Showing posts with label terbengkalai. Show all posts
Showing posts with label terbengkalai. Show all posts

Thursday, March 21, 2013

59 pembeli kedai rayu campur tangan kerajaan

Subang: Pembeli 59 lot kedai di Pekan Baru Subang, di sini, merayu kerajaan campur tangan dalam menyelesaikan masalah projek bangunan komersial terbabit yang terbengkalai sejak 2004.
Difahamkan pemaju bangunan kedai terbabit diisytiharkan muflis pada 2007 selepas menyelesaikan 60 peratus daripada projek yang dimulakan pada 1999.

Foto
PROJEK bangunan komersial yang terbengkalai
di Pekan Baru Subang.
Pengerusi Persatuan Pembeli Kedai dan Pejabat Terbengkalai Pekan Baru Subang M K Radhakrishnan berkata, akibat terbiar terlalu lama, kemudahan asas di dalam beberapa premis rosak dan hilang dicuri.
“Kini, pembeli terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar iaitu lebih RM200,000 untuk memperbaiki semula premis itu,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Katanya, pembeli bagaimanapun kecewa apabila cadangan mereka untuk melantik kontraktor melakukan kerja pembaikan ditolak syarikat penyelesai yang dilantik pemaju.

“Syarikat penyelesai ini memberi pelbagai alasan apabila pembeli meminta penjelasan dan seolah-olah tidak berminat untuk membantu menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya.


Menurutnya, harga seunit kedai adalah RM440,000 hingga RM650,000 dan beberapa pembeli sudah membuat bayaran sepenuhnya dan ada antara mereka menjelaskan lebih 50 peratus kepada pemaju.

“Persatuan sudah mengajukan masalah ini kepada pihak berkuasa tempatan dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, baru-baru ini.
“Selain isu ini, pembeli berhadapan beberapa masalah lain membabitkan projek berkenaan dan memerlukan bantuan kerajaan dalam masalah ini kerana sudah hilang sabar,” katanya.

Wednesday, July 27, 2011

Beli 1985, siap 2012


Projek perumahan Taman Desa Mesra yang terbengkalai  lebih 20 tahun  dijangka siap  Ogos tahun depan.
Projek perumahan Taman Desa Mesra yang terbengkalai lebih 20 tahun dijangka siap Ogos tahun depan.


Perumahan Taman Desa Mesra disambung semula pembinaan Jun lalu

KUANTAN: Gembira bercampur sedih. Hanya itu yang mampu diluahkan pembeli rumah Taman Desa Mesra, Kampung Permatang Badak dekat ini, apabila projek yang terbengkalai lebih 20 tahun itu disambung semula pembinaan Jun lalu.

Gembira kerana penantian sekian lama kira-kira 22 pembeli rumah dijangka berakhir apabila projek terbengkalai itu dijadualkan siap pada Ogos tahun depan.
Sedih kerana ada di antara pembeli asalnya sudah meninggal dunia dan tidak sempat menduduki rumah diidamkan, manakala sesetengah lagi sudah pun bersara daripada perkhidmatan.
Sebanyak 252 unit rumah Projek Perumahan Taman Desa Mesra di Kampung Permatang Badak di sini, terbengkalai beberapa kali berpunca daripada kelemahan pengurusan pemajunya.

Rohani Ali, 56, balu kepada seorang pembeli rumah projek itu, Salleh Said yang meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu terkilan dan sedih kerana arwah suaminya tidak sempat untuk menduduki rumah baru.

"Memang sedih kerana arwah sudah tiada tetapi pada masa sama tetap bersyukur kerana akhirnya saya diberitahu rumah dibeli akan siap tidak lama lagi.
"Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku dan berterima kasih kepada kerajaan kerana meneruskan projek yang terbengkalai,” katanya.
Ramli Bakar, 62, pula berkata beliau membeli rumah berkenaan pada 1985 ketika masih berkhidmat dengan FELDA.

"Seperti saya, kebanyakan rakan yang membeli rumah ini sudah pencen kerana projek ini terbengkalai sejak 1985 tetapi diteruskan semula pada tahun 1997 dan terbengkalai buat kali kedua setahun kemudian,” katanya.

Seorang lagi pembeli, Amat Nooh Mohd Yaacob, 51, berkata beliau antara percaya dan tidak percaya apabila dimaklumkan projek itu akan diteruskan semula.
"Saya beli rumah itu pada 1999, iaitu selepas projek itu 17 tahun itu terbengkalai dan selepas saya beli, ia terbengkalai lagi.

"Saya hanya sempat membayar pendahuluan RM2,000 dan terpaksa membatalkan pinjaman kerana tidak lama selepas itu, projek itu terbengkalai lagi," katanya.
Beliau bersyukur diberitahu ia akan diteruskan semula dan tawaran rumah itu pada harga asal.

Bagaimanapun, katanya, beliau agak rungsing bagi memikirkan bagaimana mahu menjelaskan pinjaman perumahan kerana sudah mencecah usia 50 tahun.

Sementara itu, tinjauan edisi Timur mendapati kerja pembinaan rancak dijalankan di Taman Desa Mesra.

Papan tanda projek itu dilaksanakan Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan menunjukkan projek itu bermula pada 15 Jun lalu dan dijangka siap pada 15 Ogos tahun depan. Berita Harian Online | Beli 1985, siap 2012

Thursday, December 2, 2010

Rumah ganti terbengkalai



Oleh A'isyah Sukaimi
bhnews@bharian.com.my
2010/12/02

Tujuh sekeluarga kecewa terpaksa menyewa terlalu lama selepas kediaman asal diroboh 

SEPANG: Mana rumah kami? Itulah pertanyaan tujuh sekeluarga di Kampung Batu 28, Jenderam Hilir, dekat sini, apabila pembinaan kediaman mereka menerusi Projek Pembesaran Kampung Jenderam Hilir sejak Mei lalu belum siap hingga kini.
Nasib tujuh sekeluarga itu kini umpama ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila rumah asal sudah dirobohkan tetapi kediaman baru tidak dapat diduduki, menyebabkan mereka terpaksa tinggal menyewa.
Mengikut projek berkenaan, rumah sedia ada milik tujuh keluarga terbabit yang dibina di atas tanah milik kerajaan negeri dirobohkan, manakala mereka diarah berpindah di tempat lain sementara kediaman baru di tapak asal dibina. 

Penduduk, Rustam Atan, 47, berkata perbincangan mengenai projek berkenaan diadakan antara mereka dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jenderam Hilir dan syarikat pembinaan pada Januari 2008 mengenai cadangan membina rumah ganti untuk mereka di tapak berkenaan. 

Katanya, mereka menerima notis supaya mengosongkan tapak berkenaan dalam tempoh 14 hari daripada Pejabat Tanah dan Daerah Sepang bertarikh 11 Februari 2008, bagi membolehkan rumah lama dirobohkan sebelum membina kediaman baru. 

Bagaimanapun, katanya, kerja pembinaan hanya bermula pada Mei lalu tetapi dihentikan empat bulan kemudian. 
Beliau berkata, pada masa ini, mereka tinggal di rumah sewa sementara menunggu kediaman baru itu disiapkan. 

"Kami tidak tahu mengapa kerja pembinaan dihentikan. Mengikut perjanjian, rumah akan siap dalam tempoh dua tahun," katanya kepada Berita Harian. 

Justeru, beliau merayu pihak berkenaan terutama kerajaan negeri menyelesaikan masalah itu secepat mungkin bagi menjamin keluarga yang terjejas tidak hilang tempat berteduh. 

"Saya bukan golongan berada dan perlu menyara keluarga serta enam anak,” katanya. 

Pemilik lain, Zubaidah Osman, 57, berkata beliau dan keluarga amat berharap kediaman itu dapat disiapkan untuk membolehkan mereka hidup lebih selesa tanpa perlu menyewa selama-lamanya. 

"Kami juga sudah tidak mampu lagi menyewa rumah. Lebih 30 tahun saya tinggal di kampung ini, namun masih tidak memiliki rumah sendiri. Kerja saya hanya mengutip besi buruk dan tin kosong dengan pendapatan tidak menentu," katanya. 

Beliau berkata, mengikut perjanjian, pemaju berjanji membayar sebahagian sewa rumah atau RM100 sebulan dalam tempoh 24 bulan dan jumlah itu dinaikkan kepada RM300 sebulan jika melebihi tempoh itu, di samping wang sagu hati perpindahan RM300 kepada setiap keluarga. 

"Bagaimanapun, bayaran itu tidak diterima setiap bulan menyebabkan kami terpaksa guna wang sendiri untuk membayar sewa rumah," katanya. 

Sementara itu, Penolong Pegawai (Bahagian Tanah) di Pejabat Tanah dan Daerah Sepang, Nurul Nathasya Mokhtar, berkata rumah keluarga terbabit dibina oleh pemaju yang mahu memajukan kawasan berkenaan. 

"Projek pembinaan tujuh rumah itu adalah timbal balik syarikat berkenaan apabila ia tidak membayar premium tanah yang akan dimajukan kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi.

Thursday, November 18, 2010

Sambut raya di masjid terbengkalai



PENDUDUK Villa Rimbawan terpaksa mendirikan khemah di tapak masjid yang terbengkalai untuk bersolat sunat Aidiladha di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan semalam.


SERI KEMBANGAN - Selepas lima tahun menunggu masjid yang tidak siap dibina seperti yang dijanjikan, penduduk Villa Rimbawan, Taman Pinggiran Putra di sini ada cara tersendiri melakukan protes.
Semalam, kira-kira 100 penduduk di kawasan berkenaan mengadakan solat sunat dan ibadat korban di tapak masjid terbengkalai itu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Mereka bersolat beramai-ramai dengan memasang khemah di dalam kawasan masjid yang hanya terdapat lapan batang tiang konkrit sebelum menyembelih lima ekor lembu di kawasan berhampiran masjid.
Pengerusi Persatuan Penduduk Villa Rimbawan, Amat Ramsa Yaman berkata, pembinaan masjid dua tingkat di atas tanah seluas 0.4 hektar itu yang menelan belanja sebanyak RM3.5 juta sepatutnya siap pada penghujung tahun 2008.
Mengikut perjanjian, pemaju sepatutnya menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 juta daripada jumlah itu berdasarkan perkembangan projek manakala selebihnya disediakan oleh persatuan penduduk.
Bagaimanapun katanya, pemaju didakwa hanya membayar sebanyak RM375,000 dan selepas itu memberhentikan pembayaran atas alasan harga bahan mentah meningkat secara mendadak.