Saturday, June 11, 2011

Kelab Taat Suami galak poligami

Isteri dikhuatiri dipaksa patuh demi kepentingan peribadi: Mashitah

KOTA BHARU: Orang ramai perlu menghalusi asas penubuhan Kelab Taat Suami diwujudkan kalangan isteri berpoligami daripada Global Ikhwan Sdn Bhd yang dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam.
Lebih membimbangkan, tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, istilah taat itu boleh disalahertikan sehinggakan isteri dipaksa patuh kepada suami demi kepentingan peribadi, termasuk keinginannya berkahwin ramai.
“Saya tidak menentang poligami sebab itu hukum Allah tetapi perlu dibuat mengikut lunas ditetapkan agama. Kita kena lihat siapa ambil inisiatif gerakkan kelab ini dan asal usulnya yang memang isteri poligami daripada Global Ikhwan iaitu kumpulan Arqam terdahulu yang mengumpulkan isteri supaya taat.

“Kenyataan mereka lebih kepada tujuan ajak orang masuk kelab...hari ini dia kata wanita perlu pakai seksi (depan suami), dulu kata wanita perlu layan suami seperti pelacur. Saya pun tak faham jika ada wanita yang berstoking dan tudung labuh di rumah sebab di rumahlah wanita berpakaian yang terbaik.

“Saya bimbang istilah taat itu disalahertikan...nanti suami minta isteri pinangkan isteri nombor dua. Kalau tidak, nanti tak taat, kalau tak kahwin lagi satu nanti jadi maksiat,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kota Bharu Ke-10 2011 di Dewan Sekolah Menengah Tanjung Chat, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan kenyataan Presiden Kelab Taat Suami Malaysia, Fauziah Ariffin, semalam yang mengakui beliau memenuhi keperluan batin suaminya dengan berpakaian menarik dan seksi yang juga cara terbaik memberi layanan kepada suami. Sebelum ini, kenyataan Naib Presidennya, Dr Rohaya Mohamed, mengingatkan isteri supaya melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’ mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk Dr Mashitah yang mahu Pendaftar Pertubuhan meneliti semula kelulusan pendaftaran kelab itu.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, pelbagai pihak mahukan kerajaan memantau kelab itu dan kenyataan pemimpinnya bagi mengelak perkembangan ajaran dan fahaman sesat berikutan kelab itu diasaskan bekas pengikut al-Arqam.

Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadhlina Siddiq, berkata ketiadaan pemantauan oleh kerajaan memberi peluang kepada pihak tertentu mengembangkan ajaran dan fahaman sesat di negara ini.

Beliau sendiri yang turut ditawarkan keahlian Kelab Taat Suami berkata, tidak sewajarnya institusi perkahwinan disamakan dengan perkhidmatan seks pelacur.

“Tidak selayaknya pelacur disamakan tarafnya dengan seorang isteri dan ketaatan seorang isteri tidak seharusnya diukur kemampuan seksnya kepada suami,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Selangor, Datin Paduka Rakibah Abd Manap, berkata, golongan isteri tidak perlukan kelab itu bagi memberi bimbingan kerana ia boleh mengelirukan.
Berita Harian Online | Kelab Taat Suami galak poligami

'Anak saya tak akan hidup semula'



 AZIZAH ketika ditemuramah di FELDA Gugusan Raja Alias Satu, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.
AZIZAH ketika ditemuramah di FELDA Gugusan Raja Alias Satu, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Wanita sudah maafkan pemuda sebabkan kematian Along

JEMPOL: “Saya tak pernah berdendam, kami dah lama ampunkan mereka (tertuduh). Perkara dah jadi, anak saya tak akan hidup semula. Mereka dah macam adik beradik sebab saya pernah jaga Kamal (tertuduh) selama empat bulan ketika dia masih bayi,” kata Azizah Hashim, 45.
Ibu tujuh anak ini yang lebih mesra dengan panggilan Aty mengakui tidak pernah melupakan kejadian anak sulungnya dibelasah tetapi hatinya tetap boleh memaafkan pelaku perbuatan itu, cuma terkilan kerana tidak dapat mendengar sendiri daripada mulut arwah anaknya yang dipanggil Along mengenai apa sebenarnya berlaku.
“Sebelum arwah koma, dia cuma cakap kalau Along mati, emak jangan menangis.
Sebab itulah orang tengok saya langsung tak menangis dalam masa seminggu hinggalah dia koma dan menghembuskan nafas terakhir. Orang tak tahu perasaan saya, nampak saya tabah, Tuhan saja tahu perasaan saya,” katanya sebak. Berita Harian Online | Eksklusif: 'Anak saya tak akan hidup semula'

Scomi bina monorel di Brazil

RANGKAIAN gerabak monorel ini bakal digunakan di  Sao Paulo, Brazil.
RANGKAIAN gerabak monorel ini bakal digunakan di Sao Paulo, Brazil.
Konsortium menang kontrak RM2.6 bilion projek di Sao Paulo

SCOMI Group Bhd menerusi Consortium Monotrilho Integracao memenangi kontrak bernilai RM2.6 bilion bagi melaksanakan projek monorel di Sao Paulo, Brazil.
Consortium Monotrilho Integracao ialah usaha sama antara anak syarikatnya, Scomi Engineering Bhd dengan dua syarikat Brazil Andrade Gutierrez SA (AG Group) dan CR Almeida SA Engenharia de Obras and Montagens e Projetos Especiais SA (MPE).
Di bawah kontrak itu, konsortium melaksanakan kerja reka bentuk, mengeluar, membekal dan melaksanakan sistem monorel sepanjang 18 kilometer di laluan 17, iaitu kawasan bandar pembangunan utama di Sao Paulo.

Sistem monorel itu membabitkan pembinaan 18 stesen menghubungkan laluan antara Jabaquara, Sao Paulo dan Morumbi serta pembekalan 24 set tren yang setiap set memiliki tiga unit gerabak dan berupaya membawa sehingga 252,000 penumpang sehari.

Ketua Eksekutif Scomi Group, Shah Hakim Zain, berkata kerja itu dijangka bermula Julai ini dan akan siap sepenuhnya dalam tempoh 42 bulan.

Beliau berkata, di bawah kontrak itu, Scomi Engineering terbabit dalam kerja pembekalan sistem penggelek, sistem pengurusan gerabak (VMS), mereka bentuk suis, sistem bersepadu, serta sistem jaminan, pengujian dan pentauliahan.
“Memandangkan skala dan lingkup projek infrastruktur itu amat besar, ia disifatkan pencapaian terbesar dan mencerminkan keyakinan kemampuan serta capaian rekod prestasi kumpulan menguruskan kemudahan pengangkutan bandar membabitkan skala besar pada peringkat antarabangsa.

“Pencapaian itu juga membuktikan kekukuhan rakan konsortium kami yang dianggotai AG Group dan MPE yang sudah memiliki prestasi yang kukuh dalam sektor pembinaan, bukan hanya di Brazil, malah di negara Amerika Selatan lain.

“Keupayaan dan kemahiran kedua-dua firma berkenaan sangat berharga dalam melaksanakan projek ini,” katanya.
Berita Harian Online | Scomi bina monorel di Brazil

Britney Spears bakal kahwin lagi



BRITNEY SPEARS dan Jason Trawick.


LOS ANGELES - Bintang sensasi yang terkenal lagu Ops I Did It Again, Britney Spear bakal mengahwini tunangnya, Jason Trawick.
Sebelum ini, Spears, telah merahsiakan majlis pertunangannya itu.
Pasangan tersebut memberitahu, mereka merancang untuk berkahwin dalam satu majlis sederhana di Hawaii selepas berakhirnya sesi jelajah dunia penyanyi itu pada penghujung tahun ini.
Trawick, 39, yang merupakan ejen pencungkil bakat dan kini bertindak selaku pengurus Britney dikatakan telah melamar Spears dengan menulis puisi romantik dan menghias keseluruhan tingkat bawah rumah agam di Los Angeles dengan bunga serta lilin.
Spekulasi mengenai pasangan itu mengikat tali pertunangan pada minggu lalu tercetus selepas terdapat foto yang menunjukkan Spears memakai cincin berlian di jarinya.
Ini merupakan perkahwinan ketiga Spears, 29.
Perkahwinan terakhir penyanyi itu bersama bekas suami, Kevin Federline dikurniakan dengan dua orang cahaya mata lelaki dan hanya bertahan selama dua tahun. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia