Monday, July 18, 2011

Polis minta orang ramai serah rakaman video perhimpunan haram


GENTING HIGHLANDS - Orang ramai diminta bekerjasama dengan polis bagi menyerahkan rakaman video berkaitan perhimpunan haram 9 Julai lepas untuk dijadikan bukti sama ada terdapat dakwaan polis bertindak ganas semasa menyuraikan perhimpunan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, kerjasama itu perlu bagi membolehkan polis mendapat gambaran sebenar kejadian yang berlaku setelah banyak pihak mendakwa kekasaran polis semasa menangani perhimpunan itu.

"Kita akan siasat secara telus, terperinci dan polis tidak akan sembunyikan apa-apa fakta yang benar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri BengkelBanteras Kecurian Kenderaaan di Malaysia di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis menubuhkan enam jawatankuasa yang diketuai seorang pegawai kanan bagi menyiasat enam dakwaan kezaliman polis ketika bertugas menangani perhimpunan tersebut.

"Siasatan akan diselesaikan secepat mungkin dan polis telah panggil beberapa saksi untuk siasat enam tohmahan itu.

"Polis ingin tahu tohmahan itu benar ataupun tidak. Bagaimanapun tohmahan yang disiasat itu tidak termasuk kejadian di Hospital Tung Shin," katanya.

Khalid berkata, sekiranya perlu polis bersedia menayangkan video mengenai kejadian sebenar yang berlaku pada perhimpunan itu.

"Sekiranya perlu kita akan siarkan video itu selepas jawatankuasa yang ditubuhkan selesai menyiapkan laporan berhubung perhimpunan itu," katanya.

Mengulas mengenai tangkapan yang dilakukan ketika perhimpunan itu, Khalid berkata tangkapan yang dilakukan adalah mengikut undang-undang, jika mereka yang ditahan tidak berpuas hati dengan tugas polis, perkara itu boleh dibawa ke mahkamah.

"Tangkapan yang dilakukan kebanyakannya kerana memakai baju Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil)...sebahagian besar tangkapan telah dibebaskan tanpa syarat dan sebahagian lagi kita siasat sebab ajak orang berhimpun.

Sementara itu, Khalid turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai bukti dakwaan kematian pemandu teksi Baharudin Ahmad, 59, akibat gas pemedih mata ketika menyertai perhimpunan itu supaya menyerahkan bukti itu kepada polis.

"Kalau ada bukti tunjukkanlah...jangan sebarkan dakwaan itu tanpa ada kesahihan," katanya.

Sebelum ini, polis mengesahkan kematian Baharudin itu yang menyertai perhimpunan haram di kawasan KLCC pada 9 Julai adalah akibat komplikasi jantung dan bukan berpunca daripada gas pemedih mata seperti didakwa pihak tertentu.- Bernama

SH

Hanya kuning ada logo Bersih dianggap salah

SEREMBAN 17 Julai – Orang ramai tidak perlu bimbang untuk memakai pakaian berwarna kuning asalkan tidak menggunakan lambang atau logo Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kerana ia adalah satu pertubuhan haram.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, mereka yang berpakaian kuning dan mempunyai lambang atau logo itu boleh ditahan pihak polis kerana arahan itu sudah lama dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Apabila arahan itu dikeluarkan, ia menjadi tanggungjawab polis untuk menguatkuasakan undang-undang yang bersangkut dengan sesuatu pertubuhan haram. Itu sebabnya kita tahan mereka berpakaian mempunyai logo atau lambang Bersih.

“Ingin saya jelaskan di sini, tidak salah jika orang ramai hendak memakai pakaian berwarna kuning. Apa yang tidak boleh adalah pakaian yang mempunyai logo atau lambang menyokong pertubuhan haram itu,” katanya.

Khalid berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program Skim Kepolisan Komuniti dan Crime Awareness Team (CAT) di Dataran Nilai di sini malam tadi yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dan timbalannya, Datuk Abd. Manan Mhd. Hassan.

Tegas Khalid, mana-mana pihak yang masih tidak berpuas hati dengan larangan berkenaan, boleh membawa perkara itu ke mahkamah untuk diputuskan.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid juga menjelaskan polis bersedia menerima sebarang tindakan saman yang dikemukakan oleh individu yang ditahan selepas terlibat dengan perhimpunan haram 9 Julai lalu.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Bot layar Perancis belayar ke Gaza

TEL AVIV 17 Julai - Sebuah bot layar Perancis yang membawa aktivis pro-Palestin sudah meninggalkan sebuah pulau di Greece dengan harapan untuk melanggar sekatan maritim Israel ke atas Genting Gaza, sekalipun rejim Zionis terus cuba menghalang mereka.

Bot layar Dignity/Karama belayar dari pulau Kastellorizo pada 8.30 malam tadi (1.30 pagi ini waktu Malaysia), menurut penganjur Flotila Pembebasan II, Free Gaza dalam satu kenyataan kepada wartawan, hari ini.

Ia membawa 10 aktivis, tiga wartawan dan tiga krew.

Enam aktivis adalah warga Perancis, termasuk anggota Parti Komunis Perancis, Jacqueline Le Corre, sementara yang lain dari Tunisia, Greece, Sweden dan Kanada.

Wartawan pula ialah Amira Hass daripada akhbar Israel, Haaretz dan seorang pemberita serta seorang jurugambar al-Jazeera.

Free Gaza dan kumpulan pro-Palestin lain merancang untuk menghantar 10 kapal membawa ratusan aktivis ke Gaza, tetapi rancangan mereka gagal apabila Greece yang tunduk kepada tekanan Israel menyekat pelayaran kapal-kapal itu dari pelabuhannya.

Bagaimanapun, bot layar Dignity/Karama yang meninggalkan Corsica pada 25 Jun lalu dan pelabuhan Sitia di Crete pada Rabu lepas dibenarkan belayar dari Kastellorizo kerana pihak berkuasa di pulau itu dikatakan bersimpati dengan Gaza memandangkan ramai penduduknya pernah berlindung di wilayah Palestin tersebut semasa Perang Dunia Kedua.

Malah, Datuk Bandar Kastellorizo, Paul Panigiris yang dilahirkan di Gaza adalah penyokong kuat Palestin, kata penganjur.

"Sepuluh penumpang di dalam bot itu menganggap diri mereka sebagai wakil seluruh Flotila Pembebasan II," menurut kenyataan Free Gaza, selepas kapal-kapal flotila itu ditahan di pelabuhan Greece.

Mereka tidak menganggap tindakan bot itu sebagai versi mini Flotila Pembebasan II, tetapi sebagai gelombang pertama yang akan disusuli dengan yang lain. - dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

NU gesa pesantren ditutup



ANGGOTA polis berkawal dalam kawasan pesantren Umar bin Khattab di Kampung Sanolo, daerah Bolo, Indonesia pada 13 Julai lalu. - AFP


JAKARTA 17 Julai - Pertubuhan Islam terbesar Indonesia, Nahdlatul Ulama menggesa supaya ditutup ekoran penglibatannya dengan komplot pengganas.

Ketua Umum Gerakan Pemuda Ansor (GP Ansor) NU, Nusron Wahid berkata, jika pesantren itu tidak ditutup, ia akan menyebabkan sekolah agama lain dianggap sebagai tempat melakukan keganasan.

Pesantren Umar bin Khattab yang terletak di Kampung Sanolo, daerah Bolo, merupakan lokasi kejadian pengeboman yang mengorbankan bendahari sekolah itu, Firdaus awal minggu ini.

Menurut polis, mereka menemui dokumen-dokumen mengenai jihad di pesantren itu, selain bom buatan sendiri, busur dan beberapa senjata tajam.

Polis telah menamakan lapan suspek dalam kes letupan itu dan menangkap pengetua pesantren tersebut, Abrori kelmarin.

Ayah kepada Abrori, Aly Ghani al Mahyubi bagaimanapun menegaskan, anak keempatnya itu telah menyerah diri kepada polis pada hari kelima selepas insiden berlaku dan bukan ditangkap polis.

Menurutnya, dia sendiri menghubungi ketua polis daerah, Arief Wahyunadi pada Khamis lalu untuk menyerahkan anaknya itu dan beberapa dokumen lain.

Beliau turut menafikan bahawa Abrori pernah mengikuti latihan tentera di Mindanao, Filipina seperti didakwa polis sebelum ini. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Siar segera video tangkis tohmahan polis ganas

KUALA LUMPUR: Polis perlu segera menyiarkan rakaman video mengenai usaha mereka menangani perhimpunan haram 9 Julai lalu yang boleh menjadi bahan bukti untuk menangkis tohmahan pembangkang yang mendakwa polis bertindak ganas.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, polis perlu bertindak pantas memandangkan media alternatif dan penulis blog propembangkang memainkan isu itu untuk memburukkan kerajaan.


“Untuk patahkan pembohongan dan putar belit pembangkang, polis sudah bersedia dengan bahan bukti, baik rakaman video, kenyataan umum dan sebagainya, eloklah dikemukakan supaya rakyat dapat menilai siapa di pihak benar,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan mesra ke Pasar Raja Bot di sini, semalam.

Katanya, rakyat pula tidak sepatutnya mendengar daripada sebelah pihak sebaliknya perlu membuat penilaian sewajarnya terhadap segala tindakan yang dilakukan pihak berkuasa dalam menangani suasana ketegangan yang dicipta sekumpulan manusia dalam perhimpunan haram itu.


Pada Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai fakta dan bukti kukuh yang akan digunakan bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mensensasikan pelbagai isu yang berlaku dalam perhimpunan haram 9 Julai lalu, termasuk rakaman sepanjang perhimpunan itu.


Muhyiddin berharap apa yang disebutkan Hishammuddin itu dapat dilakukan dengan segera oleh polis memandangkan mereka ‘tahu apa yang diputarbelitkan pembangkang dan sudah menjangkakan apa yang akan dilakukan mereka.’ Muhyiddin turut meminta supaya rakyat memahami serta menghargai tugas polis dalam menangani situasi bagi menghalang perhimpunan itu daripada berlaku seperti kesesakan lalu lintas atau langkah-langkah lain yang diambil demi menjaga keselamatan rakyat di negara ini.

“Rakyat mesti faham bila polis berdepan dengan situasi segerombolan sebegini, mereka mesti menangani secara bijaksana. Apa yang dibangkitkan pembangkang, media alternatif, Youtube adalah gambaran kezaliman,” katanya.

myMetro | Siar segera video tangkis tohmahan polis ganas

PM temui Pope

LONDON: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan lawatan kerja dua hari ke Rom mulai semalam.

Program beliau termasuk bertemu Pope Benedict XVI dan berjumpa Kardinal Tarcisio Bertone, Setiausaha Negara Vatican, di Castel Gandolfo, Rom. Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata, Perdana Menteri akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Anggota rombongan yang lain ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Mereka akan disertai Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dan ketua paderi, Tan Sri Murphy Nicholas Xavier Pakiam. Ia perjumpaan kali kedua antara seorang Perdana Menteri Malaysia dan Pope, selepas kali pertama membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pope John Paul pada Jun 2002. Semasa lawatan ke Rom, Najib akan mengambil peluang untuk bercakap mengenai inisiatif ‘Pergerakan Sederhana Global’.


Turut menjadi agenda ialah usaha bagi meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Takhta Suci, menurut kenyataan itu. Najib mengakhiri lawatan rasmi ke United Kingdom pada Jumaat. - Bernama

myMetro | PM temui Pope

‘Tindakan anak bukan derhaka’

KUALA LUMPUR: “Tindakan anak-anak tidak menjamin bapa mereka yang ditangkap khalwat tidak salah dan tidak dianggap derhaka kerana perbuatan bapa mereka itu jelas berdosa di sisi agama” kata pendakwah bebas, Datuk Hasan Mahmud al-Hafiz.

Malah katanya, tindakan itu satu langkah baik untuk memberi pengajaran kepada bapa mereka bahawa pada usia lanjut, menjadi kewajipan kepadanya untuk mengingati mati serta mempertingkatkan amal ibadat.


Beliau berkata demikian mengulas muka depan Harian Metro Sabtu lalu mengenai seorang lelaki warga emas yang ditahan kerana tuduhan berkhalwat sanggup meringkuk dalam lokap selama lebih dua bulan kerana anaknya tidak mahu membayar wang ikat jamin kekasihnya. Dalam perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Barat Daya, Balik Pulau baru-baru ini, lelaki 70-an yang bercucu itu dihadapkan ke mahkamah bersama teman wanitanya berusia 29 tahun atas tuduhan berkhalwat yang dilakukan mereka, Mei lalu. Empat anak lelaki itu yang hadir sepanjang perbicaraan dikatakan bersedia menjamin bapa mereka namun keadaan bertukar tegang apabila tertuduh meminta anaknya turut menjamin teman wanitanya. Anaknya enggan berbuat demikian kerana tidak sanggup menerima wanita itu dan keadaan semakin kecoh apabila lelaki itu membuat keputusan supaya mereka tidak menjaminnya. Hasan berkata, lebih elok bapa mereka dibiarkan meringkuk dalam lokap supaya memberi keinsafan kepadanya malah tiada gunanya mereka membela lelaki itu yang sepatutnya sudah matang dan boleh menilai sendiri baik buruk perbuatannya.

“Tindakan anak itu bertepatan tambahan pula tangkapan bapa mereka bukan disebabkan dianiayai sesiapa. Amat dikesali kerana pada usia sebegitu sepatutnya lelaki itu membuat persediaan untuk berdepan kematian dan bertemu Allah bukan sebaliknya.


“Saya berharap kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua dan jika pada usia lanjut tapi masih lagi bergelumang dosa, dia adalah golongan yang paling rugi,” katanya.


Beliau berkata, dalam hadis nabi juga turut menyebut orang yang paling cerdik dan pintar adalah orang yang sentiasa mengingati mati dan mengingati Allah.

“Orang yang mengingati mati itulah orang yang sebenarnya hidup manakala orang yang takut kepada kematian diibaratkan sudah mati sebelum mati. Justeru, kita perlu sentiasa takut dengan azab Allah yang bakal diterima kelak akibat perbuatan kita di dunia,” katanya.

myMetro | ‘Tindakan anak bukan derhaka’

Sejam di lubang


JOHOR BAHRU: “Tiba-tiba saya merasakan tubuh melayang sebelum rasa sakit di kaki dan tangan kanan serta kepala. Keadaan dalam longkang itu terlalu gelap menyebabkan saya bimbang diserang haiwan berbisa, namun saya nekad menjerit meminta tolong,” kata Siti Norzuriana Marianto, 12, menceritakan detik mencemaskan apabila terperosok dan terperangkap dalam lubang longkang pembetung sedalam kira-kira 3 meter selama sejam, di Larkin Perdana di sini, kira-kira 7 malam kelmarin.
Dia yang tinggal bersama keluarga di sebuah pangsapuri terjatuh ke dasar longkang itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari kedai berhampiran.

Berikutan itu, dia bukan saja cedera di kepala dan tangan kanan, malah patah tulang kering kaki kanan.

Mangsa yang juga murid tahun enam Sekolah Rendah Kebangsaan Tanjung Puteri di sini berkata, sebelum kejadian, dia berjalan kaki berseorangan dan tidak menyedari lubang longkang itu tiada penutup konkrit.

“Tiba-tiba, saya rasa tubuh melayang sebelum jatuh ke dasar longkang dan pada masa sama kaki kanan cedera dan sukar bergerak.


“Saya menjerit meminta pertolongan kerana tidak mampu berdiri,” katanya.

Sementara itu, seorang kaki pancing yang menyelamatkan mangsa, Mohd Bakhtiar Abd Kadir, 31, berkata, dia bersama lima rakan dalam perjalanan ke kolam berhampiran lokasi memancing ikan, sebelum terdengar jeritan meminta tolong dan mengerang kesakitan.

Menurutnya, dia dan rakan mencari punca jeritan dan terkejut melihat seorang kanak-kanak terperangkap dalam longkang kering itu. “Pada awalnya, kami menghadapi kesulitan menyelamatkan mangsa berikutan lubang itu dalam.

“Kemudian saya mengarahkan kanak-kanak itu menguatkan semangat dan cuba berdiri sebelum menjulurkan badan sambil kaki dipegang rakan.

“Sejurus mendakap mangsa, kami menariknya keluar. Kasihan melihat dia cedera di kepala dan tangan kanan, selain tulang kering kaki kanannya patah,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Pangsapuri Sri Impian, Wan Zuraimi Wan Abdul berkata, penutup konkrit lubang longkang itu hilang kira-kira dua minggu lalu dan pihaknya mengadu perkara berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).


Menurutnya, lubang itu di tengah laluan pejalan kaki dan memaklumkan pihak berkuasa kerana membahayakan pejalan kaki. “Lubang longkang itu menunggu mangsa dan kejadian itu ternyata membuktikan kebimbangan kami.


“Kami menutup lubang itu dengan batang kayu, namun berharap PBT mengambil tindakan segera,” katanya.

myMetro | Sejam di lubang

Putera Mahkota Thai sorok kereta Mercedes di hotel mewah di Munich

BERLIN: Putera mahkota Thailand mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kereta Mercedes miliknya ditahan di Jerman selepas pesawatnya disita di Lapangan Terbang Munich minggu lalu, lapor akhbar Bild am Sonntag, semalam.

Maha Vajiralongkorn, pewaris takhta diraja Thailand, menyembunyikan kereta sport Mercedes SLK miliknya di ruang letak kereta peribadi di sebuah hotel mewah di Munich di selatan Jerman di mana ia dikawal lebih daripada 10 pengawal peribadi. Anggota diraja berusia 58 tahun itu yang meluangkan masa memetik strawberi dikawasan berkenaan, turut menukar nombor plat pendaftaran Thailand di keretanya dan diganti dengan nombor pendaftaran diplomat. Selasa lalu, pihak berkuasa Jerman menyekat pesawat penerbangan Boeing 737 yang kerap dipandu putera mahkota Thailand itu daripada berlepas di Lapangan terbang Munich kerana pertikaian lama mengenai urusan perniagaan. Berikutan itu, Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya Jumaat lalu ke Jerman di mana beliau menemui Setiausaha Luar Rendah Cornelia Pieper untuk membincangkan perkara terbabit dengan Kementerian Luar Jerman. Pesawat yang sering dipandu putera mahkota itu disita atas arahan mahkamah berikutan permintaan daripada firma pembinaan Jerman yang muflis, mendakwa kerajaan Thailand masih berhutang dengan firma itu lebih daripada 30 juta euro (RM126 juta). - AFP

myMetro | Putera Mahkota Thai sorok kereta Mercedes di hotel mewah di Munich

Anjing gigit ikan jerung



ANJING itu mendekati seekor ikan jerung.


SYDNEY - Satu rakaman video menunjukkan seekor anjing menggigit ikan jerung di sebuah lokasi di Australia, lapor sebuah akhbar semalam.

Rakaman itu disiarkan di laman YouTube yang menunjukkan anjing tersebut berenang ke arah sekumpulan ikan berkenaan sebelum menyelam untuk menggigit seekor ikan jerung.

Lelaki yang merakamkan kejadian itu menyatakan dia tidak pernah melihat kejadian tersebut sebelum ini. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Timberlake setuju keluar dengan askar marin

LOS ANGELES - Penyanyi terkenal, Justin Timberlake memberitahu, dia akan memenuhi jemputan daripada seorang askar wanita marin Amerika Syarikat (AS), Koperal Kelsey De Santis yang mengajaknya menghadiri satu majlis tarian tentera marin pada November depan, lapor sebuah akhbar kelmarin.

"Saya beritahu anda bahawa saya terima. Tetapi bukan kerana dia menyebut salah satu daripada lagu saya yang saya memang sukakannya," kata Timberlake ketika wartawan mengajukan soalan adakah dia menerima jemputan itu semasa menghadiri majlis tayangan perdana filem terbaharunya, Friends With Benefits baru-baru ini.

Askar marin itu membuat undangan tersebut menerusi laman YouTube di Internet.

Timberlake kemudian menjelaskan sebab dia menerima undangan askar wanita tersebut.

"Saya tidak pernah diajak keluar. Justeru, saya berasa bangga," katanya.

Timberlake menyatakan jika jadualnya tidak padat, dia akan keluar dengan askar marin itu.

Sebelum ini, kekasih Timberlake, aktres Mila Kunis juga bersetuju untuk keluar bersama dengan seorang askar marin, Sarjan Scott Moore untuk menghadiri majlis yang sama.

Moore turut membuat undangan itu menerusi laman YouTube. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia