Thursday, May 28, 2015

PKR desak Najib disiasat isu 1MDB

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR- Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli menggesa semua agensi yang menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara turut membuka kertas siasatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Beliau mendakwa, jika terdapat sebarang unsur penyelewengan jenayah dalam 1MDB, ia akan turut mensabitkan Najib kerana Artikel 117 jelas menunjukkan keterlibatan secara langsung Perdana Menteri dalam keputusan-keputusan syarikat pelaburan tersebut.
 
“Saya merujuk kepada pendedahan oleh pihak media semalam (kelmarin), mengenai Memorandum Pertubuhan (Memorandum and Article of Association atau M&A) yang mempunyai Artikel 117 mengaitkan Najib dengan semua keputusan pelaburan serta hutang yang dibuat oleh 1MDB selama ini.
 
“Saya telah mendapat salinan penuh memorandum tersebut dan menyemak untuk mengesahkan ia adalah M&A 1MDB seperti berikut:
 
"Pertama, semakan dengan rekod terkini dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan 1MDB dan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) mempunyai nombor syarikat yang sama, iaitu 848230-V,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.
 
Katanya, rekod terkini SSM juga menunjukkan bahawa TIA telah menukar namanya kepada 1MDB pada 25 September 2009.
 
Rafizi turut mendakwa pindaan kepada M&A telah difailkan kepada pendaftar syarikat melalui satu resolusi bertarikh 2 September 2009.
 
“Ini bermakna keseluruhan M&A ini besar kemungkinan difailkan untuk memenuhi proses mengambil alih dan menukar nama TIA kepada 1MDB seperti yang ditunjukkan oleh rekod terkini SSM,” katanya.
 
Menurutnya, melalui Artikel 117 bertajuk Reserved Matters dalam M&A menetapkan bahawa semua keputusan mengenai lantikan dan pemecatan pengurusan 1MDB serta sebarang komitmen kewangan termasuk keputusan pelaburan diambil oleh 1MDB yang boleh mempunyai kesan kepada jaminan Kerajaan Persekutuan perlu mendapat kelulusan bertulis Perdana Menteri.
 
“Ini bermakna, kemungkinan besar Najib tahu mengenai urusniaga 1MDB yang mengandungi kontroversi setakat ini kerana beliau diperlukan. Bon pertama yang diterbitkan oleh syarikat itu dalam tahun 2009 telah dijamin Kerajaan Persekutuan.
 
“Maka, setiap urusnaiga penerbitan hutang selepas itu ada kesan kepada jaminan yang diberikan Kerajaan Persekutuan itu dan tidak boleh dilaksanakan oleh 1MDB tanpa kelulusan bertulis Najib,” katanya.
 
Beliau berpendapat Najib perlu hadir sendiri ke Parlimen untuk menerangkan perkara itu.
 
“Beliau juga perlu hadir untuk memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menjelaskan sama ada kelulusan bertulis beliau telah diberikan bagi semua urus niaga dan pelaburan 1MDB selepas jaminan Kerajaan Persekutuan bagi bon pertama 1MDB,” katanya.

Isnin Depan Penentu Nasib 20,000 Kakitangan MAS


Diterbitkan: Khamis, 28 Mei 2015 7:35 AM

EKSKLUSIF
PETALING JAYA: Isnin depan, 20,000 kakitangan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) bakal menerima surat masing-masing.

Penantian untuk mengetahui sama ada mereka masih mempunyai pekerjaaan atau tidak akan berakhir.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAS yang baharu, Christoph Mueller menyatakan dengan jelas bahawa kebimbangan kakitangan syarikat penerbangan itu bakal ditamatkan tidak lama lagi.
Christoph Mueller

"Kakitangan syarikat dibiarkan berada dalam suasana yang tidak pasti sudah terlalu lama. Jadi ia menjadi kewajipan kami untuk menamatkan ketidaktentuan ini supaya semua orang boleh meneruskan kehidupan masing-masing," katanya dalam temu bual eksklusif bersama The Star.

Pada 1 Jun, surat penamatan perkhidmatan akan dihantar kepada semua pekerja.

Bagaimanapun kira-kira dua pertiga daripada kakitangan akan ditawarkan bekerja dengan syarikat baru itu, MAS Bhd.

Kumpulan itu mempunyai sehingga 12 Jun untuk memutuskan sama ada mereka mahu menyertai syarikat berkenaan dengan terma-terma baharu.

Syarikat penerbangan baharu iaitu sebuah entiti yang lebih kecil, hanya dapat menampung kira-kira 14,000 pekerja.

"MAS Bhd memerlukan kakitangan lebih sedikit kerana ia akan memberi tumpuan kepada laluan serantau.

"Adalah amat malang dan sangat sedih bahawa kami perlu melepaskan sebahagian kakitangan sedia ada," kata Mueller.

Proses penamatan perkhidmatan adalah sebahagian daripada rancangan untuk membentuk semula MAS.

Aset dan liabiliti sedia ada akan dipindahkan kepada MAS Bhd yang bakal mengambil alih operasi bermula 1 September.

Setiap kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan akan mendapat bayaran asas bergantung kepada gred mereka.

Mereka yang tidak ditawarkan pekerjaan dengan MAS Bhd juga layak untuk menerima bayaran ex-gratia.

Mereka yang ditawarkan bekerja di MAS Bhd juga akan mendapat bonus.

Proses penamatan perkhidmatan akan berlaku secara berperingkat, malah sesetengah daripada mereka mungkin ditawarkan kontrak jangka pendek.

Mueller berkata proses lengkap pemulihan MAS mungkin mengambil masa sehingga tiga tahun.

"Ia adalah satu proses yang sangat kompleks. Kami mempunyai prosedur berperingkat yang sangat perlahan," kata Mueller.

MAS Bhd akan menjadi syarikat penerbangan yang baharu, dengan wajah baharu dan penjenamaan semula.

Mueller berkata beliau menjangkakan tidak akan menerima maklum balas positif daripada keseluruhan pekerja yang ditawarkan menyertai MAS Bhd.

"Jika sambutannya kurang 100 peratus, kita akan buat tawaran pusingan kedua dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang tidak menerima tawaran pada pusingan pertama," katanya.

Jika perlu beliau berkata mungkin akan wujud penawaran untuk pusingan ketiga.

Beliau berkata, mungkin terdapat sebab-sebab tertentu untuk mereka menolak menyertai MAS Bhd, tetapi beliau akan memberikan butiran lengkap pada Isnin depan supaya kakitangan boleh membuat keputusan berdasarkan maklumat.

Papagomo Belajar Perundangan Lawan Anwar


Diterbitkan: Khamis, 28 Mei 2015 10:40 AM
Wan Muhammad Azri membaca buku undang-undang dalam usahanya untuk memenangi rayuannya dalam kes saman fitnah Anwar.

PUTRAJAYA: Penulis blog Papagomo kini mula membaca buku-buku perundangan dalam usahanya untuk memenangi rayuan bagi menggugurkan perintah mahkamah supaya membayar RM850,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnah.

Lelaki yang dikenali sebagai Wan Muhammad Azri Wan Deris di dua Mahkamah Tinggi itu berkata, dia membeli buku-buku perundangan untuk belajar tentang hak dan bagaimana untuk berhujah di mahkamah rayuan.

Pada 28 Februari tahun lalu, Wan Muhammad Azri diperintah membayar sebanyak RM850,000 kepada Anwar selepas gagal dalam saman fitnah oleh Anwar berhubung posting yang mendakwa pemimpin pembangkang itu terlibat dalam perbuatan tidak senonoh dengan lelaki lain.

Pada Selasa, Timbalan Pendaftar, Harith Sham Mohamed Yasin menetapkan 28 Ogos depan bagi rayuannya.

"Saya perlu belajar sendiri kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk melantik seorang peguam.

"Adalah sangat sukar kerana saya bukan graduan universiti. Saya perlu tahu cara yang betul untuk meyakinkan tiga hakim di Mahkamah Rayuan," kata Wan Muhammad Azri, 32.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata dia menghadiri beberapa pendengaran rayuan untuk belajar daripada peguam lain.

Menurut Wan Muhammad Azri, tindakannya yang perlu mengendalikan sendiri kes tersebut seharusnya menolak spekulasi bahawa dia ditaja oleh sebuah parti politik untuk menyerang Anwar.

Katanya lagi, dia perlu membayar ganti rugi berkenaan secara ansuran jika gagal dalam rayuannya kerana tidak mempunyai apa-apa aset.

Wan Muhammad Azri berkata dia kini bekerja sebagai jurulatih kecergasan.

"Isteri saya tidak bekerja. Dan dia hamil," katanya.

Peguam Anwar Shahid Adli Kamarudin berkata permintaan Papagomo untuk membayar kepada Anwar RM100 sebulan tidak boleh diterima.

Hakim Mahkamah Tinggi, Rosilah Yop memutuskan bahawa Anwar telah membuktikan bahawa Wan Muhammad Azri ialah blogger Papagomo.

Beliau berkata Papagomo menyalahgunakan kebebasan Internet dan memerintahkan dia membayar Anwar RM800,000 sebagai ganti rugi dan sebanyak RM50,000 sebagai kos.

DAP mahu Hadi jawab lima soalan bukti komitmen

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

GEORGETOWN - Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini meminta Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuktikan komitmennya terhadap PR dengan menjawab lima soalan mudah.

Lima soalan itu ialah mengapa Abdul Hadi memungkiri komitmen Pas kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan jaminan peribadinya kepada pimpinan pakatan; menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di tengah-tengah kemelut skandal RM42 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB); dan mahu mewujudkan 'kerajaan perpaduan' bersama Umno?

Guan Eng dalam kenyataan di sini hari ini turut mempersoalkan mengapa Abdul Hadi enggan menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh baru-baru ini.

Satu lagi soalan ialah mengapa mengisytiharkan bahawa menjadi kewajipan umat Islam untuk menyatakan kemarahan terhadap DAP kerana membantah undang-undang hudud, tanpa menyebut tentang orang Islam lain, orang bukan Islam, serta rakyat Sabah dan Sarawak yang turut membantah undang-undang hudud.

Guan Eng berkata walaupun sebelum ini Abdul Hadi dilaporkan berkata bahawa setakat ini Pas masih bersama PR, Ahli Parlimen Marang itu mesti membuktikan komitmennya dengan menjawab lima soalan berkenaan.

"Bukan sahaja Abdul Hadi, malah pimpinan senior Pas juga telah mengelak daripada menjawab lima persoalan ini dengan cuba menyalahkan DAP jika terjadinya perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

"Hanya kerana mempersoalkan lima perkara ini, beberapa pimpinan Pas telah menyerang DAP lebih hebat daripada mereka menyerang Umno. Namun, DAP mesti terus konsisten dengan prinsip dan mempersoalkan lima perkara ini, bukan sahaja selepas Muktamar Tahunan Pas ke-61 tetapi juga sebelum ia berlangsung," katanya.

Beliau berkata DAP tidak akan membiarkan mereka dibisukan oleh pemilihan parti Pas bagi menghalang parti itu daripada menyatakan apa yang benar dan mempertahankan yang hak daripada yang batil.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata kenyataan-kenyataan Abdul Hadi sebelum ini tidak konsisten dengan perakuan taat setia dan menyokong PR.

"Jika Abdul Hadi tidak boleh mengotakan janjinya, bagaimana DAP boleh bekerjasama dengan Abdul Hadi atas dasar hormat dan percaya," katanya.

Beliau berkata, pimpinan tertinggi DAP dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat pada 25 Mei lepas mengulangi kesediaan untuk berhadapan sebarang kemungkinan bagi Pakatan Rakyat pada masa akan datang sekiranya Abdul Hadi berjaya mengekalkan jawatannya sebagai presiden Pas.  - Bernama