Wednesday, October 6, 2010

Sewa rumah di Gua Musang naik RM10,000 untuk pilihan raya kecil Galas

GUA MUSANG: Pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Galas pada 4 November ini elah menyebabkan kadar sewa rumah di sekitar bandar Gua Musang kini melambung, manakala gerai makanan mulai tumbuh dengan banyaknya
.
Tinjauan Bernama mendapati sewa rumah meningkat berpuluh kali ganda sejak awal bulan ini kerana penduduk mahu mengambil keuntungan besar seperti yang berlaku pada pilihan raya kecil Manek Urai tahun lalu.

Seorang penduduk, Ismail Dollah, 43, berkata harga rumah sewa yang kebiasaannya RM200 sebulan kini meningkat kepada RM10,000 dan ada rumah banglo disewakan pada harga RM15,000 untuk tempoh pilihan raya kecil itu. "Harga rumah naik setiap jam kerana kadarnya berubah mengikut siapa yang sanggup membayar harga yang mahal," katanya di sini hari ini.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS pada 27 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini mengumumkan bahawa penamaan calon ialah pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.

Tinjauan Bernama juga mendapati kadar sewa hotel turut meningkat disebabkan permintaan yang tinggi.

Jika sebelum ini kadarnya RM150 sehari kini kadarnya ialah RM200 sehari.

Seorang peniaga, Norizan Ibrahim, 45, berkata pilihan raya kecil itu adalah peluang terbaik bagi penduduk mencari rezeki kerana terdapat ramai pengunjung luar.

Katanya, walaupun sebelum ini terdapat banyak kedai makan di sekitar Gua Musang tetapi kemungkinan ia tidak mencukupi semasa kempen nanti disebabkan oleh kedatangan ramai pengunjung luar.

"Ini adalah peluang rezeki kepada kami," katanya. -Bernama

Isteri kedua suspek

KUALA LUMPUR: Wanita dikehendaki, Jesyntha Clarene Isreal, 27, yang dipercayai mampu menyelesaikan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosila wati dan tiga individu lain dikatakan sedang menyembunyikan diri daripada dikesan pihak berkuasa.
Dia yang juga isteri kedua kepada seorang suspek kes pembunuhan kejam itu dikatakan mengetahui perancangan dan kejadian pembunuhan berkenaan.

Sumber polis berkata, wanita terbabit adalah individu yang mengetahui mengenai perancangan dan kejadian pembunuhan kejam itu.

“Dia (Jesyntha) yang mengetahui dirinya sedang diburu pihak berkuasa meninggalkan rumahnya di Banting dan bersembunyi di lokasi yang masih belum diketahui,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan selepas 36 hari siasatan, kes kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, memasuki episod baru apabila seorang wanita kini amat dikehendaki polis kerana mampu membantu memberi maklumat yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi itu.

Melalui laman web facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), wajah dan maklumat wanita dikenali sebagai Jesyntha Clarene Isreal itu didedahkan kepada umum dan kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengesannya.
Jesyntha berusia 27 tahun dan memegang MyKad bernombor 830630-10-6030. Alamat terakhirnya ialah di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor.

Mengikut laman facebook PDRM, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Jesyntha diminta menghubungi Deputi Superintendan Khoo Leng Huat melalui talian 010-4203791.

500 aktivis akan ke Gaza

ANKARA: Kira-kira 500 aktivis yang kebanyakannya dari Asia akan menyertai konvoi bantuan ke Gaza dalam usaha mematahkan sekatan Israel selepas kegagalan misi kebajikan dari Turki empat bulan lalu.
Konvoi berkenaan akan berlepas dari New Delhi, India pada 2 Disember melalui jalan darat dan merancang tiba ke Gaza pada 27 Disember sempena ulang tahun kedua serangan Israel ke atas wilayah dikuasai Hamas, lapor Yayasan Bantuan Kemanusiaan (IHH) dalam satu kenyataan, semalam. Konvoi bantuan itu akan melalui Pakistan, Iran, Turki dan Syria sebelum sampai ke Gaza melalui jalan laut.
Menurut IHH, konvoi akan disertai aktivis dari India, Pakistan, Indonesia, Jepun, Malaysia, Afghanistan, Bangladesh, Nepal, Sri Lanka, Iran, Turki, Syria, Mesir, Wilayah Palestin, Jordan dan Lubnan.

IHH, badan kebajikan yang beribu pejabat di Turki berperanan menyalurkan bantuan ke beberapa zon di seluruh dunia yang mengalami pertikaian. - AFP

Bot nelayan asing pasang Jalur Gemilang ceroboh perairan Malaysia

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan 15 nelayan dari Vietnam untuk menangkap ikan secara haram hanya sembilan batu nautika (16.7km) sahaja dari pantai Bintulu pada Isnin lalu.
Pengarah Operasi APMM Wilayah Sarawak, Komander (Maritim) Syed Nor Adli Syed Abdul Rahman berkata, Jalur Gemilang dikibarkan di atas bot yang mempamerkan pendaftaran pihak Perikanan Sarawak untuk mengaburi kegiatan mereka.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata seorang tekong dan 14 awak-awak yang diberkas itu kini ditahan reman tujuh hari di Penjara Lambir Miri sementara menunggu siasatan selesai.

"Sebanyak 18 ekor penyu pelbagai jenis juga ditemui mati dalam ruang simpanan kapal berkenaan dan dipercayai ditangkap di perairan kita," katanya.

Selain itu, terdapat pelbagai jenis ikan yang keseluruhannya seberat 10 tan ditemui dalam kapal nelayan itu.

Syed Nor Adli berkata, turut ditemui pelbagai peralatan untuk menyelam dan serampang yang dipercayai digunakan nelayan-nelayan berkenaan untuk memburu penyu.

Katanya, kapal itu juga dilengkapi peralatan navigasi yang mencukupi untuk menjalankan kegiatan perikanan laut dalam. Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Perikanan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara tidak melebihi enam bulan.

"Kami juga akan merujuk mereka kepada pihak berkuasa negeri berkaitan penglibatan mereka dalam menangkap penyu-penyu yang merupakan haiwan terlindung di negara kita," katanya.-Bernama

Pas sedia pilih calon Orang Asli jika sesuai - Husam



06/10/2010 6:10pm

KOTA BHARU 6 Okt. - Pas sedia memilih calon daripada kalangan Orang Asli untuk bertanding dalam pilihan raya termasuk pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November ini, kata Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa.
Katanya, ini tidak mustahil jika ada calon yang sesuai dan setelah diambil kira komitmen masyarakat Orang Asli terhadap Pas.
"Kita tidak menolak kemungkinan boleh memilih masyarakat Orang Asli sebagai calon, memandangkan mereka sudah mula menunjukkan minat dalam politik dan sikap mereka yang mula menerima arus pembangunan sebagaimana masyarakat moden,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan ketua masyarakat Orang Asli dari Galas, Pandak a/l Panjang Ey bahawa pihaknya mempunyai jentera gerak gempur parti sendiri untuk membantu kempen pilihan raya itu dan tidak mahu parti politik mengganggu dan masuk berkempen di kawasan penempatan Orang Asli. - Bernama

MB Kedah serah SPRM siasat dakwaan penyelewengan air



ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat apa yang didakwanya sebagai penyelewengan berhubung isu air semasa Barisan Nasional (BN)  memerintah negeri itu.

Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti banyak penyelewengan yang berlaku semasa pemerintahan BN membabitkan isu air dan setiap dakwaan adalah berasaskan fakta serta rekod.

"Kita tengok banyak penyelewengan dari segi harga contohnya pembinaan loji air di Lubuk Buntar (dekat  Kulim) untuk 25 juta liter air, kos sebenar pembinaannya ialah antara RM25 juta hingga RM30 juta, tapi wang yang dibelanjakan ialah RM65 juta.

"Maklumat ini kita dapat secara tak rasmi, kalau nak yang rasmi SPRM kena  cari," katanya.

PRK Galas 4 November dan penamaan calon 26 Oktober



Putrajaya – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Oktober tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan 4 November sebagai hari mengundi.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar selepas SPR mengadakan mesyuarat mengenai Pilihan Raya Kecil DUN Galas, di sini, pagi ini.

Ini berikutan kekosongan kerusi berkenaan selepas kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima, 48, akibat barah usus pada 27 September lalu.

Pilihan Raya Umum 2008, beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Mohd Saufi Deraman (3,753 undi) dengan majoriti 646 undi.

Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang bersama DUN Nenggiri dan DUN Paloh

Tertekan kongsi jalan



SUNGAI BULOH - Bagai berta-rung nyawa! Itulah yang dirasakan penduduk apabila terpaksa bersesak dengan kira-kira 500 kenderaan untuk ke sesuatu tempat. 

Warga Kampung Merbau Sempak dekat sini mengakui bimbang dengan keselamatan diri, walaupun hidup dalam negeri maju. 

Penduduk yang ditemui, Mohd Riezam Abdullah, 35, bukan sekadar pengguna kenderaan kecil, malah jalan yang umpama sekangkang kera itu turut dikongsi bersama kenderaan berat, termasuk treler. 

"Kami sudah tidak tahan dengan situasi ini. Sepatutnya sebagai masyarakat tempatan yang hidup dalam negeri maju, kami diberi peluang menikmati kemudahan infrastruktur yang baik," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini. 

Selain itu, katanya, kejadian kemalangan menimpa anaknya pada Jun lalu tidak dapat dilupakan. 

Menurutnya, anak yang berusia tujuh tahun dilanggar sebuah motosikal ditunggang laju ketika melintas jalan. 

“Mujur dia hanya terseliuh.. tetapi kemalangan itu sudah cukup membuatkan saya fobia dan betul-betul tertekan takut ia akan berulang,” katanya.

Kaai aku pun baguih


1,000 warga miskin pulang wang ihsan
Oleh Fazli Abdullah dan Amin Ridzuan Ishak
bhnews@bharian.com.my
2010/10/06

Penerima tak sanggup guna sumber haram 

GEORGETOWN: Kira-kira 1,000 lagi warga tua dan miskin tegar di Pulau Pinang dijangka memulangkan semula wang ihsan RM100 yang diterima daripada kerajaan negeri selepas curiga dengan sumber wang yang mungkin berpunca daripada kegiatan perjudian.
Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zahalan, berkata lebih ramai golongan terbabit akan berbuat demikian dalam masa terdekat selepas menyedari duit yang mereka terima adalah daripada sumber judi, iaitu sumbangan Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang.
Katanya, ini terutama selepas pengakuan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sendiri sebelum ini yang menyatakan wang berkenaan diperoleh daripada kelab terbabit, sekali gus menyebabkan penerimanya tidak sanggup menggunakan wang daripada sumber haram. 

“Wang itu akan diserahkan kepada UMNO bahagian sebelum diserahkan kepada Pemuda UMNO untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri yang dipengerusikan Ketua Pemuda Gerakan, Oh Tong Keong di sini, semalam. 

Di BUKIT MERTAJAM, Guan Eng berkata, kerajaan Pulau Pinang bersedia menerima semula wang daripada penerima program penghargaan warga tua dan miskin tegar yang mengembalikan duit berkenaan kerana curiga dengan sumbernya yang didakwa daripada hasil judi. 

Katanya, pihaknya juga bersedia memotong nama individu yang tidak mahu lagi wang berkenaan diberikan pada masa depan jika diminta berbuat demikian. 
“Setakat ini, kami belum menerima wang yang dikembalikan, mungkin pada bila-bila masa kami akan menerimanya. 

“Mereka yang hendak mengembalikan wang itu, perlu memberi nama dan menyatakan tidak mahu menerima lagi pada masa depan,” katanya selepas Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) di sini, semalam. 

Minggu lalu, sekumpulan warga tua berusia 60 tahun ke atas dan golongan miskin tegar mengembalikan semula RM100 diberikan oleh kerajaan negeri selepas curiga berikutan pendedahan bahawa kerajaan negeri ada menerima sumber daripada syarikat judi untuk melaksanakan program itu. 

Guan Eng yang sebelum itu menafikan kerajaan negeri ada menggunakan sumber judi untuk melaksanakan program berkenaan, akhirnya mengakui menerima sumbangan berjumlah RM2 juta daripada syarikat itu dan menegaskan, sumbangan itu tidak diberikan kepada orang Islam. 

Dalam pada itu, Norman berkata, tindakan kerajaan Pulau Pinang yang berterusan menyalahkan BN terutama UMNO, berhubung kesilapan yang mereka lakukan termasuk pengagihan wang daripada sumber judi kepada warga tua dan miskin tegar, membuktikan kegagalan pentadbiran Guan Eng. 

“Inilah sikap kerajaan negeri yang masih mempunyai mentaliti pembangkang dengan asyik menyalahkan pihak lain apabila mereka melakukan kesilapan,” katanya.