Showing posts with label makkah. Show all posts
Showing posts with label makkah. Show all posts

Saturday, August 20, 2011

Khidmat motosikal beri pendapatan lumayan

MAKKAH: Kesesakan jalan raya di sini yang bertambah serius memaksa penduduk menggunakan perkhidmatan motosikal untuk ke Masjidil Haram.

Ia merupakan berita baik kepada pemuda yang mempunyai motosikal untuk mendapatkan pendapatan lebih. Katanya, dia tinggalkan keretanya di bandar dan meneruskan perjalanan ke kedainya dengan menjadi pembonceng motosikal. Biasanya bayarannya cuma SR30 (RM 23.85) satu hala.

“Tetapi bulan Ramadan ini bayaran yang dikenakan antara SR75 hingga SR90 (RM59.64-RM71.57). Saya tidak ada pilihan dan terpaksa membayar upah yang diminta.”

Muatasem Riza, seorang jemaah yang datang dari Jeddah berkata, dia terpaksa membayar SR55 (RM43.74) sebagai pembonceng motosikal dari tempat letak kereta di Rusaifah ke Masjidil Haram.

“Saya terpaksa meninggalkan kereta saya di situ kerana polis tidak benarkan saya masuk ke bandar,” katanya.

Saturday, August 6, 2011

Tarif hotel Makkah naik 150 peratus

MAKKAH: Bilangan jemaah umrah ke Makkah dari dalam dan luar Arab Saudi dilaporkan meningkat sejak permulaan Ramadan sehingga menyebabkan tarif hotel dan bilik di sekitar Masjidil Haram meningkat sehingga 150 peratus. 
Laman web akhbar Gulf News yang membuat tinjauan di beberapa buah hotel dan bangunan kediaman di kawasan berkenaan mendapati kebanyakan bilik dan pangsapuri hampir penuh manakala harga suite di sebuah hotel lima bintang dilaporkan mencecah sehingga 3,000 riyal (RM2,405) dan bilik biasa pula berharga 950 riyal (RM761).

Pemilik hotel dan pengendali pangsapuri sewa berkata, sekurang-kurangnya 400,000 jemaah umrah termasuk 250,000 jemaah asing berada di bandaraya itu ketika ini.
Hotel dan bangunan kediaman di kawasan Masjidil Haram cuba untuk memenuhi keperluan yang semakin bertambah itu. 

Keadaan ini disebabkan bilangan jemaah umrah tahun ini dianggarkan melebihi 50 juta manakala beribu-ribu bangunan dirobohkan berikutan peluasan kawasan Masjidil Haram. – Agensi bharian

Wednesday, January 12, 2011

Makkah sesak dek pendatang

MAKKAH: Penduduk sebuah daripada daerah paling tua dan sesak di Makkah mengadu mereka diabaikan oleh pihak berkuasa.
Penduduk daerah Al-Hindawwiyah yang juga dikenali sebagai Al-Quraniyah berkata, daerah itu kini menjadi ‘syurga’ bagi pendatang haram.

Mereka berkata, daerah itu juga dipenuhi rumah terbiar yang digunakan oleh elemen penjenayah untuk tujuan tidak bermoral. “Jalan raya begitu teruk, bekalan air sentiasa terputus dan daerah ini menjadi tumpuan setinggan,” kata seorang penduduk tempatan, Hassan Al-Saad.

Menurutnya, masalah paling serius yang dihadapi daerah itu ialah kehadiran pendatang haram.

“Jumlah mereka amat ramai. Mereka mempengaruhi remaja Saudi di daerah ini dengan tabiat tidak bermoral.

“Beberapa wanita tempatan juga terpengaruh,” katanya.

Hassan juga berkata, selain tingkah laku buruk mereka, pendatang asing itu juga menjual makanan yang tidak menyihatkan.

“Jalan raya begitu sempit dan sesak, khususnya di waktu puncak pada sebelah pagi dan petang apabila sekolah bermula dan berakhir.

“Tempat meletak kereta juga tidak cukup di daerah ini. Pasukan peronda keselamatan dan polis trafik sepatutnya meningkatkan kehadiran mereka,” katanya.

Seorang lagi penduduk tempatan, Zaini Al-Ayed berkata, beberapa pendatang asing membeli kereta lama daripada penjual besi buruk, mengambil barang ganti dan membuang barangan yang tidak diperlukan di jalan raya.

“Terlalu banyak rangka kereta menyebabkan ruang menjadi sempit,” katanya.

Dia juga berkata, ada juga penduduk yang menduduki lereng bukit meninggalkan kenderaan mereka di jalan raya di bawah, menyesakkan lagi kawasan itu.

Zaini berkata, dia sudah menetap di Al-Hindawwiyah selama 30 tahun tetapi tidak melihat sebarang perubahan berlaku di daerah itu.

“Tidak ada perubahan. Jika adapun, ia perubahan ke arah lebih buruk,” katanya.

Hamid Al-Qarni pula mengadu mengenai rumah terbiar yang digunakan untuk kegiatan haram.

“Lebih buruk, masjid juga diabaikan. Tidak ada penyelenggaraan dilakukan,” katanya. - Agensi