Tuesday, October 13, 2015

Daulat, Hak Istimewa Punca Arab Saudi Enggan Kongsi Urus Haji


Diterbitkan: Selasa, 13 Oktober 2015 11:10 AM
  (Ubah saiz teks)
RIYADH: Kedaulatan dan hak istimewa menjadi alasan utama Arab Saudi menolak idea untuk berkongsi pentadbiran dalam menguruskan ibadah haji bersama negara Islam lain.
Putera diraja Arab Saudi, Turki al-Faisal berkata demikian bagi membalas pelbagai kritikan terhadap negara itu susulan tragedi rempuhan di Mina yang mengorbankan lebih 1,400 jemaah.
Bercakap kepada agensi berita Associated Press (AP), anggota utama keluarga diraja Saudi itu berkata, pihaknya tidak dapat berkompromi dengan saranan itu kerana ia melibatkan soal kedaulatan dan hak istimewa.
Negara seteru Arab Saudi iaitu Iran yang mencatat kematian paling ramai jemaah dalam insiden itu menuduh kesilapan pengurusan kerajaan Arab Saudi sebagai punca rempuhan berlaku.
Teheran seterusnya menggesa satu badan bebas diwujudkan bagi menyelia pengurusan ibadah haji pada setiap tahun.
Keluarga diraja Al Saud yang memerintah Arab Saudi mendapat martabat tinggi dalam dunia Islam kerana tugas mereka sebagai penjaga dua tanah haram iaitu Mekah dan Madinah.
Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman seperti monarki sebelumnya memegang gelaran Penjaga Dua Masjid Suci iaitu merujuk kepada Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah yang juga masjid pertama dibina oleh Nabi Muhammad.
“Kami tidak akan menyerahkan hak istimewa atau martabat sebagai pembantu dua tempat suci ini,” tegasnya. – AP

Trump tak layak jadi presiden

Donald Trump
Donald Trump
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dengan yakin menyatakan jutawan, Donald Trump tidak akan mengambil alih jawatan beliau pada pilihan raya depan.

Kenyataan itu dikeluarkan menerusi wawancara bersama program stesen televisyen CBS, 60 Minutes yang disiarkan, kelmarin.

"Beliau tahu bagaimana cara untuk mendapatkan perhatian kerana pernah muncul dalam rancangan realiti TV. Namun, saya percaya beliau tidak akan dapat menjadi Presiden AS

"Kepimpinan bukan dengan cara menyemarakkan lagi sikap tidak bertoleransi selain mengeluarkan kenyataan kontroversi terhadap isu sensitif seperti sentimen antiimigran hanya kerana mahu mendapatkan sokongan," jelasnya.

Dalam satu kenyataan lain, Obama turut memberitahu bahawa beliau tidak kesal dengan had penggal yang menghalangnya daripada bertanding selepas memenangi pilihan raya presiden pada 2008 dan 2012.

Menurutnya lagi, beliau juga percaya akan memenangi pilihan raya tersebut jika diberi peluang untuk bertanding bagi penggal ketiga. - AFP