2013/11/04
Canberra: Australia dan Amerika Syarikat menyertai operasi pengintipan ke atas Indonesia ketika persidangan perubahan suhu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2007 di Bali, kata satu laporan semalam.
Akhbar Guardian versi Australia merujuk dokumen daripada pembocor maklumat Amerika, Edward Snowden, menunjukkan agensi pengintipan Australia, Direktorat Petunjuk Pertahanan bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) untuk mengumpulkan nombor telefon pegawai keselamatan Indonesia.
Pendedahan itu dijangka mengeruhkan lagi hubungan sedia tegang antara Canberra dengan Jakarta berikutan laporan yang disiarkan minggu lalu menyatakan jawatan diplomatik luar negara Canberra terbabit dalam rangkaian pengintipan Amerika.
Matlamat usaha itu adalah memperoleh pemahaman kukuh struktur rangkaian jika pengumpulan diperlukan ketika kecemasan” Laporan NSA
Kedutaan asing di Indonesia, selain kedutaan atau konsulat di China dilaporkan pernah memantau panggilan telefon dan mengumpul data, menyebabkan Jakarta dan Beijing menuntut penjelasan.
The Guardian berkata, operasi 2007 tidak berjaya sepenuhnya dengan hasil ketara adalah nombor telefon bimbit Ketua Polis Bali.
“Matlamat usaha itu adalah memperoleh pemahaman kukuh struktur rangkaian jika pengumpulan diperlukan ketika kecemasan,” lapor akaun maklumat yang termasuk dalam laporan mingguan 2008 dari pangkalan NSA di Pine Gap di Australia, salah satu pangkalan terbesar agensi itu di luar negara.
NSA dalam rumusannya pada akhir operasi berkata, antara perkara yang mendapat tumpuan utama, termasuk kebocoran maklumat daripada telefon bimbit ketua polis Bali.
Kumpul maklumat
“Usaha sampingan mendedahkan rangkaian komunikasi Indonesia, yang tidak diketahui sebelum ini dan mendesak kami untuk meningkatkan pengumpulan jika berlaku krisis,” menurut The Guardian.
Walaupun ia tidak berjaya, operasi itu memberi malu besar kepada Australia.
Ketika itu, Kevin Rudd, adalah Perdana Menteri baru negara itu dan beliau menghadiri persidangan pertamanya yangberkenaan membabitkan tokoh antarabangsa berprofil tinggi pertamanya atas jemputan peribadi Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Kedua-dua pemimpin ketika itu bersetuju untuk bekerjasama bagi mengukuhkan hubungan.Laporan meluas mengenai pengintipan NSA berdasarkan pembocoran maklumat oleh Snowden, termasuk agensi berkenaan mengintip telefon Canselor Jerman, Angela Merkel, yang menimbulkan perbalahan besar merentasi Atlantik.
Selepas laporan minggu lalu dalam Sydney Morning Herald, yang mengukuhkan pendedahan sebelum ini oleh majalah Der Spiegel, Kementerian Luar China menuntut pihak Australia membuat penjelasan.Jakarta memanggil duta Australia, Greg Moriarty, untuk memberi penjelasan Jumaat lalu, manakala Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa, menyifatkan laporan aktiviti pengintipan itu tidak dapat diterima. - AGENSI