Thursday, December 2, 2010

Tiga runtuhan



BENTONG – Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Gemeti dekat sini, bimbang berlakunya hakisan sungai lebih teruk sekiranya tiada tindakan segera diambil bagi menanganinya.

Seorang penduduk, P Ponama, 62, berkata setiap kali hujan lebat, dia akan berasa bimbang hingga tidak lena tidur memikirkan apa yang bakal berlaku kepada mereka sekeluarga.

Menurutnya, sebelum ini hakisan berlaku sedikit sahaja tetapi sejak musim hujan lebih kurang dua minggu lalu, keadaan menjadi bertambah teruk hingga menyebabkan pokok kelapa yang ditanam di tebing sungai juga tumbang.

“Pada waktu malam, kami sekeluarga sering berasa bimbang sekiranya hakisan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan kami terputus hubungan.

“Untuk keluar ke jalan besar, kami menggunakan jambatan untuk menyeberang sungai kecil ini dan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini tentu ia menyebabkan kegiatan seharian terjejas,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia ditemui semasa sesi lawatan JKKK bersama Pembantu Khas ADUN Ketari, M Ramanujan dan wakil Jabatan Pengairan Saliran (JPS) ke tempat kejadian.

Ponama berharap tindakan segera diambil bagi memastikan hakisan tidak terus berlaku hingga mengakibatkan kejadian tidak diingini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gemeti, Zulkifli Kilau berkata, terdapat beberapa kawasan tebing sungai kawasan ini yang sudah dikenal pasti memerlukan penambahbaikan segera.

Menurutnya, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Datuk Dr Ng Keong Chye serta jabatan berkaitan supaya tindakan segera dapat diambil.



Tebing gabion runtuh



Di Kampung Sungai Penjuring pula, tembok gabion yang dibina JPS dengan kos RM390,000 bagi menangani masalah tebing Sungai Penjuring dan tebing jalan turut runtuh akibat cuaca yang tidak menentu.

Seorang penduduk, Tam Tai San berkata, projek penambahbaikan cerun itu baru siap sepenuhnya dua bulan lalu namun runtuh kembali dalam minggu ini.

Menurutnya, keadaan ini berbahaya kerana terdapat tiga rumah penduduk terdapat di sekitar kawasan runtuhan.

“Apa yang membimbangkan juga terdapat rumah penduduk yang terkena hakisan teruk hingga menyebabkan bahagian dapur rumah rosak.

“Diharapkan tindakan segera dapat diambil untuk menangani masalah ini supaya tidak menimbulkan kejadian tidak diingini kepada penduduk yang tinggal di kawasan tembok itu,” katanya.



Jalan runtuh



Cuaca tidak menentu juga menyebabkan berlaku kejadian jalan runtuh di Batu 34 Jalan Karak- Pelangai Isnin lalu dan sehingga jam dua petang semalam ia masih belum lagi dibaiki.

Jalan runtuh hampir separuh jalan itu menyebabkan keadaan lalu-lintas agak terganggu dan berbahaya kepada pengguna terutama pada waktu malam.

Seorang warga emas, Chan Mok Ying, 65, menaiki motosikal dalam perjalanan memotong getah pada awal pagi Isnin lalu dipercayai mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Bentong akibat cuba mengelak runtuhan jalan itu.

Ketika kejadian berlaku, mangsa dipercayai tidak perasan runtuhan jalan itu kerana keadaan gelap dan setibanya di tempat kejadian, dia dikatakan cuba mengelak dari terjatuh ke dalam runtuhan itu.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bentong, Zamani Omar ketika dihubungi berkata, kerja membaiki runtuhan jalan akan dibaiki secepat mungkin dan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, papan tanda amaran sudahpun diletakkan.

Halang DBKL roboh surau



KUALA LUMPUR 1 Dis. - Ahli jawatankuasa (AJK) sebuah surau hari ini mengemukakan permohonan injunksi bagi menghalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meroboh atau menceroboh Surau An-Nur, Taman Setiawangsa dekat sini.
Permohonan itu terkandung dalam saman pemula yang difailkan melalui firma guaman Tetuan Boestamam Ahmad & Co. di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini.
Turut hadir sewaktu dokumen itu difailkan ialah Pengerusi AJK dan imam surau tersebut, Mohd. Yusof Wazir yang ditemani kira-kira 20 orang ahli kariah.
AJK surat tersebut selaku plaintif menamakan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan defendan pertama dan DBKL defendan kedua.
Dalam saman pemula itu, plaintif memohon perisytiharan bahawa pihak defendan tidak mempunyai sebarang hak untuk menceroboh atau merobohkan surau yang didakwa telah beroperasi melebihi 20 tahun.
Plaintif turut menuntut agar tapak surau itu dikekalkan atau digantikan dengan sebuah tapak surau baharu yang mempunyai keluasan yang sama iaitu 8,000 kaki persegi berhampiran lokasi lama.
Selain itu, mereka memohon perisytiharan bahawa tindakan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan DBKL melalui ejen atau wakil mereka cuba menanggalkan dan mencabut tempat wuduk serta menutup jalan utama ke surau itu adalah tidak sah, terbatal dan tidak mematuhi Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Mereka turut meminta mahkamah mengeluarkan perintah agar pihak defendan membuka semula jalan dan laluan ke surau terbabit, kos serta relif-relif lain yang sesuai.
Sementara itu, Mohd. Yusof ketika ditemui berkata, walaupun terdapat masjid yang terletak kira-kira satu kilometer dari surau itu, rumah ibadat itu masih dikunjungi orang ramai.
"Kami terpaksa memfailkan saman ini sebab kawasan berhampiran surau telah diratakan dan kami risau dengan nasib surau ini,'' katanya.
Menurut laporan Utusan Malaysia bertarikh 2 September lalu, surau yang terletak di Jalan 4A, Taman Setiawangsa itu bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan baru yang merangkumi pembinaan padang dan stadium mini untuk pelajar-pelajar sekolah berhampiran.
Tapak surau itu didakwa dimiliki Kementerian Pelajaran.

Pembangkang di Mesir kalah



PENUNJUK perasaan membakar poster Ahmed Ezz, calon parti pemerintah NDP sambil melaungkan slogan anti-kerajaan di Kaherah, kelmarin. - REUTERS


KAHERAH 1 Dis. - Parti pemerintah Mesir memenangi 209 daripada 508 kerusi yang dipertandingkan pada pusingan pertama pilihan raya Parlimen manakala parti-parti pembangkang hanya mendapat lima kerusi.
Akhbar milik kerajaan, al-Akhbarhari ini melaporkan keputusan yang diumumkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pilihan Raya, sekali gus mengesahkan Parti Demokratik Kebangsaan (NDP) pimpinan Presiden Hosni Mubarak memperoleh kemenangan besar seperti dijangka.
Pembangkang, Ikhwanul Muslimin yang menguasai satu perlima kerusi Parlimen sebelum ini berkata, tiada seorang pun calonnya memenangi kerusi pada pusingan pertama.
Pertubuhan hak asasi manusia dan pembangkang menuduh pihak berkuasa menggunakan undi palsu, membuli dan taktik penipuan lain pada pusingan pertama pengundian pada Ahad lalu.
Kerajaan bagaimanapun berkata, pilihan raya dikendalikan secara adil.
Suruhanjaya Pilihan Raya telah membatalkan kiraan daripada lebih 1,000 peti undi tetapi berkata, pembatalan itu tidak menjejaskan angka keseluruhan.
Al-Akhbar menyenaraikan keputusan seperti berikut: 209 kerusi untuk NDP, tujuh untuk calon bebas, lima untuk parti pembangkang manakala 283 kerusi akan dipertandingkan pada pusingan kedua.
Keputusan bagi empat kerusi dimansuhkan.
Pengundian pusingan kedua untuk kerusi di mana tiada calon memenangi lebih daripada 50 peratus undi akan diadakan pada 5 Disember ini.
Calon-calon NDP akan menentang satu sama lain dalam banyak pertarungan pada pusingan kedua. - Reuters

Paksa diri bekerja walau menghidap gout




KUALA KRAI - Penyakit gout yang dihidapi sejak dua tahun lalu, menambahkan lagi keperitan hidup seorang penduduk miskin tegar, Mustafa Ibrahim, 52, dari Guchil, dekat sini.

Mustafa berkata, meski pun penyakit itu tidak mengizinkannya melakukan kerja berat namun dia tidak mempunyai pilihan, kecuali terpaksa juga menggagahkan diri keluar mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Menurutnya, hasil daripada bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan tidak menentu, dia sedaya upaya cuba menampung keperluan isteri dan tiga daripada lapan anaknya termasuk seorang yang masih bersekolah.

“Bila kerja macam ini (buruh binaan), kita tidak boleh berharap sangat kerana kadang-kadang dalam seminggu tidak ada kerja langsung. Lagi pun saya hanya bekerja di bawah orang, kalau dia panggil, baru ada kerja,” katanya.

Mustafa berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Bantuan Bayaran Sewa Rumah di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) di rumahnya, dekat sini.

Bantuan disalurkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) itu, disampaikan Pegawai Pembangunan Jajahan Kuala Krai, Mohd Daud Abu Yazid.

Hadir sama Penolong Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penilaian JPP Kelantan, Norhidayah Mohd Noor dan Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil, Samsudin Ariffin.

Mustafa berkata, dia amat bersyukur kerana dipilih sebagai penerima bantuan dan akan menggunakannya untuk membayar rumah yang disewanya pada kadar RM250 sebulan.

“Saya sekeluarga amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, terutama JPP kerana ini kali ketiga saya dipilih untuk menerima bantuan sewa rumah di bawah program ini, dan ini membantu meringkan beban saya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Daud berkata, Mustafa antara 21 penduduk miskin tegar dari DUN Guchil dan DUN Manek Urai, yang terpilih untuk menerima bantuan itu pada tahun ini.

Katanya, bantuan itu bertujuan meringankan beban penerima yang tinggal di kawasan bandar, tetapi tergolong di bawah kategori penduduk miskin tegar dalam senarai e-Kasih.

Pesakit kronik minta sumbangan




MERBAU PULAS - Sudah jatuh di timpa tangga bagi bekas pesara tentera, Mohamad Abdullah 60, yang tinggal di Jalan Masjid Labu Besar yang menderita kerana penyakit kencing manis dan jantung.

Masalah semakin rumit apabila kini dia disahkan mengidap penyakit batu karang pula.

Menurutnya, akibat sakit batu karang yang serius, ia menyukarkan dia bergerak dan sakit.

Katanya, dia terpaksa terlantar di rumah dan akan menjalani pembedahan di Hospital Sungai Petani pada 4 Disember ini.

Apa yang menjadi masalah sekarang ini, menurutnya, dia tidak mempunyai wang untuk menampung perbelanjaan pembedahan dan perubatannya termasuk isteri yang menghidapi sakit buah pinggang kronik dan terpaksa berbaring di rumah.

Mohamad berkata, sehingga kini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya datang ke rumahnya sekali pada September lalu, tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang jawapan diterima.

“Sebelum ini saya memang menghidapi penyakit jantung dan kencing manis di mana betis kanan saya telah ditebuk. Sekarang ini keadaan kaki semakin pulih dan saya kini dihidapi pula penyakit batu karang yang serius.

"Saya tidak mampu menampung kos rawatan yang dikenakan. Selain itu saya juga harus mencari wang untuk membawa isteri saya bersama untuk mendapatkan rawatan dan jumlah dianggarkan RM20,000. Di mana saya mampu mencari jumlah wang sebanyak itu untuk mengubati penyakit kami berdua,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini hanya Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Labu Besar sahaja menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan selain Gerak Amal 1Malaysia yang datang ke rumahnya untuk menziarahi dan menyampaikan sumbangan wang tunai.

Dia meminta mana-mana anggota tentera dan ahli Pekida yang mengenalinya untuk memberikan sumbangan bagi membolehkan dia dan isteri mendapat rawatan yang sebaiknya.

Sementara itu, Pengerusi Pekida Labu Besar, Mohd Nordin berkata, beliau akan berbincang dengan penaung Gerak Amal 1Malaysia untuk membolehkan satu kerusi roda dan tongkat didermakan kepada isteri Mohamad supaya membolehkan dia bergerak.

“Saya sudah berbincang dengan Pengerusi Persatuan Gerakan Pengguna Parlimen Kulim Bandar Baharu, Mohd Zailan Hashim untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga ini dengan seberapa segera. Sekiranya jabatan terlibat tidak dapat membantu, kita sebagai badan bukan kerajaan (NGO) akan meminta bantuan dari pusat dan memaklumkan mengenai masalah yang dihadapi oleh keluarga ini dan sehingga kini tidak ada bantuan diterima," katanya.

Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan bebanan yang dialami oleh keluarga Mohamad boleh menderma melalui akaun Maybank bernombor 152116155442 dengan nama Nurul Huda Mohamad.

Cari adik terpisah sejak 12 tahun


 


BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki dari Taman Sri Nibong, Pulau Pinang mencari adik kandungnya yang terpisah sejak 12 tahun lalu.

Lew Kok Chow,65, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan adik bongsunya, Lew Kok Khoon, 59, adalah pada 1998 lalu ketika mereka sekeluarga bercuti di Kuala Lumpur dan Melaka.

Menurutnya, sejak pulang dari percutian itu mereka tidak lagi berhubung berikutan masing-masing sibuk dengan pekerjaan.

“Baru-baru ini, saya teringat akan adik saya dan cuba menghubungi nombor telefon bimbitnya tetapi gagal kerana nombor itu sudah tidak aktif.

“Saya ada juga menghubungi nombor telefon bimbit isterinya, juga tidak aktif. Saya pernah pergi ke alamat tempat lahir anaknya di Perai, tetapi tidak juga menjumpainya,” katanya ketika ditemui di Pejabat Biro Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA Negeri, di sini, semalam.

Kok Chow berkata, dia kemudiannya pergi ke Telekom Malaysia Berhad (TM) dan juga syarikat rangkaian telefon mudah alih Maxis dengan harapan dapat mencari maklumat mengenai di mana adiknya tinggal mahupun nombor telefon terkini mereka, namun malangnya alamat dan nombor telefon yang diberikan tidak lagi digunakan.

Katanya, tiga minggu lalu dia ke Kuala Lumpur mencari adiknya di alamat terakhir di Taman Desa Bakti Batu Caves, tetapi, malang sekali lagi apabila jiran mengatakan Kok Khoon sekeluarga berpindah dari rumah itu tiga tahun lalu.

Tambahnya, pelbagai cara digunakan termasuk membuat iklan mencari adiknya dalam surat khabar berbahasa Cina, tetapi hingga kini masih belum membuahkan sebarang hasil.

Justeru, dia berharap agar adiknya dapat dipertemukan semula dengannya kerana dia amat merindui adiknya.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Kok Chow di talian 016-4431319 atau Ketua Wanita MCA Bahagian Bukit Mertajam, Goh Swee Gim, 016-4811899 atau Ketua Pusat Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA Negeri, Tang Song Hooi di talian 019-4450915.

Si kembar derita hidap penyakit




PEREMBA – Sejak dilahirkan tiga bulan lalu, pasangan kembar lelaki dan perempuan bagi pasangan suami isteri dari Kampung Peremba di sini terpaksa menanggung derita apabila menghidap pelbagai penyakit.

Pasangan kembar berkenaan, Mohd Amirul Aiman menghadapi masalah kekurangan darah dalam badan, manakala Siti Nuralia Narisha menghadapi implikasi usus dan juga jangkitan kuman dalam darah.

Bapa pasangan kembar itu, Jamaludin Abdullah, 33, berkata, dua anak kembarnya itu menderita penyakit itu sejak dilahirkan lagi.

Menurutnya, anak lelakinya memerlukan rawatan berpanjangan, sementara anak perempuannya kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Saya mempunyai lima anak yang mana semuanya masih kecil dan hanya anak sulung yang sudah bersekolah di Tahun Satu.

“Dalam keadaan kesihatan pasangan kembar saya yang sakit ini, saya menghadapi masalah kewangan bagi menampung kos rawatan dan juga perbelanjaan untuk anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian.

Jamaludin berkata, anak perempuannya yang sakit itu kini dijaga isterinya, Siti Norhamadiah Abdul Talib di hospital, memandangkan dia perlu bekerja dan menjaga anak yang lain di rumah termasuk Mohd Amirul Aiman.

Menurutnya, gaji atau upah diterima sebagai pembantu kedai tidak menentu dan dia dibayar mengikut hari.

“Upah bekerja ini tidak menentu bergantung kepada keadaan yang mana adakalanya saya menerima RM25 dan ada harinya saya hanya menerima upah sebanyak RM15 sahaja.

“Tambahan pula, hanya saya seorang yang bekerja untuk menanggung keluarga ini dengan anak-anak yang masih menyusu dan bersekolah, mereka memerlukan penjagaan sewajarnya,” katanya yang berasal dari Sabah.

Semua anak Jamaludin dan Siti Norhamadiah berusia dalam lingkungan tiga bulan hingga tujuh tahun.

Malah, anak ketiga pasangan suami isteri itu juga menghidap sakit penat dan memerlukan rawatan kesihatan.

Jamaludin berkata, dia tidak pernah menerima sebarang bantuan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak mengetahui saluran untuk memohon dan dia berharap agar ada pihak yang dapat membantu meringankan bebannya.

Ketua UMNO Cawangan Peremba, Ayob Ali bersama Penyelaras Teluk Chengai, Marshita Din telah sudi menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada keluarga itu

Hamid jadikan kandang lembu tempat berteduh



KOK LANAS – Hidup melarat dan terbuang membuatkan Mohd Hamid Awang, 37, tiada pilihan lain sehingga menjadikan kandang lembu sebagai tempat berteduh daripada panas dan hujan.

Tinggal seorang diri di Kampung Batu Tinggi, di sini, dia yang hanya bekerja mengambil upah menjaga lembu penduduk kampung, bagaimanapun tetap bersyukur di atas anugerah berkenaan.

“Sebelum ini saya mempunyai rumah dan isteri tetapi selepas rumah kami roboh kerana keadaannya yang buruk, isteri sudah tinggalkan saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, selepas itu hidup beliau semakin susah dan tidak mempunyai tempat untuk mengadu kerana ahli keluarga yang lain juga hidup melarat sepertinya.

Mohd Hamid berkata, mujurlah penduduk di sini bersimpati dengannya dan membenarkan dia membuat bangsal di kandang lembu tersebut.

Menurutnya, walaupun terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan dengan tiada bekalan air bersih dan elektrik, tetapi itu saja yang mampu.

“Kadang-kadang bila hujan lebat, saya terpaksa tidur di atas timbunan kayu yang ada di kandang lembu ini kerana air akan melimpah dan tempat tidur saya ditenggelami air,” katanya.

Mohd Hamid berharap ada pihak yang dapat memberikan bantuan serta sudi memberikan pekerjaan kepadanya agar hidupnya lebih terjamin lagi.

Menurutnya, dia tidak tahu untuk meminta bantuan sesiapa dan kekurangan yang ada pada dirinya menyebabkannya tidak mempunyai keyakinan untuk meneruskan hidup ini.

Tok Guru tidak kisah



KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas tidak kisah jika Penasihat DAP, Lim Kit Siang diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri apabila Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, selagi dasar parti tidak bercanggah dengan dasar negara pengagihan jawatan itu kepada DAP tidak menjadi isu kepada PR.

“Sebagai negeri demokrasi tidak boleh pandang bangsa-bangsa� kita kena pandang dasar, dasar negara dan dasar parti. Selagi dasar parti tidak bercanggah dengan dasar negara tidak apa.

“Tak ada apa bagi saya (pelantikan Kit Siang). DAP, MCA, MIC itu serupa sahaja, sama-sama tak ada Islam, cuma dibeza-bezakan oleh parti sekular Melayu. DAP pun serupa dengan MCA.

“Jika MCA boleh jadi Timbalan, boleh jadi Menteri, pelik apa jawatan itu boleh juga diberikan kepada DAP. Bagi saya nak lantik Kit Siang atau MCA pun, selagi tidak bercanggah dengan Islam dan dasar negara tidak apa,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Mingguan, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan Kit Siang akan menjadi Timbalan Perdana Menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.

Janji itu dilafazkan Anwar dalam wawancara dengan akhbar Sin Chew Daily yang disiarkan pada 26 November lalu sempena dengan Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, apa yang menjadi kelebihan PR adalah adanya Pas yang menegakkan Islam dan jika ada sebarang isu bercanggah Islam, Pas akan beri pandangan serta teguran.

Menurutnya, ia berbeza dengan UMNO kerana suara Islam tidak boleh campur tangan dan itulah kelemahan UMNO berbanding PR.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz berpendapat kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib bahawa Anwar tidak berhak menentukan Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang berkuasa sebagai pandangan peribadi.

“Itu adalah pandangan peribadi, belum dibawa ke mesyuarat. Saya sendiri tidak tahu lagi kertas cadangan Anwar itu.

“Bagi saya nak lantik Kit Siang atau MCA pun selagi tidak bercanggah dengan Islam dan dasar negara tidak apa. MCA, DAP sama-sama tidak Islam dan sama-sama tidak Melayu,” katanya.

Hajat tak sampai




SENAWANG – Hasrat seorang warga Singapura untuk mendapatkan sijil rasmi Taraf Kewarganegaraan Malaysia tidak kesampaian apabila dia disahkan meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya, dekat Rumah Pangsa Rakyat Bersepadu di sini, awal pagi semalam.

Allahyarham Baki Omar, 70, yang menantikan sijil kerakyatan itu diserahkan kepadanya hujung minggu ini juga tidak menjadi kenyataan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rasah, Senator Datuk Mohd Najeeb Abdullah ketika ditemui berkata, arwah telah lama membuat permohonan untuk mendapatkan sijil kerakyatan tetapi usahanya menemui kegagalan.

“Sejak arwah menetap di negara ini kira-kira 30 tahun lalu, arwah telah berusaha keras mendapatkan sijil kerakyatan Malaysia tetapi permohonannya sebelum ini ada masalah.

“Bagaimanapun, selepas saya menguruskan segala dokumennya dan merujuk semula kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), akhirnya permohonannya diluluskan pada Oktober lalu tetapi sayangnya apabila semuanya sudah selesai, arwah pula pergi meninggalkan kita selama-lamanya sebelum sijil berkenaan sempat diserahkan,” katanya.

Rumah ganti terbengkalai



Oleh A'isyah Sukaimi
bhnews@bharian.com.my
2010/12/02

Tujuh sekeluarga kecewa terpaksa menyewa terlalu lama selepas kediaman asal diroboh 

SEPANG: Mana rumah kami? Itulah pertanyaan tujuh sekeluarga di Kampung Batu 28, Jenderam Hilir, dekat sini, apabila pembinaan kediaman mereka menerusi Projek Pembesaran Kampung Jenderam Hilir sejak Mei lalu belum siap hingga kini.
Nasib tujuh sekeluarga itu kini umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila rumah asal sudah dirobohkan tetapi kediaman baru tidak dapat diduduki, menyebabkan mereka terpaksa tinggal menyewa.
Mengikut projek berkenaan, rumah sedia ada milik tujuh keluarga terbabit yang dibina di atas tanah milik kerajaan negeri dirobohkan, manakala mereka diarah berpindah di tempat lain sementara kediaman baru di tapak asal dibina. 

Penduduk, Rustam Atan, 47, berkata perbincangan mengenai projek berkenaan diadakan antara mereka dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jenderam Hilir dan syarikat pembinaan pada Januari 2008 mengenai cadangan membina rumah ganti untuk mereka di tapak berkenaan. 

Katanya, mereka menerima notis supaya mengosongkan tapak berkenaan dalam tempoh 14 hari daripada Pejabat Tanah dan Daerah Sepang bertarikh 11 Februari 2008, bagi membolehkan rumah lama dirobohkan sebelum membina kediaman baru. 

Bagaimanapun, katanya, kerja pembinaan hanya bermula pada Mei lalu tetapi dihentikan empat bulan kemudian. 
Beliau berkata, pada masa ini, mereka tinggal di rumah sewa sementara menunggu kediaman baru itu disiapkan. 

"Kami tidak tahu mengapa kerja pembinaan dihentikan. Mengikut perjanjian, rumah akan siap dalam tempoh dua tahun," katanya kepada Berita Harian. 

Justeru, beliau merayu pihak berkenaan terutama kerajaan negeri menyelesaikan masalah itu secepat mungkin bagi menjamin keluarga yang terjejas tidak hilang tempat berteduh. 

"Saya bukan golongan berada dan perlu menyara keluarga serta enam anak,” katanya. 

Pemilik lain, Zubaidah Osman, 57, berkata beliau dan keluarga amat berharap kediaman itu dapat disiapkan untuk membolehkan mereka hidup lebih selesa tanpa perlu menyewa selama-lamanya. 

"Kami juga sudah tidak mampu lagi menyewa rumah. Lebih 30 tahun saya tinggal di kampung ini, namun masih tidak memiliki rumah sendiri. Kerja saya hanya mengutip besi buruk dan tin kosong dengan pendapatan tidak menentu," katanya. 

Beliau berkata, mengikut perjanjian, pemaju berjanji membayar sebahagian sewa rumah atau RM100 sebulan dalam tempoh 24 bulan dan jumlah itu dinaikkan kepada RM300 sebulan jika melebihi tempoh itu, di samping wang sagu hati perpindahan RM300 kepada setiap keluarga. 

"Bagaimanapun, bayaran itu tidak diterima setiap bulan menyebabkan kami terpaksa guna wang sendiri untuk membayar sewa rumah," katanya. 

Sementara itu, Penolong Pegawai (Bahagian Tanah) di Pejabat Tanah dan Daerah Sepang, Nurul Nathasya Mokhtar, berkata rumah keluarga terbabit dibina oleh pemaju yang mahu memajukan kawasan berkenaan. 

"Projek pembinaan tujuh rumah itu adalah timbal balik syarikat berkenaan apabila ia tidak membayar premium tanah yang akan dimajukan kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi.

Kejadian pecah rumah meningkat





2010/12/02

PAROI: Kira-kira 2,500 penduduk Taman Bukit Margosa di sini, hidup dalam kebimbangan berikutan kejadian pecah rumah di taman itu semakin meningkat dengan kes terbaru berlaku Jumaat lalu. 

Dalam kejadian itu, seorang ibu tunggal menjadi mangsa apabila kediamannya diceroboh penjenayah yang melarikan barang kemas dan wang tunai bernilai kira-kira RM30,600.
Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman itu, Azizul Rahman Mohd Yusof, 39, berkata kejadian itu berlaku pada waktu siang ketika mangsa berusia 50-an bersama tiga anaknya keluar bekerja.
Katanya, penceroboh dipercayai memasuki rumah dengan memecahkan pintu belakang dan mengumpil jeriji sebelum masuk ke bilik utama dan melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM30,000 dan wang tunai kira-kira RM600. 

"Mangsa menyedari rumahnya dipecah masuk sebaik pulang kira-kira jam 5 petang dan membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2. 

"Kedudukan rumah yang terlindung dari jalan besar mungkin memberi ruang kepada penjenayah memasuki rumah itu," katanya. 

Azizul Rahman berkata, kejadian jenayah seperti itu sudah lama tidak berlaku di taman itu, terutama pada waktu malam sejak KRT mewujudkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) awal tahun ini dan mengadakan rondaan setiap malam. 
Berikutan kejadian pecah rumah itu, katanya, KRT mengeluarkan notis kepada semua penduduk taman untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan rumah masing-masing. 

"Sebelum ini, kejadian pecah rumah berlaku pada waktu malam dan awal pagi, tetapi penjenayah mengubah taktik melakukan pada waktu siang ketika sebahagian besar penghuni keluar bekerja. 

"Rondaan SRS yang ketika ini hanya dijalankan pada waktu malam mungkin diperluaskan pada waktu siang bagi mengelak kes itu berulang," katanya. 

Sebagai langkah jangka panjang, katanya, KRT merancang bekerjasama dengan polis menjayakan program Rakan Cop untuk membolehkan lebih ramai penduduk menjadi ahli, sekali gus mendapat maklumat berkaitan keselamatan. 

"Saya berharap kerjasama dengan polis dapat menangani kegiatan jenayah di taman ini dan memastikan keselamatan penduduk terjamin," katanya.

RapidKL perkenal bas khas wanita


PENUMPANG wanita beratur untuk menaiki Rapid Bas Wanita yang diperkenalkan Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) di Pasar Seni, Kuala Lumpur, semalam. Rapid Bas Wanita diperkenalkan selepas kerap menerima aduan daripada pengguna, terutama wanita yang terpaksa berhimpit dan terdedah kepada gangguan seksual. - Foto Abdullah Yusof


2010/12/02

KUALA LUMPUR: Bas untuk wanita diperkenalkan oleh Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) untuk memberi keselesaan dan memastikan keselamatan golongan itu sepanjang perjalanan ke destinasi masing-masing.

Ketua Pegawai Operasi Bas RapidKL, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, berkata Rapid Bas Wanita itu diperkenalkan selepas kerap menerima aduan daripada pengguna terutama wanita yang terpaksa berhimpit dan terdedah dengan gangguan seksual.
“Tempoh percubaan perkhidmatan ini dilaksanakan sebulan bermula semalam dengan melalui tujuh laluan utama pengguna. Dua bas tambahan disediakan masing-masing bagi perkhidmatan pagi bermula 6.45 pagi dan 7.30 pagi serta sebelah petang pada 6 petang dan 6.45 petang setiap hari.
“Perkhidmatan pagi membabitkan laluan U1 iaitu Hab Pinggiran Batu Caves; U8 (Hab Damansara Damai); U22 (Hab Sri Nilam); U40 (Hab Terminal Kajang); U60 (Hab Puchong Utama); U80 (Hab UiTM Shah Alam) dan U81 (Hab Subang Suria).

“Pada petang, bas akan melalui U1 (Hab Medan Pasar); U8 (Hab Medan Pasar); U22 (Hab Jalan Hang Lekiu); U40 (Hab Pasar Seni); U60 (Hab Pasar Seni); U80 (Hab Pasar Seni) dan U81 (Hab Pasar Seni),” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Katanya, penanda khas diletakkan di cermin depan, tingkap, pintu bas dan skrin elektronik bas bagi membezakan bas khas terbabit dengan bas RapidKL biasa.

“Walaupun bas berkenaan dikhususkan untuk wanita, kanak-kanak lelaki berumur bawah 12 tahun dibenarkan menaiki pengangkutan itu dengan ditemani wanita. Sepanjang tempoh percubaan ini, RapidKL akan melakukan tinjauan kepuasan pengguna bagi meningkatkan perkhidmatan ini pada masa depan.
“Maklumat lanjut hubungi talian bantuan RapidKL di 03-78852585 atau emel suggest@rapidkl.com.my atau twitter di MYrapidKL atau layari www.rapidkl.com.my,” katanya.

Lagi lembu terbiar



Oleh Mohd Nur Hafidz Nordin
bhnews@bharian.com.my
2010/12/02

LEMBU yang dilepaskan tanpa kawalan di jalan menuju ke Kampung Sri Gunung Pulai, Kulaijaya.
LEMBU yang dilepaskan tanpa kawalan di jalan menuju ke Kampung Sri Gunung Pulai, Kulaijaya.
Pengguna mahu tindakan tegas dikenakan kepada pemilik haiwan berkeliaran 

KULAIJAYA: Puluhan lembu yang berkeliaran tanpa diawasi pemiliknya di sekitar Jalan Kulai-Pekan Nenas di sini, sejak bertahun lalu terus menghantui pengguna yang menggunakan laluan berkenaan.
Walaupun masalah itu sering ditimbulkan pengguna jalan raya, malah ada yang membuat aduan, ia terus berulang apabila lembu dibiarkan mencari makan di tepi jalan terbabit yang sememangnya sibuk dengan kenderaan.
Tindakan tidak bertanggungjawab penternak haiwan itu bukan saja menyusahkan pengguna jalan raya, malah mengundang risiko apabila boleh menyebabkan berlakunya kemalangan maut ketika pengguna jalan raya cuba mengelak haiwan terbabit terutama pada waktu malam dan awal pagi. 

Pengguna, Nazley Saaban, 50, berkata dia hairan dengan sikap penternak yang melepaskan lembu sesuka hati untuk memakan rumput di tepi jalan. 

“Penternak seolah-olah tidak mengambil berat keselamatan pengguna yang melalui jalan berkenaan lebih-lebih lagi pada waktu malam. 

“Jika keadaan berterusan, laluan ini pasti menjadi perangkap maut kepada pengguna dan tidak mustahil satu hari nanti, ada yang kehilangan nyawa kerana kedegilan penternak terbabit,” katanya. 
Tinjauan Edisi Johor di kawasan berkenaan baru-baru ini mendapati kira-kira lima hingga enam ekor lembu berkeliaran di sekitar jalan itu serta tidak menghiraukan kenderaan yang lalu lalang. 

Perkara itu boleh mengundang bahaya terutama kepada penunggang motosikal kerana lembu terbabit sentiasa melintas jalan bagi mencari kawasan ragut yang sesuai. 

Seorang lagi pengguna, Tan Chien Hoe, 32, berkata, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pemilik lembu terbabit bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. 

“Masalah ini berlaku kerana tiada tindakan tegas dikenakan terhadap penternak, kesudahannya mereka bebas melakukan apa saja tanpa memikirkan soal keselamatan pengguna. 

“Saya harap pihak berkuasa tempatan dapat memantau kegiatan terbabit dan mengenakan tindakan tegas terhadap penternak supaya ia menjadi pengajaran untuk mereka tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya. 

Difahamkan baru-baru ini satu kemalangan berlaku membabitkan seorang penunggang motosikal yang cedera apabila terlanggar lembu ketika hendak ke tempat kerja. 

Kejadian itu dikatakan berlaku kerana lembu terbabit melintas secara tiba-tiba menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum terjatuh daripada motosikal ditungganginya.

Hukuman gantung sampai mati kekal



KUALA LUMPUR 1 Dis. - Hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan membunuh kekal dan tidak akan dimansuhkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, kerajaan masih belum bercadang berbuat demikian tetapi sedia menimbangkannya setelah kajian terperinci mengenainya dibuat.
Menurut beliau, kajian menyeluruh yang mengambil kira pandangan semua pihak amat perlu kerana pemansuhan hukuman itu akan memberikan impak besar kepada sistem perundangan negara.
"Pindaan yang sewajarnya juga perlu dibuat kepada undang-undang jenayah lain sekiranya hukuman mati dimansuhkan di negara ini.
"Namun kerajaan menyambut baik apa-apa cadangan yang diberikan oleh mana-mana pihak yang menyokong supaya ia dimansuhkan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar) yang bertanyakan adakah kerajaan akan menghapuskan hukuman mati seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak sebelum ini.
Mohd. Radzi juga meminta kerajaan menyatakan bilangan perbicaraan kes bunuh di mahkamah sejak 2000 dan berapakah bilangan kes yang disabitkan kesalahan dan hukuman gantung dijalankan.
Vui Keong berkata, dalam tempoh 10 tahun itu sebanyak 1,601 kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi.
Katanya, setelah melalui proses rayuan di Mahkamah Rayuan, sebanyak 47 kes telah disabitkan di bawah seksyen itu yang direkodkan sabitannya di Mahkamah Persekutuan.
"Dalam tempoh 10 tahun itu, cuma sembilan hukuman gantung telah dijalankan bagi kes yang disabitkan di bawah seksyen itu dan selebihnya belum dilaksanakan kerana masih menunggu keputusan Petisyen Jemaah Pengampunan Negeri," katanya.

Anwar pertahan tolak ketuanan Melayu



KUALA LUMPUR 1 Dis. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pendiriannya untuk menolak konsep ketuanan Melayu.
Katanya, ini kerana konsep yang menjadi polemik tersebut merujuk kepada amalan 'tuan dan hamba' dalam masyarakat.
"Tuan hanya boleh digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Kita lihat 'tuan' adalah untuk kaum yang memiliki kuasa.
"Kalau Melayu itu 'tuan', bagaimana dengan kaum Cina, Kadazan dan kaum yang lain?" Katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh di Petaling Jaya Ahad lalu berikrar untuk tidak meneruskan konsep ketuanan Melayu.
Anwar dalam ucapan penggulungan di hari terakhir kongres PKR itu memperlekehkan konsep ketuanan Melayu serta usaha-usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar di kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera.
Anwar berkata, dalam setiap ucapan pakatan pembangkang, prinsip Perlembagaan, isu agama Islam dan orang Melayu tidak dibangkitkan tetapi ia dipertahankan.
"Pengalaman saya bersama Pas dan DAP, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, raja-raja Melayu kita terima. Ini diputarbelitkan oleh UMNO dan Utusan Malaysia. Saya harap jangan menipu seolah-olah kita golongan yang menolak Melayu," katanya.
Mengulas laporan bahawa beliau akan melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memerintah, Anwar berkata, mengapa perlu mempersoalkan hak orang bukan Melayu sebagai Timbalan Perdana Menteri.
"Mengapa hendak nafikan hak orang Melayu, Cina, India, Kadazan sebagai Timbalan Perdana Menteri?" soalnya.
Mengulas cabaran Ahli Parlimen Bebas, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Zulkifli Noordin supaya memulangkan darjah kebesaran serta ganjaran yang diperoleh hasil keistimewaan orang Melayu, Anwar berkata, beliau tidak merayu untuk mendapatkan gelaran itu.
"Saya bukan tulis surat merayu supaya diberikan gelaran Datuk Seri. Tuanku memberi anugerah ini, saya menjunjung kasih kepada Tuanku. Yang pertama saya dapat daripada Sultan Pahang, selepas itu menyusul yang lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Pembangkang itu mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tarikh pilihan raya umum (PRU) lebih awal.
"Saya cabar Najib tunjukkan demokrasi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersihkan senarai pemilih dan biar rakyat yang menentukannya.
"Walaupun Perdana Menteri mengumumkan pemilihan UMNO ditangguhkan sehingga 18 bulan, saya menjangkakan PRU akan diadakan lebih cepat," katanya.
Semalam, selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), Najib mengumumkan pemilihan UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan MT yang sepatutnya berlangsung tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan.

Kedah dicadang tuntut semula Pulau Pinang



ALOR SETAR 1 Dis. – Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) hari ini mencadangkan supaya Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah kerana negeri tersebut pada asalnya kepunyaan Kedah.
Pengerusi PSMCK, Datuk Wan Shamsudin Mohd. Yusof berkata, cadangan itu ditimbulkan kerana Pulau Pinang adalah hak milik Kedah sebelum berlakunya perjanjian antara Sultan Kedah dan British pada 1786.
“Setelah negara kita merdeka pada 1957, Pulau Pinang yang dijajah sepatutnya dikembalikan kepada Kedah sepertimana Dinding dan Pangkor dikembalikan kepada Perak.
“Tetapi Pulau Pinang tidak dikembalikan kepada Kedah dan terus dijadikan sebuah negeri yang berasingan,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam perjanjian yang dibuat antara Sultan Kedah ketika itu, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah dan Leftenan Gabenor Pulau Pinang, Sir George Leith Baronet pada tahun 1800, Pulau Pinang dipajak untuk menampung keperluan ekonomi pada masa itu.
Pada ketika itu, Pulau Pinang dipajak dengan harga 6,000 manakala Seberang Prai dipajak dengan harga 4,000 dan pihak British membayar wang tersebut kepada Sultan Kedah dengan menggunakan mata wang Sepanyol.
Menurut Wan Shamsudin, Pulau Pinang dan Seberang Perai disifatkan masih hak milik Kedah kerana duit pajakan masih dibayar oleh Kerajaan Pusat dengan nilai RM10,000 setiap tahun kepada kerajaan negeri Kedah pada masa ini.
“Pembayaran pajakan masih wujud sehingga kini dan ini bererti, keadaan tersebut masih wujud dan tidak salah untuk Kedah membuat tuntutan,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya akan mengadakan satu seminar dengan pakar-pakar sejarah untuk mengumpulkan fakta-fakta dan bukti yang berkaitan dengan sejarah Pulau Pinang yang dahulunya di bawah naungan Kesultanan Kedah.
“Kami juga akan menyerahkan bukti dan fakta tersebut kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab dan terserah kepada mereka untuk menuntut semula Pulau Pinang atau tidak,” katanya.