduh Assad bertanggungjawab terhadap serangan bom tersebut.
Beberapa parti pembangkang Lebanon turut mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Najib Mikati termasuk beberapa menteri daripada Hezbollah meletakkan jawatan berikutan kejadian berkenaan.
"Mikati patut bertanggungjawab terhadap kematian Hassan dan mereka yang tidak bersalah," kata Setiausaha Agung Pergerakan Masa Depan, Ahmad Hariri.
Mikati dalam reaksinya berkata, beliau telah menawarkan diri untuk meletak jawatan, namun diminta Presiden Michel Suleiman untuk kekal bagi 'tempoh tertentu'.
Sementara itu, Ketua Keselamatan Dalam Negeri Lebanon, Mejar Jeneral Ashraf Rifi mendakwa kematian Hassan sebagai 'satu tamparan hebat' dan memberi amaran mengenai kemungkinan serangan berikutnya.
Kabinet dalam pada itu turut mengadakan satu sidang tergempar bagi membincangkan kesan sampingan serangan terbabit. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121021/lu_01/8-maut-letupan-kereta-di-Beirut#ixzz2A2Q0ah9B
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemberontak tingkatkan serangan di Tak Bai



BANGKOK 21 Okt. - Pemberontak meningkatkan serangan di Tak Bai dengan melancarkan lima serangan malam tadi dipercayai sempena memperingati insiden Tak Bai lapan tahun lepas.
Timbalan Ketua Polis Narathiwat Kol Kerisada Keawjandi berkata kira-kira 20 pemberontak bersenjata menyerang pondok rondaan Polis Marin di Pengkalan Kubur, Tak Bai, pada 8 malam, mengakibatkan seorang anggota polis cedera.
"Mereka malah melempar dua butir bom ke arah bot polis marin tetapi mujurlah bom itu tidak aktif," katanya.
Dalam insiden berasingan, seorang pemberontak terbunuh dalam insiden berbalas tembakan dengan tentera di pekan Tak Bai malam tadi, katanya.
Beliau berkata bom itu diledakkan di kedai serbaneka di Tak Bai yang mengakibatkan sebahagian dari kedai itu terbakar.
Dua pekerja cedera apabila sebutir bom 10kg meledak di hadapan sebuah pusat hiburan di Tak Bai malam tadi.
Katanya sebutir bom 20kg bom diledakkan di tempat parkir kereta di sebuah hotel di Tak Bai dan memusnahkan sebahagian dari hotel itu. Tiada kecederaan dilaporkan.
Polis dan tentera diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di Tak Bai berikutan jangkaan serangan ekoran insiden Tak Bai pada 25 Oktober 2004.
Dalam insiden itu, 85 orang yang ditahan semasa mengadakan demonstrasi di luar balai polis daerah Tak Bai di Narathiwat, meninggal dunia ketika sedang dalam perjalanan ke pangkalan tentera di Nong Chik, Pattani. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121021/lu_10/Pemberontak-tingkatkan-serangan-di-Tak-Bai#ixzz2A2PsGEvD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kejadian tembak-menembak meletus di Beirut



BEIRUT 22 Okt. - Kejadian tembak-menembak meletus di tengah bandar ini semalam selepas penunjuk perasaan cuba menyerbu pejabat Perdana Menteri, Najib Mikati bagi mendesak beliau berundur ekoran kejadian letupan bom yang mengorbankan lapan orang termasuk pegawai perisikan kanan, kelmarin.
Menurut seorang saksi, pasukan keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata selepas kumpulan penunjuk perasaan bertindak memecahkan penghadang di pejabat Perdana Menteri.
Dua daripada penunjuk perasaan pengsan akibat terkena gas pemedih mata yang dilepaskan pasukan keselamatan.
Beratus-ratus penunjuk perasaan mengibarkan bendera kumpulan anti-pembangkang Syria - Pergerakan Masa Depan, yang merupakan sebuah parti Sunnah dan Pasukan Kristian Lebanon serta bendera hitam lambang Islam sambil berarak menuju ke pejabat Mikati selepas majlis pengkebumian Mallouk al-Hassan, perisikan kanan yang terkorban dalam letupan bom, kelmarin.
Mereka menuduh pembunuhan Hassan didalangi oleh Syria. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121022/lu_09/Kejadian-tembak-menembak-meletus-di-Beirut#ixzz2A2O6T8GR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

60 terkorban ketika perbincangan perjanjian damai



BEIRUT 21 Okt. - Kehadiran utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi bagi membincangkan cadangan gencatan dengan Syria, semalam tidak menghalang keganasan daripada terus berlaku di negara itu.
Menurut pemerhati, sekurang-kurangnya, 60 orang dilaporkan terbunuh di seluruh negara itu ketika jet pejuang tentera kerajaan terus membedil kawasan di tengah dan utara Syria.
Brahimi yang tiba di Damsyik semalam, kemudiannya dilaporkan akan bertemu pemimpin pemberontak bagi membincangkan proses gencatan senjata antara kedua pihak terlibat. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121021/lu_07/60-terkorban-ketika-perbincangan-perjanjian-damai#ixzz2A2OIufGH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jemaah haji Turki akhirnya dibenarkan melalui Iraq



BAGHDAD 22 Okt. - Beribu-ribu jemaah haji Turki semalam dibenarkan melalui Iraq untuk menuju ke Arab Saudi bagi menunaikan haji.
Khamis lalu, sebanyak 128 buah bas yang membawa jemaah haji dari Turki ditahan dan dihalang memasuki Iraq kerana tidak mempunyai visa yang dikeluarkan oleh negara ini.
Menurut jurucakap Perdana Menteri, Nuri al-Maliki, sebanyak 6,000 visa dikeluarkan dan jemaah haji dari Turki dibenarkan melalui Iraq untuk menunaikan haji di Mekah. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121022/lu_10/Jemaah-haji-Turki-akhirnya-dibenarkan-melalui-Iraq#ixzz2A2Og10ra
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penerbangan PC Air gantung perkhidmatan




         
BANGKOK: Selepas berjaya beroperasi dan menawarkan khidmat kru kabin pondan pertama di Thailand, syarikat penerbangan PC Air terpaksa menggantung perkhidmatan mereka disebabkan masalah kewangan dan menyebabkan penumpang terkandas di Korea Selatan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Chadchart Sittipunt berkata, “Syarikat penerbangan itu memberitahu Jabatan Penerbangan Awam Jumaat lalu, mereka tidak dapat meneruskan khidmat penerbangan disebabkan masalah perniagaan, maka mereka terpaksa menggantung perkhidmatan mereka.”
Langkah itu dijangka berterusan sehinga akhir bulan ini.

PC Air menjadi tajuk utama apabila mengambil empat pondan sebagai pramugari dan menawarkan khidmat penerbangan dari Bangkok ke Hong Kong dan destinasi Asia yang lain. - BP

Pemisah lancar 5 serangan




         
BANGKOK: Tiga serangan bom dan dua serangan senjata dilancarkan oleh militan di daerah Tak Bai, wilayah Narathiwat malam semalam, menyebabkan seorang pegawai polis dan tiga orang awam cedera, manakala seorang militan terbunuh dalam kejadian berbalas tembak dengan polis marin.

Serangan itu dilancarkan hampir pada masa yang sama iaitu pada jam 8 malam di lima lokasi.
Serangan pertama berlaku di kedai karaoke di Sod Sai di Moo 4, tambon Che He.
Sebuah motosikal dengan lima kilogram bom ditinggalkan di hadapan kedai tersebut sebelum meletup. Ia tidak cukup kuat untuk menyebabkan kerosakan.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, Rungthip Kanchanathawil yang bermain di depan kedai itu cedera ringan.


Serangan kedua merupakan sebuah bom kereta yang meletup dekat restoran Coffee House di Hotel Ta Ba Plaza di tambon Taba, daerah Tak Bai. Bom seberat 50 kilogram diperbuat daripada silinder gas diletupkan menggunakan telefon bimbit.


Retoran itu rosak teruk. Tingkap kaca di tingkat satu hingga tiga, berderai. Seorang pekerja pembersih wanita, Praneet Jaengwicharn, 49, cedera.

Serangan ketiga berlaku di balai polis marin di Ban Ta Ba di tambon Che He.
Sekumpulan militan melepaskan tembakan di balai itu menggunakan raifal AK47 dan Uzi submesingan. Anggota marin yang bertugas membalas tembakan.

Dalam kejadian itu, militan melempar dua bom tangan ke dalam balai sebelum melarikan diri. Bom itu bagaimanapun, tidak meletup. Seorang anggota polis, Sarjan Mejar Kanan, Toranin Phomphasuk ditembak di kaki kiri.

Seorang militan terbunuh dalam pertempuran itu. Dia masih belum dikenal pasti. Polis menemui mayatnya, raifal AK47 dan pistol 9mm.

Dalam kejadian keempat, sekumpulan militan melepaskan tembakan di kedai karaoke di Moo 1 tambon Che He tetapi tiada yang cedera.

Dalam serangan kelima, sebuah bom dalam tin ikan seberat 0.5 kilogram meletup di kedai serbaneka V Shop di Tambon Che He menyebabkan seorang pelanggan wanita Arthit Pahengpho, 39, cedera. - Bangkok Post

Wartawan diserang lepas buat liputan di Dataran Tahrir

KAHERAH: Koresponden rangkaian televisyen France 24, diserang berhampiran Dataran Tahrir di sini selepas dikepung oleh orang ramai, semalam.
Saluran televisyen itu, dalam satu kenyataan berkata, Sonia Dridi diserang jam 10.30 malam selepas membuat laporan secara langsung mengenai tunjuk perasaan di dataran itu.
Dia bagaimanapun diselamatkan oleh seorang rakan dan beberapa penduduk.

Ia adalah kejadian keganasan terbaru terhadap wanita di pusat tunjuk perasaan Mesir itu.


France 24 tidak memberi butir lanjut mengenai serangan berkenaan tetapi berkata, kakitangannya selamat meskipun amat terkejut dan akan menyaman penyerang yang tidak dinamakannya.

Rangkaian berkenaan yang dibiayai kerajaan Perancis tetapi bebas dalam membuat laporan berkata, ia dan Kedutaan Perancis berusaha untuk membawa pulang Sonia.

“Lebih takut daripada cedera,” kata wartawan itu pada laman Twitternya.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada rakannya, Ashraf Khalil kerana melindunginya.

Ashraf yang bekerja untuk perkhidmatan bahasa Inggeris rangkaian sama berkata, orang ramai mengerumuni dia dan Sonia ketika mereka membuat laporan secara langsung di jalan raya berhampiran Dataran Tahrir.

Menurutnya, serangan dan usaha menyelamatkan diri itu berlaku kira-kira setengah jam tetapi dia merasakan ia begitu lama.

“Orang ramai mengerumuni Sonia dan keadaan bertambah tegang. Saya memeluknya dengan kedua-dua tangan dan muka kami bertemu. Kira-kira 30 lelaki terbabit dalam serangan itu,” kata Ashraf.

Menurutnya, mereka berundur dengan memasuki sebuah restoran makanan segera yang memiliki pintu besi bagi menyelamatkan Sonia daripada penyerang.

Mereka kemudian bergegas menaiki sebuah kereta sementara beberapa lelaki menumbuk kenderaan berkenaan.

Sebahagian barangan mereka dicuri, katanya. - DM

Tuntut Soi Lek minta maaf



NURUL FATIHAH SULAINI
22 Oktober 2012
Shaharol Niza Omar
Bendahari Kehormatnya, Shaharol Niza Omar
ALOR SETAR - Majlis Belia Negeri Kedah menyifatkan dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa jika Pas melaksanakan hukum hudud, 1.2 juta rakyat akan hilang pekerjaan, boleh membantutkan usaha kerajaan mewujudkan suasana harmoni antara kaum.

Bendahari Kehormatnya, Shaharol Niza Omar berkata, kenyataan beliau dilihat sebagai tidak menghormati sensitiviti penganut agama Islam dan juga Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Menurutnya, kenyataan berkenaan boleh mengundang salah tanggapan penganut agama lain bahawa Islam adalah agama menindas golongan pekerja umatnya, sedangkan hakikatnya bukanlah yang diamalkan dalam perundangan Islam.

“Sebagai rakan dalam komponen Barisan Nasional, tidak sepatutnya kenyataan itu dikeluarkan oleh seorang presiden parti berdasarkan kepada khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada beliau daripada individu tidak dikenali.

“Kita amat kesal kerana ini bukan pertama kali beliau mengeluarkan kenyataan yang menghina agama Islam dan memperlekehkan perundangan Islam,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Shaharol berkata, mereka minta pemimpin bukan Islam tidak lagi memberikan sebarang komen dan pandangan mengenai Islam, sebaliknya perkara berkaitan Islam diselesaikan serta dibahaskan sesama umat Islam.

“Tidak pernah sekalipun umat Islam di negara ini memperkatakan tentang budaya dan agama yang dianuti penganut lain, walaupun ada antara mereka kebelakangan ini kerap berbahas mengenai perundangan Islam.

“Kita tuntut beliau segera mohon maaf kepada seluruh umat Islam demi keharmonian dan hubungan yang akrab,” katanya.

3 anak terpaksa berhenti sekolah



KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
22 Oktober 2012
3 anak terpaksa berhenti sekolah
Sungai di tepi rumah yang menjadi tempat mandi dan membasuh.
KERIAN - Kekangan wang menyebabkan sembilan beranak di Kampung Dew, di sini, terpaksa berteduh di sebuah rumah uzur hasil pemberian pengurusan kilang membakar kayu arang untuk sementara.

Tambah menyedihkan, tiga daripada tujuh anak keluarga itu tidak bersekolah demi memberi laluan kepada adik-beradik lain untuk meneruskan persekolahan.

Mereka juga menggunakan air sungai di belakang rumah sebagai tempat mandi dan membasuh pakaian.

Suri rumah, Rohana Ajid, 40, berkata, bekalan air bersih terpaksa diambil daripada paip utama pejabat kilang setelah mendapat keizinan dan ada kalanya mereka memasak air sungai untuk diminum jika bekalan air tiada.

Menurutnya, rumah yang didiami lebih dari 20 tahun itu adalah ihsan pengurusan kilang yang membenarkan mereka menumpang.

“Bekalan elektrik yang diperoleh juga hasil ihsan mereka yang membuat penyambungan ke rumah kami dan saya bersyukur pengurusan kilang prihatin terhadap kesusahan kami," katanya Kepada Sinar Harian.

Menurut Rohani, suaminya, Goriaman Barikan, 40, merupakan warga asing yang mendapat kerakyatan tetap dan kini hanya bekerja sebagai pengutip kayu bakau dengan pendapatan RM400 sebulan.

Jelasnya, pendapatan suami yang tidak menentu menyebabkan tiga anaknya terpaksa berhenti sekolah demi menyara keluarga.

“Anak sulung saya, Mohd Anaz Syazman 17, dan dua adiknya Norshahira, 15, dan Norsyazila, 14, tidak lagi bersekolah selepas  darjah enam disebabkan kekangan wang.

“Mereka terpaksa bekerja di kilang membakar kayu arang dan saya terharu tiga beradik ini sanggup mengorbankan zaman persekolahan untuk membiayai tiga lagi adik mereka, ” katanya.

Rohana berkata, keluarganya ada menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM300 sebulan yang sedikit sebanyak meringankan beban mereka terutama kos persekolahan tiga anaknya.

“Selain itu, seorang anak yang masih bersekolah turut mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Bagaimanapun, saya merayu kepada mana-mana pihak untuk membaik pulih rumah kami agar lebih selesa dan memberi peluang kepada dua anak saya kembali bersekolah,” katanya.

Kesusahan keluarga berkenaan mendapat perhatian Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Gunong Semanggol, Zainal Abidin Hanafiah yang bertandang ke rumah mereka.

Zainal Abidin menyerahkan sumbangan kepada Rohana dan memberi jaminan akan membawa masalah itu ke Mesyuarat Kumpulan Fokus peringkat daerah.

Katanya, beliau sudah mendapat kebenaran pengurusan kilang untuk membolehkan kerja membaik pulih rumah keluarga Rohana dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Mengenai bekalan air, kami akan cuba memohon dari Lembaga Air Perak (LAP) Kerian.

“Sebelum itu kami akan berbincang dan meminta kerjasama pengurus kilang itu kerana tanah dan rumah ini hak milik kilang sepenuhnya,” katanya.