Showing posts with label karam. Show all posts
Showing posts with label karam. Show all posts

Saturday, October 27, 2012

14 pendatang Maghribi mati, bot karam di Mediterranean



MADRID: Sebanyak 14 mayat ditemui di laut dan 17 lagi berjaya diselamatkan selepas bot yang membawa pendatang dari Maghribi mulai karam di perairan Mediterranean.

Operasi mencari yang dikendalikan Pasukan Penyelamat Maritim Sepanyol masih meneruskan usaha apabila seorang angggota memberitahu kira-kira 70 orang berada dalam bot berkenaan. Sementara itu, pesawat pengawal pantai mengesan bot berkenaan berikutan maklumat ia meninggalkan Maghribi dan menuju Sepanyol.
Difahamkan pendatang berkenaan berasal dari selatan Afrika. Setiap tahun beribu-ribu pendatang tanpa izin dari Afrika cuba sampai ke Eropah dengan menaiki bot kecil dan mudah tenggelam. - AP

Thursday, December 16, 2010

Bot pelarian karam di Pulau Christmas

BERKEJAR HULUR BANTUAN: Penduduk Pulau Christmas berkejar ke pantai bertubir batu dalam usaha hendak menyelamatkan penumpang sebuah bot pelarian yang pecah selepas terhempas di tubir berkenaan akibat pukulan ombak besar semalam. -- Foto AP
LUAR NEGARA



SYDNEY: Sebuah bot kayu yang sarat dengan pencari suaka terhempas di pantai bertubir tinggi di Pulau Christmas, Australia, menyebabkannya karam dan sekitar 70 hingga 80 penumpang, termasuk wanita dan kanak-kanak, terhumban ke laut bergelora.
Sorotan televisyen menunjukkan haluan bot merempuh tubir batu menyebabkan ia pecah lalu karam, dan para penumpang tercampak ke batuan bersegi tajam.'Mereka yang terhumban ke laut menjerit meminta tolong. Ia satu tragedi,' kata pegawai pentadbir Pulau Christmas, Encik Gordon Thomson, kepada pemberita.Penduduk pulau itu, yang berada di atas tubir, menyaksikan tragedi tersebut tanpa dapat berbuat apaapa sewaktu bot itu pecah dan karam.Operasi menyelamat sudah dilancarkan tetapi para pegawai berkata mereka belum tahu berapa ramai penumpang yang terkorban.Sebuah bot tentera laut Australia dan sebuah kapal kastam sedang membantu operasi menyelamat.Media setempat berkata 41 orang sudah diselamatkan, tetapi 30 lagi masih dilaporkan hilang selepas bot itu karam sekitar 6 pagi.Seorang mangsa yang diselamatkan memberitahu polis Australia bahawa terdapat antara 70 dengan 80 penumpang dalam kapal itu.Polis percaya kebanyakan pe- numpang kapal itu rakyat Iraq.Perkhidmatan Flying Doctors di Australia berkata angka korban mungkin sekitar 50 orang manakala 33 lagi cedera.'Kami lempar tali dan beratus jaket pelampung lewat tebing tinggi. Sekitar 15 atau 20 orang berjaya mendapat jaket pelampung, tetapi banyak mayat terapung di laut,' kata seorang penduduk Pulau Christmas yang tidak mahu namanya disiarkan kepada akhbar Australia.'Ada banyak mayat bayi dan wanita di dalam air,' tambahnya.Ketua Menteri Australia Barat, Encik Colin Barnett, berkata:'Meskipun butir lanjut tragedi ini belum diketahui, saya difahamkan bahawa ramai mangsa yang terkorban dan cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak.'Pemangku Perdana Menteri Australia, Encik Wayne Swan, berkata bot tersebut adalah sebuah bot penyeludup. Tetapi masih belum jelas berapa ramai penumpang dan dari mana mereka datang.'Sejumlah penumpang telah diselamatkan, dan beberapa mayat sudah ditarik naik,' kata beliau.Perdana Menteri Australia, Cik Julia Gillard, yang sedang bercuti, berkata beliau akan segera kembali untuk menangani keadaan. -- AP, AFP, Reuters.

Monday, December 6, 2010

Perairan Pulau Tenggol berpuaka





DUNGUN – Genap sebulan hari ini tragedi bot karam yang hampir meragut nyawa berlaku berhampiran Pulau Tenggol di perairan Dungun, semalam satu lagi tragedi sama terjadi menyebabkan 10 nelayan diambang maut. 

Bagaimanapun tragedi kali ini berlaku pada lokasi tiga batu nautika berbanding sebelum ini pada kedudukan 16 batu nautika arah Selatan dari pulau itu. 

Ada nelayan menganggap pulau itu berpuaka dan dahagakan nyawa memandangkan tragedi sebelumnya gagal meragut nyawa mangsa walaupun ada kanak-kanak berusia empat tahun yang terlibat. 

Pada kejadian kali ini, empat nelayan asing warga Vietnam terpaksa bertarung nyawa dengan berenang di tengah laut dalam keadaan ombak besar menuju ke daratan setelah bot nelayan yang mereka naiki karam berdekatan Pulau Nyireh, kira-kira tiga batu nautika dari Pulau Tenggol, dekat sini, pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat di Bilik Gerakan kira-kira jam 11 pagi semalam memaklumkan ada empat nelayan warga asing berjaya menyelamatkan diri dengan mendarat di Pulau Tenggol setelah bot nelayan yang mereka naiki karam berdekatan Pulau Nyireh.

Dahlan berkata, bot nelayan yang memuatkan 10 awak-awak itu dipercayai karam sebaik melanggar bongkah batu di lokasi terbabit.

Katanya, empat mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang mengikut arus ke arah Pulau Tenggol, bagaimanapun enam lagi rakannya masih dikhuatiri hilang.

“Sebaik mendapat maklumat berkaitan kejadian bot karam itu, operasi mencari dan menyelamat enam lagi mangsa yang masih dipercayai hilang itu dilancarkan dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin yang berpengkalan di Kemaman dan Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM).

“Empat mangsa yang selamat itu merupakan warga asing keturunan Vietnam manakala bot nelayan yang karam itu difahamkan milik warga tempatan berdasarkan nombor pendaftarannya,” kata Dahlan.
Menurut Dahlan, lokasi terbabit jarang digunakan nelayan tempatan kerana terdapat banyak batu di dasar laut dan boleh membayakan keselamatan sehingga boleh menyebabkan kejadian bot karam, terutama dalam keadaan cuaca buruk pada musim tengkujuh.

Sinar Harian dimaklumkan, enam lagi mangsa ditemui penduduk Pulau Tenggol masih hidup dan sedang berpaut pada batu berhampiran pulau tersebut pada jam 2 petang.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kuantan dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kuantan, Pahang.