Showing posts with label Harimau. Show all posts
Showing posts with label Harimau. Show all posts

Tuesday, February 15, 2011

Selamatkan suami daripada dibaham harimau


TIDAK SEMPAT LARI: Harimau dapat menerkam kaki Encik Tambun hingga beliau terjatuh lalu diserang dan dicakar. -- Foto HARIAN METRO



IPOH: Seorang wanita menyelamatkan suaminya daripada dibaham harimau dengan mengetuk kepala dan badan haiwan itu menggunakan senduk kayu.Encik Tambun Gediu, 60 tahun, cedera di kepala, muka, leher, belakang badan dan kedua-dua lutut dalam kejadian sekitar 8 pagi di Perkampungan Orang Asli Sungai Tiang, Hutan Belum, Grik, Sabtu lalu itu.Beliau sedang merangkak sambil menyumpit seekor tupai di hutan dekat rumahnya apabila harimau itu muncul tiba-tiba dari belakang dan cuba menerkamnya.Terkejut dengan kemunculan harimau itu, beliau lari menyelamatkan diri dan memanjat pokok berdekatan.Namun, harimau itu sempat menerkam kaki Encik Tambun, menyebabkan beliau terjatuh lalu diserang dan dicakar.'Harimau itu cuba membaham kepala dan leher saya tetapi saya memberanikan diri menumbuk kepalanya dengan tangan kanan manakala tangan kiri mencekup mulutnya.'Nasib baik isteri saya mendengar jeritan saya kerana rumah kami tidak jauh dari situ. Isteri saya datang dan mengetuk kepala dan badan harimau itu dengan senduk kayu hingga ia beredar,' kata Encik Tambun.Pemangku Ketua Polis Daerah Grik, Timbalan Superintenden Wan Jamil Wan Chik, berkata Encik Tambun dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Grik sekitar 8.45 malam Sabtu lalu, 12 jam selepas kejadian.Kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli mengambil masa agak lama mengeluarkan mangsa bagi mendapatkan rawatan berikutan keadaan perkampungan itu jauh terpencil di pedalaman.Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Cik Shabrina Shariff, berkata pihaknya menghantar kakitangan ke kampung itu bagi membuat pemantauan dan menjejak harimau itu.Menurutnya, kampung itu berdekatan Hutan Belum oleh itu tidak mustahil harimau muncul di situ kerana ia sebahagian daripada habitatnya. -- Harian Metro.Cyberita Online Luar Negara

Monday, February 14, 2011

Pak Belang lari dihentak senduk kayu isteri


2011/02/14

 TAMBUN  menceritakan pengalamannya bergelut dengan seekor harimau kepada Dr Mah   (tiga dari kiri) dan  Shabrina (kiri)  ketika menerima rawatan di Hospital Permaisuri Raja Bainun Ipoh, semalam.
TAMBUN menceritakan pengalamannya bergelut dengan seekor harimau kepada Dr Mah (tiga dari kiri) dan Shabrina (kiri) ketika menerima rawatan di Hospital Permaisuri Raja Bainun Ipoh, semalam.
IPOH: Tindakan berani seorang wanita Orang Asli mengetuk kepala seekor harimau menggunakan senduk kayu, menyelamatkan nyawa suaminya dalam kejadian di Kampung Sungai Tiang, Hutan Belum, kira-kira 200 kilometer dari sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Tambun Gediu, 60-an, bergelut dengan haiwan itu sebelum isterinya, Han Besau, menyedari kejadian itu dan bertindak memukul kepala harimau berkenaan dengan sebatang senduk kayu bagi menyelamatkan suaminya.
Tambun berkata, dia tidak menyedari kehadiran haiwan pemangsa itu kerana terlalu asyik memerhatikan binatang buruan iaitu tupai yang berada di atas pokok berhampiran rumahnya.
Katanya, dia hanya sedar kehadiran haiwan itu sewaktu memandang ke belakang apabila melihat harimau berkenaan berada tidak jauh dengannya.

“Saya terkejut dan segera melarikan diri dengan cuba memanjat sebatang pokok berhampiran tetapi gagal apabila harimau itu lebih pantas mencakar kaki, sekali gus menarik saya ke bawah sebelum jatuh tersembam ke atas tanah.

“Harimau itu kemudian cuba membaham kepala dan leher saya, namun saya cuba melawan dengan menumbuknya beberapa kali di kepala, manakala tangan sebelah lagi mencengkam bibir harimau berkenaan sambil menjerit meminta tolong.

“Saya bernasib apabila isteri bergegas datang setelah mendengar jeritan dan memukul haiwan itu dengan senduk kayu, sekali gus berjaya menghalau haiwan itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.
Pemangku Ketua Polis Grik, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, mangsa yang parah dibawa ke Hospital Grik kira-kira jam 8 malam kelmarin sebelum dihantar HRPB awal pagi semalam.

Katanya, ketika kejadian, mangsa yang pergi menyumpit tupai di hutan Sungai Tiang diterkam seekor harimau dari belakang.

“Mangsa digigit di belakang tengkuk dan beberapa gigi haiwan itu dikesan menembusi bahagian bawah tengkuk mangsa serta parah di muka dan kepala,” katanya.

Difahamkan, mangsa lewat dibawa ke Hospital Grik kerana kesukaran perjalanan berikutan kedudukan kampung berkenaan yang terpencil di hutan berkenaan.

Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan pada kesan luka akibat cakaran haiwan berkenaan.

Hadir melawat mangsa semalam ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Shabrina Mohd Shariff.
Berita Harian Online | Pak Belang lari dihentak senduk kayu isteri