Saturday, November 6, 2010

Lim saman Berita Harian dan Ketua Menteri Melaka



KUALA LUMPUR - Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan memfailkan saman terhadap Berita Harian dan Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berhubung artikel ‘Tindakan Kit Siang tuduh UMNO kafir melampau’ walaupun akhbar itu membuat pembetulan, semalam. 

Kit Siang berkata, walaupun ia menafikan merujuk kepada beliau, peguamnya, Karpal Singh akan memfailkan saman terhadap kedua-dua pihak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin ini. 

“Saya sudah memaklumkan kepada Karpal bagi meneruskan tindakan undang-undang terhadap Berita Harian dan Ali Rustam,” katanya di sini, semalam. 

Kit Siang berkata, beliau juga akan menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, untuk memastikan polis tidak menyembunyikan perkara itu. 

"Walaupun pembetulan sudah dibuat akhbar itu, ia tidak sama dengan permohonan maaf, malah memburukkan lagi keadaan," katanya. 

Sementara itu, Kapal berkata, laporan polis berhubung perkara itu sudah dibuat di Gua Musang. 

Katanya, pihaknya akan memfailkan saman dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohd Ali, yang juga Ketua Menteri Melaka, dan akhbar berkenaan. 

“Kenyataan Mohd Ali bahawa Kit Siang melabel UMNO kafir adalah keterlaluan dan mengandungi unsur hasutan serta fitnah yang jelas. 

“Tindakan mereka itu boleh didakwa mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Sehubungan itu, kita akan memfailkan saman jam 2.30 petang di Mahkamah Sivil Jalan Duta,” katanya.

Tetap pertahan surau




BUKIT KATIL – Kira-kira 100 penyokong Pas membuat demonstrasi bantahan secara aman selama kira-kira 20 minit di hadapan Masjid Bukit Katil, dekat sini, selepas solat Jumaat semalam. 

Demonstrasi kali ketiga dilakukan Pas itu sebagai membantah langkah Kerajaan Negeri merobohkan surau juga melibatkan bangunan markas Pas bagi membolehkan pembinaan jalan raya. 

Bagaimanapun, kira-kira 50 anggota Pasukan Simpa-nan Persekutuan (FRU) tiba bagi meleraikan demonstrasi yang turut menarik perhatian orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. 

Ketua Dewan Pemuda Pas, Kamarudin Sidik berkata, mereka sekeras-kerasnya membantah dan memohon Kerajaan Negeri supaya mempertimbangkan semula cadangan pembinaan jalan raya terbabit. 

Menurutnya, Pas turut menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Menghalang Pengambilan Tanah dan Perobo-han Surau serta Tadika Pasti Bukit Katil sebagai tanda serius pembantahan. 

“Sekali lagi kami membantah untuk pengambilan tanah ini dan melakukan demonstrasi kerana beliau (Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam) tidak bersedia berbincang dengan baik bersama kami. Adakah pengambilan ini menyentuh kepentingan politik. 

“Dakwaan mengatakan bangunan surau ini tiada pelan adalah tidak tepat kerana bangunan surau itu ada pelan yang diluluskan sendiri Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Melaka Bersejarah (kini Majlis Bandaraya) pada Mei 2000,” katanya. 

Menurutnya, di bawah jawatankuasa berkenaan, mereka akan terus mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin sebagai tujuan membantah merobohkan surau dengan melibatkan lapan pemilik tanah di situ. 

Sementara itu, pemilik tanah, Silan Ibrahim berkata, mereka sudah berjumpa dengan wakil Pejabat Tanah Daerah Melaka Tengah bagi menyelesaikan kemelut berkenaan. 

“Pada mulanya, kami mendapat surat untuk tujuan bayaran pampasan. Tetapi pertemuan pada 3 November lalu, mereka hanya menyoal beberapa perkara seperti keluasan surau, ahli jawatankuasa surau dan adakah kami bersetuju dengan pengambilan tanah ini. 

“Jawapannya, biar setinggi mana pun nilai pampasan yang akan diberikan, kami dengan tegas tidak akan menerimanya. 

“Selaku waris yang mewakafkan tanah, surau ini akan dipastikan terus menjadi tempat umat Islam beribadat dan pelajar Pasti akan terus belajar di sini. 

“Kami sesekali tidak membenarkan tanah ini diambil,” katanya. 

Difahamkan, seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditahan polis, semalam bagi memberi keterangan berhubung demonstrasi itu.

Balagi rayu dirawat segera



BALAGI kelihatan sugul kerana tidak dapat meraikan perayaan Deepavali di Hospital Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Berbeza seperti tahun sebelumnya, tiada pakaian baru atau makanan kegemaran dijamah lelaki obes, M. Balagi, 43, pada sambutan Deepavali tahun ini.
Dia yang masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak 10 hari lalu hanya terlantar di katil seorang diri menantikan kunjungan saudara-mara dan rakan-rakan.
"Petang nanti mungkin ibu dan adik-adik saya datang. Sedih juga kerana tidak dapat ke kuil bersama-sama mereka seperti selalu," ujarnya yang kelihatan sugul.
Menurut Balagi, setiap kali Deepavali, ibunya, Rajasundi, 60, akan menyediakan hidangan ayam masak merah kegemarannya yang dimakan bersama tose pada pagi Deepavali.
Dia yang kini ditempatkan di Wad Ortopedik HPP hanya berehat di katil hospital itu sejak 10 hari lalu dan diberikan suntikan antibiotik serta dibenarkan minum susu rendah lemak sahaja bagi mengawal diet pemakanannya.
Sepanjang tempoh itu juga dia tidak dibenarkan menjamah nasi atau makanan pejal.
Balagi berkata, doktor memberitahu ketiadaan mesin pengimbas Imej Magnetik Resonan (MRI) yang boleh memuatkan individu berbadan besar di HPP menyebabkan usaha untuk merawatnya masih tertangguh.

5 beranak sedih disisih masyarakat



ZURINA (dua dari kiri) menolong suaminya, Jasni, memakai kaki palsu sambil diperhatikan anaknya dari kiri, Muhammad Yusri, Muhammad Shah dan Azura semasa ditemui di rumahnya di Sungai Buloh semalam.


SUNGAI BULOH – Ketika rakan seusianya menikmati zaman kanak-kanak, tiga beradik termasuk salah seorang penghidap penyakit Sindrom Down tersisih daripada masyarakat.
Tidak seperti orang lain, Azura Jasni, 14, Muhammad Shah, 12, dan Muhammad Yusri, 9, yang tubuhnya seperti kanak-kanak empat tahun itu juga ketinggalan dalam persekolahan akibat dihimpit kesusahan.
Derita keluarga malang itu makin berganda apabila mereka dipulau sesetengah masyarakat termasuk sanak-saudara sendiri.
Semuanya bermula selepas bapa mereka, Jasni Susah, 43, hilang mata pencarian sebagai operator kilang apabila kaki kanannya terpaksa dipotong akibat kencing manis kira-kira dua tahun lalu.
Sejak itu, Jasni memberitahu, kehidupan dia dan isterinya, Zurina Ali, 35, dan keluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan bergantung kepada ihsan RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Kadang-kadang nak makan nasi, beras pun tiada. Saya dan isteri terpaksa ikat perut dan cari makanan untuk anak-anak,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Kampung Paya Jaras Hilir di sini semalam.

Maut sebelum sempat tegur pemandu



ORANG ramai melihat keadaan sebuah bas ekspres yang terbabas ke dalam sebatang tali air hingga menyebabkan Ismail Natayuddin maut di Pekan semalam.


PEKAN – Niat seorang lelaki untuk menegur sikap pemandu yang memandu sebuah bas ekspres dengan laju tidak kesampaian apabila kenderaan itu terbabas ke dalam tali air dekat Sungai Miang di sini sehingga mengorbankan nyawanya.
Kejadian pukul 8.15 malam di Kilometer 20 Jalan Pekan-Nenasi di sini itu mengakibatkan graduan Ijazah Sarjana Muda Elektrik Universiti Tenaga Nasional, Ismail Natayuddin Hamdan, 25, mati di lokasi kejadian.
Ketika kejadian, bas itu membawa 33 penumpang. Empat lagi penumpang cedera parah dan dirawat di Hospital Pekan di sini manakala bakinya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ismail Natayuddin dipercayai lemas selepas gagal diselamatkan apabila bahagian kiri bas itu terbalik ke dalam tali air tersebut.
Difahamkan, sebelum kejadian Ismail Natayuddin bersama seorang rakannya berada di barisan kedua tempat duduk di belakang pemandu. Mereka dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuantan selepas mengikuti kursus latihan jalur lebar di Senai, Johor sejak sebulan lalu.
Rakannya, Mohd. Shukri Zahat, 25, memberitahu, beberapa minit sebelum kejadian, mangsa memberitahu hasratnya untuk menegur cara pemanduan pemandu bas tersebut.

Janin dibuang depan hotel



ANGGOTA polis melihat bungkusan berwarna kuning yang mengandungi janin yang masih bertali pusat di tempat letak kereta di hadapan Hotel Sentosa Regency, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Angkara manusia tidak berperikemanusiaan, satu janin yang masih bertali pusat dan beruri ditemui dalam satu bungkusan di hadapan Hotel Sentosa Regency, Jalan Lumpur di sini semalam.
Bungkusan yang diletakkan di atas rumput dekat tempat letak kereta itu dijumpai dua pekerja hotel berkenaan kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Menurut seorang pekerja hotel itu, Nor Hamidah Che Long, 30-an berkata, hanya kawasan tempat letak kereta itu sahaja yang belum dinaiki air banjir yang menyebabkan dia terpandang bungkusan tersebut.
"Saya curiga dengan kandungan bungkusan tersebut lalu saya ajak kawan saya, Saidatul Zainuddin, 32, untuk melihat kandungan beg plastik berwarna kuning tersebut.
"Bila saya buka bungkusan itu, saya nampak janin yang masih ada tali pusat, uri dan bungkusan tersebut dipenuhi darah," ceritanya di sini semalam.

Kelulusan stesen minyak mini luar bandar dibekukan




2010/11/06

LANGKAWI: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan telah membekukan kelulusan bagi permohonan baru stesen minyak mini luar bandar di seluruh negara. 

Beliau berkata, kementerian telah menerima lebih 100 permohonan baru untuk membuka stesen berkenaan, namun tidak dapat diluluskan berikutan arahan membekukannya oleh Kabinet.Katanya, Kabinet mahu melihat terlebih dahulu kejayaan proses penjenamaan semula stesen minyak mini luar bandar sebelum mempertimbangkan permohonan baru.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berharap proses penjenamaan tersebut akan dipercepatkan serta berjalan lancar bagi membolehkan permohonan baru dipertimbangkan. 

"Kita memahami penjenamaan semula oleh pengusaha stesen memerlukan jumlah peruntukan yang banyak iaitu purata lebih daripada RM200,000," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan stesen minyak luar bandar Buraqoil di Temoyong hari ini. 

Ismail Sabri berkata, kementerian telah melancarkan program pembangunan dan penjenamaan semula stesen minyak mini luar bandar sejak dua tahun lalu dengan 2010 diisytihar sebagai tahun pembangunan penjenamaan. 

"Ini bagi mempertingkatkan aspek keselamatan produk petroleum di stesen mini luar bandar (di mana) pembangunan terancang yang memenuhi spesifikasi piawaian keselamatan, kesihatan dan pemuliharaan alam sekitar disepadukan, supaya semua pihak memperoleh kesan positif," katanya. 
Pada masa ini, terdapat 332 stesen minyak mini luar bandar di seluruh negara di bawah beberapa syarikat, termasuk Syarikat Ikatan Pengedar Terus Bumiputra (IPTB) Sdn Bhd. 

Ketika berucap pada majlis itu, Ismail Sabri berkata kerajaan mewujudkan stesen minyak mini di luar bandar bagi mempastikan rakyat menikmati harga jualan petrol dan diesel yang sama seperti di bandar. - BERNAMA 

Mursyidul Am Pas ragui kemenangan BN



KOTA BHARU 5 Nov. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kecewa dengan keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas semalam yang menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN).
Beliau meragui keputusan tersebut menunjukkan kehendak sebenar pengundi di DUN Galas kerana mendakwa ada unsur ugutan dan sogokan terhadap pengundi.
Menurutnya, BN menanggung dosa jika rakyat memilih parti itu kerana tekanan dan bukan membuat pilihan secara bebas.
"Kita kecewa. Kalau rakyat terima sungguh (BN) sebagaimana kehendak dia tolak Pas itu tidak mengapa. Tapi kalau tolak Pas ambil BN kerana perkara 'tertentu', kerana ugutan, kerana sogokan, kerana apa-apa, maka dosa dia (BN) tanggung sampai ke akhirat.
"Ini kerana dia tidak beri peluang kepada rakyat memilih. Kita sebut pilihan raya, tahu-tahunya jadi 'tekanan raya', itu berdosa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di pekarangan Pejabat Perhubungan Pas negeri di sini, hari ini.
Nik Abdul Aziz berkata, beliau hairan bagaimana pada malam sebelum hari pembuangan undi, seorang menteri Kabinet boleh mengeluarkan kenyataan bahawa BN akan menang besar.
"Saya ragu kerana keesokan hari nak mengundi, malam itu saya tengok siaran di televisyen, seorang menteri mengatakan bahawa BN akan menang banyak.
"Mana dia tahu BN akan menang banyak sedangkan esok baru nak mengundi, makna ada benda dia (BN) buat," katanya.
Beliau memberi amaran, 'dosa' yang akan ditanggung BN kerana setiap kegiatan manusia termasuk urusan politik tidak akan terlepas daripada agama dan undang-undang Allah.
Pilihan raya kecil semalam menyaksikan BN menang dengan majoriti 1,190 undi apabila calonnya Abdul Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi berbanding calon Pas, Dr. Zulkifli Mohamed dengan hanya 4,134 undi.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Pas menang dengan majoriti kecil 646 undi dengan Allahyarham Chek Hashim Sulaima (Pas) mendapat 4,399 undi dan Saufi Deraman (BN) 3,743 undi.
Dalam pilihan raya kecil ini, Pas yang dilihat ghairah berkempen kepada kaum Tionghua kehilangan sebahagian besar sokongan kaum itu contohnya di Kampung Baru yang merupakan kawasan majoriti kaum Tionghua apabila kalah dengan 41 undi berbanding kemenangan lebih 200 undi di situ pada 2008.