Friday, June 26, 2015

Xavier Justo bakal diekstradisi ke Switzerland


KUALA LUMPUR 25 Jun - Bekas eksekutif kanan PetroSaudi International Ltd. (PetroSaudi), Xavier Andre Justo yang ditahan pihak berkuasa Thailand baru-baru ini akan diekstradisi ke Switzerland untuk dibicarakan atas tuduhan pemerasan jenayah terhadap bekas majikannya dalam tempoh terdekat.
Xavier Justo, 49, yang kini ditahan pihak berkuasa Thailand akan dihantar pulang ke negara asalnya itu dalam tempoh 90 hari.
Sumber polis Thailand memberitahu, semua dokumen bagi tujuan ekstradisi akan disiapkan selepas proses siasatan terhadapnya dilakukan oleh Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD), Polis Diraja Thailand (RTP).
“Berdasarkan perjanjian ekstradisi antara kerajaan Thailand dengan Switzerland, seseorang suspek yang ditangkap di Thailand akan dihantar pulang dalam tempoh 90 hari.
“Bagaimanapun, proses ekstradisi berkenaan bergantung kepada permohonan melalui saluran rasmi. Setakat ini, kita sedang menunggu arahan lanjut daripada Kementerian Luar untuk tujuan tersebut.
“Xavier Justo kini masih ditahan di lokap CSD di Bangkok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Xavier Justo ditahan CSD di sebuah rumah mewah dipercayai miliknya di Ban Bang Makham, Tambon Angthong di pulau peranginan terkenal Koh Samui, Surathani pada 22 Jun lalu.
Penahanan warga Switzerland itu dibuat selepas PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiatan peras ugut yang membabitkan wang 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta).
Xavier Justo dikatakan pernah menandatangani satu kontrak dengan syarikat itu agar tidak membocorkan maklumat sulit selain dibayar pampasan berjumlah lebih RM15 juta semasa dipecat kira-kira dua tahun lalu.
Berdasarkan siasatan, polis mendapati Xavier Justo berdendam dengan bekas majikannya. Ini kerana selepas tidak mendapat wang yang diminta berjumlah RM10 juta daripada PetroSaudi, dia telah membocorkan maklumat termasuk menokok tambah sebahagian maklumat kepada syarikat pesaing dan pihak lain melalui e-mel.
Ditanya tentang tindakan yang akan dilakukan pihak berkuasa Thailand sekiranya Xavier Justo tidak diekstradisi, sumber itu memberitahu, bekas eksekutif terbabit akan berdepan dengan hukuman berat termasuk penjara dan harta­nya dirampas oleh kerajaan Thailand.
“Kemungkinan dia terlepas daripada kes ini agak tipis kerana polis mempunyai banyak bukti kukuh termasuk bantuan daripada pihak berkuasa negara jiran,” katanya.
Mengenai laporan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown yang menulis kepada Kementerian Luar Switzerland supaya menyiasat penahanan Xavier Justo oleh pihak berkuasa Thailand didakwa dibuat secara tidak sah, sumber itu menjelaskan, polis Thailand mempunyai bidang kuasa tersendiri dan setiap tindak-tanduk dilakukan sememangnya menepati undang-undang.
“Oleh itu, tuduhan bahawa kita dirasuah atau ditekan pihak tertentu supaya menangkap Xavier Justo sememangnya tidak berasas sama sekali. Malah, kita tidak berminat dengan pihak yang mahu mempolitikkan isu ini,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/xavier-justo-bakal-diekstradisi-ke-switzerland-1.107194#sthash.A7tseXU4.dpuf

Cetus kemarahan Islam


Ahli politik Belanda hina Nabi Muhammad pada bulan Ramadan

Geert Wilders
Geert Wilders
THE HAGUE 25 Jun – Seorang ahli politik Belanda sengaja mencetuskan kemarahan umat Islam apabila menyiarkan kartun Nabi Muhammad SAW menerusi siaran televisyen tempatan dan mendakwa kebebasan bersuara perlu mengatasi keganasan.
Geert Wilders yang merupakan seorang anggota parti berhaluan kanan, Parti Kebebasan, menyiarkan kira-kira 10 kartun menghina Nabi Muhammad dalam slot dua minit mengenai isu politik melalui rangkaian televisyen NOS.
Wilders mendakwa tindakannya itu sebagai mempertahankan amalan kebebasan bersuara ekoran kes dua militan yang ditembak mati di Texas, Amerika Syarikat (AS) pada bulan lalu membantah pertandingan melukis karikatur Nabi Muhammad.
Ekoran kontroversi yang dicetuskan ahli politik terbabit, jurucakap Majlis Rakyat Maghribi di Belanda, Aissa Zanzen berkata, tindakan Wilders itu dilihat sengaja membangkitkan kemarahan umat Islam, terutamanya pada bulan Ramadan ini.
“Tindakannya itu hanya lebih kepada mencari publisiti murahan, dan umat Islam perlu mengabaikannya,” kata beliau.
Sebelum ini, Wilders pernah mencetuskan kontroversi apabila mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan kebencian, apabila beliau sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan jumlah rakyat Maghribi di Belanda dikurangkan.
Susulan kontroversi terbaharu yang dicetuskan Wilders itu, Kedutaan Belanda di luar negara dinasihatkan mengambil langkah keselamatan ekoran bimbang bantahan umat Islam berhubung penyiaran kartun tersebut.
Seorang jurucakap pejabat pendakwa raya Belanda yang enggan dikenali berkata, pihaknya akan menyiasat insiden berkenaan jika menerima laporan tentang tindakan Wilders menghina Nabi Muhammad dan menyinggung perasaan Umat Islam. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/cetus-kemarahan-islam-1.107035#sthash.ufTZX2QF.dpuf