Tuesday, November 9, 2010

Sehidup semati



GERIK – Sepasang warga emas, di sini meninggal dunia pada hari sama kerana sakit tua di rumah anak sulung mereka, Mohd Rosdi Abdul Rashid, 56, di Kampung Pahat, semalam. 

Kelsom Dibong, 80, meninggal dunia pada jam 1.20 pagi, semalam diikuti suaminya, Abd Rashid Sasu, 86, kira-kira satu jam kemudian iaitu pada jam 2.30 pagi. 

Rosdi berkata, dia bersyukur kerana pemergian kedua orang tuanya dalam keadaan penuh ketenangan. 

Menurutnya, ayah dan ibunya berasal dari Kampung Padang Kunyit. 

“Sepanjang hayat mereka, kedua-duanya memang pasangan bahagia dan cukup mesra serta disayangi semua sanak saudara di sekitar Gerik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pahat, semalam. 

Rosdi berkata, sebelum itu, ayahnya dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Selasa minggu lalu kerana koma apabila diserang sakit tua sementara ibunya tinggal bersamanya. 

Katanya, ibu bapanya tidak pernah menghidap sebarang penyakit serius. 

“Ayah adalah seorang bekas angkatan tentera yang berkhidmat dengan Royal British Army semasa pendudukan Jepun dahulu dan bertugas sebagai anggota Konstabel Khas di bawah unit ‘Jungle Squad’ dan ‘Home Guard’. 

“Tidak ada sebarang keganjilan yang ditunjukkan oleh ayah dan ibu sebelum meninggal dunia, namun ibu memang ada berseloroh kepada sanak saudara bahawa dia dan ayah akan sehidup semati,” katanya. 

Rosdi berkata, adik beradiknya dan sanak saudara juga sempat mengadakan dua kali majlis bacaan Yasin sebelum ibu bapanya meninggal dunia. 

“Kami adakan majlis bacaan Yasin sebaik sahaja ayah dibawa pulang ke rumah ini dan pada masa itu, ibu juga berada dalam keadaan tidak sihat. 

“Pada awalnya, kami sangka ayah akan pergi terlebih dahulu, namun sebaliknya ibu yang menghembuskan nafas terakhir sebaik selesai majlis bacaan Yasin kali kedua,” katanya. 

Pasangan yang meninggalkan lima anak, 29 cucu dan enam cicit disemadikan dalam satu kubur dengan dua luang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pahat pada jam 1 petang, semalam. 

Hadir sama bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham, Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali bersama Pegawai Khas ADUN Temengor, Yunus Kanan bagi mewakili Datuk Hasbullah Osman.

Lagi penyamaran Facebook



JOHOR BAHRU – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau membuat laporan polis berhubung tindakan individu atau pihak tertentu melakukan penyamaran dalam laman sosial Facebook di Balai Polis Taman Pelangi Indah, di sini, semalam. 

Ketuanya, Syahrin Md Jamaluddin berkata, laporan polis dibuat selepas mendapati pihak terbabit telah mengeluarkan kenyataan fitnah dengan niat untuk mem- burukkan kepimpinan ahli dan pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau dengan meng- gunakan nama samaran ‘Pemuda Tebrau’ dan mempunyai lebih 400 teman itu melampaui batas dan maruah. 

“Tindakan terbaru ‘Pemuda Tebrau’ pada 7 November lalu sekitar jam 4.57 pagi dengan mengeluarkan kenyataan bahawa Pemuda UMNO Bahagian Tebrau kini sedang ber- siap bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Pekan, Pahang. 

“Kenyataan ini sengaja di- keluarkan pihak terbabit selepas mengetahui tahap kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang tidak memberangsangkan pada ketika itu, sedangkan kami tidak pernah se- sekali mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Jelasnya, ia adalah fitnah dan cubaan nyata dibuat dengan niat untuk memburukkan kepimpinan dan ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sejurus membuat laporan polis. 

Syahrin berkata, penyamaran ‘Pemuda Tebrau’ sudah banyak mencemarkan reputasi organisasi Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau menerusi pe- nulisan komen yang dikeluarkan selama ini dalam akaun Facebook. 

“Tindakan pihak tidak bertanggungjawab ini amat biadab kerana ada antara komen atau kenyataan dikeluarkan turut menyentuh sensitiviti parti UMNO, parti lain, mengenakan individu tertentu selain menyentuh pelbagai isu semasa. 

“Justeru, kami memohon kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun agensi terbabit supaya menyiasat latar belakang pihak terbabit yang sudah melakukan penyamaran seterusnya mendakwa ke muka pengadilan,” katanya. 

Selain itu, Syahrin turut mencabar pihak terbabit untuk tampil berani menggunakan nama sebenar sekiranya mahu mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan daripada terus menyamar dan berselindung di sebalik nama ‘Pemuda Tebrau’. 

Katanya, tujuan laporan polis dibuat adalah untuk membersihkan nama baik pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau yang sudah tercemar di serata tanah air angkara pihak tidak ber- tanggungjawab itu. 

“Sebaik sahaja menyedari wujudnya akaun ini, pada mulanya kami sangkakan dalang penyamaran dilakukan oleh ahli sendiri sehingga beberapa langkah untuk mengenal pasti dilakukan. 

“Saya ada mengeluarkan arahan kepada semua ahli supaya menutup sementara akaun Facebook masing-masing sejak beberapa bulan lalu untuk menangkap ‘Pemuda Tebrau’. 

“Apabila siasatan dilakukan secara sendiri, kami mendapati pihak terbabit bukanlah ahli pergerakan Pemuda UMNO Bahagian ini apabila status akaun berkenaan terus aktif dengan mengeluarkan kenyataan provokasi terhadap pemimpin parti, kerajaan dan institusi diraja,” katanya.

Rosmah simpati tragedi dua beradik

POKOK SENA: “Saya tak sangka hari ini (semalam), kami menerima kunjungan orang besar dari jauh,” kata Noraini Ilyas, 38, ibu kepada Nurul Nadia Mohamad Sukur, 13, dan Nurul Syafika, 9, yang lemas dalam banjir di Kampung Bukit Teriak, Mukim Telaga Mas, di sini, Rabu minggu lalu ketika menerima kunjungan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di rumahnya di kampung itu, semalam.
Noraini, ibu kepada lima anak itu ketika ditemui, berkata dia masih terkejut dengan kejadian itu, lebih-lebih kedua-dua mangsa adalah anak yang paling rapat dengannya.

Dalam kunjungan itu, Rosmah yang meluangkan masa kira-kira satu jam bersama keluarga itu turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM3,000 kepada mereka selain menyampaikan ucapan takziah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang belum berkesempatan melawat mangsa banjir atas faktor kesihatan.

Dalam kejadian itu, dua beradik berkenaan yang membonceng motosikal yang ditunggangi seorang rakan mereka terbabas ke dalam tali air ketika melalui jalan di kawasan itu sebelum hilang dibawa arus deras.

Mayat mereka dijumpai keesokannya kira-kira 50 meter dari tempat terjatuh.

Noraini berkata, beberapa hari sebelum kejadian itu dia sudah dapat berasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku terhadap keluarganya.

Kaji dakwaan RON95 cetus api dalam nahas

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa agensi kerajaan dan pihak berkaitan mengkaji penggunaan bahan bakar RON95.
Gesaan itu dibuat berikutan terdapat dakwaan penggunaan bahan bakar berkenaan menjadi salah satu faktor kenderaan mudah terbakar apabila terbabit kemalangan.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, walaupun dakwaan itu belum terbukti, satu kajian perlu dilakukan bagi memastikan bakar itu selamat digunakan pengguna kenderaan.

“Ada desas-desus mengenai penggunaan RON95 sebagai salah satu faktor kenderaan mudah terbakar. Bagaimanapun, dakwaan itu belum terbukti.

“Namun, perkara ini perlu dipandang serius dan pihak tertentu sewajarnya mengkaji kebarangkalian kebenaran dakwaan itu,” katanya.

Beliau mengulas mengenai jumlah kemalangan membabitkan kenderaan yang terbakar sehingga meragut nyawa kian meningkat kebelakangan ini.

Perkataan monyet hangat di DUN Pulau Pinang


GEORGE TOWN - Perkataan "monyet" hangat diperbahaskan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini bila R.S.N Rayer (DAP-Seri Delima) menuduh mereka yang membuat demonstrasi depan bangunan DUN Selasa lalu menyerupai perangai haiwan berkenaan. 

Pertikaman lidah itu berlaku ketika Ng Wei Aik (DAP-Komtar) sedang membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2011. 

Menurut Ng, kerajaan negeri sedang cuba untuk menarik pelancong asing dengan adanya projek taman tema air "Escape Water Park" di Batu Ferringhi yang dijangka siap dalam masa 18 bulan lagi.

Pada ketika itu, Rayer bangkit menimbulkan isu demonstrasi baru-baru ini yang menurutnya menyebabkan pelancong asing takut untuk melawat Pulau Pinang. 

"Demonstrasi yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Norman Zahalan itu mengancam pelancongan negeri. Tindak tanduk penyokong tersebut, serupa monyet yang mengoncang pintu pagar seolah-olah nak runtuhkan pagar tersebut," katanya.

Kelantan cadang separuh gaji Adun dibayar dengan dinar


KOTA BAHARU - Separuh daripada gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan mungkin dibayar dalam bentuk dinar dan dirham, Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata pihaknya sedia untuk memanjangkan cadangan itu kepada Jabatan Perbendaharaan Negeri untuk diperhalusi.

"Kita cadang bawa perkara ini kepada pertimbangan kerajaan negeri dan juga Jabatan Perbendaharaan Negeri.

"Jika tiada apa halangan, kita mungkin akan melaksanakan separuh bayaran gaji kepada wakil rakyat dalam bentuk dinar dan dirham," katanya menjawab soalan Arifabillah Ibrahim (PAS-Dabong).

Beliau bagaimanapun berkata cadangan pembayaran separuh bayaran gaji dengan menggunakan dinar dan dirham bergantung kepada pilihan para Adun sendiri.

"Atas pilihan masing-masing, kita boleh bayar menggunakan mata wang itu kepada mereka yang setuju, tetapi bagi yang tidak setuju, kita boleh terus bayar dengan duit kertas," kata Husam.

Kaitan daging merah dan barah




MEREKA yang suka makan daging merah berlebihan perlu awas kerana kesan daripada kesukaan mereka itu memungkinkan mereka mendapat barah.
Barah yang dimaksudkan ialah barah tekak dan barah perut.Menurut para pengkaji, mereka yang menggemari daging merah berkemungkinan lebih tinggi menghidap barah tersebut berbanding mereka yang mengehadkan pengambilan mereka terhadap makanan tersebut.Kajian yang baru dijalankan itu melibatkan hampir 500,000 warga tua Amerika Syarikat yang diikuti perkembangan mereka sepanjang 10 tahun.Kajian itu diketuai oleh Dr Amanda J. Cross dari Institut Barah Nasional Amerika.Daripada kajian tersebut, hanya segelintir didapati menghidap barah tekak dan barah perut, tetapi risiko mendapat barah itu didapati lebih tinggi di kalangan mereka yang suka makan daging merah berlebihan.Hasil kajian itu dilaporkan dalam American Journal of Gastroenterology. Bagaimanapun, para pengkaji itu menekankan itu bukan bermakna memakan daging merah menyebabkan kedua-dua barah itu. -- Reuters.

Maut akibat barah daripada bahan mineral




DI sebalik gua-gua dan rumah-rumah yang diperbuat daripada batu yang menjadi mercu tanda Cappadocia, kawasan yang menjadi tumpuan pelancong di Turkey, terdapat sekumpulan penduduk yang dirundung malang.
Hampir separuh daripada kematian-kematian yang berlaku di tiga kampung miskin di kawasan itu berpunca daripada penyakit barah luar biasa dikenali sebagai misosilioma (mesothelioma).Barah ini dikatakan boleh disebabkan oleh bahan galian atau mineral yang terdapat dengan banyaknya di Cappadocia. Ini menyebabkan pihak berkuasa di kawasan itu bimbang dan mahu memindahkan para penduduk tersebut.'Kami merancang menghapuskan kampung-kampung yang terjejas itu dengan menanamnya sedalam satu setengah meter ke dalam tanah,' kata Mayor Umit Balak.Pemerintah Turkey, bagaimanapun, belum lagi membuat keputusan muktamad sama ada hendak menanam kampung di Tuzkoy itu, atau sekadar memindahkan para penduduknya.Kampung itu telah pun digelar sebagai 'kampung barah' dan diumumkan di akhbar sebagai zon berbahaya pada 2004 apabila 250 keluarga dipindahkan ke kawasan rumah baru sekitar 1.6 kilometer jauhnya.Baki penduduk seramai 2,350 dijangka dipindahkan apabila rumah-rumah tambahan untuk mereka siap.Misosilioma ialah barah di selaput dada atau perut dan turut menjejas kampung- kampung berhampiran di Sarihidir dan Karain.'Bilangan pesakit barah ini di Tuzkoy ialah kira-kira 600 hingga 800 kali lebih tinggi daripada yang dialami di peringkat global,' kata Encik Murat Tuncer, yang mengetuai jabatan di Kementerian Kesihatan Turkey untuk memerangi barah.Sekitar 48 peratus daripada semua kematian di tiga kampung di situ adalah disebabkan oleh barah misosilioma. Kes-kes di kampung itu mewakili sekitar suku daripada 40 hingga 60 kes baru barah misosilioma di seluruh Turkey setiap tahun.Para penduduk di Tuzkoy itu dikatakan menyedut serat-serat galian erionit pada batu dan cat-cat yang mereka gunakan untuk membina rumah-rumah mereka dan membuat jalan raya.Erionit didapati dalam batu daripada gunung berapi dan dikategorikan sebagai bahan barah carcinogen Kumpulan 1 oleh Agensi Antarabangsa mengenai Kajian Barah, cabang penyakit barah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).Ini bermakna ia memang sebenarnya bahan yang menyebabkan barah. Bahan-bahan lain dalam kategori itu ialah asbestos, arsenik dan tembakau.Profesor bersara yang telah menjalankan kajian mengenai misosilimia di daerah itu, Dr Izzettin Baris, berkata erionit ditemui di beberapa tempat di dunia termasuk di wilayah Nevada di Amerika Syarikat.'Di kebanyakan negara, bahan-bahan barah ini biasanya terdapat di bawah tanah yang dalam, tetapi di Turkey, ia amat hampir di permukaan dan orang ramai mengambilnya untuk membuat rumah,' katanya. -- AP

Buruh ditetak terima 100 jahitan




KOTA BHARU - Gara-gara menegur seorang pemuda yang menangkap ikan menggunakan elektrik, seorang lelaki menerima lebih 100 jahitan di kepala dan badan akibat ditetak di Kampung Bahagia, Cabang Empat, Tumpat, kelmarin. 

Bagaimanapun, mangsa yang cedera parah nekad menyelamatkan dirinya dan dalam keadaan kepala serta badannya berlumuran darah dia menggagahkan diri memandu keretanya sejauh 600 meter untuk pulang ke rumahnya. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu mangsa, Mohammad Salleh, 52, parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Tumpat oleh sepupunya. 

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap berkata, mangsa yang bekerja buruh dikatakan ditetak lebih 15 kali oleh seorang pemuda dikenali Bujal. 

Menurutnya, kejadian itu juga berlaku dipercayai berpunca daripada dendam lama suspek terhadap Mohammad. 

“Hasil siasatan mendapati kesan tikaman di bahagian tepi badan sebelah pinggang kanan mangsa dan sebaik menerima laporan, polis menahan isteri pemuda terbabit berusia 17 tahun untuk siasatan. 

“Kejadian berlaku ketika mangsa yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di sebuah kedai kopi di kampung itu,” katanya, semalam. 

Mangsa sebelum ini menerima rawatan di Hospital Tumpat kemudian dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk mendapatkan rawatan susulan. 

Akibat cedera parah di kepala, sekali lagi mangsa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menjalani pembedahan dan keadaannya kini dilaporkan stabil. 

Sementara itu, anak mangsa Siti Hajariah, 21, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dikejutkan ibunya Faridah Musa, 49, kira-kira jam 11.15 malam. 

“Ayah memberitahu dia ditetak dengan ‘kelewang’ ketika pulang selepas minum di sebuah kedai kopi,” katanya.

Tiga ditawar pertuduhan pilihan


SALAH sebuah bangunan yang terdapat dalam kawasan PKFZ.


SHAH ALAM - Tiga individu yang menghadapi pertuduhan membabitkan jumlah berjuta-juta ringgit dalam projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) semalam ditawarkan pertuduhan pilihan oleh pihak pendakwaan bagi kesemua pertuduhan asal mereka.
Bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) Law Jenn Dong, 52; arkitek Bernard Tan Seng Swee, 49, dari BTA Architect dan Ketua Pegawai Operasi KDSB, Stephen Abok, 52, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap 24 pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees Bhd. untuk membuat pembayaran berjumlah RM116.85 juta kepada KDSB bagi dua projek di PKFZ.
Kesemua kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di OSK Trustees Bhd, Plaza OSK, Ampang, antara 30 Jun 2006 dan 20 Jun 2008.
Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara sehingga 29 tahun dan sebatan serta denda.
Ketiga-tiga mereka didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa kerja-kerja infrastruktur elektrikal untuk sistem 33kv bagi PKFZ, Pulau Indah telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.
Jenn Dong, Abok dan Seng Swee juga didakwa menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ bernilai RM116.85 juta telah dilaksanakan sedangkan mereka mengetahui bahawa kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.
Selain itu, Abok dan Seng Swee juga mengaku tidak bersalah terhadap dua lagi pertuduhan pilihan menipu OSK Trustees untuk mempercayai bahawa sistem 33kv ke Precint 2 dan Precint 8 bagi PKFZ telah dilaksanakan dan justeru mereka telah mendorong OSK Trustees untuk membuat pembayaran berjumlah RM5.42 juta.

Remaja terima darah HIV kini hidap AIDS


MUHD. KHAIRUN memeluk remaja lelaki malang yang kini dijangkiti AIDS di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Penderitaan seorang remaja yang dijangkiti virus HIV sejak 11 tahun lalu gara-gara kecuaian kakitangan Hospital Segamat, Johor semasa melakukan pemindahan darah ke atasnya berterusan setelah dia kini disahkan menghidap AIDS.
Remaja lelaki berusia 14 tahun itu dikesan menghidap AIDS sejak empat bulan lalu.
Dia dijangkiti virus HIV ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat sewaktu diserang penyakit kuning ketika umurnya tiga tahun.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, pemindahan darah tersebut dilakukan tanpa mendapat sebarang persetujuan daripada keluarga remaja itu.
"Pihak hospital mengakui kesilapan yang mereka lakukan dan memberi pampasan sebanyak RM100,000 bagi meringankan beban pesakit. Bagaimanapun, ia jumlah yang amat kecil dan dianggap tidak berpatutan dengan kesalahan yang mereka lakukan.
"Lebih malang, remaja itu sekarang hidup menderita apabila disahkan menghidap AIDS oleh pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana sel darah putihnya semakin berkurangan," katanya di pejabat Biro Aduan Komuniti UMNO di sini semalam.
Menurutnya, remaja tersebut kini terpaksa menjalani rawatan yang terperinci di HKL akibat implikasi penyakit berbahaya tersebut kerana terdapat jangkitan kuman pada limpanya.

Pelajar dakwa dirogol bapa kandung tiga kali


Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim 
nfazlina@bharian.com.my
2010/11/09

Mangsa terkejut bapa berbogel berada diatas tubuh 

PETALING JAYA: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua mendakwa menjadi mangsa rogol bapa kandungnya sekurang-kurangnya tiga kali sejak sebulan lalu di rumah mereka di Taman Medan, di sini, ketika ibunya keluar bekerja.Bagaimanapun, mangsa hanya membuat laporan selepas kejadian terakhir Rabu lalu apabila mendapati bapanya berada di atas badannya dalam keadaan bogel, sebaik mangsa tersedar daripada tidur.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata mangsa yang terkejut dengan kejadian itu memaklumkan kepada ibunya yang bekerja sebagai operator kilang sebelum membuat laporan polis. 

Katanya, bertindak atas laporan yang diterima, polis menahan bapa mangsa berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu di kediaman mereka awal pagi Khamis lalu. 

“Suspek kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 396 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam. 

Beliau berkata, siasatan polis mendapati, mangsa dirogol sekurang-kurangnya tiga kali sejak sebulan lalu, namun hanya menyedari perkara itu ketika kejadian terakhir, Rabu lalu. 
“Dua kejadian sebelum ini tidak disedari mangsa, dipercayai tidak sedarkan diri ketika perbuatan itu dilakukan dan hanya menyedari sebaik bangun pagi dia dalam keadaan bogel, namun tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk berlaku. 

“Suspek dikatakan melakukan perbuatan terkutuk itu ketika ibu mangsa keluar bekerja bagi mengelak tindakannya dihidu isterinya,” katanya mangsa dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan masih dalam keadaan trauma. 

Dalam kejadian berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun selepas melarikan wang tunai, telefon bimbit dan teksi milik mangsa yang juga pemandu teksi, di sini, Jumaat lalu. 

Ketika kejadian jam 12 tengah malam itu, suspek yang menaiki teksi itu di Kota Damansara meminta mangsa menghantarnya di Seksyen 7, Shah Alam. 

“Ketika dalam perjalanan, suspek mengacukan sebilah pisau di leher mangsa dan meminta menyerahkan semua barang berharga sebelum meninggalkan mangsa di tepi jalan dan melarikan teksi terbabit,” katanya. 

10 sekeluarga tinggal di kandang lembu


ZAKARIA Abdullah dan Salma Mamat di Kampung Bakong mengubah suai bangsal lembu untuk dijadikan kediaman sekeluarga sejak empat bulan lalu.


BACHOK 8 Nov. – Akibat dibelenggu kemiskinan, sepasang suami isteri terpaksa mengubah suai sebuah kandang lembu untuk dijadikan bangsal tempat tinggal mereka bersama lapan orang anak berusia satu hingga 22 tahun, sejak empat bulan lalu.
Walaupun terpaksa berhimpit-himpit dalam bangsal kecil berdindingkan papan terbuang dan hanya beralaskan tikar, Zakaria Abdullah, 42, dan Salma Mamat, 39, dari Kampung Bakong dekat sini reda kerana itu hakikat kehidupan yang terpaksa dialami oleh mereka 10 beranak disebabkan kemiskinan.
Menurut Zakaria, bangsal itu dibina selepas dia tidak mempunyai sumber kewangan untuk membayar rumah sewa kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menampung kehidupan keluarganya.
Katanya, dia telah menyewa lebih 10 buah rumah, tetapi disebabkan tidak mampu membayar sewa, mereka sekeluarga dihalau keluar oleh pemilik rumah berkenaan.
Jelasnya, dia tidak mempunyai pilihan selain membina bangsal kecil itu yang asalnya sebuah kandang lembu sebagai tempat berteduh mereka sekeluarga.
“Rasa sedih dan sayu apabila melihat anak dan isteri basah kuyup ketika hujan lebat dan tanah yang basah digenangi air kerana tidak dibina lantai.
“Saya hanya bekerja sebagai buruh kasar tidak memiliki wang untuk memberi kesempurnaan hidup kepada isteri dan anak-anak. Ia hanya cukup untuk mengalas perut sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Zakaria ditemui semasa menerima kunjungan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Ilias Husain ke bangsal itu bagi meninjau kesulitan yang dihadapi oleh pasangan tersebut, seterusnya menyampaikan bantuan segera untuk meringankan beban keluarga berkenaan.
Sementara itu, Salma berkata, anak-anak mereka sudah faham dan mengerti tentang kemiskinan keluarga yang sering berpindah-randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa yang lain termasuk dihalau pemilik rumah kerana tidak mampu menjelaskan sewa.
“Mujurlah mereka faham dengan keadaan sebegini dan anak-anak tidak banyak ragam walau terpaksa hidup dan tidur berhimpit-himpit.
“Mereka akur dan mengerti tentang kesempitan hidup dialami,” katanya.
Salma berkata, hidup dalam serba kekurangan sudah menjadi ‘asam garam’ keluarga mereka termasuk makan nasi hanya berlaukkan budu dan ulam-ulaman yang dikutip dari semak berdekatan kerana tidak mampu membeli ikan.
Menurutnya, jika mahu makan ikan maka terpaksa menangkap sendiri di sungai atau sawah berdekatan.
“Saya terpaksa menebalkan muka dan menghilangkan perasaan malu dengan meminta ihsan serta simpati peniaga di Pasar Jelawat untuk mendapatkan kulit ayam yang hendak dibuang untuk digoreng atau digulai sebagai juadah istimewa keluarga,” katanya.
Salma memberitahu, disebabkan kemiskinan hidup, dua daripada empat anaknya yang sepatutnya belajar di tingkatan satu dan tiga terpaksa berhenti sekolah.
Bagaimanapun, dua lagi anaknya yang belajar di tingkatan empat dan tadika masih meneruskan persekolahan masing-masing.
Dia berkata, meskipun anak sulung dan keduanya sudah berumah tangga, tetapi mereka juga hidup dalam kemiskinan dan tidak mampu untuk membantu keluarga.
“Malah, isteri mereka juga turut tinggal bersama kami, menjadikan keadaan bangsal kami semakin sesak,” katanya.
Salma berkata, impian utama keluarganya ialah mendapatkan bantuan rumah tetapi mendakwa tidak mengetahui cara memohon bantuan selain beranggapan tiada pihak yang sudi membantu disebabkan mereka sering dihalau akibat gagal membayar sewa rumah.
Sementara itu Illias berkata, pihaknya akan berusaha membantu keluarga terbabit mendapat sebuah rumah yang lebih selesa dalam masa terdekat selain bantuan lain yang boleh disalurkan pada masa hadapan.