WARTAWAN SINAR HARIAN
|
Kesesakan lalu lintas berlaku di laluan masuk ke Thailand. Penduduk mendakwa, pihak berkenaan memeriksa dengan lebih teliti bagi mengekang aktiviti keluar masuk penjenayah selepas berlakunya kejadian bom. |
|
Laluan keluar masuk di Pengkalan Haram lengang selepas berlakunya kejadian bom di beberapa kawasan Selatan Thailand, malam kelmarin. |
13 Mei 2014
RANTAU PANJANG – Laungan azan pada jam 4 pagi, mengejutkan penduduk yang tinggal berdekatan Sungai Golok, semalam.
Laungan azan menandakan amaran kecemasan kepada penduduk, sejurus meletusnya letupan bom, sehingga membakar beberapa bangunan berdekatan Golok.
Gegaran kuat dan diselangi bunyi letupan kecil akibat letupan itu menyebabkan penduduk Rantau Panjang yang sedang tidur tersedar.
Berlindung dekat sungai
Penduduk Nor Fasiha Nawi, 27, berkata, laungan azan menerusi pembesar suara mengejutkan bukan sahaja penduduk di Golok malah sekitar Rantau Panjang.
Menurutnya, kedudukan Rantau Panjang dengan Golok, hanya dipisahkan sebatang sungai maka sebarang kejadian bom mahupun kebakaran boleh dilihat dengan jelas.
Katanya, letupan silih berganti menyebabkan sebahagian penduduk Thailand berlindung di sepanjang sungai kerana yakin bom tidak akan melepasi sempadan Malaysia.
“Bekalan elektrik telah putus menyebabkan api kelihatan dengan jelas. Kami hanya mampu melihat dari jauh kerana perkhidmatan perahu di pengkalan haram ditutup lebih awal.
“Meskipun kedudukan letupan bom agak dekat dengan Rantau Panjang, namun penduduk di sini yakin keselamatan mereka terjamin kerana pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkawal di sepanjang sempadan,” katanya.
Kalis dengan bunyi bom
Peniaga, Ayob Mat, 42, berkata, kali pertama bom berlaku dipercayai selepas azan Maghrib lebih kurang jam 7.35 malam.
Namun katanya, ada penduduk tidak menyedari letupan bom berkenaan kerana beranggapan penduduk Thailand meraikan pesta dan sambutan perayaan dengan memasang mercun.
“Selepas merasa gegaran dan mendengar letupan yang lebih kuat daripada kebiasaan, barulah kami sedar itu bukan mercun sebaliknya bom.
“Penduduk di sini sudah terbiasa mendengar bunyi letupan kerana sedia maklum, pergolakan di Selatan Thailand berlaku sejak sekian lama.
“Bagi penduduk luar, kejadian ini mungkin mengurangkan kemasukan penduduk ke Thailand, namun peniaga seperti saya terpaksa mengambil risiko kerana inilah punca mata pencarian kami,” katanya.
Ayob yang mengusahakan perniagaan menjual jersi bola, banyak menjalankan urus niaga di Rantau Panjang dan sekitar Golok.
Hampir setiap hari katanya, dia akan ke Golok untuk mencari material dan baju baharu yang ditempah pelanggan.
Simpati dengan rakan berjiran
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penduduk Rantau Panjang, (PPPRP) Mat Bastaman Hamat berkata, semua penduduk di sini bersimpati dengan kejadian yang berlaku di Selatan Thailand.
Menurutnya, pergolakan menyebabkan bukan sahaja keselamatan rakyat terancam, malah ekonomi negaranya juga terjejas.
Sedikit sebanyak katanya, ia turut mempengaruhi corak kehidupan penduduk di sini kerana kebanyakannya perlu berurusan dengan pihak Thailand.
“Ramai yang menangguh perjalanan ke sana, kerana risau mereka mungkin menjadi mangsa sekiranya berlaku letupan lebih banyak.
“Penduduk juga yakin, letupan demi letupan akan berlaku namun tidak mengetahui motif kejadian ini,” katanya.
Beliau berkata, PPPRP mengajak penduduk agar bersyukur dengan keamanan yang dikecapi negara dan terhindar daripada pergolakan seumpama ini.
Mat Bastaman menasihati penduduk agar tidak menimbulkan sebarang provokasi mengenai isu sensitif kerana ia mungkin mencetuskan pergolakan.
Menurutnya, Malaysia dan Thailand mempunyai banyak persamaan antaranya, kebudayaan, kesenian dan keagamaan malah penduduk di kedua negara ini juga berbilang kaum.
“Sekiranya kita berkongsi sumber yang ada dengan amanah, sebarang anasir jahat dapat ditepis seterusnya melahirkan negara yang aman dan makmur,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Perniagaan Melayu Rantau Panjang, Ramli Abdullah mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian bom itu.
Menurutnya, salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Kak Ta merupakan peniaga di Bazar Aminah.
“Kak Ta juga merupakan salah seorang daripada puluhan mangsa kebakaran di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, 6 Januari lalu.
“Kami berharap keluarganya tabah menghadapi kejadian ini dan kami mendoakan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Berikutan situasi yang semakin tegang, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim menasihati penduduk agar menangguhkan perjalanan ke Thailand buat sementara waktu.
Buat masa ini katanya, pihaknya belum menerima sebarang laporan penduduk Rantau Panjang menjadi mangsa dalam kejadian bom tersebut.
“Polis bersama ATM akan menjalankan kawalan sempadan seperti biasa dan menasihati penduduk agar tidak meneruskan perjalanan ke Thailand sehingga keadaan terkawal,” katanya.