Wednesday, August 3, 2011

Surat cuti tanpa gaji ditarik balik, bayar gaji minimum

PUTRAJAYA 3 Ogos – Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam hari ini memberi jaminan kepada lebih 400 pekerja Dawama Sdn Bhd (Dawama) bahawa mereka masih terikat dengan syarikat percetakan itu dan surat cuti tanpa gaji yang dikeluarkan kepada mereka ditarik balik.
Beliau berkata, ini kerana tindakan Dawama yang mengarahkan pekerjanya bercuti tanpa gaji adalah tidak sah di bawah Akta Kerja 1955.
Katanya, Dawama dinasihatkan melakukan pemberhentian sementara dengan perlu membayar gaji minimum sebanyak 12 hari sebulan sementara melakukan penstrukturan semula syarikat itu.
Pekerja yang terbabit pula boleh bekerja di tempat lain sehingga kemelut syarikat itu selesai kelak, katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasca-Kabinet di sini hari ini.
""Di dalam perbincangan dengan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheik Mohd, Dawama bersetuju membayar gaji minimum sebanyak 12 hari bagi sebulan sehingga syarikat itu meneruskan perbincangan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi menstruktur semula dan memulihkan pernigaan,” katanya. – Bernama
utusan

Memecat Serta Merta Hos Rancangan Adik-Adikku(Tindakan Tak Profesional)




Sah rancangan ‘Adik & al-Quran’ di TV9 dihentikan pihak atasan sambil hosnya, Ustaz Zamri dipecat serta merta.

Dilaporkan, semuanya gara-gara kelibat gambar Ustaz Zamri terlibat dengan Himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu tersebar meluas di internet. Ini semua kerja-kerja blogger barua Umno-BN yang dengki dengan pengikut Pakatan Rakyat (PR). Mereka lebih senang bertindak sebagai batu api agar Ustaz Zamri terus dipecat. Memang bacul!

Perkara itu disahkan oleh penerbit eksekutif TV9, Ezzah Aziz Fawzy. Beliau berkata, arahan pemecatan Ustaz Zamri dan menghentikan program berkenaan dikeluarkan oleh pihak atasan Prime Works atas sebab tertentu.

“Pihak produksi telah dimaklumkan mengenai perkara ini. Makluman dalam bentuk arahan ini sudah pasti ada sebab yang kukuh mengapa ia tidak dapat diteruskan, cuma ia tidak boleh diuar-uarkan kepada umum.

“Program Adik & al Quran sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan antara program yang mendapat rating tertinggi di kalangan penonton, tetapi stesen TV lebih mementingkan isu sensitiviti dan perlu memberi penekanan kepadanya,” katanya dipetik dari Sinar Harian.

Apa mahu cakap lagi. Itulah situasi yang perlu dilalui rakyat Malaysia di sebuah negara yang dicengkam oleh pemimpin yang tidak boleh menerima kenyataan orang tidak menyokong mereka. Ustaz Zamri merupakan mangsa kerakusan pemimpin Umno-BN yang tidak boleh menerima kenyataan.

TV9 bakal menanggung akibatnya daripada penonton hasil diperalat oleh pemimpin Umno-BN yang cuba menyekat kebebasan hak memilih dan menyokong sesiapa yang dimahukan. Bagi mereka, hanya penyokong Umno-BN sahaja yang boleh hidup aman di negara ini, selain dari itu harus dipulaukan.

Dilihat, keadaan itu bukan menguntungkan TV9 atau kerajaan jumud BN, bahkan rakyat pasti akan menghukum mereka yang rakus itu dalam pilihanraya umum akan datang.

Tiada beza dengan apa yang pernah dihadapi oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya yang dipulau oleh musyrikin Quraish kerana memeluk Islam dan meninggalkan agama nenek moyang mereka. Namun Islam tetap utuh dan semakin dijulang tinggi.

Semuanya kerana bimbang pengaruh pemimpin sedia ada hilang. Pangkat pun jatuh. Inilah situasi serupa yang cuba digunakan oleh pemimpin Umno-BN terhadap musuh politiknya.
sumber :http://ijoks2009.blogspot.com

Pemberontak Papua nafi lakukan serangan


JAYAPURA 2 Ogos - Seorang komander pemberontak di wilayah Papua, Indonesia hari ini menafikan penglibatan mereka dalam satu serbuan yang mengorbankan empat orang semalam, sambil menuduh tentera bertanggungjawab.
Komander Gerakan Papua Merdeka (OPM) di daerah Keeron, Lambert Pekikir berkata, mereka berjuang untuk menuntut kemerdekaan dan tidak akan sewenang-wenangnya membunuh bangsa sendiri.
Polis Indonesia semalam menuduh OPM melakukan serangan itu dan menyatakan bendera kemerdekaan Morning Star ditemui terpacak di kawasan berhampiran.
"Saya dengan keras menafikan tuduhan ini. OPM tidak bertanggungjawab atas serangan ini kerana ibu pejabat telah mengarahkan supaya kami meletak senjata," katanya kepada AFPmelalui panggilan telefon dari lokasi yang tidak diketahui.
Seorang anggota tentera dan tiga yang lain terbunuh, manakala tujuh lagi cedera dalam serangan itu.
Pemberontak pribumi selalunya menggunakan panah menentang pemerintah Indonesia yang didakwa menindas dan mengeksploitasi bangsa mereka.
"Apabila berlaku tembakan, ia jelas dilakukan oleh tentera atau polis. Mereka menggunakan OPM sebagai kambing hitam," ujarnya.
Sementara itu, polis Jayapura, Imam Setiawan hari ini memberitahu siasatan masih dijalankan, selepas semalam menuduh OPM yang bertanggungjawab. - AFP
http://www.utusan.com.my

Kes Liong Sik: Tun Dr. M akan dipanggil beri keterangan

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes terhadap Tun Dr. Ling Liong Sik di Mahkamah Tinggi di sini yang didakwa menipu Jemaah Menteri berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membabitkan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion.
Dr. Mahathir dipanggil memberi keterangan bagi mengesahkan penerimaan surat bertarikh 29 Jun 2002 yang ditulis oleh bekas Menteri Pengangkutan itu kepada beliau untuk memaklumkan bahawa satu rundingan telah diadakan antara Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB).
Rundingan tersebut didakwa berhubung pembelian tanah berkenaan berdasarkan syarat dan terma-terma yang telah dipersetujui oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan dan diterima oleh LPK.
Surat tersebut juga didakwa membabitkan cadangan pengambilan balik tanah di Pulau Indah untuk Pembangunan Pusat Distripark Serantau di Pelabuhan Klang yang menjadi bahan bukti perbicaraan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah kepada Hakim Datuk Ahmadi Asnawi yang sedang mendengar keterangan bekas Ketua Pengarah JPPH, Datuk Sahari Mahadi, 63, selaku saksi kedua dalam perbicaraan kes itu yang masuk hari kedua hari ini.
Terdahulu, Sahari memberitahu, beliau tidak tahu-menahu mengenai kadar kupon 7.5 peratus setahun dan tempoh bayaran dinaikkan sehingga 10 peratus bagi tempoh yang ditambah dari 10 tahun ke 15 tahun.
Beliau memberitahu, perkara itu juga tidak dimaklumkan oleh dua pegawainya ketika itu, Datuk Mani Usilappan serta Faizan Abdul Rahman.
Menurut Sahari, tempoh bayaran balik dengan faedah 7.5 peratus itu sebenarnya tidak mematuhi syarat JPPH yang hanya memperakukan faedah enam peratus dengan tempoh bayaran balik 10 tahun yang termasuk dalam keseluruhan harga tanah tersebut.
'Nilai khas yang diperakui oleh JPPH adalah RM21 sahaja. Faedah 7.5 peratus bukan yang kita perakukan. (Perubahan) Syarat dan terma itu bagaimanapun tidak dimaklumkan oleh pegawai-pegawai saya,'' katanya.
Sahari berkata, selaku ketua pengarah, beliau tidak pernah mengadu tentang jumlah perolehan projek tersebut yang kos tanahnya melebihi apa yang telah diperakui dalam dokumen cadangan pembelian tanah di atas lot berkenaan seluas 830 ekar (335.8 hektar) di Pulau Indah untuk pembinaan projek pembangunan dan pusat pemindahan kapal.
''Ini kerana tiada keperluan atau permintaan daripada mana-mana pihak supaya saya menyuarakan perkara tersebut. Lagipun surat itu diklasifikasikan sebagai sulit,'' ujar saksi itu ketika disoal semula oleh Tun Abdul Majid.
Bagi projek yang berskala besar seperti itu, beliau bersetuju dengan cadangan peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Liong Sik, bahawa selepas ia diluluskan, perkara itu akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kementerian Kewangan.
Namun katanya, sepanjang memegang jawatan tersebut, beliau tidak menyuarakan tentang isi kandungan surat bertarikh 29 September 2000.
Saksi itu juga berkata, keterangannya di mahkamah mengenai perkara tersebut adalah berdasarkan apa yang diberitahu oleh Mani Usilappan selaku timbalan beliau yang menyediakan dokumen itu.
''Saya mencadangkan dan memberikan pandangan profesional iaitu pada harga RM25 dan terpulang kepada mereka sama ada mahu mengikutnya atau tidak. Dalam banyak kes lazimnya 99.9 peratus, kerajaan akan mengikut dan mematuhi nasihat JPPH. Bagi kadar harga melebihi RM25 ia bukan sahaja tidak diperakui malah tidak dinyatakan faedah 7.5 peratus.
''Sepatutnya jelas beliau, untuk tempoh 10 tahun jumlah yang perlu dibayar oleh kerajaan adalah RM1,088,456,000 berasaskan harga tanah yang dikira RM25 sekaki persegi (skp),'' katanya.
Liong Sik sedang dibicarakan atas tuduhan utama (pindaan) iaitu telah menipu Kerajaan Malaysia dengan secara sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri tentang kadar 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada pembelian tanah di Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 walhal tertuduh tahu bahawa JPPH dalam menentukan kadar tersebut telah mengambil kira kadar kupon/faedah.
Perbuatan yang didakwa dilakukan antara 25 September dan 6 November 2002 itu, telah mendorong Jemaah Menteri memberi persetujuan kepada LPK untuk membeli tanah tersebut daripada KDSB.
Beliau juga didakwa atas dua tuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH dalam menentukan nilai kadar RM25 skp telah pun mengambil kira kadar kupon/faedah.
Perbicaraan bersambung esok.
http://www.utusan.com.my

Masjid di Kanada tingkat keselamatan

MONTREAL 2 Ogos - Walaupun fanatik Kristian yang melancarkan serangan berkembar di Norway, Anders Behring Breivik telah ditahan, namun amaran dan langkah berjaga-jaga terhadap serangan anti-Islam tetap dikeluarkan di masjid-masjid di Kanada.
Sebuah pertubuhan hak asasi penganut Islam kebangsaan menasihati pihak berkuasa masjid-masjid menilai semula pendekatan keselamatan ekoran serangan Breivik, pengakuannya dan manifestonya setebal 1,500 muka surat berhubung kebenciannya terhadap Islam.
Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Amerika-Islam Kanada, Ihsaan Gardee berkata, kedatangan Ramadan menyaksikan jumlah penganut Islam pergi ke masjid meningkat dan pentadbir harus mengambil langkah berjaga-jaga dengan memeriksa tahap keselamatan dan melaporkan kepada polis tentang aktiviti mencurigakan.
Beliau berkata, pertubuhan itu tidak menjangka berlaku serangan balas terhadap masyarakat Islam secara besar-besaran, namun kejadian sebelum ini mengajar perlunya langkah berwaspada diambil.
''Berdasarkan pengalaman kami terhadap kejadian berprofil tinggi sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa, akan berlaku kesan lanjutan seperti retorik anti-Islam dan Islamofobia, selain kejadian gangguan, jenayah berunsur kebencian dan diskriminasi,'' ujarnya.
Beliau berkata, sejak 2010, masjid-masjid di Hamilton, Montreal, Vancouver dan Waterloo telah menjadi sasaran vandalisme.
Justeru, katanya, pihaknya baru-baru ini mengeluarkan alat kit keselamatan masyarakat dan ia dihantar ke masjid-masjid di seluruh negara ini.
''Ia menawarkan nasihat pembangunan hubungan positif dengan pegawai polis, ahli politik dan guru besar sekolah, selain membentuk kerjasama dengan agama lain dan kumpulan minoriti serta pembentukan jawatankuasa keselamatan.
''Ia juga menawarkan nasihat berguna dalam kehidupan seperti bagaimana untuk memotong pokok, memasang sistem lampu di luar rumah dan sistem amaran di rumah.
Jenayah berunsur kebencian di Kanada meningkat pada 2009 dengan data statistik baru-baru ini menunjukkan peningkatan 42 peratus terhadap semua komuniti termasuk penganut Islam. - Agensi
http://www.utusan.com.my

Polis China tembak mati dua suspek di Xinjiang



BEIJING 2 Ogos - Polis China menembak mati dua suspek yang diburu kerana disyaki terlibat dalam satu serangan maut di sebuah restoran di wilayah Xinjiang, barat negara ini.
Memtieli Tiliwaldi dan Turson Hasan ditembak mati oleh polis di ladang jagung di pinggir bandar Kashgar lewat semalam.
Sekumpulan penyerang menggempur sebuah restoran di Kashgar kelmarin, membunuh pemiliknya dan seorang pelayan sebelum menetak empat penduduk awam sampai mati, menurut kenyataan di laman web pentadbiran Kashgar.
Serangan itu adalah insiden keganasan terbaru yang menggemparkan Xinjiang, di mana masyarakat minoriti Uighur beragama Islam membenci kehadiran penduduk etnik Cina Han dan kawalan ketat yang dikenakan oleh Beijing.
Pegawai China mendakwa serangan tersebut dilancarkan oleh puak militan Uighur yang memperjuangkan kemerdekaan Xinjiang, dan dalangnya mendapat latihan membuat senjata dan bom di Pakistan sebelum kembali ke China.
Bagaimanapun pemimpin Uighur yang hidup dalam buangan, Rebiya Kadeer memberi gambaran berbeza mengenai ketegangan yang wujud di tanah airnya.
Kadeer, Presiden Kongres Uighur Sedunia, meragui tindakan China mengaitkan serangan itu dengan kumpulan militan antarabangsa.
"Saya berasa sedih kerana penduduk Han dan Uighur terbunuh.
"Pada masa yang sama, saya tidak boleh menyalahkan penduduk Uighur yang melancarkan serangan sedemikian kerana mereka menjadi terdesak disebabkan dasar-dasar China," kata Kadeer dalam satu kenyataan menerusi e-mel. - Reuters

iPad ganti kepala gadis jadi perhatian


UNIK...gaya Mia ketika  bersiar-siar di New York.
UNIK...gaya Mia ketika bersiar-siar di New York.


NEW YORK: Kemunculan seorang gadis - hanya dikenali sebagai Mia - bersiar-siar di jalan menarik perhatian ramai apabila kepalanya ‘digantikan’ dengan iPad.
Ketika bersiar-siar, paparan pada iPad itu menunjukkan imej ‘kepala’ Mia dalam pelbagai aksi, termasuk membaca buku dan tersenyum.

Empat iPad digunakan bagi memaparkan imej ‘kepala’ Mia melalui empat sudut, iaitu depan, belakang, kiri dan kanan.

Rakaman aksi Mia juga menarik perhatian ramai di YouTube apabila video itu mendapat kunjungan hampir 40,000 dalam tempoh kurang 24 jam.

Pada akhir klip itu, seseorang dilihat melalui depan muka Mia dan mendapati dia sedang membaca majalah wanita. - TS. metro

Papua tuntut merdeka

JAKARTA: Beribu-ribu penduduk Papua berarak ke bangunan Parlimen tempatan di ibu negeri wilayah itu semalam bagi menuntut pungutan suara diadakan bagi mendapatkan kemerdekaan.
Menurut polis, beberapa perhimpunan lebih kecil turut diadakan di beberapa bandar lain di Papua yang terletak jauh di timur Jakarta dan kaya dengan sumber petroleum.

Tunjuk perasaan sama juga diadakan di Jakarta dengan beberapa orang daripada mereka mengenakan pakaian tradisional dan menari di tengah ibu kota berkenaan.

Setiausaha Jawatankuasa Kebangsaan Papua Barat, Oktovianus Pogau, berkata ramai penduduk Papua tampil menyertai perhimpunan jalanan itu kali ini.

“Ia membuktikan betapa kuatnya kemahuan kami untuk mengadakan pungutan suara bagi menentukan nasib sendiri,” katanya.

Sejak sekian lama, tentera Indonesia mengenakan kawalan ketat ke atas Papua yang turut menempatkan kawasan rezab emas terbesar di dunia.


Selain emas dan petroleum, Papua juga memiliki simpanan tembaga yang banyak. - Reuters,mymetro

William, Kate guna tambang murah

SEMUA PENUMPANG SAMA...syarikat penerbangan Flybe tidak menyediakan tempat duduk kelas pertama.
SEMUA PENUMPANG SAMA...syarikat penerbangan Flybe tidak menyediakan tempat duduk kelas pertama.



KETEPI HAK ISTIMEWA...William dan Kate jalani prosedur biasa sebelum dibenar menaiki pesawat pulang ke Manchester.
KETEPI HAK ISTIMEWA...William dan Kate jalani prosedur 
biasa sebelum dibenar menaiki pesawat pulang ke Manchester.

LONDON: Nampaknya majlis perkahwinan menyebabkan pelbagai pihak menanggung beban kewangan.
Kesan perbelanjaan besar bukan saja dirasai pasangan pengantin, malah sanak-saudara dan tetamu mereka, termasuk di kalangan keluarga bangsawan.

Semalam, orang ramai terkejut melihat tiga anggota keluarga diraja Britain menggunakan perkhidmatan penerbangan tambang murah untuk pulang dari majlis perkahwinan Zara Phillips dan Mike Tindall di Edinburgh.

Dalam penerbangan sejam itu, penumpang pesawat Flybe terperanjat melihat pasangan Duke dan Duchess of Cambridge - Putera William dan Kate Middleton - menyertai mereka ke Manchester.

Difahamkan, pasangan diraja terbabit menaiki pesawat itu diiringi pengawal peribadi tetapi mereka tetap melalui prosedur biasa, termasuk menjalani pemeriksaan keselamatan.

Sementara itu, adik William, Putera Harry, memilih satu lagi syarikat penerbangan tambang murah, EasyJet, pulang ke London.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan di mana Harry mendarat, sama ada di Stansted, Gatwick atau Luton.Juruterbang helikopter berusia 26 tahun itu turut menjalani prosedur biasa di lapangan terbang, termasuk membayar 10 (RM48) untuk beg serta 16.50 (RM79.42) untuk tiket. Tindakan keluarga bangsawan Britain itu pasti mendapat sambutan baik di kalangan pembayar cukai yang sentiasa bersusah-payah bekerja untuk menyara hidup ketika kos barangan keperluan harian dan petrol meningkat.Ketiga zaman gawat, Ratu Elizabeth menggesa keluarganya berhemat berbelanja dan mengelak daripada menunjuk-nunjuk.Namun tidak semua bertindak begitu.Putera Andrew - dikenali kerana sikapnya suka membelanjakan wang pembayar cukai - terus menggunakan helikopter istana bagi menghadiri satu demi satu majlis pertunangan.William dan Kate dipercayai duduk bersama orang awam kerana pesawat Flybe tidak menyediakan kerusi kelas pertama. - DMhttp://www.hmetro.com.my

42 kesan cedera di tubuh Sarbaini

Doktor sahkan kecederaan mangsa konsisten dengan orang jatuh dari tempat tinggi 


KUALA LUMPUR: Pakar patalogi memberitahu Mahkamah Koroner semalam, Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Ahmad Sarbaini Mohamed meninggal dunia kerana mengalami kecederaan teruk di kepala dan kesukaran bernafas, selain mangsa jatuh tanpa sengaja daripada tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Cochrane di sini, empat bulan lalu.
Profesor Madya Dr Faridah Mohd Noor, 49, dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berkata, beliau membuat kesimpulan itu berdasarkan 42 kesan kecederaan ditemui pada badan mangsa dan hasil tinjauan di tempat kejadian, tanpa mengesyaki ada unsur dibunuh atau mangsa membunuh diri.
Katanya, mayat ditemui dalam keadaan mukanya tertangkup ke lantai memberi impak kecederaan kuat kepada otak secara keseluruhannya termasuk mengalami luka robek dan kepatahan tulang berganda yang konsisten dengan kejadian jatuh dari tempat tinggi. 

Dr Faridah berkata, kecederaan otak menyebabkan berlakunya pendarahan teruk di kepala, mulut dan hidung sekali gus menyebabkan saluran pernafasan tidak dapat berfungsi dengan betul. 

“Kejadian itu membuatkan oksigen berkurangan di dalam otak sehingga berlakunya sawan. Ia dapat dilihat hasil daripada gigitan lidah yang ditemui pada bahagian itu. 

“Gigitan itu menyebabkan selaput mata pecah dan berlakunya pendarahan teruk,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid. 
Beliau memberi keterangan di depan Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam prosiding inkues bagi menyiasat kematian Ahmad Sarbaini, 56, yang ditemui mati di gelanggang badminton bangunan SPRM, 6 April 2011. 

Dr Faridah yang berkhidmat dengan PPUKM sejak 1999 juga menolak kemungkinan mangsa membunuh diri kerana sepanjang siasatannya, beliau tidak menemui sebarang nota bunuh diri dan cubaan untuk melakukan perkara itu seperti menggelar diri sendiri malah tiada dadah dan alkohol dikesan di dalam darah mangsa. 

Saksi inkues ke-29 itu berkata, hasil pemeriksaannya di dalam bilik pantri bangunan SPRM juga tidak menunjukkan berlaku kesan pergelutan sebaliknya bilik itu berada dalam keadaan kemas dan teratur, malah tidak menemui sebarang luka tangkis (kesan mempertahankan diri) pada mayat Allahyarham. 

Menjawab soalan peguam SPRM, Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah, sama ada kecederaan dialami mangsa adalah konsisten dengan seseorang yang jatuh dari tempat tinggi sehingga tulang kaki dan tangannya patah, kepalanya berdarah teruk, jam tangan dan kasutnya tercabut, saksi itu berkata, “Ya.” 

Katanya, Allahyarham berada dalam keadaan sedar diri dan ‘spatial’ atau sedar setiap ruang di atas, bawah, kiri dan kanan badannya ketika beliau jatuh, malah suhu badannya masih suam serta badannya mengalami kekejangan apabila tiba di tempat kejadian jam 10.30 pagi. 

Ditanya jika mangsa terjatuh sebelum dipukul sehingga pengsan dan dibuang ke luar tingkap itu, saksi memberitahu pastinya ada kesan melawan kejatuhannya. 

Bagaimanapun ketika menjawab soalan peguam keluarga Sarbaini, Awtar Singh mengenai perkara sama, Dr Faridah memberi jawapan ‘mungkin’ dan berpendapat tidak mudah untuk melakukannya. 

“Mungkin (boleh dibuang ke luar tingkap). Pada pendapat saya ia tidak semudah itu sebab mesti ada kesan pergelutan di lokasi kejadian dan luka tangkis pada badan mangsa. 

Prosiding bersambung hari ini

Nafi layan macam banduan



PUTRAJAYA - Jabatan Penjara menafikan dakwaan 32 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda di Johor Bahru, bahawa mereka didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lepas.
Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar (gambar) berkata, hasil siasatan awal mendapati, dakwaan para pelajar terbabit bahawa mereka ditumbuk, dipukul dan mendapat layanan di luar daripada batasan adalah tidak benar.
Bagaimanapun katanya, siasatan terperinci sedang dijalankan dan sekiranya terdapat pihak tertentu mempunyai maklumat tambahan yang boleh membantu menyelesaikan aduan itu, bolehlah kemukakan kepada beliau di talian 03-8732 8081.
Beliau berkata, mereka juga boleh e-mel maklumat itu kepadanya di zulkifli@prison.gov.my atau menghubungi Pegawai Komunikasi Korporat Jabatan Penjara (Puan) Rusmiza Anuar di talian 03-8732 8388.
"Pihak kami akan memaklumkan hasil siasatan terperinci dari semasa ke semasa dan berharap dapat selesaikan kes pada 5 Ogos ini," katanya pada sidang akhbar bersama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud di Kementerian Dalam Negeri di sini semalam.