Thursday, August 27, 2015

Polis akan ambil tindakan tegas terhadap peserta Bersih - KPN

KHAMIS, 27 OGOS 2015 @ 5:00 PM

 KUANTAN: "Berani buat berani tanggung, kalau masih kekal untuk langgar undang-undang, kita akan ambil tindakan," tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada penganjur dan individu yang menyertai perhimpunan Bersih 4 pada hujung minggu ini. Beliau berkata, polis akan mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang kerana perhimpunan itu adalah haram kerana tidak memenuhi syarat apabila pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di sekitar ibu kota khususnya Dataran Merdeka. "Negara kita ini ada undang-undang, kalau dia (penganjur) masih lagi kekal dengan keputusan melanggar undang-undang (mengadakan perhimpunan), apa boleh kami buat. "Kami ini penguat kuasa undang-undang, tanggungjawab kami adalah mengambil tindakan mengikut undang-undang, Jangan marah polis kalau kami ambil tindakan sebab kami sudah bagi nasihat, sudah berunding, sudah beri pilihan, terima sahajalah akibatnya nanti," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini. Majlis pengurniaan pingat kepada 234 pesara polis yang pernah berkhidmat pada zaman darurat itu disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; dan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani Khalid mengulas tindakan penganjur Bersih 4 yang tetap berdegil untuk mengadakan perhimpunan pada hujung minggu ini walaupun telah diisytiharkan sebagai haram kerana tidak memenuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736). Katanya, polis khuatir perhimpunan pada hujung minggu ini akan menjadi tidak terkawal apabila satu kumpulan lain yang menggelarkan diri mereka 'Anti Bersih 4.0' turut bersama-sama berkumpul bagi menentang perhimpunan itu. "Itu sebabnya kita minta mereka tidak mengadakannya di kawasan terbuka seperti di (kawasan pusat beli-belah) Sogo dan Dataran Merdeka, kita sudah menjangka perkara sebegini, ada yang menentang, membantah. "Kalau mereka adakan perhimpunan di stadium senang dikawal, tidak mengganggu peniaga, orang ramai dan lalu lintas," katanya. Bagaimanapun, katanya, polis telahpun bersedia termasuk dari segi keanggotaan untuk menghadapi segala kemungkinan termasuk provokasi yang mungkin akan ditimbulkan oleh peserta dan penganjur perhimpunan haram itu. Ketua Polis Negara turut kesal dengan tindakan pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang dilaporkan mahu mengawasi tindakan pihak berkuasa dalam menangani peserta Bersih 4. Beliau menegaskan SUHAKAM sepatutnya mengawasi pihak yang melanggar peraturan dan bukannya pihak polis yang menegakkan undang-undang. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77697

SKMM sekat laman web sebar propaganda Bersih 4.0

KHAMIS, 27 OGOS 2015 @ 3:38 PM

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman web yang mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai menyertai perhimpunan haram Bersih 4 kerana ia boleh mengganggu-gugat kestabilan negara. Dalam satu kenyataan hari ini, SKMM menyatakan langkah itu juga susulan kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung Bersih 4.o baru-baru ini. KDN menyatakan perhimpunan Bersih 4 didapati bergiat secara tidak sah dan mencetuskan kegelisahan serta membangkitkan kebimbangan orang ramai khususnya rakyat pelbagai kaum, agama dan keturunan di negara ini. "Bersih 4.o juga didapati menyebarkan propaganda untuk menghasut rakyat bagi tujuan negatif terhadap kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu yang boleh mendatangkan keburukan," menurut SKMM. SKMM menyatakan pelbagai kegiatan Bersih 4 juga memberi kesan buruk kepada imej negara. "Bahkan, Bersih 4 boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi serta kedaulatan negara selain menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia," menurut SKMM. Sehubungan itu, SKMM mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam berkongsi maklumat di laman-laman web dan media sosial terutama kandungan yang boleh menyalahi mana-mana undang-undang. Suruhanjaya itu juga meminta orang ramai membuat aduan jika mempunyai maklumat mengenai laman web dan media sosial yang menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan kestabilan negara, ketenteraman awam dan kestabilan ekonomi. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77680

'Dunia tahu siapa Najib yang sebenar' kata Bekas Duta AS

http://darisungaiderhaka.blogspot.com/2015/08/dunia-tahu-siapa-najib-yang-sebenar.html


Bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia, John Malott berkata, masyarakat dunia kini sudahpun dapat wajah sebenar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malott berkata, imej Najib di persada antarabangsa – yang digilap oleh agensi perhubungan raya dengan kos sehingga jutaan ringgit – amat berbeza dengan wajah “korup” perdana menteri itu di ceruk rantau ini.

“Hari ini, (hasil laporan) akhbar dan majalah berprestij dunia, seluruh dunia tahu siapa Najib yang sebenar,” katanya dalam tulisan rencana disiarkan Malaysiakini hari ini.

Malott seterusnya membangkitkan mengenai kekangan kebebasan di bawah pentadbiran Najib, termasuk kekasaran polis ke atas peserta demonstrasi BERSIH dan penahanan ahli politik serta aktivis bawah Akta Hasutan.

“Dialah Najib yang korup, orang yang mengatur pembelian kapal selam Scorpene yang terlalu mahal, walau tidak berfungsi.

Dan terbaru (dialah) orang di belakang 1MDB dan jutaan ringgit yang hilang. Dialah Najib yang menerima AS$700 juta dalam akaun bank peribadinya.

“Dialah Najib, yang mana beg tangan Birkin dan rantai leher zamrud jutaan dollar isterinya menjadi bahan pendedahan tiga halaman dalam The New York Times,” kata Mallot.

Malott memerhatikan bahawa Najib sering bercakap mengenai Global Movement of Moderates, reformasi ekonomi Malaysia dan usaha untuk mengubah Malaysia untuk menjadi model dunia.

“(Itu adalah) Najib yang palsu, Najib internasional, Najib yang bercakap muluk-muluk di luar negara.
“Najib itu disokong oleh jutaan dolar dalam bentuk yuran perhubungan raya. (Najib) malah berjaya mengecek presiden Amerika Syarikat untuk bermain golf, Krismas lalu,” tulis Malott.

Tambahnya, Najib pasti akan menggunakan kaedah sama pada hujung minggu ini melalui kekerasan polis untuk menyuraikan perhimpunan aman BERSIH 4.

“Najib akan gunakan gas pemedih mata, air kimia dan belantan polis untuk mengekalkan kekuasaannya.

“Seluruh dunia akan melihat dan akhirnya sedar siapakan (Najib) yang sebenar.

“Dan Najib akan berakhir.” lapor Malaysiakini

KDN Jangka Bersih 4.0 Cetus Huru-Hara


Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2015 1:51 PM
GANAS... Sebahagian perusuh yang menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada April 2012 bertindak ganas merosakan kenderaan Polis di hadapan Sogo.

PETALING JAYA: Peserta perhimpunan Bersih 4.0 hanya dijadikan alat politik pembangkang bagi menumbangkan kerajaan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Mengambil contoh apa yang berlaku ketika perhimpunan yang sama pada 2012, Nur Jazlan berkata penyertaan parti pembangkang hingga mencetuskan kekacauan jelas merosakkan matlamat perhimpunan aman yang dijanjikan penganjur.

“Sebenarnya apa yang diperkata penganjur perhimpunan haram berkenaan sebagai hak untuk berhimpun serta mempunyai usaha murni adalah pembohongan semata-mata kerana terbukti ia didalangi ahli politik pembangkang," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Pulai itu menjangkakan perhimpunan Bersih 4.0 di ibu negara pada hujung minggu ini akan berakhir dengan insiden keganasan.

Tambah Nur Jazlan, kementeriannya tidak menolak kemungkinan bahawa akan wujud kumpulan yang akan mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 itu nanti.

“Tindakan provokasi berkenaan adalah untuk menyebabkan polis dipersalahkan kerana menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan haram itu.

"Ia sekaligus akan meningkatkan kebencian terhadap pihak berkuasa dan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu Nur Jazlan berkata, polis akan mengerahkan kira-kira 4,000 anggotanya untuk bertugas sepanjang perhimpunan berkenaan.

"Saya benar-benar berharap supaya rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan menyertai perhimpunan haram Bersih 4.0 ini kerana kemungkinan kekacauan berlaku amat tinggi. Kita tidak mengetahui latar belakang peserta demonstrasi berkenaan yang mungkin terdiri daripada kumpulan yang mahu mengambil kesempatan menimbulkan huru-hara.

"Atas sebab itu polis tidak bersetuju dengan kaedah demontrasi kali ini kerana tiada siapa yang jelas boleh dipertanggungjawabkan apabila menanggung kecederaan dan berlaku kerosakan harta benda," katanya.

Tindakan Akan Diambil Terhadap Hasut Keganasan Termasuk 'Baju Merah' - KPN


Diterbitkan: Rabu, 26 Ogos 2015 11:44 PM

PETALING JAYA: Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut atau menggalakkan keganasan, termasuk kumpulan anti-Bersih, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Kita akan ambil tindakan terhadap sesiapa yang melakukan provokasi terhadap pihak lain dan ini termasuk mereka yang dikenali sebagai baju merah," kata Ketua Polis Negara.
Khalid berkata, mana-mana pihak sama ada peserta Bersih 4.0 mahupun anti-Bersih akan berdepan dengan undang-undang sekiranya mereka terlibat dalam keganasan.
"Kita akan menjalankan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
"Keutamaan kita ialah keselamatan orang ramai. Kita tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan provokasi atau keganasan," katanya.
Khalid turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.0 pada hujung minggu ini kerana ia menyalahi undang-undang.

Umno Perlu Keluar Zon Selesa - Zahid


Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2015 8:44 AM
Ahmad Zahid berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Putrajaya di dewan Kementerian Wilayah Persekutuan pada Rabu malam. -MOHD SAHAR MISNI/ The Star

PUTRAJAYA: Masalah yang dihadapi Umno sama ada dalam organisasi atau kepimpinan adalah lumrah bagi mana-mana parti politik yang dinamik, tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno, bagaimanapun berkata cabaran berkenaan mampu ditangani parti keramat orang Melayu itu jika ia didasari dengan semangat ketaatan dan kesetiaan.

"Walaupun pemimpin datang dan pergi, ketaatan, kesetiaan sesiapa pun yang memimpin Umno tetap utuh sebagai parti orang Melayu," katanya ketika merasmikan  Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Putrajaya di sini pada Rabu malam.

Turut hadir Setiausaha Agung Umno merangkap Ketua Umno Bahagian Putrajaya,  Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga anggota Parlimen Putrajaya.

Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata putaran hayat politik Umno boleh dilihat sejak 1988 apabila parti itu diharamkan sehingga lahir parti Semangat 46 yang merupakan serpihan Umno.

Parti PAS turut menghadapi masalah sama apabila ia kini berpecah sehingga lahir satu parti baharu dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB), katanya.

Ahmad Zahid berkata adalah lumrah untuk seorang pemimpin diuji bagi melihat sejauh mana tahap daya saing, daya tahan serta daya juang mereka.

"Pemimpin diuji dan kini Presiden Umno sedang diuji. Ujian pernah dilalui pemimpin lain dalam bentuk berbeza," katanya.

Beliau berkata tidak salah untuk anggota Umno mempunyai perbezaan pendapat, namun ia perlu diraikan dengan penuh kebijaksanaan dan ketertiban bukannya secara semborono.

Ahmad Zahid berkata jawatan dalam parti tidak kekal dan hanya bersifat sementara, namun pemimpin yang dipilih seharusnya menggalas tanggungjawab serta kepercayaan yang diberikan untuk menyandang jawatan tertentu.

"Saya yakin keberadaan dalam posisi sama ada cawangan atau bahagian, negeri apatah lagi nasional adalah merupakan jawatan berbentuk sementara.

"Kita semua ahli Umno harus beristiqamah kepada suatu harakah atau gerakan yang ia merupakan keseimbangan dalam perjuangan," kata Ahmad Zahid.

Naib Presiden UMNO itu berkata bahawa 'kumpulan suara minoriti' boleh menguasai 'majoriti senyap' kerana mereka mempunyai sistem komunikasi yang cukup sistematik sehingga pembohongan dianggap sebagai kebenaran.

"Kita sebagai pemimpin dan ahli Umno tidak boleh lagi hidup dalam zon selesa sebaliknya harus keluar daripada zon itu.

"Situasi politik (sekarang) adalah berbeza dengan situasi satu dekad atau 10 tahun yang lalu, mungkin berbeza dengan sewaktu Umno diasaskan," katanya.

Ahmad Zahid turut mengingatkan kerusi Parlimen Putrajaya perlu dipertahankan Barisan Nasional (BN) pada masa-masa akan datang kerana kegagalan berbuat demikian merupakan manifestasi kepada tumbangnya Umno dan BN.

"Namun, keyakinan saya amat kental dengan gandingan kepimpinan Tengku Adnan", katanya.

17 Aktivis Mahasiswa Protes Luar Parlimen Direman Sehingga Jumaat


Diterbitkan: Rabu, 26 Ogos 2015 10:22 PM

KUALA LUMPUR: Seramai 17 aktivis mahasiswa yang ditahan polis malam Selasa kerana melakukan protes dengan berkhemah di luar bangunan Parlimen di sini, direman sehingga Jumaat ini. 
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata, mahasiswa itu termasuk tiga pelajar wanita ditahan kira-kira 10.30 malam Selasa kerana terlibat dalam protes duduk #OccupyParliament yang mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak meletak jawatan.
Antara yang ditahan ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (PMUM), Ammar Atan.
Munusamy berkata, polis memberikan masa lebih 24 jam kepada kumpulan itu sebelum meminta mereka bersurai, namun arahan itu tidak diendahkan.
Mereka kemudian dibawa ke lokap Balai Polis Jinjang untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 142(B) dan 124(B) Kanun Keseksaan.

Mat Sabu: Pas sudah tidak boleh 'reform'


WARTAWAN SINAR HARIAN
17 OGOS 2015Mat Sabu: Pas sudah tidak boleh 'reform'
Mat Sabu: Pas sudah tidak boleh 'reform' Mat Sabu ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian.

DIGELAR ‘pengkhianat parti’ antara cemuhan yang diterima oleh bekas Timbalan Presiden Pas, MOHAMAD SABU selepas beliau menubuhkan Gerakan Harapan Baru. Bagaimanapun, bagi Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, beliau ada sebab tersendiri untuk meneruskan langkah politiknya bersama Harapan Baru yang juga bermakna akan ‘menguburkan’ perjuangannya hampir 40 tahun bersama Pas.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR dan MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI serta juru foto ROSLI TALIB bersama Mat Sabu bagi memahami hala tuju beliau sebagai Pengerusi Harapan Baru serta perasaan beliau mengenai hubungannya dengan Pas yang kini tinggal sejarah.

Kenapa hendak tubuh Harapan Baru?

Pada abad 15 Hijrah, dikatakan abad kebangkitan semula Islam dan umatnya. Berlaku dua peristiwa besar di awal abad. Pertama Rusia masuk Afghanistan dan munculnya mujahidin atas nama Islam mereka lawan Rusia.

Kedua, revolusi Islam di Iran yang meletakkan tidak barat dan tidak timur, Islam yang terbaik. Mujahidin berjaya lawan Rusia dan Rusia berundur dari Afghanistan.

Tapi mujahidin gagal mentadbir. Antara kumpulan-kumpulan mujahidin berlaku pergaduhan dan pertempuran yang ada pihak mengatakan rakyat Afghanistan terbunuh lebih banyak daripada ketika Rusia menyerang.

Kegagalan itu menyebabkan munculnya Taliban yang memerintah dengan kasar dan tiada ulama muktabar dirujuk. Maka berlakulah pelbagai bentuk hukuman atas nama syariat dengan berbagai-bagai cara termasuk mengebom tempat sejarah seperti patung Buddha.

Perbuatan pemerintahan Taliban itu mengundang tentangan semua pihak termasuk Barat yang amat curiga dengan gerakan Islam. Akhirnya Taliban dijatuhkan oleh AS, sekutunya dan negara Islam yang lain.

Kononnya diberikan demokrasi di Afghanistan tetapi pertelagahan sehingga hari ini walaupun dua presiden sudah berlalu. Keamanan tidak berlaku di sana. Antara kumpulan Islam bertelagah menyebabkan negara huru-hara, rasuah begitu tinggi dan kemiskinan berleluasa. Iran terus membina kekuatan dalaman dan luaran.

Di Timur Tengah berlaku ‘Arab Spring’ di mana rejim-rejim diktator jatuh, termasuk di Tunisia dan Mesir. Ikhwanul Muslimin keluar daripada pengharaman terlibat dalam pilihan raya dan menang dalam pilihan raya di peringkat parlimen dan presiden. Ikhwan juga memerintah lebih kurang satu tahun lepas itu, ditumbangkan oleh rejim tentera.

Sebelum itu, golongan NGO membuat demonstrasi menentang pemerintahan Ikhwan. Di Timur Tengah muncul kumpulan-kumpulan kecil. Mula-mula dianggap pertembungan sesama mazhab di Syria, tetapi ia berterusan kepada pertembungan antara kumpulan-kumpulan dan satu kumpulan mengkafirkan kumpulan yang lain, dengan panggilan takfiri.

Sehingga ada tujuh lapan kumpulan di Syria, berbelas kumpulan di Iraq bertelagah satu sama lain dan mengkafirkan satu kumpulan lain yang mereka tidak suka. Timur Tengah dilanda huru hara, di Iraq, Syria, Mesir, Tunisia, Yaman, Somalia, Pakistan, Afghanistan. Boleh dikatakan dunia Islam berada dalam keadaan berkeceramuk, penyakit takfiri ini melanda gerakan Islam.

Kalau tidak dikawal ia juga akan melanda parti Islam di Malaysia. Walaupun belum lagi parah , tetapi bunga-bunganya telah ada. Oleh itu saya merasakan gerakan Islam perlu membuat tajdid (perubahan) di  Malaysia dan seluruh dunia.

Maka selepas muktamar Pas (Jun lalu), apabila sekumpulan aktivis ditolak dalam muktamar melalui perancangan yang rapi, maka ia menjadi satu peristiwa yang mendatangkan satu perkara baru. Iaitu kami merasakan perlu untuk membuat satu pembaharuan kepada parti Islam. Begitulah juga dengan gerakan Islam yang lain termasuk Ikhwan di Mesir dan di mana-mana supaya Islam ‘rahmatan lil alamin’ itu dapat diangkat kembali.

Dengan dasar Islam dikekalkan tetapi pendekatan kita akan dibuat atas sifat rahmatan lil alamin. Tajdid ini perlu dan barangkali 10 hingga 50 tahun lagi Harapan Baru ini perlu kepada tajdid baru.

Tetapi buat masa sekarang kami (Harapan Baru) perlu kepada pembaharuan dalam pendekatan Islam itu kepada orang ramai khasnya kepada bukan Muslim.

Maka inilah yang lahirnya Harapan Baru dan Harapan Baru hanya nama sementara dan darinya akan lahir sebuah parti yang sifatnya inklusif. Kita anggap tajdid kepada parti Islam yang juga diperlukan di seluruh dunia sekarang ini.

Idea penubuhan Harapan Baru daripada siapa?

Saya telah pun melihat perkara ini ketika saya berada dalam parti Islam lagi. Munculnya unsur-unsur takfiri yang meletakkan ini kumpulan liberal, ini munafiq haraki, ini peguam neraka, ini peguam syurga. Gelaran-gelaran itu mempunyai unsur awal takfiri yang kalau dibiarkan ianya merbahaya kepada parti, umat Islam dan negara.

Oleh itu, langkah untuk mengelakkan perkara ini salah satunya perlu tajdid dan pembaharuan. Inilah kita kemukakan Harapan Baru di samping kita terus merujuk kepada pandangan-pandangan tokoh terkenal seperti Hasan Al-Banna, Sayyid Qutb dan Maududi.

Dalam masa yang sama kita turut merujuk kepada ulama kontemporari seperti Yusuf Qardawi, Tariq Ramadan dan pandangan dari Barat dan Timur, yang perlu kita rujuk, di samping pandangan pada 14 Hijrah.

Dan tajdid perlu dibuat sebab satu perkara yang cukup penting saya lihat ialah akhlak Islam iaitu intergriti dilaksanakan oleh orang-orang bukan Islam. Contohnya kita ambil orang Umno, Pas yang ucap dua kalimah syahadah dan saya tidak kategorikan dasar pegangan politik mereka.

Kalau kita hendak melihat negera yang paling rendah rasuah semuanya negara bukan Islam, di Sweden, Finland, Denmark, Singapura, New Zealand. Sedangkan negara Islam yang keluarkan  graduan agama itu antara paling tinggi rasuah. Sifat integriti ada pada orang Jepun dan Barat tetapi tidak ada pada orang Islam.

Bagi saya perjuangan mencantumkan semula akidah dan akhlak ini menjadi keutamaan di abad ini, iaitu budaya Islam seperti era kerajaan Umar Abdul Aziz. Dengan kelemahan yang ada pada saya, saya nampak usaha ini perlu dipertegaskan kembali.

Kita lihat integriti Tok Guru Nik Abdul Aziz, beliau dipuji oleh semua pihak tetapi di sudut pemerintahan kita belum sampai ke tahap integriti  tertinggi. Kalau dibandingan dengan mereka yang bukan beragama Islam, intergriti mereka adalah amalan Islam seperti di negara Barat, maju, yang menyebabkan mereka meninggalkan jauh negara Islam dan orang Islam.

Sedangkan ajaran Islam paling tinggi dan mulia tetapi diamalkan oleh orang lain. Usaha ini mesti diperteguhkan.

Teruk sangatkah Pas sampai hendak tubuh Harapan Baru?

Sebelum jadi seperti negara Timur Tengah, amalan takfiri, dan sebagainya biar kita tonjolkan kepada masyarakat untuk membuat pembaharuan. Supaya ia tidak sampai ke peringkat parah, seperti mana yang berlaku di Syria, Iraq. Sehinggakan satu kumpulan dapat menyembelih satu kumpulan yang lain, menjual wanita di pasar, mengebom rumah ibadat orang lain.

Kita belum sampai ke peringkat itu. Jadi biarlah kita buat satu tajdid, bila satu keadaan belum parah lagi. Kalau tengok keadaan yang berlaku di Timur Tengah sekarang ini entah berapa tahun mereka hendak keluar daripada kemelut yang ada.

Harapan Baru bawa konsep baharu?

Ya, bahkan saya menyeru kepada gerakan Islam yang lain di seluruh dunia, kita bincang supaya ada pembaharuan. Tidak kira sama ada di Jordan, Mesir, (bawa model baharu untuk disebarkan). Misalnya di Mesir, bila
Ikhwan memerintah macam juga di sini, syariat dalam pengertian menghukum itu ikut yang awal, bukan keadilan sosial.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW menekankan syariat dan keadilan sosial. Contohnya, satu perlima rampasan perang digunakan semaksimum mungkin, hingga Nabi tiada harta ditinggalkan demi keadilan sosial.

Sedangkan di negara orang Islam, keadilan sosial tidak menjadi agenda utama. Kita ambil contoh Sweden, pelarian apabila didaftar sahaja sebagai pelarian mereka diterima di Sweden seperti ada hak untuk hidup, berlindung, rumah dan sebagainya disediakan.

Dibandingkan negara Islam melayan pelarian, dan bagaimana Nabi Muhamamad di Madinah menjaga orang yang datang ziarah termasuk diberi makan oleh Nabi di Suffah, keluarganya dan para sahabat. Model sosial ini kita lihat dalam gerakan Islam kurang dititik beratkan kalau dibandingkan dengan NGO dan negara Barat, yang praktiskan sebahagian ajaran Islam.

Inilah yang kita akan utarakan, saya sudah sebut dalam muktamar. Kenapa apabila isu kemiskinan orang mencari Arutchelvan (Parti Sosialis Malaysia), orang tidak mencari kita, ulama, ustaz. Apabila sebut isu kekotoran
orang cari Wong Tack, kenapa orang tidak mencari golongan Islam.

Sedangkan Islamlah agama yang menitik beratkan soal kebersihan, alam sekitar. Perkara inilah yang perlu kita utarakan. Sebab itu Harapan Baru mengundang semua pihak termasuk Abim, Ikram, aliran kiri, kanan muslim dan non muslim memberi pandangan dan terlibat, dan kita kekalkan dasar Islam, jadi bersifat inklusif ini yang kita tekankan.

Harapan Baru sebarkan dasar Islam yang lebih inklusif. Adakah ini bermakna parti Islam di negara ini gagal laksanakan?

Bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Saya kata kita perlu reform kerana kita tidak tekankan soal keadilan sosial, lebih kepada syariat dalam bentuk hukum. Itu bukan kita kena ketepikan. Tetapi soal ini, kita
lihat A Samad Said kenapa pilih DAP, Aziz Bari pilih DAP? Di antaranya soal integriti.

Intergriti ini adalah ajaran Islam yang paling tinggi, yang dibuat oleh pemerintah sama ada Nabi Muhammad, Umar al-Khattab, Saidina Ali dan lain-lain. Di sudut membina integriti pemerintah, inilah yang kita lihat
gerakan Islam kurang menekankan. Bahkan atas nama Islam kita lihat, di Malaysia bila mendapat kuasa terlibat dalam skandal lembu, Tabung Haji dan penyelewengan itu dan ini.

Kalau dibandingkan dengan negara bukan Islam yang dahulunya buruk tetapi mereka mengamalkan nilai Islam. Ini yang kita hendak utarakan kembali. Itu yang kita hendak tekankan semula. Saya pun sudahtunggu lama perkara ini. Saya ingat dalam 10 ke 15 tahun saya cakap mengenai perkara ini. Saya nampak mesti ada wadah baru untuk jelmakan perkara ini.

Kalau ‘reform’ tidak boleh dengan Pas? Mengapa perlu tubuh platform lain?

Saya tidak nampak boleh. Saya nampak pelantikan Majlis Syura Ulama Pas tidak ke arah untuk membuat reform. Tetapi cadangan penubuhan parti ini bukan dari saya. Saya baru balik dari Timur Tengah dan rakanrakan
saya berkumpul di Johor. Mereka panggil saya untuk bincang dan merekalah yang cadangkan penubuhan wadah baru dan saya lihat ada keperluannya.

Maknanya idea ini sebenarnya sudah lama diusahakan ketika masih bersama Pas?

Rungutan tidak berpuas hati terhadap perjalanan gerakan Islam di dunia ini memang dah lama. Malah, saya dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mempunyai pandangan yang sama dalam isu politik antarabangsa. Cuma dalam pendekatan masyarakat awam ini barangkali di situ ada sedikit perbezaan.

Sebelum ini anda kata Pas sudah tidak relevan, kenapa sebelum bertanding relevan, selepas kalah tidak?

Saya tidak bercakap seperti itu. Apabila saya kata perlu reform pergerakan Islam, mereka (wartawan) kata ia bermaksud Pas tidak relevan. Tafsiran wartawan, bukan dari mulut saya. Saya tidak menyebutnya. Saya
kata semua pergerakan Islam perlu reform termasuk Pas.

Adakah DAP punca perbalahan dalam Pas sehingga wujudnya Harapan Baru?

Saya tidak mahu komen itu, bohong semua itu. Itu pembohongan yang nyata, orang yang bankrap politik yang cakap begitu.

Harapan Baru nak tarik siapa?

Tidak kira kita akan tarik semua orang, termasuk ahli Pas, Umno, tiada parti dan non muslim. Malah, kami dapat sambutan yang amat baik dari kalangan orang bukan Islam. Kita tidak letak sasaran angka, tetapi saya
yakin ramai (sokongan). Anak-anak muda juga selalu bertanya bila mahu jadi parti.

Jadi bagaimana anda menerangkan kepada ahli Pas yang mungkin kecewa dengan penubuhan Harapan Baru?

Tidak apa, jiwa Pas saya lagi tinggi. Saya hampir 40 tahun dalam parti. Orang kata pengkhianat parti tetapi hampir 40 tahundalam parti. Mereka (ahli Pas) faham, insya-Allah. Tengoklah bila parti daftar nanti kita umpama buka ‘pintu bah’ untuk semua orang.

Adakah Harapan Baru bakal senasib dengan parti serpihan Pas yang lain?

Tidak sebab parti itu jalankan kerjasama dengan Umno. Misalnya Berjasa dengan Umno, Hamim juga dengan Umno. Kami tidak. Kami bekerjasama dengan pembangkang.

Sebagai ahli Pas yang telah menyertai parti itu sejak 1978, bagaimana anda melihat mengenai isu bai’ah dalam Pas?

Isu bai’ah ini saya tidak mahu ulas dari sudut hukum hakam sebab saya bukan berlatar belakang agama. Saya berpandu kepada pandangan Mufti Perlis, Mufti Pulau Pinang dan pandangan ulama-ulama luar dan sebagainya. Jadi, saya pandu pandangan mereka itu sebab saya sendiri tidak mahu pandangan peribadi sebab saya bukan dari bidang agama.

Selepas Harapan Baru ditubuhkan, adakah anda ada menerima sebarang ugutan atau cemuhan?

Ya, hampir setiap hari. Tetapi saya sudah ‘mangli’ (lali). Macam-macam gelaran saya terima. Paling teruk saya digelar ‘anjing DAP’. Kebanyakannya yang mengecam itu tiada nama, mereka berselindung. Tetapi saya tiada
masalah dengan kecaman itu kerana saya meletakkan kebergantungan tinggi kepada ALLAH serta yakin dengan perjuangan.

Bagaimana hubungan anda dengan pemimpin Pas yang menang dalam muktamar lalu? Masih berhubung?

Saya tidak tumpu kepada itu. Saya tumpu kepada usaha bertemu orang ramai sama ada Islam atau bukan Islam untuk minta sokongan dan pandangan. Ini yang saya buat sekarang.

Ada tak ahli atau pemimpin Pas yang mahu pujuk anda kembali ke parti itu?

Tiada. Tetapi bagi saya Pas telah meninggalkan satu perjuangan yang besar. Saya nampak jasa Pas lebih banyak kepada saya berbanding jasa saya kepada Pas. Saya berterima kasih untuk itu tetapi saya berpandangan perlu ada wadah baru.

‘Tahniah KJ, tahniah Pemuda Umno kerana berani’


TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
26 OGOS 2015Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Muhyiddin Yassin

SAYA merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno, dan barisan Exco Pemuda Umno atas kenyataan berani mengenai hal ehwal negara khususnya tentang isu yang menjejaskan imej negara seperti 1MDB dan derma politik RM 2.6 bilion kepada Perdana Menteri.

Saya amat menghormati dan menghargai pandangan berani Ketua Pemuda yang saya percaya dibuat berlandaskan prinsip kebenaran dan keadilan yang teguh berpandukan ajaran Islam.

Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih atas sokongan saudara Khairy kepada kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden Umno yang dipilih oleh para perwakilan dalam pemilihan parti.

Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan kepada sahabat-handai, ahli-ahli Umno akar umbi dan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan, dorongan dan kata-kata semangat kepada saya supaya meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran demi menyelamatkan Umno, bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Saya menyokong sepenuhnya pendirian Pemuda Umno dalam meletakkan semula Malaysia pada landasan yang betul. Saya ingin mengingatkan jika kita gagal menangani kemelut yang melanda negara kita secara berani dan berdepan atau “take the bulls by the horns”, saya bimbang Malaysia akan terjerumus ke dalam kancah negara yang gagal (failed state).

Iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, nilai ringgit yang semakin merudum, kemelut politik yang luar biasa, kenaikan harga barang dan kos sara hidup, kebanjiran warga asing yang tidak terkawal dan sentimen pelabur yang dingin terhadap Malaysia merupakan bibit-bibit yang boleh menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal.

Mudah-mudahan ALLAH SWT menjauhi kita daripada sebarang malapetaka, na’uzubillahi min zalik.

Atas kesedaran inilah saya tidak putus-putus mengingatkan rakan-rakan saya di dalam kerajaan supaya mengambil langkah-langkah pembetulan dengan segera. Sebagai Timbalan Presiden Umno, saya menyampaikan kebimbangan saya melalui platform parti, iaitu di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan ketika merasmikan mesyuarat-mesyuarat perwakilan Umno bahagian yang saya dijemput hadir sebagai perasmi.

Saya lakukan ini kerana saya sayangkan Umno. Pemimpin datang dan pergi, tetapi parti mesti terus kukuh dan utuh untuk meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Namun, malangnya terdapat segelintir individu di dalam Umno sendiri yang lantang mengkritik saya. Lumrah apabila seseorang itu tidak lagi berjawatan tinggi di dalam kerajaan, maka akan ada segelintir manusia yang tidak lagi menghormati, malah mengecam kita.

Mereka ini ada antaranya yang pernah saya bantu ketika saya berada di dalam kerajaan. Mereka menuduh saya menjadi pengkhianat, menuntut supaya saya dihadapkan ke Lembaga Disiplin dan mendesak saya supaya meletak jawatan.

Seorang Ketua Bahagian di Selangor antara yang paling kuat mendesak saya meletak jawatan sedangkan ahli di bahagiannya sendiri menuntut dia meletak jawatan. Semua ini dibuat semata-mata kerana saya bercakap benar demi untuk menyelamatkan parti.

Kepada mereka ini ingin saya ingatkan. Sejarah sumbangan saya kepada Umno cukup panjang. Saya telah berjuang di dalam Umno lebih 40 tahun. Malah, ketika Umno diharamkan dahulu, saya mengambil tanggungjawab untuk membina semula Umno di Johor sehingga Umno kembali kuat dan Johor menjadi penyumbang terbesar kemenangan Umno dan BN dalam setiap pilihan raya umum (PRU).

Saya juga tetap setia bersama parti ketika Umno menghadapi pelbagai krisis. Jadi, janganlah terlalu mudah menuduh saya sebagai pengkhianat dan mendesak saya meletak jawatan.

Namun, semua ini tidak akan mematahkan semangat saya, apa lagi melemahkan daya juang saya untuk terus membela maruah agama, bangsa dan negara.

Saya yakin bangsa Melayu tidak akan menjadi bangsa yang dihina selagi kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, menjadikan prinsip kebenaran dan keadilan sebagai panduan dalam kehidupan dan dipimpin oleh pemimpin yang amanah dan bertakwa kepada Tuhan.

Kepada ALLAH saya berserah.


Tan Sri Muhyiddin Yassin
TIMBALAN PRESIDEN UMNO
* Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

Tun M gesa Zahid dedah identiti penderma


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 OGOS 2015Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad

SHAH ALAM - Identiti individu dari Timur Tengah yang didakwa memberi derma RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui akaun peribadinya perlu didedahkan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan telah bertemu ketua pegawai pelaburan daripada penderma serta pemegang amanah keluarga berkenaan.

“Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) telah bertemu dengan wakil penderma. Kemudian beliau perlu buktikan bahawa individu tersebut mempunyai sejumlah besar wang untuk diberikan kepada Malaysia dan negara-negara lain.‎

“Apakah sumber wang itu? Apa perniagaan yang dibuat? Bank manakah yang digunakan? Tunjukkan akaun di bank, cek yang dikeluarkan, terutama RM2.6 bilion, dan bank penerima semestinya memegang cek tersebut,” kata Dr Mahathir dalam blognya, semalam.

Dr Mahathir berkata, kesemua maklumat itu berkemungkinan telah disahkan oleh pasukan khas yang menyiasat isu tersebut.

“Tetapi pasukan petugas khas telah dimansuhkan. Sekarang ini SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dikatakan masih menyiasat RM2.6 bilion. Jika Najib serius untuk menyiasat RM2.6 bilion di Ambank, beliau perlu membentuk semula pasukan petugas khas yang luhur. Pasukan petugas baharu yang ditubuhkan tidak mempunyai kredibiliti,” katanya.

Walaupun pihak bank perlu mengekalkan kerahsiaan perbankan, katanya, ia perlu melaporkan sekiranya mengesyaki berlakunya penggubahan wang haram.

“Bank Malaysia, Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat tidak perlu menyimpan rahsia perniagaan mereka dengan wang yang disyaki dicuri. Apa yang telah mereka lakukan?

“Apabila wang yang dicuri dimasukkan ke bank, tujuannya adalah untuk menghalalkannya. Namun wang itu telah hilang dari Ambank kerana akaun telah ditutup,” katanya.

Dr Mahathir berkata, apabila akaun ditutup, tidak bermakna sejumlah besar wang telah dikeluarkan secara tunai.

“Ia mesti telah dipindahkan ke bank lain, namun kita tidak dengar laporan dari mana-mana bank yang mengakui wang ini ada dalam simpanan mereka. Dua akaun telah dibekukan di Singapura dan itu sahajakah?

“Sesungguhnya pemegang akaun perlu disiasat dan adakah bank-bank menyimpan wang ini. Jika ini tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan, jelas sekali wang telah digubah,” katanya.

Menurutnya, jika perkara berkenaan benar, apa keperluan bagi bank untuk meneliti jumlah wang yang telah didepositkan kepadanya.

Beliau turut menjelaskan RM2.6 bilion adalah satu jumlah besar bagi keperluan pilihan raya di Malaysia.

"Kecualilah ia untuk merasuah pengundi. Mengapa ada orang mahu merasuah pengundi supaya Najib boleh menang? Rakyat telah menyokong BN tanpa perlu diberi rasuah yang besar oleh sesiapa, lebih-lebih lagi daripada orang asing," katanya.

Mereka hanya mahasiswa, bukan pengganas'


MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
27 OGOS 2015Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar Nurul Izzah Anwar

SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengutuk tindakan pihak polis menangkap 17 mahasiswa di hadapan bangunan Parlimen kerana mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mendakwa, tindakan pihak polis sama sekali tidak menghormati hak Perlembagaan yang telah termaktub dalam Artikel 10.

"....tangkapan mereka di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan adalah tidak munasabah sama sekali. Malah peguam PKR, Eric Paulsen berpendapat  seksyen tersebut seharusnya dikhaskan buat pengganas bersenjata seperti di dalam kes melibatkan gerakan al-Maunah; bukan sekumpulan pelajar yang berkhemah  sedang membaca bahan ilmiah tanpa senjata di luar Parlimen!

"Parlimen adalah satu simbol demokrasi rakyat dan kini pihak penguasa telah diarahkan untuk melanggar perlembagaan persekutuan di hadapan badan legislatif negara - suatu tindakan yang mencemar prinsip demokrasi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, seramai 17 aktivis mahasiswa yang ditahan‎ polis malam semalam direman hingga Jumaat ini kerana melakukan protes dengan berkhemah di luar bangunan‎ Parlimen.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Protes: 17 aktivis mahasiswa direman hingga Jumaat ]

Katanya lagi, ‎beliau percaya kesemua mahasiswa itu hanya mahukan jawapan dan kebenaran daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sementara itu, Nurul Izzah turut mempersoalkan demonstrasi anggota sebuah kumpulan anti Bersih di Kuala Lumpur.

“Kelmarin di pekarangan kompleks beli-belah Sogo, kumpulan anti Bersih memberi ancaman kepada bakal peserta Bersih.

"Apakah ancaman seperti ini tidak diambil berat oleh polis dan pihak berkuasa?” soalnya

Iran tangguh tayangan filem Muhammad



AFP - GAMBAR yang dirakam pada 21 Januari 2013 menunjukkan seorang aktres Iran bekerja di set penggambaran filem Muhammad.


TEHERAN – Tayangan perdana filem Iran mengenai zaman kanak-kanak Nabi Muhammad ditangguhkan selama 24 jam semalam ekoran masalah teknikal, kata seorang jurucakap filem berkenaan.
Produksi mega itu menelan kos AS$40 juta (RM169.5 juta) dan mengambil masa lebih tujuh tahun untuk disiapkan.
Filem sepanjang 171 minit itu yang dibintangi oleh ramai pelakon popular Iran, dijadualkan ditayangkan di 140 pawagam di seluruh negara itu semalam, sehari sebelum penayangannya di Festival Filem Montreal, Kanada.
Bagaimanapun, filem itu akan ditayangkan di Teheran bermula hari ini, seperti di Kanada, kata jurucakap tersebut.
Media Iran melaporkan bahawa runut bunyi filem itu tidak bersesuaian dengan sistem bunyi sedia ada di pawagam-pawagam Iran sekali gus memaksa tayangannya ditangguhkan supaya masalah teknikal itu dapat dibaiki.
“Mereka yang membeli tiket lebih awal boleh menggunakan tiket ma­sing-masing dari hari ini hingga Rabu depan,” kata penerbit dan pengedar filem tersebut, Mohammad Reza Saberi kepada agensi be­rita ISNA.
Muhammad merupakan bahagian pertama daripada tiga buah filem tentang kisah hidup Rasulullah. Ia menceritakan peristiwa sebelum kelahirannya sehingga baginda me­ningkat usia remaja. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3jxjSmrvY 
Hakcipta terpelihara 

China, Jepun bersaing di Indonesia



AFP - DUA peragawati mempromosikan model kereta api laju buatan China yang dipamerkan di sebuah pasar raya di Jakarta pada 13 Ogos lalu.


JAKARTA – China dan Jepun bersaing sengit untuk membina landasan kereta api laju pertama Indonesia dengan dua gergasi Asia itu membuat pelbagai tawaran menarik untuk memikat Jakarta.
Persaingan mendapatkan projek mega tersebut menjadi sengketa baharu selepas China mencabar dominasi Jepun yang merupakan pembiaya infrastruktur utama di Asia Tenggara.
Jepun yang merupakan antara tiga pelabur terbesar di Indonesia dengan pegangan besar dalam sektor automotif dan perlombongan dilihat hampir pasti dipilih untuk membina landasan kereta api laju itu sebelum China mengemukakan tawaran balas awal tahun ini.
Presiden Indonesia, Joko Widodo menyemarakkan lagi persaingan antara dua seteru itu semasa melawat China dan Jepun pada April lalu untuk menarik pelaburan penting bagi membaik pulih infrastruktur usang di negaranya.
Ketika di Beijing dan Tokyo, Joko menaiki kereta api laju dan mengumumkan pembinaan sistem kereta api laju di Indonesia, dengan landasan sepanjang 160 kilometer menghubungkan Jakarta dan Bandung.
Tindakan Presiden Indonesia yang lebih dikenali dengan panggilan Jokowi itu menarik perhatian China dan Jepun.
“Biar mereka bersaing untuk melabur di Indonesia, ia bagus untuk kita. Ia ibarat seorang gadis yang dikejar ramai lelaki, gadis itu boleh memilih sesiapa sahaja yang dia suka,” kata Ketua Menteri Politik, Luhut Panjaitan.
Apabila siap kelak, landasan kereta api laju itu akan memendekkan waktu perjalanan antara Jakarta dan Bandung. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3jxjHE9ud 
Hakcipta terpelihara