Wednesday, September 22, 2010

Waran tangkap terhadap Shamsul Iskandar jika enggan bantu siasatan - Khalid

SHAH ALAM: Polis memberi amaran kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin bahawa waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya jika terus mengelakkan diri daripada memberi keterangan berhubung dakwaannya yang mengaitkan polis dengan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata Shamsul Iskandar sepatutnya hadir di balai polis jika benar mempunyai bukti kukuh yang menyokong dakwaannya itu.
"Shamsul sendiri tahu keterangannya diperlukan polis bagi membantu siasatan kes ini, namun dia masih tidak muncul dan telefon bimbitnya pula ditutup sekarang. Kalau ada bukti, datang kepada polis dan sahkan dakwaannya itu, kita beri peluang. "Polis akan keluarkan perintah mengikut Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah jika enggan untuk hadir membantu siasatan polis. Bagaimanapun, tindakan mengeluarkan waran tangkap terhadap Shamsul Iskandar adalah sebagai langkah terakhir jika polis masih gagal hubungi beliau," katanya selepas menghadiri majlis penyerahan Balai Polis Bergerak dan Motosikal oleh Sime Darby Property Bhd kepada Polis Kontinjen Selangor dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diubahsuai menjadi balai polis bergerak dan tiga motosikal jenis Honda Wave 100cc yang kesemuanya bernilai RM617,250 diserahkan kepada polis oleh Pengarah Urusan Sime Darby Property Bhd (Sime Darby), Tunku Datuk Putra Badlishah Tunku Annuar.

Media sebelum ini melaporkan, Shamsul Iskandar menerusi siaran berita portal TV Selangor pada 13 September lalu mengaitkan kepimpinan tertinggi pasukan polis sebagai yang didakwa terbabit dalam pembunuhan kejam Sosilawati bersama tiga lagi rakannya.

Sosilawati, 47, bersama pemandu, Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang 30 Ogos lalu sebelum ditemui mati dibunuh di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting. Khalid juga memberi amaran kepada Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam supaya tidak mengganggu siasatan polis dengan membawa isteri ahli perniagaan warga India yang dilaporkan hilang di Banting sejak awal tahun ini, S.Usharani ke lokasi pembunuhan Sosilawati.

"Polis sudah merekodkan keterangan Usharani pada 8 September lalu dan akan meminta beliau datang semula dengan anaknya untuk membantu siasatan kita lagi termasuk untuk mengambil sampel DNA.

"Jadi, mana-mana ahli politik jangan cuba menjadi pegawai penyiasat dengan mencampuri urusan kita. Kalau jadi ahli politik buatlah kerja untuk membantu rakyat bukannya buat kerja polis," katanya.

Suri rumah itu yang menetap di Ramapuram, Chennai ketika dihubungi media sebelum ini, mendakwa suaminya, Allal Kathan Muthuraja, 34, tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu rakan karibnya iaitu dua beradik yang juga peguam disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Sosilawati.

Sementara itu, dalam majlis berasingan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor menyampaikan penghargaan kepada Khalid atas kejayaan polis menyelesaikan kes Sosilawati.

Yang Dipertuanya, Abdullah Mansor berkata, Sosilawati dan tiga rakannya itu adalah anggota biasa Perkasa daerah Klang sejak pertubuhan itu ditubuhkan. - Bernama

Protes isu penderaan: Demonstrasi anti-Malaysia kembali



22/09/2010 7:52pm

JAKARTA 22 Sept. – Setelah menyepi sejak dua hari menjelang Aidilfitri baru-baru, kumpulan aktivis masyarakat Indonesia pada Rabu kembali mengadakan demonstrasi anti-Malaysia dengan kali ini membawa isu pembantu rumah dari negara itu yang diseksa dan diperkosa oleh majikan Malaysia.
Dalam cuaca hujan yang lebat dan renyai hari ini, demonstrasi berkonvoi 150 motosikal itu membabitkan kira-kira 300 penunjuk perasaan dari beberapa kumpulan aktivis yang menamakan diri “aliansi pemuda pemudi anti-Malaysia” dengan didominasi anggota kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera).
Dua lagi kumpulan yang turut serta ialah Gerakan Pemuda Daerah dan Relawan Prodemokrasi.
Sambil membawa bendera Indonesia serta bendera kumpulan masing-masing serta sepanduk “Ganyang Malaysia”, mereka membunyikan hon motosikal dan meneriak “Ganyang Malaysia” di hadapan kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan dan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia, Kuningan, Jakarta Selatan.
Kedua-dua tempat itu dikawal ketat oleh pasukan polis Indonesia.
Demonstrasi dimulai pukul 1.30 petang di hadapan Kediaman Duta Besar Malaysia dan pukul 2 petang di hadapan Kedutaan Besar Malaysia dan berlangsung selama 10 minit di kedua-dua tempat itu. – Bernama

Elaun Diraja: Sidang Khas Dun Kelantan 30 Sept

Rizal Tahir  

KOTA BHARU, 22 Sept: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Khas Negeri Kelantan akan diadakan pada 30 September ini khusus untuk membincangkan soal elaun Diraja Kelantan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata persidangan khas itu khusus untuk mengemukakan cadangan Rang Undang-Undang berhubung elaun-elaun Kerabat Diraja pindaan no 2 2010.
Menurutnya, Rang Undang-Undang itu juga turut menyentuh peruntukan Diraja Bagi Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan bagi negeri Kelantan.
Katanya, pada mulanya persidangan Dun khas itu akan diadakan pada 27 September, namun ianya dipinda pada 30 September.
“Kita tunda pada 30 September biasa saja, hanya masalah teknikal,” ujarnya kita ditanya kenapa ianya ditunda pada 30 Sptember.
Sehubungan itu, katanya semua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) telah dimaklumkan berhubung perkara itu.

Cek RM4 bilion: PAS anggap propaganda jahat

Harakahdaily  

KUALA LUMPUR, 22 Sept: PAS Pusat menyifatkan tindakan penyebaran gambar kononnya sebuah syarikat perniagaan memberikan sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan sebagai satu propaganda jahat memusnahkan nama baik PAS.

Selain menafikan PAS menerima cek itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub juga menyeru ahli PAS berhati-hati dengan isu yang cuba mengaitkan PAS tersebut.

"Kami sifatkan berita ini serta penyebaran berita sebegini satu tindakan propaganda jahat untuk memusnahkan nama baik PAS.

"Sehubungan itu, saya menyeru semua ahli PAS agar berhati-hati dengan isu ini kerana jelas cuba mengaitkan PAS dengan aktiviti tidak sihat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar selam yang mendakwa Syarikat I’DA World Group Sdn Bhd (l’DA World) memberi sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan dalam satu majlis makan malam di Kota Bharu.

Replika cek tersebut diserahkan kepada adinda Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat.

Nik Din semalam bagaimanapun menjelaskan beliau ke majlis itu atas kapasiti peribadi dan menafikan beliau mewakili mana-mana pihak.

Dalam pada itu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mengumumkan bahawa kerajan negeri akan menyenaraihitamkan syarikat tersebut yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu.

Beliau juga menafikan bahawa parti pernah melantik Nik Din mewakili beliau menerima replica cek tersebut.

Menurutnya lagi, Syarikat I’DA World Group Sdn Bhd (l’DA World) tidak mempunyai sebarang projek di negeri ini dan kerajaan negeri juga tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya

 Pemilihan PKR cermin komposisi Malaysia

Dzulfikar Mashoor  

PETALING JAYA, 22 Sept: Pemilihan PKR kali ini berjaya mencerminkan representasi sebenar rakyat Malaysia, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.
"Kalau nak tengok sebuah parti yang rupa dan wajahnya Malaysia, tengok Parti Keadilan (PKR).
"Kemeriahan pesta demokrasi yang parti sediakan di mana setiap anggota berhak mengundi," ujarnya petang tadi di Ibu Pejabat PKR.
Beliau berkata demikian kerana dari 385 ribu ahli parti yang berdaftar, 60 peratus pengundi Melayu, 23 peratus pengundi India, 12 peratus pengundi Cina dan 15 peratus terdiri oleh kaum-kaum minoriti Sabah dan Sarawak masing-masing berhak menentukan kepemimpinan parti.
Keanggotaan mengikut negeri pula, katanya menyaksikan Selangor mempunyai keanggotaan paling ramai iaitu sebanyak 108 ribu ahli atau 30 peratus.
Kemudian, diikuti oleh Sabah (66 ribu), Perak (33 ribu), Pulau Pinang (31 ribu), Sarawak (22 ribu) dan Kuala Lumpur (17 ribu) yang masing-masing, menurut beliau sedang mencorak kepemimpinan di peringkat cabang, negeri dan pusat.
"Ianya juga memberi petunjuk kekuatan sebenar parti dari Perlis sampailah ke Sabah," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Machang.
Ujarnya lagi, kerusi Presiden PKR yang kini disandang oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bakal menyaksikan dua pencalonan yang layak, iaitu Wan Azizah sendiri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dikenali sebagai Ketua Umum PKR.
Manakala kerusi Timbalan Presiden, katanya menyaksikan empat calon layak bertanding, iaitu Azmin Ali, Datuk Zaid Ibrahim, Mustaffa Kamil Ayub dan Tian Chua.
Turut dimaklumkan, seramai 15 individu layak bertanding untuk mengisi empat kerusi Naib Presiden.
Mereka yang layak adalah Tan Sri Khalid Ibrahim, Tian Chua, Chua Jooi Meng, Fuziah Salleh, Dr. Lee Boon Chye, Dr. Mansor Othman, Azmin Ali, S. Manikavasagam, Sivarasa Rasiah, Zaid Ibrahim, Dr. Xavier Jayakumar, Mustaffa Kamil Ayub, Yahya Shaari, Nurul Izzah Anwar dan Samsul Iskandar Md Akin.
Tambahnya lagi, sebanyak 67 cabang dari 84 cabang menyaksikan pertandingan sempena musim pemilihan kali ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa seramai 74 calon layak bertanding untuk mengisi 20 kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
"Ini calon yang layak bertanding setakat ini, soal mereka mahu bertanding atau tidak, itu soal mereka," tegasnya sambil mengajak rakyat melihat perkembangan semasa pemilihan di sesawang rasmi parti itu, http://keadilanrakyat.org.
Semarakkan demokrasi parti
Demi menyemarakkan demokrasi berparti, beliau berkata, JPP turut membuka peluang seluas-luasnya kepada semua calon menggunakan portal rasmi parti untuk berkempen.
Tidak cukup dengan itu, jawatankuasa bercadang menganjurkan forum dan debat supaya pengundi mengundi berasaskan politik maklumat.
"Kita bincangkan juga sekarang untuk membuka suatu pentas forum dan debat kepada calon-calon untuk memberi ruang kepada calon menzahirkan pandangan.
"Dengan kita buat mengikut zon dari Utara, Tengah sehinggalah Sabah dan Sarawak, memberi peluang kepada semua anggota (pemilih) berinteraksi dan bermaklumat dengan calon-calon ini," ujarnya.
PKR, katanya mahu menjadikan pemilihan kali ini sebagai pelantar ujian untuk bagi menghadapi musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang dijangka tahun depan.
"Pembelajaran ini benar-benar asli kerana parti pelantarkan sistem pemilihan ini seolah-olah mereka (pengundi) menghadapi pilihan raya yang sebenar.
"Ada isi borang calon, isi borang penamaan calon, bayar deposit, pamer borang penamaan calon, tempoh bantahan, bantahan diterima, kertas undi dicetak dengan tertera nama calon, mengundi dan keputusan diumumkan," ujarnya.
Tegasnya, kaedah pemilihan kali ini yang berasaskan maklumat menjadikan parti tersebut benar-benar mengiktiraf kuasa undi ahli.
"Ia suatu proses pembelajaran di mana proses pemilihan (secara) terbuka dan bebas tanpa naungan atau pengaruh daripada mana-mana pihak."
176 aduan, tiada politik wang
Dari makluman rasmi Pengerusi JPP, katanya telahpun menerima 176 aduan sama ada berkaitan calon, proses pemilihan ataupun aduan berkaitan disiplin kepartian.
Namun, katanya aduan-aduan yang diterima langsung tidak menyentuh soal politik wang dan rahsuah yang lazim berlaku dalam pemilihan Umno.
"Yang uniknya ialah tidak ada satu pun aduan berkaitan proses beli undi...satu anggota satu undi yang diamalkan kita adalah jawapan pada amalan politik wang yang melanda Umno," ujarnya.
Turut hadir, Dr, Molly Cheah (Pengerusi JPP), Radin Shamsul Kamar (Setiausaha Pengelola Pemilihan), Sharifah Shahida (Timbalan Setiausaha Agung) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Pengarah Komunikasi).

Jet eksekutif terbabas di lapangan terbang Kuala Terengganu

Harakahdaily  

KUALA TERENGGANU, 22 Sept: Sebuah jet eksekutif jenis Falkon 900 M 37-0 milik Tentera Udara di Raja Malaysia (TUDM) dipercayai dipandu dua juruterbang TUDM  terbabas ke dalam kawasan lapang, lapangan terbang sewaktu mendarat cemas pagi tadi.

Ia berlaku ekoran tayar belakang sebelah kiri pesawat terbabit meletup.
(Gambar: Jet yang selalu digunakan pembesar negara terbabas di Kuala Terengganu)

Asistant Commisioner Zamri Shamsuddin, Ketua polis Daerah Kuala Teregganu yang dihubungi mengesahkan pesawat milik TUDM itu yang selalu digunakan untuk penerbangan khas membawa para pembesar negara.

Tidak diketahui apakah ia dijadualkan akan membawa mana-mana pemimpin negara atau negeri dalam penerbangan dari Kuala Terengganu selepas itu.

Dalam kejadian cemas 10.45 pagi tadi itu, jet yang terbang dari Lapangan Terbang Subang ke lapangan Terbang Sultan Mahmood adalah untuk penerbangan latihan dipercayai terbabas dikawasan lapang sewaktu mendarat dari arah barat balai bomba dan penyelamat.

Kedua-dua juruterbang dan tiga anggota TUDM yang menaiki jet berkenaan tidak mengalami apa-apa kecederaan. Mereka adalah Mejar Haris Hassan, Mejar Hassan Bakri Tajul Ariffin, Kapten Farah Diba Ahmad Roslan, Kapten Tengku Syed Mahmmod Tengku Amin, PN Rozainor Mat Zin.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Lapangan terbang Sultan Mahmood,  Ahmad Ramli Mahmood yang ditemui menjelaskan, jet berkenaan tidak mengalami kerosakan besar berjaya ditarik keluar jam 12.55 tengahari tadi mengunakan enjin pesawat tersebut, selepas usaha menarik mengunakan kren gagal.

Waktu Operasi lapangan terbang yang terpaksa dihentikan selama 2 jam lebih itu beroperasi sediakala jam 1 petang tadi.

Rakyat Terengganu perlu tolak pemimpin ‘jahat’, ‘lemah’

Hazayani Zakaria  

KUALA LUMPUR, 22 Sept: Rakyat Terengganu harus 'celik' dalam memilih pemimpin agar tidak berhadapan dengan pelbagai masalah akibat kelemahan pemimpin yang dipilih.
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pemimpin yang wajar dipilih ialah pemimpin yang mengamalkan dasar Islam yang sebenar, bukan mengambil sebahagian sahaja untuk kepentingan politik mereka.
"Rakyat Terengganu kena pilih pemimpin yang mempunyai agenda Islam yang jelas dan mesti tengok individu yang memperjuangkan dasar agama, bukan memperjuangkan dasar kebangsaan atau pembangunan semata-mata atau sesuatu yang tidak lengkap dan tidak syumul.
"Perjuangan Islam ialah perjuangan yang syumul yang membabitkan pembangunan, akhlak, adat dan semua sekali," kata Nik Zawawi ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbalahan berpanjangan di antara penyokong-penyokong bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Penyokong-penyokong Idris mendakwa Ahmad sebagai 'bodoh' dan 'tidak pandai memerintah negeri' manakala penyokong-penyokong Ahmad pula menyifatkan Idris sebagai 'jahat dan 'tidak tahu adab'.
Nik Zawawi mengakui kepimpinan Idris semasa menerajui negeri dahulu hanyak memberi tumpuan kepada pembangunan materialistik serta meninggalkan ajaran Islam.
Ahmad pula ujarnya, memang lemah dari sudut pengurusan dan juga tidak mementingkan ajaran Islam.
"Bagi saya, dua-dua kepimpinan begini tidak berguna. Kepimpinan Idris dahulu memang banyak memberi perhatian kepada pembangunan semata-mata dan meninggalkan masalah adab sopan termasuk dengan Sultan dan meninggalkan banyak ajaran Islam yang menyebabkan banyak kecacatan berlaku.
"Ahmad Said pula memang dari sudut pentadbiran negeri memang lemah di samping dia meninggalkan ajaran Islam," katanya yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat.
Tambahnya, pemimpin yang tidak mengamalkan dasar Islam akan berdepan dengan pelbagai masalah termasuk masalah pembangunan, akhlak dan moral.
"Oleh kerana pemimpin Umno oleh kerana dasarnya lari daripada Islam, maka kita dapat lihat kecacatan di pelbagai aspek.
"Sebab itu kalau kita tengok di negara kita bukan sahaja di Terengganu, di negeri yang lain pun, soal keruntuhan moral amat ketara,” ujarnya.
Justeru, beliau mengingatkan rakyat Terengganu agar tidak membuat kesilapan dalam memilih pemimpin dan meletakkan agama sebagai kriteria utama.
"Kalau tidak meletakkan Islam di hadapan, kita akan berdepan dengan masalah yang sama sebagaimana kita pernah pilih pemimpin-pemimpin sebelum ini.
"Kita tidak ada pilihan yang lain kecuali kita kena tukar dasar itu sendiri yang mana pemimpin yang bakal kita pilih ialah pemimpin yang membawa dasar agama yang lengkap, barulah negara kita selamat," katanya.

Najib ke New York awal atas permintaan Obama: Jamaludin


Daripada Amirullah Andi Nur

2010/09/22

PHILADELPHIA: Duta Malaysia Ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, mengesahkan ketibaan awal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ke New York esok berikutan keinginan Presiden Barrack Obama hendak bertemu beliau sebelum bermulanya sesi ke-65 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). 

Katanya, pemimpin Amerika itu menaruh harapan tinggi hendak mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri bersama semua ketua kerajaan ASEAN yang bakal menghadiri perhimpunan tahunan berkenaan menerusi Mesyuarat Kedua Pemimpin-Pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat “Perdana Menteri akan datang awal kerana mendapat jemputan daripada Obama. Saya dimaklumkan, White House berasakan kalau Obama mengadakan pertemuan dengan ketua negara ASEAN tanpa kehadiran Perdana Menteri, ia bagaikan satu kecacatan. “Sebab itu, saya menghantar pesanan kepada Perdana Menteri supaya mengubah jadual kedatangannya ke sini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi mesyuarat meja bulat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri diketuai Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, dengan lebih 40 ahli perniagaan dan pelabur AS di Hotel Hyatt Philadelphia. 

Mengikut jadual asal, Najib dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, New York pada pagi Ahad ini. 

Perdana Menteri dijadual tiba secara rasmi di New York pada jam 7.50 pagi esok dan kembali ke tanah air pada 28 September. 

Mengikut kenyataan daripada Wisma Putra semalam, Perdana Menteri akan diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman serta barisan pegawai daripada Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri. 
Penyertaan Perdana Menteri dalam sidang kemuncak itu selaras dengan pendirian Malaysia yang menganggap PBB sebagai wadah utama dalam mempamerkan komitmen serta mengukuhkan kerjasama dengan masyarakat dunia bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan sejagat. 

Najib dijadualkan menyampaikan ucapan pertama beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia di Debat Umum Perhimpunan Agung PBB pada 27 September 2010, selain menghadiri Mesyuarat Kedua Pemimpin-Pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat pada 24 September yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Minh Triet selaku Presiden ASEAN, dan Obama. 

Mengulas lanjut, Jamaluddin menyifatkan jemputan Obama itu adalah satu penghormatan besar kepada Malaysia sekali gus menunjukkan wujud satu anjakan baru dalam hubungan antara AS dan negara ini. 

“Kita berasa bangga dengan penghormatan diberikan oleh AS kepada Malaysia. Ini adalah satu anjakan baru kepada kita kalau dibandingkan dengan hubungan terdahulu,” katanya. 

Mengenai agenda pertemuan itu, Jamaluddin membayangkan ia bakal menyentuh pelbagai isu berkaitan termasuk mengenai hubungan dagangan baru antara Malaysia dan AS. 

Katanya, kedatangan Mustapa dan delegasinya ke Washington DC esok bakal membantu mempercepatkan lagi perbincangan antara kedua-dua pihak bagi membentuk jalinan hubungan perdagangan baru. 

“Dulu kita hanya ada hubungan dagangan antara Malaysia dan AS, tapi sekarang kita ada perjanjian baru dikenali Perjanjian Trans Pacific Partnership (TPP). Menerusi perjanjian ini ia akan dilaksanakan secara berkumpulan dengan tujuh negara. 

“Justeru, kini kita bukan saja bakal membentuk hubungan perdagangan baru, tetapi juga hubungan dengan tujuh negara lain seperti Chile, Australia, New Zealand, Singapura, Brunei. Bila kita tandatangan perjanjian ini, kita bukan saja dapat pertingkat perdagangan dengan AS malah dengan negara tujuh itu dan dunia,” katanya. 

Jamaludin berkata, perkembangan itu jelas adalah selari dengan visi Perdana Menteri yang kini memperkenalkan model ekonomi yang dikenali Model Ekonomi Baru (MEB). 

“Ia adalah satu rangsangan baru kepada perdagangan baru Malaysia dengan dunia. Dengan ini kita dapat melihat TPP bakal menjana peluang pekerjaan baru kepada anak muda kita, sekali gus mampu meningkatkan eksport kita sejajar dengan impian negara dan Perdana Menteri,” katanya. 

Singapura tawar tanah RM16b untuk konsortium

 


2010/09/22

SINGAPURA: Bidang tanah yang akan diberi Singapura kepada sebuah konsortium Malaysia-Singapura dalam usaha kedua-dua negara menyelesaikan pertikaian berpanjangan mereka dianggarkan bernilai sehingga RM16 bilion, kata penganalisis hartanah di sini semalam. 

Tanah berkenaan yang terletak di Marina Bay di sini diserahkan kepada konsortium itu di bawah perjanjian antara kedua-dua negara yang menyaksikan Kuala Lumpur menyerahkan hartanah berkaitan kegunaan perkhidmatan kereta api yang dimilikinya di republik itu kepada Singapura. Singapura pula menawarkan dua tanah seluas 5.29 hektar di bawah perjanjian itu, menurut maklumat disediakan Kementerian Pembangunan Kebangsaan (MND). M-S Pte Ltd akan memperoleh pemilikan tanah itu untuk dibangunkan dengan 60 peratus ekuiti konsortium dimiliki Khazanah Nasional Berhad dan 40 peratus oleh Temasek Holdings. 

Bidang tanah itu dikenal pasti sebagai kegunaan putih oleh MND yang boleh digunakan untuk pembangunan hartanah komersial bernilai tinggi. AFP

Sukar selesai masalah


Oleh Ifwan Tun Tuah dan Rabi'Atul 'Adawiyah Ismail

2010/09/21

Rumah dilanda banjir kilat berterusan jika penduduk enggan benar bina tebatan: JPS

LABU: Keengganan sebahagian besar penduduk yang tinggal di sepanjang Anak Sungai Batang Labu, di sini memberi kebenaran kepada pihak berkuasa melaksanakan projek tebatan banjir menyebabkan projek berkenaan tertangguh lebih lima tahun. 

Lebih memburukkan keadaan sepanjang tempoh itu, beberapa kampung dan kawasan perumahan berhampiran sungai terbabit sering dilanda banjir kilat berikutan sistem pengairan sungai itu yang tidak sempurna. Jurucakap Jabatan Pengairan Saliran (JPS) negeri, berkata peruntukan Projek Tebatan Sungai Batang Labu diluluskan pada Rancangan Malaysia Ke-8 dan sekali lagi ditambah pada RMK-9, namun pelaksanaannya sering bermasalah. "Projek itu merangkumi pelebaran dan pedalaman Sungai Batang Labu dan anak sungai itu dalam usaha mengatasi masalah banjir kilat. 

"Namun, sejak beberapa tahun lalu, sebilangan besar penduduk di tebing sungai tidak membenarkan kita masuk untuk melakukan sebarang kerja termasuk untuk penyelenggaraan, apatah lagi mengorek sungai itu," katanya kepada Berita Harian. 

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat menjalankan kerja berkenaan tanpa kerjasama penduduk kerana sebahagian sungai berada dalam tanah persendirian, selain ada penduduk yang membina rumah terlalu hampir dengan sungai itu. 

Beliau berkata, pihaknya kesal kerana penduduk tetap enggan bekerjasama walaupun ditawarkan pampasan setimpal bagi membolehkan projek itu dilaksanakan. 
Jumaat lalu, kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Batu 8, 9, dan 10 di sini terjejas apabila rumah mereka dinaiki air mencecah 1.2 meter akibat banjir kilat apabila air melimpah dari Sungai Batang Labu dan Anak Sungai Batang Labu selepas hujan lebat lebih empat jam. 

Tinjauan Berita Harian mendapati beberapa rumah di kawasan berkenaan terletak terlalu hampir dengan sungai malah ada sebuah kedai makan dibina di atas anak sungai terbabit. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labu, berkata penduduk perlu memberi kerjasama kepada JPS demi kepentingan bersama. 

"Jika projek ini tidak dapat dilaksanakan, masalah ini tidak akan selesai dan penduduk juga yang akan sentiasa diancam bahaya serta kerugian akibat banjir kilat. 

"Kita minta supaya semua penduduk terbabit memberi kerjasama, kerana jika hanya sebahagian saja berbuat demikian, sistem pengairan yang dirancang tidak akan berfungsi dengan baik," katanya. 

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Batu 8 Labu, Alek Chai, berkata beliau akan berbincang dengan penduduk supaya membenarkan pihak berkuasa menjalankan projek berkenaan bagi menyelesaikan masalah banjir kilat. 

"Dalam pada itu, kita memohon pihak berkuasa mengambil langkah sementara termasuk mendalamkan kawasan tertentu pada anak sungai berkenaan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat," katanya. 

Pemandu teksi dihukum mati kerana bunuh Syafiah Humaira



SHAH ALAM - Pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi ini setelah didapati bersalah membunuh kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun, Syafiah Humaira Sahari, Februari lalu.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki, membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mohd Fazli Azri, 28, didakwa membunuh Syafiah Humaira yang merupakan anak teman wanitanya di padang bola sepak, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang kali pada 6.30 petang 25 Febuari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohd Fazli Azri, teman lelaki kepada ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, didakwa membunuh kanak-kanak itu dengan cara menendang dan memijak perut mangsa.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani, Hanim Mohd Rashid dan Zureen Elina Mohd Dom manakala Mohd Fazli Azri diwakili peguam Gurbachan Singh.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 7 Jun lalu, mahkamah telah mendengar keterangan daripada 33 orang saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan. - Bernama

Malaysia kutuk sebarang bentuk penderaan terhadap pekerja: Anifah


PUTRAJAYA - Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk penderaan terhadap mana-mana pekerja, tidak kira kewarganegaraan ataupun sektor pekerjaan, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini.

Justeru itu kerajaan serta rakyat Malaysia amat sedih dan terharu di atas kes penderaan terbaru, membabitkan seorang pembantu rumah dikenali Win Faidah yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia pada 17 Sept lepas.

"Adalah dikesali bahawa kejadian tersebut berlaku, walaupun majikan-majikan kepada pembantu-pembantu rumah telah sering diberi nasihat yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Anifah berkata sehubungan itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Luar akan memberi bantuan yang diperlukan kepada kerajaan Republik Indonesia bagi menguruskan perkara-perkara berkaitan. 

Katanya kerajaan Malaysia juga memberi jaminan bahawa Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan akan membuat siasatan segera dan rapi serta menjatuhkan hukuman setimpal terhadap pelaku kesalahan tersebut.

Pembantu rumah berumur 26 tahun itu, dikatakan telah didera secara fizikal dan seksual sejak lebih empat bulan oleh majikannya dan ekoran itu sepasang suami isteri telah ditahan polis pada 19 Sept lalu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Mereka juga akan turut disiasat menurut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 berdasarkan bukti serta keterangan yang diperoleh.

Badrul didakwa bertindak ganas lagi ke atas isteri

AMPANG: Tak habis-habis buat hal.
Itu yang berlaku kepada pelakon popular, Badrul Muhayat, 42 tahun, apabila beliau sekali lagi didakwa melakukan keganasan terhadap isterinya di rumah mereka di Kampung Cheras Baru di sini, Ahad lalu.Kali ini pelakon terbabit, yang menjadi berang apabila isterinya, Cik Julia Daud, 29 tahun, meminta beliau menurunkan tandatangan di atas surat permohonan cerai, didakwa menendang wanita berkenaan di pinggang.Dalam kejadian sekitar 4.30 petang itu, pelakon tersebut pulang ke rumah dalam keadaan tergesagesa sebelum menyelongkar dan mengambil pakaiannya dalam bilik.Menurut sumber polis, ketika itu isterinya meminta pelakon berkenaan menurunkan tandatangan surat yang menyatakan bersetuju untuk bercerai secara baik sebelum Badrul menjadi marah dan berlaku pertengkaran antara mereka.'Pelakon itu bertegas tidak mahu menandatangani surat terbabit sebelum beliau secara tiba-tiba mengambil anak perempuannya, Siti Nor Batrisyia, yang berusia tiga tahun, dan membawanya menaiki kereta.'Bagaimanapun, isterinya cuba mengejar sebelum pelakon terbabit memberhentikan kereta di depan rumah pengasuh anak tidak jauh dari rumah mereka,' katanya.Beliau berkata sebaik meninggalkan anaknya di hadapan rumah, isteri pelakon itu segera memasuki kereta dan mendesak pelakon tersebut menandatangani surat persetujuan bercerai.'Tindakan itu menyebabkan pelakon berkenaan berang dan terus menendang pinggang isterinya itu dengan tujuan menghalaunya keluar daripada kereta.'Berlaku sedikit pergelutan antara mereka sebelum beberapa jiran menenteramkan keadaan dan meminta pasangan itu masuk ke dalam rumah untuk berbincang,' kata sumber polis.Menurutnya, selepas berbincang, pelakon itu bersetuju menandatangani surat menyatakan beliau bersetuju bercerai secara baik dengan isterinya itu sebelum meninggalkan rumah dalam keadaan tergesa-gesa.'Malah, pelakon itu sempat memberitahu isterinya bahawa beliau tidak akan hadir pada perbicaraan perceraian mereka di Mahkamah Syariah Kajang Rabu ini,' tambah sumber itu.Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Penolong Pesuruhjaya Abdul Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat isteri pelakon terbabit. -- Harian Metro

Menteri nafi pejabat dan klinik digeledah polis

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah, berkata pejabatnya tidak pernah digeledah polis berhubung penyiasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain seperti dilaporkan beberapa media.
Menurut beliau, laporan media kononnya polis menggeledah pejabat dan sebuah klinik milik keluarganya di sini Sabtu lalu adalah tidak benar sama sekali dan merupakan khabar angin semata-mata.Beliau berkata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, sendiri memaklumkan kepadanya bahawa beliau tiada membuat sebarang kenyataan polis menggeledah pejabat dan kliniknya.'Malam tadi (Ahad lalu) Ismail bercakap menerusi telefon dengan saya sebanyak dua kali dan menafikan ada mengeluarkan kenyataan itu,' katanya.Datuk Murugiah berkata beliau terpaksa membuat penjelasan itu kerana laporan media memberi gambaran seolah-olah penggeledahan polis ke atas pejabatnya benar-benar berlaku dan beliau tidak mahu laporan tidak tepat itu menimbulkan salah faham orang ramai terhadapnya.Ahad lalu, Ketua Polis Negara telah diminta media mengulas khabar angin kononnya polis telah menggeledah pejabat dan klinik milik keluarga Datuk Murugiah berhubung siasatan kes pembunuhan itu.Datuk Murugiah berkata: 'Saya minta orang ramai jangan membuat tafsiran yang silap, suspek utama memang tidak ada hubungan apaapa dengan saya. Saya cuma berjumpa dengannya pada 8 September lalu dalam satu majlis yang saya hadiri sebagai timbalan menteri,' kata beliau.Menurutnya, beliau akan membuat laporan polis bagi mengenal pasti dalang di sebalik penyebaran khabar angin itu.Jumaat lalu, Datuk Murugiah membuat laporan polis berhubung satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengaitkan beliau dengan peguam yang menjadi suspek utama kes pembunuhan berprofil tinggi itu. -- Bernama

1Malaysia bercanggah perjuangan UMNO




KUALA TERENGGANU - Ketua Penerangan Pas Negeri, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak sesuai bercakap mengenai 1Malaysia, termasuk cadangan Ujian 1Malaysia kerana beliau adalah Presiden UMNO. 

Menurutnya, UMNO jelas memperjuangkan nasib Melayu dan menganggap 1Malaysia bercanggah dengan perjuangan parti itu. 

“1Malaysia bercanggah dengan perjuangan UMNO sedangkan UMNO menentang kaum lain. Bila beliau buat polisi kenaikan pangkat, itu dia boleh buat tetapi dia tidak akan berjaya wujud 1Malaysia. 

“Dasar 1Malaysia itu sendiri tidak sesuai dengan roh 1Malaysia. Beliau juga boleh buat ujian 1Malaysia tetapi tidak akan berjaya,” katanya, semalam. 

Najib sebelum ini mencadangkan setiap individu, kumpulan dan institusi berpengaruh dalam masyarakat menjalani Ujian 1Malaysia bagi memastikan masing-masing bebas daripada bersikap perkauman. 

Perdana Menteri berkata, ujian itu memerlukan mereka bertanya diri sendiri bagaimana pendirian masing-masing dalam isu etnik tertentu yang memberi impak kepada kaum atau agama lain. 

Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat berkata, jika Najib mahu bercakap mengenai 1Malaysia, beliau perlu membaiki sistem dalam UMNO terlebih dahulu. 

Pada masa sama, 1Malaysia dilihat tiada hala tuju dan melihat pemimpin UMNO terpaksa mewujudkan slogan sedemikian kerana bangsa lain berasa terpinggir akibat perhatian terhadap Melayu. 

“Apabila nasi sudah menjadi bubur, baru mereka mahu buat 1Malaysia sedangkan bangsa lain sudah mula memberi undi dan perhatian kepada pembangkang,” katanya.

Anak Sarina nafi ibu tak restu




BUKIT MERTAJAM – Hubungan Allahyarham Sarina Jaafar, 45, pengusaha kosmetik jenama Aveer yang ditemui mati tergantung Sabtu lalu, dengan bakal menantunya tidak menghadapi sebarang masalah malah dia juga dikatakan merestui perkahwinan anak sulungnya, Mohd Azrul Affendi Jakaria, 24, dengan gadis berkenaan. 

Mohd Azrul berkata, kenyataan ibunya tidak bersetuju dengan perkahwinan itu adalah tidak tepat. 

"Ibu adalah seorang yang suka berterus-terang. Kalau ada apa-apa, sudah tentu dia bercakap terus dengan saya dan saya sendiri juga tidak akan buat apa yang ibu tidak suka," katanya. 

Mohd Azrul berkata, Allahyarham juga yang beria-ia buat persiapan untuk perkahwinannya Januari depan. 

"Malah tarikh itu, ibu sendiri yang tetapkan," katanya ketika dihubungi petang semalam. 

Kematian Sarina menarik perhatian ramai apabila Allahyarham diketahui pernah menjadi rakan niaga kepada jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh bersama tiga lelaki di sebuah ladang di Banting, Selangor, baru-baru ini, 

Mohd Azrul berkata, hubungan mesra antara bakal isteri yang dia meminta tidak disiarkan namanya itu dengan ibunya dibuktikan lagi apabila mereka pernah berjumpa dan berbuka puasa bersama. 

Mohd Azrul berkata, ibunya juga ada berbual melalui telefon dengan bakal isterinya petang Jumaat lalu, sehari sebelum dia ditemui tergantung dan beberapa kali berpesan supaya bakal isterinya itu dapat menjaga dirinya yang mesra dipanggil Dat dengan baik. 

"Saya juga sempat berbual bersama arwah ibu Khamis lalu, tetapi tidak menyangka dia akan pergi dua hari selepas itu," katanya dalam nada perlahan. 

Mohd Azrul berkata, beberapa hari sebelum meninggal dunia, ibunya ada menunjukkan perubahan dan sering bercakap soal mati, namun dia dan adik-adiknya tidak begitu mengambil berat mengenai perkara itu dan hanya beranggapan ia cakap-cakap biasa saja, sehinggalah pada hari kematiannya.