Saturday, July 2, 2011

Pengurus Terakhir Stesen KTM Tanjong Pagar Menitiskan Air Mata...

SINGAPURA: Tepat pada pukul 12 tengah malam Jumaat, 1 Julai 2011, Stesen Keretapi Tanjong Pagar di sini akan menghentikan operasinya selepas hampir 80 tahun menjadi jalan penghubung di antara Malaysia dan Singapura.

Bagi Samsul Bahari Sahri, pengurus stesen terbabit selama 15 tahun bermula 1992, penutupan Stesen Keretapi Tanjong Pagar yang begitu sinonim dengan kehidupannya telah meninggalkan kesan mendalam terhadap jiwanya.

"Saya tidak boleh menghadapinya (penutupan Stesen Tanjong Pagar). Saya sudah tidak boleh menangis lagi, kerana air mata saya sudah kering. Sebahagian daripada jiwa saya kosong dengan penutupan stesen Tanjong Pagar ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di stesen itu pada Khamis.

Walaupun kelihatan ceria dengan senyuman terukir di wajah ketika sibuk melayani permintaan pengunjung yang mahukan tandatangannya sebagai pengurus stesen Tanjong Pagar yang terakhir, beliau berkata perasaan dukacita sentiasa menyelubunginya.

Samsul Bahari berkata, beliau berasa amat sedih kerana Stesen Keretapi Tanjong Pagar itu merupakan suatu warisan bangsa.

"Saya merasakan suatu kegagalan kerana tidak dapat mempertahankan warisan bangsa Malaysia (di Singapura) iaitu Stesen Keretapi Tanjong Pagar. Saya sedih kerana gagal mempertahankannya," kata beliau.

Namun, katanya keputusan menutup stesen itu adalah hasil rundingan di antara kerajaan kedua-dua negara dan beliau akur dengan keputusan itu serta mematuhi arahan mengenainya.

Beliau berkata, tiket bagi perkhidmatan tren terakhir daripada Tanjong Pagar ke Johor Baharu pada pukul 10.30 malam ini sebelum stesen itu ditutup secara rasminya telah habis ditempah oleh pengguna yang tidak mahu melepaskan peluang menaiki tren terakhir itu.

Pengguna terbabit, katanya mahukan tiket yang dicop Stesen Keretapi Tanjong Pagar sebagai kenang-kenangan sempena hari bersejarah itu.

Samsul berkata 80 peratus daripada kira-kira 90 pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah pun dipindahkan, dengan hanya segelintir masih bertugas di Tanjong Pagar menjelang hari terakhirnya hari ini.

Kumpulan petugas terakhir itu masih berada di Tanjong Pagar bagi menguruskan beberapa bahagian seperti tiket serta fleet dan akan dipindahkan menerusi perkhidmatan tren terakhir ke Johor Baharu pada malam ini, katanya.

Sementara itu, suasana di Stesen Keretapi Tanjong Pagar pada hari terakhir itu sibuk dengan ratusan pengunjung melawat bangunan bersejarah itu dan membeli pelbagai cenderamata sebagai kenangan.

Pengunjung yang terdiri daripada warga Malaysia, Singapura dan asing juga tidak melepaskan peluang mengambil gambar bangunan stesen keretapi itu yang unik dengan reka bentuk seni bina "art-deco" yang mementingkan nilai-nilai kesenian.

Mereka juga mengambil kesempatan mengambil gambar keretapi yang berlepas dan baru tiba di stesen terbabit serta mengabadikan kenangan bersama pekerja KTMB yang bertugas.

Petugas media dari Malaysia, Singapura serta antarabangsa turut kelihatan membuat liputan di stesen keretapi itu. - BERNAMA

mStar Online
: Pengurus Terakhir Stesen KTM Tanjong Pagar Menitiskan Air Mata...

Kisah Wang Kertas Polimer RM5

WANG kertas polimer RM5 bewarna hijau antara wang yang sering menghuni dompet penulis, dan merupakan wang yang paling kerap digunakan penulis - terutamanya untuk urusan pembelian makan tengah hari - selain wang RM1 yang dihulurkan di plaza-plaza tol.

Wang yang dikeluarkan untuk edaran oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 26 Oktober 2004 itu lebih kuat dan tahan lama berbanding wang kertas sebelumnya, selain mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih unik menyebabkan ia sukar untuk dipalsukan.

Siapa tahu, selepas tujuh tahun wang berwarna hijau itu digunakan, seorang bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan seorang ahli perniagaan akan dikenakan tindakan undang-undang berhubung tuduhan rasuah berkaitan projek percetakan wang itu yang dikatakan bernilai melebihi RM95 juta.

Bekas Penolong Gabenor terbabit, Datuk Mohamad Daud Dol Moin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tuduhan menerima rasuah bernilai RM100,000 berhubung kontrak projek percetakan wang polimer RM5 yang diberikan kepada sebuah syarikat di negara yang sinonim dengan lambang kanggaro, Australia.

Mohamad Daud, 58, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan tersebut, yang bernilai RM50,000 setiap satu yang didakwa diterimanya daripada ahli perniagaan, Abdul Kayum Syed Ahmad, 62, pada antara 1 Disember 2004 dan 16 Februari 2005.

Suapan tersebut yang didakwa diterima dalam bentuk wang tunai didakwa diterima di Restoran Dome,G7, aras bawah, Bangsar Shopping Centre di ibu negara, dan didakwa untuk membantu syarikat Note Printing Australia Ltd mendapatkan kontrak 'Percertakan Wang Polimer RM5' daripada BNM.

Abdul Kayum, bapa kepada tiga orang anak itu pula dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, atas pertuduhan memberi suapan itu kepada Mohamad Daud untuk tujuan yang sama pada 24 November 2004 dan 15 Februari 2005 di Bank EON, Jalan Taipan, Subang Jaya.

Pendakwaan terhadap Mohamad Daud dikendalikan mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997 manakala Abdul Kayum didakwa mengikut Seksyen 11 (b) akta yang sama.

Kedua-dua seksyen tersebut memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun, dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada Khamis, Mahkamah Shah Alam memanggil Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri untuk membela diri atas lapan pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi mendapatkan peruntukan sebanyak RM80,000 daripada program-program kemasyarakatan yang tidak dijalankan semasa tertuduh menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar.

Antara program-program tersebut ialah Program Motivasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Jamuan Meraikan Pelajar Cemerlang SPM, PMR dan UPRS.

Ia turut melibatkan Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga Kumpulan Rukun Tetangga (RT), Program Forum Perdana, Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi serta Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga Guru-Guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Kesemua tuntutan palsu itu didakwa diserahkan kepada Mohd. Hamizar Sulaiman, Rizam Ismail dan Mohamad Fairos Johari di Pejabat Daerah Sabak Bernam, antara 21 Januari dan 12 Februari 2008.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh turut memanggil pembantu khas Abdul Rahman, Rosli Busro untuk membela diri atas pertuduhan bersubahat untuk melakukan kesalahan itu dan menetapkan 14 dan 15 september depan untuk mendengar keterangan kedua-dua tertuduh.

Berbeza pula dengan nasib anak kepada pengendali laman blog, Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, Raja Azman, 35, yang tidak berhenti tersenyum-senyum apabila Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari yang sama, melepas dan membebaskan dia daripada dua pertuduhan mencuri.

Siapa dapat melupakan bagaimana Raja Azman, seperti bapanya dapat menggemparkan negara - dalam dua keadaan yang berbeza, bapanya dalam hal perihal politik, manakala Raja Azman menjadi tajuk utama berita apabila menelan bilah pisau cukur dan mencederakan tangan kirinya pada 8 Februari 2010.

Pelbagai teori termasuk dakwaan bahawa tidakan itu diambil ekoran tertekan akhirnya terbukti tidak benar apabila Raja Azman sendiri mengakui bahawa ia dilakukan sebagai tanda protes selepas dia diasingkan sel oleh warden di Penjara Sungai Buloh.

Majistret Nurkamilah Aziz membuat keputusan itu tanpa memanggil anak kedua daripada lima beradik itu untuk membela diri atas pertuduhan itu, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan.

Sebelum ini, Raja Azman yang tidak bekerja itu didakwa mencuri telefon bimbit, jam tangan Seiko dan satu rangkai kunci motosikal yang dianggarkan bernilai RM3,850 milik seorang pelajar, Saiful Adli Mohamad Yunus, 21.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Sastera U2/1K, Seksyen U2, Shah Alam, pada pukul 10 pagi, 24 April 2009.

Selain itu, dia turut didakwa memiliki harta curi iaitu motosikal Yamaha 135 LC bernilai RM6,000 milik seorang pelajar, Ahmad Firdaus Jalaluddin, 23, pada pukul 10.40 malam, 5 Mei 2009 di Blok 1, Apartmen Kinrara Court, Puchong.

Razak Ahmad, pelakon yang sinonim dengan watak orang baik-baik pada Rabu, diarahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya untuk membela diri atas pertuduhan berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang, yang didakwa dilakukannya pada tahun 2006.

Pelakon watak Tok Imam dalam drama Geng Surau itu didakwa berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 45, seorang pengusaha butik dan kesalahan itu didakwa dilakukan pada 1 April 2006, pada pukul 2.15 pagi di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, Serdang, Selangor.

Selamah, sejak awal-awal lagi telah mengaku bersalah dan telah pun menjelaskan denda sebanyak RM2,850, iaitu kurang RM150 daripada denda maksimum yang diperuntukkan bagi kesalahan berkhalwat.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad yang membuat keputusan itu pada Rabu, turut menetapkan 15 September depan untuk Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad membela diri dan pilihannya, sudah pasti memberi keterangan daripada kandang saksi.

Wan Mahyuddin pada penghakimannya berkata, pihak pendakwa syarie daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah berjaya mewujudkan kes terhadap Razak yang boleh disabitkan besalah, sekiranya dia gagal untuk mematahkan pertuduhan yang dihadapinya.

Beliau juga menolak hujahan yang dibangkitkan oleh peguam syarie Mohamad Azman Karim yang membangkitkan isu tangkapan terhadap anak guamnya, kerana mendakwa ia tidak dilakukan oleh seorang pegawai polis, sebaliknya oleh anggota polis berpangkat Lans Koperal.

Bagaimanapun, Wan Mahyuddin yang merujuk kepada Akta Polis 1967 berkata, tangkapan tersebut dilakukan oleh seseorang yang diberi kuasa mengikut undang-undang, selain akta terbabit juga menyatakan pegawai polis itu adalah mana-mana anggota polis yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengambil contoh pegawai masjid, Wan Mahyuddin berkata, perkataan tersebut boleh digunakan kepada semua individu yang terlibat dalam pentadbiran sesebuah masjid, seperti tok siak, tok imam, nazir mahupun bilal.

Selain itu, beliau juga mendapati isu tersebut tidak akan menjejaskan pertuduhan khalwat kerana elemen-elemen khalwat seperti wanita itu bukan mahramnya dan kelakuan itu boleh menimbulkan syak sedang berlaku prkara tidak bermoral telah dibuktikan.

Ini dapat dilihat dari keadaan hanya Razak dan Selamah yang berada di dalam rumah itu, dan kelakuan pelakon itu yang sedang tidur dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar jeans.

Kes tersebut yang melibatkan keterangan lima saksi pendakwaan memakan masa selama lima tahun, dan diharapkan Razak tidak perlu menunggu selama itu untuk mengetahui sama ada dirinya akan disabitkan bersalah atau tidak atas pertuduhan berkenaan.

mStar Online
: Kisah Wang Kertas Polimer RM5

SLA ambil alih Stesen Tanjong Pagar, mulakan kerja senggara


SUDAH DIKEPUNG: Stesen Kereta Api Tanjong Pagar kini telah dikepung bagi membolehkan kakitangan KTMB memindahkan barang-barang yang diperlukan dan bagi SLA menjalankan kerja-kerja penyenggaraan dan pemeriksaan struktur. SLA berkata pembukaannya semula akan diberitahu kelak. -- Foto M.O. SALLEH

SINGAPURA
PENGUASA Tanah Singapura (SLA) telah mengambil alih bangunan-bangunan dan kawasan yang dahulu diduduki Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi memulakan kerja-kerja pemindahan dan penyenggaraan setelah kawasan tersebut diserahkan kepada Singapura, semalam.Namun, seluruh laluan landasan kereta api - kecuali beberapa tempat yang dikepung - masih dibuka sehingga 17 Julai ini bagi membolehkan orang ramai mengunjunginya.Kawasan-kawasan yang dikepung itu termasuk Stesen Kereta Api Tanjong Pagar dan stesen Bukit Timah serta kuarters KTMB di Spooner Road.Setelah 17 Julai, landasan akan ditanggalkan, kecuali laluan sepanjang 3 kilometer antara Rifle Range Road dan Rail Mall yang akan terus dibuka sehingga 31 Julai ini.Sementara itu Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mengalu-alukan sumbangan maklum balas dan idea orang ramai bagi sama-sama melakarkan rancangan pembangunan bagi kawasan itu.Kenyataan bersama SLA dan URA semalam menyatakan kededua stesen itu akan ditutup sementara bagi memudahkan KTMB dan penyewanya memindahkan perabot dan peralatan dan membolehkan SLA menjalankan kerja-kerja penyenggaraan dan pemeriksaan struktur bangunan.Bermula semalam hingga 17 Julai ini, lintasan kereta api di Kranji Road, Sungei Kadut Avenue, Choa Chu Kang Road, Stagmont Ring dan Gombak Drive akan ditanggalkan.Bermula 18 Julai pula, seluruh landasan kereta api - kecuali laluan antara Rifle Range Road dengan Rail Mall - akan ditanggalkan dan semua bangunan kecil, kabel, pagar, tiang dan peralatan kereta api dipindahkan.Semua kerja-kerja itu dilakukan oleh Singapura dan segala peralatan akan diserahkan kepada Malaysia.Semua kerja dijangka selesai pada 31 Disember ini.Dalam kenyataan tersebut, URA berkata pihaknya akan melakukan semakan secara menyeluruh dan melakarkan rancangan pembangunan bagi bekas kawasan kereta api dan sekitarannya.Antara usaha semakan yang dibuat ialah mengkaji kemungkinan menyatukan pembangunan dengan alam semula jadi - mengekalkan satu laluan hijau sepanjang koridor landasan kereta api tanpa menjejas pembangunan di kawasan itu.URA mengundang orang ramai menyumbang idea di www.ura.gov.sg/railcorridor.Kunjungan Berita Harian ke Stesen Tanjong Pagar, kuarters KTMB di Spooner Road dan gudang KTMB di Kampong Bahru Road semalam, mendapati papan-papan SLA yang menandakan kawasan itu sebagai hartanah negara telah dipasang.Stesen Tanjong Pagar juga telah dikepung dengan papan zink dan dan laluan masuk dipasang pagar hijau - tepat pada 12 tengah malam semalam.Menurut jurucakap SLA, agensi bertanggungjawab akan meninjau bangunan Stesen Tanjong Pagar untuk melakar panduan bagi kerja-kerja pemuliharaan. Tinjauan itu dijangka selesai hujung tahun ini atau awal 2012.'Bagi apartmen Spooner Road, URA akan bekerjasama dengan agensi relevan untuk mempertimbangkan kegunaan flat-flat itu buat sementara waktu,' kata jurucakap URA.Menurut seorang kakitangan KTMB yang ditemui semalam, Encik Hassan Abdul Rahman, beliau dan pasukannya akan berada di Singapura sehingga 15 Julai ini bagi memindahkan peralatan KTMB dari Stesen Tanjong Pagar ke depoh KTMB di Kempas, Johor.Cyberita Online Singapura

Kemboja henti hantar amah ke Kuwait

PHNOM PENH: Agensi pembantu rumah Kemboja memutuskan tidak akan menghantar pekerja ke Kuwait selepas aduan kumpulan hak asasi kemanusiaan mengenai penderaan oleh majikan.

Presiden Persatuan Agensi Rekrut Kemboja, Encik An Bunhak, memberitahu negara itu tidak lagi menghantar pembantu rumah ke Kuwait dan agensi pekerjanya memutuskan langkah itu berdasarkan rekod penderaan di negara terbabit.

'Kami menerima laporan daripada kedutaan kami di Kuwait mengenai penderaan pembantu rumah dan juga laporan dari (badan hak asasi kemanusiaan) Human Rights Watch,' kata Encik An.

'Kami memutuskan hanya menghantar ke sana apabila keadaan sudah selamat. Berdasarkan kajian, penghormatan kepada pembantu rumah tidak begitu baik.

'Jadi, kami tidak akan menghantar mereka ke Kuwait dan kami sedang lakukan beberapa kajian mengenai negara lain dalam perkara itu,' tambahnya, merujuk kepada Qatar.

Human Rights Watch berkata pembantu rumah di Kuwait yang cuba lari daripada majikan yang mendera akan menghadapi dakwaan jenayah kerana 'melarikan diri' dan tidak boleh menukar pekerjaan tanpa kebenaran majikan.

Indonesia yang marah berikutan hukuman mati terhadap pekerja pembantu rumah rakyatnya turut melarang rakyat mereka daripada bekerja di Arab Saudi selepas seorang pembantu rumah Indonesia dipancung kerana kesalahan membunuh majikan Arab Saudi.

Di Riyadh, berikutan keputusan Jakarta itu kerajaan Arab Saudi tidak lagi mengupah pembantu rumah dari Indonesia dan Filipina berikutan syarat ketat dan peraturan berat sebelah dua negara Asia Tenggara itu.

'Kementerian Buruh akan menghentikan visa kerja bagi pembantu rumah Filipina dan Indonesia mulai 2 Julai,' kata jurucakap Kementerian Buruh, Encik Hattab Saleh Al-Anzi, yang dipetik akhbar Arab News. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

Amah di Saudi tuntut naik gaji


JEDDAH 1 Julai - Sehari selepas Arab Saudi mengumumkan untuk tidak lagi mengeluarkan permit kerja kepada amah dari Indonesia dan Filipina berkuat kuasa esok, pembantu-pembantu rumah tidak berdaftar di Jeddah dilapor menuntut gaji mereka dinaikkan.

Majikan di Arab Saudi berkata, pembantu rumah mereka mengancam untuk berhenti kerja sekiranya permintaan mereka itu tidak dipenuhi terutamanya sebulan lagi menjelang Ramadan, ketika permintaan terhadap amah tambahan semakin meningkat.

"Saya terkejut apabila pembantu rumah saya dari Indonesia meminta gajinya dinaikkan kepada 1,800 riyal (RM1,443) sedangkan mereka biasanya dibayar sekitar 700 riyal (RM561).

"Amah saya juga mengancam untuk berhenti kerja dengan alasan dia boleh mencari kerja lain menjelang Ramadan ini," katanya.

Mengikut undang-undang Arab Saudi, amah tidak boleh mencari kerja lain tanpa kebenaran majikan, namun disebabkan kos pengambilan pembantu rumah yang tinggi, ramai majikan memilih untuk mendapatkan amah dari pasaran buruh gelap.

Arab Saudi kini juga sedang menimbang untuk mendapatkan pembantu rumah dari negara lain seperti Ethiopia atau Kenya bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan selepas pengumuman semalam.

Jurucakap Kementerian Buruh, Hattab Al-Anzi membayangkan, negaranya akan mula mendapatkan tenaga kerja termasuk pembantu rumah dari negara lain.

"Bagaimanapun, saya secara peribadi bimbang sama ada pekerja asing dari satu atau dua negara lain mampu mengisi kekosongan tenaga kerja yang buat masa ini dikuasai rakyat Indonesia," katanya.

Sementara itu, Filipina hari ini berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi berikutan pengumuman semalam.

Setiausaha Luarnya, Albert del Rosario berkata, kira-kira 1.3 juta daripada sembilan juta pekerja asing Filipina kini berada di Arab Saudi. - Agensi/AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Berlusconi bernafsu muda

pix_middle

ROME: Perdana Menteri Itali Silvio Berlusconi boleh melakukan hubungan seksual sebanyak lima kali sehari, dedah doktor peribadinya, semalam.
Pakar perubatan itu berkata, Perdana Menteri berusia 74 tahun itu mempunyai nafsu seksual seorang lelaki yang berusia 15 tahun lebih muda daripadanya. Pendedahan Dr Umberto Scapagnini di radio itu dibuat pada hari sama di mana mahkamah mendapat tahu tentang adegan lucah di vila Berlusconi - yang mendapat gelaran ‘bordello’ atau rumah pelacuran oleh pendakwa raya.

Penari gelek Karima El Mahroug, yang berusia 17 tahun ketika bertemu Berlusconi dikatakan berkongsi kucupan lesbian - Sapphic - bersama ahli politik Nicole Minetti, 25, untuk menghiburkan Berlusconi di salah satu parti bunga bunga tahun lalu.
Pendakwa raya Pietro Forno memberitahu mahkamah Milan adegan itu semata-mata untuk Berlusconi dan dibayar olehnya. Nicole yang berketurunan Itali, pembantu doktor gigi yang kemudian menjadi ahli majlis dikatakan merekrut gadis untuk parti di vila itu dekat Milan. Bunga bunga adalah ungkapan permainan seks selepas makan malam.

Pintasan telefon mendedahkan bagaimana beberapa wanita memakai uniform jururawat dan pegawai polis menari di tiang. Mereka didakwa diberikan wang tunai dan barang kemas sebagai bayaran untuk khidmat seksual. Hakim Maria Grazia Domanico akan memutuskan sama ada terdapat cukup bukti untuk menghantar Nicole, pengacara TV, Emilio Fede, 79, dan ejen bidang hiburan, Lele Mora, 55, untuk perbicaraan atas dakwaan merekrut pelacur. Terdapat 33 wanita di sesetengah parti anjuran Berlusconi. Beliau berkata, angka itu terlalu ramai ’walaupun untuk lelaki separuh usianya’. Namun, Dr Scapagnini berkata: “Secara fizikal dia seperti lelaki yang berusia 60 tahun atau lebih muda lagi.” Berlusconi menafikan membayar untuk khidmat seks bersama Karima ketika gadis itu masih di bawah umur. - TSmyMetro | Berlusconi bernafsu muda

Masuk jel jika kempen di Twitter

BANGKOK: Rakyat Thailand berdepan hukuman penjara sekiranya mereka berkempen di rangkaian media sosial seperti Twitter ketika pilihan raya berlangsung esok.

Lebih 100 anggota polis ditugaskan untuk memantau laman web bagi memastikan undang-undang dipatuhi. Rakyat juga tidak boleh memberi ulasan terhadap mana-mana calon atau parti bertanding dalam pilihan raya itu. Kebanyakan rakyat berharap demokrasi dapat diaplikasikan semula selepas enam tahun negara menghadapi krisis politik. Pusat mengundi akan dibuka jam 8 pagi hingga 3 petang esok. “Mana-mana calon dan penyokong mereka akan berdepan hukuman penjara jika ditangkap berkempen di laman web media sosial pada petang sebelum pilihan raya 3 Julai,” kata Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihan raya, Suthiphon Thaveechaiyagarn. Pesalah akan berdepan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda 10,000 baht (RM977). Petang Sabtu adalah tempoh rehat apabila semua kempen diharamkan. Pengharaman termasuk menghantar mesej pesanan ringkas dan penghantaran e-mel. Penjualan alkohol turut diharamkan pada tempoh sama, syarat biasa di Thailand ketika pilihan raya.


Undang-undang kempen politik melalui media dalam talian bukan perkara baru, tetapi menjadi isu apabila laman seperti Facebook dan Twitter semakin popular di Thailand sejak beberapa tahun lalu.

“Satu unit polis terdiri lebih 100 orang akan memantau keadaan,” kata jurucakap polis Prawut Thavornsiri. “Sekiranya kami dapat mengesan punca (mesej dalam talian), kami akan menyekat laman itu dan membuat penangkapan,” tambahnya. - Reuters

myMetro | Masuk jel jika kempen di Twitter

Flotilla ke Gaza bertolak Selasa

BAITULMAQDIS: Konvoi kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza bagi mencabar sekatan laut Israel dijangka berlepas awal minggu depan.

Selepas tertangguh berkali-kali, jurucakap flotilla itu, Greta Berlin, berkata Israel berusaha bersungguh-sungguh memastikan mereka gagal memulakan pelayaran dari pelabuhan Greece.


Katanya, mereka juga berdepan dengan pelbagai sabotaj daripada ejen Zionis di pelabuhan berkenaan.

“Kami akan berlepas pada 5 Julai bagi membolehkan flotilla ini tiba di tempat pertemuan tidak lewat dari 6 atau 7 Julai.


“Flotilla ini akan berlepas dengan apa yang ada,” katanya.


Flotilla kecil - termasuk dari Amerika Syarikat, Perancis dan Kanada - sepatutnya memulakan pelayaran seminggu lalu tetapi tertangguh akibat sabotaj Israel.

Beberapa aktivis Ireland mendakwa Israel mensabotaj kapal mereka di Turki dengan merosakkan batang kipasnya, sekali gus menghalang ia berlayar.


Greta berkata, pihak berkuasa Greece belum membenarkan kapal mereka, The Audacity of Hope, meninggalkan pelabuhan Piraeus.

“Greece dan Israel bekerja sama sangat rapat,” katanya.


Berbanding 15, kini flotilla itu mungkin disertai hanya sembilan kapal. - Reuters

myMetro | Flotilla ke Gaza bertolak Selasa

Manila runding isu amah dengan Riyadh

MANILA: Filipina semalam berkata akan mengadakan rundingan dengan Arab Saudi selepas negara Timur Tengah itu menutup pintu kepada rakyat negaranya yang ingin bekerja sebagai pembantu rumah ekoran pertikaian mengenai bayaran gaji.

Setiausaha Luar, Albert del Rosario berkata, Arab Saudi adalah satu daripada negara utama yang mengambil buruh asing dengan anggaran 1.3 juta daripada sembilan juta warga Filipina yang bekerja di luar negara berada di situ.


“Ia menimbulkan masalah kepada kami. Kami mempunyai sejumlah besar rakyat yang bekerja di Arab Saudi,” katanya dalam sidang akhbar.

“Perkara ini perlu diselesaikan secara diplomatik. Saya rasa bebanan perlu ditangani Jabatan Buruh,” tambahnya. - AFP

myMetro | Manila runding isu amah dengan Riyadh

Strauss-Kahn makan di restoran mahal selepas dibebaskan dari tahanan rumah

NEW YORK: Bekas Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn keluar makan di sebuah restoran eksklusif lewat malam tadi ketika beredar dari rumahnya di sini selepas hakim melepaskannya dari tahanan rumah kerana kes serangan seksual terhadapnya semakin kabur.

Dia dibawa menaiki kereta ke Scalinatella, sebuah restoran mewah Itali di Upper East Side, Manhattan.
Kesempatan itu adalah nikmat kebebasan pertama sejak dibawa dari Paris pada 14 Mei dan ditahan atas tuduhan melakukan serangan seksual terhadap seorang pekerja hotel di New York.
Strauss-Kahn, memakai jaket tanpa tali leher, kelihatan tersenyum ketika di rumahnya sambil diiringi isteri serta dua lagi serta pegawal keselamatan yang menaiki sebuah kenderaan sport utiliti manakala sebuah kereta sedan mengekori kereta Strauss-Kahn lalu beredar. - REUTERS
Berita Harian Online | Strauss-Kahn makan di restoran mahal selepas dibebaskan dari tahanan rumah

Dua kena dakwa beri, terima rasuah


MOHAMAD Daud (kiri) dan Abdul Kayum (dua dari kanan) didakwa di mahkamah semalam atas kesalahan memberi dan menerima rasuah.
MOHAMAD Daud (kiri) dan Abdul Kayum (dua dari kanan) didakwa di mahkamah semalam atas kesalahan memberi dan menerima rasuah.

Suapan bagi bantu permohonan dapatkan kontrak pencetakan wang polimer RM5

KUALA LUMPUR: Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Mohamad Daud Dol Moin, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dua tuduhan menerima suapan wang tunai RM100,000 daripada seorang ahli perniagaan tempatan, tujuh tahun lalu.
Mohamad Daud, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.
Bagi tuduhan pertama, beliau didakwa menerima suapan berupa wang tunai RM50,000 daripada Abdul Kayum Syed Ahmad melalui seorang lelaki bagi membantu mendapatkan kontrak berhubung permohonan projek Pencetakan Wang Polimer RM5 oleh Note Printing Australia Limited.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan individu dan tujuan sama. Semua dakwaan itu dilakukan di Restoran Dome beralamat G7, Ground Floor, Bangsar Shopping Centre di sini, pada 1 Disember 2004 dan 16 Februari 2005.

Jika disabitkan kesalahan, Mohamad Daud boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup menawarkan jaminan RM100,000 sebelum mahkamah membenarkan Mohamad Daud diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan pada 2 Ogos depan. Tertuduh diwakili peguam, Collin Goonting dan JD Goonting.
Di SHAH ALAM, Abdul Kayum, 62, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam atas dua tuduhan memberi rasuah RM100,000 kepada Mohamad Daud.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas setiap pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu melalui seorang lelaki di EON Bank, Taipan, Subang Jaya, pada 24 November 2004 dan 15 Februari 2005.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 2 Ogos ini bagi untuk sebutan kes.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan semalam, menegaskan mereka tidak bertolak ansur dengan sebarang perbuatan salah laku kakitangannya.

“Bank Negara mendukung standard integriti dan profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab dan fungsinya. Bank juga sudah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan agensi berkaitan lain dalam siasatan mereka,” kata kenyataan itu. Berita Harian Online | Dua kena dakwa beri, terima rasuah

Hassan juara Imam Muda musim kedua


MOHD Hassan (kiri) dinobatkan Imam Muda  Musim Kedua  di Pusat Islam, Kuala Lumpur, malam tadi. Naib juara, Nazarul Izwan. - Foto Mohd Kamil Rahim
MOHD Hassan (kiri) dinobatkan Imam Muda Musim Kedua di Pusat Islam, Kuala Lumpur, malam tadi. Naib juara, Nazarul Izwan. - Foto Mohd Kamil Rahim


KUALA LUMPUR: Rezeki menyebelahi Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza, 26, apabila dinobatkan juara Imam Muda musim kedua (IM2) pada pertandingan akhir di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini, malam tadi.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu (al-Quran dan Hadis), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu menewaskan Nazarul Izwan Zolkiflee , 26, pemegang Diploma Pengajian Islam, Kolej Pengajian Islam dan Dakwah.
Dengan kemenangan itu, Mohd Hassan menerima tajaan penuh biasiswa pengajian ke Universiti Antarabangsa Al Madinah (MEDIU); sebuah kereta Proton model Exora; pakej menunaikan ibadat haji dan umrah; pakej percutian ke Vietnam dan wang tunai RM25,000 serta telefon bimbit.
Hadiah lain yang mengiringi kejayaannya ialah pakej perabot jati bernilai RM15,000; wang tunai RM30,000 berserta iPad tajaan Astro; sebuah komputer riba Apple Macbook Pro; sebuah iPhone 3G; kamera digital; trofi Imam Muda musim kedua serta sijil penyertaan dan kad pentauliahan diiktiraf JAWI.

Mohd Hassan ketika berucap mendedikasikan kemenangan itu kepada ibu dan arwah ayahnya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Astro, guru-guru, JAWI dan tenaga pengajar yang tidak kedekut ilmu, mursyid (mentor), mudir (pengetua), penonton dan wartawan yang menyebar luas program Imam Muda,” katanya.

Naib juara, Nazarul Izwan pula membawa pulang biasiswa pengajian ke MEDIU, kereta Proton model Pesona; wang tunai RM20,000 berserta iPad tajaan Astro; pakej perabot jati bernilai RM10,000; trofi Imam Muda; komputer riba; sijil penyertaan; kad pentauliahan diiktiraf JAWI dan beberapa hadiah lain. Lapan peserta lain menerima biasiswa melanjutkan pengajian ke MEDIU. Berita Harian Online | Hassan juara Imam Muda musim kedua

Tiga artis popular bernikah



TOMOK dinikahkan bapa mentuanya, Abas, malam tadi.
TOMOK dinikahkan bapa mentuanya, Abas, malam tadi.

Noh Hujan-Mizz Nina, Tomok akhiri zaman bujang

KUALA LUMPUR: Vokalis Hujan, Noh atau nama sebenarnya, Mohd Noh Salleh, 27, dan juara One In A Million 3 (OIAM3), Shah Indrawan Ismail atau Tomok, 27, masing-masing menamatkan zaman bujang mereka di ibu negara, malam tadi.
Noh menikahi penyanyi popular yang juga anak kelima Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim, Shazrina atau Mizz Nina sempena hari lahir Mizz Nina yang ke-31.
Majlis akad nikah berlangsung di kediaman keluarga Mizz Nina di Ampang, secara tertutup.

Manakala Tomok diijabkabulkan dengan pramugari Penerbangan Malaysia (MAS), Siti Rahayu Abas, 32, di Dewan Serbaguna, Taman Sri Keramat, dekat sini.

Noh dinikahkan bapa Mizz Nina, Azman sambil disaksikan imam Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Mohamed Khairi Husin. Mas kahwin RM888 serta tujuh dulang hantaran daripada pengantin lelaki dan dibalas dengan jumlah sama oleh pengantin perempuan.

Noh menyerahkan wang hantaran berjumlah RM 11,111.11. Acara pernikahan diikuti dengan majlis persandingan tertutup di Hotel Shangri-La, esok.
Manakala majlis resepsi untuk kenalan industri hiburan dan media dijadual berlangsung di Hotel Double Tree by Hilton di sini, Rabu ini. Majlis bertemakan gaya Jepun itu turut mengundang rakan artis seperti Misha Omar, Altimet dan band dari Indonesia untuk membuat persembahan.

Sementara itu, Tomok yang bertemu jodoh dengan Siti Rahayu selepas lapan tahun bercinta, dinikahkan bapa mentuanya, Abas Mohd Saidon disaksikan Pegawai Tadbir Agama dan Pendaftar Kanan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, Daim Jajuli.

Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300, sembilan dulang hantaran dibalas 11 dulang hantaran oleh pengantin perempuan. Manakala wang hantaran pula berjumlah RM12,697.11. Berita Harian Online | Tiga artis popular bernikah

Demonstrasi tak selesai masalah: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Penganjur Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) seharusnya menghormati undang-undang negara dan tidak menganjurkan sebarang perhimpunan atau demonstrasi haram pada 9 Julai ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata tindakan sedemikian tidak akan menguntungkan mana-mana pihak di negara ini sebaliknya hanya akan mencemarkan nama baik kerajaan.
“Sepatutnya mereka tidak membuat demonstrasi..., jika mereka mahu menyuarakan sesuatu perkara ia boleh dilakukan di dewan atau tempat lain.
“Hendak buat demonstrasi berhubung tajuk yang dibangkitkan..., tajuk itu bukannya penting tetapi hendak burukkan kerajaan,” katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran Persatuan Jurufoto Media Malaysia (MPPA) di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, penganjuran perhimpunan haram itu tidak akan menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya baru balik dari Mesir..., di Mesir rakyat sebelum ini membuat demonstrasi dan menjatuhkan kerajaan. Tetapi sekarang perlu membentuk kerajaan baru..., tetapi saya melihat masih berlaku demonstrasi di sana yang kemudian menyebabkan pelancong tidak datang..., pelabur pun tidak datang,” katanya.
Berita Harian Online | Demonstrasi tak selesai masalah: Dr Mahathir

Tutup rundingan

PENGERUSI Persatuan Suara Anak-Anak Malaysia Pulau Pinang, Mohamed Ghani Abdul Jiman ditahan polis ketika cuba memasuki Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dalam demonstrasi, di Georgetown, semalam.
PENGERUSI Persatuan Suara Anak-Anak Malaysia Pulau Pinang, Mohamed Ghani Abdul Jiman ditahan polis ketika cuba memasuki Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dalam demonstrasi, di Georgetown, semalam.
Polis akan guna semua undang-undang sekat perhimpunan

KUALA LUMPUR: Polis semalam menutup pintu rundingan dengan penganjur perhimpunan haram 9 Julai ini dan bersedia mengambil tindakan tegas termasuk kemungkinan menahan mereka lebih awal bagi memastikan perhimpunan tanpa permit itu tidak diadakan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, menegaskan pihaknya akan menggunakan semua peruntukan undang-undang termasuk tidak menolak kemungkinan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka yang terus berdegil mahu meneruskan perhimpunan haram itu.
Katanya, polis sudah mengambil pelbagai langkah dengan memanggil semua pihak terbabit termasuk secara bersemuka dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, tetapi mereka didapati tidak berganjak dengan pendirian untuk terus menganjurkan perhimpunan itu.

“Dalam tempoh dua hari lalu, Ketua Polis Negara dan saya sendiri jemput penganjur termasuk BERSIH, PAS, Pemuda UMNO dan PERKASA ke Bukit Aman. Kami beritahu mereka kebimbangan polis dan implikasi perhimpunan itu termasuk kekhuatiran peniaga, pengusaha pelancong dan orang ramai.

“Namun hasil pertemuan itu, mereka ingin juga meneruskannya, jadi kita akan gunakan apa juga peruntukan undang-undang untuk memastikan ia tidak diteruskan, kita sudah beri amaran sebelum ini yang kita tidak akan benarkan perhimpunan 9 Julai,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Rabu lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali mewakili Presidennya, Datuk Ibrahim Ali serta Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim, dipanggil bersemuka dengan Ketua Polis Negara di Bukit Aman untuk diberi penerangan berhubung perancangan mereka mengadakan perhimpunan menentang BERSIH.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Datuk S Ambiga pula hadir ke Bukit Aman kelmarin.

Ditanya sama ada polis akan menahan penganjur lebih awal dan menggunakan ISA jika mereka tetap mahu meneruskan perhimpunan itu, Khalid berkata, “Saya tidak menolaknya... saya tidak menolak untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang yang ada.”

Mengenai kenyataan Ambiga yang beliau akan berjumpa sekali lagi dengan Ketua Polis Negara sebelum 9 Julai, Khalid berkata, pintu rundingan sudah tertutup.

“Tak payah... kita tak mahu buat rundingan lagi. Kita sudah memutuskan tidak membenarkan apa juga perhimpunan pada 9 Julai. Tidak ada rundingan lagi,” katanya.

Khalid berkata, sehingga semalam, 115 individu ditahan di seluruh negara mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis kerana cuba mengadakan perhimpunan haram dengan 30 daripadanya masih direman di Pulau Pinang selain 2,136 laporan polis diterima berhubung bantahan terhadap penganjuran perhimpunan haram itu.

Ditanya sama ada polis akan menahan individu memakai baju merah tertera perkataan PATRIOT yang digunakan Pemuda UMNO untuk mengajak orang ramai menyertai perhimpunan menentang BERSIH, Khalid berkata, “Apa saja yang menunjukkan sokongan terhadap perhimpunan 9 Julai, baik kuning, merah, hijau atau kelabu, kita akan ambil tindakan.”

Mengulas penemuan gambar mempunyai unsur komunis yang dirampas daripada 30 individu yang ditahan di Pulau Pinang serta di pejabat Sekretariat BERSIH di Petaling Jaya, Khalid berkata, polis sedang menjalankan siasatan lebih mendalam berhubung perkara itu memandangkan ia jelas mempunyai elemen fahaman komunis.
Berita Harian Online | Tutup rundingan

Strauss-Kahn bakal terlepas dakwaan

Dominique Strauss-Kahn dan isteri, Anne Sinclair.
Dominique Strauss-Kahn dan isteri, Anne Sinclair.
Pendakwa temui bukti pekerja hotel berbohong

NEW YORK: Kes terhadap bekas Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn yang dituduh melakukan serangan seksual mungkin tidak dibawa ke pengadilan selepas pendakwa menemui bukti yang menjejaskan kewibawaan plaintif.
Wanita yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual didapati berulang kali berbohong meskipun bukti forensik mengesahkan kewujudan aktiviti seks antara Strauss-Kahn dan pekerja hotel terbabit.
Pendedahan terbaru menyebabkan penyokong Strauss-Kahn sekali lagi menuduh kes terhadapnya adalah perangkap politik.

“Kredibiliti plaintif dipersoalkan,” kata sumber yang enggan dikenali yang mendedahkan pendakwa raya menemui masalah dalam permohonan suaka pengemas bilik berusia 32 tahun berbangsa Guinea itu selain kemungkinan dia terbabit dalam aktiviti jenayah termasuk urus niaga dadah dan penggubahan wang.

Akhbar menambah, pendakwa mendapati wanita itu berbual di telefon dengan seorang penjenayah, sehari selepas insiden dengan Strauss-Kahn, dan membincangkan faedah kepadanya jika meneruskan dakwaan. Perbualan mereka dirakam.

Malah, lelaki itu yang ditahan atas tuduhan memiliki 180 kilogram ganja, adalah antara beberapa individu yang membuat beberapa deposit tunai berjumlah AS$100,000 (RM300,000) ke dalam akaun bank plaintif sejak dua tahun lalu.
Satu lagi sumber rapat kes berkata, pejabat peguam daerah membawa kes terhadap Strauss-Kahn kepada seorang hakim tanpa memeriksa sepenuhnya kejujuran wanita terbabit.

“Hampir semua yang dilaporkan mengenai wanita itu pada awalnya tidak benar namun tiada seorang pun memeriksa atau mahu mempercayai perkara sebaliknya,” katanya.

Akhbar New York Times melaporkan, pendakwa raya bertemu dengan peguam Strauss-Kahn kelmarin dan kedua-dua pihak berbincang sama ada untuk mengetepikan tuduhan jenayah.

Perkembangan terbaru itu meningkatkan peluangnya secara dramatik untuk kembali bertanding dalam pilihan raya presiden Perancis.

Strauss-Kahn, 62, adalah seorang pemacu ekonomi dunia dan calon utama presiden Perancis apabila ditahan 14 Mei lalu atas tuduhan menyerang seorang pekerja hotel di sini.

Penahanan itu memaksa Strauss-Kahn meletak jawatan dari IMF dan menamatkan cita-citanya menjadi presiden, namun kerjaya politiknya mungkin dapat dipulihkan kembali jika pendakwa raya menggugurkan kes itu. – Reuters
Berita Harian Online | Strauss-Kahn bakal terlepas dakwaan

Monaco meriah sambut perkahwinan diraja

ALBERT dan Wittstock
ALBERT dan Wittstock
Gosip liar gagal sekat Albert, Wittstock bersatu

MONACO: Perayaan bermula di sini untuk perkahwinan diraja mewah berharga AS$60 juta (RM180.63 juta) selama tiga hari yang menyaksikan bekas playboy Putera Albert II berkahwin dengan rakyat biasa, Charlene Wittstock, semalam.
Acara dipenuhi penyertaan selebriti itu bermula malam kelmarin dengan satu konsert di Stade Louis II, memaparkan kumpulan rock California, The Eagles dan disaksikan oleh 15,000 penduduk negara kecil Laut Mediterranean itu.
Sambutan diteruskan ketika Wittstock, juara renang Afrika Selatan muda 20 tahun daripada Albert, dilaporkan merasa ragu-ragu untuk berkahwin, laporan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh istana.

Ia dipercayai berpunca daripada khabar angin bahawa Albert memiliki anak luar nikah ketiga.

Awal minggu ini, Wittstock dilaporkan cuba meninggalkan Monaco dalam keadaan tergesa-gesa tetapi ditepis istana.

Ia mengeluarkan kenyataan berbunyi: “Khabar angin ini bertujuan menjejaskan imej putera raja dan seterusnya Wittstock.”
Walaupun istana meminta akhbar L'Express menarik balik berita itu, pengarangnya, Christopher Barbier enggan atas alasan tiga sumber berasingan mengesahkannya.

Insiden sebelum perkahwinan mewah itu didedahkan selepas sebuah akhbar melaporkan bahawa Wittstock mendapat tahu rahsia besar masa lalu tunangnya yang menyebabkannya membeli tiket pulang.

Bapa Wittstock, Mike seorang jurujual mesin fotostat, menyokong istana dalam menafikan laporan itu, mengatakan anak perempuannya hanya berkunjung ke Paris untuk membeli-belah bersama ibunya.

Albert, 53, akan berkahwin dengan Wittstock, 33, dalam upacara sivil 40 minit di istana dan penyatuan mereka akan dilangsungkan dalam satu upacara Katolik di perkarangan utama istana, hari ini.

Perkahwinan itu dijangka menjadi acara terbesar Monaca sejak perkahwinan ibu Albert, bintang Hollywood, Grace Kelly dan bapanya, Putera Rainier.

Kira-kira 3,500 tetamu dijemput bagi menyaksikan upacara keagamaan hari ini yang turut disiarkan secara langsung pada layar gergasi di Dataran Istana.

Tetamu utama termasuk Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, beberapa raja dan puteri raja Eropah, Asia Barat dan Afrika, pereka fesyen Karl Lagerfeld dan Giorgio Armani, supermodel Naomi Campbell, bekas pelakon James Bond, Roger Moore dan pemilik syarikat penerbangan Virgin, Richard Branson.

Upacara itu akan diikuti satu perarakan, majlis makan malam rasmi dihidangkan chef terkenal Alain Ducasse dan tarian gala di Opera Garnier dan Terraces of the Monte-Carlo Casino.

Sambutan semalam diakhiri pertunjukan lampu dan bunyi di Pelabuhan Hercules.
Pada 2005, beliau mengakui menjadi bapa kepada budak lelaki 22 bulan dengan bekas pramugari Togo dan pada 2006, ujian DNA membuktikan beliau juga bapa kepada remaja perempuan, dilahirkan seorang wanita California pada awal 1990-an.

Pemerhati diraja mengatakan Wittstock mungkin mengalami kesukaran menyesuaikan diri dengan kehidupan diraja berbanding isteri Putera William, Catherine, kini Duchess of Cambridge kerana tidak seperti Middleton, Wittstock dibesarkan dalam persekitaran kelas pekerja dan tidak menghadiri sekolah persendirian mewah. – Agensi
Berita Harian Online | Monaco meriah sambut perkahwinan diraja

Manifesto Abhisit, Yingluck hampir sama

POSTER kempen Abhisit untuk dipilih semula turut dipasang di wilayah Pattani.
POSTER kempen Abhisit untuk dipilih semula turut dipasang di wilayah Pattani.
PM Thailand, pencabar utama sasar penduduk luar

BANGKOK: Dua parti utama, Parti Demokrat yang memerintah dan parti pembangkang Puea Thai yang akan bertanding dalam pilihan raya umum Thailand esok, mengemukakan menifesto yang hampir serupa dengan tumpuan utama untuk menarik sokongan penduduk luar bandar, membina kemudahan infrastruktur dan beberapa dasar yang dianggap mesra rakyat.
Pada masa sama, calon yang bertanding mengadakan perhimpunan dan kempen pilihan raya peringkat akhir semalam dalam persaingan sengit sejak lima tahun lalu bagi meneruskan sistem demokrasi di negara itu.
Parti Demokrat dalam menifestonya yang menggunakan slogan ‘Membawa Thailand Melangkah Ke hadapan’ memberi jaminan untuk meningkatkan gaji minimum kepada 25 peratus dalam tempoh dua tahun berbanding kadar semasa sebanyak 159 hingga 221 baht (RM15.50 hingga RM22.50) bergantung kepada wilayah.

Parti itu juga berjanji meningkatkan kemahiran buruh, memberi geran tanah kepada kira-kira 250,000 petani di tanah kerajaan, memberi kemudahan rawatan perubatan percuma dan penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak di semua tempat, mengekalkan subsidi diesel dan minyak masak, selain menyediakan kemudahan elektrik percuma kepada penduduk berpendapatan rendah.

Demokrat juga bersetuju untuk menangguhkan rancangan membina loji nuklear yang dijadual dimulakan pada 2020, berikutan bencana nuklear di Jepun.

“Kami akan menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar sehingga usia 18 tahun, memberi pinjaman mudah kepada kira-kira 250,000 pelajar universiti, memberi kemudahan pinjaman kepada kira-kira satu juta peminjam pada jumlah kecil dan memperluaskan kemudahan keselamatan sosial untuk 25 juta petani dan pekerja,” kata Demokrat dalam menifestonya.
Sementara itu Parti Puea Thai pula memberi jaminan untuk menaikkan gaji minimum harian pada paras 300 baht (RM30.20) dan akan dinaikkan lagi kepada 1,000 baht (RM97.55) menjelang 2020.

Puea Thai berjanji menaikkan gaji pekerja awam, faedah penjagaan kesihatan menyeluruh dengan pesakit dikenakan bayaran 30 baht (RM2.90) untuk sekali lawatan.

Pada masa sama, kalangan graduan baru akan menerima gaji permulaan 15,000 baht (RM1,460) berbanding 10,640 baht (RM1,1037) sekarang, manakala 800,000 murid baru akan menerima komputer percuma setiap tahun. – Reuters/Agensi
Berita Harian Online | Manifesto Abhisit, Yingluck hampir sama

Chavez akui jalani pembedahan ketumbuhan kanser

CARACAS: Presiden Venezuela, Hugo Chavez, mengaku menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kanser, menamatkan spekulasi sejak beberapa minggu lalu berhubung keadaannya dan ketiadaannya di khalayak awam.

“Kajian mengesahkan wujud ketumbuhan dengan sel kanser,” kata Chavez kelmarin, ucapan pertama disiarkan di televisyen sejak dikejarkan ke hospital di Cuba tiga minggu lalu.
Pemimpin anti-Amerika Syarikat berusia 56 tahun itu dimasukkan ke hospital 10 Jun lalu ketika satu kunjungan negara dalam apa yang dikatakan pegawai pada mulanya sakit pelvis dengan nanah dalam perut.
Pembedahan pertama menemui ketumbuhan kanser dan pembedahan kedua perlu untuk mengeluarkan sel, namun Chavez tidak mendedahkan di mana ketumbuhan ditemui atau jenis kanser yang dikesan.

Dalam ucapan emosi lewat malam disiarkan di Venezuela, beliau melahirkan harapan untuk pulih sepenuhnya sambil mengakui melakukan kesilapan kerana mengabaikan kesihatannya sejak beberapa tahun lalu.

Berbeza dengan ucapan spontan yang amat panjang sering berjam-jam lamanya, ucapan yang dirakam Chavez dibaca mengikut skrip selama 15 minit.

Ditemani imej hero kemerdekaan Venezuela, Simon Bolivar di sebelah dan bendera negara, pemimpin yang dipilih semula tiga kali sejak 1998 kelihatan agak kurus namun bersemangat ketika berucap.
Ketiadaannya ketika Venezuela mengalami krisis besar tenaga dan selepas satu rusuhan penjara yang mengakibatkan 29 orang maut mencetuskan perasaan berang di beberapa pihak.

Namun, Chavez menegaskan beliau masih mampu mengawal keadaan.

“Saya masih mengawal kerajaan Venezuela,” katanya, menambah beliau sering berkomunikasi dengan Naib Presiden, Elias Jaua dan anggota pentadbirannya.

Presiden pengeluar terbesar minyak Afrika Selatan dan pemimpin kiri radikal Amerika Latin itu bagaimanapun, tidak memberi petunjuk bila akan pulang.

Keadaan perubatannya dilingkari misteri, yang semakin mendalam Rabu lalu apabila sidang kemuncak serantau yang dijangka diadakan di Venezuela ditangguhkan.

“Presiden berada dalam proses tegas pemulihan dan rawatan perubatan,” kata Kementerian Luar Venezuela tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Pengunduran luar biasa Chavez dari pandangan umum menyebabkan ramai rakyat Venezuela membuat spekulasi beliau mungkin menjalani pembedahan plastik, menyembunyikan penyakit lebih serius atau mengumpul simpati sebelum cubaan pemilihan semula 2012. – AFP Berita Harian Online | Chavez akui jalani pembedahan ketumbuhan kanser