Monday, February 24, 2014

Tymoshenko puji rakyat


24 Februari 2014

Tymoshenko puji rakyat
Tymoshenko puji rakyat Tymoshenko berucap di hadapan lebih 500,000 penyokong anti kerajaan di Dataran Kemerdekaan, semalam.



KIEV - UKRAINE. Bekas Perdana Menteri Ukraine, Yulia Tymoshenko yang dibebaskan dari penjara kelmarin, memuji tindakan peserta protes di Dataran Kemerdekaan.

Tymoshenko yang hadir di dataran itu selepas beberapa jam selepas dibebaskan menyifatkan penunjuk perasaan sebagai wira dan suara mereka perlu didengar hingga boleh memberi tekanan kepada peletakan jawatan Presiden Viktor Yanukovic.

“Anda mempunyai hak untuk menguasai Maidan (Dataran Kemerdekaan). Teruskan bersuara,” katanya.

Dipetik AFP, beliau yang terkenal sebagai antara perdana menteri jelita dunia, sebelum ini dipenjarakan dua tahun enam bulan susulan kelantangan menyokong hubungan politik dengan Rusia pada 2011.

Kelmarin, ahli Parlimen bersepakat mengundi supaya Yanukovic melepaskan jawatan, namun pemimpin itu mengelar tindakan itu sebagai rampasan kuasa.

Era baru di Ukraine

Foto



Foto
Menteri Dalam Negeri Ukraine yang baru Arsen Avakov (memegang pembesar suara) berucap kepada orang ramai di luar bangunan Parlimen di Kiev semalam. - Foto REUTERS


 Kiev: Era baru bermula di Ukraine semalam apabila parlimen membenarkan tempoh tiga hari untuk membentuk kerajaan baru selepas menyingkirkan Presiden Viktor Yanukovych menerusi undi tidak percaya dan membuat persiapan mengadakan pilihan raya lebih awal.

Lokasi Yanukovych terus menjadi misteri, sehari selepas beliau meninggalkan ibu negara itu dan musuh politiknya Yulia Tymoshenko dibebaskan dari penjara dan menemui penyokongnya di Kiev.

Sebuah pesawat yang dinaiki Yanukovych gagal mendapatkan kebenaran untuk berlepas dari Donetsk, sebuah bandar di timur Ukraine kelmarin untuk ke Russia. 

Perkhidmatan Kawalan Negeri menyatakan ia adalah kubu kuat presiden. Beliau kemudian di bawa pergi oleh pasukan keselamatannya sendiri.

Jurucakap presiden pagi semalam berkata beliau tidak mengetahui lokasi Yanukovych.

Sorak gembira

Penyokong memberi sorakan gembira kepada bekas perdana menteri Tymoshenko ketika beliau meninggalkan hospital lokasi beliau ditahan. Bagaimanapun penerimaannya terhadap insiden itu bercampurcampur ketika berucap di Kiev.
Pembebasan beliau menandakan transformasi penting bekas republik Soviet yang mempunyai 46 juta penduduk itu.

Berakhirnya pemerintahan presiden proRussia diramal mengurangkan pengaruh Moscow dan menjadikan Ukraine lebih rapat dengan Eropah.

Bekas presiden dibebaskan semalam



Kiev: Parlimen Ukraine semalam membebaskan wira Revolusi Oren yang juga bekas presiden negara itu, Yulia Tymoshenko yang dipenjara tujuh tahun atas tuduhan salah guna kuasa selepas Presiden Viktor Yanukovych memenangi pilihan raya pada 2010.

Sebaik dibebaskan, Yulia, 53, terus menuju ke arah Dataran Kemerdekaan di Kiev, tempat dia disambut hampir 50,000 penyokong dalam suasana penuh emosi.


“Saya tidak kenal Kiev yang saya lihat hari ini kerana dipenuhi rangka kereta yang terbakar, penghadang dan bunga diletakkan bagi memperingati mereka yang mati - namun ini adalah Ukraine yang baru, Ukraine merdeka,” katanya.



Yulia yang berkerusi roda akibat masalah sakit belakang kronik dibebaskan selepas dua setengah tahun ditahan di penjara.


Kehadiran musuh ketat Yanukovych itu tidak terbayang berlaku beberapa hari lalu, namun ia sekadar satu lagi kejadian yang disifatkan ajaib sama seperti nasib menimpa bekas presiden terbabit.


Sementara itu, rumah agam Yanukovych dimasuki pelbagai lapisan masyarakat yang jelas terpegun dan marah dengan kemewahan dinikmati bekas pemimpin mereka itu. Ia turut mempunyai zoo peribadi dan replika besar kapal layar.

Sebuah lagi kediaman Yanukovych di kawasan Pergunungan Carpathian juga dibuka untuk tatapan orang ramai. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Era baru Ukraine


Sementara itu, lokasi Yanukovych masih tidak diketahui. Khabar angin mengatakan dia gagal melarikan diri dan kini bersembunyi di timur negara itu, kubu kuat penyokongnya. 
Kediaman presiden di Kiev kosong ketika dimasuki wartawan yang mencari bahan bukti serta dokumen untuk digunakan terhadap bekas presiden terbabit. 

Sementara itu, Parlimen menetapkan esok untuk menubuhkan kerajaan baru dan melantik speaker Oleksandr Turchynov sebagai presiden sementara.
Foto
PENUNJUK perasaan antikerajaan menyerang seorang anggota Parlimen dari parti Presiden Yanukovych di luar bangunan Parlimen, semalam.

Dalam perkembangan lain, di Dataran Kemerdekaan Kiev yang melihat pertumpahan darah minggu lalu kehidupan seharian mula kembali normal walaupun penghadang diletakkan penunjuk perasaan untuk menghalang pasukan keselamatan yang masih kelihatan.

Orang awam dilihat meletakkan bunga untuk memperingati mereka yang mati sejak protes bermula November lalu. 

Kira-kira 100 terbunuh minggu lalu dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dengan penunjuk perasaan. 

Krisis di Ukraine bermula November lalu apabila Yanukovych menolak pakatan perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam usaha merapatkan hubungan dengan Rusia. 

Tindakan itu menimbulkan kemarahan rakyat Ukraine yang pro-EU sehingga mencetuskan pemberontakan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/24

Presiden Pas diperintah bayar RM2 juta


KUALA TERENGGANU 23 Feb. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayar saman berjumlah RM2 juta berikutan penghakiman ingkar yang diperoleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd. Shamsul Mat Amin.
Dalam masa sama, Abdul Hadi juga diarahkan membayar lima peratus faedah daripada writ difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500 setelah kegagalan memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Mohd. Shamsul sebelum ini.
Prosiding berlangsung hampir 30 minit di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Mohamad Nasrudin Mohamed.
Menurut wakil peguam plaintif, V. Saravanan, penghakiman itu dibuat selepas pihaknya menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang telah diterima oleh pihak defendan pada 16 Januari lalu.
Sehubungan itu katanya, plaintif telah memfailkan afidavit penyampaian dan perakuan ketidakhadiran defendan ke mahkamah sehari kemudian yang telah diluluskan oleh pihak mahkamah pada hari yang sama.
"Sekiranya defendan ingin membantah atau menentang penghakiman itu, maka, dia kena failkan permohonan kepada mahkamah. Itu terpulang kepada peguam dia.
"Jika tidak ada maklum balas daripada defendan, kami akan hantar salinan termeterai penghakiman yang meminta pembayaran saman plaintif iaitu sebanyak RM2 juta bersama faedahnya sekali.
"Sekiranya masih tidak ada apa-apa jawapan, kami akan teruskan dengan pelaksanaan saman. Kami akan failkan penghakiman ini secepat mungkin dan sebaik sahaja mahkamah telah keluarkan salinan termeterai, kami akan serahkan kepada defendan untuk tuntut jumlah penghakiman," katanya ketika ditemui.
Plaintif melalui firma guaman Tetuan Vasudevan A & Co., pada 5 Disember lalu telah memfailkan saman ke atas Abdul Hadi di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini selepas beliau mendakwa difitnah oleh pemimpin Pas itu semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), April lalu.
Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif yang juga Ketua Angkatan Muda PKR Dungun mendakwa, ucapan Abdul Hadi dalam satu ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April lalu telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan.
Plaintif yang merupakan pemaju perumahan juga mendakwa berdepan dengan tekanan emosi dan mental yang berpanjangan setelah menerima cemuhan dan penghinaan serta dipandang serong oleh masyarakat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140224/ma_01/Presiden-Pas-diperintah-bayar-RM2-juta#ixzz2uBqIIDrB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Barangan hadiah kedutaan Britain dilelong


Jam tangan yang dilelong di pejabat FCO di London. - AGENSI
LONDON 23 Feb. - Jam tangan berjenama dan barangan kemas yang dihadiahkan kepada duta dan diplomat Britain merupakan antara barangan yang dilelong oleh Pejabat Luar dan Komanwel British (FCO) kepada orang ramai sejak dua tahun lalu.
The Mail on Sunday melaporkan FCO turut melelong gelang tangan, duit syiling emas, pen berjenama Mont Blanc, tali leher dan telefon bimbit 3G, dengan kesemua barangan tersebut dijual pada harga yang sangat murah.
Sejak menjalankan aktiviti jualan lelong di Rumah Jualan Lelong Fellow di Birmingham dua tahun lalu, FCO sudah menjana pendapatan sebanyak 10,401.66 pound (RM57,232.89) dengan kebanyakan pembeli tidak mengetahui bahawa barangan yang mereka bida merupakan hadiah dari sesebuah negara.
FCO meletakkan harga barangan yang dilelong serendah 18 pound (RM99.04) sehingga ke 800 pound (RM4401.83).
Pengurus Insuran Rumah Jualan Lelong Fellow, Geoff Whitefield berkata, jam tangan Baume et Mercier and Givenchy bernilai antara 2,000 pound dan 3,000 pound (RM11,004.57 dan RM16,506.85) dilelong pada harga satu pertiga daripada harga asalnya.
''Ia bagaikan membeli sebuah kereta baru dan ketika anda memandu kereta tersebut di jalan raya harganya akan mulai menyusut,'' jelas Whitefield.
FCO bagaimanapun, enggan mendedahkan barangan yang mereka lelong itu 'pemberian dari negara mana', namun agensi Kebebasan Maklumat (FOI) memaklumkan bahawa kedutaan negara ini menerima hadiah bernilai puluhan ribu pound dari negara-negara seperti Arab Saudi, Bahrain dan Myanmar.
Menurut FCO, barangan yang sudah diberikan sebagai hadiah itu boleh digunakan buat sementara, sebelum ia dibawa pulang ke United Kingdom (UK).
Namun, jika ada kakitangan yang mahu menyimpan barangan pemberian itu, yang bernilai lebih daripada 140 pound (RM770.32), mereka perlu membayar jumlah tersebut terlebih dahulu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140224/lu_10/Barangan-hadiah-kedutaan-Britain-dilelong#ixzz2uBlICRBx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rumah agam Presiden Ukraine dipamer


KIEV 23 Feb. - Penduduk Ukraine terkejut melihat kekayaan yang dimiliki Presiden mereka, Viktor Yanukovich yang tinggal di sebuah rumah agam mewah di ibu negara ini, apabila kediaman peribadi Presiden itu dibuka kepada orang ramai, semalam.
Kemewahan harta yang dimiliki Yanukovich didedahkan apabila rumah agam itu yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kiev dibuka kepada umum, selepas beliau melarikan diri dari ibu negara ini, kelmarin ekoran krisis politik di negara ini.
Rumah agam itu yang dihiasi marmar terletak di atas sebidang tanah seluas 138.8 hektar dan turut mempunyai padang golf peribadi dan zoo.
Yanukovych kini dilaporkan menuju ke bandar Donetsk di timur Ukraine selepas Parlimen memutuskan untuk menyingkirkan beliau daripada jawatan Presiden.
Beribu-ribu rakyat memasuki kawasan kediaman mewah Yanukovych yang ditawan penunjuk perasaan antikerajaan.
Seorang bekas anggota khidmat tentera, Natalia Rudenko berkata, dia berasa terkejut melihat kekayaan yang dimiliki presiden itu.
"Dalam sebuah negara miskin, bagaimana dia boleh memiliki sebegitu banyak kemewahan? Dunia perlu melihat penyelewengan ini dan membawanya ke muka pengadilan," katanya.
Menurut seorang aktivis antikerajaan, kawasan rumah itu cukup besar dan mampu memuatkan semua orang yang datang ke situ, serta memberi amaran supaya tidak pergi ke padang rumput kerana dikuatiri mempunyai periuk api.
Kawasan kediaman presiden itu dijaga oleh pasukan keselamatan beberapa jam sebelum dibuka kepada umum dan dilihat mampu menjadi bukti terhadap kesalahan rasuah yang disyaki dilakukan Presiden itu.
Aktivis antikerajaan kini mengawal kawasan kediaman tersebut untuk memastikan orang ramai tidak memasuki bangunan dan merampas barang-barang yang ada di rumah agam itu.
Menurut laporan rasmi, pendapatan Yanukovych mencecah ASD100,000 (RM330,000) setahun.
Namun, daripada kemewahan yang dimiliki Yanukovych, jelas menunjukkan beliau mempunyai pendapatan lebih daripada itu.
Di pintu masuk ke kawasan kediaman Presiden itu turut diletakkan notis memberitahu orang ramai supaya tidak memusnahkan kawasan yang menjadi bukti keangkuhan Presiden itu.
Para pelawat menyaksikan pelbagai barangan hiasan mewah di dalam rumah agam itu dari luar tingkap kediaman tersebut.
Terdapat beberapa kotak yang bertaburan di rumah agam itu menggambarkan Presiden itu berpindah secara tergesa-gesa dari rumah itu.
Beberapa orang pelawat dilihat mengambil peluang merakamkan koleksi burung pegar yang jarang ditemui dan diimport dari Mongolia dan Sumatera, Indonesia di rumah agam itu.
Mereka juga mengunjungi tasik tasik buatan, landasan helikopter dan sebuah garaj yang menempatkan pelbagai kenderaan tentera Rusia.
Sementara itu, terdapat sebuah kompleks yang dibina untuk kakitangan Presiden berkenaan sebesar rumah mewah di Britain yang kini dibiar kosong. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140224/lu_02/Rumah-agam-Presiden-Ukraine-dipamer#ixzz2uBl0U29w
© Utusan Melayu (M) Bhd