AWAL bulan lalu, ribuan imigran atau pekerja asing di sekitar Arab Saudi terutama di kawasan zon perindustrian Riyadh, ditangkap dalam operasi bersepadu membanteras pekerja haram.
Jurucakap polis Jeddah melaporkan, hampir 4,000 pekerja warga Bangladesh, Indonesia, Filipina, Sri Lanka, India, Pakistan, Yaman, Mesir dan Afrika Timur diburu kerana tidak memiliki dokumen.
“Jalan sekitar Riyadh lengang kerana ramai pekerja asing bersembunyi bagi mengelakkan dicekup.
Kawasan projek pembinaan sepi, lalu lintas biasanya sesak tampak lancar dan banyak kedai ditutup,” katanya.
Seorang saksi Abu Safwaat berkata, beliau melihat puluhan pekerja asing melarikan diri bersembunyi setiap kali terdengar siren polis.
“Tidak siapa berkunjung ke gerai makan saya hingga menyebabkan kerugian, katanya yang membuka gerai makanan di tapak pembinaan di zon perindustrian itu.
Warga Indonesia
Ratusan pekerja haram Indonesia kini sudah pulang ke negara masing-masing setelah gagal mendapatkan visa atau memperbaharui permit kerja.
Timbalan pegawai perlindungan tenaga kerja tempatan, Lisna Poeloengan berkata, sebanyak 484 orang terdiri daripada 404 perempuan dan 80 kanak-kanak kembali ke Jakarta dengan pesawat.
“Kami kemas kini data dan rekod kepulangan mereka. Baki yang masih terkandas di Saudi akan diberi bantuan segera dalam tempoh terdekat bagi membawa mereka pulang,” katanya.
Warga Filipina
Difahamkan ketika operasi itu, pihak berkuasa menggunakan kekerasan hingga terjadi rusuhan.
Susulan kejadian itu, kerajaan Benigno Aquino membentuk jawatankuasa khas yang dikerah ke Saudi untuk menyiasat kejadian tersebut.
Menteri Luar Filipina Albert del Rosario berkata, kumpulan jawatankuasa tersebut sudah menghubungi bahagian agensi hak asasi manusia untuk meminta jaminan rakyat mereka diberi perlindungan.
“Kami sudah menghantar kumpulan pemerhati ke penjara dan balai polis untuk meninjau keadaan tahanan warga Filipina. Kami juga sedia menyiapkan dokumen perjalanan dan permit sekiranya perlu berbuat demikian,” katanya.
Tindakan itu dilakukan selepas lebih 30 warga Filipina ditahan tanpa sebab oleh pihak berkuasa serta mendapat layanan buruk. Menurutnya, kini terdapat kira-kira 660,000 pekerja sah Filipina di negara itu.
Ethiopia
Polis terpaksa membina pengadang jalan selepas sekumpulan warga Ethiopia merusuh di kedutaan Saudi di Addis Ababa.
Dalam kejadian itu, sebanyak 23,000 orang bertindak menyerbu pejabat kedutaan bagi mendapatkan permit sah.
Kejadian itu juga menyebabkan lima maut akibat insiden tolak menolak.
Cara pekerja asing masuki Saudi
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan terbarunya menyebut, jumlah pengangguran di negara Teluk itu mencecah 12.1 peratus pada akhir tahun lalu.
Susulan itu, kerajaan Saudi bertindak mengusir pekerja asing bagi memberi peluang kepada warga tempatan mendapatkan pekerjaan.
Namun, peluang itu tidak direbut hingga menyebabkan lebih ramai pendatang asing memasuki Saudi.
Kebanyakan pendatang asing memasuki Saudi dengan menggunakan visa pelancong dan bagi pendatang dari Timur Afrika mereka menyelinap secara haram melalui laluan laut dari Teluk Aden ke Yaman.
Sejarah pendatang asing
Sebelum penemuan minyak, Saudi ialah negara penghijrahan. Ramai rakyatnya mencari pekerjaan di luar negara sebagai buruh atau peniaga. Mereka menubuhkan rangkaian perdagangan di serata dunia dari Mesir hingga ke India. Ada di antaranya yang bekerja di Terusan Suez pada abad ke- 19, manakala peniaga di ibu kota negara itu menubuhkan pusat sehenti untuk menjalin rangkaian dengan India.
Keadaan berubah pada 1930 selepas penemuan minyak di mana Saudi mula menerima pendatang pertama dari dunia Arab dan kemudian Asia dan Afrika.
Pada 1950, ketika mogok buruh tempa- tan tercetus, kerajaan mula menyedari pekerja tempatan mula beralih ke bidang pekerjaan lebih terjamin. Keadaan ini menyebabkan pengimportan buruh berlaku biarpun mereka ditawarkan permit kerja jangka pendek dan dinafikan hak untuk menyimpan pasport.
Pada 1970, Saudi mewujudkan program Saudization dalam konteks pelan pembangunan lima tahun bagi mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.
Bagaimanapun, kedatangan pekerja asing terus meningkat sejajar dengan kepesatan ekonomi yang dirangsang oleh sektor minyak dan cari gali.Dilema imigran di Saudi