Thursday, January 21, 2016

Empat Mati Ditembak, Bom Meletup Di Wilayah Bergolak Selatan Thai


Diterbitkan: Rabu, 20 Januari 2016 11:51 PM
- Gambar hiasan

YALA: Empat lagi individu mati ditembak di Pattani dan Yala pada Rabu dipercayai berkaitan konflik bersenjata di wilayah selatan Thailand.

Dalam kejadian pertama di daerah Mayo, Pattani, mangsa yang dikenali sebagai Mat Kori Seng, 34, mati ditembak di bahagian kepala ketika dalam perjalanan pulang daripada menunaikan solat subuh di masjid berdekatan.

"Mangsa ditembak di kepala menggunakan senapang 'shot gun' dan meninggal di tempat kejadian. Polis menemukan dua kelongsong peluru dan masih menyiasat motif kejadian," kata Timbalan Ketua Polis Mayo Lt Polis Jirasit Lomae.

Dalam kejadian berasingan di Khokpo daerah yang sama pula katanya, seorang warga emas dikenali sebagai Anan Keawmani, 60, turut maut akibat ditembak di bahagian kepala oleh orang tidak dikenali.

Sebagaimana insiden di Mayo, pihak polis menurut Jirasit, masih menyiasat pembunuhan warga emas itu.

Sementara itu di Betong, Yala, pasangan anak-beranak, Kanok Titichottikul, 70, dan anak lelakinya, Nattawut Titichottikul, 27, turut mati ditembak oleh penyerang tidak dikenali kira-kira 2.15 petang tadi.

Polis juga masih menyiasat motif kejadian.

Di Narathiwat pula, lapan anggota tentera Thai nyaris maut apabila sebutir bom seberat 20kg yang ditanam di tepi jalan meletup ketika mereka sedang menjalankan rondaan bagi melindungi keselamatan guru.


Ketua Polis Takbai Kol Polis Jiradej Prasawang berkata bom terbabit diletupkan menggunakan walkie-talkie pada 6.50 pagi tadi.

Beri peluang Mukhriz terus pimpin Kedah - Muhyiddin


Oleh Nazura Ngah


TIMBALAN Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Abdullah Yusof
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir diberi peluang untuk terus memimpin kerajaan Kedah.
"Sebagai seorang Menteri Besar yang baru mentadbir kerajaan negeri untuk tempoh yang singkat, beliau tentunya memerlukan sokongan semua pihak, terutamanya wakil rakyat dan pemimpin UMNO bahagian untuk memimpin badan perhubungan negeri dan mentadbir kerajaan negeri dengan berkesan, " katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook beliau, hari ini.
Semalam, seramai 13 daripada 15 Ketua UMNO Bahagian di Kedah sepakat menyuarakan rasa hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz untuk memimpin parti dan negeri.
Serentak itu, mereka merayu Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO untuk membuat perubahan dengan kadar segera ke atas kepimpinan UMNO negeri serta jawatan Menteri Besar Kedah.
Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada sidang media khas selepas perjumpaan tertutup hampir sejam dengan pemimpin bahagian.

Chegu Bard diarah bayar ganti rugi RM50,000

JENAYAH KHAMIS, 21 JANUARI 2016 @ 12:32 PM

Oleh Ifwan Tun Tuah ifwan@bh.com.my

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi hari ini, memerintahkan Chegu Bard membayar ganti rugi RM50,000 kepada bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus, kerana memfitnahnya. Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof yang membuat keputusan di dalam kamarnya, turut memerintahkan bekas Ketua Cabang PKR Rembau itu atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin, membayar RM10,000 sebagai kos tindakan kepada plaintif. Peguam Mohd Nazree, Hazwan Mohd Nor, berkata hakim memerintahkan defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM40,000 dan ganti rugi teruk RM10,000. "Keputusan ini dibuat selepas hakim mempertimbangkan kerosakan terhadap nama plaintif dan tekanan mental dihadapinya selain tulisan fitnah yang masih boleh dibaca serta ketiadaan permohonan maaf daripada defendan, " katanya kepada pemberita di luar mahkamah. Mohd Nazree yang kini Timbalan Pengerusi Biro Intergrasi Nasional PKR, memfailkan saman fitnah terhadap Badrul Hisham, 36, di Mahkamah Tinggi Seremban di sini pada 20 Oktober 2014, membabitkan kenyataan defendan yang memfitnahnya ketika pemilihan parti itu. BEKAS Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin (Chegu Bard). - Foto Zunnur al Shafiq   DISYORKAN

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/116600

Barang rumah Datuk Hamidah Osman dilelong RM100,000


Oleh Shamsul Kamal Amarudin


KAKITANGAN Mahkamah Tinggi Ipoh menyita barangan dalam rumah milik Bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman 23 Disember lalu. - Foto NSTP
BATU GAJAH: Barangan dalam rumah bekas Ketua Wanita UMNO Gopeng yang dipecat, Datuk Hamidah Osman, dilelong pagi ini pada harga RM100,000. 
Barangan itu dilelong susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan Hamidah yang juga bekas EXCO kanan Perak, membayar RM200,000 kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berhubung satu kes saman malu.
Proses lelongan itu bermula pada jam 10.30 pagi bagi melelong 62 unit kelengkapan rumah dan tiga set kelengkapan bilik tidur yang terdapat dalam rumah Hamidah di Kampung Tersusun Batu Gajah di sini pada harga bidaan RM200,000.
Lelongan bermula pada jam 11 pagi dengan Pelelong Berlesen, Hasniza Abu Samah, mengumumkan bidaan pada harga lantai RM200,000 tetapi tiada sambutan walaupun diumumkan sebanyak tiga kali.
Beliau kemudian menurunkan harga kepada RM150,000 tetapi turut tidak mendapat sambutan walaupun diumumkan sebanyak tiga kali.
Selepas itu, harga diturunkan kepada RM100,000 sebelum seorang suri rumah, Fatimah Mohd Isa, 52, membuat bidaan tanpa ada saingan sesiapa.
Fatimah yang juga rakan karib Hamidah, berkata beliau membeli barangan rumah berkenaan kerana mahu membantu Hamidah yang diibaratkan sebagai pejuang sejak menjadi ahli politik.
"Tiada satu barangan di dalam rumah ini akan dibawa keluar dan saya membeli barangan ini kerana ingin membantu Hamidah," katanya yang ditemui selepas proses lelongan itu.
Sementara itu, Hamidah berkata, beliau reda dengan apa yang berlaku dan itu adalah proses mahkamah yang perlu diturutinya.
Pada 27 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Hamidah membayar jumlah berkenaan kepada Khalid atas penerbitan artikel yang bertajuk 'Umat Islam Perlu Bersatu' di dalam blognya pada sekitar Januari 2010 di mana dalam artikel itu, Hamidah didakwa memuatkan gambar 'superimposed' Khalid berpakaian ala seorang paderi.
BARANGAN di dalam rumah bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman (kiri) dilelong pagi ini selepas Mahkamah Tinggi Ipoh menyita barangan berkenaan pada 23 Disember lalu akibat gagal melunaskan bayaran ganti rugi sebanyak RM200,000 dalam satu kes saman fitnah membabitkan dirinya dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad

Banyak projek AS membazir - Afghan Reconstruction

090913-M-2581P-428 U.S. Marines with 1st Battalion, 5th Marine Regiment and Afghan contractors dump gravel at Marine Corps Forward Operating Base Geronimo, Nawa district, Helmand province, Afghanistan, on Sept. 13, 2009. The gravel is being used in the construction of Forward Operating Base Geronimo. The Marines are the combat element of Regimental Combat Team 3, whose mission is to conduct counterinsurgency operations in partnership with Afghan security forces in southern Afghanistan. DoD photo by Lance Cpl. James Purschwitz, U.S. Marine Corps. (Released)
WASHINGTON: Badan pemantau kerajaan Amerika Syarikat mendakwa agensi Pentagon membazirkan berjuta dolar ke atas projek pembinaan semula yang tidak dirancang dengan baik di Afghanistan.
Pasukan Petugas bagi Operasi Perniagaan dan Kestabilan didakwa membelanjakan AS$800 juta (RM3.5 bilion) untuk projek-projek pembangunan dalam tempoh lima tahun.
Ketua Khas Afghan Reconstruction, John Sopko, berkata perancangan yang lemah dan pembaziran mencemari skim ini, namun Pentagon menafikannya.
Ketika bertemu Senator Jawatankuasa Khas Mengenai Pengurusan Tentera, antara perkara yang ditekankan Sopko adalah projek bagi membantu industri pembuatan kain Kasmiri tempatan.
Inisiatif berjumlah AS$6 juta (RM26 juta) itu menyaksikan sejumlah kecil kambing berbulu perang Itali diimport, namun Sopko berkata pengawasan amat tidak berkesan dan beliau tidak pasti sama kambing berkenaan tidak dimakan.
Tetapi seorang kontraktor mendakwa skim itu mewujudkan sehingga 350 pekerjaan.
Setakat ini Sopko tidak dapat mencari bukti kukuh menunjukkan aktiviti di Afghanistan menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang disasarkan atau menghasilkan kestabilan.
"Sebaliknya, legasi (pasukan petugas) itu di Afghanistan dicalar oleh projek yang gagal disiapkan dan tidak dirancang dengan baik." katanya
Pasukan petugas itu kini sudah dibubarkan. - Agensi

Gadis koma 17 tahun perlu bantuan


Siti Suzaini koma sejak 17 tahun lalu dan masih menunggu bilik dilengkapi bilik air untuk memudahkan ibu memandikannya setiap hari.
BACHOK – Hasrat seorang ibu untuk membina sebuah bilik dilengkapi bilik air di rumah agar mudah untuk dia memandikan anaknya yang koma sejak 17 tahun lalu, masih belum tercapai walaupun sudah empat tahun hasrat itu disuarakan menerusi media massa.
Ketua Unit Komunikasi dan Media Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS), Akidi Hamid berkata, ibu mangsa, Maziah Jusoh, 52, sudah cuba memohon bantuan daripada beberapa pihak untuk membina bilik untuk anaknya, Siti Suzaini Jailani, 24, namun masih tiada maklum balas sehingga kini.
Menurutnya, bilik itu diperlukan bagi memudahkan Maziah memandikan anaknya yang dalam keadaan koma, tanpa mengusung dalam jarak jauh kerana khuatir akan memberi kesan kepada anaknya itu.
“Keluarga mangsa amat berharap ada pihak yang sudi membantu Siti Suzaini untuk mendapatkan sebuah bilik khas seluas 16 meter persegi dengan bilik air.
“Anak sulung daripada lima beradik ini masih belum sedarkan diri walaupun sudah masuk 18 tahun terlantar di katil khas. Dia diurus ibu dan adiknya (Siti Suhaini) yang menyalurkan susu melalui tiub, selain perlu diusung kerana jarak bilik mandi dan katil agak jauh,” katanya yang sudah melawat dan menyampaikan sedikit bantuan kepada keluarga terbabit.
Menurut Akidi, suami Maziah hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala Maziah sendiri bergantung kepada peniagaan kecil-kecilan yang diusahakannya untuk menampung keperluan harian bagi meringankan kos perbelanjaan Siti Suzaini yang mencecah RM1,300 sebulan termasuk lampin dewasa, susu khas dan sebagainya.
Katanya, Siti Suzaini memerlukan tilam elektrik khas yang sudah tujuh kali ditukar dan setiap kali diganti, ia memerlukan kos RM1,000.
“Mereka dapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi dikatakan tidak mencukupi. Orang ramai yang mahu meringankan beban mereka boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank atas nama Maziah Jusoh 153083110225 atau hubungi 017-9233635,” katanya.
Sinar Harian pada 4 Ogos 2012 pernah menyiarkan kisah mengenai Siti Suzaini.
Difahamkan, KELSS ditubuhkan pada 15 Januari tahun lalu dan didaftar secara rasmi di Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 27 Mei tahun lalu bagi mengajak rakyat membantu golongan memerlukan, terutama melibatkan kes terpencil.
Keahlian KELSS kini mencecah 60 orang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Kes liwat II Anwar perlu dijelaskan kepada rakyat



KUALA LUMPUR - Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa penghakiman kes liwat II, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan perlu dijelaskan kepada orang ramai bagi mengelakkan salah faham.
Muhammad Shafee, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes tersebut, berkata oleh kerana kes itu melibatkan kepentingan awam maka penghakiman itu perlu dijelaskan dengan betul supaya kebenaran dapat diketahui.
Menurutnya tindakan itu dilakukan ekoran cubaan pihak-pihak tertentu untuk mempolitik dan meracuni pemikiran rakyat berhubung keputusan itu dan akhirnya mempersoalkan kredibiliti dan kebebasan badan kehakiman.
"Ia adalah demi kepentingan keadilan bahawa kebebasan dan integriti badan kehakiman perlu ditegakkan," katanya dalam kenyataan saksi yang dikemukakan kepada mahkamah.
Muhammad Shafee, 63, memberi keterangan demikian dalam saman fitnahnya terhadap Majlis Peguam, peguam Tommy Thomas, bekas hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri V.C. George dan  bekas presiden Majlis Peguam, Christopher Leong.
Dalam saman tersebut, Muhammad Shafee mendakwa pada 28 Februari tahun lepas, Thomas, dengan disokong oleh George, telah menerbit dan mengemukakan usul untuk membincangkan kelakukannya sebagai Timbalan Pendakwa Raya dalam kes rayuan Anwar di Mahkamah Persekutuan pada mesyuarat agung tahunan Majlis Peguam pada 14 Mac lepas.
(Muhammad Shafee dilantik oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail menerusi fiat (kebenaran) untuk mengendalikan rayuan terhadap Anwar di Mahkamah Persekutuan. Pelantikan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah dan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan).
Dalam keterangan hari ini, Muhammad Shafee menegaskan bahawa beliau dijemput untuk memberi ceramah bertajuk 'Dialog bersama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah' bagi menjelaskan penghakiman itu kepada orang ramai di Kelana Jaya pada 17 Feb tahun lepas iaitu tujuh hari selepas keputusan Mahkamah Persekutuan.
"Ada orang di luar sana yang mahu penjelasan yang lebih baik kerana terdapat pelbagai pihak memberi penjelasan berbeza. Lagipun, kes ini telah dimuktamadkan dan tiada isu 'sub judice' lagi.
"Jadi saya mengambil pendirian untuk menjelaskan kes ini dan penghakimannya," katanya.
Beliau berkata dialog itu bukan atas inisiatifnya tetapi dijemput untuk memberi ceramah dan beliau merasakan dapat membantu memperbetulkan beberapa salah faham berhubung kes itu.
Muhammad Shafee berkata beliau tidak pernah berniat untuk mengutuk Anwar tetapi sebaliknya penjelasan berhubung penghakiman itu bertujuan menjawab semua keraguan orang ramai.
Ketika disoal balas oleh peguam Tommy, Datuk S. Ambiga, Muhammad Shafee mempertahankan kenyataannya mengenai penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan itu adalah untuk mendidik dan memaklumkan kepada orang ramai mengenai apa yang berlaku di mahkamah.
Beliau menolak cadangan Ambiga bahawa beliau telah melancarkan serangan peribadi apabila melabelkan Anwar sebagai 'pengecut' selepas bekas ketua pembangkang itu memilih untuk membuat kenyataan dari kandang tertuduh.
Pendengaran kes itu di hadapan Hakim Datuk Hanipah Farikullah disambung esok. - Bernam
a

Rafizi dakwa kerajaan kutip cukai minyak RM3 bilion


Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia bakal dikenakan cukai petrol dan diesel sehingga RM3 bilion setiap tahun jika kerajaan melaksanakan sistem penetapan harga bahan api itu berasaskan harga lantai berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia sehingga AS$29 setong.
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata pendapatan itu bakal diraih kerajaan jika kadar cukai itu sebanyak 10 sen setiap liter serta berdasarkan jumlah penggunaan petrol dan diesel kira-kira 30 bilion liter setiap tahun.
“Tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang secara senyap-senyap merancang untuk menghalang rakyat dari menikmati harga minyak yang rendah adalah terkutuk dan keji.
“Jika sistem harga lantai ini dilaksanakan, rakyat Malaysia akan terus dinafikan hak untuk menikmati harga minyak yang sebenar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas laporan Astro Awani semalam yang memetik kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa kerajaan sedang membuat kajian untuk menetapkan harga lantai bagi penjualan produk petroleum di negara ini.
Bagaimanapun Hamzah berkata, kerajaan masih kekal menggunakan kaedah Pengapungan Terkawal dalam penetapan harga runcit untuk petrol RON95, RON97 dan diesel pada Februari akan datang.
Dalam pada itu, Rafizi juga berkata kerajaan didakwa sudah pun melaksanakan mekanisme itu dalam menentukan harga bahan api itu Januari 2016 ketika harga purata pasaran telah jatuh ke paras RM1.50 seliter bagi RON95.
“Bila harga purata pasaran itu lebih rendah dari harga lantai yang ditetapkan, rakyat akan tetap membayar harga lantai iaitu RM1.60 sen seliter walaupun harga sebenarnya adalah lebih rendah.
“Perbezaan di antara harga sebenar dan harga lantai (dalam kes ini 10 sen seliter iaitu harga lantai RM1.60 tolak harga purata pasaran RM1.50) dikutip oleh kerajaan sebagai cukai,” ujarnya.
Sehubungan itu, Rafizi turut memberi amaran supaya pelarasan Bajet 2016 yang bakal diumumkan tidak memperkenalkan cukai tersembunyi seperti pelaksanaan sistem harga lantai minyak itu.
“Sekiranya sistem pelarasan harga lantai ini diperkenalkan juga, saya akan berbincang dengan rakan-rakan Pakatan Harapan untuk menganjurkan demonstrasi membantah yang sudah tentu akan mendapat sokongan rakyat,” katanya lagi
.

Kesabaran juruwang 
layan nenek viral di Internet


ISHMAEL Gilbert (kiri) melayan seorang nenek yang mahu membayar
ISHMAEL Gilbert (kiri) melayan seorang nenek yang mahu membayar barangan dibelinya dengan duit syiling. AGENSI
NEW YORK 20 Jan. – Seorang juruwang pasar raya Target di Indiana, Amerika Syarikat (AS) muncul sebagai selebriti Internet setelah cerita tentang kesabarannya melayan kerenah seorang nenek dikongsikan puluhan ribu pengguna media sosial, baru-baru ini.
Mail Online melaporkan, Ishmael Gilbert, 19, baru-baru ini dida­tangi nenek tersebut yang membawa duit syiling untuk membayar barangan yang dibelinya.
Menariknya, Ishmael yang baru beberapa hari bekerja di situ, langsung tidak melatah sebaliknya membantu nenek itu mengira duit syiling yang dibawanya dengan penuh sabar.
Kejadian itu disedari dan dirakam seorang wanita, Sarah Owen Bigler, 35, yang secara kebetulan beratur di belakang nenek tersebut sebelum dia memuat naik kisah berkenaan di laman Facebook miliknya.
Bigler yang ketika itu bersama anak perempuannya berkata, pada mulanya dia berang kerana terpaksa beratur lama untuk me­nunggu giliran membayar, namun kemudian tersentuh dengan kesabaran Ishmael.
“Saya lihat pekerja muda ini mengambil duit syiling daripada tangan nenek itu yang menggeletar dan tolong mengiranya. Sepanjang tempoh itu, dia juga tidak membuat muka atau menjegilkan mata tanda bosan, malah saya dapat dengar pemuda itu berkata ‘Ya puan’ beberapa kali,” kata Bigler.
Sejurus warga emas itu selesai membayar, Ishmael mula mengira barang yang dibeli Bigler sambil meminta maaf kepada wanita tersebut atas kelewatan yang dialaminya.
Kisah itu mendapat reaksi luar biasa apabila dikongsi sebanyak 22,000 kali dalam tempoh lima hari.
“Saya rasa gembira apabila kerja saya diiktiraf. Namun, kejadian itu bukanlah yang pertama kali kerana semua pelanggan memang wajar menerima layanan baik,” kata Ishmael.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kesabaran-juruwang-8232-layan-nenek-viral-di-internet-1.181727#sthash.AIoqPvYo.dpuf