Monday, November 30, 2015

Trump cetus kontroversi baharu


Donald Trump
WASHINGTON 29 Nov. – Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari Parti Republikan, Donald Trump sengaja mencetuskan kontroversi apabila mendakwa masyarakat Islam di New Jersey bersorak gembira terhadap serangan ke atas Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 11 September 2001.
“Penganut Islam di seluruh dunia berasa gembira dengan serangan 11 September,” katanya semasa berucap pada kempen di Sa­rasota, Florida, semalam.
Kenyataan kontroversi itu dikeluarkan kurang sebulan selepas Trump mendakwa penduduk Islam di AS dan Arab menyambut gembira berita serangan tersebut walaupun realitinya, beberapa pemimpin Islam dan negara Arab termasuk pemimpin Pa­lestin, Yasser Arafat dan Libya, Muammar Gaddafi mengutuk serangan terbabit.
Beliau menyatakan pendirian tersebut selepas serangan militan Negara Islam (IS) di Paris yang meragut 130 nyawa dan mempersoalkan tentang keha­diran penduduk Islam di AS selain menyatakan sokongan mewujudkan pangkalan data khas bagi mengesan setiap pergerakan penduduk Islam di negara ini.
Kenyataan kontroversi terbabit dilihat memberi kesan terhadap kempen Trump memenangi Pilihan Raya Presiden pada November tahun depan apabila tinjauan Reuters/Ipsos mendapati usahawan itu mengalami penurunan sokongan sepanjang minggu lalu.
Dalam tempoh lima hari, populariti Trump mengalami penurunan sebanyak 12 peratus daripada 43 peratus sokongan kepada 31 peratus, walaupun beliau jauh meninggalkan pesaingnya. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/trump-cetus-kontroversi-baharu-1.163789#sthash.WRN867LP.dpuf

Wanita Saudi sertai pilihan raya majlis


Nassima al-Sadah, calon yang bertanding pada Pilihan Raya Perbandaran untuk bandar Qatif memeriksa telefon bimbitnya di pejabat beliau di Qatif, baru-baru ini. AFP
RIYADH 29 Nov. – Demam pilihan raya mula melanda Arab Saudi dengan kempen bagi Pilihan Raya Perbandaran yang ketiga pada 12 Disember ini bermula hari ini, satu pro­ses pemilihan bersejarah yang menyaksikan wanita buat pertama kali boleh bertindak sebagai calon dan pengundi.
Kementerian Perbandaran dan Hal Ehwal Luar Bandar Arab Saudi turut melancarkan sebuah laman web pilihan raya, intekhab.gov.sa yang menerangkan semua butiran tentang proses pilihan raya itu yang pernah diadakan pada 2005 dan 2011.
Anggota Jawatankuasa Eksekutif dan Ketua Media bagi Pilihan Raya, Hamad Al Omar berkata, satu talian bebas tol juga diwujudkan bagi membantu pengundi di samping satu aplikasi sistem pengundian yang boleh diakses menerusi telefon pintar.
Kementerian memper­kenalkan langkah-langkah itu bagi memastikan kempen pilihan raya dibuat dengan bebas, berkesan dan mudah dengan jawatankuasa eksekutif telah bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi supaya semua pendekatan tersebut sampai kepada pemilih.
“Agak penting bagi pengundi untuk memilih calon yang betul. Wakil yang di­pilih dijangka meningkatkan lagi perkhidmatan majlis perbandaran dan terlibat dalam pembangunan kawasan perumahan, perkampungan, dan bandar-bandar,’’ kata Hamad sebagaimana lapor portal Arab News.
Proses pendaftaran pengundi dibuat di Mekah dan Madinah pada 16 Ogos lalu, manakala wilayah selebihnya di Arab Saudi dibuat pada 22 Ogos lalu yang berterusan selama 21 hari.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/wanita-saudi-sertai-pilihan-raya-majlis-1.163802#sthash.N4sJ4XLd.dpuf