Kabul: Kegagalan pemimpin baru Afghanistan menamakan susunan Kabinet selepas lebih tiga bulan pilihan raya berlangsung mencetuskan siri gurauan dalam talian.
Malah, gelombang yang memperlekeh kepemimpinan baru itu turut disertai militan Taliban.
Pada masa sama, ia juga menggambarkan peningkatan kebimbangan orang ramai terhadap tahap kestabilan kerajaan pimpinan Presiden Ashraf Ghani ketika Afghanistan terus berdepan cabaran getir.
Selepas 100 hari, Ashraf dan sekutu yang pernah mencabarnya dalam pilihan raya, Abdullah Abdullah belum mencapai persetujuan mengenai pembentukan Kabinet.
Beberapa tarikh akhir yang dinyatakan sebelum ini berlalu tanpa sebarang petanda kemelut itu akan selesai.
Di Twitter, seorang pengguna memuat naik gambar ubah suai menunjukkan Ashraf dan Abdullah sebagai lelaki renta yang berjanggut panjang, disertai tanda “#Afghanistan ... pada 2050: Beberapa hari lagi mereka akan mengumumkan senarai Kabinet kita.”
Satu status di Facebook pula memaparkan Afghanistan sebagai sebuah lori dengan dua pemandu yang cuba membawa kenderaan itu ke dua arah bertentangan.
Satu kartun lain menunjukkan Ashraf dan Abdullah menunggang kuda sambil bermain permainan tradisional negara itu, buzkashi.
Menyertai karikatur itu ialah kata-kata: Pelantikan menteri diselesaikan dengan kaedah tradisional Afghanistan.
Semalam, Taliban mengulas kemelut itu di Twitter melalui jurucakapnya, Zabihullah Mujahid: “Mungkin Kabinet sedang membeku!”
Turut disertakan, pautan rencana mengenai Ashraf dan Abdullah yang dinasihat supaya menyalahkan cuaca dingin di Kabul atas kegagalan mereka melantik Kabinet baru Afghanistan. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:02 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/22010#sthash.8eO9k4vX.dpuf