Wednesday, March 14, 2012

Tips Nik Aziz untuk dapat zuriat yang baik

Tips Nik Aziz untuk dapat zuriat yang baik:


Salmah Mat Husain Foto: Rizal Tahir,14 Mac 2012

(Tuan Guru Nik Aziz ketika berucap di majlis ceramah keibubapaan di KTC)

KOTA BHARU, 14 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan tips istimewa kepada para pemuda untuk mendapatkan zuriat yang baik iaitu mencari isteri yang solehah.

“Isteri yang solehah dapat menerbitkan kebahagiaan rumah tangga di samping dapat mendidik anak-anak menjadi soleh,”ujarnya.

Sambungnya, isteri yang soleh lebih penting dari memilih kedudukan atau kekayaannya kerana apa yang ada itu adalah hak isterinya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ceramah keibubapaan ‘Zuriat Kita Tanggungjawab Kita’ anjuran Kelantan Trade Cantre (KTC) dan Buraqoil, di sini malam semalam.

Katanya, anak-anak bukan sahaja perlu diajar, sebaliknya turut diselangi dengan pendidikan.

Katanya, nasihat tidak akan sampai dengan sempurna pada anak-anak sekiranya mereka hanya diajar tanpa diterapkan dengan pendidikan bagi memudahkan golongan ini memahami setiap perkara yang diajar.

Tuan Guru bagaimanapun berkata, mereka bukan sahaja perlu dididik ketika berusia enam atau tujuh tahun sebaliknya sebelum mereka dibenihkan lagi.

“Suami isteri perlu menjaga akhlak serta membaca doa-doa yang diajar Rasulullah sebelum dan sewaktu ingin bersama pasangan masing-masing.

“Ianya amat penting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sekiranya waktu itu bermulanya percambahan zuriat,”ujarnya lagi.

Lebih 500 orang ibubapa termasuk kanak-kanak menghadiri program itu yang turut diadakan pertandingan hafazan kanak-kanak (lelaki).

'via Blog this'

Kalau laksana hudud, saya pertama sokong - Malek Nor


Salmah Mat Husain Foto: Rizal Tahir,14 Mac 2012


(Malek Nor dan Aziz Desa dalam sessi sembang petang di KTC)

KOTA BHARU, 14 Mac: Kerajaan diminta mengkaji semula undang-undang  yang ada  termasuk menimbang untuk melaksanakan hukum hudud khususnya berhubung jenayah memandangkan hukuman yang dikenakan terhadap ‘pendera’ kanak-kanak begitu ringan.

Bekas jaguh bina badan Asia, Datuk Malek Noor, berkata sekiranya kerajaan ingin melaksanakan hukuman hudud beliau adalah orang pertama yang akan menyokongnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis sembang petang bersama Datuk Malek Nor sempena Pekan Buku anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pusataka Wilayah Timur, Kelantan Trade Canter (KTC) dan Buroqoil.

Sembang Petang itu dikendalikan Ketua Pegawai Operasinya, Aziz Desa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataannya dalam ucapan sembangnya diawal majlis yang mengutuk kekejaman manusia mendera kanak-kanak termasuk ibubapa sendiri yang mencampak anak dari bangunan yang tinggi.

Ketika mengulas penderaan kanak-kanak, beliau tidak dapat menahan air matanya dari terus mengalir.

Malek seterusnya berkata, kerana undang-undang yang ada dalam negara begitu longgar menyebabkan pesalah termasuk orang lain tidak pernah berasa insaf dengan hukuman yang dikenakan.

“Setakat hukuman setahun, dua tahun kemudian lepas, tidak akan menginsafkan mereka.

“Andainya kerajaan berhasrat untuk melaksanakan hukuman hudud, saya adalah orang pertama yang akan menyokongnya kerana yakin hanya syariat Allah yang dapat mendidik manusia,”ujarnya.

Turut hadir pada program khas yang dianjurkan untuknya adalah isteri beliau, Datin Wan Asma Wan Ismail.

Pasangan pengantin ini melangsungkan perhakwinan mereka di Kota Bharu pada 12 Mac lalu dan majlis repsepsinya berlangsung di Hotel Renaissance yang turut dihadiri Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan isteri.

Katanya lagi, begitu juga hukuman yang dikenakan ke atas mat rempit yang dianggapnya begitu longgar menyebabkan golongan terbabit tidak pernah insaf untuk berhenti.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu berharap Kelantan akan sentiasa dirahmati disamping mengharapkan negeri itu menjadi yang terbaik di negara ini.

“Hasrat saya untuk melihat negeri ini menjadi contoh pada negeri-negeri lain di negara ini kerana keistimewaannya yang tersendiri khususnya penerapan Islam,”ujarnya.

CEO Lynas perlu dengar suara hati rakyat: Guan Eng



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mac 2012
Cabaran debat Guan Eng
KUALA LUMPUR - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta Pengerusi Eksekutif Lynas Corporation, Nick Curtis bertemu rakyat negara ini dahulu dan mendengar suara hati mereka berhubung pembinaan kilang di Gebeng, Kuantan.

Menurutnya, perkara itu telah dipersetujui kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) kerana CEO Lynas perlu bertemu dengan rakyat yang terjejas terlebih dahulu sebelum bertemu beliau dan pemimpin PR yang lain.

“Rakyat haruslah didahulukan, bukan kami kerana kami adalah pemimpin yang bekerja untuk mereka,” katanya pada sidang media di Parlimen, semalam.

Dalam laporan sebelum ini, Lynas Corporation kecewa dengan keputusan Guan Eng yang menolak pelawaan untuk bertemu Nick Curtis, semasa lawatan rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang itu ke Australia nanti.

Bagaimanapun, dalam kenyataan semalam, Lynas Corporation masih membuka tawaran untuk bertemu Guan Eng.

Katanya, syarikat mengalu-alukan peluang membantu Guan Eng memahami isu pelaburan Lynas Corporation terhadap penubuhan kilang di Gebeng, Kuantan.

Menurut kenyataan mereka, pertemuan itu khusus berhubung ulasan Guan Eng mengenai impak sampingan bahan radioaktif terhadap rakyat negara ini.

Kerajaan didesak audit RM1.92 bilion



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Mac 2012
KUALA LUMPUR - Pembangkang menggesa kerajaan mengaudit RM1.92 bilion yang dibelanjakan untuk pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana jumlah itu telah melebihi peruntukan asal yang diluluskan Parlimen iaitu RM1.8 bilion.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, rakyat berhak untuk mengetahui sumber peruntukan tambahan itu kerana ia tidak dibincangkan atau diluluskan dalam Kabinet.

“Jumlah dibenarkan mengikut kelulusan Bajet 2012 untuk tujuan BR1M hanya terhad kepada RM1.8 bilion sahaja. Ini dibuat dalam ucapan dan buku pembentangan Bajet 2012 yang diluluskan BR1M.

“Tetapi, tadi (semalam) Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak umum setakat ini jumlah dibelanjakan untuk BR1M ialah RM1.92 bilion melibatkan 3.5 juta isi rumah. Angka ini lebih besar daripada jumlah asal,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau menegaskan, kerajaan telah melanggar kelulusan yang ditetapkan Parlimen sekiranya persidangan kali ini tamat tanpa mengemukakan bajet tambahan.

“Setakat ini tiada audit yang telus untuk jelaskan siapa yang dapat, berapa ramai dan jumlah dana yg benar-benar disampaikan ke tangan rakyat,” katanya.

Nenek daif mohon dibantu

Nenek daif mohon dibantu
KAMPUNG BARU RPK –Seorang nenek di sini, tinggal menyewa dan hidup daif bersama anak dan cucunya.
Gayah Awang Kechik, 77, berkata, dia tidak pernah merasa tinggal di rumah sendiri seperti orang lain yang mempunyai rumah sendiri dan hidup selesa.
Menurutnya, rumah yang disewa cucunya juga tidak sempurna, berikutan bahagian­ bumbung yang bocor dan hanya mempunyai sebuah bilik sekali gus tidak dapat menampung sembilan isi keluarganya.
“Rumah yang disewa RM70 sebulan ini, sempit dan tidak selesa untuk didiami kami sekeluarga.
“Selain itu, bekalan air tiada menyebabkan anak dan cucu terpaksa mengangkut air di telaga yang jaraknya 500 meter dari rumah, ”katanya kepada Sinar Harian.
Gayah berkata, dia bersyukur kerana mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300, dan dapat meringankan beban anak dan cucunya untuk membeli keperluan harian.
“Saya hanya mahu rumah yang selesa kerana sudah tidak tahan lagi tinggal menyewa, namun sehingga kini impian ingin memiliki kediaman sendiri masih tidak kesampaian. Saya hanya mampu berdoa dan berharap ada pihak yang sudi membantu,” katanya.
Cucu sulungnya, Rasidah Abd Wahad, 32, berkata, ketiadaan tanah menyukarkan impian neneknya untuk tinggal di rumah sendiri, dan terpaksa tinggal menyewa bersamanya.
Menurutnya, dia yang sejak kecil tinggal bersama neneknya sering berpindah.
“Saya dan suami sudah dua tahun tinggal menyewa dekat sini, bersama nenek dan bersama bapa saudara. Mereka hanya bekerja kampung dan tidak mampu untuk beli tanah dan bina rumah sendiri.
“Berikutan itu, saya minta pihak berkenaan bantu nenek untuk peroleh rumah sendiri,” katanya.

Noh saman Kerajaan Selangor, Adun Sekinchan




14 Mac 2012
Datuk Seri Noh Omar
KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar telah memfailkan saman fitnah terhadap kerajaan negeri Selangor serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Sue Lim kerana didakwa memfitnah beliau.
Noh berkata kerajaan negeri Selangor melalui akhbar rasminya SelangorKini dalam keluaran 25 Nov-2 Dis 2011 telah menerbitkan dua artikel yang dikatakan memfitnah beliau berbunyi: "Pesawah tuntut Noh Omar letak jawatan" serta artikel yang turut menyiarkan kain rentang "Noh Omar khianat petani dan lesap RM110 juta untuk bantuan petani".
"Satu kita saman kerajaan negeri bersama enam yang lain termasuk sidang pengarang SelangorKini dan satu lagi kepada Adun Sekinchan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Katanya, saman sebanyak RM10 juta setiap satu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Mac lepas melalui peguamnya Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.
Noh berkata penerbitan kata-kata fitnah itu boleh menjatuhkan reputasi beliau sebagai anggota parlimen Tanjong Karang, menteri dan juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.
Mahkamah menetapkan 22 Mac ini untuk pendengaran pengurusan kes.

Majlis tunang: Shangri-la nafi dakwaan PKR

Majlis tunang: Shangri-la nafi dakwaan PKR - Nasional - Sinar Harian:
ANAK NAJIB
SHAH ALAM - Hotel Shangri-la Kuala Lumpur menafikan kos katering bagi majlis pertunangan anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa ditanggung oleh Jabatan Perdana Menteri.
Sebaliknya menurut pengurusan hotel itu hari ini, pembayaran dibuat oleh Najib sendiri.
Kenyataan itu sekali gus menafikan tuduhan Jingga 13 dan PKR sebelum ini, mendakwa Pejabat Perdana Menteri menanggung kos RM409,767.
Menurut kenyataan itu, Hotel Shangri-la Kuala Lumpur ada menerima pengesahan tempahan katering di luar pada 2 Jun 2011 bagi satu majlis di Seri Perdana Putrajaya yang dijadualkan berlangsung pada 17 Jun 2011.
"Adalah menjadi prosuder biasa setiap tempahan yang dibuat hendaklah disahkan. Bagi majlis ini, ia disahkan pada empat hari sebelumnya iaitu 13 Jun.
"Majlis berkenaan adalah pada 17 Jun dan pembayaran keseluruhannya dibuat oleh perdana menteri pada 30 Jun, bukannya dibuat melalui Pejabat Perdana Menteri," kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Najib menafikan majlis pertunangan anak perempuannya itu bersama warga Khazakhstan, Daniar Nazabayev menggunakan duit kerajaan.
Katanya, perbelanjaan pertunangan anak perempuannya tidak ditanggung oleh Pejabat Perdana Menteri sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak,” kata mesej menerusi Twitter di bawah akaun Pejabat Akhbar Perdana Menteri (Msia PM Press Office).
Mesej susulan pula menyebut, “Pejabat Perdana Menteri akan mengeluarkan satu kenyataan berkenaan dakwaan dalam waktu terdekat.”
Semalam, Jingga 13 meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat berhubung isu tersebut.

'via Blog this'