Showing posts with label Kristian. Show all posts
Showing posts with label Kristian. Show all posts

Thursday, October 13, 2011

Empat kumpulan jadi sasaran



SHAH ALAM - Empat golongan dipercayai menjadi sasaran utama kumpulan pendakwah Kristian untuk memurtadkan orang Islam di negara ini.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, mereka ialah golongan miskin, anak muda, pesakit kronik dan golongan intelek yang berpengaruh tetapi kurang pengetahuan agama.

“Mereka menjalankan penerapan fahaman Kristian menggunakan pelbagai taktik dan strategi, termasuk menerusi pendekatan Islamik dengan cara yang sangat halus,” katanya.

Antara caranya kata Hasan ialah dengan mendekati pesakit kronik yang terlantar di hospital terutama yang diabaikan atau kurang mendapat perhatian keluarga.

“Inilah sasaran utama untuk mereka dekati, mulanya dengan cara membantu namun lama-kelamaan mereka mula mempengaruhi dan memesongkan akidah individu terbabit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Menangani Cabaran Kristianisasi di Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Selangor, Datuk Dr Sidek Baba.

Selain itu kata Hasan, gerakan itu juga menjalankan aktiviti mengedar risalah secara terbuka di pusat beli-belah dan juga kawasan perumahan.

“Mereka mempunyai kepakaran dan strategi serta taktik yang terancang untuk mempengaruhi golongan seperti ini,” katanya.

Hasan bagaimanapun mengakui, pihaknya tidak mempunyai data mengenai bilangan individu Islam yang sudah dimurtadkan menerusi gerakan seperti itu selain berapa banyak kumpulan yang menjalankan kegiatan Kristianisasi dengan menjadikan orang Islam sebagai sasaran.

“Apa yang kita diberitahu, gerakan Kristian aliran Evangelist yang aktif dalam kegiatan ini malah mereka dilihat semakin aktif,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hasan berkata, seramai 25 individu telah mendapatkan bantuan di Unit Selamatkan Akidah (USA) yang diwujudkan awal bulan lalu.

“Hampir sebulan unit ini ditubuhkan, kita berjaya membantu individu yang pernah dan sedang mendapat bantuan daripada pertubuhan Kristian.

“Kebanyakan yang datang pada kita adalah mereka yang menetap di kawasan bandar dan mengaku pernah menerima bantuan daripada gerakan itu akibat kesempitan hidup dan sukar mendapat bantuan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Sunday, September 4, 2011

“Ancaman” Kritianisasi – apa peranan Mais dan LZS?



Hampir semua agama mengajar penganutnya untuk membuat baik terhadap golongan miskin dan yang kesempitan. Samada ianya agama Buddha, Kristian, Hindu, Taoist ataupun Islam, soal membantu golongan miskin adalah dianggap amalan baikdipercayai akan mendapat balasan kebaikan dari Tuhan.

Walaupun sebagai orang Islam kita yakin bahawa hanya Islam diterima Allah sebagai agama yang menyembahNya tanpa sekutu, namun ini tidak bermakna bahawa kita perlu melihat semua ugama lain sebagai mengajar kejahatan dan kezaliman terhadap manusia.

Beza utama diantara Islam dengan agama yang lain bukan soal amalan kebajikan yang digalakkan oleh semua ugama, tetapi pegangan terhadap ke-Esaan Allah yang tidak ada persamaan dengan agama lain serta keyakinan bahawa Muhammad (SAW) adalah RasulNya.
Sebagai orang Islam, kita tidak juga diajar untuk mempunyai buruk sangka terhadap amalan kebajikan yang dilakukan oleh penganut ugama lain. Mereka ingin mengamalkan agama mereka dan tidak semestinya ianya dilakukan dengan niat yang jahat terhadap umat Islam.

Sekiranya mereka membantu seorang Muslim, tidak semestinya ianya bertujuan untuk memurtadkan orang Islam tersebut. Ini adalah lebih benar dalam keadaan sekarang, ia itu zaman pasca penjajah.

Semasa zaman penjajahan sememangnya pihak penjajah berusaha seribu upaya untuk memutuskan hubungan umat Islam dengan ajaran Islam. Ini adalah kerana ajaran Islam merupakan asas penentangan terhadap penjajah dan sekutu-sekutu tempatan mereka di bumi Islam.
Dalam melakukan kerja-kerja kebajikan, sekiranya seseorang Islam terpikat dengan kebaikan serta akhlak seorang bukan Islam, dan dengan itu tertarik untuk menganut ugamanya, ianya bukan salah orang bukan Islam tersebut.

Ianya salah umat Islam sendiri yang gagal menunjukkan sifat-sifat baik sehingga saudara seislam mereka menjumpainya hanya di kalangan bukan Islam! Kita tidak boleh persalahkan yang bukan Islam kerana menghayati dan mengamalkan ajaran agamanya sedangkan kita sendiri tidak menunjukkan akhlak yang sepertimana yang dituntut Islam.

Adakah apabila kita tidak menghayati Islam maka semua penganut agama lain ingin kita halang dari mengamalkan ajaran agama mereka?

Kristisasi dan masalah sebenar
Isu orang Kristian ingin memurtadkan orang Islam telah banyak dimainkan dalam media. Samada ianya benar atau sebaliknya masih tidak lagi dibuktikan tetapi yang jelas terbukti punca ‘perginya orang Islam ke Gereja’ adalah atas sebab kelembapan dan kelewatan perkhidmatan zakat serta ketidak-mesraan perkhidmatannya. Ini katanya, telah menyebabkan beberapa orang Islam meminta dan memperolehi bantuan dari pihak Gereja setelah ditolak oleh pihak LZS.
Sudah pasti kesimpulan sebegini merungsingkan golongan yang menimbulkan isu ini, kerana apa yang mereka inginkan ialah untuk mengapi-apikan bahang perkauman dan mengadu-dombakan agama, bukan mendedahkan pekong di dada umat Islam! Akhirnya senjata mereka makan tuan!

Pihak Gereja hanya membantu orang yang datang meminta bantuan, sepertimana dituntut oleh ajaran agama mereka, tetapi ini hanya berlaku apabila umat Islam telah gagal mendapatkan bantuan dari pihak yang berwajib di kalangan umat Islam iaitu Lembaga Zakat Selangor bawah kawalan MAIS.
Sepatutnya orang Islam di Selangor tidak berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan bantuan. Zakat yang dikutip mencecah RM 300 Juta setahun. Jumlahnya cukup besar dan ianya semakin meningkat. Masalahnya pengagihannya seolah-olah tidak secekap pengutipannya.

Semenjak 2008 apabila naiknya kerajaan PR di Selangor, MAIS tetap dikendalikan orang-orang lama. Oleh itu, tidak khairanlah mengapa kecekapan kerajaan baru seolah-olah tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas pentadbiran dan pengurusan MAIS.

Lembaga Zakat Selangor yang dikawal oleh MAIS tetap ditahap yang sama. Malahan, baru baru ini dengan pindaan Enakmen yang dibawa, MAIS menjadi semakin bebas dari kawalan kerajaan Negeri. Ini hanya menjamin bahawa ia tidak akan terkesan dengan dasar ketelusan dan kecekapan mewarnai pentadbiran PR. Ini amat sayang sekali kerana kedua-dua prinsip pengurusan tersebut dituntut Islam.

Mainan Mais?
Pengamatan saya, MAIS, di bawah Datuk Adzib kekal sebagai pusat pengaruh kelompok lama, ia itu UMNO dan dengan itu mempengaruhi JAIS, yang dianggap sebagai Jabatan suruhannya, untuk bertindak demi kepentingan UMNO.

Kenyataan Datuk Adzib baru-baru ini yang mengaitkan JAIS dan MAIS serta DYMM Sultan Selangor sebagai institusi-institusi yang berangkai satu sama lain dan tidak ada kena mengena dengan pentadbiran Negeri Selangor, jelas memperlihatkan sikap ingin membelakangkan kerajaan Negeri.

Datuk Adzib melalui kenyataan itu bagaikan mengambarkan dirinya sebagai ‘bayangan DYMM Sultan Selangor’ dan sebagai bayangan Sultan, tindakan beliau dan tindakan MAIS serta JAIS tidak boleh dipersoalkan.
Sehingga hari ini JAIS masih gagal mengemukakan laporan kepada Menteri Besar dan dengar khabarnya tidak dapat menamakan siapakah membuat aduan kepadanya mengenai peristiwa kristianisasi kononnya akan berlaku di DUMC yang membawa JAIS untuk ‘memeriksa’ DUMC pada 3hb Ogos yang lalu.
Namun, walau apa yang diinginkan pada asalnya melalui isu serbuan Gereja DUMC, tumpuan semua sekarang adalah terhadap MAIS, khususnya Lembaga Zakat Selangor yang dianggap telah gagal memenuhi peranannya secara berkesan.

Tiada yang mengesahkan ketidak keberkesanan LZS sejelas tindakan Exco Ugama, Dato’ Dr. Hassan Ali, apabila beliau tampil ke depan untuk menawarkan khidmat khas bagi membantu golongan yang ‘diambang Kristianisasi’.

Ini mengesahkan perlunya campur tangan EXCO agama untuk membenteng akidah orang Islam daripada meminta bantuan atau dibantu oleh pihak gereja. Akan tetapi hanya untuk kes melibatkan mereka yang menerima atau ingin menerima bantuan dari Gereja!


Penyelesaian dari pemikiran bercelaru
Malangnya, tanpa disedari, tawaran Exco Agama boleh menyebabkan lebih ramai orang Islam memohon bantuan dari Gereja atau mengugut untuk ke Gereja demi melayakkan diri mendapat perkhidmatan Zakat secara segera! Dalam erti kata yang lain ‘terima kasih Gereja kerana menjadikan LZS semakin cekap!’
Sebenarnya apa yang patut dilakukan Exco Agama adalah untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan LZS secara menyeluruh tanpa dikaitkan dengan persoalan Gereja. Umat Islam tidak akan ke Gereja sekiranya perkhidmatan LZS cekap, berkesan dan mesra.

Ini akan tercapai apabila semua pegawai LZS, termasuk pengarah dan pengurusannya, disedarkan akan amanah yang besar yang ditanggung oleh mereka. Peningkatan kecekapan dan keberkesanan akan hanya tercapai dengan membawa MAIS mendampingi corak pengurusan PR dan bukan sebaliknya.

Ini akan hanya berlaku apabila anggota MAIS dirombak sehingga tidak lagi dijadikan kubu kelompok lama. Perlu dimasukkan muka-muka baru, ia itu muka-muka dari kalangan PR yang membawa falsafah ketelusan dan kecekapan serta kebertanggungjawaban.
Pada masa yang sama kekurangan yang wujud seperti kurangnya pusat rawatan penyakit Aids dan HIV yang dikendalikan oleh institusi Islam seperti MAIS, perlu ditangani. Adalah difahamkan NGO Harapan Kommuniti yang menganjurkan program makan malam di dewan DUMC pada malam tersebut merupakan NGO yang memberi sokongan material dan moral kepada mangsa dan keluarga HIV-AIDS.

Ramai dari pesakit mereka adalah dari kalangan orang Melayu Islam. Mangsa HIV- AIDS yang sebahagian besar daripada mereka berbangsa Melayu dan beragama Islam mendapat sokongan rawatan dari mereka kerana tiada atau kurangnya NGO atau pusat sokongan atau rawatam sebegini yang diuruskan orang Islam.

Ramai di antara sukarelawan NGO-NGO sebegini bukan dari kalangan orang Islam. Mangsa HIV-AIDS sering dipinggirkan oleh masyarakat dan juga tidak diberi perhatian serius oleh MAIS. Janganlah kita bersikap hipokrit dengan menolak pesakit-pesakit ini sebagai ‘sampah masyarakat’ tetapi apabila pihak lain membantu mereka dan dengan itu mereka terpikat dengan kasih sayang yang ditunjukkan.

Maka, kita menuduh pihak ini sebagai berniat jahat terhadap umat Islam! Sebaliknya perlu kita sediakan perkhidmatan yang diperlukan sambil berterima kasih atas bantuan yang telah diberikan selama ini.



Agenda tersembunyi
Setelah satu bulan berlalu, kita masih tidak dapat melihat penyelesaian isu ini. MAIS berdiam diri dan tidak mengemukakan langkah MAIS seterusnya untuk menghadapi ‘ancaman’ Kristiniasasi ini. Selepas episod ‘pemeriksaan’ DUMC akhbar Melayu perdana termasuk Sinar (yang selama ini boleh dianggap salah satu akhbar yang agak objektif) telah memainkan isu Kristiniasasi yang mengancam akidah umat Islam sehinggakan menimbulkan ketegangan dan marah penganut Kristian dan Islam.

Orang politik anti Pakatan pula cuba menggambarkan yang Kerajaan Negeri Selangor dibawah Pakatan Rakyat tidak mahu menyebelahi JAIS kerana takut hilang undi Kristian dan bukan Melayu dan kononnya kerana takut kepada DAP.

UMNO tidak bersuara secara langsung tetapi NGO-NGO pro UMNO sibuk untuk menunjukkan bantahan terhadap kerajaan negeri. Semuanya menunjukkan keperihatinan terhadap ancaman akidah dan memberi gambaran orang Melayu Islam sedang berbondong-bondong akan murtad.

Agenda pihak tertentu jelas untuk mengadu-domba umat Islam dengan Kristian sambil memberikan gambaran bahawa DAP adalah parti Kristian. Dengan itu mereka mengharapkan umat Islam akan bersatu menolak PR dan menyokong UMNO/BN dalam PRU ke 13 yang menjelang tiba.
Maka tidak khairanlah bantuan dari Gereja disifatkan sebagai ‘perangkap’ dan ancaman terbesar terhadap akidah umat Islam adalah Kristianisasi. Gendang dipalu mengikut apa yang diinginkan UMNO/BN. Hakikatnya, sekiranya ianya ‘perangkap’ sekalipun, maka LZS adalah pihak yang mendorong umat Islam memasukinya atas sebab ketidak-kecekapannya. Hakikat ini diakui oleh Exco Agama sendiri melalui tindakannya.
Pada masa yang sama, adalah merupakan satu hakikat juga bahawa lebih ramai dikalangan umat Islam diancam penyakit kejahilan dan ketidak-taatan kepada ajaran Islam serta fahaman sekular dan perkauman yang turut boleh menyebabkan gugurnya syahadah mereka.

Ancaman terhadap ummat Islam hasil dari fahaman-fahaman ini yang diperjuangkan UMNO/BN adalah lebih dahsyat dan lebih merbahaya kerana ianya boleh menyebabkan umat Islam memperlekehkan undang-undang Islam. Ini boleh membawa kepada kekufuran tanpa disedari.
KESIMPULAN.
Sebagai rakyat Malaysia kita ingin melihat rakyat bersatu atas dasar saling hormat menghormati hak masing-masing. Kita ingin melihat wujudnya masyarakat yang bersifat saling berkasih sayang di mana semua pihak saling membantu satu sama lain dengan ikhlas tanpa mengira kaum ataupun agama. Sifat saling bantu membantu perlu digalakkan bukan dihalang.

Dari segi keikhlasan bantuan dan samada adanya udang disebalik batu, kita serahkan kepada Allah untuk menzahirkan. Sekiranya ianya wujud, di mana bantuan hanya diberi atas syarat meninggalkan ugama sendiri, maka Allah pasti akan dedahkannya. Dengan itu pihak yang mengambil kesempatan dan mengamalkan rasuah agama ini boleh didakwa dan dihukum selayaknya.
Selagimana tiada bukti akan kelakuan sedemikian rupa, maka apa jua bantuan terhadap golongan miskin walau dari mana golongan sekalipun, amat sangat dihargai.
“Dan sekiranya mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kamu juga kepadanya dan bertawakkal kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.” (Al-Anfal 61).

Dipetik daripada blog Dr Siti Mariah Mahmud

Saturday, August 20, 2011

Pusat tuisyen didakwa sebar dakwah Kristian ditutup

KUALA LUMPUR 19 Ogos — Kementerian Pelajaran telah mengarahkan pusat tuisyen yang dikatakan menyebarkan dakwah Kristian secara halus di Jalan Klang Lama berhampiran pasar raya besar Tesco ditutup serta-merta.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ini kerana ia beroperasi secara haram ekoran tidak mempunyai permit yang sah.
Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Jabatan Agama Islam Wilaya Persekutuan (Jawi) sedang menjalankan siasatan terperinci bagi membolehkan guru pusat tuisyen tersebut diambil tindakan yang sewajarnya.
“Kita serahkan kepada polis dan Jabatan Agama untuk menjalankan siasatan kerana ia berkait dengan undang-undang negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Puad turut mendedahkan laporan awal siasatan Kementerian Pelajaran mendapati tiga murid Melayu dari Sekolah Kebangsaan Seri Setia, Jalan Kuchai Lama menghadiri kelas tuisyen yang dikendalikan secara haram itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan oleh pihaknya.
Kata Che Mat, sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak akan diambil berdasarkan laporan yang akan dikeluarkan oleh Jawi nanti.-utusan

‘Kalau tidak nyanyi, tolak markah’




SEBUAH rumah di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, yang didakwa dijadikan kelas tuisyen bagi pelajaran Bahasa Inggeris, manakala gambar kecil, beberapa murid Melayu menunjukkan bahan bacaan yang diajar di kelas tuisyen itu. – utusan/Fauzi Baharudin


KUALA LUMPUR 19 Ogos – Dua adik-beradik Melayu yang belajar di sebuah tempat tuisyen yang didakwa cuba menyebarkan ajaran Kristian secara halus, memberitahu bahawa mereka tidak tahu apa yang dibuat oleh guru di situ adalah salah.
Utusan Malaysia yang berjaya menemu bual adik-beradik berkenaan mendapati kedua-dua mereka mengaku telah diajar menyanyi beberapa lagu yang mempunyai unsur agama Kristian sewaktu belajar di tempat tuisyen berkenaan.
Ketika ditanya, murid lelaki berusia tujuh tahun tersebut memberitahu, guru tuisyen itu akan membawanya berjalan-jalan kalau mendapat markah yang tinggi.
“Kalau tak nyanyi tolak markah. Ada kawan-kawan yang dibawa ke Genting Highlands dan tengok wayang,” katanya.
Kakaknya yang berusia 12 tahun pula memberitahu, mereka juga diajak menonton video yang disimpan di dalam komputer guru berkenaan setiap kali kelas berlangsung.
“Markah akan ditolak kalau tidak tengok cerita. Kalau markah kosong nanti boleh kena buang dari tuisyen. Kena tengok cerita sampai habis. Cerita itu macam kartun pasal Jesus dengan banyak episod seperti pasal macam mana dilahirkan dan kematiannya.
“Kuiz akan dibuat dan mereka dapat markah tertinggi dapat hadiah. Saya juga pernah dibawa pergi berkelah di Sungai Congkak,” ujarnya.
Menurut murid itu lagi, selain lagu dan video, setiap kali ulang tahun kelahiran, guru berkenaan akan mengadakan parti dan memberi hadiah, begitu juga ketika Krismas.
Menurutnya lagi, mereka tidak pernah memberitahu ibu bapa mereka tentang perkara tersebut.
Adik beradik dari keluarga miskin itu dan rakan-rakan mereka yang lain diberi tuisyen bahasa Inggeris secara percuma oleh guru berkenaan dan juga guru-guru lain di tempat tuisyen tersebut.
Apabila ditanya mengenai Jesus, dia menjawab: “Dia adalah Tuhan cikgu (guru tuisyen tersebut). Kawan-kawan yang sama belajar di situ beritahu saya, mereka kasihankan Jesus sebab cikgu kata dia mati kena paku.”
Budak perempuan itu bagaimanapun memberitahu dia “tidak rasa apa-apa” apabila ditanya perasaannya apabila diajar lagu-lagu tersebut atau disuruh menonton video tentang Jesus.
Pertemuan kedua-dua beradik itu dengan Utusan Malaysia turut disertai oleh dua lagi rakan mereka yang juga belajar di tempat tuisyen sama.
Keempat-empat mereka turut memperdengarkan lagu yang diajar oleh guru tersebut yang antara lain liriknya berbunyi:
“Hari ini ku rasa bahagia, berkumpul bersama saudara seiman, Tuhan Yesus sudah satukan kita, tanpa memandang di antara kita. Kau sahabatku, kau saudaraku, tiada dapat memisahkan kita.”utusan

Thursday, August 18, 2011

Didakwa terap ajaran Kristian

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Sepasukan pegawai dari Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur dipercayai mengunjungi sebuah sekolah di Jalan Kuchai Lama di sini, hari ini, untuk mengambil keterangan seorang murid tahun satu berhubung dakwaan murid itu cuba dipengaruhi dengan ajaran Kristian.
Pasukan dari Bahagian Sektor Pendidikan Islam itu difahamkan hadir pukul 8.30 pagi sebelum dilihat keluar dari sekolah tersebut kira-kira empat jam selepas itu.
Menurut sumber, pegawai berkenaan telah menemu bual seorang murid yang turut dihadiri ibu nya serta seorang guru sekolah itu.
Sementara itu, guru besar sekolah tersebut ketika ditemui hari ini mengesahkan pertemuan antara murid dan pegawai dari Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur itu, namun enggan mengulas lanjut.
Ruangan Cuit di dalam Utusan Malaysia oleh Zaini Hassan hari ini mendedahkan dakwaan seorang guru sekolah berbangsa India yang memberitahu, terdapat murid tahun satu dan enam sekolahnya mampu menyanyikan dengan bersemangat lagu memuji kebesaran Nabi Isa.
Lagu dinyanyikan adalah 'Yes, I know Jesus loves me' dan lagu 'Hari Ini Ku Rasa Bahagia' yang memuji Nabi Isa sambil menunjukkan isyarat tangan simbol salib, selain boleh bercerita kisah-kisah Nabi Isa termasuk kisah Nabi Isa disalib.
Difahamkan, para murid diterapkan ajaran agama Kristian secara halus ketika belajar di kelas tuisyen yang diberikan percuma oleh sekumpulan pemuda-pemudi bukan berbangsa Melayu di kawasan itu.-utusan

Monday, March 21, 2011

Akad nikah di masjid didakwa amalan Kristian



KANGAR - Menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang daripada amalan Rasulullah, kata seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh.
Beliau berkata, Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.
Ahmad yang juga ahli Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata, walaupun pernah berlaku peristiwa akad nikah dalam masjid pada zaman Rasulullah namun, ia berpunca dari kehadiran seorang wanita ke dalam masjid yang mahu dirinya dikahwini.

Monday, October 11, 2010

Kes rampasan CD ajaran Kristian ditetap 26 Okt.


11/10/2010 1:24pm

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 26 Okt ini untuk menentukan tarikh perbicaraan kes seorang wanita dari Sarawak yang mencabar keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas lapan cakera padat (CD) mengenai ajaran Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’.
Penolong Pendaftar Kanan Halilah Suboh menetapkan tarikh tersebut dalam kamar hari ini.
Pada 20 Ogos 2008, Jill Ireland Lawrence Bill, 27, memfailkan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mandamus memaksa pihak berkuasa mematuhi perintah mahkamah) bagi mengarahkan KDN mengembalikan kesemua CD tersebut.
Jill, yang bekerja sebagai seorang kerani, mendapat kebenaran dari Mahkamah Tinggi pada 4 Mei tahun lalu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman itu.
Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi, yang mewakili pihak responden, memberitahu pemberita bahawa mahkamah mengarahkan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan untuk memfailkan afidavit balasan berhubung kes itu. - Bernama