Showing posts with label mca. Show all posts
Showing posts with label mca. Show all posts

Saturday, October 27, 2012

Mengapa Presiden MCA menghina Islam?

MCA kini menghadapi cabaran DAP? Tidak...MCA kini menghadapi cabaran oleh kaum tiong hua, akhirnya MCA akan dimusnahkan......kmt

Wednesday, October 24, 2012

‘Perjanjian syaitan’ Umno, MCA untuk kekal berkuasa

Saya benar-benar terkejut apabila mendengar ucapan Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada Mesyuarat Agung MCA ke-59 Ahad lalu kerana begitu banyak pembohongan dan penipuan disumbatkan dalam satu ucapan.


Berikut adalah tiga contoh pembohongan dan penipuan  yang dihamburkan Chua Ahad lalu:

  1. “DAP berjaya meyakinkan orang bukan Islam bahawa hudud PAS akan mengurangkan jenayah dan rasuah di dalam negara. Ini satu lagi penipuan besar. Daripada 11 buah negara yang melaksanakan hudud, lapan buah dikatakan negara paling korup dan negara-negara itu juga dikenali sebagai tidak stabil dan tidak selamat.”

2. “UBAH bermaksud: U untuk Untuk, B untuk Bentuk, A untuk Agama dan H untukHudud ala PAS. CHANGE pula bermaksud C = Choose H = Hudud A = At N = Next G = General E = Election”

3. “Mereka (DAP) akan terus memperdaya, memberi harapan palsu kepada kaum Cina bahawa jika kaum Cina mengundi DAP, mereka akan diperkasakan untuk menjadi penentu di negara ini.”

Chua begitu terdesak cuba meyakinkan dirinya dan rakyat Malaysia bahawa DAP memperjuangkan hudud PAS sehingga ke tahap berhujah bahawa hudud akan “mengurangkan korupsi” di Malaysia dan menjadikan Pilihan Raya Umum ke-13 sebagai pungutan suara bagi “hudud ala PAS”.

Chua betul. Ini adalah satu “pembohongan besar”, tetapi pembohongan besar yang dicipta oleh Chua sendiri bukannya DAP.

Pemimpin DAP tidak pernah berselindung daripada mengakui bahawa terdapat perbezaan di antara DAP dan PAS dalam persoalan-persoalan negara Islam dan hudud, malahan pemimpin PAS telah mengatakan secara terbuka bahawa mengundi PAS pada Pilihan Raya Umum ke -13 bukanlah undi untuk hudud, tetapi merupakan undian kepada perancangan bersama Pakatan Rakyat untuk menegakkan keadilan, memastikan berjalannya demokrasi, memulihkan kemandirian dan profesionalisme institusi-institusi penting negara yang dimusnahkan oleh UMNO/Barisan Nasional dan menggalakkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kelas dan kawasan.

Pembohongan Chua yang paling mengarut adalah kononya pemimpin DAP memberitahu kaum Cina bahawa mereka adalah “penentu dalam negara ini” sedangkan ini tidak pernah menjadi pendirian DAP.

Ucapan Presiden MCA oleh Chua dipenuhi dengan pembohongan dan sikap tidak jujur.

Ketika mengatakan lapan daripada 11 negara yang melaksanakan hudud sebagai paling korup, adakah Chua berhenti seketika untuk mempertimbangkan mengapa sejak 17 tahun lalu (terutama 3 ½ tahun kebelakangan ini ketika Najib menjadi Perdana Menteri) Malaysia telah menjadi semakin korup, tewas kepada enam negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2011 sedangkan enam belas tahun lalu, Malaysia mendahului semua negara-negara OIC dalam CPI TI 1996 dari segi pembangunan, kedaulatan hukum dan ketelusan?

Pada tahun 1996, Malaysia berada di kedudukan No.26 daripada 54 negara dengan skor 5.32 – mengatasi Jordan (No.30 – skor 4.89), Turki (No. 33 – Skor 3.54) dan Mesir (No. 41-  2.84).

Enam belas tahun kemudian, di dalam CPI TI 2011, Malaysia merundum ke kedudukan 60 dengan skor terendah 4.3 – tewas kepada enam negara OIC dan hanya satu kedudukan mengatasi Turki, seperti yang digambarkan di bawah:

Qatar – No. 22 (kedudukan)  7.2 (skor)
UAE   - 28                              (6.8)
Bahrain- 46                           (5.1)
Oman -  50                            (4.8)
Kuwait – 54                           (4.6)
Jordan – 56                           (4.5)
Arab Saudi – 57                   (4.4)
Malaysia – 60                       (4.3)
Turki  -   61                            (4.2)

Ini bukanlah  tindakan Chua paling mengejutkan ketika Persidangan MCA, tetapi tindakan beliau mempertahankan Timbalan Menteri Wanita MCA yang mendakwa PAS membenarkan wanita bukan Islam yang tidak menuruti kod pemakaian Islam dirogol.

Perasaan terkejut kepada ucapan Chua bertukar menjadi kasihan dan sedih melihatkan Presiden MCA sanggup menjadi sebegitu hina untuk menghamburkan pembohongan-pembohongan dan penipuan kerana terdesak memikirkan prospek Pilihan Raya Umum ke-13.

Adalah jelas MCA dan UMNO telah mengadakan “perjanjian syaitan” supaya masing-masing menyebarkan pembohongan dan penipuan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu, kerana mereka menyimpulkan bahawa politik kebencian sedemikian adalah satu-satunya cara untuk melindungi dan memelihara kuasa UMNO/BN pada PRU13.

Pemimpin UMNO, terutamanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang merasmikan Mesyuarat Agung MCA, tidak percaya dengan pembohongan dan penipuan MCA antaranya fitnah ke atas PAS dan Islam membenarkan bukan Islam dirogol.

Tetapi mereka terus membisu, seperti mana pemimpin MCA membisu walaupun mereka tidak percaya pembohongan UMNO bahawa DAP mahu mendirikan negara Kristian, memansuhkan pemerintahan Raja-Raja Melayu dan mendirikan republik.

Inilah “perjanjian Syaitan”. Tidak hairanlah mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir baru-baru ini membuat kenyataan – “Lebih baik syaitan yang dikenali berbanding malaikat yang tidak dikenali.”

Tidak ada pengakuan yang lebih benar tentang kewujudan 'perjanjian syaitan' UMNO/MCA menghasilkan politik paling jahat dalam sejarah negara, yang langsung tidak mempedulikan kebenaran dan keadilan, dalam keterdesakan politik UMNO/BN untuk kekal berkuasa pada PRU13.

MCA diminta berhenti belajar Islam dari Umno

Salmiyah Harun,
24 Okt 2012

KUALA LUMPUR: Lebih 200 umat Islam hari ini berhimpun secara aman  di hadapan Wisma MCA, Jalan Ampang, bagi membantah kebiadaban Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menghina agama Islam.

Mereka yang terdiri daripada perbagai latar belakang termasuk wakil NGO Islam hadir bagi menyatakan rasa tidak senang mereka dengan sikap MCA yang tidak berhenti-henti menghina agama Islam.

Himpunan hari ini adalah anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Dewan Ulamak PAS Pusat.

Mereka membawa sepanduk dan poster mengecam tindakan pemimpin MCA itu yang didakwa tidak tahu menjaga sensitiviti umat Islam.

Ianya berikutan kenyataan Soi Lek yang menyerang Islam habis-habisan dan secara berterusan.

Terbaru, beliau mendakwa negara yang melaksanakan hudud adalah negara yang paling tinggi gejala rasuahnya.

Sementara itu, PAS turut menggesa Soi Lek memohon maaf kepada seluruh umat Islam di atas kata-kata penghinaan yang telah dikeluarkan beliau.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad yang turut mengetuai himpunan itu berkata, pihaknya juga akan membawa isu itu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja dalam masa terdekat.

"Kita mendesak supaya MCA memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan kita akan bawa isu ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Bagi kami, kalau MCA nak belajar Islam, jangan belajar dengan Umno, tapi belajar dengan PAS," katanya kepada wakil media.

Seramai lima orang dilihat masuk menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil MCA di perkarangan pejabat pergerakan itu.

Selain Ustaz Idris, turut mengiringi semasa penyerahan itu termasuklah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia Khairul Faizi Ahmad Kamil, Exco Pemuda Adram Musa serta Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Turut serta dalam bantahan itu, pengarah, penerbit dan juga pelakon terkenal Adam Hamid serta bekas pelakon terkenal siri Gerak Khas, Abby Abadi.

Saturday, April 3, 2010

Ketua Wanita MCA Letak Jawatan Minggu Depan




KUALA LUMPUR: Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, hari ini menegaskan pendirian yang dibuatnya sebelum keputusan pemilihan parti Ahad lalu tidak berubah dan akan membuat satu kenyataan rasmi selepas mesyuarat pertama jawatankuasa pusat sayap pada Khamis ini.
Chew yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau terlebih dahulu perlu menjelaskan keputusannya itu kepada anggota jawatankuasa pusat sayap itu.
"Saya telah menyatakan selepas keputusan pemilihan diumumkan bahawa 'pendirian saya tidak berubah'. Saya telah nyatakan pendirian saya itu dengan jelas.
"Mengenai bila dan di mana saya patut mengumumkan keputusan saya, saya berpandangan bahawa saya tidak perlu mengikut jadual sesiapa," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Chew mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memenangi jawatan Presiden sebelum pemilihan parti diadakan pada 28 Mac lalu.
Pada pemilihan itu Dr Chua mengalahkan penyandang, Datuk Seri Ong Tee Keat, dan bekas Presiden, Tan Sri Ong Ka Ting, untuk jawatan Presiden MCA.
Chew dilihat sebagai menyokong Ka Ting.
Ketua Wanita itu juga berkata, walaupun keputusan yang akan diumum beliau bukan perkara besar, beliau masih perlu memastikan langkah yang sepatutnya telah diambil.
"Sebagai Ketua Wanita saya memikul banyak sokongan dan harapan. Mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan saya dan kami berkongsi matlamat yang sama. Justeru saya berasa perlu untuk memberikan mereka ruang bagi meluahkan pandangan sebelum saya mengumumkan keputusan saya.
"Saya tidak akan mengelak. Saya akan bertemu dengan banyak pihak yang telah meminta untuk berjumpa dengan saya. Sebaik sahaja mereka telah menyatakan pandangan mereka, saya akan jelaskan kepada mereka mengenai keputusan yang telah saya buat dan pendirian saya," katanya.
Chew berkata, beliau juga telah menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS), emel dan panggilan telefon memujuknya agar kekal dengan jawatan itu.