Sunday, June 15, 2014

Orang jahil sahaja kata hudud tidak adil


HARAKAHDAILY | .
SERDANG: Pihak yang mendakwa kononnya undang-undang jenayah syariah atau hudud, sebagai tidak adil, malah memperlekehkan perkara ini, hanya menampakkan sikap jahil mereka sendiri.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, mereka ini sebenarnya telah gagal memahami hikmah kehebatan undang-undang yang menggerunkan orang untuk melakukan kesalahan.
Sebab itu katanya ada dikalangan tertentu yang mengatakan seperti "jika undang-undang hudud ini dilaksana, maka ramailah kena potong tangan".
"Adalah salah akal jika memahami bahawa rakyat akan berlumba-lumba untuk mencuri supaya dipotong tangan dan kaki.
"Apa yang sebenarnya berlaku, ramai kalangan penjenayah akan bertaubat," kata beliau dalam ucapan perasmian Seminar Tegak Syariat Islam (Tegas) di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasruddin Hassan yang juga pengarah program.
Katanya, undang undang jenayah syariah adalah bersifat mendidik, bukan menghukum.
Malah ujarnya, ianya mempunyai syarat yang ketat untuk dikenakan hukuman dan hakim pula perlu mencari jalan dengan seboleh-bolehnya untuk membebaskan pesalah.
Dalam pada itu beliau berkata, perjuangan ke arah pelaksanaan undang-undang Islam ini perlu didahului dengan ilmu dan kesedaran.
Pada masa ini, apa yang wajib katanya adalah membetulkan kefahaman dan menjelaskan salah faham terhadap kekeliruan yang ditimbulkan.
Apatah lagi kata beliau, di saat negara kini sedang berdepan masalah jenayah berat tanpa mengira kaum yang sehingga kini tiada satu pun undang-undang ciptaan manusia dapat mengatasinya.
Dalam seminar sehari ini juga, beberapa kertas kerja turut dibentangkan.
Antaranya kertas kerja bertajuk Kanun Jenayah Syariah: Hikmah Pelaksanaannya yang dibentangkan oleh Musyrif Pondok Sungai Durian Dr Abdul Basit Abdul Rahman.
Kertas kerja bertajuk Kanun Jenayah Syariah: Menegakkan Syariat Islam Satu Kewajipan pula dibentangkan oleh Pemangku Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang Ustaz Mokhtar Senik pula bergandingan dengan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali membentangkan tajuk Kanun Jenayah Syariah: Kejamkah Pelaksanaanya?
Satu lagi kertas kerja bertajuk Kanun Jenayah Syariah: Mendepani Undang-Undang Negara, dibentangkan oleh Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. -HARAKAHDAILY 15/6/2014

Pokok kurma berbuah di Kelantan

Bulatan Jam Besar kini menjadi tumpuan ramai selepas 10 daripada 37 batang pokok kurma ditanam di kawasan itu berbuah lebat.
Bulatan Jam Besar kini menjadi tumpuan ramai selepas 10 daripada 37 batang pokok kurma ditanam di kawasan itu berbuah lebat.
KOTA BHARU - “Satu keajaiban." Itu kata-kata pertama seorang pengunjung, Wan Mohd Zamanhuri Wan Mansor, 40, sebaik diajukan kewujudan beberapa pokok kurma yang kini lebat berbuah di Bulatan Jam Besar, di sini.

Menurutnya, dia mengetahui pokok kurma itu dalam laman sosial Facebook, membawa isteri dan anak-anak melihat sendiri tanaman padang pasir yang hidup subur di Kelantan kini.

“Agak mengejutkan kerana umum mengetahui tanaman ini hanya terdapat di negara Arab, namun kini ia subur di Kelantan, malah mengeluarkan buah yang begitu lebat, ajaib,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sekitar kawasan berkenaan di sini, semalam.

Seorang lagi pengunjung, Siti Nor Amirah Zulkifle, 22, turut mengakui terkejut apabila mengetahui pokok kurma yang berbuat lebat itu berada kurang 500 meter dari tempat pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Kota Bharu.

“Ini kali pertama saya lihat buah kurma segar terus dari pokok, walaupun agak terkejut dengan maklumat yang tersebar di laman sosial Facebook, namun saya percaya tidak ada yang mustahil ketika ini, seperti mana musim bunga yang berlaku di Kedah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Rosnazli Amin berkata, kewujudan 37 pokok kurma yang ditanam Unit Landskap MPKB-BRI itu bertujuan mengindahkan bandar ini selari dengan gelaran bandar raya Islam.

Menurutnya, pokok kurma di Bulatan Jam Besar itu mula berbuah tahun lalu, namun baru kali ini buahnya agak lebat dan menarik perhatian ramai.

“Setakat ini, 10 daripadanya sudah berbuah dan dijangka masak serta boleh dipetik penghujung Ramadan ini,” katanya.

Rosnazli berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk melihat pokok dan buah kurma berkenaan, malah tidak menghalang mereka menikmati buah yang gugur, sebaliknya melarang daripada memetik.

“Kita mengharapkan kerjasama semua pihak bagi memastikan pokok ini kekal terjaga,” katanya.

MH370: Mimpi kelibat anak pulang

Wartawan Sinar Harian menemubual Saimah di rumahnya semalam.
Wartawan Sinar Harian menemubual
Saimah di rumahnya semalam.
TELOK PANGLIMA GARANG - “Makcik masih harap sangat anak pulang selepas beberapa kali bermimpi kelibat anak,” demikian luahan seorang ibu kepada penumpang MH370 yang hilang 8 Mac lalu.

Saimah Sidik, 71, ketika ditemui di rumahnya kelihatan tenang menceritakan penantian menunggu kepulangan anaknya, Muzi Yusop, 50, yang sering ke luar negara atas urusan kerja.

Menurutnya, sejak kehilangan anak sulungnya itu, dia bersama keluarga akan berkumpul selepas Solat Maghrib membaca doa untuk keselamatan anak dan penumpang MH370.

“Setiap hari makcik dan pakcik tidak berputus berdoa dan bersyukur anak-anak dan cucu lain turut serta berkumpul di rumah ini.

“Penantian ini sungguh mencabar kerana tiada satu pun keputusan rasmi dimaklumkan,” katanya yang sedang menunggu suaminya, Yusop Tahir, 71 pulang dari mendapatkan rawatan di Pusat Dialisis di Telok Panglima Garang.

Saimah berkata, suaminya yang sudah uzur itu sebelum ini bagaikan tidak boleh berdepan dengan kehilangan Muzi namun apabila anak-anak lain memberi sokongan kepadanya, barulah dia tenang.

Katanya, sebelum ini, Yusop akan menitiskan air mata apabila mengenangkan anak lelakinya dan kadangkala meraung kerana terlalu rindukan Muzi.

“Walaupun pakcik kadang-kadang bertanyakan tentang Muzi sekarang, makcik hanya minta dia beristighfar dan sentiasa ingatkan ALLAH.

“Syukur dia kini kembali tenang dan boleh meneruskan aktiviti seperti biasa bersama anak dan cucu-cucunya,” katanya.

MH370: Yakin anak akan pulang

Amirtham
Amirtham
TELOK PANGLIMA GARANG - Bapa kepada salah seorang penumpang pesawat MH370,   G. Subramaniam, 60, berkata, beliau tidak akan tenang selagi tidak melihat anak sulungnya, S. Puspanathan di depan mata.

Menurutnya, pada tahun ini, dia sedih kerana tidak dapat meraikan Sambutan Hari Bapa bersama anaknya.

“Saya tak mampu nak ucap apa-apa lagi selepas sudah masuk hari ke 100 pencarian MH370 dan pada Hari Bapa nanti mungkin saya akan menitiskan air mata kerana teringatkan anak.

“Masa Puspanathan ada, dialah yang akan meraikan sambutan hari bapalah, hari ibu atau hari jadi sesiapa dalam keluarga namun selepas ini tak lagi,” katanya.

Subramaniam turut menyifatkan anaknya seorang yang gigih kerana sanggup bekerja keras untuk memperbaiki taraf hidup keluarga mereka.

Katanya, bagaimanapun, dia masih mengharapkan anaknya kembali.

Isterinya A Amirtham, 60, pula memohon maaf kepada media yang pernah datang ke rumahnya sebelum ini kerana enggan mengulas mengenai 100 hari kehilangan MH 370 kerana terlalu sedih apabila memikirkan anaknya masih belum ditemui.

“Seminggu sekali saya akan ke kuil sembahyang berdoa mohon dimakbulkan permintaan supaya kesemua penumpang MH370 kembali namun sehingga hari ini belum ada khabar berita.

“Saya terpaksa membuka televisyen dan membaca surat khabar untuk mengetahui berita kehilangan MH 370 namun sama sahaja,” katanya.

Dia memberitahu, sebelum ini dia pernah  terkejut mendengar suara operator sebaik dia mendail nombor telefon bimbit anaknya.

Namun itulah yang dilakukannya semenjak hari pertama kehilangan pesawat MH 370 dilaporkan, 8 Mac lalu.

“Walaupun orang kata penemuan pesawat itu sangat sukar sebab dah 100 hari berlalu, tapi saya dan keluarga masih harap semua penumpang selamat. Saya percaya masih ada harapan,” katanya.

MAIS enggan tunduk arahan pulang Bible


2014/06/15 - 04:26:32
EXCO Selangor tiada kuasa minta serah barangan disita

Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak akan memulangkan Bible Al Kitab yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 2 Januari lalu seperti diarahkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohd Adzib Mohd Isa, berkata ia berikutan EXCO Selangor tidak mempunyai kuasa mengarahkan pemulangan terhadap barang yang disita ketika penyiasatan dilakukan.

Katanya, JAIS mematuhi ketetapan undang-undang mengikut Kanun Acara Jenayah yang memperuntukkan sesuatu barang yang disita ketika penyiasatan boleh dirujuk kepada mahkamah untuk perintah pelupusan dan permohonan itu perlu dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya.

“Oleh itu, kita meminta Timbalan Pendakwa Raya membuat rujukan kepada mahkamah seperti diperuntukkan.

Elaun perumahan Susilo, Boediono RM5.4 juta

Elaun perumahan Susilo, Boediono RM5.4 juta
Add caption
JAKARTA: Menteri Kewangan, Chatib Basri berkata bahawa walaupun Kementerian Kewangan belum menetapkan elaun perumahan bagi Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Naib Presidennya, Boediono yang bakal melepaskan jawatannya Oktober ini, beliau hampir pasti bahawa jumlahnya akan melebihi Rp20 bilion (RM5.4 juta). 

Chatib berkata jumlah itu tinggi disebabkan inflasi sejak Perintah Presiden No 81/2004 dikeluarkan. Beliau menambah bahawa belanjawan perumahan dalam perintah berkenaan adalah berdasarkan harga rumah pada 2004.

Sebelum ini, Yudhoyono menandatangani satu peraturan presiden yang akan membolehkan beliau menerima akses tanpa had terhadap dana negara untuk membayar sebuah kediaman peribadinya selepas beliau meninggalkan Istana Negara.
Dua peraturan presiden sebelum ini menetapkan jumlah maksimum sebanyak Rp20 bilion bagi hartanah tetapi yang terbaru membolehkan tiada had kewangan seperti itu.

Kementerian Kewangan berkata ia tidak boleh berpegang kepada belanjawan perumahan terdahulu yang ditetapkan kerajaan disebabkan kadar hartanah yang meningkat secara drastik.

“Kami tidak boleh membuat peraturan berasaskan harga kerana kadar hartanah meningkat sepanjang masa, mungkin 30 peratus setiap tahun. Jadi jika kita menetapkan satu harga hartanah, kita perlu menyemak semula perintah presiden setiap tahun, yang pastinya tidak cekap,” katanya di Istana Negara di Jakarta kelmarin.

Sebaliknya Chatib berkata kementerian perlu merujuk kepada dua kompleks perumahan kementerian di JI. Widya Chandra dan JI Denpasar di Kuningan, Jakarta untuk membantu menubuhkan belanjawan elaun perumahan.
“Selepas satu jumlah ditetapkan, Yudhoyono dan Boediono boleh membina sebuah rumah di lokasi atau di mana-mana,” katanya.

Chatib berkata belanjawan perumahan bagi Yudhoyono dan Boediono akan termasuk dalam pindaan belanjawan negara 2014.

Kerajaan akan juga menanggung beban membayar cukai hartanah sebagai tanda terima kasih terhadap khidmat Yudhoyono dan Boediono selama beberapa tahun.

“Mengapa tidak kita tunjukkan penghargaan kita? Ia adalah logik jika kita menyediakan sebuah rumah, kemudian semua cukai adalah termasuk,” katanya. – Agensi