Showing posts with label renjatan. Show all posts
Showing posts with label renjatan. Show all posts

Tuesday, May 31, 2011

Hairuman keluar wad hari ini





HAIRUMAN dibawa bersiar oleh Maryuni (kanan) bersama ahli keluarganya serta Rizan (kiri) di ruang legar wad Hospital Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi, Muhammad Hairuman Miskon, 22, akhirnya dibenarkan pulang ke rumah hari ini bertepatan dengan hari ulang tahun kelahirannya selepas enam bulan terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Hairuman yang ditemui di wad HKL semalam berkata, dia sangat teruja bercampur sedih selepas doktor membenarkan dia keluar dari wad.
“Saya tidak sabar untuk melihat pemandangan luar sebab sudah lama di wad selain rindu untuk berjumpa keluarga.
“Pada masa yang sama, saya juga sedih sebab terpaksa berpisah dengan pesakit lain dan petugas hospital kerana mereka selalu memberi saya sokongan dan semangat agar saya cepat pulih,” katanya.
Katanya, walaupun kemalangan telah mengubah kehidupannya, dia bersemangat dan yakin boleh memenuhi impiannya yang terpendam selama ini untuk memulakan perniagaan barangan elektronik dan melukis serta mendalami bidang keagamaan.
Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.
Kosmo! Online - Negara

Saturday, February 12, 2011

Mangsa renjatan elektrik beransur pulih




SHAHRIZAT Jalil menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada Muhamad Hairuman Miskon yang terkena renjatan elektrik di Hospital Besar Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 11 Feb. - Kesihatan mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi, Muhamad Hairuman Miskon, 22, semakin positif sejak dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 30 Januari lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Muhamad Hairuman kini semakin ceria dan sudah mampu menggerakkan tangannya.
"Saya yakin ketabahan Hairuman dan penjagaan rapi oleh kakitangan HKL telah membantu mempercepatkan proses penyembuhannya.
"Hairuman memberitahu saya bahawa dia perlu cekal untuk meneruskan hidup. Dia turut menyatakan penghargaannya kepada hospital dan semua pihak yang tidak putus-putus memberi bantuan," katanya.
Shahrizat yang juga Presiden Yayasan Kebajikan Negara (YKN) berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa melawat Muhamad Hairuman di Unit Rawatan Kebakaran HKL.
Hampir seluruh tubuh pemuda itu melecur teruk selepas terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi ketika mengait buah kelapa sawit di sebuah kebun di Sungai Tengi Kanan Darat, Tanjong Karang, Selangor pada 26 November lalu.
Kecederaan yang dialami pemuda itu menyebabkan kedua-dua belah tangan serta kaki kirinya terpaksa dipotong apabila doktor mendapati anggota tersebut tidak boleh diselamatkan lagi.
Pada pertemuan tersebut, Shahrizat turut memaklumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah meluluskan bantuan RM300 sebulan di bawah Skim Orang Kurang Upaya bermula bulan lalu untuk Muhamad Hairuman.
Shahrizat turut menyampaikan sumbangan RM2,000 daripada YKN kepada kakak pemuda tersebut, Maryuni Miskon.
Menurutnya, JKM juga akan membantu menanggung kos kaki dan tangan palsu apabila kecederaan yang dialami oleh pemuda itu pulih sepenuhnya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif HKL, Dr. Normala Basiron berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum dapat mengesahkan sampai bilakah Muhamad Hairuman akan ditempatkan di Unit Rawatan Kebakaran berkenaan.
Bagaimanapun katanya, tahap kesihatan pemuda itu kini beransur pulih dan sudah berupaya untuk duduk selepas kaki kirinya dipotong bagi mengawal jangkitan daripada terus merebak ke anggota badan yang lain.
"Dia masih memerlukan penjagaan rapi dan pada masa sama, kami berusaha membina semula otot-ototnya dengan memberi rawatan fisioterapi secara berterusan selain penjagaan makanan.
"Sehubungan itu, kami mengharapkan orang ramai terus memberi sokongan moral dan peluang kepada Hairuman untuk bekerja selepas dia pulih sepenuhnya nanti," katanya.
Selain Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, terdapat lima jabatan yang turut terlibat dalam usaha merawat dan memulihkan pemuda tersebut.
Ia meliputi Jabatan Ortopedik dan Traumatologi; Jabatan Fisioterapi, Jabatan Kaunseling, Jabatan Sains Makanan dan Perkhidmatan Makanan serta Jabatan Kerja Sosial.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Thursday, January 27, 2011

Artis bantu mangsa renjatan elektrik



Masyarakat sering dipaparkan kisah glamor artis dengan kehidupan digambarkan sibuk memenuhi tawaran persembahan nyanyian atau lakonan.

Sekalipun sibuk, namun artis turut meluangkan masa menyertai aktiviti kebajikan.

Terbaru, penderitaan mangsa renjatan elektrik, Muhamad Hairuman Miskon, 22, turut mendapat perhatian artis yang menyertai program gotong-royong di rumah mangsa.

Muhamad Hairuman kehilangan kedua belah tangannya, kini masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Barisan artis menyertai aktiviti kebajikan itu, Dafi, Zehra Zambri, Dior, Sofaz, Sabhi Saddi, Zul (2by2), Isma (AF) dan Fida.

Mereka meringankan tulang bersama orang kampung membaiki rumah Muhamad Hairuman dan membersihkan persekitaran halamannya.

Penganjuran gotong-royong itu adalah usaha Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias; portal murai.com.my; Majlis Belia Malaysia; Kelab Warisan Tanjung Karang; Majlis Belia Kuala Selangor dan Puteri UMNO Tanjong Karang.



Ringankan beban: Fida

Bagi pelakon yang kini menceburi bidang nyanyian, Fida berkata, aktiviti kebajikan disertai artis sedikit sebanyak membantu Muhamad Hairuman meringankan bebannya.

Menurutnya, golongan artis perlu turun padang menyertai aktiviti kebajikan untuk membantu mangsa bencana yang memerlukan, walaupun bantuan dihulurkan tidak seberapa.

“Program amal melibatkan artis perlu dilakukan lebih kerap.

“Mungkin ada artis berminat menyertai program ini, tetapi tidak mendapat maklumat. Jika liputan atau maklumat berkaitan aktiviti kebajikan diberikan secara menyeluruh, Fida yakin ramai artis akan menyertainya,” katanya.



Artis contoh terbaik: Dafi

Penyanyi Bila Terasa Rindu, Dafi menyifatkan, penglibatan artis mampu memberi contoh baik kepada masyarakat.

“Artis mempunyai pengaruh tersendiri kepada masyarakat. Apabila masyarakat melihat artis melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, mungkin mereka tergerak hati untuk membantu.

“Sebelum ini, Dafi pernah terlibat beberapa aktiviti kebajikan dan tidak akan melepaskan peluang menyertainya pada masa hadapan,” katanya.



Bantu golongan kurang mampu: Dior

Sementara itu, penyanyi Dior mengakui sedih melihat keadaan Muhamad dan berharap Muhamad Hairuman sentiasa tabah mengharungi hidup selepas keluar dari hospital kelak.

Baginya, aktiviti itu harus dijadikan acara berterusan kerana dapat membantu golongan kurang berkemampuan.

“Mohd Hairuman beruntung kerana masih ramai yang mengambil berat terhadap keadaannya. Ini kerana, lebih ramai insan mengalami nasib malang dan Dior doakan Mohd Hairuman tidak putus asa dan menganggap peristiwa yang menimpanya ada hikmah tertentu,” katanya.

Thursday, January 20, 2011

Adik setuju potong tangan

KLANG: Mangsa renjatan kabel elektrik yang melecur hampir 35 peratus tubuhnya, akhirnya membenarkan kedua-kedua tangan serta ibu jari kaki kirinya dipotong akibat dijangkiti kuman selepas mendapat nasihat doktor yang mengesyorkannya untuk berbuat demikian. 
Kakak Mangsa, Maryuni Miskon, 32, berkata adiknya, Muhammad Hairuman, 22, bersetuju menjalani pembedahan itu selepas mendapat nasihat doktor bagi mengelak keadaan menjadi lebih serius.Muhammad Hairuman dilihat memasuki bilik bedah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada jam 4.45 petang semalam.Sementara itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pihaknya bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa dan berjanji menyalurkan bantuan kepada mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung. 

“Kami sangat bersimpati dengan mangsa dan berjanji membantu mangsa untuk mendapatkan sumbangan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di samping mendapatkan peralatan seperti tangan palsu. 

“Saya juga akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berhubung perkara ini bagi mendapatkan bantuan susulan selain Kelab Putera 1Malaysia akan membantu mangsa menjalani kehidupan selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di ruang legar HTAR, di sini, semalam. 

Abdul Azeez juga turut menghulurkan sumbangan RM1,500 daripada Kelab Putera 1Malaysia kepada mangsa yang diwakili kakaknya. 
Muhammad Hairuman, pelajar kolej swasta di Kuala Selangor terkena renjatan ketika mengambil upah mengait kelapa sawit di Jalan Masjid Baru, Tanjung Karang pada 26 November tahun lalu. 

Wednesday, January 19, 2011

Bantulah adik saya - Maryuni


BELUM SEMBUH. Muhamad Hairuman menahan kesakitan ketika menerima rawatan di HTAR, Klang semalam.


KLANG – Dalam keadaan sakit menahan bisa melecur akibat terkena renjatan kabel elektrik dua bulan lalu, Muhamad Hairuman Miskon, 23, hanya mampu mengalir air mata apabila doktor menasihatkan agar kedua-dua pergelangan tangannya dipotong atas faktor perubatan.
Menurut kakak Muhamad Hairuman, Maryuni Miskon, 32, doktor yang merawat adiknya memaklumkan saraf pada pergelangan tangan adiknya telah mati dan kemungkinan boleh mendatangkan mudarat pada anggota badan lain.
Justeru, doktor meminta persetujuan untuk memotong kedua-dua pergelangan tangan Muhamad Hairuman.
“Badannya melecur 35 peratus akibat kejadian tersebut dan setiap hari dia mengerang kesakitan.
“Apabila doktor meminta persetujuan untuk potong pergelangan tangannya, adik saya menangis tetapi apa daya saya kalau itu yang terbaik,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Maryuni, mereka masih mengharapkan pandangan beberapa pihak lagi sebelum persetujuan diberi.
“Saya buntu kerana kami bukannya arif dalam bidang perubatan tetapi saya mengharapkan pandangan pihak lain sebelum membuat keputusan.