Wednesday, August 15, 2012

Presiden Tunisia: Mengapa Saudi Memberi Suaka Politik Kepada Ben Ali, Perompak Wang Rakyat?

 Presiden Tunisia: Mengapa Saudi Memberi Suaka Politik Kepada Ben Ali, Perompak Wang Rakyat?

Presiden Tunisia mengulangi permintaannya agar para Raja Arab Saudi mengusir Ben Ali, diktator Tunisia ke negaranya.

Menurut laporan al-Yaom al-Sabe, Moncef Marzouki, Presiden Tunisia yang ketika ini dalam Persidangan Islam di Mekah meminta Raja Arab Saudi agar mengembalikan Zine El Abidine Ben Ali, diktator Tunisia yang melarikan diri ke Arab Saudi pada 14 Januari 2011.

Marzouki mengatakan, "Mengapa Arab Saudi memberikan suaka politik kepada peribadi yang melawan Islam dan perompak wang rakyatnya? Sekalipun masih ada sensitif dalam masalah deportasi mantan presiden Tunisia antara kedua negara, tapi kami tetap meminta para Raja Arab Saudi sudi menyerahkan Ben Ali kepada Tunisia."

Perlu diketahui bahwa pihak Tunisia telah berkali-kali meminta Ben Ali dan istrinya Layla, dikembalikan ke negaranya, tapi permintaan ini ditolak oleh Raja Arab Saudi.

Senator Maijol Mahap keluar BN, ketiga di Sabah




12 Ogos 2012
Senator Maijol Mahap keluar BN, ketiga di Sabah
(Dari kiri), Lajim Ukin, Senator Datuk Maijol Mahap, Anwar Ibrahim, Wilfred Mojilip Bumburing dan Ketua PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini. - Foto ihsan Malaysian Insider
KOTA KINABALU - Senator Datuk Maijol Mahap dilaporkan telah mengisytiharkan keluar Barisan Nasional (BN) hari ini - pemimpin ketiga negeri itu berbuat demikian dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Beberapa media dan blog memetik beliau berkata, keputusannya keluar BN tidak diambil dalam sekelip mata.

Mahap, Naib Presiden Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut (Upko) berkata, beliau telah memikirkan secara teliti dan mengambil masa yang agak panjang mengenai perkara itu.

Langkah itu disambut oleh Pakatan Rakyat (PR) pada satu majlis yang diadakan di Kampung Kokobuan, Kota Marudu, kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu, lapor The Malaysian Insider.

Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga hadir pada majlis tersebut.

Jelas Mahap, masalah yang berlarutan di Sabah menjadi sebab utama beliau mengambil langkah tersebut.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Bumburing yang juga Ahli Parlimen Tuaran, mengisytiharkan peletakan jawatan. Turut keluar ialah pemimpin Umno Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin yang juga timbalan menteri pusat. Maijol telah berada dalam BN selama 14 tahun.

"Boleh dikatakan, Upko yang saya anggotai adalah sebuah parti yang menarik dan mempunyai budaya yang bagus.
"Presidennya, Tan Sri Bernard Dompok adalah seorang yang baik dan pemimpin yang berketrampilan. Upko sungguh bertuah kerana mempunyai pemimpin seperti beliau.

"Bagaimanapun, setelah meneliti tentang masalah yang berlarutan di Sabah sedangkan tiada usaha usaha penyelesaian terlihat, dengan berat hati, saya terpaksa meninggalkan perjuangan itu," kata beliau lagi.

Katanya, beliau tidak lagi menaruh kepercayaan bahawa BN boleh atau akan menyelesaikan isu isu kritikal di Sabah, contohnya seperti isu Pendatang Asing Tanpa Izin yang telah lama berlarutan, kadar kemiskinan yang tinggi di Sabah, penyisihan terhadap kaum Kadazan-Dusun-Murut (KDM) dari perkhidmatan awam dan anugerah biasiswa, masalah masalah tanah dan royalti minyak lima peratus.

Kerajaan BN, ujar beliau, telah berjanji untuk mengadakan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah tapi hampir semua orang tahu bahawa ia hanyalah janji manis BN.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan terma rujukan RCI dan anggotanya.

“Terdapat kira kira 900,000 warga asing di Sabah dan saya mengesyaki terdapat beratus ratus ribu lagi yang bersembunyi di sebalik identiti Melayu, Bajau dan kaum Bumiputera yang lain.

"Orang-orang ini tiba tiba menjadi Bumiputera, malah lebih bumiputera dari orang KDM. Cuba bayangkan apa yang kami rasa?" ujar beliau lagi.

Mahap juga mengeluh apabila masalah tanah masih terus menghantui penduduk di kawasan luar bandar, satu-satunya harta asas yang mereka miliki atau lebih dikenali sebagai tanah adat, telah diambil dan dirampas oleh syarikat syarikat besar dan agensi agensi kerajaan dan menjadikan mereka berstatus penghuni haram atas tanah milik mereka sendiri.

"Saya sudah tidak boleh bertolak ansur dalam hal ini. Ini satu diskriminasi terhadap kehidupan rakyat." katanya.

Tun Dr Mahathir: Israel perintah dunia melalui proksi




13 Ogos 2012
Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR - Terdapat kebenaran kepada dakwaan bahawa Israel memerintah dunia melalui proksi, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya tertanya-tanya adakah orang menyedarinya atau tidak tetapi calon-calon presiden Amerika Syarikat iaitu kuasa besar tunggal, semua perlu mendapatkan kelulusan daripada Israel.

"Calon Republikan bagi jawatan Presiden, Mitt Romney, baru sahaja menziarahi Tel Aviv dan telah membuat akur janji terbuka bahawa beliau akan lebih tegas terhadap rakyat Palestin dan Iran berbanding Obama (Pesiden Barack Obama), katanya dalam entiri terbaru dalam blognya di chedet.cc hari ini.

Dr Mahathir percaya tidak lama lagi Obama akan melakukan lawatan sama dan akan menaburkan banyak lagi janji untuk berjuang bagi Israel.   

"Situasi ini ganjil dan rakyat Malaysia tidak berfikir pendekatan ini elok semasa pilihan raya umum.

"Bagaimana jika calon-calon Malaysia bagi pilihan raya terpaksa melawat negara jiran untuk berjanji persahabatan kita atau menyokong mereka?

"Pilihan raya kita adalah untuk memperoleh sokongan rakyat Malaysia untuk parti yang akan membentuk kerajaan. Apa yang negara lain berfikir mengenai dasar-dasar kerajaan kita adalah tidak relevan," katanya.

Rupa-rupanya, Dr Mahathir berkata ia bukan dengan kes Amerika yang mana semua calon benar-benar berikar kesetiaan kepada Israel atau menanggung risiko kalah pada pilihan raya.

"Ia bukan mengira mengenai apa yang baik untuk Amerika Syarikat.   

"Orang boleh bayangkan dasar-dasar yang diguna pakai oleh mana-mana kerajaan atau presiden yang menang dan ia jelas Amerika Syarikat tidak boleh mengabaikan pandangan Israel ketika bertindak balas terhadap apa-apa yang menjadi kebimbangan Israel," katanya.

"Nampak seperti negara kecil menguasai dunia," jelasnya. - Bernama

Lebih 60 NGO tubuh Majlis Gerakan NGO Islam bantu Rohingya


Dr Rashed Osman Joher
Dari kanan, wakil Rohingya, Dr Rashed Osman Joher dan Pengerusi Ikiam, Datuk Zahidi bersama NGO lain semasa Persidangan Gerakan NGO Islam Asean, semalam.
KUALA LUMPUR - Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) bersama 61 badan bukan kerajaan (NGO) Asia Tenggara bersetuju menubuhkan Majlis Gerakan NGO Islam yang akan berpusat di Malaysia bagi membantu etnik Rohingya.

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, gerakan tersebut menggabungkan badan Islam bagi mencari jalan untuk membantu etnik tersebut.

Beliau berkata, kesengsaraan rakyat Rohingya membuka mata masyarakat Islam terutamanya NGO berusaha untuk menyelesaikan perkara tersebut secepat mungkin.

"Antara misi kami ialah menggesa badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menganjurkan persidangan khas mengenai isu ini.

"Malah, mendesak mereka supaya mengambil tindakan ke atas Myanmar yang gagal mematuhi dan menghormati protokol Badan Hak Asasi Manusia Asean (AHRB)," katanya selepas menandatangani Resolusi Persidangan Gerakan NGO Islam Asean Misi Kemanusiaan Rohingya, hari ini.

Antara negara yang terlibat sama adalah Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand dan Kemboja.

Menurutnya, resolusi itu ditubuhkan untuk membantu pelarian Rohingya dari terus dianiaya dan dibunuh oleh pihak berkuasa Myanmar.

"Tindakan pemerintah Myanmar yang hanya mementingkan kerusi politik berbanding kesengsaraan masyarakat Rohingya yang dianiaya dan dibunuh sejak dua dekad lalu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ketika rombongannya ke Arakan baru-baru ini, mereka diberi amaran oleh pemerintah Myanmar suapaya tidak meneruskan perjalanan ke perkampungan tersebut.

Beliau bersama ahli rombongan menghadapi pelbagai cabaran kerana disekat oleh tentera mereka dari menjejakkan kaki ke perkampungan tersebut.

Menurutnya, di sebalik kekejaman pemerintah Myanmar, pelbagai pihak tampil memberikan bantuan kemanusiaan terutamanya, Thailand.

"Kementerian Thailand bersimpati dengan nasib masyarakat Rohingya telah membawa isu kesengsaraan mereka ini ke peringkat antarabangsa dengan merujuk kepada OIC.

"Malah, Angkatan Tentera Laut Thailand turut membantu pelarian Rohingya berlindung dari kekejaman rejim Myanmar," katanya.

PR kecam pembunuhan kaum di Myanmar

SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut kerajaan Myanmar mengambil tindakan segera menghentikan pembunuhan kaum di negara itu.
PR juga mendesak Najib supaya menggesa kerajaan Myanmar membuka pintu membenarkan masyarakat antarabangsa memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa.
Dalam satu kenyataan media bersama, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad  berkata, PR mengecam pembunuhan kaum Rohingya di Myanmar pada masa ini.
Selain itu, PR juga menggesa Bangladesh yang mempunyai talian diplomatik yang kuat dengan Malaysia mendesak Myanmar membuka sempadan dan memberi bantuan kemanusiaan kepada  mangsa-mangsa tersebut

OIC diminta selamatkan Syria - PM




NAJIB (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada tokoh ulama Arab Saudi, Sheikh Dr. Abdullah Hamad Al Jalaly (kanan) pada pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa OIC di Mekah semalam.


MEKAH - Malaysia akan mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil langkah serius untuk menyelamatkan Syria daripada terus hancur akibat konflik yang melanda negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan menyuarakan pendirian dan gesaan itu pada Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC di Mekah yang bermula hari ini.
"OIC perlu mengambil langkah positif dan lebih tegas untuk menyelamatkan Syria dan bukan sekadar mengambil tindakan politik sahaja," kata beliau kepada pemberita Malaysia di sini semalam.
Perdana Menteri mengetuai delegasi negara ke Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC anjuran Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud dan persidangan itu bertujuan membincangkan situasi terkini di negara dan dunia Islam dengan hasrat mengembali dan mengukuhkan perpaduan umat Islam serata dunia dan memerangi unsur yang membawa kepada perbalahan dan kekacauan.
Persidangan itu berlangsung di As-Safa Palace yang terletak bersebelahan Masjidil Haram dan bermula selepas solat tarawih sehingga waktu bersahur.
Mengenai laporan media yang memetik bahawa Syria digantung daripada menganggotai OIC, Najib berkata, perkara itu juga akan dibangkitkan dalam mesyuarat malam ini dan pendirian Malaysia ialah mahu Syria terselamat daripada kehancuran dan OIC harus membela nasib umat Islam di negara yang sedang bergolak itu.
Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu dipetik oleh agensi berita AFP sebagai berkata, Syria yang sedang dilanda peperangan tidak akan diwakili dalam sidang kemuncak itu.
Konflik di Syria bermula pada Mac 2011 dengan tunjuk perasaan awam iaitu sebahagian daripada kebangkitan "Arab Spring" yang lebih meluas dan merebak kepada pemberontakan di seluruh negara serta perang saudara tahun ini.
Penunjuk perasaan mendesak supaya pemerintahan Parti Ba'ath yang berkuasa hampir lima dekad ditamatkan lebih awal di samping peletakan jawatan Presiden Bashar al-Assad.
Kerajaan Syria mengerahkan angkatan tenteranya untuk menumpaskan pemberontakan itu dan tentera dilaporkan diarah supaya melepaskan tembakan ke arah orang awam.
Konflik 17 bulan itu mengorbankan lebih 21,000 orang, menurut kumpulan pemantau. - Bernama