Monday, December 30, 2013

Kemelut politik Thai ragut 8 nyawa


Bangkok: Lapan orang terbunuh dan lebih 300 lagi cedera sejak dua bulan lalu berikutan ketegangan politik yang kian memuncak hingga mendorong kepada pertempuran dengan polis Khamis lalu dan insiden tembakan kelmarin.

Seorang penunjuk perasaan antikerajaan maut dan tiga lagi cedera parah selepas ditembak lelaki tidak dikenali berhampiran kompleks kerajaan awal pagi kelmarin, kata petugas kecemasan. Empat lelaki berkenaan ditembak kira-kira jam 3 pagi dekat pintu pagar keempat kompleks kerajaan, menurut Pentadbiran Metropolitan Bangkok untuk Pusat Khidmat Perubatan Kecemasan Erawan.


Seorang lelaki turut ditembak ketika memandu berhampiran kompleks kerajaan kira-kira sejam kemudian, kata polis.



Penunjuk perasaan Yottana Aongart dari Chumpon ditembak di rusuk. Peluru dari rusuk kanan menembusi rusuk kirinya. Dia dimasukkan ke Hospital Klang tetapi meninggal tidak lama kemudian.


Yottana, 26, ialah mangsa kelapan yang maut dalam demonstrasi antikerajaan. Lima maut di Universiti Ramkhamhaeng pada awal bulan, manakala dua lagi terbunuh dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan polis di Stadium Thai-Jepun di Din Daeng Khamis lalu. Lebih 300 cedera dengan sebahagiannya dalam keadaan parah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Tawan Bangkok


Bangkok: Penunjuk perasaan anti kerajaan merancang ‘menawan Bangkok’ selepas cuti Tahun Baru ini.

Pemimpin tunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban berikrar demikian lewat kelmarin ketika bercakap kepada penunjuk perasaan di Dataran Demokrasi.


Katanya, selepas bercuti Tahun Baru penunjuk perasaan perlu datang semula untuk menawan Bangkok bagi mengembalikan kuasa kepada rakyat.



“Saya minta saudara kita di seluruh Thailand supaya bersedia dan membantu kita menawan Bangkok,” katanya.


“Nantikan isyarat daripada kami. Bawa pakaian dan makanan bersama anda kerana kita akan berjuang selama beberapa bulan sehingga kita berjaya.


“Bagi saudara kita di Bangkok, kita tidak akan berganjak walaupun seinci daripada bandar raya ini. Kita tidak akan benarkan orang Thaksin (bekas perdana menteri) kekal dan mengambil kesempatan terhadap rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, jika ada penduduk Bangkok yang bimbang mengenai keadaan yang berlaku, mereka perlu kekal untuk sementara waktu di wilayah lain.


Sementara itu, pemimpin baju merah, kumpulan yang menyokong kerajaan berkata, mereka perlu bersedia untuk bangkit dan menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa.

Gesaan itu dibuat selepas panglima tentera Jeneral Prayuth Chan-ocha tidak menolak kemungkinan pihaknya akan merampas kuasa.


Nattawut Saikua, Timbalan Menteri Perdagangan dalam kerajaan sementara yang juga pemimpin Barisan Bersatu Bagi Demokrasi menentang Kuku Besi (UDD) berkata semalam, kenyataan Prayuth Jumaat lalu mencetuskan kebimbangan di seluruh negara itu.


Seorang lagi pemimpin UDD, Jatuporn Prompan berkata, jika rampasan kuasa berlaku, tentera akan dilihat sebagai menyokong Suthep. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Lanjut lelong dara

Foto
CATARINA
Rio de Janeiro: Catarina Migliorini, pelajar kolej berusia 23 tahun di Brazil yang menjadi tumpuan dunia kerana melelong daranya, kini mengiklankan lagi untuk melelong daranya itu.
Pada masa sama, wanita itu juga menimbang untuk menerima lamaran seorang jutawan Arab. Pada 2012, seorang jutawan Jepun menawar Catarina AS$780,000 (RM2.6 juta) untuk membeli daranya menerusi lelongan secara online.

Bagaimanapun, urusan jual beli itu gagal dan dia sekali lagi melelong daranya menerusi laman web VirginsWanted2.com.
Tawaran itu dilanjutkan dari 12 Disember hingga 12 Februari. Catarina juga berkata, dia menerima lamaran daripada seorang jutawan Arab.

Tanpa mendedahkan identiti lelaki itu, Catarina memberitahu mereka saling berbual menerusi Skype dan menyifatkan lelaki berkenaan sebagai ‘penganut Islam progresif.’ “Saya mengambil keputusan untuk meneruskan tawaran itu. Pada masa sama, saya menerima lamaran daripada seorang jutawan Arab. dan kini menimbangnya kerana ia membabitkan perkahwinan.

“Memandangkan musim panas menjelang dan sudah tentu banyak parti diadakan, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan lelongan itu bagi sambil menimbang tawaran itu. “Jutawan Arab itu kelihatan begitu romantik dan menguasai 11 bahasa. Dia berumur antara 35 dan 40 tahun, kacak dan pintar. “Dia tinggal di rumah agam. Saya melihatnya menerusi skype,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Catarina, lelaki itu tidak bersetuju dengan tindakannya melelong daranya sehingga sanggup menawarkan AS$1.5 juta (RM4.9juta) kepadanya supaya menghentikan lelongan itu, berkahwin dengannya dan berpindah ke negara asalnya.

“Dia tidak suka dengan tindakan saya. Dia anggap tidak sesuai kerana saya cantik, muda, berbakat dan cerdik.
“Dia mahu mengahwini saya dan mencadangkan kami bertemu di Malta supaya dapat berkenalan lebih rapat.

“Malta negara berkecuali dan saya boleh membawa keluarga saya. Semuanya dia akan tanggung.

“Saya suka berbual dengannya kerana dia penyayang, romantik dan pintar. Tetapi saya tidak mahu berkahwin kerana ia membabitkan wang yang banyak. “ Ia membabitkan perasaan cinta dan saya tidak mahu terikat,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/30

Musharraf kecam tuduhan pengkhianatan

Musharraf  kecam tuduhan pengkhianatan
Islamabad: Bekas pemerintah tentera Pakistan, Pervez Musharraf (gambar), semalam mengecam tuduhan pengkhianatan ke atasnya dan menyifatkan ia sebagai balas dendam sambil berkata beliau memiliki sokongan tentera di dalam kes itu.

Bekas pemimpin berusia 70 tahun itu berkata keseluruhan tentera kecewa dengan dakwaan pengkhianatan, dalam ulasan pertamanya kepada media antarabangsa sejak dikenakan tahanan rumah April lalu.

Tuduhan pengkhianatan itu adalah dakwaan terbaru dan paling serius dalam kes jenayah dikaitkan dengan pemerintahan sembilan tahun Musharraf yang pernah dihadapinya sejak kembali ke Pakistan Mac lalu.


Cetus pertelagahan

Kes berkenaan mungkin mencetuskan pertelagahan antara kerajaan dengan tentera, selain mengancam kestabilan ketika negara bersenjata nuklear itu bergelut dengan pemberontakan Taliban, krisis tenaga kronik dan ekonomi pegun.

Tentera yang memerintah Pakistan selama lebih separuh daripada sejarah 66 tahun negara itu tidak membuat sebarang ulasan awam langsung dalam kes itu, namun dianggap tidak bersetuju jika bekas ketuanya dimalukan dalam perbicaraan mahkamah awam.

“Saya mengatakan keseluruhan tentera kecewa. Saya mengetuai tentera dari hadapan,” kata Musharraf kepada media di rumah ladangnya di pinggir bandar ini.
“Saya tidak ragu-ragu dengan maklum balas yang saya terima bahawa keseluruhan tentera bersama saya sepenuhnya dalam isu ini.”

Tuduhan pengkhianatan dikaitkan dengan pemerintahan darurat Musharraf pada November 2007 dan jika didapati bersalah dia mungkin berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup. - AFP

53 parti bertanding

53 parti bertandingPenunjuk perasaan anti kerajaan berjalan melintas tembok guni pasir yang dibina di luar bangunan kerajaan di Bangkok, semalam. - Foto REUTERS

  Pilihan raya Thailand ditetapkan 2 Februari

Bangkok: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand mendaftarkan 53 parti politik yang akan bertanding dalam pilihan raya Parlimen luar biasa, kata agensi itu yang dipetik media antarabangsa.

Dokumen yang diterima bermula 23 Disember hingga 27 Disember ketika tekanan hebat tindakan bantahan antikerajaan. Walaupun dipulaukan pembangkang, jumlah parti yang akan bertanding lebih tinggi berbanding kempen pilihan raya sebelum ini. Pada 2011, 40 parti mengambil bahagian.

SPR mula menerima dokumen daripada timbalan, yang dicalonkan oleh kawasan” Pegawai SPR Thailand

Kelmarin, SPR Thailand melaporkan ia menerima dokumen berkaitan calon sejak 23 Disember walaupun menerima tekanan penunjuk perasaan antikerajaan untuk menghalang pilihan raya 2 Februari depan.

“SPR mula menerima dokumen daripada timbalan, yang dicalonkan oleh kawasan,” kata seorang pegawai.

Bekas parti pemerintah, Pheu Thai, akan mengambil bahagian dalam pilihan raya itu, mencalonkan Yingluck Shinawatra, yang mengetuai kerajaan berikutan kejayaan dalam pilihan raya sebelum ini.

Terpaksa henti kerja
Di dua wilayah selatan, anggota suruhanjaya terpaksa menghentikan kerja mereka disebabkan bantahan oleh pembangkang yang mengepung bangunan. Pendaftaran calon diteruskan hingga 1 Januari ini.

Thailand digegarkan dengan kekacauan lewat Oktober lalu, apabila kerajaan mencadangkan rang undang-undang pengampunan untuk membebaskan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra daripada sabitan rasuah.

Thaksin, abang Yingluck, memilih hidup di dalam buangan di Dubai sejak disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera 2006 dan berdepan hukuman penjara jika kembali ke negara itu.

Penunjuk perasaan menuduh Yingluck menjadi boneka abangnya dan menggesa beliau meletak jawatan. - AGENSI