Monday, September 26, 2011

Bapa, anak jumpa lepas 3 tahun



KUALA TERENGGANU – Tidak ada apa yang lebih menggembirakan buat Sally atau nama penuhnya, Nur Sally Meridza Ibrahim, 14, tatkala menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Permai Hotel apabila dipertemukan dengan bapanya yang terpisah sejak tiga tahun lalu.

Sally yang menghidap penyakit autisme dihantar oleh bapanya, Ibrahim Hussin, 57, ke Taman Sinar Harapan setahun selepas ibunya Siti Fatimah Ahmad, 58, meninggal dunia akibat penyakit lemah jantung.

Menurutnya, sejak itu, dia tidak pernah berjumpa dengan lelaki yang mesra dipanggilnya `abah’ memandangkan bapanya tinggal di Jempol, Negeri Sembilan.

“Saya sangat gembira dapat jumpa abah, dua tahun saya beraya di sini (Taman Sinar Harapan) dan keinginan saya untuk berjumpa abah amat kuat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sally dan Ibrahim dipertemukan pada satu majlis khas anjuran Hotel Permai di sini dengan dihadiri pengerusi hotel itu, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Wan Abu Bakar Omar dan Pengurus Besarnya, Azman Ali.

Sementara itu, Wan Abu Bakar berkata, pihaknya berasa tersentuh dengan kisah Sally terutamanya ketika remaja perempuan itu berseorangan tanpa ditemani ahli keluarganya ketika menyambut hari raya sejak tahun lalu.

Malah katanya, ketika Sally menyertai satu acara mewarna anjuran pihaknya pada Februari lalu, dia ada melahirkan hasrat ingin berjumpa dengan bapanya.

“Sejak itu, pihak hotel cuba menjejaki Ibrahim, namun, usaha itu bukan mudah kerana dia telah berpindah dari alamat asalnya di Jempol, Negeri Sembilan selepas berkahwin lain dua tahun lalu.

“Namun, akhirnya kami berjaya menjejaki Ibrahim yang kini menetap di Muar, Johor bersama keluarga barunya,” katanya.

Menurutnya, pihak hotel juga menanggung segala perbelanjaan selain memberikan sedikit wang saku kepada Ibrahim untuk bertemu Sally sebagai salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Kami akan cuba membantu Sally dan bapanya untuk berjumpa pada masa akan datang serta penghuni Taman Sinar Harapan lain yang memerlukan bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Johor berkata, dia terharu dan berterima kasih kepada pihak hotel kerana bersusah-payah mengatur pertemuan mereka dua beranak.

“Saya memang rindukan Sally tapi apakan daya, saya tidak mampu datang ke sini kerana jauh dan saya tiada kenderaan sendiri.

“Lagipun gaji saya hanya RM800 dan cukup-cukup untuk bayar sewa serta perbelanjaan keluarga di sana,” katanya.

Menurutnya, setiap kali Syawal menjelma, dia pasti akan teringatkan anak bongsu daripada tujuh beradik itu dan pernah beberapa kali dia menelefon anak gadisnya itu untuk bertanya khabar.

“Kalau boleh tiap-tiap tahun saya nak datang sini jumpa Sally tapi saya tak mampu,” katanya.
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata hukum hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan sama sekali tidak kena mengena dengan masyarakat bukan Islam terutama DAP yang juga tiada sebab membantah undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Beliau menyifatkan DAP seperti "budak-budak kecil takutkan hantu" sedangkan hukum hudud sebenarnya lebih adil dan tidak membabitkan golongan bukan Islam.
"DAP nak keluar (gabungan pembangkang) pasal apa? Hudud untuk orang Islam dan apa hubungan dia (DAP) dengan orang Islam," katanya kepada pemberita di kediaman Menteri Besar di sini, hari ini.
Semalam, Nik Abdul Aziz berkata hukum hudud itu akan dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Kelantan walaupun mendapat tentangan daripada DAP.

Pemimpin kanan DAP dilaporkan akan meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat menjadikan negara Islam atau melaksanakan hukum Hudud di negara ini.

Di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali meminta semua pemimpin Pakatan Rakyat tidak membuat sebarang kenyataan mengenai hukum hudud sehingga mesyuarat bulanan mereka Rabu ini.

"Ia adalah persetujuan yang dicapai antara beliau dengan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifudin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke," katanya kepada pemberita.
Mustafa berkata, mesyuarat pada hari tersebut yang sepatutnya membincangkan mengenai Bajet 2012 tetapi akan meletakkan isu sensitif hukum hudud sebagai keutamaan dan satu pendirian bersama akan dibuat. - BERNAMA 

Polis contoh


Pekerja pembersihan dakwa dipukul selepas tegur polis buang sampah

Seorang pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal mendakwa dipukul oleh anggota polis ketika sedang menjalankan tugas di sebuah taman perumahan di Kodiang dekat sini pada 11.30 pagi Sabtu lepas.

Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23, berkata ketika kejadian dia sedang mengangkut sampah di kawasan itu dan dia menegur seorang lelaki yang tidak membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di situ.

"Saya hanya menegur supaya dia buang sampah ke dalam tong sampah.  Mungkin dia tidak puas hati dengan teguran saya dan dia terus tinggikan suara dan masa tu berlaku pertengkaran mulut."

"Dia juga mengugut nak tembak saya kalau dia ada pistol sebelum dia beredar dari tempat itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya kira-kira 30 minit selepas kejadian pertengkaran mulut berlaku, dia didatangi lima lelaki lain yang datang dan memukulnya tanpa sebab.

"Depa (mereka) menendang saya hingga jatuh.  Kemudian depa heret saya dengan tangan bergari bawa saya ke Balai Polis Kodiang dengan menaiki motosikal.  Sampai di balai, saya dibawa masuk ke dalam sebuah bilik dan dipukul."

"Kemudian lelaki yang bertengkar dengan saya datang ke bilik itu dan turut memukul saya sebelum saya dibawa masuk ke dalam lokap tanpa sebab.  Masa tu baru saya tahu dia (lelaki yang bertengkar dengannya) adalah anggota polis," kata mangsa.

Dia berkata dia ditahan di dalam lokap kira-kira setengah jam sebelum anggota polis tersebut melepaskannya.

"Selepas kejadian itu, saya pergi ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan dan doktor memberitahu pipi kiri, bahu dan tulang rusuk kiri ada kesan lebam.  Saya juga membuat laporan polis tentang kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Ibrahim Mohamad Yusof ketika dihubungi berkata beliau telah menerima laporan tentang kejadian itu.

"Kita telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan," katanya.

Utusan mempersenda hudud

NGO bantah kehadiran Mat Sabu






Kekecohan tercetus apabila penyokong Pas bertembung dengan sekumpulan penduduk yang majoritinya terdiri daripada bekas anggota tentera yang membantah kehadiran Mohamad Sabu untuk berceramah pada satu majlis di Ampangan, Negeri Sembilan, malam semalam.


SEREMBAN 25 Sept. – Kemarahan segelintir pihak terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu (gambar) sampai ke kemuncaknya apabila beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah kehadirannya pada sambutan Aidilfitri anjuran parti berkenaan di Ampangan dekat sini malam tadi.
Kumpulan yang dianggotai kira-kira 80 orang itu berhimpun 50 meter dari tempat majlis berlangsung sebagai tanda bantahan terhadap kehadiran pemimpin tersebut ke negeri ini berikutan kenyataannya yang menghina pejuang negara baru-baru ini.
Mereka yang berhimpun seawal pukul 8.40 malam itu turut membawa sepanduk dan melaungkan slogan mengutuk Mat Sabu.
Perhimpunan tersebut yang pada mulanya berlangsung dalam keadaan aman bertukar menjadi panas seketika apabila Mat Sabu mengambil giliran menyampaikan ceramahnya kira-kira pukul 10.15 malam.
Selang beberapa minit Mat Sabu menyampaikan ucapannya, beberapa peserta perhimpunan yang tidak berpuas hati dengan kenyataan pemimpin pembangkang itu yang masih mempertahankan pendiriannya dalam isu komunis, bertindak menyerbu majlis berkenaan.
Tindakan tersebut menyebabkan berlaku tolak-menolak dan pergelutan antara peserta perhimpunan dengan beberapa ahli Pas yang bertugas pada majlis berkenaan.
Dalam kekecohan tersebut, beberapa tetamu turut cedera ringan dipercayai akibat ditumbuk dan terkena botol minuman serta objek yang dibaling oleh kedua-dua pihak.
Namun, kekecohan yang berlaku selama kira-kira 15 minit itu terlerai dengan kehadiran anggota polis yang kemudiannya mengarahkan kedua-dua pihak agar bertenang.
Di sebalik bantahan dan suasana tegang itu, Mat Sabu masih meneruskan ceramahnya hampir satu jam sebelum majlis berkenaan berakhir kira-kira pukul 12 malam.
Dalam pada itu, jurucakap NGO terbabit, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, pihaknya mengadakan perhimpunan tersebut bagi mendesak Mat Sabu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kerana menghina pejuang kemerdekaan.
‘‘Ramai yang hadir pada perhimpunan ini adalah bekas tentera yang terguris dan rasa terhina dengan kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.
‘‘Kami mahu Mat Sabu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada anggota keselamatan serta keluarga mereka yang berjuang demi kemerdekaan negara ini,” katanya di sini semalam.
Mat Sabu sebelum ini mendakwa Mat Indera adalah wira sebenar dalam tragedi serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, bukannya anggota polis yang diserang kerana mereka bekerja dengan penjajah British.
Berikutan itu, Rabu lalu, Mat Sabu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas tuduhan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi di Bukit Kepong sewaktu menyampaikan ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor bulan lalu.

Jika hudud dilaksana, pemimpin DAP letak jawatan






KUALA LUMPUR 25 Sept. – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan pemimpin-pemimpin kanan parti itu akan meletak jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat menjadi negara Islam atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.
Beliau mengulangi kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini bahawa parti itu tidak akan menerima hudud atau idea membentuk sebuah negara Islam sekiranya mereka memperoleh kuasa ke Putrajaya.
“Jika anda berkata sebarang perkataan dalam prinsip bersama dalam Buku Jingga itu menyebut tentang hudud atau negara Islam, saya fikir bukan sahaja saya tetapi semua anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) akan meletakkan jawatan.
“Kami adalah parti yang berprinsip dan pemimpin berpegang pada prinsip, jadi tidak ada jalan bagi pemimpin yang berkata selepas memegang tampuk kuasa di Putrajaya akan melaksanakan hudud dan menubuhkan kerajaan Islam. Tidak mungkin kerana ia bukanlah dalam rangka dasar bersama.
“Pendirian kami jelas, kami tidak menerima hudud ataupun sebuah negara Islam,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu semasa merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Guan Eng berkata, mengadakan hukum hudud atau sebuah negara Islam tidak pernah disebut dalam Buku Jingga pakatan dan ketiga-tiga parti hanya bersetuju menyatukan rakyat Malaysia di bawah prinsip bersama yang antara lain bagi tujuan kebebasan, keadilan dan demokrasi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution berkata, pemimpin tertinggi pakatan pembangkang akan bermesyuarat Rabu ini untuk membincangkan rancangan Pas melaksanakan hukum hudud.
Beliau berkata, isu berkenaan akan dibincangkan di kalangan pemimpin pembangkang itu pada mesyuarat bulanan mereka di Ibu Pejabat Pas di sini yang dijadualkan bermula pukul 8 malam.
“Mesyuarat itu pada mulanya untuk membincangkan Bajet Pakatan 2012, tetapi oleh kerana ada isu lain yang perlu diberi tumpuan, adalah wajar bagi pemimpin-pemimpin berkenaan membincangkannya pada mesyuarat tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Militan Islam serang pasukan marin di Talipao

MANILA: Militan Islam dipercayai menyerang anggota keselamatan yang mengawal sebuah tapak sekolah, dalam kawasan kubu kuat pemberontak, menyebabkan 13 penyerang, dua anggota marin dan seorang penduduk, terbunuh.
Kira-kira 50 militan menyerang dua detasmen marin di kawasan berbukit di Talipao, Wilaya Sulu, waktu subuh.
Komander Marin, Kolonel Romeo Tanalgo berkata, serangan itu berlanjutan selama dua jam sebelum berjaya ditangkis. Dalam serangan itu, 13 militan dan dua marin, terbunuh.

Enam lagi anggota tentera cedera sebelum penyerang itu berpecah dan lari ke hutan, katanya.


Seorang penduduk, Miriam Jalani berkata, anak saudaranya terbunuh terkena peluru sesat. Empat lagi ahli keluarganya cedera ketika serangan.

Beberapa penduduk, melarikan diri dari rumah mereka. - AP