Tuesday, March 25, 2014

Etnik Islam Tatar cari perlindungan

Etnik Islam Tatar cari perlindungan
Seorang penduduk Tatar memegang plakad 'Referendum tidak sah' ketika protes aman di Bakhchisaray, 14 Mac lalu.
25 Mac 2014 
LVIV - UKRAINE. Ratusan etnik Islam Tatar terpaksa mencari perlindungan di barat Ukraine selepas pencerobohan Rusia di Crimea, minggu lalu.

Mereka membuat keputusan itu kerana khuatir menjadi mangsa pengusiran etnik era pemerintahan Kesatuan Soviet pada 1940-an.

Penduduk Tatar yang kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak terpaksa mengharungi perjalanan selama 30 jam menaiki kereta api sejauh 1,200 kilometer dari Ukraine ke Lviv.

Memetik laporan AFP, pihak berkuasa tempatan memaklumkan kira-kira 2,000 penduduk dari Crimea dan kawasan sekitarnya kini mendapatkan perlindungan sementara di Lviv yang turut digelar sebagai 'the little Paris of Ukraine'.

Difahamkan, seramai 300,000 masyarakat Islam Tatar turut memboikot referendum untuk menentukan sama ada Crimea akan menyertai Rusia pada 16 Mac lalu.

Kronologi kehilangan MH370


MISTERI kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 terjawab pada hari ke-16 operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai negara, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.

8 MAC


* Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada
12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang
sama.


* Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Baharu, Kelantan.


* Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerak pada 5.30 pagi membabitkan 15 pesawat TUDM, termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

* Kenyataan media Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu dan kesemua keluarga penumpang dimaklumkan; pecahan kerakyatan penumpang MH370 iaitu 38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China, Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1).

9 MAC

* Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan pencarian diperluas di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

* Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan hanya
dua penumpang yang menggunakan pasport palsu Itali dan Austria, menaiki pesawat
MH370.

10 MAC

* Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikrar kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat MH370.

* APMM menerima keputusan ujian sampel tompokan minyak yang ditemui
di perairan Vietnam, yang negatif minyak pesawat dan disahkan sebagai minyak
bagi kapal kargo.


11 MAC

* Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warga Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29.

* Kedua-dua mereka disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas
dan dipercayai cuba berhijrah ke Eropah.


12 MAC

* Hishammuddin memperjelas beberapa isu termasuk ada sedikit kemungkinan MH370 melewati Selat Melaka, kerjasama dengan pakar penerbangan luar negara dan semua orang yang mendaftar dalam penerbangan MH370 menaiki pesawat.

* Empat penumpang tidak muncul semasa mendaftar. Mereka diganti dengan penumpang daripada senarai menunggu. Penumpang berkenaan menaiki pesawat.
Tiada bagasi yang tidak dimuatkan.

* Dua lelaki rakyat Iran, yang memasuki dan meninggalkan Malaysia menaiki
pesawat MH370, menggunakan pasport yang sama.

13 MAC

* Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin terbang
kira-kira empat sejam selepas ia hilang dari skrin radar.

* China menyatakan bahawa tiada bukti objek terapung yang dikesan satelit di Laut China Selatan pada Ahad mempunyai hubung kait dengan pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China juga berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej itu.

14 MAC

* Pencarian diperluas sehingga ke Lautan Hindi. Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat USS Kidd tiba di Selat Melaka untuk membantu pencarian.
* Pihak berkuasa mengkaji empat hingga lima kemungkinan bagaimana transponder pesawat ditutup.

15 MAC

* Perdana Menteri tidak dapat mengesahkan laporan kemungkinan pesawat dirampas.

* Najib berkata komunikasi terakhir pesawat dengan satelit dikesan di satu daripada dua koridor; koridor utara merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan
dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand atau koridor selatan yang merentangi
kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

* Najib berkata operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan
ditamatkan.

16 MAC

* Hishammuddin berkata tiada sebarang tuntutan dibuat berhubung kehilangan pesawat.

* Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003.

* Polis mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.

17 MAC

* Hishammuddin berkata operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan selatan bermula.

18 MAC

* Hishammuddin berkata tiga juta orang mungkin terbabit dalam usaha mencari pesawat itu dengan dibantu pengusaha satelit DigitalGlobe.

19 MAC

* Hishammuddin menafikan laporan bahawa pesawat itu dilihat terbang rendah di ruang udara Maldives.

20 MAC

* Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Najib pada 10 pagi untuk memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan pesawat yang hilang.

* Satelit Australian Maritime Safety Authority (AMSA) mengesan imej dua objek
di bahagian selatan Lautan Hindi terletak kira-kira 2,500 kilometer barat daya
Perth.

* Hishammuddin berkata operasi pencarian pesawat itu diteruskan dan objek yang
dikesan di Australia akan ditentukan sama ada sebahagian daripada MH370.

21 MAC

* Malaysia masih menunggu maklumat daripada pihak berkuasa Australia sama ada objek yang dikesan di selatan Lautan Hindi pada Khamis ada kaitan dengan MH370.

* Hishammuddin berkata agensi perisikan antarabangsa tidak menemui sebarang
keganjilan berdasarkan manifes penumpang pesawat itu.

* Hishammuddin berkata siasatan terhadap penumpang tunggal warga Ukraine yang
dijalankan oleh pihak berkuasa negara itu juga mengesahkan latar belakang
penumpang berkenaan bersih.

22 MAC

* Transkrip komunikasi yang didakwa antara pesawat MH370 dan pusat kawalan trafik udara pada malam pesawat dilapor hilang diklasifikasi sebagai tidak tepat dan tidak sah, kata DCA.

* Hishammuddin berkata satelit China mencerap imej objek terapung berukuran
22.5 meter x 13 meter.

* Hishammuddin berkata pihak berkuasa Australia tidak mengesan sebarang objek
dalam pencarian di kawasan berkedudukan kira-kira 2,500 km dari barat daya
Perth.

23 MAC

* Hishammuddin berkata Malaysia menyerahkan imej baharu yang dicerap oleh satelit pihak berkuasa Perancis kepada pusat koordinasi menyelamat Australia.

* Hishammuddin berkata setakat 2.30 petang waktu Malaysia, pihak Australia
memaklumkan mereka tidak menemui sebarang petunjuk baharu berhubung MH370.


24 MAC

* Hishammuddin berkata polis sudah mengambil keterangan lebih 100 orang termasuk keluarga juruterbang MH370.

* Pada 10 malam, Najib mengumumkan kedudukan terakhir penerbangan MH370
dikesan di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

* MAS meluahkan rasa duka penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Jualan insurans kemalangan penerbangan naik mendadak


Kuala Lumpur: Insiden kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu menyebabkan lebih ramai pelancong di China cenderung untuk membeli insurans kemalangan.

Pelancong di negara itu membeli insurans kemalangan penerbangan selepas dikejutkan dengan kehilangan pesawat MAS itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal.


“Saya tidak terfikir untuk membeli insurans kemalangan penerbangan sebelum ini setiap kali menaiki pesawat, tetapi kes MAS membuatkan saya sedar akan risikonya.



“Saya perlu fikir bagaimana untuk melindungi keluarga sekiranya saya cedera atau maut dalam nahas pesawat,” kata Zhang Jin yang terbang empat hingga lima kali setahun.


Seorang profesor dalam bidang insurans berkata, insurans kemalangan penerbangan adalah atas kesedaran sendiri dan ia sangat digalakkan.


“Sebenarnya, sangat mudah membeli insurans itu melalui Internet tetapi saya sendiri tidak sedar kepentingannya. Saya mungkin tidak membeli insurans pelancongan tetapi insurans kemalangan penerbangan sangat diperlukan,” katanya.

Jualan insurans kemalangan penerbangan naik mendadak selepas pesawat MH370 hilang pada 8 Mac lalu. Dilaporkan, produk insurans kemalangan bagi perjalanan sehala ditawarkan China Pacific Insurance menerusi platform beli-belah atas talian, Taobao menunjukkan purata 43 transaksi sehari selepas kejadian pesawat hilang itu meningkat daripada 22 transaksi sebelumnya.


Katanya, produk insurans kemalangan penerbangan PICC Life yang menawarkan polisi selama setahun merekodkan 12 polisi terjual selepas itu meningkat daripada tiga polisi sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Uighur terpinggir di bumi sendiri


Oleh Kamarudin Mohamed Salleh

Pada 1 Mac lalu, satu serangan besar-besaran di sebuah stesen kereta api di Kunming, barat daya China, meragut 29 nyawa dan mencederakan lebih 130 yang lain.

Beberapa hari kemudian, pihak berkuasa China mengesahkan 10 individu terbabit dalam kejadian itu dan mereka terdiri daripada lelaki dan wanita.


Kejadian itu digelar oleh sesetengah pemerhati sebagai 11 September China.



Kumpulan pemisah Islam Uighur dari Xinjiang, wilayah paling ramai penduduk beragama Islam di China, dipersalahkan.


Serangan berkenaan menyusuli serangan bom kereta di Dataran Tiananmen pada Oktober 2013 yang meragut lima nyawa.


Kedua-dua kejadian itu dan serangan yang berlaku di Xinjiang sendiri mencetuskan kebimbangan mengenai keganasan yang semakin meningkat di China - antara negara paling ramai penduduk di dunia - ketika ia berusaha meletakkan dirinya sebagai negara ekonomi terbesar dunia.

China mempunyai 55 kumpulan etnik minoriti dengan yang terbesar Uighur (10 juta), diikuti oleh Tibet (enam juta) dan Mongolia di Inner Mongolia di utara negara itu yang bersempadan dengan Mongolia.


Populasi etnik minoriti lain tidak besar dan sesetengahnya hampir pupus.

Etnik Han, penduduk paling ramai di China mewakili 94 peratus populasi negara itu yang seramai 1.3 bilion.


China mendakwa Xinjiang, seperti Tibet, dari segi sejarah adalah sebahagian wilayahnya walaupun dakwaan itu boleh dipersoalkan.


China juga mendakwa memerdekakan Xinjiang pada 1949.


Perlembagaan China menjanjikan autonomi kepada wilayah itu tetapi pada amalannya, mereka tidak mempunyai kelebihan berbanding etnik Han. Autonomi yang diberikan hanya membenarkan kebebasan untuk mengamalkan agama mereka, menggunakan bahasa ibunda dan mengekalkan budaya dan amalan tradisi selain memiliki lebih seorang anak.


Sementara itu, usaha pihak berkuasa China membawa pembangunan ke wilayah minoriti memang tidak dapat disangkal.


Bagaimanapun, kajian yang dijalankan menunjukkan, keuntungan yang diperoleh hasil daripada pembangunan itu hanya dinikmati oleh penduduk Han yang dibawa masuk secara beramai-ramai seiring dengan pembangunan yang dijalankan. Tidak hairanlah jika penduduk Uighur di Xinjiang berasakan mereka seperti orang asing di bumi sendiri sejak dikuasai secara rasmi oleh China pada 1949.


Beijing pada masa sama tidak pernah lupa untuk berusaha mengingatkan etnik Uighur bahawa mereka adalah di bawah penguasaan China.


Pada 1957, kira-kira 100 ulama dan cendekiawan Islam etnik itu dibunuh oleh kerajaan China tanpa alasan.


Tanam sifat takut Bagi Beijing, ia perlu dilakukan untuk menanam sifat takut di kalangan etnik berkenaan.


Pada 1993, abu mayat seorang jeneral tentera negara itu, Wang Zhen, ditaburkan dari puncak sebuah gunung di Banjaran Tien Shan, yang dianggap suci oleh masyarakat Cina.


Sungai yang mengalir dari gunung berkenaan menjadi sumber air utama bagi wilayah Xinjiang dan penduduk Islam Uighur sejak dulu lagi.


Sejak itu, penduduk Uighur berasakan mereka sudah dipaksa hidup dengan air yang dicemari oleh musuh mereka yang didakwa tidak akan dapat mereka tewaskan.


China juga sentiasa membesar-besarkan usaha mereka membangunkan Xinjiang sepanjang dekad lalu, termasuk menghebohkan peningkatan pendapatan penduduk dan penyediaan kemudahan asas.


Perubahan yang berlaku itu menyaksikan Xinjiang berada dalam senarai 10 wilayah paling cepat membangun di China.


Tetapi perkembangan ekonomi tidak dapat dinikmati oleh hampir semua etnik Uighur yang menjadi penduduk asal dan majoriti wilayah berkenaan.


Kerja terbaik dikuasai oleh masyarakat Han. Bagi etnik Uighur yang bernasib baik, mereka hanya berpeluang menjadi buruh seperti di lombong arang batu, kilang simen dan kawasan pembinaan.


Etnik Uighur yang berasal dari Turki itu selama ini adalah masyarakat Islam berfahaman sederhana. Sebelum ini, usaha untuk memerdekakan Xinjiang atau sekurang-kurangnya untuk mendapatkan kuasa autonomi dilakukan tanpa mengguna alasan agama. Tetapi keadaan itu berubah pada penghujung 1980-an apabila mereka mula menggunakan agama sebagai identiti perjuangan untuk menuntut kemerdekaan.


Usaha itu sekali gus membabitkan kumpulan jihad antarabangsa, khususnya al-Qaeda. Tahun lalu terdapat 13 kejadian, semuanya di Xinjiang, kecuali serangan berani mati yang dilakukan oleh tiga sekeluarga di Dataran Tiananmen. Tahun ini dua kejadian serangan membabitkan kumpulan pemisah wilayah itu. Sejak sekian lama pihak berkuasa China menganggap bantahan dan serangan yang dilakukan oleh etnik Uighur adalah hasil kerja sekumpulan kecil penduduk Xinjiang yang tidak berpuas hati. Beijing seolah-olah memandang ringan keinginan etnik itu untuk mendapatkan kemerdekaan atau kuasa autonomi mutlak.


Tetapi, hakikatnya, etnik itu kini sudah melihat pemisahan daripada China sebagai satu-satunya penyelesaian untuk membolehkan mereka keluar daripada keadaan tertindas.


Ramai dalam kalangan mereka sudah mula meninjau menjangkau sempadan negara itu, ke arah kumpulan pejuang Islam, untuk mendapatkan inspirasi.


Dan tidak hairanlah jika penindasan dan taktik ganas yang dikenakan oleh China ke atas mereka, etnik Uighur akan beralih kepada tindakan seperti kumpulan jihad lain, dan menjadikan Xinjiang Chechnya di bumi China.


Penulis Pengarang Global Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/25

Lagi pangkalan tentera Ukraine ditawan


KIEV 24 Mac - Tentera Rusia hari ini dilaporkan menawan satu lagi pangkalan tentera Ukraine di Crimea, selepas melancarkan serangan bom tangan pegun dan menahan askar marin Ukraine.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Ukraine bagi Crimea, Vladislav Seleznyov berkata, pangkalan Tentera Laut Ukraine di Feodisia, timur Crimea diserang askar Rusia pada awal pagi menggunakan kenderaan berperisai.
"Pasukan separa tentera Rusia turut menggunakan empat buah helikopter," katanya dalam akaun laman web Facebook.
Beliau berkata, tiga kenderaan askar Rusia kemudian dilihat meninggalkan pangkalan tersebut bersama-sama anggota tentera marin Ukraine yang diikat tangan mereka.
Kepulan asap turut dapat dilihat di berek-berek pangkalan berkenaan.
Pangkalan tentera laut di Feodisia sebelum ini merupakan satu-satunya pangkalan tentera laut yang masih berada di bawah kawalan Ukraine.
Askar elit Rusia, semalam menawan pangkalan udara Belbek di Crimea selepas mengambil alih kawalan ke atas pangkalan lain.
Dalam pada itu, pemimpin Ukraine semalam melahirkan kebimbangan Rusia akan menjajah seluruh Ukraine ekoran jumlah besar tentera Moscow berada di sempadan di timur negara itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140325/lu_07/Lagi-pangkalan-tentera-Ukraine-ditawan#ixzz2wvSuuzFv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Musuh saya akan hancur - Erdogan


ISTANBUL 24 Mac - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan memberi amaran, musuh politiknya akan 'musnah' kerana cuba memfitnah beliau dengan tuduhan rasuah.
Erdogan berkata demikian di hadapan beratus-ratus ribu penyokongnya di Istanbul, semalam, kurang seminggu sebelum pilihan raya pada 30 Mac ini yang bakal menentukan nasibnya dalam dunia politik.
Beliau mendakwa, pendakwah yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat, Fethullah Gulen yang mengetuai rangkaian Hizmet mendalangi siasatan polis ke atas perniagaan, pegawai kerajaan dan keluarganya.
"Tidak kira ugutan atau fitnah dilemparkan, musuh saya akan hancur akibat perbuatan yang tidak bermoral itu," kata Erdogan yang merujuk kepada kumpulan Hizmet, yang dilabel sebagai pertubuhan pengganas. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140325/lu_06/Musuh-saya-akan-hancur---Erdogan#ixzz2wvSdktn4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penyokong Mursi dihukum mati


KAHERAH 24 Mac - Mahkamah Mesir hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 penyokong bekas Presiden, Mohammed Mursi selepas satu perbicaraan secara besar-besaran.
Keputusan tersebut diputuskan pada hari kedua perbicaraan di Minya, selatan ibu negara ini yang bermula kelmarin.
Daripada 529 defendan tersebut, hanya 153 orang telah ditahan manakala selebihnya masih bebas dan telah melarikan diri.
Selain itu, 17 defendan lagi didapati tidak bersalah dalam perbicaraan tersebut.
Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 1,200 penyokong Mursi yang dibicarakan di Minya.
Kumpulan kedua defendan sebanyak 700 orang akan dibicarakan esok.
Mereka dituduh menyerang orang ramai dan memusnahkan harta awam di selatan Mesir pada Ogos lalu selepas pasukan keselamatan menggunakan tindakan kekerasan ketika menyuraikan dua kem demonstrasi iaitu Dataran an-Nahda dan Dataran Rabaa al-adawiya pada 14 Ogos lalu.
Penyokong pergerakan Ikhwanul Muslimin tersebut turut didakwa melakukan keganasan yang menyebabkan dua orang anggota polis maut di Minya.
Beratus-ratus orang dilaporkan terbunuh dalam kejadian di dua kem tersebut dan pertempuran lain pada tarikh sama.
Mursi yang merupakan Presiden pertama dilantik oleh rakyat, digulingkan oleh tentera pada 3 Julai lalu dalam tindakan yang mencetuskan keganasan di seluruh negara ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140325/lu_02/Penyokong-Mursi-dihukum-mati#ixzz2wvQhbpob
© Utusan Melayu (M) Bhd