Saturday, May 12, 2012

Peneroka hanya peroleh 25 peratus ‘durian runtuh’ dari keuntungan Felda, kata PKR

Main - Bahasa - Peneroka hanya peroleh 25 peratus ‘durian runtuh’ dari keuntungan Felda, kata PKR @ Fri May 11 2012:


May 11, 2012
PETALING JAYA, 11 Mei — PKR hari ini mendedahkan pemberian durian runtuh yang diterima peneroka Felda hanyalah 25 peratus daripada keuntungan keseluruhan Felda selepas penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH).
Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen berkata, jumlah RM15,000 yang dikatakan “durian runtuh” hanyalah 9 peratus daripada keuntungan penuh Felda melalui penyenaraian berjumlah RM18.7 bilion
“Berdasarkan analisa kami, jumlah RM15,000 itu hanyalah 9 peratus daripada keuntungan sebenar, dan baki 15 peratus yang bakal diterima peneroka adalah dari saham Syarikat Felda Aset Holding (FAHC).
“Pemberian itu menunjukkan kerajaan tidak ikhlas untuk membantu peneroka.
“Objektif utama Felda adalah supaya kaum peneroka dapat tingkatkan ekonomi, dan taraf hidup yang baik, kalau hanya beri 9 peratus, bagaimana kehidupan peneroka hendak maju?” soal Wong ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.
Jelas Wong, daripada analisa yang dilakukannya, 112,635 peneroka Felda seharusnya diberikan 50 peratus daripada keuntungan keseluruhan Felda yang diperolehi daripada penjualan saham FGVH sebanyak 1.2 bilion, ekuiti 40 peratus dalam FGVH, dan kutipan sewa RM500 juta setahun untuk 99 tahun tempoh cagaran.
“Kenapa Felda membolot keuntungan 75 peratus dan peneroka hanya diberikan sebahagian daripada keuntungan yang sepatutnya menjadi milik mereka? Kenapa peneroka selalu diberikan tawaran yang buruk?” soalnya lagi, dan menambah peneroka seharusnya diberikan keadilan.
“Kita memang menentang penyenaraian, tapi memandangkan kerajaan dah bertekad untuk meneruskan penyenaraian, kita juga perlu pastikan peneroka mendapat imbuhan yang setimpal,” tegasnya.
Justeru, Wong mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya memberikan keadilan kepada peneroka dan berhenti daripada memihak kepada Felda.
“Felda kini sudah terlalu dipolitikkan dan peneroka perlu dilayan secara adil.
“Saya tidak faham kenapa kerajaan sendiri cuba mengambil kesempatan terhadap peneroka yang majoritinya orang Melayu.
“Kalau betul kerajaan sayangkan peneroka, beri hak mereka 50 peratus keuntungan Felda supaya hidup mereka lebih bartambah baik,” katanya lagi.

'via Blog this'

Himpunan Umno tak boleh saingi Bersih 3.0

Himpunan Umno tak boleh saingi Bersih 3.0:


Mohd Sabri Said,12 Mei 2012
KEPALA BATAS, 12 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berpendapat perhimpunan sempena Ulang tahun ke-66 Umno di Stadium Bukit Jalil malam tadi tidak boleh menyaingi perhimpunan Menuntut Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0 pada 28 April lalu.
Ini, katanya kerana peserta Bersih 3.0 datang dengan hati yang ikhlas supaya Suruhanjaya  Pilihan Raya Malaysia (SPR) bertindak adil menguruskan sistem pilihan raya berbanding Umno diangkut secara percuma dengan sedikit habuan.
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh sama sekali mengukur kedatangan orang ramai ke sambutan ulang tahun Umno itu sebagai bukti maruahnya telah pulih dan kembali mendapat sokongan rakyat jelata,
"Perhimpunan yang datang dari hati yang suci semata-mata inginkan pilihan raya bersih jauh dari perbuatan yang kotor tidak sama dengan ulang tahun Umno ke 66 di mana kedatangan mereka dari kalangan ahli Umno dan penyokong tegar yang diupah serta diangkut dari pelosok negara," jelasnya mengulas ucapan Najib semalam yang  yakin Umno sudah mendapat sokongan dengan manusia membanjiri stadium berkenaan.
Katanya, peserta Bersih 1.0, 2.0 atau pun 3.0 baru-baru ini bukan diundang dengan habuan atau kenderaan percuma tetapi  kedatangan mereka disebabkan mahukan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan SPR mempertimbangkan saranan Bersih agar pilihanraya di Malaysia berjalan dengan baik.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena yakin Umno sukar dipulihkan kerana kepimpinanya terlalu sinonim  dengan rasuah dan mengabaikan rakyat bawahan yang mengharapkan simpati.
Keadaan bertambah parah kata Mahfuz, apabila pasukan polis bertindak kejam terhadap peserta Bersih 3.0  sekaligus mencalarkan maruah dan kepercayaan orang ramai terhadap polis.
Justeru itu, ujarnya Najib terpaksa menggunakan bekas perdana menteri dan dua bekas Ketua Polis Negara sebagai talian hayat menjelang pilihan raya umum ke 13 apabila di samping menubuhkan panel penasihat bebas.

"Gunalah siapa pun rakyat kini sudah bijak menilai, ukan macam rakyat 1970-an, 1980-an atau 1990-an yang rela angguk setiap kali pilihan raya," ujarnya.

'via Blog this'

Ulama lihat ada petunjuk Putrajaya diterajui kerajaan baru

Ulama lihat ada petunjuk Putrajaya diterajui kerajaan baru:


M Faqih,12 Mei 2012
(Mohamed Daud dan Muhamad Sabu di majlis perasmian mesyuarat agung Pemuda PAS Kelantan)

KOTA BHARU: Bagi orang Melayu golongan ulama begitu disanjung dan dihormati kerana ilmu dan amalan mereka. Setiap kata-kata ulama dipegang dan dijadikan panduan.

Begitu juga dalam situasi sekarang orang ramai melihat peluang kerajaan baru menguasai Putrajaya begitu cerah berdasar kepada banyak petunjuk yang muncul hari ini.

“Saya nampak peluang untuk kerajaan lain menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 begitu cerah sekali. Namun kalau tidak berlaku seperti dijangka itu tidak tahulah saya hendak kata apa lagi.

“Lagi pun Perdana Menteri seperti memberi petunjuk PRU-13 makin hampir sekarang,” kata Datuk Mohamed Daud Iraqi, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan di majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Kelantan kali ke-53 di Dewan Utama Syabab Point di sini hari ini.

Perasmiannya disempurnakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Hadir sama Exco Pemuda PAS Pusat, Mohd Khalil Abdul Hadi, Ketua AMK Kelantan, Azihan Che Seman dan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Syabab Point merupakan bekas bangunan milik Umno Kota Bharu dan dibeli PAS Kelantan pada 2010 dengan harga RM4.5 juta. Sebelum ini bangunan itu dimiliki atas nama Ombak Baru dijual oleh bekas Ketua Umno Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.

Oleh itu Mohamed yang juga bekas anggota Exco kerajaan negeri berkata, pemuda hendaklah mempersiapkan diri dengan menimba sebanyak mungkin ilmu sehingga ke peringkat PhD.

Katanya, kalau dahulu golongan pemuda tidak ramai yang memiliki ijazah, namun sekarang keadaan sebaliknya berlaku.

“Pemuda kena membuat persiapan kerana pada masa hadapan bukan sekadar menjadi pemimpin di Kelantan sebaliknya mengisi jawatan penting di peringkat pusat.

“Jadi kena ada persiapan ilmu sebagai persediaan. Tidak boleh berpuas hati dengan kemampuan yang ada sekarang,” ujarnya.

Mengenai kehadiran begitu ramai pada perhimpunan sempena sambutan 66 tahun Umno di Bukit Jalil malam tadi, katanya Umno mampu mengerah orang ramai hadir kerana mereka ada kuasa di peringkat persekutuan.

Timbalan Presiden PAS berkata, banyak negara sekarang berubah pemerintahannya akibat kebangkitan rakyat menggunakan pentas jalan raya bagi menukar kerajaan yang zalim.

Katanya, tidak banyak negara yang berubah teraju pemerintah melalui saluran demokrasi pilihan raya kecuali India dan negara-negara di barat sahaja.

“Misalnya Indonesia pada 1998 berubah melalui jalan raya, begitu juga Filipina, Thailand dan tahun lepas di Tunisia, Libya serta Mesir.

“Bagaimanapun di Malaysia kita tetap mahu menggunakan saluran pilihan raya bagi mengubah kerajaan,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa kagum sokongan masyarakat bukan Islam kepada PAS sekarang, di mana sebelum ini ia tidak pernah terfikir.

Katanya, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memulakan perubahan itu dengan mengajak orang Cina dan bukan Islam mendekati program yang diadakan di masjid.

“Dahulu orang Cina yang tinggal di sebelah masjid pun kita tidak ajak datang, namun sekarang sudah jauh berubah apabila pemimpin masyarakat Cina sudah banyak memahami mengenai Islam,” katanya.

Sementara itu sempena muktamar tersebut Pemuda PAS Machang memenangi anugerah pengurusan terbaik keseluruhan, manakala Pemuda PAS Kubang Kerian (Pengurusan Pasti terbaik).

Pemuda Kota Bharu (Penambahan Ahli UKJ) dan Pemuda PAS Pasir Puteh menerima anugerah Pengurusan Jabatan Pilihan Raya Terbaik. Kesemua hadiah disampaikan Timbalan Presiden.

'via Blog this'

Orang Cina tidak lagi takut ugutan Umno

Orang Cina tidak lagi takut ugutan Umno:


Aslani M,12 Mei 2012
(Pak Samad Said bercakap kepada anak muda di Padang Perdana, Kota Bharu dalam program pasca Bersih 3.0)


KOTA BHARU: Orang Cina diugut Umno kononnya perniagaan mereka akan terjejas sekiranya keluar menyertai perhimpunan Bersih 1.0 yang diadakan pada November 2007.

“Sebab itulah tidak ramai orang Cina yang keluar menyokong Bersih 1.0. Ada orang Cina menerima ugutan kedai mereka akan dibakar.

“Bagaimanapun ketika Bersih 2.0 diadakan pada Julai tahun lepas, orang Cina dan bukan Melayu mulai berani sedikit.

“Namun pada Bersih 3.0 pada 28 April lalu sokongan anak muda begitu luar biasa sekali. Saya anggarkan di Jalan Masjid India ada kira-kira 50,000 anak muda Cina,” kata Pemuda DAP, Anthony Loke pada ceramah Pasca Bersih di padang perdana malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden, Datuk Husam Musa, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Ceramah tersebut menampil suatu kelainan apabila dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku beramai-ramai. Pentas ceramah pula diadakan di tengah-tengah padang.

Laluan ke pentas utama pula berdiri megah bendera parti-parti Pakatan Rakyat bersama Jalur Gemilang.

Anthony yang juga anggota parlimen Rasah berkata, pada Bersih 1.0 diadakan hanya kalangan ahli dan penyokong PAS dan PKR yang berbangsa Melayu sahaja hadir.

Dan ketika Bersih 2.0 orang bukan Melayu mulai berani datang dan Bersih 3.0 begitu luar biasa sekali apabila puluhan ribu orang Cina dan India hadir.

“Sebab itulah ada orang kata sekarang ISA sudah tidak ada, kalau dahulu orang Cina hendak datang bimbang ditangkap di bawah ISA,” ujarnya.

Beliau juga berkata, tunggak kekuatan BN sekarang hanya bergantung kepada Umno setelah parti-parti kompenan lain semakin longlai selepas pilihan raya umum 2008.

Katanya, Gerakan sudah tidak relevan lagi sejak 2008, begitu juga SUPP di Sarawak sudah tidak lagi diterima masyarakat Cina tempatan.

“Manakala MCA yang nampak kuat hanya Presidennya sahaja, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kerana dia ada jasa membikin VCD yang menggembarkan seluruh dunia sebelum ini,” ujarnya berseloroh.

Pak Samad pula berkata, kalau dahulu hanya kuasawan yang berjuang bagi menegak sebuah pemerintahan yang adil dan telus, namun sekarang turut disertai golongan sasterawan.

Menurutnya ia dibuktikan apabila Bersih 1.0 digerakkan golongan kuasawan, namun Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 bukan lagi dikepalai orang politik.

“Saya pada awalnya hadir memberi sokongan sahaja, namun gabungan 84 NGO mahu saya berada di barisan depan sebagai pengerusi bersama Bersih 3.0 bersama Datuk Ambiga,” ujarnya.

Kata beliau juga Bersih 3.0 tidak terhenti setakat 28 April lalu, sebaliknya digerakkan secara berterusan bagi membangkitkan kesedaran rakyat.

Sementara itu puluhan ribu rakyat Kelantan yang hadir malam tadi menolak pelantikan Tan Sri Hanif Omar sebagai pengerusi Penal Penasihat Bebas bagi mendapat gambaran sebenar Bersih 3.0.

Undian spotan itu dibuat Husam dengan cara mengangkat tangan bagi melihat sejauh mana rakyat Kelantan memberi komitmen terhadap panel terbabit. Kesemua yang hadir, sebahagian besar berbaju kuning mengangkat tangan.

'via Blog this'

Usul kecam kekerasan polis: 16 tentang, 1254 sokong

Usul kecam kekerasan polis: 16 tentang, 1254 sokong:


Harakahdaily,12 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Majlis Peguam semalam membuat usul tergempar mengutuk kekerasan melampau polis ketika menyuraikan perhimpunan Bersih 3.0 April 28 yang lalu di dalam satu mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Hanya 16 peguam daripada 1,270 ahli majlis peguam yang membantah resolusi tersebut.

Dalam resolusi yang diluluskan dengan cara undian itu, Majlis Peguam turut menuntut permohonan maaf daripada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara kepada orang awam dan ahli media atas tindakan polis ketika perhimpunan tersebut.

Pengerusinya Lim Chee Wee berkata kehadiran EGM kali amat memberangsangkan – melebihi mesyuarat agung tahunan (AGM)nya.

“Ini menandakan bahawa ahli majlis melihat insiden Bersih 3.0 dengan serius,” kata beliau.

Aman sehingga diganggu


Faktanya, kata Lim ialah laporan terhadap kekejaman polis, dan penggunaan gas pemedih mata dan meriam air yang berlebihan hanya selepas penghadang Dataran Merdeka diceroboh pada pukul 3 petang.

“Sebelum itu, situasi (perhimpunan) adalah seperti karnival,” kata beliau.

Lim berkata Majlis Peguam telah mengerahkan sebanyak 78 ahli untuk memerhati perhimpunan Bersih, dan hanya keadaan di Kuala Lumpur menjadi kelam-kabut manakala situasi di Kuantan, Johor Bharu, Melaka dan Ipoh aman kerana polis telah bertindak secara terkawal.

Beliau turut menambah bahawa 100,000 hadirin yang membanjiri Kuala Lumpur pada April 28 yang lalu tidak diberikan ruang dan masa secukupnya untuk bersurai di mana gas pemedih mata dan air berasid terus dihalakan pada mereka walaupun mereka dalam keadaan hendak melarikan diri.

“Ini membawa kepada satu soalan mudah. Mengapa polis masih tidak membaca dan melaksanakan apa yang dicadangkan Suhakam?” kata Lim, merujuk kepada laporan siasatan terhadap perhimpunan aman yang lepas.

Lim turut menegaskan bahawa kekerasan yang ditunjukkan polis adalah tidak memadai dengan tindakan penyokong yang mengejek mereka kerana semua peserta adalah tidak bersenjata, dan tanggungjawab menjaga keamanan adalah jatuh di bahu pihak berkuasa yang bersenjata.

Majlis Peguam Malaysia turut menuntut agar anggota polis yang melakukan keganasan dikenalpasti dan didakwa.


Pulau penal bebas kerajaan
Selain itu, Lim berkata Majlis Peguam turut memulau panel bebas yang ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat dakwaan keganasan polis dalam perhimpunan BERSIH 28 April lalu.

Majlis Peguam mencadangkan agar wakil Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat insiden Bersih 3.0 dan bukannya bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar.

'via Blog this'

Lagi desakan mansuh tol Batu 3, Sg Rasau

Lagi desakan mansuh tol Batu 3, Sg Rasau - Malaysiakini:


2:46PM Mei 12 2012
Pelbagai pihak terus mendesak kerajaan memansuhkan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Lebuh Raya Persekutuan dengan alasan ia membebankan rakyat dan tidak lagi relevan.

Ketua Koordinator JINGGA 13 Fariz Musa berkata, tindakan kerajaan Pusat pimpinan BN terus mempertahankan operasi kedua-dua plaza tol itu bertujuan memindahkan beban kos pembinaan pembesaran RM357 juta kepada rakyat.

Bagaimanapun, NGO yang dekat dengan Pakatan Rakyat itu mendakwa, keuntungan berlipat kali ganda terus dikaut daripada pungutan tol tanpa rasa bersalah.

NONE"Menjadi tanggungjawab kepada kerajaan memberikan kemudahan yang terbaik kepada rakyat termasuk lebuh raya dan bukannya bersikap membebankan rakyat yang harus membiayai setiap kos malah turut berdepan dengan kenaikan harga tol, kenaikan harga barang keperluan dan makanan termasuk kenaikan harga petrol," katanya.

Justeru, kata Fariz, JINGGA 13 menyokong penuh penganjuran perhimpunan membantah tol itu di plaza tol Batu Tiga dekat Shah Alam anjuran Pakatan Rakyat Selangor esok.

Desakan itu juga bagaimanapun menariknya dikongsi bersama lebih 200 penyokong BN yang sudah berhimpun di plaza tol Sungai Rasau bagi menuntut perkara sama semalam.

azlanPerhimpunan Pakatan Selangor esok dijadual berlangsung di plaza tol Sungai Rasau pada awal petang.

Sementara itu, Kelab Anwar Ibrahim (AIC) pula menyokong perhimpunan esok kerana mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk "penindasan dan perniagaan" atas titik peluh rakyat.
Presidennya Saifuddin Shafi Muhammad berkata, selepas hampir 20 tahun beroperasi, kadar kutipan tol di kedua-dua plaza tol itu mencecah hampir dua kali ganda dan kebenaran mengutip tol kepada konsesi diberikan sehingga 2018.

"Ini bermakna ratusan ribu rakyat terpaksa menanggung beban berterusan selama lebih kurang enam tahun lagi dan ini berlawanan dengan tanggungjawab sebenar kerajaan untuk menyediakan prasarana percuma dan berkualiti kepada rakyat," katanya.

'via Blog this'

Dapat sijil lahir lepas 12 tahun tunggu

Dapat sijil lahir lepas 12 tahun tunggu - Melaka & NS - Sinar Harian:


WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Mei 2012
Dapat sijil lahir lepas 12 tahun tunggu
Dapat sijil lahir lepas 12 tahun tunggu
PENGKALAN RAMA - Lima beradik yang gagal mendapat sijil kelahiran sejak 12 tahun lalu berikutan ibu bapa mereka tidak mampu membayar bil Hospital Melaka (HM) sebanyak RM2,000 akhirnya memperoleh dokumen itu, semalam.

Lima beradik itu, Mohd Khairul, 12; Siti Amira, 11; Siti Umaira, 8; Ahmad Ismad, 6, dan Siti Noor Farhana, 4 adalah anak kepada pasangan Anuar Abd Latif, 44, dan Narsabah Alias, 44, warga Singapura.

Selain lima anak berkenaan, pasangan itu mempunyai tujuh lagi anak berusia antara 15 hingga 21 tahun dan tinggal bersama seorang menantu serta seorang cucu di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin yang serba kekurangan di sini.

Semalam, Pengarah Pembela Barisan Nasional, Amir Hamzah Aziz bersama Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Yusof Husin, hadir ke kediaman keluarga terbabit bagi menyerahkan sijil kelahiran kepada lima beradik tersebut yang berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak JPN Putrajaya.

Hadir sama, Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Melaka, Datuk Senator Chiw Tiang Chai.

Amir berkata, pihaknya meminta kerjasama daripada pihak HM untuk mengeluarkan dokumen bukti kelahiran dan segala dokumen sokongan berkaitan untuk membantu pasangan berkenaan mendapatkan sijil kelahiran anak-anak mereka.

“Kita juga menanggung kos untuk memproses sijil kelahiran ini dan segalanya selesai dalam masa kira-kira tiga hari selepas semua dokumen lengkap dihantar ke JPN Putrajaya.

“Pembela dan JPN Melaka juga akan turut membantu Narsabah mendapatkan taraf kerakyatan jika semua syaratnya layak,” katanya.

Katanya, Pembela BN juga merancang memberikan bantuan pinjaman perniagaan kepada Anuar yang menjalankan perniagaan membaiki kereta di rumahnya bagi menambah pendapatan keluarganya.

'via Blog this'

Serbuan dibuat selepas ada bukti wujud program kristianisasi

Serbuan dibuat selepas ada bukti wujud program kristianisasi - Semasa - Sinar Harian:
SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Gereja Methodist Damansara Utama 3 Ogos tahun lepas dilakukan selepas siasatan yang dijalankan mendapati wujud program berunsur kristianisasi ke atas orang Islam di gereja itu.

Pengarah Jais Datuk Marzuki Hussin berkata siasatan selama tujuh bulan dilakukan bahagian kajian dan pembangunan jabatan itu sebelum kes tersebut diserah kepada bahagian penguatkuasaan untuk tindakan lanjut.

Saksi itu berkata beliau hanya mengetahui tentang serbuan itu pada keesokan harinya selepas dimaklumkan Penolong Ketua Pengarah Penguatkuasa Jais, Mohd Rais.

Ditanya peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun sama ada Jais membuat laporan mengenai serbuan terserbut kepada exco kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam ketika itu, Marzuki berkata pihaknya ada berbuat demikian.

Beliau juga berkata Umno tidak disebut dalam laporan itu.

Marzuki memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes saman RM10 juta Umno terhadap Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan tiga lagi berhubung penerbitan satu artikel dalam akhbar Harakah yang didakwa memfitnah parti itu.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, yang memfailkan saman itu 14 Sept tahun lepas, menamakan Mustafa, pencetak akhbar Harakah iaitu Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, penyunting akhbar berkenaan Ahmad Lutfi Othman dan wartawan Harakah Khairul Azlam Mohamad sebagai defendan. 

Antara lain, Mohd Zin mendakwa Mustafa, ketika ditemu bual Khairul Azlam pada 15 Ogos 2011, memfitnah Umno berhubung operasi serbuan Jais di gereja itu dan kenyataan Setiausaha Agung Pas itu diterbitkan dalam sebuah artikel bertajuk 'PAS akan dedah bukti, Umno main peranan operasi Jais' di halaman kedua Harakah bertarikh 19-21 Ogos 2011.

Ketika disoal peguam Mohd Asmuni Awi, yang mewakili Mustafa, sama ada beliau mengetahui gereja mana yang terlibat dalam program kristianisasi, Marzuki berkata beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang perkara itu.

Kepada soalan peguam Zulhazmi Shariff, yang mewakili Angkatan Edaran, sama ada pegawai Jais terlibat dalam mana-mana parti politik, saksi itu menjawab setahu beliau tidak ada.

Ketika ditanya mengenai penglibatannya dalam parti politik, Marzuki menjawab beliau adalah ahli Umno. 

Bagaimanapun, saksi itu berkata statusnya sebagai ahli Umno tidak mempunyai kaitan dengan serbuan Jais di gereja tersebut kerana beliau menjalankan tugas sebagai pengarah Jais yang mengikut undang-undang.

"Kami sebagai pegawai kerajaan bahagian pengurusan dan profesional, tidak dibenar aktif dalam politik dan tidak boleh memihak kepada mana-mana parti, serta mesti berkecuali. Kami tidak boleh pegang jawatan dalam mana-mana parti politik tetapi tiada halangan untuk kami sertai parti politik," katanya. 

Perbicaraan di depan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Zaki Husin disambung 14 Jun. -- Bernama
'via Blog this'

Usah jadi alat kerajaan

Usah jadi alat kerajaan - Kelantan - Sinar Harian:

Usah jadi alat kerajaan
Orang ramai yang hadir nmenyatakan bantahan kepada Rahim dan akhbar yang menyiarkan tuduhan terhadap Nik Aziz.
KOTA BHARU – Majlis Fatwa Kebangsaan perlu memainkan peranan dalam memartabatkan agama dan bukannya menjadi alat kepada kerajaan untuk menyekat perjuangan Islam.

Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud berkata, ahli Majlis Fatwa yang sepatutnya bersyukur kerana ada pihak seperti Pas memperjuangkan Islam di negara ini.

“Sudahlah tidak memberi tahu perkara sebenar kepada kerajaan, kita yang tolong perjuangkan Islam ini pula yang ditentang. Sepatutnya mereka bersyukur kerana apa yang mereka tidak berani buat, kita buat. “Jangan jadi alat kepada pemerintah yang tidak Islamik sehingga sanggup mengeluarkan fatwa tanpa merujuk kepada kedua belah pihak,” katanya ketika menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu di sini, semalam.

Majlis ringkas turut diadakan sebagai menyatakan protes terhadap kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang menuduh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘bapa kafir’ dan akhbar harian yang menyiarkan kenyataan tersebut.

Nasaruddin berkata, ketika Selangor ditadbir Barisan Nasional suatu masa dahulu, Mufti Datuk Ishak Baharon dipecat hanya kerana mempertahankan tindakan jabatan agama Islam melarang orang Melayu beragama Islam menyertai pertandingan ratu cantik.

“Kenapa Majlis Fatwa ketika itu diam membisu? Kenapa tidak mempertahankan tindakan jabatan agama? Adakah mereka tidak tahu haram hukumnya orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik? “Bagaimana pula dengan tindakan kerajaan merampas royalti minyak Kelantan, kenapa Majlis Fatwa tidak berani bersuara dalam hal ini? Kenapa tak berani kata haram apabila kerajaan meluluskan lesen judi?,” katanya.

Beliau turut kecewa kerana Majlis Fatwa tidak berbuat apa-apa apabila akhbar sewenang-wenang menyiarkan gambar berunsur seks yang dikatakan membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.

“Saksi untuk kes zina ialah empat saksi, bukan empat filem, video tidak boleh jadi ‘saksi’ dalam perundangan Islam. Penyebaran gambar seperti itu ada unsur fitnah dan mereka pun tahu ALLAH SWT menyediakan azab yang pedih untuk mereka yang suka menyebar fitnah,” katanya.

Nasaruddin kesal kerana akhbar yang menyiarkan gambar tidak senonoh itu juga digunakan pelajar di sekolah rendah di negara ini.

“Bagaimana kita nak jawab apabila pelajar atau anak kita sendiri bertanya apa yang sedang dilakukan dua individu yang dipaparkan? Inilah kerja Umno, sebar fitnah untuk menutup kelemahan mereka selepas satu persatu isu didedahkan kepada rakyat,” katanya.

'via Blog this'

Sara anak cucu dalam daif - Kelantan

Sara anak cucu dalam daif - Kelantan - Sinar Harian:

Sara anak cucu dalam daif
Mek Yam mengurut kaki anaknya, Nik Azman yang mengalami masalah strok serta lumpuh di bahagian kaki dan tangan kiri sejak enam tahun lalu.
KOTA BHARU - Seorang warga emas, terpaksa tinggal di rumah usang sejak 90 tahun lalu, bersama dua anaknya yang mengalami masalah kesihatan di samping terpaksa menyara seorang cucu walaupun dalam keadaan uzur di kampung Tanjung Wakaf Hilir, Kota Jembal, disini.

Mek Yam Raja Kecik, 84 berkata, walaupun tidak mampu berdiri lama kerana mempunyai masalah sakit lutut dan pinggang, dia perlu menguruskan dua anaknya, Nik Azman Omar, 48, yang lumpuh akibat strok sejak enam tahun lalu serta Izani Omar, 34, disahkan mengalami masalah mental.

“Keadaan saya yang uzur kadangkala menyekat pergerakan, kerana tidak mampu berdiri lama namun saya gagahkan diri memasak di dapur untuk bekalan makan dan minum cucu dan dan anak-anak.

“Walaupun terasa sakit di beberapa bahagian badan, saya tetap ke dapur untuk memasak dan menyediakan makanan bagi memastikan mereka tidak kelaparan,” katanya.

Mek Yam berkata, setakat ini, dia berbelanja ala kadar kerana hanya bergantung harap pada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima anaknya yang mengalami masalah strok di samping bantuan bulanan Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) yang diterimanya sendiri sebanyak RM300.

“Perbelanjaan hanya mengikut pada yang perlu kerana kami tidak mempunyai pendapatan lain, disebabkan kedua anak saya tidak bekerja dan saya pula terpaksa menjaga cucu yang masih bersekolah. “Harapan kami selepas ini kehidupan akan lebih baik memandangkan keadaan saya yang semakin uzur serta rumah usang yang hampir roboh itu turut mengundang risiko kepada kami sekeluarga,” katanya.

Mek Yam berkata, mereka hidup dalam ketakutan kerana atap dan dinding kayu rumah terbabit runtuh satu persatu sekiranya berlaku angin kencang dan ribut.

“Saya sering menangis memikirkan tentang keselamatan diri, anak dan cucu, terutamanya ketika hujan kerana bimbang ditimpa zink dan kayu akibat rumah yang reput dimakan anai-anai itu. “Walaupun khuatir dengan keselamatan diri, kami tidak mempunyai pilihan melainkan tinggal di rumah ini,” katanya.

Mek Yam mengharapkan agar ada pihak yang sudi membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih baik dan dapat tinggal di rumah yang lebih selesa memandangkan tanah terbabit merupakan peninggalan harta pusaka keluarga.

'via Blog this'

‘Mama baliklah kasihan adik..

‘Mama baliklah kasihan adik...’ - Utara - Sinar Harian:


12 Mei 2012
‘Mama baliklah kasihan adik...’
Sharizan Isahak, 36, menunjukkan foto isterinya, Nor Ziyanti Izhar, 30.
KANGAR – “Tersentuh hati saya sebagai bapa apabila anak bongsu saya yang berusia dua tahun, Mohammad Danial Hadif memegang gambar ibunya dan berkata mama balik la, kasihan kat adik,” kata seorang suami yang mendakwa isterinya gagal dikesan sejak 6 April lalu.

Sharizan Isahak, 36, berkata, sejak kehilangan isterinya anaknya sering kali tidak sihat, apabila tibanya waktu malam dia akan demam sambil merenggek memanggil ibunya.

Menurutnya, seminggu selepas kehilangan Nor Ziyanti Izhar, 30, dia berusaha mencari isterinya itu sehingga kini. Malah, keluarga dan kenalan terdekat isterinya yang dihubungi juga tidak mengetahui di mana isterinya berada.

Selepas seminggu Nor Ziyanti menghilangkan diri nombor telefon yang digunakan masih boleh dihubungi walaupun tidak dijawab dan selepas itu nombor telefon isterinya tidak dapat dihubungi sehingga kini.

“Saya sudah tidak tahu di mana lagi hendak mencari isteri saya, saya kasihan melihat anak-anak saya yang sering kali memanggil nama ibu mereka, sebak hati saya sebagai suami apabila perkahwinan yang dibina atas perasaan cinta jadi begini.

“Saya sayangkan isteri, saya sayangkan anak-anak dan keluarga saya, isteri saya seorang isteri yang baik sejak perkahwinan kami dia tidak pernah buat macam ini,” katanya.

Difahamkan, ibu kepada empat anak itu dikatakan hilang pada pagi 6 April lalu, selepas keluar menghantar dua anak mereka yang berusia dua dan empat tahun ke rumah pengasuh di Behor Temak, di sini.

Sharizan berkata, dia tidak tahu sebab isterinya itu hilang kerana sebelum kejadian itu, mereka tidak bergaduh. Tetapi pada malam sebelum Nor Ziyanti hilang, dia ada menemui sekeping duit kertas RM1 yang berlipat dengan beberapa helai bulu burung ditemui di dalamnya.

“Saya bertanyakan kepadanya mengenai duit terbabit kerana ia agak pelik, tetapi isteri saya pantas menjawab ia adalah ‘ibu duit’ sebelum bangun dan meninggalkan saya.

“Pada keesokannya isteri saya berkelakuan seperti biasa, mungkin isteri saya terasa hati apabila ada desas-desus yang mengatakan saya berkahwin lain, namun kenyataan itu tidak benar sama sekali, kerana saya sayangkan isteri dan anak-anak saya. Tidak terlintas dalam hati saya untuk menduakannya,” katanya.

Sharizan berkata, sejak kehilangan isterinya dia sering kali ke rumah keluarga isterinya untuk bertanyakan sama ada isterinya pulang ke rumah atau meninggalkan sebarang pesan kepada dia dan anak-anak, namun jawapan yang diterima adalah mereka tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai isterinya.

“Saya memohon maaf kepada isteri jika selama saya hidup bersamanya dia terasa hati, namun jauh di sudut hati , saya tidak berniat . Saya merayu kepada isteri supaya pulang ke pangkuan kami sekeluarga kerana kami terlalu sayangkannya.

“Saya bimbang keselamatannya entah di mana dia berada dan bagaimana keadaannya, sebagai suami saya bimbang jika sesuatu menimpanya,” katanya.

Jika orang ramai mengetahui sebarang maklumat berkenaan isterinya hubungi Sharizan di talian 017-5599500.

'via Blog this'

Datuk Zul cabar bubar Majlis Peguam

Datuk Zul cabar bubar Majlis Peguam - Nasional - Sinar Harian:

Buku kahwin campur dikesan tersebar meluas
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Datuk Zulkifli Noordin
KUANTAN – Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin mencabar Pengerusi Majlis Peguam, Lim Chee Wee meletakkan jawatan dan membubarkan pertubuhan tersebut bagi menyertai politik serta bertanding dalam pilihan raya.

Menurutnya, beliau tidak perlu berselindung di sebalik nama dan kredibiliti Majlis Peguam untuk mengelirukan rakyat serta memberi gambaran bahawa semua peguam bersetuju dengan tindakan yang mereka lakukan selama ini.

“Kalau berminat sangat nak berpolitik kepartian, saya cabar pembubaran beliau (Chee Wee) letak jawatan dan buburkan Majlis Peguam agar rakyat tidak keliru.

“Ini tidak...dia  sengaja mengelirukan rakyat kononnya semua 13,000 ahli majlis setuju dengan tindakan mereka terutama dalam membela perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini.

“Hakikatnya yang buat kerja-kerja tersebut beberapa orang sahaja, manakala ramai lagi peguam profesional lain yang tidak berminat dengan politik kepartian,” katanya kepada media selepas sesi pendengaran awam projek Lynas, di sini, semalam.

Zulkifli turut mengalu-alukan kehadiran Chee Wee untuk bertanding di kawasan Kulim Bandar Baru.

“Sekiranya dia betul-betul hendak berpolitik, boleh juga bertanding di Kulim Bandar Baru.

“Saya langsung tidak ada masalah asalkan dia betul hendak berpolitik dan rakyat boleh tentukannya,” katanya.

Katanya, Majlis Peguam sepatutnya mengajar rakyat mematuhi dan menghormati undang-undang dan bukannya melanggar seperti mana yang dilakukan dalam perhimpunan Bersih 3.0 lalu.

“Sudah terang-terang tidak penyokong Bersih 3.0 telah langgar sekatan di Dataran Merdeka itu sedangkan pihak berkuasa sudah dapat perintah mahkamah. Sepatutnya sebagai peguam, mereka mendidik rakyat tidak melakukannya.

“Mahkamah telah membuat satu kawasan larangan yang mana mengikut undang-undang melalui proses perundangan yang sah.

'via Blog this'

Najib: 'Rasa-rasa hendak hadap Agong esok'

Najib: 'Rasa-rasa hendak hadap Agong esok' - Politik - Sinar Harian:

Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-66
Ahli-ahli UMNO dari segenap pelusuk negara mula berkumpul bagi menunggu
ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menarik perhatian banyak pihak malam ini sambil berkata, beliau seolah-olah sudah mendapat inspirasi untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong "esok" bagi mendapatkan perkenan membubarkan Parlimen - ekoran sokongan dan kehadiran luar biasa ahlinya pada majlis sambutan hari ulang tahun ke-66 Umno di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
"Rasa-rasa esok saya hendak menghadap Yang di-Pertuan Agong (untuk mendapatkan perkenan)... adakah kita sudah bersedia, sudah bersedia, sudah bersedia?" kata Presiden Umno ketika spekulasi memuncak yang Parlimen akan dibubarkan dalam waktu terdekat.

Penganalisis dan pemerhati politik meramalkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan bulan depan.
Kata-kata itu disusuli dengan Najib bertanya, "boleh (kita) menang, boleh menang, boleh menang."
Perdana Menteri seterusnya bertanya kepada hadirin di Stadium Nasional sama ada bersedia untuk dipanggil PRU13 bulan depan atau pada bila-bila masa sahaja.
"Tahun ini, tahun depan, bulan Jun? (Atau) bila-bila boleh, tahun depan?" kata beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sambil memandang ke arah ahli-ahli Majlis Tertinggi yang duduk di pentas utama.
Sebahagian pemimpin dilihat memberi isyarat tidak diadakan PRU13 tahun depan, sebaliknya mahu ia disegerakan.
Ucapan beliau disiarkan menerusi stesen-stesen televisyen.
Spekulasi terbaru menyebut Najib sepatutnya menghadap Yang di-Pertuan Agong Khamis lalu. Spekulasi sebelum ini meramalkan PRU13 pada November lalu dan suku pertama tahun ini.
Ucapan Najib malam ini dilihat petanda PRU13 sudah semakin dekat, lebih-lebih lagi sambutan yang pertama kali diadakan dalam sebuah stadium.
Ucapan kira-kira 10 minit pertama beliau juga dimulakan dengan kecaman ke atas penganjur perhimpunan Bersih 3.0 yang enggan mengadakan perhimpunan di stadium.
Dalam ucapannya, Najib juga menyifatkan perhimpunan ulang tahun Umno ke-66 sebagai "satu perhimpunan raksasa, satu perhimpunan yang luar biasa, yang dianggap sebagai perlambangan kekuatan Umno."
"... perlambangan roh dan semangat, perjuangan gigih Umno. Sebab itulah perhimpunan menunjukkan semangat Umno, sokongan tidak menurun, hampir 100,000 yang berhimpun," kata Najib lagi.

'via Blog this'

Bersih 3.0: Majlis Peguam kutuk tindakan polis

Bersih 3.0: Majlis Peguam kutuk tindakan polis - Nasional - Sinar Harian:

Bersih 3.0: Majlis Peguam kutuk tindakan polis
M Lim Chee Wee bersama , Christopher Leong (dua, kiri) menunjukkan resolusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Majlis Peguam di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Majlis Peguam hari ini meluluskan usul tergempar mengutuk tindakan polis menggunakan meriam air dan gas pemedih terhadap peserta semasa perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lepas.

Usul tersebut juga menyalahkan polis kerana tidak memberikan masa yang secukup untuk perserta bersurai secara teratur dan selamat dengan mendakwa ia kemudian mendorong kepada penahanan yang tidak wajar.

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee, yang membaca sejumlah 12 usul yang diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) itu, mengulangi gesaan kepada kerajaan supaya tidak melengahkan lagi penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Seramai 1,270 ahli yang menghadiri EGM itu, 939 daripada mereka menyokong usul tersebut yang juga meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenalpasti anggota polis terbabit dalam salah laku sewaktu perhimpunan itu supaya mereka boleh didakwa.

Salah satu usul juga menyentuh keperluan bagi penganjur bertanggungjawab mengambil tindakan berpatutan bagi memastikan perhimpunan awam anjuran mereka berjalan secara aman.

Badan peguam itu juga melahirkan kebimbangan dengan laporan bahawa orang tertentu telah melintasi pagar penghadang polis walaupun pihak penganjur telah mengumumkan supaya peserta perhimpunan itu bersurai.

Media tidak dibenarkan masuk ke dewan mesyuarat EGM itu diadakan di sebuah hotel di sini dan hanya peguam yang diberikan pelekat khas dibenarkan masuk.

Mesyuarat itu berlangsung hampir dua jam setengah dengan beberapa peguam membantah usul tersebut.

Ditanya mengenai langkah susulan majlis itu, Lim memberitahu pemberita bahawa mereka akan berurus dan memberi kerjasama penuh kepada pegawai atasan PDRM, Suruhanjaya Hak Asasi manusia Malaysia (Suhakam) dan  Kementerian Dalam Negeri bagi menangani perkara itu.

Diminta mengulas pelantikan enam anggota Panel Penasihat Bebas diketuai bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar bagi mendapatkan gambar sebenar mengenai kejadian rusuhan pada hari perhimpunan, Lim berkata panel itu seharusnya diketuai oleh bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Sim berikutan kenyataan Hanif yang mengaitkan penganjur dengan beberapa elemen komunis.

Beliau juga berkata Majlis Peguam tidak akan berurusan dengan panel itu kerana kekurangan kerangka perundangan dan tidak mempunyai kuasa untuk memanggil saksi atau meminta dokumen.

Pada Rabu lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pelantikan Hanif, Shim, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub, Penasihat Undang-undang  Kumpulan Akbar Sin Chiew, Liew Peng Chuan, Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah dan pakar psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruszmi Ismail dalam panel tersebut.

Lim juga turut mendedahkan laporan akhir pasukan pemantauan Majlis Peguam bagi perhimpunan 28 April itu yang mendakwa polis telah menggunakan kekerasan untuk menyuraikan peserta.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut pihak polis memudahkan perhimpunan sama di Pulau Pinang, Kuantan, Johor Bharu dan Ipoh pada hari berkenaan. - Bernama

'via Blog this'