Tuesday, December 28, 2010

Nekad beri anak dalam kandungan

SEMPIT...Shahrul bersama isteri, Aishah Ismail dan anak mereka di bilik tidur yang disewa di Kota Damansara.

SEMPIT...Shahrul bersama isteri, Aishah Ismail dan anak mereka di bilik tidur yang disewa di Kota Damansara.

KUALA LUMPUR: “Maafkan ayah nak...walaupun hati ayah berat untuk membuat keputusan ini, namun demi kebaikan masa depanmu, ayah terpaksa,” rintih seorang lelaki yang mahu menyerahkan anak dalam kandungan isterinya kepada keluarga lain atas alasan tidak mampu menampung kehidupannya sekeluarga.
Shahrul Rahman, 33, berkata dia nekad mengambil tindakan itu selepas mengalami masalah kewangan yang teruk dan tidak mahu anak-anaknya mengalami nasib sama.

Katanya, kehidupannya bermula dengan baik selepas mengahwini isterinya, Aishah Ismail, 26, pada 2006 dan dikurniakan tiga anak berumur antara tiga tahun hingga enam bulan. Selain itu, katanya, dia mempunyai seorang anak tiri hasil perkahwinan isterinya dengan suami terdahulu yang kini berusia enam tahun dan tinggal bersamanya sejak berusia empat bulan.

Namun, episod sedih hidupnya bermula selepas perniagaannya sebagai pengendali makanan di kantin sekolah di Kedah mengalami kerugian.
“Hidup saya menjadi susah dengan bebanan hutang yang semakin bertambah. Saya meminjam daripada bank untuk memulihkan kembali perniagaan, namun tidak berhasil.

“Keadaan bertambah kusut apabila saya membuat pinjaman daripada ceti haram (along) untuk digunakan sebagai modal pusingan perniagaan, tapi segala-galanya tidak menjadi,” katanya ketika ditemui semalam.


Runsing memikirkan masalah dihadapi, Shahrul berkata, dia pernah cuba membunuh diri dengan menelan 60 ubat tidur dan minum cecair peluntur, namun digagalkan isterinya yang menyedari tindakannya itu.

“Tidak cukup dengan itu, saya juga pernah terdorong untuk menukar agama kerana terpengaruh seorang rakan yang hidup senang selepas berhijrah menganuti agama lain. Mujur saya masih ingatkan Allah. Jika tidak saya pun tak pasti apa akan berlaku,” katanya.
Shahrul berkata, kehidupannya tidak banyak berubah selepas itu dan pernah satu ketika dia sekeluarga mengisi perut dengan menjadikan ubi kayu yang ditanam di belakang kantin sekolah sebagai menu hidangan.

“Saya sedih dan tertekan apabila melihat anak-anak hanya minum air sejuk dan terpaksa mengharungi hidup yang sukar hanya kerana saya tidak mampu memberi kesenangan kepada mereka.

“Anak kedua dan ketiga tidak pernah minum susu seperti kanak-kanak lain. Saya hanya mampu memberikan air sejuk sebagai minuman. Mujur anak-anak tidak memilih sebaliknya makan dan minum apa yang diberikan,” katanya.

Menurutnya, anak keempatnya sudah diserahkan kepada seorang penjawat awam selepas dua hari dilahirkan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, dan sebagai ganjaran, dia diberikan wang sagu hati RM2,000.

“Waktu itu hanya Tuhan yang tahu betapa sedihnya hati melihat anak yang tersayang berada dalam pangkuan orang lain, tapi apa boleh buat, hanya itu yang terdaya.

“Isteri saya juga seperti tertekan dan menerima hakikat kami terpaksa menyerahkan anak untuk dijaga keluarga lain,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur sejak sebulan lalu, hanya mampu membawa keluarganya tinggal menumpang sebuah bilik di rumah rakannya di Kota Damansara.

“Setiap hari hidup isteri dan anak-anak terkurung dalam bilik itu. Di situ mereka main, tukar baju dan tidur. Ikutkan hati ingin saja saya mencari rumah sewa yang luas sedikit, tetapi saya tidak mampu. Gaji saya sebagai pengawal keselamatan hanya RM780 sebulan,” katanya.

Shahrul berkata, dia bertambah tidak keruan apabila mendapati isterinya mengandung lagi bulan lalu dan dia bimbang dengan nasib menimpa keluarganya akan menjejaskan kehidupan anak yang bakal lahir nanti.

“Isteri berkali-kali mendesak saya supaya digugurkan saja kandungannya itu, tapi saya tidak tergamak untuk melakukan sedemikian kerana anak tidak bersalah, tapi saya yang perlu membela nasib keluarga.

“Sebab itu saya buat keputusan untuk serahkan anak ini kepada keluarga yang mahu menjaganya. Saya juga mohon supaya keluarga barunya akan menjaga anak ini dari dalam kandungan lagi termasuk membiayai rawatan dan pemeriksaan sehingga dia lahir,” katanya.

Katanya, dia berharap anak yang bakal lahir akan selesa dengan kehidupannya bersama keluarga baru dan hubungan kekeluargaan mereka tidak akan terhenti di situ saja.

“Kepada keluarga baru yang akan mengambil anak ini, saya hanya mohon satu perkara iaitu jangan putuskan hubungan kekeluargaan kami. Saya reda dengan apa yang berlaku dan hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak,” katanya.

Harga tender plat pendaftaraan kenderaan “MCA 1” RM300,100



28/12/2010 6:55pm

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Nombor plat pendaftaran kenderaan “MCA 1” telah ditender pada harga RM300,100 dan merupakan tawaran tertinggi untuk nombor plat di negara ini, setakat ini.
Kementerian Pengangkutan berkata, sebelum ini harga plat pendaftaran tertinggi ialah “TAY 1” yang ditender pada harga RM242,000 dan “TAN 1” sebanyak RM200,900.
“Pada masa sama, nombor pendaftaran kenderaan “MCA 2” turut ditender dengan harga RM101,000 dan “MCA 8” pada harga RM88,168.00.
“Manakala “MCA 888” mendapat tender terbanyak dengan 15 bidaan dan ia ditawarkan pada harga RM15,400,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, di sini hari ini. - Utusan

Gaji Guru: Pelik TPM cabar ketua pembangkang

Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata, tindakan seorang timbalan perdana menteri mencabar Ketua Pembangkang Datuk SeriAnwar Ibrahim menaikkan gaji guru di negeri Pakatan Rakyat sesuatu yang pelik.

Sehubungan itu, Idris berharap Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melatah tidak tentu fasal berkenaan janji RM500 sebulan kepada golongan itu sekiranya Pakatan Rakyat menawan kerajaan pusat.

"Jangan terlalu gelabah sehingga terlalu emosi dalam membuat kenyataan.

"Selaku timbalan perdana menteri beliau tentu lebih arif dalam hal kewangan negara dan bidang kuasa kuasa pendapatan negeri yang terlalu kecil, jangan beliau bercakap macam ketua cawangan Umno sahaja," katanya.

Dalam kenyataan semalam, Idris menegaskan iltizam yang disuarakan dalam konvensyen mereka sebelum ini bukannya untuk dilaksanakan sekarang.

"PAS mengharapkan Tan Seri Muhyiddin tolong perhatikan ayat-ayat yang terkandung dalam buku jingga yang telah diedar di Konvensyen Pakatan Rakyat pada 19 Disember," katanya.
-malaysiakini

9 maut dua serangan bom berani mati di Iraq





2010/12/28

BAGHDAD: Dua pengebom berani mati bertindak meletupkan diri mereka di depan sebuah bangunan kerajaan di Wilayah Anbar di barat Iraq, hari ini menyebabkan sembilan orang terkorban. 

Penyerang didapati sering menjadikan bangunan kerajaan Iraq sebagai sasaran untuk harapan untuk melemahkan pimpinan kerajaan yang disokong Amerika Syarikat ketika askar negara itu mahu meninggalkan Iraq.
Ibu pejabat Wilayah Anbar kebelakangan ini menjadi tempat sasaran dan sepanjang tahun ini saja, empat serangan tercetus termasuk satu serangan bom yang menyebabkan gabenor wilayah terputus sebelah kakinya.
Dalam serangan awal hari ini, kebanyakan yang terbunuh dan cedera adalah kalangan ahli keluarga kepada anggota polis dan tentera yang pernah terbabit dalam serangan sama, 12 Disember lalu. 

Ketika kejadian, anggota keluar mereka berkumpul di Ibu Pejabat Pentadbiran wilayah berkenaan untuk menerima pampasan atas kehilangan anggota keluarga mereka, kata jurucakap Gabenor Anbar, Mohammed Fathi. 

Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini tidak diketahui identiti mereka tetapi tiga anggota polis antara yang terbunuh.

Letupan pertama berlaku apabila pengebom berani mati itu memandu sebuah bas mini yang sarat dengan letupan, merempuh pagar masuk pekarangan bangunan kerajaan di Ramadi, kira-kira 115 kilometer dari Baghdad. 
Ketika orang ramai sedang melihat serangan itu, seorang lagi pengebom berani mati yang memakai jaket mengandungi bahan letupan tiba-tiba memasuki kawasan berkenaan sebelum bertindak meletupkan dirinya. - AP

Rayu bantu anak kecil



BATU 12 - Sepasang suami isteri merayu bantuan orang ramai bagi membiayai kos rawatan susulan anak kedua mereka berusia empat bulan yang menghidap saluran jantung tersumbat atau Patent Ductus Arteriosus (PDA).

F Steven, 29, dan isterinya R Punita, 30, ketika ini terpaksa berhutang bagi membiayai kos rawatan anak mereka, S Gabriel di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Punita berkata, anaknya sudah dibedah buat kali pertama ketika berusia 22 hari di mana tiub dimasukkan dari paha anaknya untuk membuka saluran jantung yang tersumbat.

“Pembedahan kedua dilakukan pada hari yang sama untuk membesarkan saluran jantung dan kedua-dua pembedahan itu menelan kos sekitar RM50,000 termasuk kos penginapan dan ubat,” katanya ketika ditemui di majlis pemberian sumbangan Deepavali di Taman Tunas Mahkota, di sini.

Katanya, doktor memaklumkan anaknya perlu menjalani dua lagi pembedahan pada masa akan datang untuk membolehkan perkembangan bayi itu normal sama seperti kanak-kanak sebayanya.

“Sewaktu dalam kandungan dia kelihatan normal namun ketika berusia 35 minggu doktor mengesan keadaannya yang tidak normal dan saya terpaksa dibedah untuk melahirkannya lebih awal.

“Doktor kata pembedahan seterusnya perlu dilakukan untuk mengasingkan oksigen dalam darahnya untuk membolehkan dia bernafas. Apa pun saya diminta hadir ke IJN pada Februari depan untuk berbincang mengenai pembedahan itu,” katanya.

Punita berkata, mereka diminta menyediakan deposit minimum RM500 untuk membolehkan pembedahan seterusnya dijalankan.

“Dengan pendapatan suami sebagai mekanik sebanyak RM700 sebulan, kami tidak mampu untuk menanggung kos perubatan anak di mana setiap bulan kami perlukan sekitar RM300 untuk berulang-alik ke IJN termasuk ubat-ubatannya.

“Susu untuknya juga berharga RM25 setin dan hanya bertahan kira-kira lima hari sahaja,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak, Catherine, 5 tahun.

Sementara itu, Punita berkata, dia bimbang tahap kesihatan Gabriel merosot jika rawatan susulan tidak dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan kerana anaknya perlu menjalani rawatan untuk suatu tempoh agak panjang dan tidak diketahui bila proses rawatan itu akan berakhir.

“Saya berharap dengan bantuan orang ramai, kami boleh menghantar anak ke IJN bagi membolehkannya menikmati kehidupan normal seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana sering mendapat bantuan kewangan daripada pemimpin setempat,” katanya.

Mereka yang bersimpati dengan nasib keluarga ini, boleh menghubungi Punita di talian 019-9524221.

Syiah serah memo, tuntut maaf terbuka



Sekumpulan pengikut Syiah hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), mendakwa berlaku pencabulan hak asasi manusia terhadap mereka.

Kumpulan 30 orang itu mendakwa serbuan terhadap pusat mereka di Gombak pada 15 Disember lalu bercanggah dengan pelbagai peruntukan, antaranya Piagam Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Perlembagaan Persekutuan.

NONE"Kami Komuniti Pencinta Ahlul Bait (Syiah) di Malaysia memohon perlindungan hak daripada Suhakam berpaksikan Perlembagaan Malaysia agar hak minoriti kami sebagai rakyat Malaysia dilindungi pihak-pihak berwajib," kata jurucakapnya Kamil Zuhairi Ab Aziz.

"Sekiranya hak kebebasan beragama dan kepercayaan telah diberikan kepada minoriti yang beragama Hindu, Buddha, Kristian, Sikhisme atau lain-lain agama, mengapa kami dicaci, dihina, difitnah dan kini diugut semata-mata kerana mengamalkan kepercayaan kami turun-temurun sejak nenek moyang kami, iaitu Mazhab Ahlul Bait atau Syiah Imamiah yang dianuti lebih 200 hingga 500 juta umat Islam seluruh dunia."

Sebahagian daripada kumpulan itu antara 128 orang yang ditahan dua mingg lalu di sebuah rumah kedai di Taman Seri Gombak, Batu Caves.

Dua daripada mereka telah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kuang bawah Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan mufti.

NONEKali pertama tampil mengadakan sidang media di ibu pejabat baru Suhakam di Kuala Lumpur, Kamil menjelaskan, ketika serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), tiada usaha penyebaran fahaman, sebaliknya hanya majlis tahlil untuk arwah cucu Nabi Muhammad.

Mengakui mempunya jati diri yang khusus, Kamil menolak generalisasi yang menyamakan fahaman mereka - Syiah Imamiah - di negara ini dengan kumpulan yang sama di negara lain.

"(Kami) tidak akan menumpahkan darah, tidak akan bersubahat, tidak akan terlibat dalam sebarang kegiatan militan, keganasan dan persenjataan yang dapat meletakkan negara tercinta dalam kedudukan bahaya," katanya sambil menegaskan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membendung elemen itu.

Sehubungan itu, mereka menuntut pihak yang terlibat dalam tangkapan mereka, terutamanya JAIS, pengarahnya Datuk Khusrin Munawi dan penguatkuasa jabatan itu membuat permohonan maaf secara terbuka kerana "mengakibatkan fitnah dan kekeliruan terhadap mereka".

Tuntutan itu turut dibuat kepada pihak media dan penceramah popular Datuk Dr Hassan Din yang dilaporkan berkata, perkahwinan dengan pengikut Syiah boleh mengakibatkan perkahwinan tidak sah dan anak yang lahir boleh dikategorikan sebagai anak zina atau anak tidak sah taraf.

Mengulas 'kekeliruan' terhadap fahaman mereka, Kamil menjelaskan perkara itu berlaku ekoran tiada dialog dan kajian yang tersusun daripada sarjana berhubung fahaman itu.

Rawatan 'pulih' HIV ditemui




PARA pengkaji Jerman yang menggunakan pemindahan tulang sumsum untuk merawat seorang pesakit barah yang menghidap Aids, mengakui telah berjaya memulihkan pesakit itu daripada virus Aids tersebut.
Namun, dakwaan mereka tentang 'pemulihan' itu masih disangsi para pengkaji lain.Pesakit itu yang menghidap kedua-dua penyakit HIV dan leukemia, menjalani pemindahan tulang sumsum pada 2007.Tulang sumsum itu didapati daripada seorang penderma yang mengalami mutasi genetik yang didapati boleh memberikan para pesakit kesan lalian semula jadi daripada virus HIV.Hampir empat tahun selepas menjalani pemindahan itu, pesakit berkenaan telah bebas daripada virus HIV, menurut para pengkaji yang menjalankan kajian terhadap pesakit itu, diketuai oleh Dr Thomas Schneider, dari Hospital Berlin Charite, Jerman.'Hasil-hasil kajian kami menunjukkan dengan jelas bahawa kami berjaya memulihkan pesakit ini daripada virus HIV,' tulis mereka dalam jurnal Blood.Namun, para pengkaji Aids lain menolak pendekatan yang digunakan pengkaji itu. Menurut mereka, pemindahan tulang sumsum begitu membahayakan dan merupakan usaha rawatan terakhir bagi pesakit leukemia.Masa berbulan-bulan diperlukan untuk memulihkan kembali pesakit yang telah menjalani pemindahan tulang sumsum kerana ia melibatkan sistem lalian pesakit itu.'Ia (rawatan tulang sumsum) tidak praktikal dan boleh meragut nyawa,' kata Dr Robert Gallo dari Institut Virologi Manusia di Universiti Maryland, Amerika Syarikat, yang menemui virus HIV yang menyebabkan penyakit Aids itu.'Ia boleh barangkali memulihkan, tetapi kita tidak akan tahu dengan tepat sehingga pesakit itu telah meninggal dan melalui analisis genetik yang ekstrem terhadap tisu-tisu selepas kematiannya,' tambahnya.Sementara itu, beberapa pengkaji lain sedang berusaha menjalankan terapi gen (baka) untuk memulihkan pesakit HIV, namun teknologinya masih di peringkat eksperimen. -- Reuters.

Pantau situasi agar Muslim tidak ikut amalan perayaan bukan Islam




KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan akan memantau situasi musim perayaan pelbagai kaum di Malaysia bagi memastikan umat Islam tidak melakukan perbuatan menyerupai amalan agama bukan Islam, lapor Berita Harian Maaysia.
Pengerusi majlis itu, Profesor Datuk Dr Abdul Shukor Husin, dipetik dalam laporan akhbar itu semalam sebagai berkata dalam apa jua keadaan, pendekatan awal ialah mendidik dan menasihatkan umat Islam sebelum merangka tindakan susulan.Beliau berkata toleransi sesama rakyat berbilang bangsa dan agama sememangnya digalak di Malaysia, tetapi masyarakat Islam juga perlu diingatkan supaya jangan sampai hilang identiti sebagai umat Islam.'Lebih utama, jangan pula menyerupai amalan agama lain kerana ia tidak sesuai, dan dalam masyarakat majmuk pula tidak perlu wujud pluralisme kerana setiap agama berbeza. Cuma kita perlu hormat menghormati satu sama lain.'Di Malaysia, seeloknya kita menghormati penganut bukan Islam, ucap tahniah atas sambutan perayaan mereka dibolehkan, menjamah makanan yang halal juga boleh tetapi tidak sampai melakukan ritual seperti memakai kostum dan meletakkan hiasan keagamaan di kediaman kerana ia tidak sesuai untuk imej Islam,' katanya ketika dihubungi akhbar itu di sini, kelmarin.Kelmarin, Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Dr S. Subramaniam, berkata majikan tidak boleh memaksa pekerja mereka yang beragama Islam memakai kostum Santa Claus atas alasan kehendak tugas, walaupun mereka terbabit dalam kerja mempromosi barangan di pusat beli-belah sempena Krismas.Majikan juga tidak boleh mengambil tindakan disiplin terhadap pekerja beragama Islam yang enggan mematuhi arahan bertentangan dengan pegangan agama mereka, kata beliau.Media melaporkan Jumaat lalu Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin, menasihatkan umat Islam Malaysia supaya tidak memakai pakaian atau perhiasan menyamai Santa Claus kerana ia bercanggah dengan seruan Nabi Muhammad saw.Beliau dipetik sebagai berkata ada pekerja Islam di pusat beli-belah terpaksa memakai pakaian atau perhiasan itu atas kehendak tugas.

Kisah Robengah Dirogol Pak Menteri Kabinet Najib



Siapa di antara mereka ini perogol?

Menteri pembangunan wanita, tak belakah kaum sejenisnya yang dirogol?


KL, 28 Dis 10:
 Kisah seorang pembantu rumah Indonesia dirogol oleh majikannya yang merupakan seorang menteri bermula apabila sebuah badan kebajikan dan hak asasi manusia, Migrant Care, menerima sepucuk surat aduan daripada adik mangsa.Surat tanpa tarikh yang ditaip dengan mesin taip biasa itu mendakwa kakaknya yang bernama Robengah telah diperkosa oleh seorang menteri kerajaan Malaysia beberapa kali.
"Kakak saya telah diperkosa oleh majikannya Pak Menteri beberapa kali. Hingga satu hari tanggal 19/02/07, kuasa Allah perbuatan kejinya itu telah terlihat oleh Datin isterinya yang sangat baik melayan semua pembantu rumah. Datin telah hantar kakak saya pulang ke Indonesia keesokannya, tanggal 20/02/07," cerita adik mangsa kepada badan yang menjaga kebajikan pekerja Indonesia yang bekerja di luar negeri itu.
Melalui surat inilah, Migrant Care telah menyiasat laporan ini dengan menghantar tiga sukarelawannya ke rumah Robengah yang terletak di Banjarnegara, Jawa Tengah, Indonesia. Migrant Care adalah Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat (Member of Migrant Forum in Asia and International NGO Platform on Migrant Workers' Convention) yang beralamat di Jl. Pulo Asem I C No 15 RT 015 RW 001 Jati, Jakarta Timur 13220 Indonesia.
Banyak kes yang berjaya diselesaikan oleh mereka dalam menjaga kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia. NGO ini juga membantu rakyat Malaysia yang ingin mencari saudara mara mereka di Indonesia sebagaimana yang berlaku kepada keluarga Azreen Che Ishak, gadis dari kampung Sawah, Rantau, Negeri Sembilan yang dibawa ke Lombok, Indonesia.
Perjalanan ke Banjarnegara pada 24 Julai 2007 merupakan satu perjalanan yang panjang bagi para sukarelawan ini. Ia bermula sehari sebelum itu lagi apabila mereka bertolak dari Jakarta ke Jawa Tengah pada 23 Julai. Namun, demi tugas, mereka ke sana untuk mengesahkan laporan yang mereka terima itu.
Ketika dalam perjalanan, mereka terngiang-ngiang kata-kata rayuan adik mangsa rogol ini yang meminta kasihan belas agar kehormatan wanita Indonesia ini dibersihkan.
"Tolong kami Pak. Bersihkan kehormatan wanita Indonesia yang mencari rezeki buat anak-anak yang sekolah. Apakah memperkosa pembantu rumah pekerja asing yang tak bisa baca dan tak bisa tulis, adalah satu budaya orang kenamaan di Malaysia," rayu adik mangsa dalam surat aduan itu.
Melalui alamat yang diberikan adik mangsa itu, mereka berjaya menemui Robengah yang sedang sibuk mempersiapkan makanan untuk pekerja yang sedang mempersiapkan rumah baru mereka. Mereka ke sana untuk mendapatkan cerita sebenar dari mangsa sendiri. Ini kerana, surat aduan itu penuh keyakinan kakaknya akan ceritakan segala-galanya.
"Kakak saya akan ceritakan segala-galanya. Saya sertakan foto majikannya bersama kakak saya yang berdiri disebelahnya (bertudung biru) bersama pembantu rumah yang lain dan Datin isterinya," cerita surat aduan itu lagi.
Namun mereka bertiga juga teringat pesan adik mangsa itu. Ini kerana, beliau bimbang kes yang berlaku kepada wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu berulang kepada kakaknya. "Tolong bapak rahsiakan alamat kakak saya kerana Pak Menteri itu punya banyak wang dan kenalan di Indonesia. Khuatir nanti keluarga kakak saya akan diapa-apakan seperti kasus Altantuya di Malaysia," tulis adik mangsa itu lagi.
Mereka bertiga sampai di rumah Robengah kira-kira jam 11 pagi. Namun, suasana yang ada tidak membolehkan isu pemerkosaan ini ditanya terus kepadanya sehingga jam lewat petang. Ini kerana suami serta dua anaknya sentiasa berada di sisinya. Mereka hanya berjaya mendapat sejarah kerja Robengah di rumah majikannya di Kuala Lumpur selama lapan tahun itu.
Dalam pada itu, mereka juga sempat bergambar bersama. Namun, selepas pulang ke rumah salah seorang dari mereka iaitu kira-kira jam 8.30 malam, mereka menelefon Robengah melalui anaknya. Dalam perbualan telefon itulah, Robengah mengaku diperkosa majikannya. Tetapi beliau meminta sangat-sangat isu pemerkosaan itu tidak diperbesarkan kerana dia malu dan takut.
Maklumlah, dia hanya orang kecil sedangkan Pak Menteri itu orang besar dan berpengaruh. Suami Robengah juga menelefon mereka semua supaya isu ini tidak diperbesarkan dan menganggap ini adalah satu cobaan untuk keluarganya. Pada 26 Julai sekali lagi para sukarelawan ini menelefon Robengah melalui ibu pejabat mereka di Jakarta.
Robengah kali ini juga meminta agar ia tidak diperbesarkan namun dia mengesahkan telah diperkosa menjelang pulang ke kampung halamannya. Menurut adiknya, kali terakhir Robengah diperkosa pada 19 Februari 2007 dan kejadian ini telah terbongkar apabila dilihat sendiri oleh isteri menteri ini.
Robengah kemudiannya telah dihantar pulang oleh isteri menteri itu pada keesokan harinya iaitu pada 20 Februari 2007. Selepas membuat penyiasatan dan menemubual mangsa inilah, Migrant Care telah mengeluarkan satu kenyataan media pada 1 Ogos 2007. Ia telah ditandatangani oleh tiga orang iaitu Wahyu Susilo (Policy Analyst), Anis Hidayah (Executive Director) dan Alex Ong (Country Director).
Kenyataan ini telah disiarkan kembali oleh Tenaganita, sebuah NGO hak asasi pekerja pada 26 Disember baru-baru ini selepas dokumen siasatan kes ini didedahkan oleh WikiLeaks. Dokumen siasatan kes pemerkosaan ini dikatakan telah sampai ke kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, kedutaan Amerika di Jakarta dan pejabat Perdana Menteri ketika Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi adalah Perdana Menterinya.
Berdasarkan dokumen dari kedutaan Amerika inilah WikiLeaks mendedahkan kembali kes ini kerana dokumen yang didedahkan oleh WikiLeaks semuanya daripada dokumen yang bocor dari Amerika. Pendedahan ini kemudiannya diangkat oleh blogger Rocky Bru (Ahirudin Atan), pemimpin akhbar The Malay Mail, dalam blognya baru-baru ini.
Bermula dari situlah Harakahdaily menyiasat kes ini dan mendapat cerita ini. Menurut maklumat awalnya, menteri ini sudah bersara tetapi selepas disiasat rupanya menteri ini masih kekal dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak sekarang. (Sumber Harakahdaily dll)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kes ini perlu dibongkar sehingga yang bersalah akan dihukum. Kes Altantuya Shariibuu jadi peringatan.
sumber http://www.ibnuhasyim.com

Serbu kedai komputer perisian tiruan

KUALA LUMPUR: Pekerja sebuah kedai komputer di sebuah kompleks digital di Jalan Bukit Bintang, di sini, tergamam apabila kedai itu diserbu sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, dalam operasi membanteras kegiatan cetak rompak perisian komputer, kira-kira jam 4 petang semalam.
Ketua Pasukan Tugas Khas KPDNKK Putrajaya, Fahmi Kasim, berkata operasi yang dinamakan Gerak Gempur Cetak Rompak dan diketuai Penolong Pengarah KPDNKK Putrajaya, Suhaimi Dawi merampas satu set komputer riba, satu set komputer bernilai RM2,500, dua salinan cakera padat dipercayai perisian komputer Microsoft Windows 7 Ultimate dan dua salinan cakera padat Microsoft Office Enterprise 2007 disyaki cetak rompak bernilai RM6,000. Semua rampasan itu bernilai RM8,500.

Menurutnya, kedai terbabit yang beroperasi di tingkat tiga kompleks berkenaan diserbu selepas mendapat aduan dan maklumat berhubung kegiatan cetak rompak perisian beberapa jenama program oleh pemilik hak ciptanya. “Seramai tujuh anggota dan pegawai KPDNKK Putrajaya terbabit operasi itu bersama seorang peguam mewakili Syarikat Microsoft (M) Sdn Bhd. Pemilik kedai terbabit gagal dikesan kerana ketika serbuan, hanya dua pekerja berada di kedai itu.

“Kedua-dua pekerja terbabit diambil keterangan sebelum dibebaskan.

“Saya nasihatkan pemilik kedai komputer tidak lagi menjual komputer dengan memuat turun perisian cetak rompak kerana tindakan mereka seperti menipu pelanggan,” katanya ketika ditemui.

Pekung laser Indonesia terdedah




SEDUTAN video menunjukkan penjaga gol Malaysia, Sharbinee Alawi terkena pancaran laser hijau (dalam bulatan) semasa perlawanan menentang Indonesia di Jakarta baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Jika peminat bola sepak Malaysia dipersalahkan kerana didakwa menggunakan pena pancaran laser, ada pengendali blog semalam mendedahkan perbuatan yang sama juga telah dilakukan oleh peminat skuad Garuda ketika perlawanan peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2010 antara kedua-dua negara itu baru-baru ini.
Menurut entri blog Adamroslan.com yang bertajuk 'Piala Suzuki AFF 2010: Laser Hijau Siapa Yang Mula Dulu?' pengendali blog itu memuat turun klip video yang dihantar oleh seorang peminat bola sepak tempatan perlawanan berkenaan sewaktu Malaysia kalah 1-5 di tangan Indonesia pada 4 Disember lalu.
"Pendedahan klip video itu yang disunting daripada video rasmi AFF telah membuka pekung pasukan Indonesia yang bermain taktik ini semasa mengalahkan Malaysia pada perlawanan peringkat kumpulan," katanya.
Menurut blog itu, ia juga bukti peminat bola sepak di republik itu juga turut bermain kotor.
"Jika benar faktor kekalahan Indonesia adalah kerana laser hijau, mereka perlu tanya kepada diri sendiri apa penyokong mereka buat di Stadium Gelora Bung Karno yang perlawanan peringkat kumpulan dahulu?," ujarnya.

10 perkara dalam buku jingga




Buku Jingga mengariskan beberapa perkara antaranya:

1. Mengarahkan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

2. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

3. Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan memperkenal imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.

4. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

5. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

6. Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

7. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

8. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.

9. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.

10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.