Showing posts with label rokok. Show all posts
Showing posts with label rokok. Show all posts

Saturday, October 6, 2012

Pelajar menengah sasaran syarikat rokok


       
JEDDAH: Dianggarkan 15 peratus daripada remaja Arab Saudi merokok selepas syarikat tembakau menyasarkan pasaran mereka kepada pelajar sekolah menengah negara itu.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Antirokok, Sulaiman Alsabi, berkata strategi syarikat tembakau itu menyebabkan kempen “Sebelum Dia Merokok” dilancarkan pertubuhan itu.


Katanya, mereka menjalankan kajian di beberapa sekolah di Riyadh bagi mengetahui bagaimana syarikat tembakau mempengaruhi pelajar. “Penyelidik mencadangkan kempen antirokok disasarkan kepada pelajar sekolah menengah,” katanya.

Menurut Sulaiman, sangat penting mendidik pelajar mengenai bahaya rokok supaya mereka sedar kesan langsung daripada amalan itu, seperti kanser dan masalah jantung. “Kira-kira 90 peratus penagih dadah merokok ketika remaja,” katanya. - GN

Monday, September 12, 2011

Chairul, 2, merokok


ARDI mengejutkan dunia dua tahun lalu dengan tabit merokoknya ketika masih berusia dua tahun.
ARDI mengejutkan dunia dua tahun lalu dengan tabit merokoknya ketika masih berusia dua tahun.

JAKARTA: Seorang kanak-kanak Indonesia yang menjadi terkenal seluruh dunia tidak lama dulu kerana merokok pada usia dua tahun, sudah menghentikan tabiat itu.
Bagaimanapun, dia memberitahu ibunya, dia akan merokok semula kecuali dia dibelikan mainan.

Ardi Rizal ditemui oleh sebuah stesen televisyen Amerika Syarikat, ABC, dan menjadi terkenal apabila satu rakaman video yang menunjukkan dia merokok tersebar luas.

Program itu bagaimanapun mendapati Ardi bukan satu-satunya kanak-kanak yang menghisap rokok di Indonesia apabila mereka menemui seorang lagi perokok, juga berusia dua tahun bernama Chairul, yang tinggal di sebuah perkampungan nelayan di Jawa Timur.

Chairul dilihat terus merokok selepas bangun tidur, dengan bantuan datuknya.

Si datuk memberitahu rancangan berkenaan, dia membenarkan Chairul merokok kerana rasanya enak, seperti roti dengan cokelat.


Ketika Chairul merokok di sebelahnya, lelaki itu berkata, ia bukan satu masalah.



“Dia kadang-kadang merokok dua kotak sehari. Dia akan tidak sihat jika tidak merokok.
“Ia tidak akan mendatangkan masalah selagi dia minum kopi secukupnya sambil merokok,” kata lelaki itu.


Di satu bandar lain, rancangan 20/20 ABC itu menemui seorang budak berusia tujuh tahun, Maulana, yang mahir mengeluarkan asap berbentuk bulatan sambil ibunya melihat dia merokok.


Maulana menghabiskan sekotak rokok sehari.


Ibunya berkata, dia sedar tabiat itu membahayakan kesihatan dan boleh membawa maut, tetapi dia tidak mampu melarang kanak-kanak itu daripada terus merokok. “Dia akan lemah dan mula menangis,” kata wanita itu.


Program itu menyalahkan syarikat tembakau kerana mengambil kesempatan terhadap kelemahan undang-undang pengiklanan bagi mensasar golongan muda Indonesia.


Indonesia tidak menetapkan had umur untuk membeli rokok.


Kru program itu juga menjejaki Ardi, yang kini berusia empat tahun dan tinggal di Sumatera. Ketika ditemui, dia memakai cerminta mata hitam ranggi.


Kanak-kanak itu berhenti merokok selepas pegawai Indonesia yang malu bertindak menghantarnya menjalani pemulihan.


Bagaimanapun, ibunya berkata, dia menggunakannya untuk mengancam.


“Jika saya tidak membelikannya mainan, dia ancam untuk merokok semula,” kata ibunya.


Ketika Ardi ditanya sama ada dia masih merokok, kanak-kanak itu menjawab dia tidak akan merokok lagi.


Tetapi ibunya berkata, dia menangkap Ardi bersama rokok baru-baru ini kerana ada orang yang memberinya. - Agensi

Wednesday, April 27, 2011

Perokok hisap sembilan bilion batang rokok terlarang setahun



KUALA LUMPUR: Sebanyak sembilan bilion batang rokok terlarang dihisap oleh rakyat Malaysia setiap tahun, yang bermakna hampir empat daripada 10 batang rokok yang dihisap di negara itu adalah rokok terlarang.
Rokok-rokok itu, yang mengandungi paras bahan tar dan nikotina terlalu tinggi, semakin menjadi satu masalah besar sehingga menjadikan Malaysia negara yang mempunyai jumlah dagangan rokok terlarang paling tinggi di dunia, lapor akhbar The Star, semalam.Ia juga menyebabkan kerugian pendapatan kerajaan sebanyak RM2 bilion ($824.6 juta) dalam bentuk cukai, tambah laporan itu sambil memetik laporan bank pelaburan global, Goldman Sachs, baru-baru ini, yang mendedahkan butir-butir dagangan terlarang itu.'Seperti seadanya, dagangan rokok terlarang adalah pada paras tertinggi 39.7 peratus, yang bermakna empat daripada 10 rokok yang dihisap di Malaysia adalah terlarang,' kata laporan bank pelaburan itu.Laporan itu berkata tidak ramai menyedari tindakan mudah membeli rokok terlarang itu sama seperti membiaya pengganasan dan jenayah terancang di Malaysia.'Ini berpunca daripada satu model mudah bekalan dan permintaan - apabila ada permintaan bagi rokok- rokok terlarang, bekalannya akan datang daripada sindiket-sindiket jenayah,' tegas laporan itu lagi.Laporan itu berkata sedang kerajaan Malaysia terus menaikkan cukai eksaisnya setiap tahun bagi mengurangkan kemampuan pembeli membeli rokok, khususnya di kalangan golongan muda, para penjual rokok secara terlarang mengekalkan harganya buat bertahun- tahun untuk meningkatkan permintaan bagi rokok-rokok terlarang itu.Rokok terlarang itu dijual pada harga RM2.50 hingga RM5 setiap bungkus walaupun cukai bagi sebungkus 20 batang rokok sekitar RM5.-cyberita

Friday, August 13, 2010

Berhenti merokok setelah diserang sakit jantung



KOTA BHARU 12 Ogos - Langkah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) melesenkan setiap peniaga yang menjual produk berasaskan kenaf dan tembakau termasuk rokok disambut baik oleh semua pihak.
Ini kerana semua orang tahu kesan buruk yang dialami oleh perokok, terutamanya perokok tegar.
Di pihak kerajaan, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengurang atau menghentikan terus tabiat merokok di kalangan orang ramai khususnya remaja termasuk mempamerkan gambar kesan-kesan buruk akibat tabiat itu di kotak-kotak rokok.
Namun, pelbagai alasan digunakan oleh golongan itu terutama perokok tegar untuk tidak menghentikan tabiat tersebut walaupun sedar ia boleh menjejaskan kesihatan.
Kedatangan bulan Ramadan ini mungkin boleh dijadikan sebagai 'batu loncatan' oleh perokok untuk menghentikan tabiat tersebut kerana ia sebenarnya boleh meningkatkan kualiti hidup mereka.
Mungkin pengalaman Mohd. Nor Jusoh, 48, yang menjadi perokok tegar selama 32 tahun sejak berusia 16 tahun lagi boleh dijadikan iktibar oleh golongan tersebut untuk mempercepatkan lagi proses berhenti merokok.
Mohd. Nor diserang sakit jantung dan kini terpaksa melalui saat-saat sukar untuk menjalani pembedahan jantung.
Pembantu Perubatan di Klinik Kesihatan Pulai Chondong itu mengakui ketika menjadi perokok tegar dia secara rutin menghisap 50 batang rokok sehari dan sanggup menghabiskan separuh daripada gajinya untuk tujuan itu setiap bulan.
Bagaimanapun, dia menyedut rokok terakhirnya pada pukul 6 petang, 22 Julai tahun lalu sebelum dikejarkan ke hospital setelah mengalami serangan jantung buat kali pertama dalam hidupnya.
"Akibat serangan itu, saya terlantar di hospital selama empat hari. Itulah rokok terakhir dan saya tidak pernah merokok lagi sehingga ke saat ini.
"Saya sebenarnya sudah terlambat tetapi itu adalah lebih baik daripada terus menghisap rokok yang tiada faedah sedikit pun," katanya yang dijadualkan menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), 19 September depan.
Mohd. Nor berkata demikian ketika berkongsi pengalaman dengan peserta program 'Bengkel Nafas Baru' anjuran Urus Setia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri dengan kerjasama Persatuan Perubatan Keluarga Universiti Sains Malaysia (Famous) di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian di sini baru-baru ini.
Program itu dirasmikan oleh Exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar. Turut hadir Pengerusi Famous merangkap Ketua Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Harmy Mohamed Yusoff.
Mohd. Nor berkata, perasaan ketagih dan gundah pada peringkat permulaan terutama pada dua minggu pertama meninggalkan tabiat itu adalah lumrah yang akan dirasai oleh setiap perokok tetapi mereka mesti bersabar menghadapinya.
"Rasa bingung sangat terutama pada bulan Ramadan selepas berbuka, tidak tahu hendak buat apa sesudah makan, tapi kita kena sabar. Lama-kelamaan kita akan lupa dan boleh mengawalnya.
"Apa yang perlu kita fikirkan adalah keluarga yang akan merana jika berlaku sesuatu ke atas kita," katanya yang mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah manakala isterinya suri rumah.
Seorang lagi bekas perokok tegar yang berkongsi pengalaman, Nor Shal Nordin, 66, berkata, dia menghisap rokok sejak zaman rokok dijual pada harga lima sen untuk dua batang sehingga pada harga 50 sen sebatang, sebelum berhenti dua tahun lalu.
Datuk kepada 12 orang cucu itu berkata, keperitan mengingatkan beban kewangan akibat merokok terutama setelah bersara sebagai kakitangan Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu 11 tahun lalu menjadi salah satu punca mendorongnya untuk berubah.
"Saya berhabis antara RM200 hingga RM300 sebulan untuk rokok. Bila berhenti merokok, bukan bermaksud saya jadi kaya tetapi apa yang saya dapat adalah kesihatan dan keadaan fizikal diri yang lebih baik.
"Saya menyeru kepada semua ibu bapa jika kita tidak mahu anak-anak remaja kita merokok, maka kita sendiri terlebih dahulu mesti tunjukkan teladan untuk berhenti," katanya yang mendapat bantuan dan kaunseling dari Klinik Berhenti Merokok di bawah kelolaan Klinik Kesihatan Keluarga HUSM.
Sementara itu, Dr. Harmy berkata, ibadah puasa pada bulan Ramadan ini adalah peluang terbaik bagi perokok untuk berusaha berhenti merokok buat selama-lamanya.
"Selepas berbuka, kita kena cuba sedaya-upaya elakkan daripada menyedut rokok, sama ada kita elakkan duduk bersama orang yang merokok atau pergi melakukan aktiviti-aktiviti lain.
"Tidak mengapa jika usaha kali pertama tidak menjadi dan kita tertewas dengan godaan orang di sekeliling, tetapi kita mesti terus berusaha berulang-kali sehingga berjaya.
"Dapatkan sokongan daripada klinik berhenti merokok yang ada di hospital terdekat untuk mengetahui cara-cara dan kaedah yang boleh membantu kita menghilangkan ketagih," katanya.

Saturday, June 12, 2010

Remaja perempuan merokok atasi lelaki



Oleh Sukhairi Abd Thani
bhnews@bharian.com.my
2010/06/12

Pengaruh iklan antara punca tabiat buruk berleluasa 

KUALA LUMPUR: Jumlah remaja perempuan merokok terutama yang berusia bawah 10 tahun semakin membimbangkan kerana jumlahnya kini pada tahap 28.8 peratus berbanding remaja lelaki pada umur yang sama sebanyak 14.1 peratus.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata kajian Tinjauan Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan pada 2003 itu amat membimbangkan dan menunjukkan tabiat merokok perlu dibendung segera pada peringkat awal.
Beliau berkata, antara punca tabiat merokok di kalangan remaja perempuan berleluasa ialah pengaruh iklan yang menjanjikan kecantikan fizikal dan penyelesaian kepada cara menguruskan badan. 

“Angka ini amat membimbangkan. Walaupun ia kajian pada 2003, saya yakin jumlahnya sudah meningkat. Kita harap ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan lebih proaktif untuk memastikan trend berkenaan dibendung. 

“Mereka terpengaruh dengan idea yang mengatakan rokok boleh melangsingkan badan, boleh menghilangkan tekanan dan sebagainya. Ini yang menyebabkan ramai anak gadis kita memilih untuk merokok. 

“Pendapat ini salah, merokok tidak menjanjikan kecantikan fizikal atau kecanggihan. Yang ada hanyalah keburukan dan bahaya kepada kesihatan selain menambah risiko keguguran dan kelahiran bayi pramatang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010, peringkat Institut Perubatan Respiratori, di sini semalam. 
Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerjasama erat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan kempen kesedaran dan pendidikan. 

Katanya, perhatian ibu bapa saja tidak mencukupi kerana banyak masa remaja dihabiskan di sekolah atau bersama rakan dan tindakan menghukum remaja merokok kurang efektif kerana menyebabkan mereka memberontak.

Thursday, April 8, 2010

Jumlah perokok wanita membimbangkan



KUALA LUMPUR 7 April - Kerajaan bimbang dengan peningkatan perokok di kalangan wanita sejak kebelakangan ini yang berpunca daripada pelbagai sebab.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, antara puncanya adalah kepercayaan di kalangan wanita berkenaan bahawa tabiat merokok boleh membantu mereka untuk menguruskan badan.
''Mengikut kajian yang kita buat memang kebelakangan ini bilangan perokok di kalangan wanita meningkat dan ini satu trend membimbangkan.
''Tanggapan menyatakan bahawa merokok ini dapat menguruskan badan adalah tidak berasas," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Tiong Lai, wanita terbabit seharusnya merujuk kepada klinik atau hospital kerajaan bagi mendapatkan bimbingan kaunseling lebih tepat mengenai kesan tabiat itu kepada kesihatan.
Menjawab soalan asal Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mengenai langkah mengatasi kegemukan melampau atau obes yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit, katanya, jururawat dan penolong pegawai perubatan telah diberikan kuasa untuk memberikan perkhidmatan kaunseling pemakanan dan aktiviti fizikal kepada orang ramai.
''Kita tidak lagi mengehadkan aktiviti memberi kaunseling kepada pegawai perubatan sahaja seperti sebelum ini bagi meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan berkaitan pengurangan berat badan di klinik kesihatan kerajaan," katanya.
Tambah beliau, langkah lain melibatkan penempatan 172 pakar perubatan keluarga di 151 klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara.
''Ini bagi membolehkan individu obes yang turut mengalami penyakit kronik seperti kencing manis dan jantung mendapatkan rawatan pakar dengan mudah," katanya.