Wednesday, April 8, 2015

Pengemis dihalau, kembali dengan Ferrari


Pengemis dihalau, kembali dengan Ferrari
Sedutan Video eksperimen yang dimuatnaik oleh Josh Paler Lin
BINTANG YouTube, Josh Paler Lin diberitahu bahawa layanan antara satu sama lain berbeza mengikut taraf.

Beliau kemudian bertindak merekod sebuah video 'prank' untuk memastikan sendiri perkara tersebut.

Menerusi sebuah video yang dimuatnaik ke Youtube pada 23 Mac lepas, Josh menyamar sebagai seorang pengemis dan pergi ke beberapa buah restoran.
Tidak mengejutkan, beliau kemudiannya dihalau oleh pengurus restoran.

Josh kemudian datang kembali ke restoran-restoran berkenaan berpakaian kemas sambil  memandu sebuah kereta Ferrari.

Mengejutkan, pelayan-pelayan restoran tersebut berubah 100 peratus, melayan dan mempelawa Josh untuk menikmati makanan di restoran mereka.

Josh bagaimanapun bertindak memerli dan menghentam pelayan-pelayan tersebut tentang cara layanan mereka yang bermuka-muka dan memilih kasih.

Sehingga kini, sudah lebih enam juta pelayar menonton video tersebut.

Kebanyakannya tidak bersetuju dengan cara Josh melakukan 'eksperimen'.

"Saya tak setuju dengan (cara) ini. Itu dipanggil sebagai 'dress code'.

"Tiada siapa mahu makan berdekatan orang berpakaian kotor, tidak berkasut dan berkaki busuk!," kata seorang pelayar.

"Saya faham apa yang kamu cuba sampaikan, namun restoran-restoran berkenaan adalah 'high class' dan eksklusif. Cuba kamu buat eksperimen kamu di restoran-restoran biasa," kata bekas pelayan restoran, Elisabeth.

Terbang jauh tuntut agama

Oleh Hajahfarhana Tarmudi 
hajahfarhana@hmetro.com.my


Kefasihannya berbahasa Melayu memang mengagumkan. Gadis manis ini membuat penulis tersenyum dan berasa bangga apabila mendengar dia berulang kali mengakui jatuh cinta dengan bahasa Melayu. Setiap soalan yang dilontarkan penulis, dijawab dengan teliti untuk mengelakkan kesilapan.
Kali pertama bertentang mata dan beramah mesra dengan Nur Arisa Maryam Abdullah atau nama sebenarnya Arisa Sakamoto, 22, dari Tokyo, Jepun, penulis dapat melihat sisi peribadi menarik yang dimiliki anak muda ini.
Dia yang mesra disapa Arisa tinggal di perkampungan Higashikurume di Tokyo. Pertemuan diatur di rumah ibu angkatnya, Mariam Yahya, yang dipanggil Ummi di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Ummi Mariam memiliki pusat pengajian Nur Al-Quran dan menawarkan pengajian al-Quran yang dibuka secara percuma kepada golongan susah.
Tampak manis mengenakan jubah longgar bersama lilitan tudung rona merah jambu yang sederhana. Namun, kesederhanaan itulah yang menyerlahkan kemanisan dan kelembutan wajah gadis berkulit mulus ini.
Ternyata, kelembutan wajahnya seiring dengan tutur katanya yang santun dan sangat berhati-hati. Pelajar tahun empat jurusan Bahasa Melayu di Tokyo University of Foreign Studies ini sanggup terbang jauh ke Malaysia untuk memenuhi tuntutan agama yang sudah disemat kemas dalam hatinya.
Ya, tujuan utama kedatangannya ke Malaysia untuk belajar mengenai Islam yang baru dia dianutinya pada 17 Januari lalu. Ini kerana di tempat tinggalnya di Higashikurume tidak banyak masjid dan guru agama untuk dia belajar agama Islam dengan lebih mendalam. Malah, perjalanan ke masjid terdekat saja melebihi satu jam.
Sebelum mengenali Islam, Arisa sama seperti penduduk Jepun lain yang menganuti fahaman Shinto dan menjadikan agama sebagai ikutan serta budaya saja. Ia tidak meresap ke dalam jiwa.
“Sebenarnya, saya mengambil jurusan ini (Bahasa Melayu) untuk memenuhi keinginan ibu. Ibu yang sangat suka Malaysia kerana katanya selepas menonton sebuah rancangan di televisyen, dia dapati negara ini sangat menarik. Ketika itu saya sendiri tidak tahu pun di mana letaknya Malaysia apatah lagi mengenai Islam.
“Permintaan ibu itu saya terima dengan hati terbuka. Malah, ibu juga yang menyarankan saya mengambil jurusan Bahasa Melayu. Ibu benar-benar bersungguh mahu melihat saya pandai berbahasa Melayu,” kata Arisa lembut, memulakan bicara.
“Tidak sangka, selepas beberapa bulan, saya sendiri jatuh cinta dengan bahasa Melayu dan Malaysia. Pada tahun pertama pengajian, saya berpeluang mengunjungi Johor di bawah program yang diatur pensyarah untuk mempelajari agama, budaya dan bahasa.
“Walaupun saya sangat meminati Malaysia, ada kosa kata yang masih belum difahami dan perlu sentiasa belajar serta mengamalkannya untuk bercakap dengan lebih fasih,” katanya.
Hadiah al-Quran terjemahan versi Jepun
Dulu dia sering salah anggap, malah melihat agama Islam bukan yang terbaik untuk dirinya disebabkan berita negatif yang sering dipaparkan di media ketika itu.
Namun, selepas mengenal Islam dan Malaysia, tanggapan buruk itu berjaya disingkirkan. Perjalanan ‘manis’ bermula tahun lalu apabila buat kali pertama dia berkunjung ke masjid di Tokyo bersama rakan berbangsa Melayu. Di situlah juga kali pertama Arisa melihat orang mendirikan solat.
Ia pengalaman yang sangat mengujakan dan selepas itu Arisa sering mengikuti rakannya beragama Islam untuk melihat sekali gus mempelajari mengenai cara solat.
Pada masa sama, dia cuba memahami dan mengingati bacaan surah al-Fatihah. Walaupun Arisa mengakui tidak tahu langsung mengenai bahasa Arab, dia menggunakan teknik mendengar dan mengingat untuk mempelajari surah berkenaan.
Selama dua tahun dia cuba sedikit demi sedikit hingga mampu membaca surah al-Fatihah dengan lengkap. Dalam tempoh itu dia juga belajar berpuasa dan desakan hati untuk mendalami Islam sekali lagi membawanya ke Malaysia pada cuti musim panas tahun lalu.
“Ketika itu, saya tinggal di rumah rakan di Kajang dan cuba mengamalkan cara hidup Islam dengan memakai hijab serta melakukan solat selama sebulan.
“Perkenalan dengan Ummi Mariam berlaku secara tidak sengaja. Kami bertemu ketika saya mengunjungi masjid Putrajaya. Pertemuan kami amat singkat kerana cuti musim panas sudah tamat dan saya terpaksa pulang ke Jepun.
“Pada masa itu, saya masih belum bersedia menjadi umat Islam. Belum dapat hidayah lagi. Namun, hati saya tersentuh apabila menerima al-Quran terjemahan pemberian Ummi Mariam selepas pulang ke Tokyo,” katanya.
Ketika berkunjung ke masjid Putrajaya, dia pernah membaca al-Quran terjemahan versi bahasa Jepun dan meminta Ummi Mariam mencarinya untuk dibaca ketika berada di Tokyo.
Malam 16 Januari 2015, Arisa terharu dan menitiskan air matanya kerana dia akui al-Quran menjawab segala persoalan yang selama ini membelenggu dirinya.
Selepas mendapat jawapan yang dicari dalam al-Quran, dia terus menelefon rakannya yang beragama Islam untuk mengetahui cara mengucap kalimah syahadah.
Rakannya mengajak Arisa ke masjid di Tokyo untuk berjumpa orang yang lebih mahir dan dia bersetuju pergi tanpa pengetahuan ahli keluarganya.
Kira-kira 20 rakan beragama Islam menemaninya di masjid untuk memberi sokongan dan menyaksikan Arisa mengucap dua kalimah syahadah seterusnya menjadi umat Islam.
Ibu pembantah dan pendorong
“Saya tidak memberitahu ibu dan adik mengenai keputusan yang dibuat hinggalah saya memeluk Islam. Malam itu, saya memberanikan diri memberitahu keluarga mengenai keputusan yang dibuat.
“Ibu tidak dapat menerimanya kerana dia bimbang jika saya akan pergi meninggalkannya selepas menukar agama. Lebih menyedihkan, ibu tidak mahu menganggap saya sebagai anaknya lagi.
“Namun, satu-satunya adik perempuan yang berusia 20 tahun memahami hasrat saya dan cuba membantu menerangkan situasi berkenaan kepada ibu.
“Saya bersyukur akhirnya secara perlahan-lahan ibu dapat menerima keputusan saya ini,” katanya.
Setiap hari, Arisa akan menjelaskan secara terperinci kepada ibunya mengenai pemakaian hijab dan sebab mengapa dia tidak boleh menikmati hidangan mengandungi daging babi.
Kalau dulu ibunya membantah, kini dia banyak membantu Arisa memberi idea untuk memakai tudung. Bahkan ibunya juga belajar mengenai pemakanan umat Islam dan menyediakan hidangan untuk anak sulung kesayangannya itu.
Lebih menggembirakan hati Arisa apabila ibunya membenarkan dirinya mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam. Pada masa sama, kebanyakan rakan senegaranya mula menerima dirinya yang beragama Islam secara perlahan-lahan. Malah, ada rakan yang mula berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai agama Islam.
Ujarnya, imej agama Islam semakin baik di Jepun, namun ia masih belum meluas seperti di Malaysia. Namun, hatinya masih dihambat pilu kerana belum mampu mengenakan hijab sepanjang masa di negara sendiri atas pelbagai kekangan.
Semangat untuk mempelajari agama Islam terus membara, apatah lagi selepas merasakan perubahan pada diri sendiri. Kini Arisa seolah-olah menjadi orang baru dan tidak lagi cepat marah seperti dulu. Dia mengakui lebih sabar dan boleh menga­wal kemarahan. Bahkan ujian yang datang dihadapinya dengan perasaan yang tenang.
“Sekarang saya tahu, Allah sentiasa ada untuk melindungi hambanya di mana juga kita berada. Saya bersyukur dapat menjalani kehidupan sebagai umat Islam pada usia muda,” katanya.
Ditanya mengenai ujian yang bakal dihadapi apabila memasuki dunia pekerjaan awal bulan ini, Arisa tersenyum. Ia ujian yang besar kerana syarikat tempatnya bekerja tidak membenarkannya berhijab. Namun, Arisa sentiasa berdoa agar diberi kesabaran dan bersedia menerima setiap ujian. Dia tahu, doa itu senjata orang mukmin yang menjadi penguat hati dan sema­ngatnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 12:35 PM


ARISA tidak melepaskan peluang mempelajari al-Quran dengan Ummi Mariam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42130#sthash.JYRycwtG.dpuf

Pindaan Kuasa Mahkamah Syariah: PAS Tidak Hirau DAP, PKR


Diterbitkan: Rabu, 8 April 2015 3:15 PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih berteka-teki mengenai sokongan Ahli Parlimen Umno bagi membantu PAS meluluskan cadangan pindaan Akta 355 berhubung kuasa Mahkamah Syariah.
Memilih untuk tidak menyentuh mengenainya, Presiden PAS itu sebaliknya menjelaskan bahawa perbincangan dengan parti seteru itu sudah dilakukan di Kelantan.
"Tunggu…tunggu. InsyaAllah perbincangan sudah dibuat dengan Umno Kelantan...sudah buat," katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen di sini, Rabu.
Terdahulu sekumpulan ahli PAS Kawasan Titiwangsa yang diketuai Yang di-Pertuanya, Abdullah Abdul Wahab hadir ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berhubung cadangan pindaan Akta 355.
Menurut mereka, sebagai wakil rakyat beragama Islam, Johari seharusnya mengenepikan sentimen politik dan memastikan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 diluluskan.
Sementara itu, mengulas mengenai bantahan DAP, Abdul Hadi berkata PAS tiada halangan mengenai perkara itu.
"Kita tidak ada halangan DAP untuk tidak bersetuju. Bahkan dalam perjalanan kita di Pakatan Rakyat, ada banyak perkara yang dilakukan oleh DAP dan PKR tanpa diberitahu kepada PAS," katanya.

Ambil Tindakan Terhadap Dr Mahathir - SAMM


Diterbitkan: Rabu, 8 April 2015 1:43 PM
Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan isu 1MDB dan kes pembunuhan Altantuya.

PETALING JAYA: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa tindakan diambil terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan di blog miliknya yang didakwa menghasut rakyat untuk membenci perdana menteri.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu membuat laporan polis di Kuantan dan Kuala Kubu Baru serta memberikan polis masa selama 10 hari untuk mengambil tindakan terhadap Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri diatas kenyataan berbaur hasutan.
"Kenyataan Dr Mahathir adalah satu usaha untuk menghasut orang ramai membenci Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata penyelaras SAMM Pahang, Amirul Syazwan.
Dia turut mempertikaikan mengapa Dr Mahathir tidak dipanggil polis apabila kebanyakan pemimpin pembangkang disiasat, ditahan dan didakwa kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.
Dr Mahathir menerusi laman blognya chedet.cc mempersoalkan mengenai 1Malaysia Development Bhd dan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kenyataan Dr Mahathir tidak dianggap sebagai menghasut.
Di Kuala Kubu Baru, penyelaras SAMM Hulu Selangor, Megat Khairul Anau berkata Dr Mahathir seharusnya dipanggil untuk memberi keterangan.
"Jika tidak, perbuatan menyemai kebencian terhadap Perdana Menteri akan 'dihalalkan' dan mereka yang mencetak poster, risalah dan sepanduk serta mereka yang membangkitkan isu sama seperti Dr Mahathir sepatutnya dipanggil polis," katanya.

Dr Mahathir Akui Wang Negara Hilang Semasa Jadi PM


Diterbitkan: Selasa, 7 April 2015 5:05 PM
Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui berlaku kehilangan wang negara semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
"Saya akui di masa saya juga ada kehilangan wang negara. Tetapi rakyat dan dunia tahu bagaimana wang ini hilang," katanya menerusi satu kenyataan di blog chedet.cc pada Selasa.
Dr Mahathir berkata, punca kerugian itu membabitkan Perwaja Steel, Bank Bumiputra dan Maminco.
Beliau turut mahu penjelasan mengenai dakwaan terhadap penglibatannya dalam Konsortium Perkapalan dan Forex serta bagaimana ia merugikan kerajaan.
"Yang nyata ialah negara tahu di mana pergi wang yang dilabur semasa saya. Dalam perniagaan adakala untung, adakala rugi. 
"Yang tidak boleh diterima ialah duit itu hilang tanpa diketahui ke mana," katanya.
Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2002.
Beliau turut merujuk kepada kejatuhan nilai Ringgit sebanyak 70 sen pada masa ini yang menyebabkan kerugian berbilion Ringgit kepada negara.
"Tetapi apabila Ringgit diselamatkan dari penyangak matawang, berbillion Ringgit duit kerajaan diselamatkan. Dan ramai peniaga yang muflis dan hampir muflis terselamat pada tahun 1998. Lupakan sahajalah peristiwa ini kerana ia berlaku di zaman saya," katanya.
Bagaimanapun katanya, tidak munasabah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkenaan dengan hutang RM42 bilion.
Kerajaan menubuhkan 1MDB pada 2009 bagi memacu pelaburan strategik, dikritik ekoran sejumlah besar hutangnya.
Dr Mahathir juga mempersoalkan peranan Low Teik Jho yang juga dikenali Jho Low dalam 1MDB sambil berkata, perbandingan tidak seharusnya dibuat antara Jho Low dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
"Saya tidak menuduh Datuk Seri Najib (Tun Razak). Saya bertanya kerana hutang berbilion itu perlu ditanggung rakyat. Sesiapa yang menuduh saya ada agenda tersendiri atau saya lakukan perkara sama ketika masa saya (sebagai Perdana Menteri)," katanya.
Beliau berkata, ketika meletak jawatan, adanya usaha untuk mencari bukti beliau menipu wang kerajaan.
"Saya tidak ada masalah jika mereka menyiasat saya lagi," katanya.

Kes Rafizi Dedah Penyata Akaun NFC Dibicara 27 April


Diterbitkan: Selasa, 7 April 2015 4:55 PM
Mohd Rafizi Ramli.

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 27 April ini untuk perbicaraan kes Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli dan seorang kerani bank yang menghadapi tuduhan mendedahkan maklumat sulit perbankan berkaitan isu National Feedlot Corporation (NFC), tiga tahun lepas.
Hakim, Rozina Ayob turut menetapkan tarikh perbicaraan pada 26, 27 dan 28 Mei ini ketika kes itu disebut di hadapannya pada Selasa.
Pada Isnin, Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk menolak rayuan Mohd Rafizi yang juga Anggota Parlimen Pandan berhubung tuduhan itu berikutan mahkamah tersebut tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes yang berasal dari Mahkamah Sesyen.
Mohd Rafizi merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Mei 2013 yang menolak permohonannya untuk mengetepikan tuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) tersebut dengan alasan rayuan beliau tidak mempunyai merit.
Pada 10 September 2012, Setiausaha Agung PKR itu memfailkan permohonan untuk mengetepikan tuduhan tersebut. Beliau mengemukakan rayuan itu kepada Mahkamah Rayuan setelah permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 November 2012.
Mohd Rafizi, 38, mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank Bhd iaitu NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang beliau mempunyai akses, kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho. 
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012. 
Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bafia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 
Kerani bank, Johari Mohamad, 44, juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan di alamat yang sama. 
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Akta Bafia, dan boleh dihukum menurut Seksyen 103 akta sama.

Nahas Semenyih: Bekas Pembantu Juruterbang Bingung


Diterbitkan: Rabu, 8 April 2015 8:14 AM
Adelia Mahiyudin.

KUALA LUMPUR: Adelia Mahiyudin yang pernah menjadi pembantu juruterbang helikopter Dauphin 2 yang terhempas di Semenyih pada Sabtu lalu masih bingung memikirkan tragedi itu.

Mengimbas kembali pengalaman semasa menerbangkan bekas menteri dan Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis, Adelia menyifatkan helikopter tersebut sebagai sebuah pesawat udara yang konsisten baik dari segi kualiti atau prestasi.

Adelia, 27, yang kini bertugas sebagai juruterbang di Weststar berkata helikopter tersebut antara yang paling selesa untuk diterbangkan kerana saiznya lebih besar dan stabil.

"Dauphin adalah konsisten baik dari segi kualiti atau prestasi dan sekurang-kurangnya amat jarang untuk kita dengar kes ia terhempas di rantau ini.

"Ia juga adalah helikopter paling popular di kalangan VIP. Ia hanya helikopter yang menjadi pilihan Jamaluddin untuk urusan perniagaan.
"Tan Sri gemar duduk di belakang tempat duduk pembantu juruterbang kerana beliau mahu melihat apa yang sedang dilakukan juruterbang," katanya pada Selasa.
Adelia berkata beliau masih tertanya-tanya mengenai punca helikopter tersebut terhempas dan menjangkakan manuver mendadak antara punca nahas itu.

"Manuver mendadak boleh disebabkan oleh kerosakan teknikal secara tiba-tiba seperti kebocoran hidraulik.

"Namun, kes seperti ini jarang berlaku membabitkan Dauphin.
"Juruterbang juga melakukan pemeriksaan sebelum penerbangan bagi memastikan helikopter tersebut berada dalam keadaan baik," katanya.
Beliau berkata kesilapan manusia adalah sukar diterima kerana ia diterbangkan oleh juruterbang berpengalaman dan cekap, Kapten Clifford William Fournier Jr.
"Dia adalah orang terakhir yang kita bayangkan akan menyebabkan kesilapan. Cliff adalah juruterbang senior dan dia sentiasa tahu apa yang dilakukannya dan juga mengetahui luar dalam helikopter tersebut.
Adelia berkata juruterbang dilihat berada dalam keadaan baik kerana dia memberi respons dalam chat kumpulan tersebut di laman media sosial sebelum menerbangkan helikopter tersebut.

Jelasnya, Cliff menulis;"Kami masih lagi di atas tanah, kami akan berlepas dalam masa terdekat."

Hadi pertahan rang undang-undang hudud

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan pendirian untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan hudud di Dewan Rakyat dalam persidangan penggal ini, walaupun mendapat tentangan sekutunya, DAP.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, beliau sudah memohon kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, untuk mempercepatkan giliran pembentangannya tetapi masih belum mendapat maklum balas.
"Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan hudud tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat Parlimen semalam, namun tidak sempat dibentangkan dan saya sudah memohon membentangnya semula secepat mungkin," katanya kepada wartawan di lobi Parlimen, sebentar tadi.

Gaji PM Singapura tertinggi di dunia

PERDANA Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. - Foto REUTERS
SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, tersenarai sebagai pemimpin negara yang memperoleh gaji tahunan paling tinggi di kalangan pemimpin dunia sebanyak AS$1.7 juta (RM6.1 juta).
Laporan International Business Times menyebut pendapatan Hsien Loong itu dianggap tinggi untuk pemimpin sebuah negara yang kecil.
Ia memerlukan gabungan pendapatan pemimpin Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan United Kingdom (UK) untuk menyamai pendapatan Hsien Loong.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berada di tempat kedua dengan pendapatan sebanyak AS$400,000 (RM1.4 juta) setahun, diikuti Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper dan Canselor Jerman, Angela Merkel dengan masing-masing memperoleh pendapatan tahunan sebanyak AS$260,000 (RM942,232) dan AS$234,400 (RM849,459). -AFP

Pindah ibu negara

Jakarta: Pentadbiran Presiden Joko Widodo (Jokowi) dilapor sudah mempersiapkan rancangan untuk memindahkan ibu negara Indonesia dari Daerah Khusus Ibu Kota Jakarta ke bandar lain.
Menurut laporan Antara yang memetik sumber yang rapat dengan pentadbiran itu, Pulau Kalimantan adalah yang paling ideal untuk menjadi ibu negara baru.
Ketika pemerintahan Presiden Sukarno, Kota Palangka Raya di Kalimantan Tengah menjadi pilihan utama untuk menggantikan Jakarta.
Bagaimanapun, kerajaan Indonesia kini menganggap Kota Palangka Raya tidak lagi sesuai.
Agensi berita Antara memetik Menteri Pembangunan Nasional yang juga Ketua Jawatankuasa Perencanaan Pembangunan Nasional Andrinof Chaniago sebagai berkta, Palangka Raya tidak lagi menjadi pilihan utama kerana ekosistemnya tidak sesuai.
Menurutnya, walaupun wilayah Palangka Raya luas, kira-kira 2,679 kilometer persegi atau empat kali lebih besar berbanding Jakarta yang hanya 740.3 kilometer persegi, ia mudah dilanda banjir apabila silap kelola.
Menurut Andrinof, dua bandar lain di Kalimantan Tengah iaitu Sampit dan Pangkalan Bun adalah paling sesuai menjadi ibu negara baru kerana jaraknya yang lebih dekat dengan Pulau Jawa dan tidak akan menyukarkan untuk mengawal kesinambungan.
Rancangan untuk memindahkan ibu negara itu diambil berdasarkan Jakarta tidak mungkin lagi dapat menampung tumpuan dan pelbagai aspek kegiatan penduduk pada beberapa tahun akan datang.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 7:16 AM


JAKARTA tidak mungkin dapat menampung pelbagai aspek kegiatan penduduk pada beberapa tahun akan datang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42236#sthash.TmaRCO94.dpuf

30 tahun kaji agama, sami peluk Islam


30 tahun kaji agama, sami peluk Islam
Majlis pengislaman sami berusia 66 tahun disempurnakan Abdul Rahim di Masjid Cina, Melaka,
MELAKA - Hampir 30 tahun mengkaji setiap agama di dunia ini, akhirnya seorang sami Buddha berusia 66 tahun mengambil keputusan memeluk Islam.

Pengalaman menjadi sami selama 28 tahun di Taiwan mendorong lelaki yang enggan identitinya itu didedahkan, mencari kebenaran dan akhirnya mengakui Islam merupakan satu agama yang indah dan sempurna.

Semalam, lelaki terbabit mengucap dua kalimah syahadah dalam satu majlis ringkas di Masjid Cina, di sini.

Presiden Persatuan Cina Islam Malaysia Cawangan Melaka (Macma), Lim Jooi Soon berkata, sepanjang menjadi sami di Taiwan, lelaki berkenaan banyak menghabiskan masa mengkaji setiap agama di dunia ini.

"Semasa menjadi sami, dia begitu banyak mengkaji tentang banyak agama di dunia ini. Dalam pengkajian itu, dia cuma menemui Islam sebagai sebuah agama paling lengkap dan meliputi segala aspek setiap kali berhujah.

“Dia banyak melihat agama Islam ini semakin berkembang, tetapi dia tidak tahu puncanya," katanya.

Menurutnya, lelaki yang berasal dari Johor itu datang ke negeri ini sejak tiga minggu lalu.

"Akhirnya, dia berjumpa saya dan saya telah menerangkan dengan menggabungkan bagaimana logik, sains dan hujah dapat dikaitkan dengan pencipta alam ini menyebabkan dia tertarik untuk memeluk Islam,” katanya selepas majlis itu semalam yang
disempurnakan penaung Macma, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Datuk Yaakub Md Amin dan Mufti negeri, Datuk Dr Mohadis Yasin.

Jooi Soon berkata, kini tugas Macma adalah untuk membimbingnya agar dapat mengetahui ajaran Islam secara mendalam.

“Kerja kami baru hendak bermula untuk mengajarnya dan kami hanya boleh mengajar dalam bahasa Mandarin kerana dia tidak fasih bahasa Melayu dan Inggeris. Ia mungkin menuntut sedikit kesabaran,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama semalam turut menyaksikan pengislaman seorang lelaki kurang upaya (OKU) berusia 31 tahun.

Menurut Jooi Soon, lelaki dikenali sebagai Teo itu dikatakan ditemui ketika hidup di dalam gelandangan dan hanya mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk sesuap nasi.

“Dia mengalami kecacatan anggota kaki dan tangan. Rakan-rakan kami menemuinya sehingga akhirnya kami dakwah dia untuk tertarik terhadap Islam.

“Paling mencabar lagi bagi kami, OKU ini juga tidak berpelajaran dan tidak tahu membaca,” katanya.

PRK Permatang Pauh 7 Mei


PRK Permatang Pauh
Sidang media PKR sebentar tadi. - Foto Sinar Online oleh SHAMSUL ABDUL GHANI
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerusi P.044 Permatang Pauh, jatuh pada 7 Mei (Khamis) sementara hari penamaan calon pada 25 April ini.

Pengumuman tersebut diumumkan oleh Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya, sebentar tadi.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh diumumkan kosong secara rasmi pada 16 Mac lepas selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon melalui keluarga Anwar pada 24 Februari lepas.
 
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 
Pada PRU pada 2013, Anwar mengekalkan kubu kuatnya di Permatang Pauh, menewaskan calon BN Dr Mazlan Ismail, tetapi majoriti merosot kepada 11,721 undi berbanding pilihan raya kecil 2008 dengan majoriti 15,671 undi.

'Dr M pun ada benda tak jawab sampai sekarang'


Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA TERENGGANU - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap tidak patut bertindak mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka.

Ahli Jawatankuasa Biro Perangan Umno Terengganu, Abu Bakar Ghani berkata, Dr Mahathir turut mempunyai beberapa persoalan yang masih belum dijawab sehingga kini ketika zaman pentadbirannya.

Sehubungan itu menurutnya, tidak sepatutnya Dr Mahathir melakukan tindakan menggesa Najib menjawab tuduhan terhadap kepimpinannya seolah-olah menggambarkan kepimpinan Najib lemah .

“Kritikan Dr Mahathir tidak boleh diterima seratus peratus. Kalau hendak kira, masa Dr Mahathir perintah dulu ada beberapa isu seperti Petronas dan KWSP tidak dijawab sampai sekarang.

“Jadi, biarlah Dr Mahathir dengan cara dia tetapi saya rasa tiada siapa setuju dengan cara beliau terhadap Najib itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Abu Bakar bagaimanapun tidak menolak apa yang dikatakan Dr Mahathir itu boleh mempengaruhi rakyat disebabkan beliau mempunyai pengaruh tersendiri dalam negara.

Dr Mahathir dalam blognya, chedet.cc sebelum ini mendakwa rakyat tidak mempercayai kepimpinan Najib lagi.

Dr Mahathir sebelum ini lantang menegur kepimpinan dua perdana menteri selepasnya, bukan sahaja Najib tetapi termasuk Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam blognya, Dr Mahathir berkata, ramalan yang dibuat masyarakat kini ialah Umno dan BN akan kalah dalam PRU14 kerana terlalu banyak tuduhan dibuat terhadap Najib yang tidak dijawab olehnya.

Selain itu Dr Mahathir berkata, rakyat hilang kepercayaan kepada Najib kerana dasar pemerintahan beliau terhad kepada pemberian wang percuma serta menimbulkan kemarahan orang Melayu dengan mengetepikan Dasar Ekonomi Baru.

Kemboja 'simpan' enam juta periuk api


Kemboja 'simpan' enam juta periuk api
Dua kanak-kanak perempuan Kemboja menjadi kudung akibat periuk api.
KEMBOJA antara negara yang mencatat kematian atau kecacatan tertinggi kesan daripada periuk api.

Ini kerana, terdapat hampir enam juta periuk api masih tertanam dan gagal dikesan di kebanyakan kawasan di seluruh kemboja.

Situasi itu menambah penderitaan rakyat kemboja yang rata-ratanya hidup di bawah paras kemiskinan.

Kebanyakan mangsa terbunuh apabila terpijak periuk api, namun mangsa terselamat mengalami kecacatan kekal terutama kudung.

Periuk api mula ditempatkan di seluruh Kemboja sejak perang saudara pada lewat 1960-an dan awal 1970-an.

Dilaporkan, ratusan ribu periuk api telah ditanam di seluruh Kemboja ketika tentera Vietnam menjajah negara itu pada 1980-an.

Tentera Kemboja sendiri dikatakan menambah jumlah periuk api berkenaan ketika kejatuhan kerajaan komunis pada 1990-an.

Menurut beberapa laporan, Kemboja merupakan negara paling banyak orang kudung per kapita di dunia.

Dilaporkan, 80 peratus daripada mangsa kejadian terpijak periuk api tersebut merupakan lelaki.

Statistik turut mendedahkan bahawa, seramai 6,000 kanak-kanak lelaki cedera atau maut, manakala 4,750 wanita dan 1,367 kanak-kanak perempuan turut menjadi mangsa.

Rakyat Poland jalani latihan tentera


Rakyat Poland jalani latihan tentera
Foto bertarikh 11 Mac 2015 menunjukkan anggota para-militari National Guard berhimpun di Szczecin, Poland. - Foto AP
WARSAW - POLAND. Doktor, peniaga dan ramai lagi pekerja dari segenap lapisan masyarakat Poland mula menjalani latihan ketenteraan kerana bimbang dengan pencerobohan.

Menurut AP, negara jiran Lithuania dan Latvia juga mula memberi pendidikan dan latihan atas tujuan yang sama.

Konflik di negara Barat-Rusia di Ukraine memaksa rakyat negara berhampiran  mempelajari cara-cara menggunakan senjata dan melindungi diri dalam usaha memelihara kemerdekaan yang sedang dikecapi.

Poland yang hanya berjarak 17 jam pemanduan dari zon konflik juga menaik taraf senjata dan berkemungkinan membeli roket Tomahawk dari Amerika Syarikat.

Menteri Pertahanan, Tomasz Siemoniak mengalu-alukan lelaki dan wanita berumur antara 18 dan 50 tahun untuk menyertai latihan walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman ketenteraan.

"Kami perlu buat apa yang termampu untuk meningkatkan pertahanan Poland," kata Presiden Poland Bronislaw Komorowski.

Poland dibayangi pencerobohan berulangkali oleh Rusia pada tahun 1700-an.

Restoran Melayu buka mata Mat Salleh di Zurich


Restoran Melayu buka mata Mat Salleh di Zurich
Antara pengunjung tempatan yang menjamu selera di Restoran My Kitchen.
‘HEBAT dan membanggakan’ apabila sebuah restoran jati anak Melayu berjaya menerobos cita rasa Mat Salleh di bumi Zurich, Switzerland sehinggakan berjaya menjadi antara restoran pilihan dan popular di bumi Eropah.

Apa yang lebih mengkagumkan restoran tersebut dinobatkan sebagai restoran nombor satu selama tiga bulan pada tahun 2014 oleh portal Tripadvisor, mengalahkan lebih 1,400 restoran sekitar Zurich.

Malahan, My Kitchen sekarang menjadi satu ikon utama restoran halal, Melayu dan makanan Asia di Eropah.

Pemiliknya, Zamri Ismail, 49, berkata antara punca pencapaian tersebut adalah kerana cita rasa masakan Melayu asli serasi dengan selera antarabangsa.

“Roti canai, rendang, teh tarik, nasi lemak, ikan pais, sate ayam antara pilihan utama mereka. Kami benar-benar terkejut dengan sambutan tersebut, rupa-rupanya mereka suka masakan Melayu asli.

Pencapaian itu, katanya telah menyebabkan pihak akhbar tempatan Zurich dan pengkritik restoran temu ramah dia sebanyak 2 kali dan menyiarkan artikel yang berjudul ‘kenapa masyarakat perlu pergi ke restorannya’.

Restoran yang menyajikan makanan Melayu halal itu, turut menjadi pilihan semua generasi termasuk ahli korporat, pelajar dan pelancong, selain kerabat diraja yang melawat Zurich.

“Ada yang terkejut ada restoran anak Melayu di Zurich, terutama pelancong dari Malaysia.

“Selain itu pengunjung ke restoran kami adalah warga antarabangsa dari seluruh pelusuk dunia dan ada yang belum melawat Malaysia atau merasa makanan Malaysia. Mereka kagum dengan konsep ‘we make you feel at home’,” katanya.

Dalam pada itu katanya, selain masakan utamanya seperti nasi lemak, dia turut menyediakan kuih-kuih tradisional Melayu.

Kuih ketayap dan sagu gula melaka menjadi kegemaran masyarakat antarabangsa sebagai pilihan pencuci mulut.

My Kitchen ditubuhkan pada tahun 2008 di bumi Zurich bermula dengan konsep 'take a way' dan ianya diubahsuai pada awal 2014 kepada konsep restoran atas permintaan pelanggan setia.

Pasangan yang telah lebih 17 tahun mencari rezeki di bumi Switzerland turut berkongsi pengalaman pelanggan mereka menerusi laman Facebook 'My Kitchen Zurich'.

Bagi pemiliknya, sebagai anak Melayu dan Malaysia dia berbangga dengan pencapaiannya dan berharap anak Melayu lain di tanah air menanam ‘niat’ yang sama dengannya.

Baginya, anak Melayu boleh berjaya walau di mana mereka berada, yang penting kesungguhan dan semangat yang tinggi.

Mat Salleh pandu tiga jam untuk makan roti canai


MyKitchen
Masyarakat tempatan menggemari roti canai.
"SAYA sungguh terharu, bayangkan ada Mat Salleh yang sanggup pandu kereta lebih tiga jam untuk makan roti canai saya buat, itu antara kejayaan saya,” kata pengasas restoran Melayu di bumi Zurich, Switzerland, Zamri Ismail, 49.

Restoran Zamri yang diberi nama My Kitchen itu berdiri teguh di tengah-tengah kota Zurich dengan beridentitikan Melayu sepenuhnya.

Katanya, walaupun terpaksa bersaing dengan lebih 1,400 restoran lain di Zurich, namun tarikan masakan Melayu nyata berbisa kerana mendapat tempat di hati rakyat Switzerland.

“Mereka sangat sukakan masakan Melayu, Alhamdulillah ramai masyarakat sana yang sudah mengenali Malaysia menerusi My Kitchen.

“Semua masakan tradisional Melayu saya sediakan, antara yang menjadi pilihan mereka selain roti canai adalah nasik lemak daun pisang, sate, rendang dan kuih-muih tradisional kita.

“Manakala jualan roti canai, hampir 200 biji dijual setiap hari, selain semua masakan yang disediakan habis dijual, “ katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Restoran Melayu buka mata Mat Salleh di Zurich ]

Sementara itu ketika ditanya apakah rahsia roti canainya sehingga menjadi kegilaan masyarakat di sana sehingga sanggup meredah perjalanan lebih tiga jam, Zamri berkata, rasa roti canai tersebut merupakan rahsia kejayaannya.

“Mereka kata roti canai itu rasa seperti roti canai asli dari Malaysia, selain itu ia juga rangup,” katanya.

Jelasnya apa yang lebih menarik cara mereka makan roti canai juga sama sepertimana kita di Malaysia.

“Kami ajar mereka makan guna tangan,...sebab kita cakap kalau di Malaysia kita guna tangan, sejak itu mereka amalkan cara kita,” katanya.

My Kitchen ditubuhkan pada tahun 2013 di bumi Zurich, ia diubahsuai Zamri dan isterinya, Norsalina Abdullah dengan menggunakan hasil duit simpanan selepas beberapa tahun merantau di bumi Swiss.

Impian menjadi doktor tertunai selepas tukar identiti sebagai ‘lelaki kulit hitam’



IMEJ yang menunjukkan Vijay (kiri) menukar identiti menjadi lelaki kulit hitam yang dikenali sebagai Jojo.


MISSOURI, Amerika Syarikat – Gara-gara gagal untuk memasuki sebuah sekolah perubatan di sini, seorang lelaki bertindak menukar identiti dan warna kulit bagi membolehkannya menyambung pelajaran di institusi tersebut.
Vijay Chokalingam mengaku berbuat demikian apabila permohonannya untuk memasuki St. Louis University School of Medicine pada 1998 tidak berjaya kerana identitinya sebagai seorang lelaki berketurunan India-Amerika.
“Disebabkan itu, saya menukar identiti menjadi seorang lelaki berketurunan Afrika-Amerika dengan membotakkan kepala dan menyerupai kaum tersebut, malah saya menyertai persatuan orang kulit hitam,” ujarnya.
Sepanjang perubahan identiti sebagai Jojo, Vijay telah menerima 11 panggilan temuduga di sekolah perubatan termasuk Universiti Harvard, Universiti Columbia dan Universiti Washington.
Abang kepada pelawak Mindy Kaling yang kini bergelar doktor itu menulis pengalaman berdepan masalah perkauman tersebut di dalam laman web peribadinya, AlmostBlack.com. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0408&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3WffqfM9K 
Hakcipta terpelihara