Friday, October 22, 2010

Polis bangang

Geram kena pintas


KOTA BHARU: Gara-gara tidak berpuas hati kenderaan dinaiki dipotong kenderaan lain, seorang anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan berkenaan hingga terkena punggung kiri seorang penumpangnya dalam kejadian di Batu 2, Jalan Kuala Krai, dekat Bunut Payung, semalam.
Kejadian jam 1 tengah malam menyebabkan mangsa berusia 20 tahun dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) oleh dua rakannya sebelum menerima rawatan pesakit luar.

Difahamkan, sebelum kejadian, kereta Perodua Kancil dinaiki mangsa bersama dua rakannya dalam perjalanan dari Machang menuju bandar ini untuk menghantar mangsa pulang ke rumahnya di Bunut Payung.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan, kenderaan berkenaan memotong Perodua Kelisa dinaiki dua anggota polis di laluan sama.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi berkata, sejurus kemudian kereta dinaiki anggota terbabit bertindak mengekori kenderaan mangsa bersama rakannya hingga ke Bunut Payung.

Menurutnya, anggota polis terbabit melepaskan beberapa das tembakan ke arah Perodua Kancil itu sebelum terkena seorang penumpang hingga memaksa pemandunya memberhentikan kenderaan di kawasan berkenaan.
“Selepas kedua-dua kenderaan berhenti, seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum kedua-dua kenderaan termasuk kenderaan mangsa beredar dari kawasan itu.

“Selepas kejadian itu, rakan mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran. Berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan, Perodua Kelisa itu milik seorang anggota polis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, semalam.

Katanya, berikutan kejadian itu, mangsa dihantar dua rakannya ke hospital akibat cedera di punggung kiri dipercayai terkena tembakan dilepaskan anggota polis itu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, anggota polis berkenaan dan rakannya dikatakan datang ke bandar ini kerana terbabit dalam satu kes perbicaraan.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya mengenal pasti seorang daripada anggota terbabit berusia 28 tahun manakala seorang lagi belum dikenal pasti dan mereka bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan, Pahang.

“Berikutan kes itu, kami menghubungi Ketua Polis Pahang mengambil tindakan disiplin terhadap anggota terbabit. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Terbabit tukar milik tanah


KLANG – Seorang ahli politik didakwa mempunyai kaitan dalam urusan tukar milik tanah dengan seorang yang dituduh membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga individu lain. 

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam mendakwa, ahli politik itu bersama adiknya mempunyai kaitan dengan tertuduh itu dalam urusan menukar hak milik tiga bidang tanah di Batu Feringhi, Pulau Pinang. 

Beliau mendakwa, ahli politik itu mempunyai syarikat dan nama tertuduh itu ter:tera dalam urusan tukar milik tanah, dianggarkan bernilai lebih RM30 juta. 

“Laporan polis telah dibuat (oleh seorang ahli politik) dan saya minta polis menyiasat dakwaan itu. 

“Saya mempunyai bukti penglibatan mereka (dalam urusan tukar milik tanah)," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kapar, semalam. 

Manikavasagam menunjuk kepada pemberita apa yang didakwa sebagai salinan senarai syarikat yang mempunyai nama ahli politik itu dan tertuduh sebagai pengarah. 

Pada 13 Oktober lalu, empat orang, iaitu N Pathmanabhan, 41, Thilaiyalagan, 19, R Matan, 20, dan R Kathavarayan, 30, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. 

Mereka didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38, peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam 30 Ogos lalu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, di sini. 

Dua hari selepas itu, U Suresh, 26, dan K Sarawanan, 19, masing-masing dipenjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah bagi empat pertuduhan menghilangkan bukti berkaitan kes itu.

Mek hidup dalam belukar




MALIM NAWAR - Di sebalik kepesatan pembangunan ekonomi di sana sini, masih ada insan hidup dengan penuh kedaifan dan tinggal di kawasan belukar berhampiran Jalan Tanjung Tualang. 

Sukar dipercayai, namun itulah hakikat kehidupan dilalui seorang lelaki warga emas yang hanya dikenali sebagai Mek. 

Berdasarkan catatan pada secebis kertas dan kad rawatan hospital miliknya, Mek dipercayai telah berusia 85 tahun dan tinggal berseorangan di kawasan belukar itu sejak beberapa tahun lalu. 

Mek juga mendakwa, dia tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan lain, selain cebisan kertas bersama kad rawatan harian dengan nombor 467214 tertera sebagai nombor kad pengenalannya yang hilang. 

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan ‘kediaman’ Mek mendapati warga emas ini sekadar tinggal di sebuah pondok yang dibina dari bahan terbuang, selain tidak mempunyai sebarang kemudahan bekalan air serta elektrik. 

Tambah memilukan apabila ditanya dari mana dia memperoleh bekalan air, Mek berkata, dia hanya menadah air hujan. 

“Saya tadah ayor (air) hujan masa (ketika) hujan lebat sebab mana nak cari ayor kat kawasan ini. 

"Bila malam saya pasang pelita. Beras ada orang bagi, saya masak. Daging ni saya beli di market (pasar) tu. Nak minum masak ayor, tu gula ada, susu ada,” katanya kepada Sinar Harian yang mengunjunginya di sini. 

Berdasarkan perbualan dengan Mek, difahamkan warga emas tersebut pernah bekerja dengan sebuah syarikat kapal korek di sini, suatu ketika dahulu. 

Sementara itu, kisah kehidupan Mek ini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshvinder Singh yang sempat meluangkan masa melihat keadaan Mek. 

Keshvinder berkata, pihaknya akan berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak bagi menyegerakan proses mendapatkan kad pengenalan, selain menyediakan rumah untuk Mek. 

“Kes Mek ini adalah yang pertama bagi Program Jom Cari yang dilancarkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Malim Nawar tidak lama dahulu. 

“Program tersebut dilancarkan bagi mencari, mengenal pasti dan seterusnya membantu individu serta keluarga yang hidup dalam serba kekurangan seperti kes Mek," katanya. 

Menurutnya, program ini akan berterusan dan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes seumpama ini khususnya di Malim Nawar diminta menghubungi DUN Malim Nawar untuk tindakan selanjutnya. 

Dr Zulkifli jadi taruhan Pakatan Rakyat





GUA MUSANG – Timbalan Dipertua Pas Kawasan Gua Musang, Dr Zulkifli Mohamed, 44 diumumka:n sebagai calon Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November ini bagi mempertahankan kerusi DUN terbabit. 


Pemilihan Zulkifli yang juga pengamal perubatan sebagai calon itu diumumkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan sewaktu menyampaikan ceramah perdana sempena sambutan 20 tahun pemerintahan kerajaan Pas Kelantan di Dataran Ilmu di sini, malam tadi. 


Hadir sama pada ceramah tersebut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, Tmbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Ngeh Koo Ham. 


Dr Zulkifli anak ketujuh daripada 10 adik beradik merupakan anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Guchil pada tahun 1974, Mohamad Awang. 


Beliau merupakan graduan perubatan Universiti Malaya pada tahun 1992 dan memiliki klinik sendiri di Chiku. 


Dr Zulkifli merupakan bekas calon Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008 yang tewas kepada calon BN, Tengku Razaleigh Hamzah. 


Pada pilihan raya umum 2004, beliau tewas kepada Tengku Razaleigh Hamzah dengan majoriti 6,598 manakala pada Pilihan Raya Umum 2008 tewas 4,394 undi bagi kerusi Parlimen Gua Musang. 


Dr Zulkifli juga pernah menyandang jawatan sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Gua Musang selama dua penggal iaitu 2005 sehingga 2009 sebelum jawatan itu disandang oleh Allahyarham Chek Hashim Sulaima. 


Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian Chek Hashim dari Pas pada 27 September lalu akibat barah usus. 


Chek Hashim mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang, Mohamad Saufi Derahman yang mendapat 3,753 undi dengan majoriti 646 dalam pilihan raya umum lalu. 


Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi kerusi tersebut pada 26 Oktober manakala pembuangan undi pada 4 November ini. 


Seramai 11,553 pengundi layak mengundi pada pilihan raya kecil itu termasuk Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan lain-lain kaum 1,889 orang.

Dilarang naik bas sekolah kerana pertahan guna hijab




2010/10/22

SYDNEY: Seorang budak perempuan Islam berusia enam tahun di Australia dilarang menaiki bas sekolahnya kerana bertindak balas terhadap murid lain yang mengejek beliau mengenai hijab atau tudung yang dipakainya. 

The Northern Territory News melaporkan budak perempuan terbabit bertindak balas dengan melondehkan seluar seorang murid yang mengganggunya, berusia tujuh tahun selepas budak lelaki berkenaan berulang kali meminta beliau menanggalkan tudungnya.Budak perempuan yang bapanya adalah pendatang Iran itu, dilarang menaiki bas sekolah selama 10 hari menyebabkan beliau tidak dapat berulang alik sejauh 60 kilometer setiap hari ke sekolahnya yang terletak di utara Outback. “Beliau baru berusia enam tahun. Hukuman ini keterlaluan.
“Kami mahu dia diberikan amaran supaya kami dapat duduk dan berbincang mengenai insiden itu tetapi mereka menghalang beliau daripada ke sekolah,” kata ibu budak perempuan terbabit, Lorraine Gerassimopoulos kepada akhbar berkenaan. 

Syarikat bas Buslink mempertahankan larangan berkenaan kerana ia menyifatkan perbuatan membuli dan mengganggu penumpang lain sebagai serius, sambil menyifatkan tindakannya mematuhi kod amalan pengangkutan sekolah Northern Territory. 

Budak perempuan terbabit berkata cemuhan itu membuatkan beliau sedih dan marah pada masa berkenaan sehingga mencetuskan tindak balas yang diambilnya. 
Insiden itu berlaku selepas ahli parlimen New South Wales di Sydney menolak larangan pemakaian burqa yang baru-baru ini dilarang di Perancis. – AFP 

Sikap tunang lukakan hati saya: Rozaliya




2010/10/22

CHUKAI: "Hati saya sudah tawar kerana sikapnya (tunang) tidak tahu menghargai dan banyak kali tindakannya melukakan hati dan perasaan saya. 

“Lebih baik berseorangan buat masa ini daripada sentiasa terluka akibat selalu berselisih faham dengan dia dan hati saya kini sudah tertutup untuk dia,” kata Rozaliya Mat Lazim, 20, gadis yang menghilang diri selama seminggu sebelum ditemui di Kuala Lumpur, kelmarin.Katanya, sebelum pergi ke Kuala Lumpur dia memberi barangan perkahwinan yang dijadual 11 November ini bersama Mohd Helmi di Kuantan, sebelum bekas tunangnya pulang ke pejabat di Cheneh Baru.“Saya kemudian pergi ke sebuah bank berdekatan mengeluarkan wang untuk membuat bayaran tempahan set pelamin dan sedar diekori dua lelaki. 

“Sebaik mengeluarkan wang kira-kira RM1,500, saya melalui jalan belakang untuk menunggu tunang, Mohd Helmi Mohd Nor di depan Pasar Besar Maidin dan ketika hendak memasukkan wang ke dalam beg tangan, tiba-tiba seorang daripada dua lelaki terbabit meragut wang itu. 

“Saya terkejut dengan kehilangan wang itu dan ketika fikiran berkecamuk saya terus berjalan sehingga sampai terminal bas. Saya kemudian membeli tiket ke Kuala Lumpur dan turun di Bukit Bintang,” katanya yang bersyukur kerana selamat pulang dan kembali ke pangkuan keluarganya.

Elaun nelayan batal jika tipu diesel, petrol




2010/10/22

Jawatankuasa pastikan agihan subsidi, sara hidup ikut dasar 

KUALA LUMPUR: Nelayan boleh hilang kelayakan menerima elaun sara hidup jika mereka menyeleweng atau menyalahgunakan diesel dan petrol subsidi, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Chua Tee Yong.Beliau berkata, kelayakan menerima elaun bagi sesuatu bulan atau tempoh tertentu juga boleh ditarik balik sekiranya pemilik bot dan pemegang kad e-Petrol serta e-Diesel disenarai hitam kerana melanggar peraturan.“Ia termasuk lesen vesel perikanan atau kad berkenaan tamat tempoh dan belum atau tidak diperbaharui, vesel perikanan rosak, tenggelam atau tidak beroperasi menangkap ikan atau pemilik vesel menjual vesel mereka kepada nelayan lain,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) di Dewan Rakyat, semalam. 

Wee ingin tahu langkah kerajaan untuk mengatasi masalah ketirisan dalam pengagihan subsidi diesel dan elaun sara hidup yang menyebabkan nelayan hilang kelayakan atau tidak menerima bantuan pada bulan tertentu. 

Chua berkata, Jawatankuasa Induk Pelaksana Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan yang ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan skim pemberian subsidi lancar dan mengikut dasar ditetapkan kerajaan. 

Katanya, pemberian subsidi adalah mengikut kuota yang ditetapkan berdasarkan jenis perkakasan yang digunakan, kelas muatan vesel dan zon operasi menangkap ikan. 
“Kementerian juga menetapkan syarat layak terima subsidi seperti memiliki lesen sah Jabatan Perikanan Malaysia atau Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah atau Jabatan Laut Sabah dan perlu mempunyai vesel perikanan yang selamat dan masih beroperasi untuk menangkap ikan,” kata Chua. – Bernama 

Amerika jual senjata kepada Arab Saudi RM192b




2010/10/22

WASHINGTON: Amerika Syarikat mengumumkan jualan terbesar senjata dalam sejarah kepada Arab Saudi bernilai AS$60 bilion (RM192 bilion) bagi menyekat Iran mengancam Riyadh selain memberi jaminan jualannya tidak menggugat keselamatan Israel. 

Jualan itu termasuk 84 jet pejuang F-15, 70 helikopter penyerang Apache, 72 helikopter taktikal Black Hawk dan 36 helikopter ringan, kata Pembantu Setiausaha bagi Hal Ehwal Politik-Tentera, Andrew Shapiro.Jualan itu termasuk 70 pesawat F-15 yang dinaikkan taraf, katanya lagi sambil menegaskan keyakinan Washington bahawa Israel tidak akan membantah.“Penilaian kami ialah jualan ini tidak akan mengurangkan keupayaan Israel dari segi kelebihan ketenteraan dan sebab itu kami teruskan,” kata Shapiro. 

Amerika juga memaklumkan jualan itu kepada Israel, kata Penolong Setiausaha Pertahanan bagi Hal Ehwal Antarabangsa, Alexander Vershbow, Penolong Setiausaha Jabatan Pertahanan mengenai hal ehwal keselamatan dunia. 

“Ada perbincangan peringkat tertinggi selain rundingan peringkat kerja. Adalah adil untuk berkata Israel tidak membantah jualan ini,” kata Alexander Vershbow, penolong setiausaha pertahanan bagi hal ehwal keselamatan antarabangsa. 

Selain itu, senjata berkenaan akan diberi secara berperingkat dalam tempoh 15 hingga 20 tahun. 
“Jualan ini akan memberi mesej kuat kepada negara rantau itu bahawa kami komited menyokong keselamatan sekutu utama termasuk di Teluk Arab dan Asia Tengah,” katanya. 

Pegawai pertahanan Amerika berkata, perjanjian itu dirunding sejak beberapa bulan lalu selepas Arab Saudi bimbang dengan keupayaan peluru berpandu Iran. 

Seorang pegawai kanan pentadbiran berkata kepada wartawan bulan lalu: “Jika anda sedar, ancaman utama adalah dari Iran.” 

Senjata canggih yang dibeli termasuk bom pintar dikawal laser, peluru berpandu JDAMS, peluru berpandu Hellfire dan Sidewinder. 

Dalam satu kenyataan, Boeing berkata, ia jangka mendapat upah AS$24 bilion (RM76.8 bilion) daripada urus niaga berkenaan. 

Seramai 77,000 pekerja Boeing dan kontraktornya terbabit dalam projek senjata itu. 

Bulan lalu, jurucakap Jabatan Negara, Philip Crowley berkata jual beli senjata besar-besaran kepada Arab Saudi dan Israel memenuhi kepentingan Amerika bagi menyekat sebarang ancaman Iran. – AFP 

550 unit penempatan Yahudi sudah siap


KARMEI TZUR, Tebing Barat 21 Okt. - Pendatang haram Yahudi mula menyambung semua pembinaan penempatan haram baru Yahudi di Tebing Barat dengan kira-kira 550 buah rumah sudah siap dibina dalam masa tiga minggu, lebih empat kali lebih pantas berbanding dua tahun lalu.
Ia merupakan satu langkah yang luar biasa sejak kerajaan rejim Zionis Israel menarik semula pembekuan pembinaan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Kebanyakan rumah tersebut didirikan di kawasan yang bakal menjadi sebahagian negara Palestin, satu trend yang boleh memusnahkan rundingan damai langsung Palestin-Israel tajaan Amerika Syarikat.
Menurut pengiraan Associated Press, sebanyak 600 hingga 700 rumah baru didirikan di tanah penduduk Palestin yang diceroboh di Tebing Barat sejak 26 September lalu, apabila Israel menarik balik tempoh pembekuan selama 10 bulan ke atas pembinaan penempatan haram baru.
"Ia merupakan satu amaran berbahaya dan merupakan petunjuk bahawa Israel tidak serius mengenai proses damai yang sepatutnya menamatkan pendudukan haram," kata jurucakap Presiden Palestin, Presiden Mahmoud Abbas di Tebing Barat.
Palestin mengugut untuk menarik diri jika pembekuan pembinaan itu tidak dilanjutkan. - AP