Friday, May 24, 2013

Pasangan Malaysia sertai kelab jutawan di Australia



24 Mei 2013
MELBOURNE – Satu pasangan Malaysia di Australia telah menggandakan kekayaan mereka dan kini layak dipanggil 'billionaire'.     David Teoh, 57, dan isterinya Vicky, 56, telah mencapai salah satu peningkatan terbesar tahun ini dalam Senarai Mewah BRW Rich 200, melonjakkan kekayaan mereka daripada A$526 juta tahun lepas kepada A$1.06 bilion.
 
Pasangan Teoh, yang berhijrah dari Malaysia pada 1986, memiliki hampir 37 peratus daripada penyedia jalur lebar TPG Telecom, yang telah berkembang menjadi satu perniagaan bernilai A$3 billion selepas pertumbuhan harga saham yang konsisten semenjak 12 bulan lepas.
 
"Di sebalik kejayaannya, Teoh bencikan publisiti dan enggan gambarnya diambil oleh media," kata majalah bisnes BRW.
 
Pada Mac tahun ini, TPG melaporkan untung bersih selepas cukai sebanyak A$78.3 juta untuk setengah pertama tahun kewangan 2012-13, naik 41 peratus berbanding tempoh yang sama sebelum itu.
 
Vicky Teoh baru-baru ini dinamakan wanita yang mempunyai kemewahan sendiri terkaya di Australia dalam senarai Wanita Kaya BRW pertama berikutan saham 18 peratus miliknya dalam TPG.
 
Seperti suaminya, beliau tidak mahu dikenali dan amat jarang dapat di wawancara.
 
Turut serta dalam senarai itu adalah jutawan Sam Chong, daripada Tanah Rata, Cameron Highlands, yang melihat kekayaan perlombongannya menyusut daripada A$1 bilion kepada A$800 juta, serta pemaju harta Maha Sinnathamby, dari Negeri Sembilan, yang menaikkan kekayaannya kepada A$845 juta berbanding A$820 tahun lepas. - Bernama

Biawak besar buat kejutan di Parlimen Thailand



23 Mei 2013
BANGKOK - Parlimen Thailand semalam dikejutkan dengan kehadiran biawak besar berukuran kira-kira dua meter yang menjadikan saluran udara di siling sebagai habitatnya.

Pegawai Parlimen dimaklumkan mengenai kehadian reptilia itu oleh seorang pengamal media yang melihatnya melalui jeriji besi di siling.

Haiwan itu bagaimanapun berjaya menyembunyikan diri dalam saluran yang gelap.

Kakitangan keselamatan cuba menangkap biawak berkenaan menggunakan kayu namun gagal kerana kemungkinan ia takut dengan keadaan yang riuh rendah.

Beberapa jam kemudian, pihak parlimen terpaksa memanggil pakar dari Zoo Dusit dan Pejabat Pencegahan Bencana bagi menangkap haiwan berkenaan.

Selepas mematahkan gril logam dan jubin siling, pekerja zoo akhirnya berjaya menangkap biawak berkenaan dan mengeluarkannya dari bangunan parlimen.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan bagaimana reptilia itu boleh memasuki Parlimen walaupun ia sering dilihat di sekitar kawasan Parlimen.

Telefon bimbit vs tandas



23 Mei 2013
Telefon bimbit vs tandas
Amalan membuang air besar secara terbuka yang boleh menyebarkan penyakit, perlu dihentikan segera
Telefon bimbit vs tandas
Indonesia antara negara mempunyai pemilikan telefon bimbit teramai.
Telefon bimbit vs tandas
10 negara mengalami kedaifan tandas berbanding pemilikan telefon bimbit
PERTUBUHAN Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, enam daripada tujuh bilion penduduk dunia memiliki telefon bimbit tetapi hanya 4.5 bilion mempunyai tandas di rumah.

Laporan statistik mengejutkan ini mendorong organisasi antarabangsa melancarkan kempen global bagi meningkatkan kebersihan kepada 2.5 bilion orang yang berhadapan dengan risiko kesihatan.

Timbalan Ketua Setiausaha PBB, Jan Eliasson menjelaskan, statistik ini mencerminkan kemiskinan melampau di beberapa negara dunia.

“Masalah ini perlu ditangani segera bagi memenuhi matlamat PBB untuk mengurangkan masalah penduduk yang berhadapan dengan kemudahan kebersihan  menjelang akhir 2015,” katanya.

Beliau turut menyelar sikap pemimpin dunia yang hanya menetapkan misi pembangunan milenium untuk memerangi kemiskinan namun  masalah kemudahan kebersihan terus dipinggirkan.

“Amalan membuang air besar secara terbuka yang boleh menyebarkan penyakit, perlu dihentikan segera   dan perlu berada pada kadar sifar menjelang 2025,” katanya.

Menurutnya, walaupun bilangan penduduk membuang air besar secara terbuka menurun 271 juta sejak tahun 1990, tetapi perbuatan itu  masih diamalkan 1.1 bilion orang atau 15 peratus daripada penduduk dunia.

“Ia adalah salah satu punca utama cirit-birit yang mengakibatkan kematian lebih daripada 750,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun setiap tahun,” katanya.

Eliasson berkata, sebanyak 22 negara dengan lebih daripada 80 peratus penduduk membuang air besar secara terbuka di dunia.

Menurut seorang pegawai PBB, Brazil, China, India, Indonesia, Kemboja, Ethiopia, Kenya, Madagascar, Malawi, Mozambique, Nepal, Nigeria, Pakistan, Sierra Leone, Zambia, Afghanistan, Burkina
Faso, Chad, Congo, Niger, Sudan dan Selatan Sudan antara masih mengamalkan perbuatan itu.

“Di India sebanyak 60 peratus daripada jumlah penduduknya mengamalkan tabiat membuang air besar terbuka. Perbuatan itu dilihat amat bertentangan dengan pemilikan telefon mudah alih yang meningkat di negara itu,” katanya.

Beliau berkata, kini terdapat peningkatan mendadak penggunaan telefon bimbit dengan hampir satu bilion pengguna berbanding 45 juta pada 2002.

“Laporan menunjukkan, kedai telefon bimbit kini semakin banyak di India termasuk kilang Nokia terbesar di dunia ditempatkan di Chennai. Mereka mampu membeli telefon bimbit tetapi tidak mampu membina tandas di rumah. Perkara ini amat mendukacitakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kanak-Kanak Sedunia (Unicef) Martin Mogwanja berkata, matlamat kebersihan unggul digariskan PBB hanya boleh tercapai pada 2075 dan bukannya 2015.

“Keuntungan ekonomi global daripada pelaburan sektor kebersihan dianggarkan 170 bilion pound setahun dan masalah kebersihan menjejaskan pertumbuhan ekonomi adalah sekitar antara 0.5
peratus dan 7.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar setiap negara,” katanya dipetik laporan MailOnline

Ogos tahun lalu, pengasas Microsoft, Bill Gates melancarkan kempen ‘menginovasi tandas’ untuk mengurangi angka kanak-kanak meninggal dunia yang berpunca daripada masalah kebersihan.

The Gates Foundation  menawarkan AS$42 juta untuk meminta penduduk dunia membuat tandas dengan menggunakan teknologi penjimatan air.

Tentera AS bunuh dua pelajar kolej



23 Mei 2013
Tentera AS bunuh dua pelajar kolej
Tentera AS dipercayai menembak sekumpulan pelajar di di Azizabad, Shindand.
KABUL - Sekumpulan tentera di bawah pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dipercayai melepaskan tembakan ke arah sekumpulan pelajar kolej menyebabkan sekurang-kurangnya dua maut dan berpuluh cedera di Afghanistan.

Menurut pegawai keselamatan wilayah barat Herat, kejadian itu berlaku ketika kumpulan pelajar terbabit sedang menghadiri satu majlis di Azizabad, Shindand.

“Sekumpulan penyiasat dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan penuh,” katanya kepada AFP.

Akibat daripada kejadian itu, puluhan penunjuk perasaan dilaporkan berkumpul di luar pejabat gabenor bagi mendesak tentera terbabit ditahan dan bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Kehadiran tentera AS di Afghanistan bagi menghapuskan Taliban tidak disenangi sejak kebelakangan ini kerana jumlah kematian terus meningkat walaupun mereka ditugaskan untuk menjaga keselamatan awam.

Mengikut statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dalam tempoh enam bulan pertama 2012, lebih 1,140 orang awam terbunuh dan kira-kira 2,000 cedera dengan 30 peratus mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.

Pengakap AS hapus larangan gay



24 Mei 2013
Pengakap AS hapus larangan gay
Pengakap AS hapus larangan gay
ORGANISASI pengakap Amerika Syarikat (AS), The Boy Scouts of America, memutuskan untuk menerima anggota yang secara terbuka mengaku sebagai gay.

Keputusan ini diambil dalam pemungutan suara yang diakhiri dengan pergaduhan berkaitan isu yang memecah-belah gerakan ini.

Lebih dari 60 peratus anggota dewan nasional, yang terdiri dari 1,400 anggota yang memiliki hak suara menyokong perubahan ini dalam sebuah pertemuan di Texas, AS.

Namun, larangan ini masih berlaku bagi pemimpin pengakap dewasa yang secara terbuka mengaku gay.

Perubahan ini akan berlangsung secara efektif 1 Januari 2014.

Resolusi pembatalan larangan ini "menegaskan bahawa pengakap adalah program pemuda dan setiap ahlinya yang melakukan hubungan seksual, baik heteroseksual atau homoseksual bagi kaum muda adalah bertentangan dengan nilai kebajikan pengakap."

"Sementara orang memiliki pandangan yang berbeza tentang pandangan ini, kita semua perlu sepakat bahawa adalah lebih baik jika anak-anak tidak melakukan hubungan seksual saat aktif di pengakap,'' demikian isi pernyataan Boy Scouts of America.

Isu menghapuskan larangan ini sebelumnya sempat dibawa ke pertemuan dewan nasional Februari lalu, tetapi keputusan ditunda hingga ada keputusan dari dewan yang lebih luas.

Amalan yang sukar dilakukan oleh manusia ketika...



1. Memberi maaf ketika sedang marah.

2. Suka berderma ketika melarat (miskin).

3. Berbuat iffah (menjaga diri) ketika kesepian.

4. Berkata benar (jujur​​) kepada orang yang ditakuti atau yang diharapkan jasanya.

(Saidina Ali Bin Abi Talib)

Inilah antara amal yang paling berat timbangannya, kerana empat amalan ini begitu susah untuk diamalkan ketika berada di dalam keadaan seperti ini…

1- Bukan mudah untuk memaafkan seseorang ketika sedang marah.

2- Tidaklah mudah untuk menjadi pemurah apabila kita berada dalam keadaan miskin atau tidak mempunyai harta.

3- Tidak semua orang mampu mengawal dirinya ketika sedang bersendirian, iaitu semasa dia sedang berada jauh daripada pandangan manusia yang lain.

4- Tidak semua orang berani menyatakan perkara yang benar kepada pemimpin yang zalim atau orang yang berkuasa yang melakukan maksiat kepada Allah…

Namun….

Sungguhlah beruntung bagi orang yang mampu mengawal nafsu amarahnya, orang yang sanggup mengorbankan keperluan sendiri demi memenuhi keperluan orang lain yang lebih memerlukan, orang yang bersikap ihsan yakni merasakan bahawa Allah sentiasa memerhatikannya tidak kira dia berada di keramaian atau bersendirian, dan orang yang sentiasa berkata dan menyampaikan perkara yang benar serta tidak takut kepada sesiapa pun melainkan takut kepada Allah SWT semata-mata…

Oleh kerana itulah amalan yang berat ini, berat pula timbangannya disisi Allah… Mudah-mudahan Allah sentiasa memberikan taufiq dan hidayah untuk sentiasa bersabar dalam setiap dugaan dan cabaran daripadaNya… Aamiin…

Wallahualam…

sumber dari facebook dan eblog.yeopmi.com

5 Golongan yang terlindung daripada Kepanasan di Padang Mahsyar



1. Orang yang sering solat

2. Orang yang sering mengaji Al-Quran

3. Orang yang sering bersedekah

4. Orang yang jauh dari melakukan maksiat

5. Orang yang menangis kerana dosa

Kemarahan yang membuatkan keluarnya Dajjal

Telah menceritakan kepada kami Abdu bin Humaid telah menceritakan kepada kami Rauh bin Ubadah telah menceritakan kepada kami Hisyam dari Ayyub dari Nafi 'berkata: Ibnu Umar bertemu Ibnu shâ'id disalah satu jalanan Madinah lalu Ibnu Umar mengucapkan kata-kata yang membuatnya marah, ia menggelembung hingga meamenuhi jalanan, lalu Ibnu Umar memasuki kediaman Hafshah dan berita itu telah sampai padanya. Hafshah berkata pada Ibnu Umar: Semoga Allah merahmatimu, apa yang kau inginkan dari Ibnu shâ'id? Bukankah kau tahu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Salam pernah bersabda: "Sesungguhnya ia keluar dari kemarahannya." (HR. Muslim)

Sedang didalam riwayat Imam Ahmad dari dari Ibnu Umar bahwasanya ia melihat Ibnu Shoid berada di salah satu pintu masuk Madinah, kemudian Ibnu Umar mencelanya, dan ia pun menghinanya, ia pun semakin marah hingga menutupi jalan. Kemudian Ibnu Umar memukulnya dengan tongkat yang dibawanya, hingga ia memecahkannya. Lalu Hafshah berkata kepadanya; "Ada masalah apa engkau dengannya, apa yang membuatmu mencelanya? Tidakkah engkau mendengar Rasulullah shallaallahu 'alaihi wa sallam bersabda:' Bahwasanya Dajjal itu keluar dari kemarahan yang ia lakukan '," Affan berkata ketika ia marah, Yunus berkata pada haditsnya; "Apa yang membuatmu mencelanya."

Kedua hadits tersebut menjelaskan sebab kemarahan Ibnu Umar adalah bahawa dirinya melihat Ibnu shâ'id di salah satu jalan (pintu masuk) Madinah sehingga memukulnya dengan tongkatnya. Setelah itu Ummul Mu'minin Hafshah mengingatkannya dengan hadis Rasulullah saw bahawa dia (dajjal) keluar dari kemarahannya.

Adapun tentang hakikat amarah dajjal apakah disebabkan dirinya dalam keadaan terikat sangat kuat dan kedua tangannya terikat ke bahunya serta antara dua lutut serta kedua buku lalinya terbelenggu dengan besi ataukah kerana sebab-sebab lain? Wallahu A'lam. Yang pasti bahawa amarah itu menjadi tanda yang dijadikan oleh Allah swt sebagai sebab keluarnya dajjal, sebagaimana disebutkan didalam hadis-hadis diatas.

Namun demikian berlaku perselisihan dikalangan ulama apakah Ibnu shâ'id atau juga disebut dengan Ibnu Shayyad ini adalah dajjal akbar yang keluar pada akhir zaman atau bukan?

Imam Nawawi menyebutkan pendapat ulama yang mengatakan bahawa Nabi saw tidaklah turun kepadanya wahyu yang menjelaskan bahawa dia adalah al masih ad dajjal ataupun yang lain. Adapun wahyu yang turun kepadanya hanya tentang sifat-sifat dajjal saja sementara didalam diri Ibnu Shayyad ini terdapat bukti-bukti tersebut. Kerana itulah Nabi saw tidak memastikan bahawa dia adalah dajjal atau bukan. Rasulullah saw berkata kepada Umar, "Jika memang ia (Ibnu Shayyad) itu adalah dajjal maka engkau tidak akan dapat membunuhnya. (Shahih Muslim bi Syarhin Nawawi juz XVIII hal 64)

Al Hafizh Imaduddin bin Katsir berkata: Sebahagian ulama berkata bahawa sebahagian sahabat mengira bahawa Ibnu Shayyad itu adalah dajjal akbar (yang paling besar) yang dijanjikan di akhir zaman padahal tidaklah demikian. Seungguhnya dia (ibnu Shayyad) adalah dajjal kecil, seperti yang terdapat dalam potongan hadits Fatimah binti Qais.

Al Baihaqi tentang hadits Fatimah itu mengatakan bahawa dajjal akbar bukanlah Ibnu Shayyad akan tetapi dia hanyalah salah satu dari dajjal pendusta yang dimaklumkan Rasulullah saw yang akan keluar, dan kebanyakan daripada mereka pun telah keluar. Boleh jadi orang-orang yang meyakini bahawa dajjal akbar adalah Ibnu Shayyad tidak mendengar kisah Tamim .... (Aunul Ma'bud juz XI hal 340)

Diantara para sahabat yang mengatakan bahawa Ibnu ash Shayyad adalah dajjal akbar yang keluar pada akhir zaman adalah Umar bin Khattab dan anaknya, Abdullah bin Umar bin Khattab. Didalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Muhammad bin Al Munkadir berkata: Aku pernah melihat Jabir bin Abdillah bersumpah dengan nama Allah bahawa sesungguhnya Ibnu Sha `id itu Dajjal. Lalu aku berkata: Apakah kamu bersumpah dengan nama Allah? Ia menjawab: Sungguh aku pernah mendengar Umar bersumpah atas hal itu di depan Nabi Shallallahu 'alaihi wa Salam dan beliau tidak mengingkarinya.

Namun pendapat yang paling kuat yang menjadi pendapat kebanyakan para ulama penyelidik adalah bahawa Ibnu shâ'id atau Ibnu Shayyad bukanlah dajjal akbar yang keluar di akhir zaman. Namun tidak disangsikan bahawa Ibnu Shayyad ini adalah salah satu dajjal dari dajjal-dajjal pendusta yang kita diminta oleh Rasulullah agar waspada terhadapnya.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari dari Abu Hurairah dari Nabi saw, beliau bersabda: "Sebelum datangnya hari kiamat akan muncul kira-kira tiga puluh Dajjal pendusta ... '"

Wallahu A'lam

Diterjemahkan dari sumber fiqhislam.com

‘Boo’ enggan naik teksi tak guna meter


Kuala Lumpur: “Saya terkejut apabila mereka melayan saya dengan kasar di depan KLCC. Malah, mereka mengherdik dan melemparkan perkataan ‘boo’ apabila saya mendapatkan teksi lain,” kata penumpang yang hanya mahu dikenali Wan yang mengalami situasi dimalukan pemandu teksi.

Menurutnya, dalam kejadian di depan sebuah pintu masuk KLCC jam 3.30 petang kelmarin, dia dipaksa membayar RM50 untuk tambang dari KLCC menuju Bangsar. Bayaran itu dikenakan pemandu teksi atas alasan kesesakan lalu lintas dan tidak mahu menggunakan meter.


“Saya menaiki teksi dari Bangsar ke KLCC dengan bayaran RM15. Ketika itu, pemandu berkenaan juga tidak mahu menggunakan meter, tetapi saya tidak kisah kerana mempunyai temu janji.

“Namun, apabila pemandu teksi lain mahu kenakan RM50 hanya dari KLCC ke Bangsar, ia tidak munasabah dan terlalu mahal,” katanya.


Wan, berusia 30-an berkata, dia bertanya kepada dua pemandu teksi lain di situ ketika mahu pulang ke Bangsar, tetapi jawapan sama diberikan mereka kerana enggan menggunakan meter.


“Ketika kejadian, saya tidak nampak muka mereka sebagai ancaman, tetapi apabila saya bertanya soalan sama ada menggunakan meter, mereka kelihatan marah. Ada pemandu teksi warna biru ajak saya naik keretanya, tetapi saya enggan kerana tahu ada bayaran tambahan dikenakan,” katanya.

Sejurus permintaan menggunakan meter ditolak tiga pemandu teksi, Wan berjalan menuju satu perhentian teksi di tepi Jalan Ampang untuk mendapatkan teksi lain. Namun, katanya dia sekali lagi terkejut apabila menyaksikan perangai pemandu teksi bercakap lucah terhadap pelancong asing.


“Saya ternampak ada pelancong wanita asing termasuk seorang remaja dari satu keluarga Arab berpakaian seksi berada di situ. Beberapa pemandu teksi yang berada di situ tidak segan silu bercakap lucah dalam bahasa Malaysia walaupun pelancong itu tidak mahu menggunakan perkhidmatan teksi mereka,” katanya.

Bimbang dipukul kumpulan teksi terbabit, katanya, dia menyeberang jalan dan mendapat teksi lain yang menggunakan meter.


“Sejak saya bertanya meter, kumpulan teksi terbabit sudah memerhatikan gerak-geri saya. Sehingga saya naik teksi lain, mereka melemparkan perkataan ‘boo’ dan cuba memalukan saya depan khalayak,” katanya.

Lelaki Poland dapat muka baru


Foto
WAJAH pesakit lepas pembedahan.
Foto
MANGSA kemalangan industri di Poland menunjukkan
reaksi memberangsangkan enam hari selepas
 menjalani pembedahan.
Warsaw: Sekumpulan doktor di Poland mendakwa melakukan pemindahan muka menyeluruh terhadap seorang lelaki yang cedera teruk akibat kemalangan ketika mengguna mesin peralatan memotong batu.

Pakar bedah di Pusat Onkologi Gliwice berkata, pembedahan selama 27 jam itu dilakukan ke atas seorang lelaki berusia 33 tahun yang menjadi mangsa kemalangan. Ketua kumpulan pakar itu, Adam Maciejewski berkata, pembedahan dijalankan pada 15 Mei lalu, hanya beberapa minggu selepas lelaki terbabit mengalami kemalangan. “Ia adalah pembedahan pemindahan muka untuk menyelamatkan nyawa pertama dijalankan sejurus selepas kemalangan berlaku,” katanya.


Sebelum ini, pembedahan pemindahan muka hanya dijalankan selepas beberapa bulan atau tahun menjalani persediaan.

Menurut Maciejewski, kemalangan itu berlaku pada 23 April lalu. Imej janaan komputer - yang disediakan hospital - menunjukkan kerosakan serius pada muka lelaki terbabit.


Kata jurucakap hospital, lelaki itu mengalami kemalangan perindustrian. Akibat kecederaan itu, mangsa perlu menjalani pembedahan menstruktur semula muka, rahang, lelangit dan soket matanya. Doktor bedah terkejut apabila prosedur itu didapati berjaya. Sekeping gambar lelaki itu menunjukkan dia terbaring di katil hospital sambil mengangkat ibu jari sebagai tanda gembira dengan pembedahan berkenaan.


Gambar itu dirakam semalam, enam hari selepas pembedahan berlangsung. Orang pertama berjaya menjalani pembedahan pemindahan muka di dunia ialah seorang petani Sepanyol pada 2010 yang hanya dikenali sebagai Oscar.


Dia mengalami kecederaan parah selepas tertembak mukanya secara tidak sengaja ketika memburu. - Daily Mail

Pendapatan purata rakyat Singapura tertinggi di dunia


Singapura: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam menobatkan pendapatan purata rakyat Singapura sebagai yang tertinggi di dunia berdasarkan kepada pendapatan perkapita dan kemampuan daya beli negara itu.

IMF mencatatkan secara purata pendapatan setiap rakyat Singapura dalam setahun ialah AS$61,567 (RM186,824).
Jumlah itu meningkat dua peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Dengan pendapatan itu, Singapura mengungguli empat negara lain - Norway, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu dan Switzerland.

Norway sebagai pesaing terdekat mencatat pendapatan purata $56,663 (RM171,943) dan Amerika Syarikat masih kekal di kedudukan lima teratas walaupun negara itu menghadapi masalah kelembapan ekonomi.


Dalam kenyataan itu, IMF juga meramal kekayaan rakyat Singapura akan terus meningkat kepada $77,000 (RM233,656) pada 2018.


Dari segi lain, pemimpin republik itu terus mengukuhkan kedudukan negara berkenaan sebagai hab perniagaan konglomerat antarabangsa bagi menarik syarikat multinasional menyuntik modal di republik itu.

IMF menyasarkan Singapura sebagai ‘syurga bebas cukai.’

Dengan cukai yang rendah golongan mewah dari pelusuk dunia memilih untuk berhijrah dan menetap di Singapura. Pengasas bersama Facebook, Eduardo Saverin dan usahawan hartanah Australia Brett Blundy antara contoh terbaik.

Singapura juga dijangka menewaskan Switzerland sebagai pusat golongan kaya menyimpan harta kekayaan mereka pada 10 tahun akan datang. - Agensi

Tak boleh guna bendera GAM


Banda Aceh: Pihak berkuasa Indonesia bertegas melarang penduduk Aceh mengibarkan bendera Gerakan Aceh Merdeka (GAM) kerana ia adalah simbol pergerakan kumpulan pemisah dan perbuatan itu bertentangan dengan undang-undang.

“Mungkin mereka boleh mengubah imej, hilangkan jalur hitam atau bintang ataupun mereka boleh menambah gambar rencong (pisau belati Aceh), tetapi buat masa ini bendera itu sama seperti bendera GAM. “Ia melanggar Perjanjian Helsinki dan dikri 2007,” kata Menteri Dalam Negeri Gamawan Fauzi semalam. Gamawan berlata, tanpa pengubahsuaian, bendera itu melanggar perjanjian damai di Helsinki, Finland yang ditandatangani pada 2005. Perjanjian itu mengakhiri konflik bersenjata selama 30 tahun di Aceh yang meragut lebih 25,000 nyawa. Gamawan berkata, dia sudah menetapkan pertemuan dengan Gabenor Aceh Zaini Abdullah bagi membincangkan isu bendera baru dan simbol wilayah berkenaan.


“Kami akan membincangkan masalah itu satu demi satu. Harap-harap ia akan selesai. Kami ada konsep yang akan ditawarkan, yang paling penting ialah bendera itu perlu berbeza daripada bendera GAM,” katanya. Gamawan berkata, kerajaan pusat sanggup bertolak ansur dan tidak akan menolak bendera dan simbol tanpa cuba berkompromi Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri memberikan penjelasan 12 perkara mengenai undang-undang kecil terhadap bendera dan simbol yang diserahkan Aceh awal tahun ini. - Jakarta Post

3 wanita berani


London: Tidak berapa lama selepas pembunuhan kejam seorang anggota tentera itu berlaku, tiga wanita bertindak membela nasib mangsa.

Tanpa mempedulikan keselamatan diri, mereka berdepan dengan suspek pembunuh dan membantu mangsa dengan berdoa untuknya serta mengelak pembunuhan lebih buruk daripada berlaku.
Seorang saksi berkata, dia melihat seorang wanita berusia 50-an mendekati pembunuh terbabit dan meminta izin untuk berada di sisi mangsa.

Joe Tallant memberitahu Daily Mirror: “Dia seorang wanita baik. Dia menyaksikan semua yang terjadi dan mahu menenangkan mangsa. Dia terus berjalan ke arah pembunuh itu tanpa rasa takut.


Dia meletakkan tangannya ke dada mangsa dan saya rasa dia berdoa untuk mangsa. Kepala mangsa terkulai di sebelahnya.


Rakaman siaran berita ITV menunjukkan wanita terbabit duduk di atas jalan raya bersebelahan tubuh mangsa, manakala satu lagi imej menunjukkan dia meletakkan tangannya di belakang mangsa.

Wanita kedua berdiri di sebelahnya dan kelihatan bercakap dengan seorang daripada pembunuh ketika suspek merayau-rayau dengan senjata dan tangan yang berlumuran darah.

Seorang lagi wanita merayu agar dibenarkan berada di situ untuk berdoa untuk anggota tentera yang mati itu, manakala seorang lagi, ibu kepada dua anak, Ingrid Loyau-Kennett bercakap dengan tenang dengan penyerang terbabit.

Ingrid, 48, melompat turun dari bas apabila dia melihat mayat anggota tentera itu terbaring di jalan south-east London, memeriksa nadi mangsa dan cuba untuk berbincang dengan dua lelaki yang menetak mangsa hingga mati.

Selepas merayu mereka agar menyerahkan senjata, seorang daripada penyerang itu berkata: “Kami mahu memulakan perang di London malam ini.”

Ingrid kemudian menjawab: “Sekarang hanya kamu yang menentang ramai orang, kamu akan tewas.”

Sementara itu, sebuah kediaman di kampung Lincolnshire diserbu polis yang menyiasat serangan di Woolwich itu kelmarin. - Daily Mirror

Set kopi dilelong RM20.5j


London: Set kopi termahal di dunia akan dilelong dan dijangka mencatat bidaan sehingga £4.5 juta (RM20.5 juta), lapor media semalam.

Set itu mengandungi teko kecil setinggi 25.5 sentimeter dan menjadi teko paling penting di pasaran apabila ia dilelong firma Christie’s di London bulan depan.


Pengumpul dari seluruh dunia dijangka berlumba-lumba untuk membida ciptaan tukang perak terhebat pada abad ke-19, Paul de Lamerie.

Teko perak itu - seberat 963 gram - dihasilkan pada 1738 untuk seorang ahli perniagaan berjaya. Ia menjadi perhatian utama dalam Pameran Perak Britain yang diadakan di Muzium Metropolitan di New York baru-baru ini. Hasil seni Lamerie diiktiraf terbaik berbanding tukang perak lain untuk tempoh 250 tahun. - AP

Tamrin Ghafar turut ditahan di bawah Akta Hasutan


TAMRIN ABDUL GHAFAR.... Ditahan oleh polis hari ini untuk disoal siasat di bawah Akta Hasutan.
KUALA LUMPUR 23 Mei - Seorang lagi aktivis pembangkang, Tamrin Abdul Ghafar ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dalam satu operasi polis di Bangsar hari ini.
Beliau dibawa ke Lokap Berpusat Kuala Lumpur di Jinjang, lokasi sama menempatkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan aktivis propembangkang, Harris Ibrahim yang ditahan sebelum itu. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130523/je_05/Tamrin-Ghafar-turut-ditahan-di-bawah-Akta-Hasutan#ixzz2UAJUC1iA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tian Chua, Haris, Tamrin ditahan


KUALA LUMPUR 23 Mei - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua serta dua individu propembangkang, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dan Tamrin Abdul Ghafar ditahan polis tengah hari ini kerana dipercayai menghasut orang ramai bagi menggulingkan kerajaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 berkaitan ucapan ketiga-tiganya dalam satu forum mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) anjuran Suara Anak Muda Malaysia (SAMM) di Dewan Perhimpunan Cina di sini pada 13 Mei lalu.
"Tian Chua ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang dekat sini, sementara Tamrin ditahan di Bangsar dan Haris pula di Segambut.
"Setakat ini mereka masih lagi dalam tahanan di Lokap Berpusat Kuala Lumpur, Jinjang. Sama ada mereka ditahan reman atau sebaliknya bergantung pada proses siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ditanya dakwaan segelintir pihak bahawa Akta Hasutan 1948 telah dimansuhkan, Mohmad menegaskan, akta tersebut masih berkuat kuasa serta diguna pakai oleh pihak polis dalam siasatan dan pendakwaan di mahkamah.
"Polis masih lagi menjalankan siasatan mengikut akta tersebut dan sekiranya ada bukti menunjukkan kesalahan itu berlaku, polis akan dakwa pesalah di mahkamah. Sama ada akta itu sah atau tidak itu bergantung kepada keputusan mahkamah," ujarnya.
Sementara itu, Mohmad berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi lagi dengan mana-mana pihak yang cuba mengadakan perhimpunan di lokap atau pusat tahanan bagi mendesak polis membebaskan tahanan.
"Jika ada rasa tidak puas hati, bukan cara protes di jalanan, sila bawa ke mahkamah atau saluran-saluran betul yang kita ada," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130524/po_01/Tian-Chua-Haris-Tamrin-ditahan#ixzz2UAGovOnk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Canselor Jerman kekal teratas senarai Forber 100 wanita paling berkuasa


SINGAPURA 23 Mei - Canselor Jerman Angela Merkel menduduki tempat teratas dalam senarai Forbes bagi 100 Wanita Paling Berkuasa di dunia buat tahun ketiga berturut-turut dan pada jumlah lapan kali.
Beliau diikuti oleh Presiden Brazil Dilma Rousseff di No. 2, dan pengerusi bersama Bill & Melinda Gates Foundation, Melinda Gates, di No. 3.
Wanita Pertama Amerika Syarikat Michelle Obama naik ke anak tangga ke-4.
Walaupun Hillary Clinton melepaskan jawatan pentingnya sebagai Setiausaha Negara AS, beliau masih mendapat banyak perhatian dan berada di no. 5.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Hewlett-Packard Meg Whitman (No. 15) muncul sebagai subjek berita kulit majalah, "The Reluctant Savior".
Wanita-wanita terkemuka lain termasuk ketua pegawai operasi Facebook Sheryl Sandberg (No. 6), CEO IBM Virginia Rometty (No. 12), CEO Xerox Ursula Burns (No. 14), Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Oracle Safra Catz (No. 23) dan CEO Yahoo, Marissa Mayer (No. 32).
Menurut majalah itu, anggota dalam ranking 2013 mewakili wanita dalam bidang teknologi, politik, bisnes, media, hiburan, NGO dan badan sukarela, serta bilionair - semua diberi ranking berdasarkan milikan wang, kemunculan dalam media dan impak.
Sejumlah 24 CEO korporat dalam senarai menerajui syarikat dengan gabungan hasil berjumlah AS$893 bilion pada 2012.
Lapan ketua negara yang mempunyai gabungan Keluaran Dalam Negeri Kasar berjumlah AS$9.9 trillion.
Jumlah 100 wanita dalam senarai itu mempunyai pencapaian besar: gabungan pengikut Twitter lebih 153 juta. Antara 15 pendatang baru dalam senarai ialah Presdien Korea Selatan Park Geun-hye (No. 11), CEO Lockheed Martin Marillyn Hewson (No. 34), CEO Tory Burch Tory Burch (No. 69), Pengasas Spanx Sara Blakely (No. 90) dan CFO Baidu Jennifer Li (No. 98).
Lima belas wanita terkeluar dari senarai tahun ini, termasuk Laura Lang, Cynthia Carroll dan Alice Walton. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130523/lu_09/Canselor-Jerman-kekal-teratas-senarai-Forber-100-wanita-paling-berkuasa#ixzz2UAGhro3d
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pathmanabhan, 3 lagi dihukum mati


SHAH ALAM 23 Mei - Selepas perbicaraan berlanjutan hampir dua tahun enam bulan, bekas peguam, N. Pathmanabhan hari ini disabitkan bersalah membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini dan diperintahkan agar digantung sehingga mati.
Yang turut menerima hukuman serupa ialah tiga pekerja Ladang Gadong milik lelaki berusia 44 tahun itu iaitu T. Thilaiyalagan, 22, R. Matan, 23, dan R. Kathavarayan, 33.
Kesemua mereka menerima hukuman tersebut kerana membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.
Keempat-empat mangsa itu didakwa dibunuh di antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam penghakimannya setebal 16 muka surat, Hakim Akhtar menyatakan, beliau tidak menemui sebarang alasan bahawa kesemua tertuduh tidak boleh disabitkan dengan kesalahan ekoran tiada mayat ditemui.
Ujarnya, bukti yang dikemukakan telah memenuhi elemen yang diperlukan dalam membuktikan pertuduhan membunuh iaitu keempat-empat tertuduh telah menyebabkan kematian Sosilawati dan tiga rakannya dan mereka hanya mempunyai satu niat iaitu menyebabkan kematian dengan sengaja.
“Kesemua bukti dalam kes ini jika dikumpul kesemuanya bersesuaian dengan pepatah yang menyatakan orang mati tidak akan bercerita. Dalam kes ini, tiga lelaki dan seorang wanita yang mati ‘menjerit’ sekuat hati melalui bukti senyap, satu kisah ketidakjujuran dan penipuan dipacu dengan rasa tamak seorang lelaki yang kerjayanya memperjuangkan kepercayaan dan kehormatan.
“Penyangak profesional ini amat sedikit namun mangsa mereka bukan sahaja yang miskin dan kesempitan tetapi juga yang berkedudukan dan berkuasa.
“Kes ini merupakan bukti kepada satu plot yang keji dilaksanakan oleh seorang penyangak profesional dan pengikutnya dengan sangat kejam," ujar Hakim Akhtar.
Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff, Saiful Edris Zainuddin, Idham Abd. Ghani, Siti Rohaida Che Hamid dan Deepa Nair.
Kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Manjeet Singh Dhillon, Puspam Ratnam, Gurbachan Singh, Amer Hamzah Arshad dan Hasshahari Johari Mawi.
Selepas mahkamah berhenti bersidang, dilihat seorang wanita agak berusia mendekati Thilaiyalagan yang sedang menitiskan air mata dan memeluk tertuduh kedua itu sebelum mencium pipi lelaki itu dan berlalu pergi sambil menangis.
Tertuduh-tertuduh lain dilihat tidak menunjukkan sebarang emosi.
Terdahulu ketika menyentuh mengenai beban pembuktian, Hakim Akhtar menyatakan, tanggungjawab tersebut terletak di atas bahu pihak pendakwaan pada setiap masa dan peringkat kes.
Namun, barisan pembelaan mempunyai tugas untuk memberi penjelasan bagi menepis setiap bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan.
Menyentuh mengenai pembelaan Pathmanabhan yang merupakan tertuduh pertama, hakim tersebut menyatakan, tiada sebarang bukti menyokong bahawa dia telah pergi ke Subang Jaya dengan dipandu oleh tertuduh keempat, Kathavarayan.
Sebaliknya, Kathavarayan atau turut dikenali dengan nama Ravi menafikan keterangan itu dan secara tidak langsung menyokong bukti pihak pendakwaan bahawa Pathmanabhan telah pergi ke Subang Jaya dengan memandu kereta salah sebuah kereta mangsanya dan ditemui tidak jauh dari tempat tertuduh itu bertemu rakannya.
Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu kereta milik Ahmad Kamil ditemui di tempat letak kereta Jalan SS12/1B, berhampiran Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya pada pukul 10.55 malam, 6 September 2010.
“Tertuduh pertama memberi keterangan bahawa dia mewakili Sosilawati dan seorang lelaki bernama Rahman Palil dalam pembelian dua keping tanah di samping mengaut keuntungan daripada transaksi-transaksi tersebut.
“Tindakan ini bukan sahaja tidak beretika malah turut menjejaskan sifat adilnya. Tertuduh mewakili Sosilawati dan Rahman Palil dalam transaksi yang sama dan dengan berbuat demikian dia telah terperangkap di antara kedua-dua mereka.
“Adalah keterangan tertuduh pertama bahawa dia berat hati untuk mengaturkan pertemuan di antara kedua-dua pihak. Bila terperangkap, tertuduh pertama mengambil jalan mudah untuk keluar iaitu dengan menghapuskan salah seorang daripada mereka dan malangnya salah seorang itu adalah Sosilawati.
“Tiga lagi yang menemani Sosilawati merupakan mangsa yang berada di tempat salah pada waktu yang salah," kata hakim itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130524/ma_01/Pathmanabhan-3-lagi-dihukum-mati#ixzz2UAGXoMy1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Filipina ikrar pertahan hak


Gambar fail bertarikh 1 April 1995 merakamkan bendera China berkibar di atas pelantar kekal yang dibina di Terumbu Mischief yang didakwa Filipina menjadi miliknya di Laut China Selatan . - AFP
MANILA 23 Mei - Filipina berikrar untuk mempertahankan haknya dalam kes tuntutan bertindih kawasan maritim di Laut China Selatan, selepas sebuah kapal perang China memasuki satu kawasan terumbu di perairan itu, yang dikawal tentera marin Filipina.
Jurucakap Jabatan Luar Filipina, Raul Hernandez hari ini berkata, kapal perang China, bersama dua kawal peronda serta sekumpulan bot nelayan masih berada dekat Beting Second Thomas.
''Mereka (kapal-kapal China) tidak sepatutnya berada di sana. Mereka tiada hak untuk berada di sana... Tiada siapa boleh melahirkan keraguan terhadap hak rakyat Filipina mempertahankan kawasan tersebut.
''Tentera laut dan Pengawal Pantai kami diberi mandat untuk menguatkuasakan undang-undang Filipina di sana,'' katanya dalam satu mesej pesanan ringkas (SMS) kepada AFP.
Filipina pada minggu ini membantah kehadiran 'provokatif dan melanggar undang-undang' kapal perang China itu dekat beting tersebut, namun China menolaknya dan mendakwa kawasan itu merupakan wilayah kedaulatannya.
Filipina, Malaysia, Vietnam, Brunei dan Taiwan turut menuntut kawasan pertikaian itu yang dilihat boleh mencetuskan konflik besar sejak beberapa dekad lalu.
Beting Second Thomas merupakan kumpulan pulau kecil dan terumbu karang di rantaian Kepulauan Spratly, kira-kira 200 kilometer di barat laut Pulau Palawan, Filipina.
Kesemua negara terbabit, kecuali Brunei, menempatkan pos tentera di di pulau-pulau di sekitar Spratly untuk menegaskan tuntutan masing-masing.
Bagaimanapun, Beting Second Thomas dikawal beberapa kapal tentera marin Filipina era Perang Dunia ke-2 yang dihantar pada hujung 1990-an. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130524/lu_04/Filipina-ikrar-pertahan-hak#ixzz2UAEwu5lj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kuala Lumpur guna nombor plat baharu W1A mulai Julai


PUTRAJAYA – Nombor pendaftaran kenderaan bagi Kuala Lumpur akan bermula dengan siri nombor baharu iaitu W (1 sehingga 9999) dan berakhir dengan A pada Julai depan.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, nombor plat pada masa ini telah mencapai WYK 6xxx dan ia akan berakhir dengan WYY 9999 dalam tempoh terdekat.
“Saya dimaklumkan hari ini (semalam) dalam keputusan mesyuarat bahawa siri nombor pendaftaran baharu bagi Kuala Lumpur adalah W 1 sehingga 9999 dan di hujungnya ada A.
“Nombor berikutnya ialah W1 B sehingga W9999B diikuti dengan W1C dan seterusnya,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat tugas di Kementerian Pengangkutan di sini semalam.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, perkara itu telah dibincangkan oleh pihak kementerian lebih awal dan ia mendapat persetujuan daripada semua pihak yang terlibat.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2UADrEDVJ 
Hakcipta terpelihara 

Adam Adli dihadap ke mahkamah kerana menghasut



ADAM ADLI (tengah) diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abd. Halim semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada minggu lepas.
Adam Adli, 25, didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang telah tertubuh mengikut undang-undang dengan cara tidak sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara pukul 8.55 malam dan 11.15 malam 13 Mei lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b), Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara hingga lima tahun jika sabit kesalahan.
Sepanjang prosiding, Adam Adli yang berada di dalam kandang tertuduh tanpa digari kelihatan tenang.
Ketika memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan sebelum perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd. Abbas menawarkan jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz2UACGICCe 
Hakcipta terpelihara 

Tian Chua ditahan polis di LCCT


GAMBAR Tian Chua (tengah) ketika ditahan polis di Terminal Penerbangan Tambang Murah, Sepang tersebar di internet.


KUALA LUMPUR – Polis menahan Ahli Parlimen Batu daripada parti PKR, Tian Chua di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang dekat sini tengah hari semalam kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam satu ceramah di Dewan Perhimpunan Cina di sini pada 13 Mei lepas.
Selain Tian Chua, dua aktivis pembangkang lain turut ditahan atas dakwaan sama.
Mereka ialah peguam Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dan ahli Pas, Tamrin Ghafar.
Haris Fathillah ditangkap ketika sedang makan tengah hari di Restoran Cina Yu Ai di Segambut, manakala Tamrin pula ditahan di Kafe Chawan di Bangsar.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 4(1) (c) Akta Hasutan 1948.
Katanya, mereka kemudian dibawa ke lokap Balai Polis Jinjang untuk diambil keterangan.
“Kita lihat sejauh mana mereka bekerjasama.
“Polis berhak menahan mereka selama 24 jam yang pertama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2UAC4FouE 
Hakcipta terpelihara