Thursday, August 21, 2014

Anwar saman: Mahkamah tolak rayuan Khairy


BERNAMA | .
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin untuk meminda kenyataan pembelaannya dalam saman fitnah RM100 juta yang difailkan terhadapnya oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim berkata hujahan dikemukakan oleh peguam mewakili Khairy, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah gagal meyakinkan mahkamah.
  
Beliau berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusan betul apabila tidak membenarkan pindaan dilakukan.
  
Hakim Abdul Aziz yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk David Wong Dak Wah dan Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim memerintahkan Khairy membayar RM5,000 sebagai kos perundangan kepada Anwar.
  
Perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur esok.
      
Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy, dengan mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com.
  
Ketua pembangkang itu turut mendakwa klip video dalam Malaysiakini.com mengandungi sebahagian daripada ucapan Khairy di Lembah Pantai pada atau sekitar 20 Feb 2008.
  
Khairy, dalam kenyataan pembelaannya pada 8 Okt, 2010, berkata beliau bergantung pada kewajaran pembelaan dan perlindungan bersyarat.
  
Pada 9 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Khairy untuk meminda kenyataan pembelaannya dalam saman itu.
  
Beliau memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
  
Anwar diwakili peguam J. Leela. - Bernama

AMK: Nik Nazmi potong Amiruddin saat akhir


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad menang bagi pertandingan jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Pemilihan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul di sini, hari ini.

Nik Nazmi menewaskan dua lagi calon lain iaitu Adun Batu Caves, Amiruddin Shaari dan Nazree Yunus.
Beliau menang dengan majoriti 250 undi selepas memperoleh 4,509 undi berbanding Amiruddin 4,259 manakala Nazree 2,213.

Sebelum ini, kiraan pada peringkat awal menunjukkan Amiruddin mendahului jumlah undi berbanding pencabarnya yang lain.

Bagaimanapun, beza undi beliau dengan Nik Nazmi dikatakan sangat tipis dan kedudukan itu berubah di saat-saat akhir.

Sementara itu, Mohamed Azmin Ali berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR.

Beliau menewaskan pesaingnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang juga Setiausaha PKR.

Azmin berjaya memperolehi 22,562 undi sementara Saifuddin 10,743 undi.

Berikut adalah senarai baru kepimpinan tertinggi PKR bagi sesi 2014-2017.

Presiden PKR
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Timbalan Presiden
Mohamed Azmin Ali

Naib Presiden
1. Nurul Izzah Anwar
2. Tian Chua
3. Shamsul Iskandar
4. Rafizi Ramli

Ketua AMK
Nik Nazmi Nik Ahmad

Timbalan Ketua AMK
Dr Afif Bahardin

Naib Ketua AMK
1. Raymond Ahuar
2. Radzlan Jalal
3. J Sangetha

Ketua Wanita
Zuraida Kamaruddin
Timbalan Ketua Wanita
Haniza Talha

Naib Ketua Wanita
1. Dr Daroyah Alwi
2. G Sivamalar
3. Norsham Abu Samah

(Lanjut menyusul)

Negeri-negeri paling bahaya di Malaysia


http://www.queachmad.com | .
[TERKINI] Negeri-Negeri Paling BAHAYA di Malaysia Mengikut Ranking |INFOSelangor, Johor dan Kuala Lumpur menduduki tempat tiga teratas dengan indeks jenayah tertinggi.
 
negeri paling bahaya malaysia
 
Namun dari segi indeks jenayah per 100k populasi, ternyata Kuala Lumpur di tangga pertama.
 
 
# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Bukit Aman digesa siasat dalang bakar rumah Anis Afida


MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS menggesa agar satu Jawatankuasa Khas (Task Force) ditubuhkan di peringkat Bukit Aman bagi menyiasat perbuatan khianat terhadap Pengerusi Gabungan NGO Pengerang, Cik Anis Afida Mohd Azli yang menyebabkan kebakaran di rumah kediamannya.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal, Mazlan Aliman memberitahu laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat membuktikan ia adalah berpunca daripada perbuatan yang disengajakan.

"Kita gesa pihak polis agar melakukan siasatan segera terhadap beberapa siri kejadian yang berlaku, ia jelas dibukti adalah perbuatan khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kebakaran yang menimpa rumah Cik Anis Afida adalah kes terbaru dari kes-kes sebelum ini dan secara terang menunjukkan bahawa berpunca dari 'molotov cocktail' yang sememangnya sengaja dibakar," jelasnya pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sejurus menyerahkan memorandum sebentar tadi.
Kediaman Anis Afida yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, di Bandar Penawar, Kota Tinggi Johor terbakar pada tengah malam 8 Julai lalu beberapa minggu sebelum menjelang Aidilfitri.

Beliau juga merupakan calon PAS bagi kerusi N38 Dun Penawar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Menurut Mazlan, PAS menggesa agar siasatan dilakukan terhadap seluruhan kes-kes yang menimpa Anis termasuk ancaman batu nisan dan juga kenderaan yang disimbah dengan cat.

"Kita melihat kes ini adalah berprofil tinggi dan memohon agar tindakan yang lebih profesional tanpa tolak ansur diambil kepada mereka yang terlibat dalam kerja-kerja khianat dan provokasi.

"Syabas kepada Jabatan Bomba atas siasatan mereka, saya yakin ia memudahkan jabatan polis utk mengheret mereka yang bertanggunghjawab," sambung beliau lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang turut hadir pada penyerahan memorandum itu berharap pihak polis memandang serius kejadian ini kerana ia membabitkan ancaman nyawa kepada mangsa.

"Perlu disegerakan siasatan kerana ia melibatkan ancaman nyawa kepada mangsa, kejadian kebakaran itu disengajakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kita akui pegawai-pegawai polis sibuk bagi menyambut jenazah MH17 esok, tetapi kita mengharapkan akan ada pertemuan selepas selesai MH17," katanya yang telah menyerahkan memorandum kepada Ketua Unit Radio/TV, ASP Mohd Fadzil Ismail.

Dalam pada itu, Anis Afida turut mengucapkan terima kasih kepada pimpinan PAS yang mengambil serius insiden tersebut serta meminta pihak polis mengheret pihak tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

- HARAKAHDAILY 21/8/2014

Parti korup, Nakhaie isytihar bukan Umno lagi


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad hari ini mengisytiharkan bukan lagi ahli Umno.

Beliau yang sebelum ini sering menjadi rujukan Umno khususnya berdepan PAS dalam isu-isu berkait agama, membuat kenyataan mengejutkan itu di Facebooknya.

"Mengapa saya harus keluar dari Umno? Saya menyertai Umno untuk perjuangan bagi menegakkan agama, memartabatkan bangsa dan negara.

"Perjuangan itu sudah tiada lagi dalam Umno kini. Tidak wajar lagi saya berada dalam parti yang sudah korup perjuangannya. Saya bukan Umno lagi," tulis Nakhaie dalam posting itu.

Kenyataan itu muncul dua hari selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan menarik balik sokongan terhadap Datuk Seri Najib Najib yang disifatkannya sebagai lemah.

- HARAKAHDAILY 21/8/2014

Kisah Selangor, Ridhuan Tee dan 'darul babi'


AHMAD TAJDID | .

TIBA-TIBA sahaja babi menjadi topik hangat di tengah-tengah krisis pertukaran menteri besar Selangor sekarang.

Topik babi ini disentuh dalam penulisan seorang kolumnis Tionghoa, Dr Mohd Ridhuan Tee dalam kolumnya di sebuah akhbar tempatan.

Ridhuan mendakwa, usaha menyingkirkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim punyai kaitan dengan cadangan DAP untuk melaksanakan projek penternakan babi bersepadu bernilai RM100 juta di negeri itu.

Beliau mendakwa projek itu dihalang Abdul Khalid dan jika Menteri Besar itu berjaya disingkirkan, projek babi raksasa itu akan menjadi kenyataan di Selangor.

Tidak diketahui dari sumber mana maklumat itu diperolehi Ridhuan. Namun dakwaan mengenainya telah disebar di alam siber ketika krisis MB Selangor memuncak.

Penolong Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor, Mohammad Firdaus Babh menganggap dakwaan Ridhuan itu sebagai “jelas melakukan tohmahan dan berniat jahat terhadap DAP”.

"Kenyataan ini tidak menggambarkan pemikiran seorang doktor (falsafah) yang bertaraf profesor,” kata Firdaus membidas tulisan pensyarah kanan Universiti Pertahanan Nasional itu.

Ridhuan pada 18 Ogos lepas mengaitkan kemarahan terhadap pentadbiran Khalid Ibrahim dengan projek penternakan babi bersepadu bernilai RM100 juta oleh DAP yang belum terlaksana.

Ridhuan bimbang jika projek itu dibenarkan, Selangor akan dikenali sebagai “darul babi” dan menimbulkan ketidakselesaan penduduk, terutamanya berhampiran kawasan orang Islam.

'Kebimbangan' Ridhuan disokong Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang membangkitkan perkara sama dan mendakwa DAP berjaya menggunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam percaturan jawatan menteri besar.

Ini kerana, dakwa Ibrahim, ketua umum PKR itu akan mengiyakan apa sahaja kehendak DAP.

Projek penternakan babi bersepadu di Kampung Tumbuk, Kuala Langat itu bukan pertama kali dijadikan isu politik.

Ia adalah isu terawal digunakan pemimpin Umno untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat ketika mula mengambil alih pentadbiran Selangor pada Mac 2008.

Beberapa siri tunjuk perasaan tercetus daripada cadangan projek itu termasuk di hadapan Bangunan SUK Selangor.

Pada 9 April 2008, sejumlah 200 penduduk daripada Kampung Tumbuk Darat, Tanjung Sepat, Tanjung Laut, Kampung Layang, Kundang dan Kampung Indah berhimpun mulai jam 10.30 pagi di hadapan Bangunan SUK yang menempatkan pejabat Menteri Besar Selangor untuk membantah projek itu.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Sepat, Dr Karim Mansor yang juga bekas Setiausaha Politik MB Selangor.

Tunjuk perasaan itu diketuai Ketua Kampung Ladang Tumbuk, Mohamad Tarmudi Tushiran.

Mereka kemudian menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik MB, Nik Nazmi Nik Ahmad menuntut pembatalan dan penempatan semula projek itu ke Pulau Ketam yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam, lapor Bernama.

Tetapi benarkah projek tersebut tertangguh kerana Abdul Khalid?

Jika Ridhuan dan Ibrahim rajin membuat 'kerja rumah' sebelum melemparkan tuduhan, laporan Bernama bertarikh 11 April 2008 boleh membantu.

Berdasarkan laporan tersebut, Abdul Khalid menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk melaksanakan projek bersepadu ternakan babi di Kampung Tumbuk mengikut perancangan walaupun dibantah penduduk.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri berpendapat lebih baik projek itu dilaksanakan memandangkan amalan penternakan babi yang dilaksanakan sekarang mencemarkan alam sekitar, mendatangkan bau busuk dan membahayakan kesihatan awam
seperti penyebaran virus Japanese Encephalitis.

Sistem penternakan babi secara moden dan mesra alam, kata Abdul Khalid diperlukan bagi mengatasi masalah itu dan kerajaan negeri telah pun mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk melaksanakannya.

Persoalan kedua, adakah projek ternakan babi bersepadu itu datang daripada DAP?

Jawapannya tidak!

Menurut Abdul Khalid, keputusan untuk melaksanakan projek itu telah dibuat oleh Menteri Besar (BN) sebelum beliau iaitu Dr Mohd Khir Toyo dan disokong oleh MCA.

Malah projek ternakan babi secara bersepadu itu dilaksanakan bagi mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Pertanian dan Asas Tani juga Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Malah kerajaan BN negeri telah pun meluluskan projek itu pada 30 Januari 2008.

Dakwaan bahawa projek itu akan mencemarkan alam sekitar juga tidak benar memandangkan segala bentuk kumbahan daripada ladang babi itu akan dikitar semula menjadi biogas untuk menghasilkan elektrik.

Malah air kumbahan yang dikitar semula akan digunakan untuk kegunaan ladang manakala baja kompos yang terhasil daripada proses kitar semula digunakan untuk tanaman yang menjadi bahan makanan babi ternak.

Di masa yang sama tiada ladang baru ternakan babi akan diluluskan di Selangor manakala ladang babi sedia ada diarah berpindah ke kawasan yang ditetapkan dalam tempoh setahun.

Di saat pemimpin Umno negeri 'bermain wayang' membantah projek yang dicadangkan mereka sendiri, akhbar The Sun bertarikh 14 April 2008 mendedahkan perkara yang lebih mengejutkan.

Dengan memetik kenyataan Pengerusi Biro Pertanian Tradisional MCA, Datuk Dr Lee Chong Meng, akhbar itu melaporkan bahawa rancangan asal pemusatan penternakan babi di Selangor dicadangkan syarikat milik Bumiputera menggunakan teknologi Jerman dan dibiayai dana program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Cadangan awal syarikat Bumiputera itu adalah mengenakan levi RM50 untuk setiap ekor babi yang dijual peladang bagi menampung proses rawatan kumbahan.

Berdasarkan laporan Oriental Daily News bertarikh 13 April 2008, Lee berkata, Adun Tanjung Sepat, Datuk Karim Mansor yang mengkritik projek pemusatan ternakan babi itu ialah individu di sebalik syarikat Bumiputera tersebut.

Malah tambah Lee, kerajaan BN negeri di bawah teraju Dr Mohamad Khir Toyo telah menghantar delegasi ke Jerman bagi mengadakan lawatan sambil belajar untuk menilai teknologi yang digunakan dalam penternakan babi.

Menurut Lee, bukan sekadar Dr Mansor (gambar), malah Ketua Kamnpung Ladang Tumbuk, Mohamad Tarmudi Tushiran yang mengetuai tunjuk perasaan membantah projek ladang babi di hadapan Bangunan SUK, Shah Alam turut menganggotai delegasi tersebut!

Soalnya mengapa pula Umno dan penduduk kampung yang rata-ratanya penyokong Umno beriya-iya menentang projek itu sehingga ia ditangguhkan?

Mungkin jawapannya ada pada Ridhuan Tee dan Ibrahim Ali.

Noktah. - HARAKAHDAILY, 21/8/2014

Presiden PAS nafi terima titah mengenai isu MB S'gor


HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pihak Pejabat Presiden PAS ingin membetulkan maklumat yang telah ditulis secara tidak tepat oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat seolah-olah wujud titah arahan tertentu Tuanku Sultan Selangor mengenai isu MB Selangor kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Maklumat yang tidak tepat ini pula telah dipetik oleh media sosial dan arus perdana beberapa hari lalu dan telah mengundang kekeliruan," jelas Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan ringkas.

Beliau menjelaskan bahawa Tuan Guru Abdul Hadi telah memohon mengadap Tuanku pada hari raya keempat sempena Hari Raya Aidil Fitri dan tidak ada sebarang titah arahan daripada baginda mengenai isu MB Selangor. - HARAKAHDAILY 21/8/2014

Azmin kekal Timbalan Presiden PKR

KHAMIS, 21 OGOS 2014 @ 12:24 PM

TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.
 
PETALING JAYA: Mohamed Azmin Ali mengekalkan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas meraih 22,562 undi sekali gus menewaskan pencabarnya Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mendapat 10,743 undi.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang sebelum ini pencabar utama Azmin, tidak lagi bertanding selepas dipecat dari parti pada 9 Ogos lalu.

Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden PKR apabila menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Johari Abdul, mengumumkan keputusan pemilihan parti itu di ibu pejabat parti itu di sini, sebentar tadi.

Mengikut Johari, bagi jawatan Naib Presiden, gandingan tiga pemimpin PKR sebelum ini yang membentuk kumpulan bersama iaitu penyandangnya, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua serta Pengarah Strategi, Rafizi Ramli menduduki empat teratas jawatan berkenaan.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai memperoleh 29,712 undi diikuti Tian Chua dengan 22,324 undi dan Rafizi (18,887).

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dikaitkan dengan kumpulan Mohamed Azmin turut mengisi satu daripada empat jawatan Naib Presiden PKR selepas mendapat 19,839 undi.

Gesaan agar filem baharu pembunuhan Indira Gandhi diharamkan

KHAMIS, 21 OGOS 2014 @ 6:09 PM

 
NEW DELHI: Sebuah filem kontroversial mengenai pembunuhan bekas perdana menteri India, Indira Gandhi dijangka ditayangkan mulai esok, ketika wujud gesaan agar ia diharamkan kerana mempamerkan pembunuh Gandhi seperti wira.

Filem bertajuk 'Kaum De Heere' atau 'Intan Masyarakat' itu menceritakan mengenai pengawal Gandhi keturunan Sikh menembak mati perdana menteri berkenaan pada 1984 bagi membalas dendam operasi tentera yang mengorbankan beratus-ratus Sikh.

Sayap pemuda Parti Kongres India Gandhi menulis surat kepada Perdana Menteri, Narendra Modi dan menyatakan filem itu sebenarnya menjadikan kedua-dua pengawal peribadi terbabit sebagai wira.

"Saya menulis surat kepada Perdana Menteri bagi menghentikan tayangannya," kata Vikramjit Chaudhary, presiden Kongres Pemuda Pradesh Panjub, unit tempatan Parti Kongres.

Pegawai Kementerian Penerangan dan Penyiaran, berkata ia sedang menimbang sama ada akan membenarkan filem berkenaan ditayangkan di India esok seperti dijadualkan berikutan kontroversi itu.

Bertindak atas arahan Gandhi pada 1984, pihak tentera menyerbu kuil Sikh, 'the Golden Temple' di Amritsar, untuk mencari militan yang disembunyikan di situ kerana memperjuangkan tanah air sendiri untuk golongan Sikh.

Beberapa bulan kemudian pada Oktober, dua pengawal peribadi Gandhi menembaknya di kepala, yang kemudiannya mencetuskan tindakan balas terhadap masyarakat Sikh yang mengorbankan kira-kira 3,000 orang, sebahagian besar di jalan raya New Delhi.

Salah seorang pengawal peribadi terbabit, Beant Singh, ditembak mati oleh polis sejurus selepas Gandhi dibunuh, manakala seorang lagi, Satwant Singh, mati digantung kemudian.

Pengarah Ravinder Ravi mempertahankan filemnya, di mana pelakonnya menutur bahasa Punjabi dan menyatakan filem berkenaan tidak mempunyai 'hero' atau penjahat.

"Apa yang saya lakukan ialah menceritakan mengenai kisah manusia mengenai dua keluarga yang tiada kaitan dengan politik atau bertujuan menimbulkan kekecohan," katanya. - AFP

MH17 : Tujuh destinasi akhir mangsa nahas

KHAMIS, 21 OGOS 2014 @ 4:41 PM

 
KUALA LUMPUR: Kumpulan pertama 20 jenazah mangsa nahas MH17 yang akan sampai di tanah air esok akan dibawa ke tujuh destinasi persemadian akhir di lima negeri dan dua kawasan Wilayah Persekutuan.

Berikut adalah senarai lokasi penghantaran dan tempat persemadian jenazah nahas pesawat MH17:

PUTRAJAYA:

1. Ahmad Hakimi Hanapi (L)- Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, Presint 2

2. Nur Shazana Mohamed Salleh (P) - Tanah Perkuburan Islam Putrajaya, Presint 20

KUALA LUMPUR:

1. Hamfazlin Sham Mohamed Arifin (P) - Tanah Perkuburan Batu Muda, Gombak.

2. Dora Shahila Kassim (P) - Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Damansara.

3. Mabel Anthony Samy (P) - Taman Peringatan Nirvana, Jalan Sungai Besi).

4. Paul Rajasingam / Sivagnanam (L) - Taman Peringatan Nirvana, Jalan Sungai Besi.

SELANGOR:

1. Foo Ming Lee (L) - Nirvana Memorial Park, Shah Alam.

2. Karamjit Singh Karnail Singh (L) - Taman Peringatan Nirvana, Shah Alam.

3. Ng Qing Zheng (L) - Taman Peringatan Nirvana, Shah Alam.

4. Angeline Premila Rajandaran (P) - Bandar Bukit Tinggi 2, Klang.

NEGERI SEMBILAN:

1. Mastura Mustafa (P) - Tanah Perkuburan Paroi, Negeri Sembilan.

2. Lee Hui Pin (P) - Taman Peringatan Nilai.

JOHOR:

1. Elisabeth Ng Lyeti (P) - 14-21, Lorong Perkasa, Jalan Haji Jaib, Muar.

2. Mohd Ali Md Salim (L) - Tanah Perkuburan Kg.Raja, Muar.

3. Hasni Hardi Parlan (L) - Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Segamat.

PERAK:

1. Noor Rahimmah Mohd Nor (P) - Tanah Perkuburan Kampung Masjid Lama, Tambun.

2. Chong Yee Pheng (P) - Paradise Memorial Park, Chemor.

3. Azrina Yakob (P) - Tanah Perkuburan Masjid AL Hidayah, Taiping

SARAWAK:

1. Ariza Ghazalee (P) - Tanah Perkuburan Semariang, Petrajaya, Kuching.

2. Muhammad Afif Tambi (L) - Tanah Perkuburan Semariang, Petrajaya, Kuching.

- BERNAMA

Polis tembak gas pemedih mata leraikan penunjuk perasaan di Jakarta

KHAMIS, 21 OGOS 2014 @ 5:03 PM

Penyokong calon presiden, Prabowo Subianto mengadakan tunjuk perasaan berdekatan bangunan Mahkamah Perlembagaan yang akan memutuskan pertikaian mengenai keputusan pilihan raya presiden baru-baru ini.
 
JAKARTA: Polis Indonesia menembak gas pemedih mata bagi meleraikan penunjuk perasaan yang cuba menghampiri mahkamah yang akan memutuskan kesahihan keputusan pilihan raya presiden bulan lalu.

Penunjuk perasaan itu adalah penyokong calon yang tewas, Prabowo Subianto.

Subianto, bekas jeneral yang ada kaitan dengan bekas presiden Suharto, mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya 9 Julai lalu dan memfailkan aduan dengan Mahkamah Perlembagaan.

Saksi menyatakan polis menembak gas pemedih mata ketika penunjuk perasaan cuba melepasi kawat berduri yang menghalang jalan menuju ke mahkamah.

Tiada laporan mengenai kecederaan dalam kalangan kira-kira 300 penunjuk perasaan itu.

Suruhanjaya Pilihanraya mengisytiharkan bekas Gabenor Jakarta, Joko Widodo sebagai pemenang dengan 53 peratus undi, lebih lapan juta daripada Subianto.

Subianto pula mengetuai gabungan parti politik yang menguasai majoriti kerusi di parlimen, bermakna sukar bagi Widodo untuk melaksanakan agendanya. - AP

MH17: Selepas 36 hari nahas, jenazah dihantar pulang ke pangkuan keluarga


 
THE HAGUE: Selepas 37 hari nahas tragedi MH17 berlaku, kumpulan pertama jenazah rakyat Malaysia diterbangkan pulang ke tanah air pada Khamis dan dijadual tiba ke pangkuan keluarga pada Jumaat.

Kepulangan yang dinanti anggota dan waris keluarga, rakan dan rakyat Malaysia ini merangkumi 20 jenazah yang dihantar pulang dalam 17 keranda dan tiga lagi di dalam bekas abu.

Daripada jumlah itu, 11 merupakan jenazah mangsa beragama Islam dan selebihnya bukan beragama Islam. Kesemuanya telah selesai menjalani proses pengurusan jenazah mengikut kepercayaan agama masing-masing pada lewat malam Rabu.

Sejak dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia sewaktu proses pengecaman dan identiti mangsa di Kem Perubatan Tentera Hilversum, dekat sini, semua jenazah kemudian melalui lima proses penting.

Ia melibatkan proses mendapatkan sijil kematian, sijil perubatan, laporan bencana, permit kebenaran penghantaran jenazah dan surat persetujuan pegawai pendakwa raya Belanda bagi jenazah dikebumi atau dibakar.

Selesainya proses itu, jenazah kemudian dipindahkan ke rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage di sini, kira-kira 90km dari Hilversum untuk menjalani pengurusan jenazah mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Ini termasuk dibakar, disembahyangkan atau solat jenazah yang dilaksanakan ketua agama masing-masing dan waris keluarga.

Kemudian kesemua jenazah dipindahkan ke sebuah rumah penyimpanan mayat berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol.

Urusan pemindahan ini adalah sebagai persediaan sebelum dibawa pulang ke Malaysia dengan pesawat khas Malaysia Airlines (MAS) pada petang Khamis dan penerbangan itu dijangka mengambil masa kira-kira 11 jam.

Dalam pada itu, ketika ditemui Bernama sejurus selesai upacara solat jenazah pada Rabu, seorang waris keluarga yang enggan dikenali berkata, beliau bersyukur proses pengurusan ini telah selesai dan menerima ketentuan yang ditetapkan Allah.

"Terima kasih kepada semua yang membantu menyempurnakan ahli keluarga kami. Ketika hayatnya, arwah seorang yang sangat menyenangkan dan jarang menimbulkan masalah kepada kami.

"Kehilangannya pasti akan dirasai namun hidup perlu diteruskan," katanya yang hadir bersama beberapa ahli keluarga lain.

Seorang lagi waris kepada jenazah lain yang turut enggan dikenali secara ringkas berkongsi kepada Bernama, bahawa beliau menerima hakikat yang berlaku (tragedi) ini sudah ditentukan.

Terkini, 30 rakyat Malaysia mangsa nahas MH17 itu telah dikenal pasti.

Selain 20 yang tiba di tanah air esok, bakinya belum mendapat pelepasan daripada pihak berkuasa Belanda untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Kerajaan Malaysia merancang untuk membawa pulang kumpulan kedua jenazah pada 24 Ogos ini namun ia bergantung kepada proses pengurusan jenazah, dokumentasi dan kelulusan pihak berkuasa Belanda.

Sementara itu, menurut sumber yang terlibat dalam urusan mengenal pasti mayat di Kem Perubatan Tentera Hilversum, kesemua pakar bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab mereka bagi menyelesaikan proses pengecaman identiti, autopsi dan sebagainya.

Penerbangan MH17 membawa 298 penumpang dan anak kapal yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Selain 43 warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand. - BERNAMA

Pencemaran hulu Sungai Lipis di tahap serius


HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Pahang menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyiasat segera punca pencemaran Sungai Lipis yang semakin serius.

Setiausahanya, Roslan Zainal berkata, pihak JAS perlu mengambil tindakan tegas membanteras pencemaran daripada berterusan.

Ini, katanya berdasarkan gambar aliran sungai itu yang dirakam pada kira-kira jam 3.30 petang semalam (18 Ogos) di Kampung Batu Malim, Jalan Raub-Sungai Koyan.

"Kebiasaannya aliran air Sungai Lipis ini agak jernih dan lokasi gambar ini diambil menjadi tumpuan orang ramai bermandi manda.

"Namun pada hari ini airnya bukan saja keruh malah berwarna merah! Kejadian ini bukan kali pertama malah kerap kali berlaku selepas hujan lebat di hulu sungai," tulis beliau di dalam blognya.

Menurutnya, Sungai Lipis adalah anak kepada Sungai Jelai, justeru air yang tercemar ini akan mengalir ke Sungai Pahang.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan apakah punca yang menyumbang kepada pencemaran yang serius itu.

"Adakah terdapat aktiviti perlombongan di hulu sungai ini, atau aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang yang tidak terkawal?

"Atau disebabkan oleh projek pembinaan jalan raya ke Slim River yang entah bila akan siapnya sejak dimulakan beberapa tahun lalu?" tanya beliau.

Sehubungan itu, katanya PAS Negeri Pahang memandang serius pencemaran itu kerana menjejaskan kualiti air sungai dan sistem ekologi.

"Pastikan slogan 'Cintailah Sungai Kita' tidak hanya tinggal slogan di papan tanda iklan," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 19/8/2013

Senarai nama 20 jenazah yang dibawa balik esok


BERNAMA | .
SEPANG: Kerajaan hari ini mengeluarkan senarai nama 20 jenazah mangsa tragedi MH17 warga Malaysia yang akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL untuk istiadat penghormatan esok.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kumpulan pertama jenazah yang akan dibawa pulang dari Amsterdam itu melibatkan 11 orang beragama Islam dan sembilan orang bukan Islam.

Jumlah itu melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal, katanya.

Anak kapal ialah Mastura Mustafa (P), Ahmad Hakimi Hanapi (L), Hamfazlin Sham Mohamed Arifin (P), Nur Shazana Mohamed Salleh (P), Dora Shahila Kassim (P), Lee Hui Pin (P), Angeline Premila Rajandaran (P), Chong Yee Pheng (P) dan Azrina Yakob (P).

Penumpang pula ialah Foo Ming Lee (L), Karamjit Singh Karnail Singh (L), Ng Qing Zheng (L), Mabel Anthony Samy (P), Paul Rajasingam Sivagnanam (L), Elisabeth Ng Lyeti (P), Ariza Ghazalee (P), Muhammad Afif Tambi (L), Noor Rahimmah Mohd Nor (P), Mohd Ali Md Salim (L) dan Hasni Hardi Parlan (L).

"Daripada 20 jenazah itu, 17 akan diterima dalam keranda manakala tiga lagi mangsa dibawa dalam bekas abu iaitu Elizabeth Ng, Lee Hui Pin dan Angeline Premilla," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, KLIA di sini, Khamis.

Sidang media bersama itu disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Hishammuddin berkata 13 jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan menggunakan kenderaan jenazah manakala tujuh lagi akan diterbangkan ke negeri masing-masing menggunakan pesawat C-130 dan helikopter EC725 milik Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau berkata lima jenazah akan diterbangkan menggunakan pesawat C-130 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (dua jenazah) dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh (tiga jenazah) manakala dua lagi jenazah diterbangkan menggunakan helikopter EC725 ke Pagoh dan Segamat, Johor.

Hishammuddin berkata lapan lagi jenazah warga Malaysia sudah dikenal pasti tetapi masih berada di Amsterdam kerana perlu melalui proses tertentu dan akan dibawa pulang dalam masa terdekat secara berperingkat.

"Kami sedang berusaha untuk membawa pulang kumpulan kedua jenazah pada Ahad ini," katanya.

Sementara itu, Liow berkata dua lagi mangsa warga Malaysia dalam tragedi pesawat MH17 telah dikenal pasti semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 30.

Sebanyak 43 warga Malaysia berada di dalam pesawat yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu.

Hishammuddin berkata 13 jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan menggunakan kenderaan jenazah manakala tujuh lagi akan diterbangkan ke negeri masing-masing menggunakan pesawat C130 dan helikopter EC725 milik Angkatan Tentera Malaysia.

Beliau berkata lima jenazah akan diterbangkan menggunakan pesawat C130 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (dua jenazah) dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh (tiga jenazah) manakala dua lagi jenazah diterbangkan menggunakan helikopter EC 725 ke Pagoh dan Segamat, Johor.

Hishammuddin berkata lapan lagi jenazah warga Malaysia sudah dikenal pasti tetapi masih berada di Amsterdam kerana perlu melalui proses tertentu dan akan dibawa pulang dalam masa terdekat secara berperingkat.

"Kami sedang berusaha untuk membawa pulang kumpulan kedua jenazah pada Ahad ini," katanya.

Sementara itu, Liow berkata dua lagi mangsa warga Malaysia dalam tragedi pesawat MH17 telah dikenal pasti semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 30.

Sebanyak 43 warga Malaysia berada di dalam pesawat yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu. - Bernama

Mahathir tegur Najib, badai 2007-2009 bakal berulang


WAN NORDIN WAN YAACOB | .
KRISIS menggantikan Menteri Besar Selangor masuk kepada fasa akhir, sama ada ianya bakal berakhir dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor atau sebaliknya Istana menerima cadangan Pakatan Rakyat menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Proses panjang yang berlarutan sejak pertengahan Ramadan, malahan sebelum ini bermula di Langkah Kajang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang nampak seakan sudah sampai ke hujungnya.

Biar apapun yang berlaku, Pakatan Rakyat kembali duduk dalam saf yang mulai stabil untuk berdepan Umno-BN yang sebelum ini cukup seronok meneropong sebarang percaturan di Selangor.

Harapan mereka adalah perlunya Pakatan Rakyat berpecah. Tidak sampai hajat itu, kini rumah tangga Umno pula berantakan. Tun Dr Mahathir Mohamed melayangkan semula serangan terhadap Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Sambil menyifatkan pentadbiran Najib sebagai terlalu berlembut, kritikan Mahathir dengan pantas disahut pihak yang tidak sebulu dengan Najib.

Antaranya Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Al-Habshee mempertahan kenyataan Mahathir dan menyokong teguran ikhlas itu.

Lebih teruk daripada Abdullah

Mahathir dalam satu tulisan di blognya menyebut bahawa beliau menarik balik sokongan kepada Najib selepas melihat prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Mahathir berkata, beliau tidak sangka pencapaian Najib dalam pilihan raya umum lalu lebih buruk berbanding Abdullah dan ?dasar dan tindakannya juga tidak lebih berkesan? berbanding pendahulunya itu.

"Harapan saya Datuk Seri Najib akan mengambil ikhtiar dari prestasinya yang buruk dalam pilihan raya umum ke-13," katanya.

"Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Datuk Seri Najib."

Justeru, Mahathir berkata, beliau tiada pilihan selain menarik balik sokongan dan menegur pemimpin itu.

Mahathir antaranya mengkritik tindakan Najib 'melayan tuntutan musuh' dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bersikap rendah diri kepada negara jiran serta memberikan layanan tidak saksama terhadap kaum dan parti yang menyelamatkan kerajaan.

Bekas perdana menteri juga mengkritik penggunaan wang kerajaan untuk mempengaruhi sokongan dalam pilihan raya, pengabaian industri tempatan, pertambahan cuti dan kenaikan gaji minimum.

Bagi Mahathir banyak dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara.

Mahathir sendiri sanggup menerima kesan akibat menegur pemimpin nombor satu negara itu.

Melihat pekembangan ini, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berpendirian bahawa setelah Najib gagal pecahkan PAS daripada Pakatan Rakyat dengan menggunakan proksi-proksinya maka Najib terpaksa berdepan dengan percahan dalaman Umno.

Mahathir akan heret 'pertembungan' hingga berjaya

Dalam banyak pertembungan (dalaman Umno) yang membabitkan bekas Presiden Umno itu, secara umumnya Mahathir akan menang dan dalaman Umno berpecah.

Lihat sahaja semasa Mahathir menyerang Abdullah Ahmad Badawi berikutan kerajaan ketika itu terlalu dikuasai oleh pentadbiran 'tingkat 4', Mahathir menggunakan semua saluran pengaruhnya bagi memastikan Abdullah 'rebah'.

Satu persatu isu membabitkan pentadbiran lemah Abdullah didedah Mahathir dan hingga menyebut bahawa tiada Perdana Menteri selemah Abdullah.Kritikan menjurus kepada menantunya, Khairy Jamaluddin yang kini menerajui Menteri Belia dan Sukan.

Kini Mahathir membuka gelanggang baharu dengan menyifatkan pula Najib lebih lemah daripada Abdullah, maka bagi Suhaizan anak muda sendiri melihat bahawa masa depan Najib cukup suram.

Dalam keadaan ini pastinya Najib serba salah antara mengikut kata Mahathir atau melaksanakan dasar transformasinya yang mengundang kritikan bekas Perdana Menteri itu (Mahathir).

"Selepas ujian berat di negeri Selangor Pakatan Rakyat akan lebih kuat. Lebih kuat berbanding sebelum ini. Kekuatan pakatan ini bakal merempuh Najib," kata Suhaizan.

Dalam keadaan sekarang, Najib sebenarnya cukup tertekan. Jangka masa tiga tahun kehadapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 cukup singkat baginya.

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M)  sudah tidak menjadi umpan untuk rakyat, masyarakat Cina kekal marah pada Najib dan Umno, masyarakat Melayu semakin tidak tahan dengan kenaikkan harga barang, masalah negara terlalu banyak.

Dengan tekanan Mahathir yang semakin kuat terhadap Najib, maka bila-bila masa sahaja Najib boleh diserang secara dalaman mahupun luaran oleh musuh Umno dan anggota Umno sendiri.

Keupayaan Mahathir menghadirkan gelombang dan badai menentang seperti pada tahun 2007 hingga 2009 yang menyebabkan Abdullah jatuh boleh berulang kembali.

Anak muda kembali minat dan akan sentiasa memerhati perkembangan ini selepas berantakan sebentar di Selangor hampir ke penghujungnya. Mahathir memulakan langkah, pastinya beliau akan terus memacu langkah hingga Najib kelemasan. - HARAKAHDAILY 21/8/2014

Sultan Selangor pendekkan cuti


BERNAMA | .
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka memendekkan percutian luar negaranya dan akan kembali ke tanah air pada 23 Ogos ini.
  
Perkara itu disahkan sumber dari Istana Selangor ketika dihubungi Bernama semalam.
  
Baginda pada awalnya dijadual pulang pada 27 Ogos.
  
Sebelum ini, Sultan menitahkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar sehingga baginda pulang pada 27 Ogos.
  
Abdul Khalid berkata sementara menunggu tempoh itu, beliau akan meneruskan tugas seperti biasa sebagai menteri besar bersama-sama empat anggota Exco daripada PAS. - Bernama

Harapan cerah wakil Pas jadi MB

Harapan cerah wakil Pas jadi MB
SEMUA sedia maklum bahawa Menteri Besar Selangor sekarang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sukar untuk mempertahankan jawatan beliau kerana kurang sokongan dalam Dun.

Setelah Pas kembali menyokong PR dan melantik Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kini hanya tinggal masa untuk PR menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan baginda.

Proses pelantikan menteri besar ini dilihat tidak akan menghadapi masalah jika sultan memperkenankan Dr Wan Azizah menjadi menteri besar Selangor yang baharu.

Sultan mungkin memperkenankan calon tunggal PR itu kerana Dr Wan Azizah yang juga Adun Kajang mempunyai sokongan majoriti daripada adun PR di Selangor.

Malah, tindakan PR yang menetapkan pendirian hanya mencalonkan satu nama juga akan menjadi faktor penting kepada proses ini.

Namun, apa akan jadi jika nama Dr Wan Azizah ditolak Sultan Selangor? Siapakah yang layak dan berkebolehan untuk menggantikan Abdul Khalid bagi meneruskan pentadbiran cemerlang beliau sejak 2008.

Selain Dr Wan Azizah, PKR masih mempunyai calon alternatif bagi jawatan tersebut, individu tersebut adalah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang juga Adun Bukit Antarabangsa dan Ahli Parlimen Gombak.

Jika nama Dr Wan Azizah ditolak, PKR pastinya akan melobi nama Azmin untuk menjadi menteri besar kerana beliau merupakan pemimpin PR Selangor yang paling senior dan berpengaruh.

PKR dilihat tidak akan mengalah dan menyerahkan jawatan menteri besar kepada Pas mahupun DAP.

Walaupun kini PKR hanya mempunyai 13 kerusi Dun berbanding 15 kerusi masing-masing oleh Pas dan DAP, PKR tidak dengan mudah menyerahkan kerusi panas tersebut kepada orang lain.

Ini kerana, Selangor merupakan negeri terkaya di Malaysia yang masih mempunyai rizab lebih RM3 bilion disebabkan pentadbiran cemerlang Abdul Khalid sejak lima tahun lalu.

Jika dilihat, ketika PR menang di Selangor pada PRU13 lalu, pemilihan Abdul Khalid sebagai menteri besar dibuat atas persetujuan semua pihak termasuk Pas.

Ketika itu Pas tidak menuntut jawatan tersebut walaupun boleh berbuat demikian kerana mempunyai kerusi lebih banyak daripada PKR dan difahamkan, Pas tidak berbuat demikian kerana masih yakin dengan kepimpinan cemerlang Abdul Khalid dalam mentadbir Selangor.

Pas rela melepaskan jawatan tersebut kerana Abdul Khalid berkhidmat cemerlang, namun dalam senario kali ini adalah berbeza kerana Abdul Khalid tidak lagi berada dalam PKR.

Adakah Pas akan terus berdiam diri ataupun akan bersuara jika keadaan memerlukan?

Pas bukannya ketandusan pemimpin untuk diketengahkan menjadi menteri besar, ini kerana Pas mempunyai Exco yang berpengalaman seperti Iskandar Abdul Samad, Dr Ahmad Yunus Hairi, Sallehen Mukhyi serta Dr Halimah Ali.

Isu ini akan menjadi menarik kerana selain PKR, hanya Pas sahaja yang boleh dilantik menjadi menteri besar kerana Adun DAP adalah orang bukan Islam dan bukan Melayu.

Pastinya akan berlaku krisis dalam PR jika Sultan Selangor tidak menerima nama-nama pemimpin dari PKR dan jika ini berlaku, Pas perlu berani mempertahankan hak mereka sebagai parti paling banyak kerusi dalam Dun berbanding PKR.

Jika Pas tidak berbuat demikian pengundi dan ahli akar umbi Pas akan melabel Pas sebagai takut kepada PR, walaupun mereka lebih kuat.

Walaupun mengikut perjanjian dalam PR, Selangor adalah hak PKR untuk mentadbir, sama seperti Pas memerintah Kelantan dan Pulau Pinang diperintah DAP, namun perjanjian ini boleh diubah berdasarkan keadaan semasa.

Penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, jalan terbaik yang boleh dilakukan bagi menangani kemelut yang berlaku dalam pentadbiran Selangor adalah melalui jalan perundingan antara Adun PR dan pihak istana.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, UUM itu berkata, ketika ini PR dilihat seolah-olah mendesak sultan apabila hanya mengemukakan satu nama calon menggantikan Abdul Khalid sebagai menteri besar.

Menurutnya, cara lain yang boleh diambil oleh PR adalah mengemukakan lebih daripada satu nama yang dianggap mampu mendapat sokongan majoriti.

Katanya, pelantikan menteri besar di Selangor terletak di bawah kuasa sultan sebagaimana termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Azizuddin berkata, menurut Perkara 53 (2) (a) undang-undang itu, baginda boleh melantik seorang Adun pada pandangan baginda yang mendapat keyakinan majoriti Adun, selaku menteri besar.

Di bawah Perkara 55 (2) (a) pula, dinyatakan baginda boleh menggunakan budi bicara dalam pelantikan menteri besar.

Kini, semua mata tertumpu kepada Dr Wan Azizah, sama ada Sultan Selangor akan memperkenankan beliau menjadi pengganti Abdul Khalid, sekaligus menjadi wanita pertama menjadi menteri besar ataupun tidak.

Krisis perebutan jawatan ini dijangka tidak akan selesai dalam masa terdekat, sebaliknya akan terus memberi masalah kepada PR dalam usaha mereka mengembalikan kekuatan gabungan tersebut sebelum menghadapi PRU14.

Abdul Khalid kedekut bertempat


  • Dr Halimah (tengah) ketika sidang media di pejabatnya, semalam.Dr Halimah (tengah) ketika sidang media di pejabatnya, semalam.

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipuji exco daripada Pas sebagai seorang ketua yang bijak dalam menguruskan kewangan sehingga mampu meningkatkan rizab kepada lebih RM3 bilion.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, walaupun Menteri Besar Selangor itu disifatkan seorang yang kedekut dalam meluluskan peruntukan negeri namun, sikap berhati-hati beliau itu untuk kepentingan rakyat.

“Dengan beliau bila minta RM1 pun susah nak bagi tetapi kalau kita beri hujah yang bagus, Abdul Khalid tiada masalah untuk meluluskan peruntukan.

“Apabila kita bentangkan sesuatu pelan itu, perkara yang paling diutamakan Abdul Khalid adakah ia bawa kepentingan rakyat. Jika perancangan tidak memberangsangkan dan tidak meyakinkan beliau, sudah tentu tidak diluluskan dan kita semua tahu sikapnya,” katanya ketika sidang media di pejabatnya, semalam.

Mengenai isu yang menuduh Abdul Khalid membelakangkan Adun ketika membuat keputusan besar negeri termasuk isu penstrukturan air, Dr Halimah berkata, isu itu ada dibentangkan dan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Dalam mesyuarat exco kita membincangkan banyak perkara besar termasuk perjanjian persefahaman (MoU) air dan ia bukan perkara baharu dah lima tahun kita bincangkan penstrukturan industri air di Selangor.

“Sepanjang enam tahun bekerja bersama, Abdul Khalid merupakan seorang yang mendahului kepentingan rakyat. Beliau bukan seorang yang boleh mengubah keputusan dalam sekelip mata tetapi akan berfikir panjang sebelum setuju,” katanya.

Dr Halimah ketika ditanya sama ada tindakan PR menyingkirkan menteri besar itu adalah satu kehilangan besar buat Selangor, beliau berkata, setiap orang mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.

“Kita semua ada kelebihan masing-masing tetapi apa yang membezakan adalah berapa besar kerugian yang kita hadapi sekiranya kita hilang seseorang itu bergantung kepada kredibilitinya,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut keputusan Pas yang turut mengikut jejak PKR dan DAP menolak kepimpinan Abdul Khalid adalah sesuatu yang tidak wajar memandangkan menteri besar itu melakukan tugas dengan baik dalam mentadbir negeri.

“Saya tidak boleh komen mengenai ini kerana terikat. Saya berada di sini meneruskan tugas exco demi untuk kepentingan rakyat. Itu hal politik biarlah pucuk pimpinan yang tentukan.
“Mengenai pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula, dalam mesyuarat exco kita tidak ada membincangkan mengenai politik. Itu keputusan politik dalam parti, saya di sini bukan untuk mengadili mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, portfolio enam exco yang telah dipecat masih berjalan seperti biasa dan segala peruntukan dalam mesyuarat exco yang telah diluluskan tidak dibekukan.

Katanya, meskipun sekarang hanya ada empat exco tetapi semua program yang telah dirancang untuk enam exco yang lain sebelum ini tetap diteruskan.

“Buat masa sekarang kita laksanakan tanggungjawab terkumpul. Mesyuarat Exco, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan mesyuarat khas lain masih berjalan seperti biasa.
“Kita jemput pegawai-pegawai di bawah enam portfolio terbabit, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Upens) dan lain-lain berkaitan untuk bincang dan selesaikan masalah berbangkit.

“Semua program merakyatkan ekonomi Selangor (MES) seperti Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan lain-lain tetap diteruskan dan rakyat berkelayakan boleh terus memohon bantuan yang sesuai,” katanya.

Dr Halimah berkata, pengurusan pentadbiran negeri diteruskan seperti yang telah dirancang selagi tidak berlaku pembubaran Dun.

“Selagi Dun tidak dibubarkan, semuanya berjalan seperti biasa. Walaupun hanya empat exco dan menteri besar sahaja, kami akan teruskan. Kita buat apa yang boleh dilakukan.
“Sekarang ini kami adalah PR yang terakhir mentadbir negeri dan tugas diteruskan seperti biasa,” katanya.

Beliau yang menolak soalan berbaur politik menegaskan, apa yang berlaku di Selangor adalah di luar jangkaan dan bukan yang sesuatu yang diharapkan berlaku.

“Berada dalam keadaan ini bukan kami minta tetapi kami perlu kekalkan kedudukan ini supaya keadaan stabil dan penjawat awam tak takut buat kerja,” katanya

Azmin Ali menang jawatan Timbalan Presiden PKR


  • Azmin Ali

PETALING JAYA - Mohamed Azmin Ali berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas diumumkan Pengerusi Pemilihan Pusat PKR, Datuk Johari Abdul di sini, hari ini.

Tambah Johari, menurut peruntukan Perlembagaan PKR Perkara 47 mengesahkan bahawa semua pemenang ini adalah telah memenuhi semua kriteria.

"Azmin berjaya menewaskan pesaingnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

"Azmin berjaya memperolehi 22,562 undi sementara Saifuddin 10,743 undi, " katanya pada sidang media tersebut.

Jackie Chan malu, sedih anak ditahan


  • Jackie Chan

JACKIE Chan meminta maaf secara terbuka Rabu lepas selepas anaknya ditahan berkenaan kes dadah di Beijing.

Menerusi catatan di blognya, Jackie berkata, anaknya Jaycee Chan, 31, menerima pengajarannya.

"Saya berasa amat marah dan terkejut. Sebagai artis, saya sangat malu.

"Sebagai seorang ayah, saya amat kecewa," tulisnya.

Jaycee ditahan bersama-sama rakannya, Kai Ko, 23, Khamis lalu.

Penahanan itu merupakan menjadikan ia kes berprofil tinggi terbaru yang terperangkap dalam operasi anti-dadah terbesar di China.

Kedua-dua pelakon didapati positif ganja, dan sebanyak 100 gram ganja dijumpai di rumah Jaycee.

"Saya harap orang muda akan mengambil pengajaran dari peristiwa ini dan jauhilah dadah.

"Saya beritahu Jaycee dia akan menerima akibatnya dan sebagai seorang ayah, saya akan laluinya bersama-sama anak saya," kata Jackie.

Saman kawan lama


Oleh Hadzlan Hassan

Shah Alam: Selepas amarannya untuk mengambil tindakan undang-undang jika terus difitnah tidak dipedulikan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akhirnya mula mengambil langkah terhadap Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Difahamkan, tindakan berkenaan diambil Abdul Khalid berikutan kenyataan Saifuddin mengenai laporan ‘Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor’ awal bulan ini.


Writ saman difailkan Abdul Khalid melalui Tetuan Bon pada Isnin lalu menamakan Saifuddin secara peribadi dan atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung PKR.

Penyata tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi, antara lain memohon mahkamah mengeluarkan satu perintah injuksi kekal menghalang defendan atau wakilnya, pekerjanya dan kakitangannya daripada menerbit, mengeluar, mengedar, mencetak atau menyebabkan perkataan yang dikatakan memfitnah Abdul Khalid.


Dalam tuntutannya, Abdul Khalid memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk dengan faedah yang dikenakan terhadap ganti rugi itu pada kadar empat peratus setahun dari tarikh writ saman itu difailkan hingga penyelesaian sepenuhnya.


Selain itu, beliau turut menuntut satu perintah untuk memaksa defendan mengeluarkan atau menerbitkan satu permohonan maaf secara bertulis terhadapnya.

Dalam tuntutannya, ia turut menyebut laporan bertarikh 3 Ogos 2014 yang dilampirkan dengan surat bertarikh 4 Ogos 2014 bertajuk ‘Pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Sebagai Menteri Besar Selangor’ dan disampaikan kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, selain menggunakan kepala surat Pejabat Setiausaha Agung PKR yang ditandatanganinya.

Salinan surat itu diserahkan kepada 13 pihak termasuk plaintif, selain Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP Lim Kit Siang; Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng serta wakil rakyat ketiga-tiga parti itu.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Terlupa anak


Padang Terap: “Bapa mangsa tidak menyedari anaknya sedang tidur dalam kereta lalu terus masuk ke sekolah, tetapi dia terkejut apabila mendapati keadaan anaknya sudah tidak bernyawa apabila kembali semula ke kereta selepas tamat sesi persekolahan.”
Begitu kata Soaid Adam, 45, bapa saudara kepada Muhammad Aqil Arfan Adnan, empat tahun, yang maut dipercayai akibat lemas selepas terperangkap lebih lapan jam dalam kereta milik bapanya di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, semalam.
Kejadian disedari kira-kira jam 4 petang oleh bapa mangsa, Adnan Salleh, 42, yang juga guru apabila lelaki berkenaan kembali semula ke keretanya untuk pulang ke rumah di Pendang.

Sebelum itu, lelaki berkenaan dikatakan meletakkan kenderaan di parkir sekolah kira-kira jam 7.30 pagi tanpa menyedari anak bongsu daripada empat beradik berkenaan sedang tidur di belakang kereta selepas menghantar isterinya yang bertugas sebagai guru di SMK Syed Ahmad berhampiran.
Foto
SOAID memangku mayat Muhammad Aqil Arfan untuk dibawa ke hospital.

Soaid berkata, Adnan difahamkan terlupa menghantar anak lelakinya ke sebuah tadika yang terletak berhampiran sekolah isterinya lalu pergi ke sekolah tempat dia mengajar.

“Bapa mangsa dipercayai terlupa anaknya sedang tidur di tempat duduk belakang lalu meninggalkannya dipercayai untuk masuk ke kelas.

“Namun selepas bapa mangsa mahu pulang dan mengambil isterinya kira-kira jam 4 petang (semalam), dia terkejut apabila melihat anaknya tidak sedarkan diri di dalam kereta berkenaan,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, malam tadi.

Difahamkan, bapa mangsa kemudian mengejarkan anaknya ke Hospital Kuala Nerang sebelum doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, beliau berasa simpati dengan kejadian menimpa keluarga mangsa dan berharap insiden berkenaan dijadikan iktibar supaya tidak berulang.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka dapat bersabar dengan kejadian menimpa,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Bersatu semula selepas 10 tahun


Payakumbah: Sepasang suami isteri yang disatukan dengan anak perempuan mereka 10 tahun selepas dihanyutkan tsunami, semalam mendakwa menemui anak lelaki mereka pula, yang juga hilang dalam bencana itu.

Jamaliah dan suaminya Septi Rangkuti Isnin lalu bersatu semula dengan remaja yang mereka percayai anak mereka yang sudah sekian lama hilang.


Arif Pratama Rangkuti, kini 17, dihanyutkan bersama-sama adik perempuannya apabila tsunami ekoran gempa bumi yang melanda wilayah Aceh pada 2004, meragut lebih 170,000 nyawa di situ dan puluhan ribu lagi di beberapa negara lain.



Adik Arif, Raudhatul Jannah disatukan dengan ibu bapanya semula Jun lalu selepas seorang anggota keluarga menemui gadis itu di sebuah kampung di Aceh. Kelmarin, pasangan itu berkata, anak lelaki mereka pula ditemui, hasil daripada liputan media secara meluas mengenai penemuan anak perempuan mereka.


“Memang benar, dia anak kami. Kami sudah bersedia untuk membawanya pulang,” kata Septi ketika ditemui. Menurutnya, remaja itu hidup bergelandangan di Sumatera sejak empat tahun lalu.


Bercakap di bandar Payakumbuh, Sumatera Barat, Jamaliah yang menitiskan air mata, memeluk remaja itu yang kelihatan malu tetapi gembira.

“Saya berdoa setiap malam dan yakin anak saya masih hidup,” katanya.


Keluarga itu disatukan di kediaman sepasang suami isteri yang menemui remaja itu tidur di luar kafe Internet mereka di Payakumbuh beberapa bulan lalu. Lana Bestari dan Windu Fajri membiarkan dia tidur di kafe dan memberikan dia makan dan pakaian.

Lana menghubungi keluarga itu selepas melihat gambar Arif ketika dia kanak-kanak di televisyen baru-baru ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Budak tangan gergasi


Tangan Kaleem, lapan, setiap satu seberat lapan kilogram dan berukuran 13 inci dari pangkal tapak tangan hingga ke hujung jari hantunya.

Kerana keadaan tangannya itu, Kaleem tidak dapat melakukan banyak perkara asas, termasuk mengikat tali kasut dan sering dibuli serta dipinggirkan rakan sebaya.
“Saya tidak ke sekolah kerana guru berkata, murid lain takut melihat tangan saya. Saya dibuli kerana kecacatan saya. Ada yang memukul saya. “Saya sukar memakai baju, membutangnya dan juga memakai seluar. Tetapi saya tidak mahu doktor membedah tangan saya, kecuali ketika saya tidak sedar,” katanya.

Ibu bapanya yang hanya berpendapatan RM100 sebulan, berusaha membantu anak mereka, tetapi sehingga ini tidak berjaya.

Ibunya, Haleema, 27, berkata, dia menyedari kecacatan Kaleem apabila melahirkannya, namun tidak mampu membantu.
Foto
Kaleem menunjukkan tangannya yang semakin membesar.
“Tangannya begitu besar, jarinya pula panjang. Mulanya, ia kecil saja, tetapi kemudian membesar dan jarinya terus memanjang,” kata Haleema.

Bapa Kaleem, Shamim, 45, juga bimbang anaknya mungkin tidak dapat berdikari.
“Dia tidak boleh makan sendiri kerana tangannya tidak boleh bengkok. Kami yang kena menyuapnya,” kata Shamim.

Dia menyalahkan dirinya kerana tidak mempunyai wang untuk membolehkan Kaleem menjalani rawatan.

Menurut Shamim, anaknya yang lain tidak menghadapi masalah itu.

“Kami mahu membawanya ke hospital, tetapi wang begitu sukar diperoleh. Nak makan juga susah hingga isteri saya kadang-kala terpaksa mengemis,” katanya.

Shamim juga berkata, dia cuba menghantar Kaleem ke sekolah, namun disuruh menulis perjanjian bahawa sekolah tidak bertanggungjawab jika murid lain membuli atau mentertawakan Kaleem.

Seorang pengarah hospital tempatan berkata, kecuali masalah tangan itu, kesihatan Kaleem baik “Jantung dan paru-parunya berfungsi seperti biasa. Yang dibimbangkan, apabila tangannya terus membesar, ia akan memberi tekanan kepada sistem jantung dan menjejaskan kesihatannya,” kata Dr Ratan.

Sementara itu, ketua Intitut Kajian Memorial Fortis, sebuah hospital moden di Gurgaon berhampiran Delhi, Dr Krishan Chugh berkata, dia yakin penyakit Kaleem boleh diubati sekiranya menjalani pemeriksaan dan ujian perubatan terlebih dulu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/21

Tentera Indonesia diletakkan dalam keadaan bersiap sedia


Prabowo Subianto, Hatta Rajasa
JAKARTA 20 Ogos - Pihak berkuasa Indonesia akan meningkatkan kawalan keselamatan di seluruh negara esok (Khamis) bagi mengelakkan berlaku kekacauan berikutan Mahkamah Perlembagaan (MK) akan membacakan keputusan Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) 2014.
Tentera Nasional Indonesia (TNI) dilaporkan mengerahkan 30,000 anggota, sementara Polis Republik Indonesis (Polri) akan mengerahkan 20,000 anggotanya untuk bersiap sedia mengawal keadaan.
Selain memastikan keamanan di kawasan perbicaraan di MK, pihak berkuasa turut meningkatkan kawalan di tempat-tempat tumpuan seperti Istana Negara, bangunan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) serta Lapangan Terbang Antarabangsa SoekarnoHatta.
Menurut Ketua Pusat Penerangan TNI, Fuad Basya, Panglima TNI, Jeneral Moeldoko sudah menghubungi semua pimpinan TNI laut, darat dan udara khususnya di Pulau Jawa dan Jakarta untuk bersiap sedia.
"Penekanan yang harus diberikan esok ialah meningkatkan kawalan keselamatan pada hari pengumuman keputusan mahkamah," kata Fuad pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut Fuad, jumlah 30,000 anggota TNI yang dikerahkan esok menyamai jumlah yang digunakan untuk mengawal keselamatan semasa Pemilihan Umum (Pemilu) Parlimen pada 20 April lalu.
MK Indonesia akan memutuskan dakwaan kecurangan semasa Pemilu 2014 oleh pasangan calon Presiden dan Naib Presiden, Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa.
Pasangan berkenaan mencabar keputusan Pemilu 2014 yang berpihak kepada pasangan lawan Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla dengan mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya yang diadakan pada 9 Ogos lalu itu.
Pada Pilpres lalu, Jokowi dan Jusuf meraih 53.15 peratus atau 70.6 juta undian sementara pasangan Prabowo - Hatta pula mendapat 46.85 peratus atau 62.2 juta undian.
"Kita akan kembali mengadakan aksi moral di depan MK dan jumlah orang ramai yang dijangka turun kali ini (esok) akan mencapai target yang fantastik," kata anggota pasukan kemenangan Prabowo - Hatta, Andre Rosiade pada sidang akhbar di sini hari ini.
Bagaimanapun, Andre tidak dapat memberikan jumlah penyokong pasangan berkenaan yang dijangka berhimpun esok, sebaliknya memberi gambaran bahawa sepanjang Jalan Medan Merdeka Barat di sini esok akan dibanjiri orang ramai.
Kubu Prabowo - Hatta juga mengerahkan orang ramai untuk mengadakan tunjuk perasaan di hadapan bangunan MK selama mahkamah bersidang. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140821/lu_02/Tentera-Indonesia-diletakkan-dalam-keadaan-bersiap-sedia#ixzz3AyWVt7XA
© Utusan Melayu (M) Bhd