Showing posts with label pilihan raya. Show all posts
Showing posts with label pilihan raya. Show all posts

Friday, January 7, 2011

3,007 pegawai, anggota polis kawal PRK DUN Tenang

Utusan Malaysia Online - Politik


JOHOR BAHRU 6 Jan. - Seramai 3,007 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi memastikan proses Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang berjalan lancar.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, selain itu, pihaknya turut menyediakan 40 kenderaan pelbagai guna (MPV), enam balai bergerak, sebuah helikopter dan beberapa kemudahan logistik lain.
"Pegawai dan anggota kita akan mula ditempatkan di DUN Tenang bermula 13 Januari ini dengan 939 orang sebelum ditingkatkan sehingga 2,380 orang sepanjang tempoh berkempen.
"Jumlah itu akan bertambah sehingga 3,007 pegawai dan anggota pada hari pembuangan undi demi memastikan kelancaran proses pilihan raya berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.
Pilihan Raya Kecil DUN Tenang diadakan selepas wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis pada 17 Disember lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang dengan menewaskan calon Pas, Mohd. Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 Januari ini sebagai hari penamaan calon manakala pembuangan undi pada 30 Januari.
Sementara itu, Mokhtar berkata, empat permit ceramah yang dipohon Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini sempena pilihan raya kecil berkenaan ditolak polis.
Beliau berkata, permit itu tidak diluluskan selepas meneliti dan mengambil kira banyak faktor terutamanya aspek keselamatan.
"Sehingga kini kita hanya menerima empat permohonan iaitu tiga daripada Pas dan satu lagi PKR," katanya
Mokhtar pada masa sama memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekecohan pada kempen pilihan raya tersebut.
"Saya minta semua pihak jangan melanggar peraturan kerana kami tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak atau parti yang cuba buat kecoh," katanya.

Friday, December 3, 2010

Pilihan raya umum boleh jadi awal






NAJIB (kiri) bersalaman dengan para pemimpin kanan partii politik Asia pada ICAPP 2010 di Phnom Penh semalam.



PHNOM PENH - Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menolak kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan lebih awal berikutan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) yang semakin pulih.
Perdana Menteri berkata, tanda-tanda awal juga menunjukkan bahawa rakyat menerima baik pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan BN bagi memenuhi kehendak dan harapan mereka.
"Itu bukan petanda awal tapi ia (pilihan raya umum) boleh jadi awal, boleh jadi lewat...biasalah. Keputusan muktamad...bila sampai masanya, boleh jadi cepat, boleh jadi lambat.
"Keputusan sebenar sama ada BN telah memenuhi harapan rakyat akan hanya diketahui daripada keputusan pilihan raya umum akan datang,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada wartawan Malaysia selepas menyampaikan ucap utama pada perhimpunan agung keenam Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) di sini semalam.
Ketika berucap pada perhimpunan agung itu mengenai usaha BN mendapatkan balik sokongan rakyat yang terjejas semasa pilihan raya umum 2008, Perdana Menteri berkata, BN perlu menunaikan segala janjinya dan perlu juga dilihat sebagai memenuhi semua keperluan rakyat.

Wednesday, December 1, 2010

pilihan raya Sarawak RM45 juta



PUTRAJAYA 30 Nov. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan peruntukan sebanyak RM45 juta untuk mengendalikan pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan sebelum Julai 2011.
Pengerusinya, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, bagaimanapun peruntukan itu tidak termasuk kos penyediaan kawalan keselamatan melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain terlibat.
"Belum ada petunjuk lagi bila tarikh pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ini akan diadakan tetapi SPR sudah bersedia, tunggu wisel (pembubaran DUN) sahaja.
"Peruntukan RM45 juta itu nanti melibatkan semua kos berkaitan SPR termasuk keperluan logistik seperti pengangkutan perahu, helikopter, kereta dan Land Rover," kata beliau ketika dihubungi di Sandakan hari ini.
Abd. Aziz berada di Sandakan pagi ini setelah menerima taklimat mengenai post mortem pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi baru-baru ini yang dirumuskan sebagai berjalan dengan lancar.
Bahang pilihan raya Sarawak kian terasa apabila Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika pulang dari Mekah 24 November lalu memberitahu dirinya sudah mendapat 'inspirasi' mengenai tarikh pilihan raya berkenaan.
Pilihan raya negeri Sarawak perlu diadakan sebelum Julai tahun depan dan ramai pemerhati politik meramalkan ia akan diadakan sama ada pada Mac atau April.
Sarawak mempunyai 71 kerusi Dewan Undangan Negeri, 62 daripadanya dikuasai oleh Barisan Nasional.
Pada pilihan raya 20 Mei 2006 itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memiliki 34 kerusi DUN diikuti oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebanyak 11 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebanyak sembilan kerusi dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebanyak lapan kerusi.

Thursday, November 4, 2010

Proses pengundian di Galas, Batu Sapi berakhir


PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membawa turun peti undi dari Daerah Orang Asli Pos Brooke untuk dijumlahkan di Dewan Pusat Sivik Gua Musang pada pilihan raya kecil DUN Galas hari ini. - Foto BERNAMA
Nov 4, 2010 5:49 pm




2010/11/04

KUALA LUMPUR: Proses pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Gua Musang, Kelantan, dan Parlimen Batu Sapi di Sandakan, Sabah, yang bermula 8 pagi tadi berakhir apabila pusat pengundian ditutup jam 5 petang tadi.

Pertandingan di DUN Galas membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff, dan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed.

Friday, October 15, 2010

Batu Sapi: Penamaan calon 26 Okt, pengundian 4 Nov




2010/10/15

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Oktober tarikh penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah manakala 4 November hari pengundian, serentak dengan DUN Galas, di Kelantan.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebentar tadi.Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada Barisan Nasional (BN) pada Sabtu lalu kerana terbabit dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi.

Friday, April 16, 2010

Lebih 30 borang pencalonan Parlimen Hulu Selangor dijual



16/04/2010 5:57pm

SHAH ALAM 16 April - Sebanyak 37 borang penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor dijual setakat ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini.
Katanya, borang-borang itu dibeli oleh ejen-ejen parti politik daripada Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga Bebas.
Selain itu, deposit untuk pencalonan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang berlangsung esok juga diterima daripada seorang calon Bebas dan juga BN, katanya kepada pemberita selepas mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Sibu, Sarawak di sini hari ini.
Semalam, BN mengumumkan Ketua Penerangan MIC P. Kalamanathan sebagai calonnya pada pilihan raya kecil di Hulu Selangor manakala PKR mencalonkan Datuk Zaid Ibrahim.
Abdul Aziz juga ditanya kemungkinan pilihan raya kecil di Hulu Selangor menyaksikan keadaan seperti pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau tahun lepas apabila 13 calon Bebas, seorang calon BN dan seorang PKR.
Beliau berharap jumlah calon yang bertanding tidak seramai seperti di Bukit Selambau.
Beliau berkata ajen-ejen parti lazimnya membeli lebih daripada satu borang sebagai persediaan jika borang rosak atau tersilap isi.
"Tidak semestinya jumlah borang sama dengan jumlah calon,” katanya.
Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lepas kerana barah otak.
Allahyarham menewaskan calon BN Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi pada pilihan raya umum 2008. Allahyarham memperoleh 23,177 undi manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, mendapat 22,979 undi. - Bernama