Showing posts with label ACEH. Show all posts
Showing posts with label ACEH. Show all posts

Wednesday, October 24, 2012

Aceh tutup gereja dan kuil Buddha



SEORANG lelaki menunggang basikal di hadapan sebuah gereja yang ditutup di ibu negeri wilayah Aceh, Banda semalam.


JAKARTA - Pihak berkuasa di Aceh, Indonesia semalam berkata, mereka terpaksa menutup beberapa buah gereja Kristian dan kuil Buddha selepas mendapat tekanan daripada Barisan Pertahanan Islam (FPI).
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di negara ini yang mengamalkan undang-udang Islam sepenuhnya. Penutupan rumah ibadat itu menjadi petanda terbaharu mengenai sikap tidak bertoleransi antara agama kian meningkat.
Timbalan Datuk Bandar Banda Aceh, Illiza Sa'aduddin Djamal memberitahu, penutupan itu dibuat kerana sembilan gereja Kristian dan enam kuil Buddha tersebut tidak memiliki permit.
Namun, jelasnya kepada agensi berita AFP, kesemua tempat beribadat itu diarah tutup pada minggu lalu selepas mendapat aduan daripada FPI dan berlaku sedikit ketegangan sebelum keputusan dibuat.
"Kami tidak mahu sebarang masalah keselamatan timbul di Banda Aceh disebabkan aktiviti-aktiviti haram," kara Djamal.
FPI menyifatkan dirinya sebagai penguat kuasa moral dan undang-undang Islam. Ia sering menyertai pasukan polis dalam operasi serbuan ganas ke atas bar dan pusat-pusat pelacuran.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri memberi isyarat bahawa ia tidak akan campur tangan.
Seorang jurucakap berkata, tidak berlaku sebarang penutupan ke atas semua rumah ibadat tersebut kerana ia belum mempunyai permit. - AFP

Wednesday, April 11, 2012

Zaini dijangka Gabenor Aceh

Foto


Foto
IRWANDI dan isteri, Darwati A Gani ceria selepas mengundi.





Tinjauan awal tak rasmi dapati penyandang jawatan ketinggalan jauh

BANDA ACEH: Bekas anggota kanan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) yang bertindak sebagai Menteri Luar, Zaini Abdullah, mendahului calon lain dalam kiraan awal tidak rasmi undi pilihan raya gabenor wilayah itu yang berlangsung dalam keadaan aman kelmarin.
Zaini yang tinggal dalam buangan di Sweden ketika konflik berdarah di Aceh tamat pada 2005, memperoleh 54.4 peratus sokongan undi, lapor Pusat Tinjauan Indonesia (LSI), yang memantau pilihan raya itu.
Keseluruhannya, tiada kejadian serius tetapi kami menahan empat orang di Lhokseumawe dan Pidie kerana dituduh mengugut anggota pasukan kempen calon lain. - Iskandar Hasan, Ketua Polis Aceh
Pesaing rapat Zaini, Irwandi Yusuf, yang juga bekas ketua perisik GAM, berada di tempat kedua dengan sokongan undi sebanyak 29.88 peratus. Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas Aceh (KIP) akan mengumumkan keputusan rasmi minggu depan.

Sejak Disember lalu, penduduk Aceh berpecah berikutan perbalahan antara Zaini dan Irwandi, yang dikatakan punca menyebabkan kes ugutan dan tembak menembak berlaku.

Kemungkinan keganasan meletus dikhuatiri berlaku ketika pilihan raya berlangsung kerana bekas pemisah GAM berpecah kepada yang menyokong Zaini atau Irwandi.

“Penganalisis dan penduduk Jakarta melabel Aceh sebagai tempat berisiko tetapi proses pilihan raya kali ini terbukti berbeza,” kata Ketua Polis Aceh, Inspektor Jeneral Iskandar Hasan. 
Penganalisis keselamatan percaya pilihan raya ini adalah ujian bagi Aceh selepas menamatkan konflik lebih 30 tahun yang meragut lebih 17,000 nyawa. Aceh juga memerlukan usaha pembinaan semula selepas dilanda tsunami, sebahagian besarnya menerusi bantuan antarabangsa.

Disebabkan beberapa kejadian tembakan itu, pelabur masih menganggap Aceh tempat berisiko untuk menjalankan perniagaan. Ia bertentangan dengan keadaan di wilayah itu yang aman sejak perjanjian damai pada 2005. Aceh juga kaya dengan minyak, gas, bijih besi dan nikal.

Polis juga tidak menerima sebarang laporan keganasan di wilayah itu dengan pengundi kelihatan selesa muncul di pusat pengundian.

“Keseluruhannya, tiada kejadian serius tetapi kami menahan empat orang di Lhokseumawe dan Pidie kerana dituduh mengugut anggota pasukan kempen calon lain,” kata Iskandar.

Pilihan raya diadakan serentak untuk melantik gabenor, timbalannya dan 17 datuk bandar.

Ia adalah pilihan raya secara langsung kedua di Aceh sejak perjanjian dalam Helsinki pada tahun 2005.

Pilihan raya kali pertama diadakan pada tahun 2006 untuk melantik gabenor dan 19 pemimpin tempatan.

“Pilihan raya sepatutnya menjadi cara menyatukan penduduk Aceh. Kerajaan pusat berharap parti yang kalah dapat menerima kekalahan mereka,” kata ketua pengarah autonomi Kementerian Dalam Negeri, Djohermansyah Djohan.

Penganalisis politik, Fachri Ali, dari Universiti Indonesia berkata kemenangan awal Zaini menunjukkan penduduk Aceh masih amat menghormati calon bekas pejuang GAM.

“Bekas pemisah GAM adalah kuasa politik di wilayah itu, dengan rangkaian tersusun dan orang yang setia. Kini mereka memberikan mandat kepada Zaini,” katanya. – Agensi

Tuesday, April 10, 2012

Penduduk Aceh pilih Gabenor baru




seorang pengundi wanita Aceh memasukkan kertas undi ke dalam peti undi semasa mengundi pada pilihan raya Gabenor Aceh di Banda Aceh, semalam. - AFP


BANDA ACEH 9 April - Penduduk di Aceh hari ini mengundi untuk memilih Gabenor pada pilihan raya yang menguji kestabilan sebuah wilayah yang belum pulih sepenuhnya daripada perang pemisah selama 30 tahun serta gempa bumi dan tsunami lapan tahun lalu.
Pilihan raya itu merupakan kali kedua di wilayah separuh autonomi yang kaya dengan gas dan melaksanakan undang-undang Syariah, sejak pemberontak Gerakan Aceh Merdeka (GAM) menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada 2005.
Lima calon bertanding untuk merebut jawatan Gabenor tetapi kedua-dua calon utama adalah bekas pemimpin GAM iaitu Irwandi Yusuf yang bertanding untuk penggal kedua sebagai Gabenor dan Zaini Abdullah, bekas Menteri Luar GAM yang bertanding atas tiket Parti Aceh.
"Pilihan raya yang ditangguhkan sebanyak tiga kali sejak tahun lepas, dicemari keganasan bermotif politik, termasuk sekurang-kurangnya 13 pembunuhan," menurut firma analisis risiko di Jakarta, Concord Consulting dalam laporannya.
Pemberontak GAM meletakkan senjata selepas tsunami pada 26 Disember, 2004 menyebabkan 170,000 penduduk di wilayah ini terkorban atau hilang.
Aceh mendapat bantuan berbilion dolar daripada penderma selepas bencana itu dan telah beransur-ansur pulih tetapi ramai penduduk menuntut kestabilan.
Lebih 3.2 juta penduduk layak mengundi dan keputusan awal dijadual diumumkan lewat hari ini sementara keputusan rasmi diketahui pada 15 April.
Seorang pengundi di timur Aceh, Kamaruzzaman berkata, perbuatan menakut-nakutkan pengundi merebak semasa kempen, sehingga ke kedai-kedai kopi yang biasa menjadi tumpuan kaum lelaki.
Pertarungan politik utama adalah antara Parti Aceh yang ditubuhkan oleh GAM dan menguasai Parlimen wilayah, dengan Irwandi yang bertanding sebagai calon bebas.
Beliau memenangi pilihan raya Gabenor pada Disember 2006 tetapi melepaskan jawatan pada Februari lalu bagi membolehkan kerajaan sementara mentadbir wilayah ini. - Reuters

Thursday, June 3, 2010

Pengasas Gerakan Aceh Merdeka meninggal dunia


JAKARTA - Hasan Tiro, pengasas Gerakan Aceh Merdeka (GAM), gerakan pemisah di Aceh, meninggal dunia di Hospital Zainoel Abidin (RSUZA) Banda Aceh, Khamis, sehari selepas beliau diberikan kembali status sebagai warganegara Indonesia.

Hasan Tiro telah memohon mendapatkan kembali kewarganegaraan Indonesia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebelum ini, beliau memegang pasport Sweden dan tinggal dalam buangan di Stockholm sejak tahun 1979 akibat konfrontasi dengan kerajaan Indonesia yang dipimpin Presiden Soeharto ketika itu.

Agensi berita Antara menyebut, tokoh yang lahir di Pidie, Aceh, pada 25 Sept 1925 itu, meninggal dunia pada pukul 12.02 tengah hari setelah mengalami kemerosotan kesihatan sejak Rabu malam.

"Hasan Tiro sudah meninggal pada pukul 12.02 WIB (waktu Indonesia Barat)," kata bekas pemimpin kanan GAM Malek Mahmud di RSUZA Banda Aceh.

Hasan Tiro sudah lebih seminggu dirawat di unit intensif RSUZA.

Ada laporan menyebut bahawa beliau akan dikebumikan petang ini, namun belum diketahui di mana tempat persemadiannya.

Semalam, Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Keselamatan Djoko Suyanto menyerahkan surat kewarganegaraan Indonesia untuk Hasan Tiro kepada Malek dan anggota keluarga terdekat pejuang itu di Banda Aceh.

Sementara itu Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Patrialis Akbar dilaporkan berkata, bahawa tidak tertutup kemungkinan pemberian kembali status warganegara kepada pengasas gerakan pemisah yang lain.

Ia merupakan sebahagian daripada dasar Keadilan Untuk Semua yang diterapkan kerajaan sekarang.

GAM berdamai dengan kerajaan Indonesia pada 15 Ogos 2005 setelah berpuluh tahun melakukan pemberontakan bersenjata.

Bagaimanapun tidak ada butiran dalam kesepakatan damai itu yang menyatakan bahawa gerakan pemisah itu dibubarkan.-Bernama