JUMAAT, 28 OGOS 2015 @ 3:55 PM
RANAU: Kementerian Pertahanan yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkemampuan mengawal perhimpunan haram BERSIH 4.0 tanpa perlu pembabitan tentera.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak perlu campur tangan kecuali jika berlaku situasi luar kawalan hingga keadaan diisytiharkan darurat.
Katanya, peranan ATM dalam perkara itu sudah dijelaskan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin semalam, namun ada pihak sengaja memutar belit kononnya tentera bersedia untuk mengambil alih daripada PDRM.
"Saya tengok banyak 'spin' terhadap kenyataan PAT... ATM sebagai benteng terakhir (keselamatan negara) kalau ada darurat dan keadaan di luar kawalan kita akan ambil alih, bukan sengaja nak masuk.
"ATM terikat dengan undang-undang, itulah yang PAT kata semalam. Kalau tentera masuk itu apabila berlaku rusuhan dan keadaan luar kawalan, (tetapi) saya yakin polis boleh kawal keadaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Jiwa Murni Media Prima Berhad (MPB) - ATM bagi membaiki rumah mangsa gempa bumi di Kampung Sinisian dekat Kundasang di sini, sebentar tadi.
Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun; Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press Bhd (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid; Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan Perkongsian Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid serta Panglima Pemerintahan Medan Timur ATM, Datuk Mohd Zaki Mokhtar. Semalam, Zulkifeli dilaporkan berkata, ATM hanya akan campur tangan pada perhimpunan haram BERSIH sekiranya keadaan tidak terkawal hingga kerajaan mengisytiharkan darurat.